إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010, sekitar jam 1.00 pagi, telah kembali ke rahmatUllah, hambaNya Tuan Guru Dato’ Haji ‘Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman رحمه الله تعالى. Beliau lebih di kenali dengan Pak Teh Kroh. Merupakan pengasas dan mudir Madrasah ad-Diniah al-Latiffiah, Kg. Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzwan (Pondok Pak Teh). Beliau adalah merupakan generasi pertama Pondok Pasir Tumboh. Merupakan salah seorang ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak.
Allahu Allah .... seorang demi seorang para ‘ulama kita kembali kepadaNYA.
Kematian seorang ulama adalah musibah bagi umat Islam. Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.
Kematian seorang ulama, bererti hilanglah sebahagian ilmu. Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما meriwayatkan sebuah hadits: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)
Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada beliau serta mendoakan beliau.
اقرأوا على موتاكم يس
0 komen:
Catat Ulasan