Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani
(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya mempelajarinya dengan tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian kerana terdapat isitilah-istilah yang sukar difahami dan perlu dirujuk kepada mereka yang berkeahlian. Semoga kita dikurniakan taufiq untuk memahami hakikat pelajaran yang terdapat didalam tuilsan/kitab ini. Sekian.)
Apabila seseorang menunjukkan perseteruan terhadapmu, baik ia dari kalanganmu atau tidak. Jangan memberi perhatian kepada dirimu sendiri, tetapi berilah perhatian kepada titah perintah Tuhanmu. Selagi engkau tidak mempertahankan dirimu sendiri, ALLAH mempertahankan kamu dan menjaga urusanmu. Tetapi andainya engkau mempertahankan dirimu sendiri dan bimbang dengan urusanmu, ALLAH akan menyerahkan sahaja urusan itu untuk kamu menjaganya sedangkan kamu tiada berdaya upaya. Dan ALLAH Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Asy-Syaikh al-Jalil Qasim al-Khosshosi رضي الله عنه berkata: “Jangan pedulikan orang yang membuat fitnah terhadapmu. Tetapi tumpukanlah perhatian kepada ALLAH, ALLAH akan menghilang tukang fitnah itu darimu, kerana bahawasanya ALLAH-lah yang menggerakkan dia membuat fitnah terhadapmu untuk menguji keikhlasanmu, tetapi ramai yang tersilap dalam masalah ini.” Sekiranya engkau memberi perhatian kepada orang yang berbuat fitnah terhadapmu, fitnah itu berterusan, dengan dosamu (terlalai daripada zikrullah)[1]
Notakaki:
[1] Ini mengingatkan kita kepada nasihat Syaikhnya asy-Sya’rani baginya. Pada suatu masa asy-Syarani menulis surat kepada Syaikhnya di Maghribi mengadu kepadanya tentang kesakitan yang ditanggung oleh manusia terhadapnya. Maka Syaikhnya itu membalas suratnya demikian [bunyinya, bermaksud]:
Jangan sibuk dengan orang yang menyakitimu, sibuklah dengan ALLAH, nescaya akan dihilangkan tukang fitnah itu daripadamu. Sesungguhnya ramai orang yang tersilap dalam perkara ini, lalu mereka menyibukkan diri dengan orang yang menyakiti mereka. Maka berlanjutan kesakitan (yakni fitnah itu) berserta dosa (lalai daripada zikrullah. Jikalau mereka rujuk kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan menunjuki bagi mereka untuk menyelesaikan urusan mereka dan akan dihilangkannya tukang-tukang fitnah itu dari mereka. والسلام
1 komen:
setiap detik kehidupan yang melalui ujianNya sekira dapat difokuskan kembali pada ALLAh..akan dapat dirasai kelapangan laluan yang mudah..insyallah
Catat Ulasan