Khamis, 8 Mei 2008

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis - Siri 10

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.

الأ عمال صورقائمة وأرواحهاوجود سر الإخلاص فيها

Artinya: Bermula segala ‘amal itu segala rupa yang berdiri dan segala ruhnya itu diperoleh sirr ikhlas dalamnya.

(Maka) menyerupakan shaikh رضي الله عنه segala ‘amal itu dengan segala rupa kerana bahawasanya ‘amal itu daripada yang zhohir dan yang zhohir itu ta’luq pada badan dan badan itu ta’luq pada segala rupa yang berdiri, dan sirr hayatnya itu wujud sirr roh. Maka ‘amal dengan tiada ikhlas itu seperti jasad dengan tiada roh. (Dan) sirr ikhlas itu iaitu siddiq yang dibilangkan daripadanya dengan tabarri[1] ( تبري ) daripada haul (حول) dan quwwah (قوة).

(Dan kata) Shaikh Abu Tholib [al-Makki] رضي الله عنه bermula ikhlas kepada orang yang mukhlisin[2] itu iaitu keluar makhluk daripada mengerjakan ‘amal bagi Haq Ta’ala, dan awal makhluk itu iaitu nafsu. (Dan) ikhlas pada orang yang muhibbin itu iaitu tiada mengerjakan sesuatu ‘amal kerana nafsu, dan jikalau ada demikian itu nescaya masuk atasnya melihat kepada belas atau cenderung kepada bahgian nafsu. (Dan) ikhlas pada orang muwahhidin[3] itu iaitu keluar makhluk daripada nadzor[4] (نظر) kepada mereka itu dalam segala fi’ilnya dan meninggalkan [perasaan] sukun[5] dan istirahah kepada mereka itu [yakni kepada makhluq] dalam segala halnya.

(Dan kata) setengah masyaikh رضي الله عنهم sahkan olehmu ‘amalmu dengan ikhlas dan sahkan olehmu ikhlasmu dengan tabarri daripada haul dan quwwah[6]. (Dan) hanya sesungguhnya hasil hamba itu atas hakikat sidiq itu apabila ketiadaan syuhrah[7] artinya menzhohirkan sesuatu kerana tiada yang mendatangkan bagi riya’ melainkan daripada kasih terpuji maka kerana demikian itu kata muallif:


Notakaki:

[1] Tabarri daripada haul dan quwwah itu bermaksud membebaskan atau melepaskan diri daripada daya upaya dan kekuatan kerana yang sebenar-benar mempunyai daya-upaya dan kekuatan adalah Allah Ta’ala. لاحول ولاقوة إلابالله العلي العظيم

[2] Golongan mukhlisin atau dikatakan juga dengan ikhlasul ubbad ini merupakan darjah keikhlasan yang paling rendah dari semua tingkatan ikhlas. Dan merupakan ikhlasnya orang awam. Golongan ini ikhlas beramal kepada Allah bukan kepada makhluq. Maka amal mereka bersih dari riya` dan daripada segala habuan nafsu lagi terkeluar daripada tujuan makhluq, kerana mereka beramal untuk mendapat keredhaan Allah yang nanti akan memberi ganjaran baik didunia dan akhirat serta melepaskan daripada ‘azab siksaNya Ikhlas di martabat ini masih dikira rendah lagi kerana ianya dilakukan atas harapan untuk mendapat pahala daripada Allah Ta’ala meskipun ianya dijanjikan olehNya.


[3] Golongan muwahhidin adalah golongan yang mentauhidkan atau mengesakan Allah Ta’ala pada af’alNya, asma’Nya, shifatNya dan DzatNya. Oleh kerana itu sunyi hati mereka daripada syirik yang paling tersembunyi iaitu membangsakan segala perbuatan yang terbit dari makhluk itu kepada makhluk jua tiada kepada Allah Ta’ala. Golongan ini tidak memandang dzat, shifat dan af’al makhluk itu wujud, jika ada wujudnya sekalipun pada pandang mereka maka wujud itu adalah wujud majazi dan wujud dzil jua. [Untuk memahami persoalan ini maka perlulah dipelajari dari mereka yang betul dan benar jalan ilmunya – Abu Zahrah]. Golongan ini beramal, tidak lagi melihat kepada kekuatan dan daya diri sama sekali. Mereka menolak daya makhluk malah tidak tidak bergantung harap pun kepadanya. Mereka merasakan bahawa gerak dan diam itu semuanya dari Allah.
لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ العَلِّيِّ العَظِيْمِ…..
Mereka ini tidak bergerak melainkan dengan izin Allah dan tidak terlintas sesuatu baginya melainkan dengan izin Allah. Kata-kata mereka merupakan hikmah, kerana mereka tidak memandang melainkan Allah. Oleh kerana itulah mereka tidak berkata-kata melainkan dengan hikmah kerana kefahaman (hikmah) itu daripada Allah. Walalhu a’lam.

[4] Menilik

[5] Tenang tenteram

[6] Matannya adalah seperti berikut:
صَحِّحْ عَمَلَكَ بِاالإِخْلاَصِ ، وَ صَحِّحْ إِخْلاَصَكَ بِالتَّبَرِّيْ مِنَ الحَوْلِ وَالقُوَّةِ

[7] Berdasarkan kepada teks kitab yang menjadi rujukan tranliterasi saya, ianya bercetak dengan kalimah syahwat. Namun sewaktu mempelajari kitab ini guru saya menyatakan perkataan yang sebenarnya adalah syuhrah (شهرة) yang membawa erti kemasyhuran. Ini dapat difahami daripada kata-kata hikmah yang seterusnya. Saya juga merujuk kepada teks arabnya iaitu Syarh Hikam oleh Ibn ‘Abbad. Maka saya perbetulkan kepada syuhrah yang berarti kemasyhuran. Kemungkinan berlaku salah cetak pada teks yang saya rujuk. Wallahu a’lam – Abu Zahrah

0 komen:

Related Posts with Thumbnails