Sewaktu di INTIM, setiap peserta daurah ditempatkan dii bilik asrama yang selesa. 4 perserta satu bilik. Bilik lengkap dengan penghawa dingin, katil dua tingkat dan kamar mandi. Antara kemudahan lain adalah masjidnya berhawa dingin, dewan kuliahnya yang berhawa dingin dan dewan makan yang luas. Makanan yang disajikan pula sungguh enak. Perut sentiasa kenyang :). Sangat selesa, alhamdulillah.Cuma bagi aku [pendapat peribadi sajalah!] agak kurang sesuai untuk pengajian kitab secara talaqqi kerana tiada suasana pengajian atau suasana pondok. Suasana disini mengingatkan aku pada ketika menghadhir seminar-seminar atau kursus-kursus di hotel-hotel atau dipusat-pusat latihan pada suatu ketika dahulu. Lagipun tiada ulama tempatan yang dapat diziarahi pada waktu-waktu lapang. Rugi juga …. Jadi waktu lapang dihabiskan dengan ngorok sajalah … hehehe … aku sajalah yang lagu tuuu agaknyaaaa….
Alhamdulillah, di INTIM kami dapat khatam kitab Makanatul ilmi wal ulama dan juga Zubdah.

5 Disember 2007, 3 buah bas rombongan peserta daurah bertolak dari Ipoh ke Kelantan. Alhamdulillah perjalanan kami lancar. Aku sangat teruja kerana sudah 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke Kelantan. Seingat aku, kali terakhir aku kesana adalah pada tahun 1987.
Semasa di Ma’had Tahfiz Repek kami ditempatkan di asrama pelajar. 4 orang sebilik. Hatiku amat terharu bila mendapat tahu bahwa pelajar-pelajar di sini terpaksa tidur di surau lama semata-mata untuk memberi keselesaan kepada kami. Aku menjadi sebak bila berbual dengan seorang pelajar tahfiz tersebut. Ekoran dari itu aku mengambil keputusan untuk tidur saja di surau baru (separuh siap, masih dalam pembinaan) tempat kami mengadakan daurah. Alhamdulillah, walaupun open air, cuaca yang dingin kerana setiap hari hujan, ditemani nyamuk dan diiringi dengan alunan zikir sang kodok namun aku rasa puas dan selesa.



13 Disember 2007, rombongan daurah kami bergerak menuju ke destinasi terakhir program daurah iaitu di Pondok Tuan Guru Haji Salleh, Sik, Kedah. Sebuah pondok yang usianya sudah mencecah 50 tahun. Kami sampai di Sik pada waktu shubuh. Setibanya di Sik, kami berhenti menunaikan sholah shubuh di Masjid Sik. Selepas sholat kami bertolak menuju ke Pondok yang tidak jauh di masjid tersebut. Ketika rombongan kami sampai al-Fadhil Tuan Guru Hj Salleh sedang mengajar kitab I’anatut tholibin di suraunya. Setelah selesai mengajar Tuan Guru menjemput kami ke rumah beliau yang berhampiran untuk meraikan ketibaan kami dan memberi sedikit taklimat dan nasihat kepada kami. MasyaAllah …. nasihatnya kepada kami, penuntut ilmu bagaikan mutiara yang berguguran. Inilah kali pertama aku bertemu dengan Tok Guru. Sayangnya aku tidak mencatat segala pesanannya. Inilah kelemahanku.
Setelah itu kami dibawa ke tempat penginapan. Semua peserta ditempatkan di tingkat atas surau. Aku telah diberikan sebuah rumah [sedikit istimewa kerana mengiringi Shaikh Nuruddin dan menguruskan peserta daurah … hehehe], namun dek kerana jauh dari surau maka aku mengambil keputusan untuk tinggal di surau juga. Alhamdulillah diberikan sebuah bilik di surau tersebut. Dan aku jadikannya sebagai bilik urusetia dan menyimpan kitab-kitab untuk jualan yang kami bawa bersama. Alhamdulillah selesa!
Pada keesokkan harinya, hari Jum’at, surau ini dipenuhi dengan para penuntut ilmu, tua, muda, lelaki dan wanita memenuhi surai besar ini. Tuan Guru mengajar kitab. Alhamdulilah, aku dapat mengambil faedah dari pengajian Tuan Guru. Semasa disini sempatlah mengikuti pengajian oleh Tuan Guru. Antara kitab yang di baca adalah I’anatut Tholibin, Faridah dan Umm Barahin. Tuan Guru Haji Salleh memang terkenal sebagai seorang ulama yang mahir dengan ilmu tauhid dan kebanyakkan kitab yang beliau ajarkan adalah kitab-kitab berkaitan dengan ilmu tauhid. Bahkan Wa Mat Teluk Malek pun kata kalau nak ngaji kitab tauhid pi ngaji dengan Tok Guru Hj Salleh Sik.

Ketika di pondok yang penuh berkat inilah, Shaikh Nur telah mengkhatamkan pengajian kitab Mukhtasor Ibn Abi Jamrah. Beliau sungguh gembira kerana kitab berjaya dikhatamkan juga. Alhamdulillah. Program daurah kami berakhir setelah sholat eidul adha. Dimana sesudah mengerjakan sholat sunat eidul adha dan menikmati hidangan pagi, guru kami yang mulia, Syaikh Nuruddin bermurah hati untuk membacakan beberapa buah hadits musalsal daripada kitab hadits musalasal beliau. Alhamdulillah, bonus buat peserta daurah. Suatu keberkatan yang aku dapati di pondok ini. Setelah maka kami telah dijemput untuk menikmati hidangan makan tengahari. Makan daging korban. Dan setelah sholat dhuhur maka peserta mula bersurai. Syukur kepada Allah yang telah memilih kami untuk menyertai daurah ini. Semoga apa saja ilmu dan pengajaran yang kami terima disepanjang daurah ini dapat kami amalkan dan sebarkan.
Demikianlah serba sedikit pengalaman aku semasa menyertai daurah. Sesungguhnya pelbagai lagi pengalaman yang dialami disepanjang daurah … cumanya aku ni tak pandai nak mengolah bahasa menceritakannya dan ada yang sampai tak tercerita ….. Mohon maaf diatas bahasaku yang caca marba!
Dalam kesempatan ini aku ingin mengucapkan jazakumullah khair al-jaza’, teristimewa buat guruku yang mulia, Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki yang sanggup berpenat lelah mengajar dan mendidik kami. Juga buat Ustaz Aminuddin dan Ustaz Ahmad. Jazakumullah khair al-jaza’
Dan akhirkata aku juga ingin mengucapkan TAHNIAH kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program daurah ini seperti Jabatan Agama Negeri Perak, Pejabat Mufti Negeri Perak, INTIM, Ma’had Tahfiz Repek, Madrasah Rahmaniah Sik, Ustaz Kasuri, Ustaz Kamaruddin, Ustaz Subki, Tuan Guru Hj Salleh, Ustaz Helmi, Pa’ Sha’ari, Tuan Hj Kamal, Ustaz Hanif, Tuan Hj. Zainal dan ramai lagi. Jazakumullah khair al-jaza’. Moga-moga program daurah ini diadakan lagi pada tahun hadapan ……….
P/S: Buat teman-temanku Ustaz Faishal, Ustaz Zubairi, Ustaz Bajuri, Ustaz Mustafa, Tuan Hj Zainal, Saudara Umar ... jangan lupa hubungi ana kalau datang KL. Dan jangan lupa mendoakan ana .....
0 komen:
Catat Ulasan