Tanggal 26 Disember 2007 merupakan ulangtahun ke-3 peristiwa TSUNAMI. Peristiwa ini berlaku pada 26 Disember 2004 bersamaan 14 Dzulqaedah 1425H. Suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Satu tragedi yang tersangat dahsyat. Dengan gegaran sekuat 9.3 pada skala ritcher, kemusnahan berlaku dalam sekelip mata. Gegaran dibawah laut ini menghasilkan gelombang ombak yang menggunung tinggi. Dan dalam sekelipmata ia menggulung menyapu bersih apa yang ada dihadapannya. Kota dan desa menjadi padang jarak padang tekukur seketika itu juga.

Jalanraya yang sebelumnya bertaliarus dengan kenderaan tiba-tiba bertukar menjadi aliran sungai yang tersangat deras arusnya, menghanyut dan menenggelamkan segala sesuatu. Dalam sekelip mata itu juga segala sesuatu yang menjadi kecintaan manusia berupa anak-isteri, harta-benda, rumah-mahligai, binatang ternakan, sawah ladang ditelan bumi ataupun gelombang ombak. Manusia pada ketika itu memikirkan keselamatan dirinya, terlupa pada isteri, anak, rumah, emas permata …. yang tergambar difikiran adalah bagaimana mahu menyelamatkan diri sendiri.


Bagi mereka yang mempunyai mata hati, peristiwa tsunami dilihat dengan penuh pengajaran, penuh keinsafan. Ianya membuktikan betapa kerdil serta dhoifnya manusia dan teknologi bikinannya. Kehendak dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa mengatasi segala-galanya. Mahu tidak mahu, manusia perlu pasrah kepada ketentuanNYA. Sesungguhnya peristiwa tsunami tersangat-sangat kecil kalau mahu dibandingkan dengan peristiwa qiamat yang akan berlaku nanti, namun cukup untuk menjadi gambaran yang boleh diambil pengajaran.
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya gempa atau gegaran atau goncangan hari Qiamat itu terlebih dahsyat. Bukalah lembaran al-Quran, disana kalian dapat perhatikan firman Allah mengenai goncangan Qiamat. Antaranya:

Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari qiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. [Surah al-Hajj: 1 – 2]

Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? - (Hari itu ialah: hari qiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. [Surah al-Qaariah: 1 – 5]
Apabila langit terbelah; Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; Dan apabila lautan pecah bercampur-baur; Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, - (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. [Surah al-Infitaar: 1 – 5]
Semoga tsunami mencetuskan pengajaran dan keinsafan kepada kita untuk mentauhidkan Allah dan mentaati segala titah perintahNYA.
0 komen:
Catat Ulasan