![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhxhKwA_WRBaRpFpEJ97awuhjt0kK6XZKaGfBTKcup1ZR-4UPKNfI2mhzIGt8sWiZjS02oJGz4Xv2zWzwfPooMrqqqaxQgPqa2ZbdVQazYylJuthcFrvWdIMQ7KfBcO5y6P5EbF/s200/madina.jpg)
Alhamdulillah, pada hari Sabtu 14 Rabi’ al-Awwal bersamaan 22 Mar 2008 aku dapat menghadiri satu majlis sambutan maulidurrasul di Madrasah al-Hasaniah, Kampung Bukit Sembilan, Rembau. Aku agak terlewat sampai kerana sepanjang perjalanan dari KL ke Rembau diiringi hujan yang begitu lebat namun syukur kerna sampai sebelum majlis bermula. Yang membuat aku begitu teruja untuk menghadiri majlis ini adalah kerana kehadiran seorang ulama besar, seorang ulama yang faqih, seorang muhaddits masakini iaitu al-‘Allamah al-Muhaddits asy-Syaikh Mahmud Said bin Muhammad Mamduh al-Husaini. Selama ini aku sekadar mendengar namanya dan membaca tulisannya, namun hari ini alhamdulillah aku dapat menatap wajahnya dan bersalaman dengan beliau. Alangkah besarnya anugerah dan karunia Allah pada hambanya yang dhoif, faqir lagi haqir ini.
Teringat aku pada hadits musalsal muammariyah [hadits musalsal inilah yang menyebabkan guruku Syaikh Nuruddin al-Makki diserang oleh Dr Asri, Mufti Perlis] yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyalamiku atau menyalami orang yang menyalamiku sehingga ke hari Qiamat maka dia akan masuk syurga”. Dan didalam hadits musalasal bi ar-Ru’yah pula, maksudnya: “Berbahagialah kepada sesiapa yang melihatku dan beriman kepadaku. Berbahagialah kepada sesiapa yang tidak pernah melihatku tetapi beriman kepadaku. Berbahagialah kepada sesiapa yang tidak pernah melihatku tetapi beriman kepadaku. Berbahagialah kepada sesiapa yang tidak pernah melihatku tetapi beriman kepadaku”. [Rasulullah صلى الله عليه وسلم megulanginya 3x]. Kemudian baginda bersabda: “Maka barangispa yang telah melihatku atai telah melihat sesiapa yang telah melihatku hingga hati Qiamat akan masuk syurga.” – [untuk mengetahui kedudukan kedua hadits ini silalah kalian rujuk pada kitab yang berkenaan … ambo tinggalkan komentar ulama tentangnya].
Beliau adalah merupakan salah seorang murid kesayangan Syaikh Yasin al-Fadani dimana diketika Syaikh Yasin mengajar, Syaikh Said Mamduh disuruh oleh Syaikh Yasin duduk di sebelah kanannya dan beliau juga dilantik oleh Syaikh Yasin sebagai khalifahnya di Mesir. Selain itu beliau juga merupakan murid kesayangan Syaikh Abdullah al-Ghumari sehinggakan gurunya itu memujinya dengan mengatakan bahwa Syaikh Mahmud Said Mamduh telah menyelam dalam lautan hadits melalui jalannya ahli hadits.
Beliau seorang ulama yang aktif menulis terutamanya dalam menjawab tuduhan-tuduhan, mengkoreksi kesilapan serta membongkar penyelewengan golongan Wahabi, terutamanya panutan mereka iaitu Syaikh Nasiruddin al-Albani. Antara kitab-kitab tulisan beliau adalah Tasynif al-Asma’ bi Syuyukh al-Ijazah wa al-Sama’,Wusul al-Tahani bi Itsbat Sunniyyah al-Subhah wa al-Rad ‘ala al-Albani, Tanbih al-Muslim fi Difa’ ‘an Shohih Muslim, Raf’u al-Minarah bi Takhrij Ahadith al-Tawassul wa al-Ziarah, al-Ta’rif bi Auham man Qassama al-Sunnah ila Shohih wa Dhoif (6 jilid), al-Ihtifal bi Ma’rifah al-Ruwah al-Thiqaat allazi Laisu fi Tahzib al-Kamal (4 jilid), Kasyf al-Sutur ‘Amma Usykila min Ahkam al-Qubur, Ghayah al-Tabjil wa Tark al Qat’ fi al Tafdhil. Begitulah serba ringkas mengenai ulama besar ini.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg-iqdJlxj-1dESFw8dCBCsrsLYGOfe6ErE-4VBvvgbxYWrh2hmbA7yWcNgxui4LcK2erDmNGYomTcStb4yfBvpVVz4znCyfEvTOirGm3BEVO4DK1H3SPZnWo2y1VtMTAZFH_x5/s200/image009.gif)
Ssungguh, majlis ini penuh dengan kelainan yang aku rasakan. Sakinah … barokah … nafahat … menyelubungi majlis ini. Padaku dengan sambutan Maulid yang sebegini, terasa lebih manfaatnya. Mugkin bagi aku sahaja, lain orang lain citarasanya. Ingin aku merakamkan ucapan tahniah kepada Syaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi dan Yayasan Sofa diatas inisiatif ini. Semoga Allah merahmati usaha kalian. Dan aku harapkan semoga program sebegini akan berterusan dimasa-masa yang akan datang ……
Dan buat saudara-saudaraku, andaikata terdapat majlis-majlis yang sebegini janganlah dilepaskan peluang keemasan ini. Rebutlah kerana … tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4: Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم
عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر
Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [dengan] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum [sufi] seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasaya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.
Janganlah kita termasuk di dalam golongan sebagaimana yang disebut dalam hadits ini:-
سيأتي زمان أمتي يفرون من العلماء والفقهاء فيبتليهم الله بثلاث بليات: أولاها يرفع الله البركة من كسبهم، والثانية يسلط الله تعالى عليهم سلطان ظالما، والثالثة يخرجون من الدنيا بغير ايمان
Artinya: Akan datang satu zaman atas umatku dimana mereka lari (menjauhkan diri) daripada (ajaran dan nasihat) ulama' dan fuqaha', maka (akibatnya) Allah Ta’ala menimpakan tiga bencana atas mereka iaitu yang pertama, Allah mengangkat (menghilangkan) keberkatan dari usaha mereka, kedua, dikuasakan penguasa yang dzalim atas mereka dan ketiga, mereka keluar dari dunia (mati) tanpa membawa iman.
Sekian.
Abu Zahrah
0 komen:
Catat Ulasan