Sabtu, 2 Oktober 2010

Belasungkawa: Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa رحمه الله Telah Kembali KerahmatuLlah



إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Tatkala para pencinta ulama di Malaysia bersedih atas permergian Tuan Guru Haji ‘Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman, para muhibbin di Indonesia pula bersedih kerana telah kembali kerahmatuLlah Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa رحمه الله, di Surabaya, jam 9.30 malam (lebih kurang waktu Surabaya) malam Sabtu, 23 Syawwal 1431/1 Oktober 2010. Dan beliau selamat dikebumikan sebentar tadi, ashar, 23 Syawwal 1431/2 Oktober 2010. Beliau menutup umur pada usia 89 tahun ( atau 91 tahun menurut kiraan tahun hijrah)

Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau, namun para muhibbin di Malaysia pastinya ada yang mengenali beliau. Untuk itu sukalah al-Fagir memperkenalkan beliau untuk tatapan bersama.

Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa adalah seorang ulama ahlulbait yang merupakan guru kepada para habaib dan kiyai di Indonesia. Beliau di lahirkan di Purwakarta pada tahun 1921. Mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri. Setelah mennginjak umar 9 tahun, beliau berangkat ke Tarim untuk beljar di Rubat Tarim. Di sana beliau berguru dengan Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri (pengasuh Rubath Tarim, wafat tanggal 29 JumadilUla 1361H) dan Habib Ahmad bin Umar asy-Syathiri (pengarang kitab al-Yaqut an-Nafis, wafat hari Jum’at, tanggal 6 Rabi’ ats-Tsani 1360H). Beliau menuntut ilmu di Rubath Tarim selama 10 tahun. Selama 10 tahun di Rubath Tarim, pelbagai bidang ilmu yang beliau pelajari seperti fiqih, tafsir, nahwu, shorof, balaghah dan tasawwuf. Namun menurut beliau, pelajaran yang paling beliau senangi adalah tasawwuf kerana ianya merupakan salah satu jalan manusia mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala, dan tasawwuf juga menganjurkan seseorang itu menjadi bijaksana dan lebih berakhlaq. Selain itu, menurut beliau lagi, tasawwuf mudah dipelajari – baik di dalam keadaan senang maupun susah. Maka kerana itu beliau dengan tekun mempelajari kitab-kitab tasawwuf karya tasawwuf Imam al-Ghazali seperti Bidayatul Hidayah, Ihya ‘Ulumiddin dan lain-lain.

Beliau kemudiannya berangkat pula ke Mekah untuk menuntut ilmu, meskipun tika itu suasana agak gawat kerana Perang Dunia 1. Namun tekadnya untuk menyambung pengajiannya di Mekah al-Mukarramah tidak luntur. Di tengah-tengah kegawatan itu, beliau mengendarai unta untuk berangkat dari Tarim ke Mekah. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 2 bulan. Di tengah-tengah perjalanan ini beliau terpaksa singgah di beberapa buah desa, dan beliau juga sempat mengajar di perkampungan Arab Badwi.

Di Mekah, beliau berguru dengan, antaranya: Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Hasani al-Maliki, Habib Alwi Shahab, Habib ‘Abdul Baari bin Syekh al-Aidarus, Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi dan lain-lain. Ketika di Mekah, beliau sempat bertemu dengan para penuntut ilmu yang berasal dari Indonesia seperti Habil ‘Ali bin Zein Shahab 9Pekalongan), Habib ‘Abdullah al-Kaf (Tegal), Habib ‘Abdullah Syami al-Atthas (Jakarta) dan Habib Hussin bin ‘Abdullah (Bogor)

Pada tahun 1947, beliau pulang ke tanahairnya, lalu bernikah dengan Sayyidah Nur binti Zubaid di Surabaya. Setelahnya, beliau mengajar di Madrasah al-Khairiyyah. Dan dalam masa yang sama beliau berguru dengan Habib Muhammad as-Seggaf di Kapasan. Setelah gurunya wafat, beliau menggantikan gurunya mengajar di majlis taklim yang diasuh oleh gurunya. 3 tahun kemudian beliau berhijrah ke Jakarta. Beliau mengajar setiap pagi hari minggu di Majelis Taklim Kwitang yang diasuh oleh Habib Muhammad al-Habsyi (majelis taklim ini diasaskan oleh Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Habsyi @ Habib ‘Ali Kwitang) selama 6 tahun. Disini juga, beliau membantu Habib Muhammad al-Habsyi untuk membangunkan Islamic Centre Indonesia (ICI).

Setelah pembangunan ICI selesai, beliau mengajar pula di Majelis Taklim asuhan K.H. Muhammad Zein di Kampnug Makassar, Kramat Jati selama setahun. Dan sejak dari tahun 1971 beliau mengajar di Madrasah az-Ziyadah asuhan K.H. Zayadi Muhajir selama 30 tahun. Setelah Kiyai Muhajir wafat, Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa menggantikan tempat Kiyai Muhajir mengasuh taklim sehingga tahun 2003. Selain mengajar di az-Ziyadah, beliau juga mengajar di majelis taklim Habib Muhammad bin Aqil bin Yahya di Jalan Pedati, Jakarta Timur. Bukan hanya setakat itu sahaja, bahkan beliau juga mengajar di 30 majelis taklim lain di perbagai tempat di Jakarta.

Pada tahun 2003, Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa kembali ke Surabaya, dan tinggal di rumahnya yang beliau huni sekarang di Jalan Kalimasudik II. Beliau lebih banyak beristirahat di rumah. Meskipun begitu, banyak penuntut dari sekitar Surabaya yang datang mengaji kepadanya. Beliau mengajar fiqih, nahwu, sharaf, balaghah, tafsir, dan tasawwuf. Selain dari mengajar di rumahnya, beliau juga mengajar tasawwuf di Majelis Burdah yang dipimpin Habib Syekh bin Muhammad al-Aidarus di Jalan Ketapang Kecil.

Selain daripada mengajar, beliau juga mengarang. Salah satu buah karyanya ialah kitab Muqtathafat fi al-Masail al-Khilafiyyah (Beberapa Petikan Masalah Khilafiah). Dan walaupun sudah agak uzur, beliau masih bersemangat untuk menyelesaikan sebuah kitab tentang pernikahan dalam pandangan empat ulama madzhab.

Demikianlah biografi ringkas mengenai Habib Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa yang dapat al-Fagir kongsikan bersama. Tulisan ini al-Fagir dipetik dari  sini dengan sedikit olahan bahasa.

Satu demi satu ulama kita berpergian, sampai pada akhirnya tidak ada lagi yang dapat mengantikannya. Kemarin kita mendapat khabar pemergian Tuan Guru Hj Abdul Latif @ Pak Teh, hari ini kita mendapat khabar pemergian Habib Syekh al-Musawa, besok entah siapa pula ulama atau habaib yang akan mengikuti pemergian mereka. Hilangnya mereka susah untuk mendapat pengganti. Kita mampu mengeluarkan beribu-ribu sarjana, kita mampu mengeluarkan beratus-ratus pemikir Islam, tapi apakah kita mampu mengeluarkan ulama-ulama yang alim dan rabbani? Akhirnya nanti tinggallah orang-orang bodoh yang mengaku ulama, berpakaian seperti ulama, bergaya persis ulama, tetapi tidak memiliki ilmu dan akhlak seperti seorang ulama, lalu mereka akan menjawab segala pertanyaan masyarakat awam yang haus dengan ilmu pengetahuan, sehingga mereka sesat lagi menyesatkan, benar sekali sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Tidakkah pemergian mereka ini musibah bagi kita dan umat Islam seluruhnya? Iya, musibah besar! Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Akhirkata, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada Habib Syekh bin Ahmad bin Syekh al-Musawa serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله . ووسع مُدخلهُ . واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر  ومن عذاب النار


Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Selepas ashar, 23 Syawwal 1431/2 Oktober 2010.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails