Jumaat, 6 Februari 2009

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 17

Sambungan dari catatan yang lalu ………

Setelah sampai ke Dar al-Musthafa. Diluar perkarangan Dar al-Mushtafa terdapat perarakan sempena sambutan ziarah Hud. Sungguh menarik. Kemudian aku dan rakan-rakan bersiap sedia untuk majlis maulid pada sebelah malamnya. Dar al-Mustafa di banjiri oleh ramai manusia … kerana selain dari Majlis Maulid diikuti pula dengan sambutan untuk program Ziarah Hud.

Keesokkan paginya, di dalam kuliah Habib Umar setelah sholat Shubuh, beliau memberitahu bahwa rombongan ke program ziarah Hud akan bergerak dari Dar al-Mushthafa setelah sholat Jum’at. Dan setelah kuliah pagi Jum’at ini, aku menyertai warga Dar al-Mushthafa ke Zanbal. Program ziarah mingguan. Ianya merupakan suatu tradisi bagi para habaib di Tarim. Kelihatan didalam ziarah tersebut Habib Abdullah bin Muhammad bin ‘Alwi bin Syihab, Habib Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syatiri, Habib 'Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafidz dan Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Acara bermula mengikut tartib ziarah seperti yang aku tulis sebelum ini. Alhamdulillah, dapat menyertai para ahlullah menziarahi makam para auliya Zanbal. Semoga kami diberi kekuatan untuk mencontohi jejak mereka …… ilmu, amal, akhlaq, taqwa dan sebagainya …..



Beramai-ramai ke masjid untuk shalat Jum'at. MasyaAllah .... panas! Suhu sekitar 43 - 45 darjah celcius. Kat mahsyar bagaimana ya????


Setelah itu kembali ke Dar, buat persiapan untuk ziarah Hud. Kami mengerjakan shalat Jum’at di masjid yang berdekatan. Dan lupa apa ka nama masjidnya. Yang menarik sholat Jum’at disini adalah pada khutbahnya. Khatib membaca khutbah dengan lantang dan penuh semangat. Tak dan nak terlelap walaupun sesaat biarpun badan keletihan. Khutbah yang dibaca menyegarkan minda pendengar. Kalau kat tempat aku ni … kekadang terdengar orang berdengkur ketika khutbah …. hehehe …… al-maklum sajalah, membaca teks khutbah … manakan sama dengan berkhutbah.

Balik Jum’at, rehat sebentar sementara menunggu kenderaan sampai. Diluar kedengaran riuh-rendah para pelajar Dar al-Mushtafa, ashabud daurah …. menanti kenderaan-kenderaan yang akan datang membawa rombongan ke lembah Hud. Puluhan bas dan van membanjiri perkarangan Dar al-Musthafa. Setiap kumpulan diberikan no bas masing-masing.


Menunggu kenderaan untuk Ziarah Hud


Setelah mendapatkan kenderaan, maka rombongan mula bergerak. Acara ziarah dimulai dengan menziarahi Zanbal, iaitu di makam Imam Faqih al-Muqaddam, seterusnya ke Inat menziarahi makam Syaikh Abu Bakar bin Salim dan setelahnya ke Masjid Imam ‘Ali Khali’ Qasam. Sebelum ini telah aku bawakan biografi Imam Faqih al-Muqaddam dan Syaikh Abu Bakar bin Salim, dan kali ini aku nak bawakan sedikit biografi Imam ‘Ali Khali’ Qasam yang sangat terkenal dengan kisah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sentiasa menjawab salam beliau ketika beliau mengucapkan salam kepada Baginda didalam tasyahhud atau diluar tasyahhud.

Manaqib al-Imam ‘Ali Khali’ Qasam: Beliau adalah Abu al-Hasan Nur al-Diin Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin’Alwi bin’Ubaidullah bin al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Beliau adalah pemimpin kaum ‘Alawiyyin pada zamannya.

Beliau dilahirkan di Bait al-Jubair. Disinilah beliau membeli sebidang tanah yang luas dengan harga 20,000 dinar. Tanah itu kemudiannya beliau namakan dengan Qasam, sempena dengan nama tanah datuknya, al-Muhajir ilallah Ahmad bin ‘Isa di kota Bashrah. Di tanah itu beliau menanam pohon kurma. Disana beliau juga membangun suatu rumah yang ditempati pada saat menuai kurma. Kemudian beberapa orang membangun rumah-rumah disamping rumah beliau. Sampai akhirnya tempat itu menjadi suatu desa dan dinamakan dengan desa Qasam.

Seterusnya beliau memutuskan untuk berpindah dan mendiami Tarim. Dan merupakan keluarga ‘Alawiyyin yang pertama menetap di Tarim. Menurut suatu catatan di dalam kitab al-Ghurar tulisan Syaikh Muhammad bin ‘Ali bin ‘Alawi al-Khird, keluarga ‘Alawiyyin berpindah dari Bait al-Jubair ke Tarim sekitar tahun 521H. Seterusnya meyusul pula Bani Bashri dan Bani Jadid. Setelah perpindahan ke Tarim, kota tersebut muncul sebagai kota budaya dan ilmu.

Ketika di Tarim beliau mendirikan sebuah masjid yang dikenali dengan nama masjid Qaum atau Masjid Bani Ahmad atau Masjid Khali’ Qasam dan kini terkenal dengan dengan nama Masjid Ba’Alawi.

Beliau diasuh, didik oleh ayahnya sendiri. Beliau dikurniai Allah ketajaman matahati, menghafal al-Qur'an, menguasai pelbagai cabang ilmu, sangat dermawan, sangat tawadhu' dalam berbicara maupun bertindak atau dalam berpakaian. Beliau tidak terlihat lebih menonjol dari yang lain. Jika beliau duduk bersama kaum khawas mahupun kaum awwam, orang tidak akan mengenali yang beliau adalah seorang yang mempunyai kemuliaan yang tinggi, beliau melebur menjadi satu dengan dengan kumpulan jamaah tersebut Pendekata pada diri beliau terkumpul keutamaan, kebaikan, anwar dan asror. Beliau mempunyai banyak karomah.

Diantaranya adalah apabila ketika beliau membaca membaca salam ketika tahiyat … السلام عليك ايها النبي ورحمة الله وبركاتة, beliau mengulang-ulangi bacaan tersebut sampai beliau mendengar langsung jawapan dari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم iaitu السلام عليك يا الشيخ. Hal ini disebut oleh al-Jundi, asy-Syaraji, Ibn Hisan dan lain-lain. Juga disebut oleh al-‘Allamah asy-Syaikh al-Khatib di dalam kitabnya al-Jauhar al-Syafaaf. Dan beliau bukan sahaja mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab salamnya di dalam tahiyyah, bahkan bila sahaja beliau mengucapkan salam kepada Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Keistimewaan ini tidak akan dicapai melainkan oleh seseorang yang sudah mencapai maqam kerohanian yang sangat tinggi, Syaikh ‘Abdul Wahab asy-Sya’rani mengatakan: Tidak sampai seseorang kepada maqam mengambil langsung dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan mendengar jawaban salam Baginda melainkan dia telah melepasi 247,999 maqam daripada maqamat auliya’.

Quthub al-Irsyad al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad menggambarkan karamahnya yang tinggi di dalam syairnya:

Rasulullah [صلى الله عليه وآله وسلم] membalas salamnya, “(Salam bagimu) Ya Syaikh.”
Sebagai jawaban atas salamnya (kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم), kagumlah orang-orang mulia.

Al-Imam ‘Ali Khali Qasam wafat pada tahun 527H/1107M sebagaimana yang disebut oleh al-Habib Muhammmad bin Hussin Ba’Abud didalam kitab Nafa’is al-‘Uqud fi Syajarah ‘alal Ba’abud. Manakala menurut al-Ustaz Alwi bin Muhammad Bilfaqih di dalam kitab Syajarah as-Sa’adah ‘alal Bani Alawi, al-Imam Ali Khali’ Qasam wafat pada 529H/1109M. Beliau dimakamkan di Zanbal.


Kami bergambar di hadapan khemah penginapan berlatarbelakangkan
makam Nabi Allah Hud عليه السلام

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Makam Nabi Hud عليه السلام di Wadi Ahqaf. Rombongan kami berhenti sholat Maghrib di sebuah masjid yang terletak di tepi jalan. Sewaktu singgah membeli minuman, berbual dengan seorang penduduk tempatan yang bermanhaj Wahabi. Sempat jugalah berlawan hujjah, soal menziarah qubur ni …. hehehe. Tapi orang tersebut tidaklah se extreme Wahabi kat Malizi nih …..

Ketika sampai di Wadi Ahqaf, suasana sudah gelap. Hujan renyai-renyai pulak tu. Berpeluh juga mengheret beg pakaian mendaki jalan yang curam untuk ke tempat penginapan. Penginapan kami disebuah khemah yang dibina ditas bumbung bangunan, berdekatan dengan maqam Nabi Hud عليه السلام. Kira berbaloilah. Tunggu depan khemah pun dah dapat sambut dan ketemu sama pada habaib seperti Habib ‘Abdullah BinSyihab, Habib Salim asy-Syatiri, Habib Umar, Habib ‘Ali Masyhur ….

InsyaAllah sambung lagi …..



Inilah khemah penginapan kami sewaktu ziarah Hud.


0 komen:

Related Posts with Thumbnails