Selasa, 6 Mei 2008

Ar-Rasail al-Darqawiyah - Siri 9

Ar-Rasail al-Darqawiyah
(Siri – 9)

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya mempelajarinya dengan tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian kerana terdapat isitilah-istilah yang sukar difahami dan perlu dirujuk kepada mereka yang berkeahlian. Semoga kita dikurniakan taufiq untuk memahami hakikat pelajaran yang terdapat didalam tuilsan/kitab ini. Sekian.)

Sambungan dari siri sebelumnya ….

Salah suatu daripada aasar (yakni kesan-kesan) limpah kurnia, rahman kemurahan Ilahi ialah, bahwa mendapati seseorang itu akan syaikh murabbi yakni yang boleh memberinya pendidikan ruhaniyah. Tanpa rahmat Allah, tiada seorang pun yang boleh bertemu atau mengenal shaikh murabbi itu kerana seperti kata Sidi asy-Syaikh Abu al-‘Abbas al-Mursi رضي الله عنه :

مَعْوِفَةُ الوَلِيِّ أَصْعَبُ مِنْ مَعْرِفَةِ الله عزوجل

Artinya: Mengenal seseorang wali itu lebih sukar daripada mengenal Allah Azzawajalla.(1)


Dan seperti kata sidi Ibn ‘Atoillah رضي الله عنه di dalam hikam:

سُبْحانَ مَنْ لم يَجْعَلِ الدَليلَ عَلى أوْلِيائِهِ إِلاَّ مِنْ حَيْثُ الدَّليل عَلَيْهِ. وَلَمْ يُوصل إلَيْهِمْ إلاَّ مَنْ أرادَ أنْ يُوصلَهُ إلَيْه

Artinya: Maha Suci Tuhan yang tiada menjadikan dalil atas segala walinya melainkan dari segi dalil atasnya, (maka seperti tiada dalil atas al-Haq Ta’ala melainkan yang telah dinyatakanNya. Tiada ada dalil atas segala walinya melainkan yang telah nyata daripada mereka), dan tiada disampaikan Allah kepada segala wali itu melainkan orang yang dikehendakiNya menyampaikan dia kepadanya (kerana martabat kerohanian atau tanda-tanda rohaniahnya mereka itu tiada jua diketahui oleh seseorang melainkan orang yang ditunjuk akan dia oleh Allah Ta’ala).


Tiada syak lagi, penghulu segala penghuni langit dan bumi, junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وسلم nyata kelihatan laksana matahari atas puncak tiang, namun begitu (kerohanian atau pangkat nubuwah dan risalah) baginda itu tidak kelihatan oleh semua, tetapi hanya oleh setengah-setengah manusia. Allah menyelindunginya daripada sebahagian manusia, sebagaimana Allah menyelindungi para anbiya’Nya عليهم الصلاة والسلام daripada manusia-manusia tertentu, dan sebagaimana Allah menyelindungi para auliya’Nya daripada (kebanyakkan) manusia yang sezaman dengan mereka, sehingga para auliya’ itu mereka mencerca atau memburuk-burukan namanya dengan celaan atau fitnah. Kitab Allah menjadi saksi terhadap perkara ini.

وَتَرَٰهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ وَهُمْ لاَ يُبْصِرُونَ
Artinya:
Dan kamu melihat mereka memandang kepadamu pada hal mereka tidak melihat (Surah al-‘A’raf: 198)[2]


وَقَالُواْ مَالِ هَـٰذَا ٱلرَّسُولِ يَأْكُلُ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي ٱلأَسْوَاقِ
Artinya:
Dan mereka berkata: “Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?” (Surah al-Furqaan: 7)

Dan didalam lain-lain ayat yang membawa maksud atau isyarat yang hampir-hampir sama. Dua pertiga atau lebih daripada kitab Allah itu menerang bagaimana para Rasul عليهم الصلاة والسلام dicaci atau difitnahkan oleh orang-orang pada zaman mereka. Diantara mereka yang tiada melihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم (dengan matahati dan mengenalnya dari segi martabat kerohanian) ialah Abu Jahal (‘Amru bin Hisyam) لعنة الله عليه , ia menlihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم hanya sebagai anak yatim yang dipelihara oleh Abu Tholib. Demikian juga halnya seorang syaikh yang majzub lagi salik, dan yang mabuk (سكر) lagi siuman (صاح), hanya sedikit yang bertemu dengan mereka (dan mengenal mereka)

…. Bersambung kesiri yang akan datang, insyaALLAH

Notakaki:

[1] Kerana bahwasanya Allah Ta’ala itu terkenal dengan shifat kamalNYA dan jamalNYA, sedangkan para wali itu terselindung kerohanian mereka kepada kebanyakkan makhluq dengan shifat-shifat basyariah mereka yang dzahir, iaitu seperti makan-minum dan seumpamanya [Lihat asy-Sya’rani: Lawaqih al-Anwar fi Thobaqat al-Akhyar (15/2) pada riwayat hidup asy-Syaikh Abu al-‘abbas al-Mursi]


[2] [Tambahan dari Abu Zahrah] - Menurut komentar guru saya ketika menghuraikan bab ini, katanya “Sebenarnya ayat diatas berkisar mengenai sindirian dan tempelak Allah kepada mereka yang menyembah berhala. Dan ayat diatas merujuk kepada berhala tersebut.” Perhatikan rentetan ayat yang berkaitan:
Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan? [191] Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri. [192] Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.[193] Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.[194] Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): "Panggilah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi. [195] Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan" [196] Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri. [197] Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat. [198] – (Surah al-‘A’raf: 191 – 198)

Seterusnya beliau membawakan dalil yang lain yang sempat saya catat iaitu dalam ayat 33, Surah al-Mu’minun:

وَقَالَ ٱلْمَلأُ مِن قَوْمِهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَكَذَّبُواْ بِلِقَآءِ ٱلآخِرَةِ وَأَتْرَفْنَاهُمْ فِي ٱلْحَيـاةِ ٱلدُّنْيَا مَا هَـٰذَا إِلاَّ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يَأْكُلُ مِمَّا تَأْكُلُونَ مِنْهُ وَيَشْرَبُ مِمَّا تَشْرَبُونَ

Artinya: Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri) “Orang ini, tidak lain hanyalah seorang manusia seperti kamu, dia makan dari apa yang kamu makan, dan dia minum dari apa yang kamu minum.”

والله تعالى أعلى و أعلم

0 komen:

Related Posts with Thumbnails