Isnin, 31 Disember 2007

Kenali Ulama' Kita - Siri 3 (Ulama Kedah)

Muhammad Sa'id Umar Kedah - Pengarang Tafsir Nur al-Ihsan
[Untuk makluman sebahagian besar daripada tulisan ini adalah diambil dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Abdullah di dalam Utusan Malaysia pada tarikh 13 Disember 2004 dan juga daripada laman web keluarga Tuan Guru Haji Muhammad Sa'id. Sekian. – abu zahrah - ]

Tafsir Nur al-Ihsan adalah merupakan sebuah kitab tafsir berbahasa melayu yang tidak asing di Malaysia. Terjemahan dan tafsir al-Quran klasik yang lengkap tiga puluh juzuk yang tersebar menggunakan media cetak hanya dua buah saja, iaitu Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri (abad ke 16-17 M), dan yang sebuah lagi ialah Tafsir Nur al-Ihsan oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Umar yang berasal dari Kedah. Kedua-duanya tidak asing lagi di Malaysia namun Tafsir Nur al-Ihsan adalah merupakan kitab yang sering digunakan sebagai teks pengajian tafsir di masjid-masjid berbanding dengan Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf Fanshuri. Bahkan bahkan Tafsir Nurul Ihsan ini juga digunakan sebagai teks pengajian yang di Fathani dan Singapura. Maka adalah tidak wajar kalau kita membaca atau mengaji kitab tersebut tanpa mengenali diri peribadi pengarangnya.

Lahir

Pengarang kitab tafsir Nur al-Ihsan ini adalah Haji Muhammad Sa’id bin Umar bin Aminuddin bin Abdul Karim. Tuan Guru Haji Muhammad di lahirkan pada tahun 1270H bersamaan dengan 1854M di kampung Kuar, Jerlun, Kedah Darul Aman . Beliau adalah anak pertama dari dua orang adik-beradik. Ayahnya di gelar sebagai Umar Khatib kerana ketokohan beliau dalam memberi ucapan dan menyampaikan khutbah dikhalayak ramai.

Pendidikan

Mengenai pendidikannya pula ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Fathani, dan berkesempat belajar kepada pengasasnya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Pertama), tetapi yang lebih banyak beliau belajar ialah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2). Beliau juga dikatakan pernah belajar kepada Tok Wan Din atau nama sebenarnya Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani, kemudian disingkat dengan Syeikh Muhammad Zain saja.

Memperhatikan riwayat ini berertilah Haji Muhammad Sa'id bin Umar adalah seangkatan dengan Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih terkenal sebutan di Kedah dengan Cik Doi @ Cik Dol [Pengasas pondok Gajah Mati Pendang. Ayah kepada Tuan Guru Haji Husein Cik Doi, Pondok Gur Cempedak dan merupakan mertua kepada Tuan Guru Wan Ibrahim atau Pak Chu Him Gajah Mati], Tok Kelaba atau Tuan Guru Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani [1280H/1863M - l367H/1948M), Dato’ Abdullah Musa [1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi. Datuk Abdullah bin Musa pernah menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor dari tahun 1889-1907 M], dan ramai lagi. Selain dari Fathani, Tuan Guru Haji Muhammad Sa'id bin Umar juga melanjutkan pendidikannya di Mekah seperti ulama-ulama lainnya.

Perjalanan Hidupnya

Walaupun berasal dari Kedah, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id telah menjelajah beberapa tempat semasa hayatnya. Beliau berpindah ke Changkat, Krian, Perak dan kemudiannya ke Sungai Acheh sehingga tahun 1312H.

Semasa di Changkat beliau telah membuka pondok dan mengajar di sana. Ketika di Changkat, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id berkahwin dengan isteri pertama beliau bernama Fatimah dan hasil perkongsian itu menghasilkan tiga orang anak iaitu: Haji Mahmud, Haji Muhammad dan Haji Ahmad. Isterinya meninggal dunia dalam usia yang muda.

Kemudian Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id berkahwin pula dengan isteri keduanya Hajjah Rahmah dari Pulau Mertajam dan mendapat empat orang anak iaitu Abdul Hamid, Haji Umar, Sofiah dan Fatimah.
Kemudian, beliau berhijrah ke Kampung Kedah disebab serangan Siam keatas negeri Kedah. Ketika di Kampung Kedah beliau mengajar dipondok dan mengerjakan sawah. Disini juga beliau berkahwin pula dengan isteri yang ketiganya Hajjah Hamidah dan dikurniakan dengan sepuluh orang anak iaitu Haji Mustaffa, Haji Kassim, Cik Hassan, Haji Muhammad Akib, Haji Hussain, Hajjah Asma, Hajjah Mariam, Siti Hajar, Haji Mansor dan Haji Nasir.

Pada suatu hari ketika beliau mengerjakan sawah, perwakilan dari Tengku Mahmud [gambar sebelah] meminta supaya beliau pulang semula ke Kedah. Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id kemudiannya beliau pulang ke Kedah dan diberi sebidang tanah di Kanchut. Beliau diberi jawatan Guru di Raja – mengajar anak anak raja. Selepas itu beliau diberi jawatan sebagai Qadhi di Jitra. Beliau giat menyebarkan risalah Islam dan mengajar di surau dan masjid masjid.

Penulisan

Hanya dua judul karangan Haji Muhammad Sa'id bin Umar Kedah yang telah diketahui.

Judul yang pertama ialah Fatawal Qad-hi fi Ahkam an-Nikah. Judul ini bermaksud Fatwa-Fatwa Kerajaan Kedah Tentang Hukum-Hukum Nikah Kahwin, diselesaikan di Negeri Kedah Darul Aman, hari Khamis, 25 Syaaban 1320 H (bersamaan 27 November 1902M), Kandungannya membicarakan pelbagai aspek tentang nikah kahwin.

Dinyatakan pada muqaddimahnya,
“Ada pun kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun dua puluh, kemudian daripada seribu dan tiga ratus daripada Hijrah (1320 H) telah bertitah akan hamba oleh Sultan yang mu'azzam dan haqqan, yang mukarram, yang me[ng]hamburkan panji-panji keadilan atas segala rakyatnya, iaitu Maulana Sultan Abdul Hamid Halim Syah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Yang Maha Mulia, yang khalifah ia pada melakukan hukum Tuhannya Yang Mannan pada Negeri Kedah Darul Aman.

Qahirah

Telah dikekal oleh Allah Subhanahuwa Ta’ala kiranya akan daulatnya yang qahirah. Dan [di]tinggikan kiranya akan martabatnya di dalam dunia dan akhirat. Dan dipeliharakan kiranya daripada segala seterunya zahir dan batin. Dan dipalingkan kiranya daripadanya kejahatan tiap-tiap yang mempunyai hasad pada sekarang dan ke hadapan ...

Pada akhir karangan dinyatakan,
“Maka telah selesailah barang yang dikashad oleh faqir ilallahil qarib Muhammad Sa'id bin Umar Khatib daripada mentaswidkan Fatawa Kedah pada menyatakan masalah nikah, dan talaq, dan raj'ah, dan diyat, dan hudud, dan qadha, atas jalan ikhtishar pada hari Khamis, dua puluh lima Syaaban di dalam negeri Kedah Darul Aman tahun seribu tiga ratus dua puluh. Serta faqir hantar kepada Tuan Haji Ahmad Hakim bin Tuan Haji Muhammad Zain, dan Tuan Haji Idris bin Tuan Jamal [Tok Syeikh Jarum, Derga], dan Tuan Haji Muhammad Amin bin Tuan Ismail, Anak Bukit, pintak ipa tashhihkan. Maka sudahlah ipa tashhih ... `` Dicetak oleh Mathba' tempat cetak Kerajaan Kedah, Alor Setar, pada 7 Syaban 1348 H.

Judul kedua adalah Tafsir Nur al-Ihsan merupakan terjemah dan tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang lengkap tiga puluh juzuk, ia merupakan yang kedua sesudah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi. Penulisan dilakukan mulai tahun 1344H/1925/6M dan selesai pada 1 Rabiulakhir 1346H/27 September 1927M. Terdiri daripada empat juzuk.

Juzuk yang pertama, mulai surah al-Fatihah hingga surah al-Maidah. Tebal 296 halaman. Juzuk yang kedua, mulai surah al-An'am hingga surah al-Isra'. Tebal 429 halaman. Juzuk yang ketiga, mulai surah al-Kahfi hingga surah az-Zumar. Tebalnya 432 halaman.

Pada juzuk yang ketiga ini ada dinyatakan selesai menulis pada hari Isnin, 27 Zulhijjah 1345H. Juzuk yang keempat, mulai surah al-Mu'min hingga surah an-Nas. Diselesaikan 1 Rabiulakhir 1346H. Tebal 387 halaman.

Pada akhir Tafsir Nur al-Ihsan, Haji Muhammad Sa'id bin Umar menyatakan, “Telah selesailah bi `aunillah wa husnit taufiq daripada mentaswid Tafsir Nur al-Ihsan ini oleh faqir ilallahi Subhanahu wa Ta'ala Sa'id bin Umar al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan(1), pada pagi hari Arba', sehari bulan Rabi'uts Tsani, tahun seribu tiga ratus empat puluh enam, zaman Hadhrat Maulana Al-Mu'azzam Sultan `Abdul Hamid Halim Syah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Negeri Kedah Darul Aman, dan hadhra najal (anak laki-laki, pen:)nya Maulana Al-Mu'azzam Tunku Ibrahim Raihin Banghasa, dan hadhrat syaqiq (saudara laki-laki, pen:) nya Maulana Tunku Mahmud Wais Presiden. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.

Maka barang yang didapati berbetulan itu, maka itu daripada Allah kurnia-Nya. Dan yang khatha' (salah, pen:) atau silap qalam itu daripada hamba taqshirnya, diharap tolong perbetul kemudian daripada im'an an-nazhar. Mudah-mudahan dapat manfaat dan dapat ketahui kehendak Allah dalam al-Quran oleh ahli membaca daripada perempuan, dan kanak-kanak sekolah yang membawa jadi tauhid Allah yang melepas daripada kaum asyqiya' (orang-orang yang celaka, pen:) masuk kepada kaum su'ada' (orang-orang yang bahagia, pen:) yang dapat bahagia selama-lamanya ... ``

Dari kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa penterjemahan dan pentafsiran al-Quran yang dilakukan oleh Haji Muhammad Sa'id bin Umar ada kaitannya dengan pihak istana kerajaan Kedah Darul Aman ketika itu. Semua juzuk cetakan pertama Tafsir Nur al-Ihsan dicetak Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir 1349 H. Dinyatakan hak mencetak tertentu bagi Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, guru agama Alor Setar, Kedah. Cetakan pertama dengan nafqah Haji Muhammad bin Muhammad Ali Rawa.

Kembali ke rahmatuLlah

Pada penghujung usianya, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id masih lagi berkhidmat sebagai qadhi. Ketika itu beliau mengidap penyakit lenguh sebelah badan dan untuk berubat beliau telah dibedah. Selepas itu beliau dibawa pulang kepangkuan isterinya Hajjah Rahmah [isteri kedua] di Jitra. Setelah beberapa hari berada di sana, beliau kembali ke Kanchut, bersama isterinya Hajjah Hamidah [isteri ketiga]. Pada hari Rabu, selepas Asar, 22 Zulkaedah 1350 bersamaan 9 Mac 1932 Haji Muhammad Sa’id kembali ke rahmatuLlah dan jenazahnya disemadikan di kawasan perkuburan di Masjid Alor Merah, Alor Setar. Mudah-mudahan Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id ...... al-Fatihah.

__________________________________________

Nota kaki:-

Yang dimaksudkan dengan al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan , al-Qadhi Syar'iyan ialah

al-Qad-hi Baladan, ialah negeri asalnya ialah Kedah.

asy-Syafi'ie Mazhaban, maksudnya bermazhabkan Mazhab Syafi'ie

an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, iaitu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah. Thariqat Naqsyabandiyah aliran ini dinamakan Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhhariyah. Mungkin juga beliau mengambil baiah thoriqat ini kepada Syeikh Wan Sulaiman, Syeikhul Islam Kedah berdasarkannya …. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.

al-Qadhi Syar'iyan, maksudnya ialah sebagai Kadi Syar'ie di Jitra.


Jumaat, 28 Disember 2007

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 4

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan notakaki oleh: al-Faqir al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab kanzul minan ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun Hikam Abu Madyan dan syarah Tok Syaikh Daud ini juga memerlukan pengupasan dan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)


اَلْحَقُّ مُسْتَبِدُّ الوُجُوْدِ، وَالمَوْجُوْدُ مُسْتَمِدٌّ ، اَلْمَادَّةُ مِنْ عَيْنِ الوُجُوْدِ، فَلَوِانْقَطَعَتِ المَادَّةُ لاَنْهَدَمَ الوُجُوْد

Yakni bermula Haq Subhanahuwa Ta’ala itu yang asing sendiri adanya dan ada segala kainat ini limpah pertolong daripada demikian adanya. Dan pertolongNya itu daripada demikian ‘ain adanya. Maka jikalau putus pertolonganNya nescaya binasalah segala maujud kainat ini dan hilanglah dan fana’lah dan tiada tinggal suatu. Maka kerana bahwasanya segala perkara ini sekeliannya keluarlah daripadaNya dan limpah kurniaNya seperti firman Allah Ta’ala:

وَلَوْلاَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَا مِنكُمْ مِّنْ أَحَدٍ أَبَداً وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَآءُ

Dan jikalau tiada kurnia Allah atas kamu dan rahmatNya tiada suci daripada kamu seorang selama-lamanya, dan betapa Allah Subhanahuwa Ta’ala yang menyucikan orang yang dikehendakiNya [Surah an-Nur: 21]

(Kata) Ahlul ma’rifah, bahwasanya tajalli Haq Subhanahuwa Ta’ala atas segala hati itu selama-lamanya tiada yang menegahkan daripada nyata nur tajalliNya itu melainkan sebab membimbang segala hati itu dengan segala yang lain daripadaNYA. Maka kerana inilah disuruh kita membanyakkan dhikir لااله الا الله pada permulaannya kerana adalah ia yang menyapu bagi segala aghyar yang pada hati.

(Maka) apabila hilanglah segala aghyar nescaya didapatnya dengan Tuhannya dan yang terlebih elok perkataan yang dikata itu. (Kata) setengah iaitu engkau hadhir pada hadrat yakni Tuhanmu, mudah-mudahan syairku, adakah Engkau ketahui. Bahwasanya kalim [yang dilukai] itu hadhir padamu, maka apa sebab bagi lukamu tiada sembuh.

(Maka adalah) Haq Subhanahuwa Ta’ala itu tiada ghaib dan sungguhnya yang ghaib itu engkau daripadaNya(1), kerana bimbang kamu dengan yang lain. Maka hadhir olehmu akan hatimu nescaya jadilah bahwasanya seumpama kamu melihat akan DIA. Ialah Maqam Ihsan yang disebut pada hadits iaitu: Bahwa engkau sembah akan Tuhanmu seperti melihat akan DIA. Maka jika tiada kamu lihat akan DIA, maka bahwasaya [D]IA melihat akan dikau.

Dan di sini hikmah yang bangsa zauqiah iaitu sabdanya: Jikalau tiada ada kamu, yakni jika fana’mu daripada dirimu, melihat kamu akan DIA. Artinya bahwasanya telah tahqiqlah kamu dengan maqam fana’ dan tercapailah dengan maqam syuhud, iaitu melihat dengan matahati, yang iaitu jadilah ia pada akhirat penglihat mata kepala.

Kata Syaikh رضي الله عنه …. bersambung


[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M]

_______________________________________________

Notakaki:-

(1) Tersebut didalam Syarah Hikam Ibn Athoillah oleh Tok Pulau Manis radhiyallahu 'anhu:
Al-Haq Subhawanahuwa Ta'ala dalam sempurna sifatNya itu tiada [D]ia mahjub [terdinding] dan hanyasanya yang mahjub itu engkau daripada menilik kepadaNya kerana penuh hatimu daripada dukhan [lihat keterangan dibawah] al-syahwat (دخان الشهوات) dan buta matahatimu daripada segala ‘aib dan segala cemar dosa.

(Maka) adalah hijab itu dua perkara, suatu [pertama] hijab [dari jenis] mata kepala dan kedua hijab matahati, maka hijab mata kepala [mata yang dzahir] itu iaitu ‘aib mu yang asli yang ia sifat kekurangan dan fana’ [akan binasa] dan tiada melihat baginya dalam akhirat, maka tiadalah melihat bagi mata itu melainkan disana seperti sabda Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bahawasanya kamu itu tiada melihat kamu kepada Tuhan kamu hingga mati kamu (Dan) hijab matahati itu iaitu ‘aib mu yang mendatang, apabila hilang ia nescaya terbuka bagimu hakikat maka engkau lihat akan hakikat itu dengan ‘ain. (Dan) adapun hijab dalam Haq Allah Subhanahuwa Ta'ala itu, maka iaitu mustahil, tiada tasawwur [tiada terupa, tergambar].


Tambahan dari al-Faqir Abu Zahrah: Dukhan asy-Syahawaat adalah merupakan asap keinginan-keinginan. Wujudnya keinginan-keinginan ini adalah kerana melihat seseorang itu kepada selain Allah. Dan bagi para arifbillah, melihat serta menginginkan kepada sesuatu yang selainNYA adalah suatu dosa.

Imam Ibnu Athoillah radhiyallahu 'anhu telah membuat perumpamaan bagaimana dosa dan ma’siat yang berpunca dari tebal dan kelamnya asap syahwat [keinginan] nafsu itu boleh mengelapkan, membuta dan mematikan hati didalam kitab Tajul ‘Arus al-Hawi li Tahzibun Nufus:

وإذا وقع من العبد ذنب وقع معه ظلمة، فمثال المعصية كالنار، والظمة دخانها، كمن أوقد في بيت نارا سبعين سنة ألا تراه يسود؟ فكذلك القلب يسود بالمعصية، فلا يطهر إلا بالتوبة إلى الله، فصار الذل والظلمة والحجاب مقارنة للمعصية، فإذ تبت إلى الله زالت آثار الذنوب

Diterjemahkan ianya oleh Shaikh Utsman al-Funtiani bin Shaikh Shihabuddin al-Banjari rahimahullah: “Syahdan, apabila memperbuat seorang daripada hamba Allah, dosa dan ma’siat maka jatuh sertanya gelap pada hatinya maka mitsal ma’siat itu seperti api dan gelap itu seperti asapnya. Seperti seorang menyalakan api didalam rumahnya tujuh puluh (70) tahun lamanya, adakah tiada tiada hitam rumah itu oleh asapnya? Seperti demikianlah memperbuat ma’siat seorang, jadi hitam hatinya maka tiada bersih hati yang hitam itu melainkan dengan taubat kepada Allah Ta’ala, maka jadilah hina dan gelap dan hijab bersama-sama bagi memperbuat ma’siat. Apabila taubat engkau kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sempurna syaratnya nescaya hilang bekas dosa yang hitam pada hati itu.

Dalam surah al-Muthaffifin ayat 14, Allah سبحانه وتعالى berfirman maksudnya: “Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya). Bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan ma’siat) yang mereka kerjakan”

Apakah itu الرين ?
Telah meriwayatkan Ibnu Jarir, at-Tirmidzi, an-Nasai dan Ibnu Majah melalui pelbagai turuq (jalan riwayat) dari Muhamad ibnu Ajlaan dari al-Qa’qa’ bin Hakiim dari Abu Soleh daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu dari Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, baginda bersabda (maksudnya):

إن العبد إذا أذنب ذنباً، كانت نكتة سوداء في قلبه، فإن تاب منها، صقل قلبه، وإن زاد زادت، فذلك قول الله تعالى: { كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَّا كَانُواْ يَكْسِبُونَ}وقال الترمذي: حسن صحيح، ولفظ النسائي: إن العبد إذا أخطأ خطيئة، نكت في قلبه نكتة سوداء، فإن هو نزع واستغفر، وتاب، صقل قلبه، فإن عاد، زيد فيها حتى تعلو قلبه، فهو الران الذي قال الله تعالى: { كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَّا كَانُواْ يَكْسِبُونَ}

Sesungguhnya seorang hamba itu, bila melakukan dosa, maka terjadilah titk hitam dihatinya, maka bila ia bertaubat darinya, hatinya kembali berkilat, dan bila ia menambah dosanya, tambah pulalah titik hitam itu. Yang demikian itu disebut oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya, “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” [Kata at-Tirmidzi, hadits ini hasan shahih] – tafsir ibnu katsir

Dan menurut lafaz an-Nasai, maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba itu apabila membuat suatu kesalahan (dosa) maka terteralah pada hatinya dengan satu titik hitam, dan bila ia berhenti dan memohon ampun kepada Allah dan bertaubat, maka hatinya kembali berkilat. Dan sanya jika dia kembali melakukan dosa, maka titik hitam itu kembali menutupi hatinya, sehingga titik hitam itu menutupi keseluruhan hatinya (jika ia berterusan melakukan dosa). Itulah maksud ar-Ran yang telah disebut Allah Ta’ala (didalam firmannya bermaksud): “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” – tafsir ibnu katsir

Dan telah berkata Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Sofwan bin ‘Isa, telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu ‘Ajlaan daripada al-Qa’qa’ bin Hakiim dari Abu Soleh daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu , dia berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam:

وقال أحمد: حدثنا صفوان بن عيسى، أخبرنا ابن عجلان عن القعقاع بن حكيم عن أبي صالح عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " إن المؤمن إذا أذنب، كانت نكتة سوداء في قلبه، فإن تاب ونزع واستغفر، صقل قلبه، فإن زاد زادت حتى تعلو قلبه، وذاك الران الذي ذكر الله في القرآن: { كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَّا كَانُواْ يَكْسِبُونَ }
وقال الحسن البصري: هو الذنب على الذنب حتى يعمى القلب فيموت
Maksudnya: Sesungguhnya seorang mu’min itu apabila melakukan perbuatan dosa, terteralah titik hitam pada hatinya, dan jika ia bertaubat dan dan bila ia berhenti dan memohon ampun kepada Allah dan bertaubat, maka hatinya berkilat. Dan sanya jika dia kembali melakukan dosa, maka titik hitam itu kembali menutupi hatinya, sehingga titik hitam itu menutupi keseluruhan hatinya (jika ia berterusan melakukan dosa). Dan itulah maksud ar-Ran yang telah disebut Allah dalam al-Quran (didalam firmannya bermaksud): “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” – tafsir ibnu katsir

Dan Hasan al-Basri radhiyallahu 'anhu mengatakan bahawa yang dimaksudkan الران adalah dosa di atas dosa sehingga hati menjadi buta tidak nampak kebenaran lagi, kerana ditutup oleh titik-titik hitam itu, sampai hati itu menjadi mati.

Menurut Imam Ghazali radhiyallahu 'anhu, apabila karat dan kekotoran telah menebal dihati, maka ia bertukar menjadi tabiat. Keadaan ini samalah seperti kotoran yang melekat dicermin. az-Zujaj mengatakan bahawa ‘rana’ berarti karat. Oleh itu hatinya berkarat sebagaimana langit ditutupi oleh mendung yang tipis.

Manakala Abu Ubaidah berkata, hatinya dipenuhi dengan dosa. Al-Farra’ pula mengatakan bahawa mereka banyak melakukan ma’siat dan dosa sehingga hatinya dipenuhi dengan noda dosa yang dinyatakan oleh al-Quran dengan nama rayn.

Kerana itu para shufi mengatakan bahwa:

لَدْغُ الزَّنَابِيْرِ عَلى الأَجْسَامِ المُقْرَحَةِ أَيْسَرٌ مِنْ لَدْغِ الشَّهَوَاتِ عَلى القُلُوْبِ المُتَوَجِّهَةِ

Maksudnya: Sengatan oleh beberapa ekor tebuan atas tubuh yang luka itu terlebih ringan dari sengatan syahwat-syahwat atas hati orang–orang yang menghadapkan dirinya kepada Allah.
Dan sesungguhnya hijabnya seorang hamba dari yang ghaib (yakni ALLAH) disebabkan oleh keaiban yang ada padanya daripada segala dosa dan waham.

Dzun Nun al-Misri radhiyallahu 'anhu pernah ditanya padanya menganai hijab yang paling halus
(ما أخفى الحجاب و أشدة؟) Maka beliau menjawab (رؤية النفس وتدبيرها), melihat diri dan mengaturnya.

والله نعالى أعلى و أعلم

Khamis, 27 Disember 2007

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 34 – 36

Penyakit Ketigapuluh Empat : Mengikut tuntutan hawa nafsu dan sentiasa menuruti kehendak dan keinginannya.

Rawatannya: Ialah menurut perintah Allah sepertimana firmanNya:
…..وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى
Maksudnya: “…….. serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. (Surah an-Naazi’aat:40)

FirmanNya lagi,
…..إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ…..
Maksudnya: “….. sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan ….” (Surah Yusuf:53)

Muthir ad-Daari berkata: “Memahat bukit batu dengan jari-jejari adalah lebih ringan daripada kegelinciran yang dilakukan oleh nafsu apabila ia dapat menguasai jiwa”.(1)

Penyakit Ketigapuluh Lima: Keinginan yang berlebihan untuk sentiasa bersama teman serta berdampingan dengan teman dan saudara-mara.

Rawatannya: Ialah dengan memahami serta sentiasa sedar bahawa setiap hubungan dan pergaulan itu pasti ada penghujungnya. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hadits:

روي عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال له جبريل عليه السلام عش ما شئت فإنك ميت وأحبب ما شئت فإنك مفارقه واعمل ما شئت فإنك مجزي عليه

Maksudnya: diriwayatkan dari Nabi صلى الله عليه وسلم bahwasanya telah berkata Jibril kepada baginda “Hayatilah kehidupan ini sekehendak hatimu kerana sesungguhnya kamu akan mati. Kasihilah sesiapa yang kamu kehendaki kerana kamu akan berpisah dengan mereka. Beramallah kamu kerana ia akan diberi ganjaran. [Diriwayatkan oleh as-Sayuthi di dalam al-Jami’ al-Kabir, 1/600; al-Baihaqi di dalam Syu’ab daripada Jabir رضي الله عنه; ad-Dailami di dalam al-Firdaus daripada ‘Ali رضي الله عنه; Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah]

Abu al-Qasim al-Hakiim berkata: “Sahabat handai itu adalah musuh kecuali berhati suci dan usaha mengumpulkan harta itu pula akan menimbulkan kekecewaan kecuali apabila ia berpaling daripadanya. Serta pergaulan yang tidak terbatas itu akan melahirkan kecelaruan.”


Penyakit Ketigapuluh Enam: Berpuas hati dan merasa berkecukupan terhadap setiap amal ketaatan yang dilakukan serta menganggap ianya tidak mempunyai kekurangan dan kecacatan.

Rawatannya: Ialah ia perlu menyedari bahawa, sehebat mana sekalipun sesuatu amal yang dilakukan itu, ia pasti mempunyai kekurangan. Hal ini adalah kerana tindak-tanduk dan perbuatan manusia itu sendiri sentiasa dipengaruhi oleh unsur-unsur kekurangan serta kelemahan. Oleh itu perlulah seseorang itu memahami serta bermuhasabah bahawa setiap amalnya tidak terlepas daripada kekurangan dan kecacatan.


Notakaki:-

(1) Kata-kata ahli tasauf :
لَدْغُ الزَّنَابِيْرِ عَلى الأَجْسَامِ المُقْرَحَةِ أَيْسَرٌ مِنْ لَدْغِ الشَّهَوَاتِ عَلى القُلُوْبِ المُتَوَجِّهَةِ
Maksudnya (lebihkurang): Sengatan oleh beberapa ekor tebuan atas tubuh yang luka itu terlebih ringan dari sengatan syahwat-syahwat atas hati orang–orang yang menghadapkan dirinya kepada Allah.

Telah berkata asy-Syaikh Abu Hasan asy-Shadhuli: Sukatlah nafsumu dan timbangkannya dengan solat. Jika solatmu itu menegahkan engkau daripada sesuatu yang disukai oleh nafsu, maka ketahuilah bahawa engkau adalah seorang yang beruntung. Dan jika ia tidak menegahmu daripada kesukaan nafsu, maka hendaklah engkau menangisi keadaan dirimu. Apabila engkau terpaksa mengheret dengan kuat kakimu untuk pergi bersolat, hendaklah engkau ingat – adakah seorang kekasih itu tiada ingin berjumpa dengan Kekasihnya?

Sebuah kisah untuk renungan:-
PADA suatu ketika, ada seorang lelaki datang menghadap Ibrahim bin Adham, seraya berkata: “Wahai Abu Ishaq! (panggilan Ibrahim bin Adham), aku ialah orang yang lupa diri. Oleh itu, berilah aku sesuatu yang dapat mencegah serta menyelamatkan hatiku daripada kecuaian!”

Ibrahim menjawab: “Jika kamu mahu menerima lima hal serta mampu melaksanakannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi.”

Lelaki itu berkata: “Tolong sampaikan hal itu kepadaku, wahai Abu Ishaq." Ibrahim kemudian berkata: “Pertama apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, janganlah kamu memakan rezekinya."

Pemuda itu kemudian bertanya lagi: “Lalu dari mana aku makan, bukankah semua yang ada di bumi ini adalah rezeki pemberian-Nya.” Ibrahim menjelaskan: “Begini, wajarkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu masih selalu menderhaka kepada-Nya?"

Lelaki itu berkata: “Sekarang tolong beritahukan yang (hal) kedua." Ibrahim berkata: “Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepada-Nya, jangan sampai kamu menginjak bumi-Nya.” Ujar lelaki itu: “Perkara ini mungkin lebih berat daripada perkara pertama. Segala sesuatu yang ada, bermula dari belahan timur sampai barat adalah sesuatu milik-Nya, lalu di mana aku akan tinggal?"

Ibrahim berkata: “Begini, wajarkah engkau memakan rezeki-Nya dan tinggal di wilayah-Nya, sedang kamu masih menderhakaiNya?" Lantas lelaki itu menjawab: “Tidak, sekarang tolong sebutnya yang ketiga!"

Ibrahim berkata lagi: “Jika kamu hendak melakukan sesuatu kemaksiatan, sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayah-Nya, sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui oleh-Nya, kemudian di tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat." Lelaki itu semakin bingung dan kemudian berkata: “Wahai Ibrahim! Bagaimana hal ini dapatku lakukan. Dia selalu mengetahui apa saja yang dirahsiakan?"

Ibrahim meneruskan hujahnya: “Wajarkah kamu memakan rezeki-Nya dan berada di wilayah-Nya, sedangkan kamu masih derhaka kepada-Nya dan Dia selalu mengawasi segala gerak-gerimu?"Pemuda itu segera menjawab: “Tidak, sekarang cuba sebutkan yang keempat!"

Ibrahim berkata: “Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu, cuba mintalah kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah." Jawab lelaki itu: “Mustahil dia mahu menerima permohonan itu.”

Tanya Ibrahim: “Kamu tidak mungkin mampu menolak kematian hingga kamu dapat bertaubat dan di sini kamu dapat mengetahui bahawa malaikat pencabut nyawa mustahil memberi tempoh kepadamu, lalu bagaimana mungkin kamu akan mendapatkan sebuah jalan untuk menyelamatkan diri?" Lelaki itu seterusnya berkata : “Sekarang cuba tolong sebutkan yang kelima."

Ibrahim berkata: “Jika pada hari kiamat nanti, malaikat Zabaniyah datang kepadamu untuk membawamu ke neraka, usahakan untuk menolaknya."Jawab lelaki itu: "Mereka tidak mungkin bersedia meninggalkanku begitu saja, walaupun aku kemukakan pelbagai alasan."

Ibrahim bertanya lagi: “Jika demikian, bagaimana mungkin kamu akan mengharapkan suatu keselamatan?" Kata lelaki itu berkata: "Wahai Ibrahim! cukup, cukup! Sekarang aku akan memohon ampun dan taubat kepada-Nya.”

Selepas peristiwa itu, lelaki itu tekun beribadat hingga akhir hayatnya.

Ulangtahun Ke-3 Peristiwa Tsunami





Tanggal 26 Disember 2007 merupakan ulangtahun ke-3 peristiwa TSUNAMI. Peristiwa ini berlaku pada 26 Disember 2004 bersamaan 14 Dzulqaedah 1425H. Suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Satu tragedi yang tersangat dahsyat. Dengan gegaran sekuat 9.3 pada skala ritcher, kemusnahan berlaku dalam sekelip mata. Gegaran dibawah laut ini menghasilkan gelombang ombak yang menggunung tinggi. Dan dalam sekelipmata ia menggulung menyapu bersih apa yang ada dihadapannya. Kota dan desa menjadi padang jarak padang tekukur seketika itu juga.







Jalanraya yang sebelumnya bertaliarus dengan kenderaan tiba-tiba bertukar menjadi aliran sungai yang tersangat deras arusnya, menghanyut dan menenggelamkan segala sesuatu. Dalam sekelip mata itu juga segala sesuatu yang menjadi kecintaan manusia berupa anak-isteri, harta-benda, rumah-mahligai, binatang ternakan, sawah ladang ditelan bumi ataupun gelombang ombak. Manusia pada ketika itu memikirkan keselamatan dirinya, terlupa pada isteri, anak, rumah, emas permata …. yang tergambar difikiran adalah bagaimana mahu menyelamatkan diri sendiri.


Setelahnya kita melihat mayat bergelimpangan, kota metropolitan menjadi sebuah tanah lapang, anak menangisi kehilangan ibuayah, ibuayah menangisi kehilangan anak tercinta. Ribuan yang menjadi yatim piatu, yang menjadi janda dan duda. Manusia tinggal sehelai sepinggang. Suasana sepi dari hiruk-pikuk, yang terdengar hanyalah ratapan dan tangisan ………… Segala-galanya musnah. Allahu Allah. Sesungguhnya DIA berkuasa diatas segala sesuatu. DIA berbuat sebagaimana yang dikehendakiNYA. Dan apa yang berlaku itu tiadalah sia-sia, melainkan tersurat dan tersirat padanya 1001 hikmah dan pengajaran. Hikmah serta pengajaran yang perlu dicungkil dan renungi.



Bagi mereka yang mempunyai mata hati, peristiwa tsunami dilihat dengan penuh pengajaran, penuh keinsafan. Ianya membuktikan betapa kerdil serta dhoifnya manusia dan teknologi bikinannya. Kehendak dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa mengatasi segala-galanya. Mahu tidak mahu, manusia perlu pasrah kepada ketentuanNYA. Sesungguhnya peristiwa tsunami tersangat-sangat kecil kalau mahu dibandingkan dengan peristiwa qiamat yang akan berlaku nanti, namun cukup untuk menjadi gambaran yang boleh diambil pengajaran.

Ketahuilah, bahwa sesungguhnya gempa atau gegaran atau goncangan hari Qiamat itu terlebih dahsyat. Bukalah lembaran al-Quran, disana kalian dapat perhatikan firman Allah mengenai goncangan Qiamat. Antaranya:

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [Surah al-Zalzalah: 1 – 8]

Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari qiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. [Surah al-Hajj: 1 – 2]

Apabila berlaku hari qiamat itu, Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari qiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran [Surah al-Waqiah: 1 – 6]

Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? - (Hari itu ialah: hari qiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. [Surah al-Qaariah: 1 – 5]

Apabila langit terbelah; Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; Dan apabila lautan pecah bercampur-baur; Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, - (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. [Surah al-Infitaar: 1 – 5]

Semoga tsunami mencetuskan pengajaran dan keinsafan kepada kita untuk mentauhidkan Allah dan mentaati segala titah perintahNYA.


Rabu, 26 Disember 2007

Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan - 1

Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan
(Siri – 1)

Transliterasi Kitab Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi oleh: al-Faqir al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan di dalam transliterasi ini mohon dimaafkan. Segala pembetulan, teguran serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam ini. Janganlah dibaca sendirian tanpa merujuk kepada guru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Kitab ini ditransliterasi berdasarkan kepada kitab Risalah Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan oleh al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 2006M/1427H. Sekian.)


Pengenalan

Kitab Risalah al-Wali ar-Raslan adalah sebuah kitab berbahasa arab karangan Syaikh Raslan ibn Ya’qub ibn Abdurrahman ibn Abdullah ad-Dimasyqi. Nasabnya bersambung dengan seorang shahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم iaitu Sayyiduna Jabir bin ‘Abdullah al-Anshori رضي الله عنه. Beliau adalah seorang ulama bermazhab Syafie. Perkataan Raslan adalah berasal dari perkataan Turki ‘Arsalan’ yang bermaksud singa iaitu melambangkan keberanian. Syaikh Raslan berkerja sebagai seorang pedagang kayu di Damsyiq. Ma’ruf sebagai seorang ahli ‘ibadah dan seorang yang dikurniakan berbagai karamah. Beliau juga seorang penyair yang hebat. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani menyebut didalam kitabnya Jami’ Karamaatil Auliya’: Beliau merupakan salah seorang daripada rijal yang unggul, imam ahli ‘arifin, khawas para wali dan insan pilihan dari kalangan insan-insan pilihan Allah. Beliau ditarbiah oleh gurunya iaitu Syaikh Abu ‘Aamir al-Muaddib. Syaikh Raslan wafat pada tahun 541H, ada ada pendapat lain pada 560H (menurut Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani) di Damsyiq.

Untuk pengetahuan, Syaikh Raslan ini bukannya Ibn Ruslan pengarang kitab matan zubad. Pengarang matan zubad adalah Abu Abbas Ahmad bin Hussein bin Arsalan ar-Ramli. Beliau wafat pada tahun 841H di Baitulmaqdis dan dikebumikan disana. [Jami’ Karamaatil Auliya’]

Kitab Risalah al-Wali ar-Raslan ini telah disyarahkan oleh seorang ulama yang faqih lagi shufi bernama Syaikh Abu Yahya Zakaria ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Zakaria al-Anshari al-Misri. Kitab syarah ini diberi nama Fath ar-Rahman. Syaikh Zakaria al-Anshari dilahirkan pada tahun 823H di Sanikah, Syarqiyah Mesir dan wafat pada tahun 926H. Beliau merupakan ulama besar di dalam mazhab Syafie dan digelar Syaikhul Islam. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani menyebutkan bahwa beliau adalah Syaikhul Islam, salah seorang ketua ulama ‘amilin, auliya ‘arifin dan ulama besar yang menjadi pegangan umat Islam dalam ilmu fiqh dan tasawuf.

Beliau menulis:
“…..Adapun kemudian daripada itu, maka bahwasanya ilmu tauhid itu terlebih mulia daripada segala ilmu. Diantara kitab karangan paling mulia yang menyentuh mengenainya ialah ar-Risalah ar-Raslaniyah karangan ‘arifbilLahi Ta’ala Syaikh Raslan yang berasal dari Damsyiq. Semoga Allah Ta’ala memperelokkan quburnya dan menjadikan syurga akan tempat kembalinya

Seterusnya kitab Fath ar-Rahman ini disyarahkan pula oleh Syaikh ‘Ali ibn ‘Atiyyah ‘Alawaan al-Hamawi.

Selain itu kitab Risalah at-Tauhid Shaikh Raslan juga disyarahkan oleh Syaikh Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi di dalam kitabnya Khamratul Haan wa Rannatul Alhaan.

Adapun dialam Melayu, kitab ini lebih dikenali dengan nama kitab Hikam Ibn Raslan. Kitab ini adalah diantara salah sebuah kitab hikam yang tersohor di Alam Melayu selain dari kitab Hikam Ibn Athoillah yang diterjemah dari bahasa arab ke bahasa melayu dan diberi syarah oleh Tok Pulau Manis[1]. Sebuah lagi adalah dan juga Hikam Abu Madyan yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni. Menurut Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, kitab hikam ini juga disalin oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni dan juga disyarahkan oleh al-‘Arifbillah Syaikh Yusuf Tajul Khalwati. Namun keduanya masih didalam bentuk manuskrip.

Mengenai penterjemah kitab ini iaitu al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdulah al-Banjari, akan kami paparkan biografinya sedikit masa lagi. InsyaAllah.



Notakaki:-

(1) Menurut Tuan Guru Syaikh Haji Wan Muhammad Shagir, kitab hikam Ibn Athoillah ini juga ada disyarahkan oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni dan ianya di dalam bentuk manuskrip.

al-Fanshuri kembali ……. (2)

2 minggu pertama di INTIM
Sewaktu di INTIM, setiap peserta daurah ditempatkan dii bilik asrama yang selesa. 4 perserta satu bilik. Bilik lengkap dengan penghawa dingin, katil dua tingkat dan kamar mandi. Antara kemudahan lain adalah masjidnya berhawa dingin, dewan kuliahnya yang berhawa dingin dan dewan makan yang luas. Makanan yang disajikan pula sungguh enak. Perut sentiasa kenyang :). Sangat selesa, alhamdulillah.Cuma bagi aku [pendapat peribadi sajalah!] agak kurang sesuai untuk pengajian kitab secara talaqqi kerana tiada suasana pengajian atau suasana pondok. Suasana disini mengingatkan aku pada ketika menghadhir seminar-seminar atau kursus-kursus di hotel-hotel atau dipusat-pusat latihan pada suatu ketika dahulu. Lagipun tiada ulama tempatan yang dapat diziarahi pada waktu-waktu lapang. Rugi juga …. Jadi waktu lapang dihabiskan dengan ngorok sajalah … hehehe … aku sajalah yang lagu tuuu agaknyaaaa….

Alhamdulillah, di INTIM kami dapat khatam kitab Makanatul ilmi wal ulama dan juga Zubdah.

Ma’ahad Tahfiz Repek, Pasir Mas, Kelantan. Sepatutnya diadakan di Pondok Lubuk Tapah, tetapi disebabkan Tuan Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah (gambar sebelah) gering dan dimasukkan ke hospital maka dipindahkan ke Ma’ahad Tahfiz Repek.

5 Disember 2007, 3 buah bas rombongan peserta daurah bertolak dari Ipoh ke Kelantan. Alhamdulillah perjalanan kami lancar. Aku sangat teruja kerana sudah 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke Kelantan. Seingat aku, kali terakhir aku kesana adalah pada tahun 1987.

Semasa di Ma’had Tahfiz Repek kami ditempatkan di asrama pelajar. 4 orang sebilik. Hatiku amat terharu bila mendapat tahu bahwa pelajar-pelajar di sini terpaksa tidur di surau lama semata-mata untuk memberi keselesaan kepada kami. Aku menjadi sebak bila berbual dengan seorang pelajar tahfiz tersebut. Ekoran dari itu aku mengambil keputusan untuk tidur saja di surau baru (separuh siap, masih dalam pembinaan) tempat kami mengadakan daurah. Alhamdulillah, walaupun open air, cuaca yang dingin kerana setiap hari hujan, ditemani nyamuk dan diiringi dengan alunan zikir sang kodok namun aku rasa puas dan selesa.

Semasa disini aku mengambil kesempatan untuk melawat bandar Kota Bahru, bersholat Jum’at di Masjid Muhammadi. MasyaAllah …. Sungguh jauh berbeza dari Kelantan yang aku ziarahi 20 tahun yang lalu. Aku juga mengambil kesempatan melawat Tuan Guru Menteri Besar, Kelantan, sholat ‘asar bersama beliau. Tok Guru kelihatan agar uzur semasa aku mengunjunginya. Selain itu aku sempat berbual panjang dengan Ustaz Nik Abduh, anak Tok Guru. Alhamdulillah. Selain itu, sempat juga aku membeli beberapa buah kitab di Ja’far Rawas sebagai kenangan.

Sepanjang di Kelantan, aku sungguh ceria, cuma agak terkilan kerana tidak dapat menziarahi Tuan Guru Lubuk Tapah di hospital kerana pada hari aku mau kesana, KB dinaiki banjir. (pasar Khadijah ditutup, kawasan Masjid Muhammadi juga dinaiki air). Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumboh juga tidak sempat ketemu kerana beliau berehat dan keuzuran. Maqam Tok Kenali juga tidak sempat kulawati kerana kesuntukan masa. Insyaallah, aku berazam untuk kembali kesini untuk melawat beberapa orang ulama dan maqam ulama disana. Semoga hajatku ini segera dimaqbulkan. Kami bermuqim di Repek sehingga 12 Disember 2007.

Madrasah ar-Rahmaniah @ Pondok Tuan Guru Hj Salleh
13 Disember 2007, rombongan daurah kami bergerak menuju ke destinasi terakhir program daurah iaitu di Pondok Tuan Guru Haji Salleh, Sik, Kedah. Sebuah pondok yang usianya sudah mencecah 50 tahun. Kami sampai di Sik pada waktu shubuh. Setibanya di Sik, kami berhenti menunaikan sholah shubuh di Masjid Sik. Selepas sholat kami bertolak menuju ke Pondok yang tidak jauh di masjid tersebut. Ketika rombongan kami sampai al-Fadhil Tuan Guru Hj Salleh sedang mengajar kitab I’anatut tholibin di suraunya. Setelah selesai mengajar Tuan Guru menjemput kami ke rumah beliau yang berhampiran untuk meraikan ketibaan kami dan memberi sedikit taklimat dan nasihat kepada kami. MasyaAllah …. nasihatnya kepada kami, penuntut ilmu bagaikan mutiara yang berguguran. Inilah kali pertama aku bertemu dengan Tok Guru. Sayangnya aku tidak mencatat segala pesanannya. Inilah kelemahanku.

Setelah itu kami dibawa ke tempat penginapan. Semua peserta ditempatkan di tingkat atas surau. Aku telah diberikan sebuah rumah [sedikit istimewa kerana mengiringi Shaikh Nuruddin dan menguruskan peserta daurah … hehehe], namun dek kerana jauh dari surau maka aku mengambil keputusan untuk tinggal di surau juga. Alhamdulillah diberikan sebuah bilik di surau tersebut. Dan aku jadikannya sebagai bilik urusetia dan menyimpan kitab-kitab untuk jualan yang kami bawa bersama. Alhamdulillah selesa!

Pada keesokkan harinya, hari Jum’at, surau ini dipenuhi dengan para penuntut ilmu, tua, muda, lelaki dan wanita memenuhi surai besar ini. Tuan Guru mengajar kitab. Alhamdulilah, aku dapat mengambil faedah dari pengajian Tuan Guru. Semasa disini sempatlah mengikuti pengajian oleh Tuan Guru. Antara kitab yang di baca adalah I’anatut Tholibin, Faridah dan Umm Barahin. Tuan Guru Haji Salleh memang terkenal sebagai seorang ulama yang mahir dengan ilmu tauhid dan kebanyakkan kitab yang beliau ajarkan adalah kitab-kitab berkaitan dengan ilmu tauhid. Bahkan Wa Mat Teluk Malek pun kata kalau nak ngaji kitab tauhid pi ngaji dengan Tok Guru Hj Salleh Sik.

Sepanjang di Sik, hati aku sangat terhibur dengan suasana pondoknya. Masih kekal beberapa buah pondok lama. Menurut Tok Guru, pondok ini sudah berusia 50 tahun. Yang paling menggembirakan aku apabila berpeluang bertemu dan berbual dengan Tok Guru. Dan alhamdulillah aku dan al-Fadhil Ustaz Muhadir telah mengambil kesempatan membaca kitab Penawar Bagi Hati dihadapan Tuan Guru dan beliau telah sudi mengijazah sanad kitab Penawar Bagi Hati yang beliau terima daripada penulis kitab tersebut, yang juga merupakan gurunya iaitu Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib al-Mandili rahimahullah (gambar disebelah). Selain itu aku dan Ustaz Muhadhir juga mengambil kesempatan membaca Matan Arbain an-Nawawiah kepada Tuan Guru dan diijazahkan oleh Tok Guru dengan sanad yang beliau perolehi dari gurunya Syaikh Abdul Qadir al-Mandili dan Syaikh Yasin al-Fadani rahimahumallah (gambar diatas). Suatu anugerah Allah kepada aku yang faqir lagi haqir ini. Dan inilah yang dipesankan oleh guruku yang mulia Syaikh Nuruddin hafidzohullah, iaitu apabila bertemu dengan ulama, minta izin untuk membaca hadits atau kitab dihadapan mereka. Alhamdulillah, aku dapat melaksanakan pesanan guruku Dan kenangan yang paling berharga apabila Tuan Guru sudi mendoakan kami secara khusus. Semoga doa Tuan Guru untuk kami ini, dimaqbulkan ALLAH. Ameen!

Ketika di pondok yang penuh berkat inilah, Shaikh Nur telah mengkhatamkan pengajian kitab Mukhtasor Ibn Abi Jamrah. Beliau sungguh gembira kerana kitab berjaya dikhatamkan juga. Alhamdulillah. Program daurah kami berakhir setelah sholat eidul adha. Dimana sesudah mengerjakan sholat sunat eidul adha dan menikmati hidangan pagi, guru kami yang mulia, Syaikh Nuruddin bermurah hati untuk membacakan beberapa buah hadits musalsal daripada kitab hadits musalasal beliau. Alhamdulillah, bonus buat peserta daurah. Suatu keberkatan yang aku dapati di pondok ini. Setelah maka kami telah dijemput untuk menikmati hidangan makan tengahari. Makan daging korban. Dan setelah sholat dhuhur maka peserta mula bersurai. Syukur kepada Allah yang telah memilih kami untuk menyertai daurah ini. Semoga apa saja ilmu dan pengajaran yang kami terima disepanjang daurah ini dapat kami amalkan dan sebarkan.

Demikianlah serba sedikit pengalaman aku semasa menyertai daurah. Sesungguhnya pelbagai lagi pengalaman yang dialami disepanjang daurah … cumanya aku ni tak pandai nak mengolah bahasa menceritakannya dan ada yang sampai tak tercerita ….. Mohon maaf diatas bahasaku yang caca marba!

Dalam kesempatan ini aku ingin mengucapkan jazakumullah khair al-jaza’, teristimewa buat guruku yang mulia, Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki yang sanggup berpenat lelah mengajar dan mendidik kami. Juga buat Ustaz Aminuddin dan Ustaz Ahmad. Jazakumullah khair al-jaza’

Dan akhirkata aku juga ingin mengucapkan TAHNIAH kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program daurah ini seperti Jabatan Agama Negeri Perak, Pejabat Mufti Negeri Perak, INTIM, Ma’had Tahfiz Repek, Madrasah Rahmaniah Sik, Ustaz Kasuri, Ustaz Kamaruddin, Ustaz Subki, Tuan Guru Hj Salleh, Ustaz Helmi, Pa’ Sha’ari, Tuan Hj Kamal, Ustaz Hanif, Tuan Hj. Zainal dan ramai lagi. Jazakumullah khair al-jaza’. Moga-moga program daurah ini diadakan lagi pada tahun hadapan ……….

P/S: Buat teman-temanku Ustaz Faishal, Ustaz Zubairi, Ustaz Bajuri, Ustaz Mustafa, Tuan Hj Zainal, Saudara Umar ... jangan lupa hubungi ana kalau datang KL. Dan jangan lupa mendoakan ana .....

al-Fanshuri kembali ……. (1)

Alhamdulillah … setelah sebulan lebih al-Fanshuri berehat, kini ia kembali untuk terus berkongsi maklumat dan pengalaman sekadar diizinkanNya. Ketiadaan al-Fanshuri selama 1 bulan adalah untuk menyertai Program Daurah Tafaqquh Fiddin bersama syaikhuna al-Fadhil Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafidzohullah. Insyaallah, al-Fanshuri akan berkongsi serba sedikit pengalaman semasa menyertai daurah tersebut.

Program daurah bermula pada 20hb November 2007 di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh, Perak dan berakhir pada 20hb Disember 2007 di Pondok Tuan Guru Hj Salleh Hj Musa, Sik, Kedah. Program ini dirasmikan oleh Shohibul Samahah Dato’ Seri Hj. Harunsani Hj. Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak pada 21hb November 2007. Disertai oleh penuntut ilmu dari Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Bogor, Indonesia (seramai 23 orang – mereka merupakan murid-murid Syaikh Nur di Ma’ahad az-Zein, Bogor)

Program daurah ini berlangsung dalam 3 fasa. Fasa pertama bertempat di INTIM, Ipoh, Perak, selama 2 minggu. Fasa kedua di Ma’ahad Tahfiz, Repek, Pasir Mas, Kelantan selama 1 minggu. Sepatutnya ianya diadakan di Madrasah ar-Rahmaniah @ Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, tetapi diubah pada saat akhir kerana al-Fadhil Tuan Guru gering dan dimasukkan ke hospital. Semoga Allah mengurniakan ke'afiatan kepada Tuan Guru. آمين Dan fasa ketiga di Madrasah ar-Rahmaniah @ Pondok Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa, Sik, Kedah.

Sepanjang daurah tersebut kami mengaji 7 buah kitab iaitu
  1. Makanatul Ilmi wal Ulama’ oleh Syaikh Muhammad Nuruddin. Sebuah kitab yang menghuraikan tentang kedudukan ilmu dan ulama serta adab-adab bagi penuntut ilmu. Sebuah kitab yang sangat baik untuk dipelajari terutamanya oleh para penuntut ilmu. Kitab ini dikhatamkan di INTIM. Alhamdulillah.
  2. Zubdatul Qawaidil Fiqhiyyah oleh Syaikh Muhammad Nuruddin. Sebuah kitab kecil yang membicarakan 40 qaedah-qaedah fiqh yang terpilih. Kitab ini juga dikhatamkan di INTIM. Alhamdulillah.
  3. Al-Yaaquutun Nafiis oleh as-Sayyid al-Habib Ahmad bin ‘Umar asy-Syathiri Sebuah kitab fiqh yang terkenal yang ditulis oleh al-‘Allamah al-Faqih as-Sayyid Ahmad bin Umar bin Iwadh bin Umar bin Ahmad bin Umar bin Ahmad bin ‘ali bin Hussin bin Muhammad bin Ahmad bin Umar bin ‘Alawi asy-Syaathiri, seorang ulama ahlul bait dari Tarim, Hadralmaut, Yaman. Al-Fanshuri sebelum ini berpeluang mengaji dengan seorang ustaz kitab karangan Habib Ahmad bin Umar asy-Syathiri yang bertajuk Nailur-Raja’ bisyarhi Safiinah an-Najaati. Menurut Syaikhuna Muhammad Nuruddin beliau menerima sanad kitab al-Yaaqutun Nafis dari al-Habib Salim asy-Syathiri, dan Habib Salim menerima dari pengarang kitab tersebut, al-Habib Ahmad bin Umar asy-Syaathiri. Kitab al-Yaaquut tidak sempat tamat, sampai bab al-hawalah sahaja. InsyaAllah, semoga disambung dalam daurah yang akan datang.
  4. Risalah al-Mu’aawanah oleh al-‘Arifbillah Qutb ad-Da’wah wal Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad. Sebuah kitab tasawuf yang sederhana tetapi padat dengan ilmu dan pengajaran. Kitab ini hampir habis dipelajari.
  5. Hasyiah asy-Syaikh Muhammad Syinwani ‘ala Mukhtasor Ibn Abi Jamrah Sebuah kitab hadits. Merupakan hadits-hadits pilihan dari Shahih al-Bukhari. Mengandungi 293 buah hadits. Alhamdulillah, habis dibaca.
  6. Bustanul ‘Ariffin oleh Imam Nawawi. Yang ni sedikit sahaja.
  7. Rasail Haamah wa Mabahits Qayyimah, yang dihimpun oleh Syaikh Muhamad Nuruddin. Kitab ini sangat menarik kerana didalamnya terhimpun risalah-risalah yang berkaitan masalah yang menjadi perbahasan/pertikaikan dengan golongan Wahabi. Kitab ini mempunyai 2 bab. Bab pertama terdapat 15 risalah yang ditulis oleh al-Hafidz al-Imam Jalaluddin as-Sayuthi dan al-‘allamah al-Faqih Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani. Manakala bab kedua pula mengumpulkan 25 risalah tulisan al-‘Allamah al-Hafidz al-Imam Jalaluddin as-Sayuthi, Syaikh Yusuf ad-Dijwi, al-Muhaddits asy-Syaikh al-Habib Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, asy-Syaikh al-‘Allamah Zahid al-Kautsari, asy-Syaikh al-‘Allamah Sirajuddin Ibn Mulaqqin dengan ta’liq oleh Syaikh Zakaria Bila. Sempat dibahaskan sekitar kuranglebih 10 risalah disepanjang daurah. Terdapat beberapa risalah yang telahpun diterjemahkan oleh pelajar-pelajar al-Azhar dan diterbitkan oleh Pustaka Darussalam berserta dengan vcd syarahannya oleh Shaikh Muhammad Nuruddin. Antara tajuk risalah yang diterjemahkan adalah:-
  • Zikir menggunakan tasbih bukan bid’ah oleh al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi
  • Zikir nyaring dan beramai-ramai merupakan sunnah terpuji oleh Syaikh al-‘Allamah al-Faqih Ismail Utsman Zain al-Yamani
  • Misi ulama tasauf kearah beramal dengan syariat dan hakikat asya’irah oleh Sayyid Muhammad alawi al-Maliki al-Makki al-Hasani
  • Benarkan wali Allah wujud? Oleh al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi
  • Sholat tarawikh, bilangan rakaat di sisi salafus sholeh oleh al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi.
Alhamdulilah, Syaikh Nuruddin telah membimbing kami disepanjang perjalanan daurah ini dengan penuh semangat. Beliau dibantu oleh 2 orang murid beliau iaitu al-Fadhil Ustaz Aminuddin dari Kedah dan al-Fadhil Ustaz Ahmad Busyairi dari Jakarta. Mereka berdua adalah merupakan murid Syaikh Nuruddin semasa di Mesir.
Syaikh Nur sangat menekankan mengenai adab bagi penuntut ilmu. Boleh dikatakan didalam setiap kuliah beliau akan menegaskannya menegurnya terutamanya apabila terdapat peserta yang tidak mengikuti atau terlupa dalam mengamalkan adab-adab tersebut. Menurut beliau, walaupun kini puluhan ribu yang berpendidikan agama dilahirkan tetapi ternyata mereka tidak dapat menjadi qudwah kepada umat. Salah satu puncanya menurut beliau ialah mereka meninggalkan adab-adab ilmu dan adab-adab sebagai seorang penuntut ilmu.

Sessi pengajian kami bermula seawal selepas sholat shubuh. Dimulai dengan berzikir dan seterusnya pengajian kitab sehingga jam 7.30 pagi. Kemudian berhenti untuk sarapan. Kuliah seterusnya bermula jam 8.45 atau 9.00 pagi sehingga jam 12 atau 12.30 tengahari. Tidur qailullah seketika, kemudian sholat dhuhur, makan tengahari dan berehat sehingga waktu asar. Cuma dipenghujung daurah, diadakan juga kuliah selepas dhuhur sehingga lebih-kurang jam 3.00 petang. Selepas sholat asar, kami membaca hizb bahr dan diikuti pengajian. Jam 6.30 makan malam. Selepas maghrib, mengaji lagi sehingga jam 9.30 atau 10.00 malam. Ya … agak memenatkan, tetapi kemanisan ilmu membuat aku melupai kepenatan tersebut. Tambah-tambah lagi melihat Syaikh Nur yang begitu bersemangat dan bertenaga dalam menyampaikan ilmu. Tentu beliau lebih penat … membacakan isi kandungan kitab yang berbahasa ‘arab kemudian menterjemahkannya dan seterusnya mensyarahkannya …. sedangkan kami hanya mendengar dan membuat catatan …… Tu pun ada juga yang mengantuk sewaktu pengajian.

Sayangnya aku ngakk punya kamera untuk merakamkan suasana sepanjang daurah berlangsung … tapi takpa lah cerita mana yang patut. Bersambung …..

Isnin, 19 November 2007

Blog al-Fanshuri Akan Berehat Sehingga Hujung Tahun 2007



PENGUMUMAN



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saudara/i pengunjung blog al-Fanshuri yang dikasihi sekelian, mulai besok 20hb November 2007, blog al-Fanshuri ini akan berehat buat sementara waktu sehingga penghujung tahun 2007. Dan insyaAllah, sekiranya dipanjangkan umur maka akan beroperasi semula, insyaAllah pada Januari 2008. Hamba, abu zahrah yang faqir lagi haqir ini, mengucapkan jutaan TERIMA KASIH kepada semua yang sudi melayari dan memberi sokongan kepada blog al-Fanshuri yang serba dhoif ini. Dan abu zahrah juga ingin memohon jutaan ampun dan maaf di atas segala kesilapan dan juga kekurangan yang terdapat di blog ini. Semoga saudara/i pengunjung blog ini sudi mendu'akan abu zahrah. Jumpa lagi ............. Sekian.

Jumaat, 16 November 2007

Ar-Rasail al-Darqawiyah - Siri 6


Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya mempelajarinya dengan tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian kerana terdapat isitilah-istilah yang sukar difahami dan perlu dirujuk kepada mereka yang berkeahlian. Semoga kita dikurniakan taufiq untuk memahami hakikat pelajaran yang terdapat didalam tuilsan/kitab ini. Sekian.)

Apabila seseorang menunjukkan perseteruan terhadapmu, baik ia dari kalanganmu atau tidak. Jangan memberi perhatian kepada dirimu sendiri, tetapi berilah perhatian kepada titah perintah Tuhanmu. Selagi engkau tidak mempertahankan dirimu sendiri, ALLAH mempertahankan kamu dan menjaga urusanmu. Tetapi andainya engkau mempertahankan dirimu sendiri dan bimbang dengan urusanmu, ALLAH akan menyerahkan sahaja urusan itu untuk kamu menjaganya sedangkan kamu tiada berdaya upaya. Dan ALLAH Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Asy-Syaikh al-Jalil Qasim al-Khosshosi رضي الله عنه berkata: “Jangan pedulikan orang yang membuat fitnah terhadapmu. Tetapi tumpukanlah perhatian kepada ALLAH, ALLAH akan menghilang tukang fitnah itu darimu, kerana bahawasanya ALLAH-lah yang menggerakkan dia membuat fitnah terhadapmu untuk menguji keikhlasanmu, tetapi ramai yang tersilap dalam masalah ini.” Sekiranya engkau memberi perhatian kepada orang yang berbuat fitnah terhadapmu, fitnah itu berterusan, dengan dosamu (terlalai daripada zikrullah)[1]



Notakaki:

[1] Ini mengingatkan kita kepada nasihat Syaikhnya asy-Sya’rani baginya. Pada suatu masa asy-Syarani menulis surat kepada Syaikhnya di Maghribi mengadu kepadanya tentang kesakitan yang ditanggung oleh manusia terhadapnya. Maka Syaikhnya itu membalas suratnya demikian [bunyinya, bermaksud]:
Jangan sibuk dengan orang yang menyakitimu, sibuklah dengan ALLAH, nescaya akan dihilangkan tukang fitnah itu daripadamu. Sesungguhnya ramai orang yang tersilap dalam perkara ini, lalu mereka menyibukkan diri dengan orang yang menyakiti mereka. Maka berlanjutan kesakitan (yakni fitnah itu) berserta dosa (lalai daripada zikrullah. Jikalau mereka rujuk kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan menunjuki bagi mereka untuk menyelesaikan urusan mereka dan akan dihilangkannya tukang-tukang fitnah itu dari mereka. والسلام

Ahli sunnah larang ithbat tempat bagi Allah


Petikan Dari Ruangan Bicara Agama
(Utusan Malaysia, 16 November 2007)

Ahli sunah larang ithbat tempat bagi Allah


SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan kepada beliau?

JAWAPAN: Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.

Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha Suci Allah, Maha Suci Allah, Maha Suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat. (Al-Mujadalah: 11)

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

[Tambahan: Dialog ini boleh dirujuk dari kitab `Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin karangan Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani atau lebih dikenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani. Kitab tersebut selesai dikarang pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M. Kitab ini bukan hanya setakat untuk rujukan tetapi masih banyak diajar di surau-surau dan di masjid-masjid bahkan di beberapa pondok di seluruh dunia Melayu. Kitab ini yang kedua besar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetapi adalah yang pertama besar yang masih beredar di pasaran dan yang diajarkan. Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 H/1901 M, ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Maklumat ini adalah berdasarkan kepada tulisan Tuan Guru Hj Wan Muhammad Shaghir Abdullah. - abuzahrah -]

Related Posts with Thumbnails