Khamis, 19 Julai 2007

Persoalan Puasa Rejab - Bahagian 2

Sambungan dari bahagian -1

Walaubagaimana sekalipun selain daripada kenyataan al-Allamah Ibnu Hajar mengenai memadai untuk beramal Puasa di bulan Rejab dengan beriktibar kepada hadits-hadits yang tersebut sekalipun ada yang dhaif, beliau juga menjelaskan lagi mengenai terdapatnya hadits-hadits yang bertaraf shahih sebagai pegangan para ulama’ yang memfatwakan Puasa Rejab adalah SUNAT. Kita lihat dimuka surat 22 beliau menulis:


“Bahawa yang sebenar adalah perkataan dari orang yang berkata: Sunat berpuasa hari Itsnin dan Khamis, Rejab dan baki hari-hari di Bulan Haram. Sesiapa yang berkata sebaliknya, yaitu “Tidak sunat” dan menegah manusia (dari mendapatkan fadhilatnya) dengan berpuasa, maka orang tersebut salah dan berdosa, kerana penghujung kedudukan orang tersebut sebenarnya adalah bertaraf seorang awam

[Ulasan: Orang awam tidak boleh sewenang-wenang memberi fatwa dan tidak harus diikuti. Maka seseorang awam yang cuba-cuba berfatwa adalah berdosa dan haram diikuti.]

Dimukasurat 23 beliau menyebut lagi:
“Sepertimana satu hadits yang telah menshahihkannya oleh Ibnu Khuzaimah daripada Usamah, “Saya berkata: Wahai Rasululah! Saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan sepertimana Tuan berpuasa Bulan Sya’ban?. Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab: Demikian itu adalah satu bulan yang lalai manusia daripadanya yang berada antara Rejab dan Ramadhan. Maka bulan Sya’ban adalah satu bulan yang diangkat didalamnya semua amal kehadrat Rabbil ‘Alamin. Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa )”.

Maka mengisyaratkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم tatkala melengkungi oleh dua bulan yang agung yaitu Bulan Rajab dan Ramadhan, yang mana manusia berlumba-lumba sibuk (berpuasa dan beribadat) dalam kedua-kedua bulan tersebut, lantas terlupa bulan Sya’ban. Kerana yang demikian, kebanyakan ulama’ berpendapat Puasa di Bulan Rejab terlebih afdhal dari Bulan Sya’ban. - Tammat.

Agaknya siapakah manusia yang sibuk berpuasa di bulan Ramadhan dan Rejab tersebut?. Iaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para shahabat رضي الله عنهم, sudah termaklum mereka adalah sebahagian daripada makna manusia dari lafaz hadits tersebut dan hadits ini juga menjadi dalil kesunatan berpuasa Rejab sebab lafaz: “Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa ” adalah sabda Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri. Mengatakan Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa dibulan Rejab dan tidak sunnah berpuasa dibulan Rejab adalah satu pendustaan juga terhadap Nabi صلى الله عليه وسلم. Telah maklum hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah tersebut adalah hadits shahih.

Seterusnya beliau menambah :
Telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم memandubkan berpuasa di BULAN-BULAN HARAM . Pada hal Rajab adalah sebahagian dari bulan-bulan Haram. Riwayat dari Abi Daud dan lainnya dari Urwah, bahawa beliau telah bertanya Abdullah bin Umar: “Adakah Rasululah صلى الله عليه وسلم berpuasa dibulan Rejab?. Beliau menjawab: Ya dan baginda melebihkannya. Ibnu Umar mengatakannya sampai tiga kali”.

Dan sesungguhnya Abu Qilabah telah meriwayatkan: “Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah mahligai bagi sesiapa yang berpuasa di bulan Rajab”. Imam al-Baihaqi mengulas: “Abu Qilabah salah seorang Tabi’in yang tidak akan berkata mengenainya melainkan diambilnya dari seorang penyampai ( yakni shahabat).

Maka tsabitlah SUNAT berpuasa di Bulan Rajab, bukan makruh. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan makruh adalah fasid bahkan salah sebagaimana yang telah engkau ketahui kelebihan (fadhilat) puasa Sya’ban, padahal puasa Rajab terlebih afdhal darinya. Kerana seafdhal-afdhal bulan selepas Ramadhan ialah Bulan Muharam, kemudian baki-baki bulan Haram, akhirnya barulah Sya’ban. - Tammat.


Ulasan:
Sebahagian manusia mengatakan: “Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa Rejab. Tidak ada nash berpuasa Rejab. Lantaran itu haram puasa Rejab atau makruh. Kalau berkepercayaan Nabi صلى الله عليه وسلم ada berpuasa di bulan Rejab maka Haram sebab dusta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Kalau hendak buat juga tapi mengkhususkan niat Puasa Bulan Rejab maka makruh sebab tidak ada dalil hadits yang terang.”

Sebenarnya semua kenyataan tersebut salah dan kalau menafikan Nabi صلى الله عليه وسلم pernah berpuasa Rejab dengan sebab tidak kerana kejahilannya, maka hendaklah bertaubat. Kalau sengaja-sengaja buat dusta dan kacau-bilau, maka pihak pemerintah (kerajaan) mestilah mengambil tindakan.

Cuba lihat ini, satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, satu lagi hadits yang mana tidak disangsikan lagi keshahihannya. Yang sangsi adalah mereka yang didalam hati berpenyakit. Seperti yang sudah ditimpa kepada puak yang anti ulama’, anti ahli sunnah dan anti mazhab. Barang di jauhkan Allah adanya.

Utsman bin Hakam al-Ansori berkata: Saya telah bertanya Sa’id bin Jubair berkenaan Puasa Rejab sedangkan kami ketika itu masih berada di Bulan Rejab. Beliau (Sa’id ) menjawab: Saya telah mendengar Ibnu Abbas رضي الله عمهما berkata: “Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berpuasa sehingga kami mengatakan (menyangka) beliau tidak berbuka (tidak berhenti puasa), dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan (menyangka) beliau tidak berpuasa”. - Riwayat Muslim.

Terang dalam hadits ini menunjukkan Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa Rejab. Mengatakannya Nabi صلى الله عليه وسلم tak pernah buat adalah dusta.

Kalau mereka berkata: "Aaah! Itu hadits yang menunjukkan harus puasa dibulan Rejab bukan sunat!!!.Memang dibolehkan jika berpuasa tanpa mengaitkan bulan Rejab. Sebab dalilnya hanya bersandarkan dalil yang umum hadits shahih riwayat Muslim tersebut"

Jawab: Lihatlah mereka cuba pusing-pusing. Mula–mula kata tidak sunat Puasa Rejab sebab tidak ada dalil Nabi Puasa. Kemudian berdalih pula mengatakan hadits Muslim tersebut menunjukkan hanya harus bukan sunat.

Lihatlah Syarahan Hadits tersebut dalam Kitab Syarah Muslim, Juzu 8, mukasurat 38-39, cetakan Daarul Syaqafah:

Bab: Berpuasa Nabi صلى الله عليه وسلم dibulan yang selain bulan Ramadhan.

Maksudnya: “Yang Zohir, bahawa maksud Sa’id bin Jubair dengan istidlal (pengambilan hukum) dengan hadits ini bahawa puasa Rejab tidak ditegah dan tidak disunatkan berdasarkan hadits ini untuk ain (diri) puasa Rejab. Bahkan tetapi bagi puasa Rejab sama hukumnya dengan hukum selebihnya bulan-bulan (yakni dengan hukum puasa dibulan-bulan haram). Tidak tsabit pada berpuasa Rejab tegahan dan tidak tidak tsabit nadab (sunat) bagi diri Rejab, tetapi asal hukum berpuasa Rejab, adalah diSUNATkan. Didalam Sunan Abi Daud, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mensunatkan berpuasa dibulan-bulan Haram. Padahal Rejab adalah salah-satu dari Bulan-bulan Haram. Wallahu a’lam”. - Tammat.

Maksud sebenar Imam Nawawi dalam Syarah Muslim tersebut, hanya sahaja dalil Kesunatan Rejab tidak berdalilkan dengan ain (diri) hadits tersebut. Bukan menafikan “Kesunatan Berpuasa dibulan Rejab”. Perhatikan baik-baik. Memang, berdasarkan hadits tersebut kita memahamkan :

1) Nabi صلى الله عليه وسلم pernah berpuasa di Bulan Rejab. Menafikannya sebagai tidak pernah berpuasa dibulan Rejab dan tiada sunnahnya berpuasa dibulan Rejab, adalah satu pembohongan yang mentah-mentah mesti ditolak oleh mereka yang mengerti.

2) Hadits tersebut dilalahnya menunjukkan harus berpuasa di Bulan Rejab. Bukan sunat, bukan juga makruh, barang dijauhi haramnya.

3) Sekalipun hadits tersebut tidak menjadi ain (diri) dalil kesunatan berpuasa Rejab, tetapi berpuasa di bulan Rejab tetaplah juga hukumnya SUNAT berdasarkan hadits-hadits shahih mentsabitkan Puasa Di bulan Haram. Misalnya hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah tersebut dan Imam Abu Daud juga telah meriwayatkan “Seafdhal-afdhal puasa adalah Puasa dibulan-bulan Haram”.

Sebagai penjelasan: Imam Nawawi menyebut: أصل الصوم مندوب اليه. Maksudnya asal hukum berpuasa adalah mandub yaitu diSUNATkan. Ditahkikkan dengan kenyataan “Bulan Rajab adalah salah satu daripada Tadhamun makna ‘Asyh harul Haram”. Tidak ada satu hadits samada yang bertahap shahih mahupun hasan yang boleh dijadikan dalil Pentakhsisan untuk hadits “Asyharul Haram” yang umum maknanya. Bahkan hadits tersebut akan menunjukkan Rajab adalah sebahagian afradnya. Hadits yang khusus berkenaan Puasa Sya’ban dan Bulan Muharam tidak pula sah dan boleh dipakai sebagai pentakhsisan hadits “Asyhurul Haram” sehingga melibatkan puasa di Bulan Rajab. Sebab Muharram, Sya’ban dan Rajab adalah ain atau diri atau masa yang berlain-lainan. Sya’ban bukan bulan Haram. Sya’ban mempunyai dalil yang tersendiri. Sedangkan Muharram dan Rejab adalah afrad “Bulan Haram”. Hadits khusus berkenaan fadhilat Muharram tidak akan melibatkan Rejab. Maka Bulan Rejab tepat diatas ASAL HUKUMnya yaitu SUNAT sebagaimana yang dicatit oleh Imam Nawawi tersebut “Ashlul Saumi Mandhubun ilaih”.

4) Ini juga difahamkan tentulah berlaku perbezaan Bulan Rajab dengan bulan-bulan selain dari bulan Haram misalnya bulan safar. Bulan Safar tidak termasuk Bulan-bulan Haram. Bulan Rejab snat berpuasa, berdalilkan hadits-hadits yang telah lalu. Sementara bulan Safar pula misalnya, tidak disunatkan berpuasa sebab tidak ada dalilnya. Lantaran itu jika ada orang yang berkata “Tidak ada langsung bezanya Bulan Rejab dengan bulan-bulan yang lain, sebab semua hadits-haditsnya adalah maudhu’ dan dhaif. Tidak ada fadhilat, tidak ada pahala kalau puasa, tidak ada ketentuan berpuasa di bulan Rejab dengan berniat umpamanya: Saja aku puasa esok, bulan Rejab…. ” maka satu lagi bohong telah timbul. Sebab memang terdapat perbezaan antara bulan Rejab dengan selain bulan-bulan Haram misalnya Safar tersebut, menunjukkan ada fadhilat atau kelebihan Bulan Rejab. Maka diulangi lagi, “Adalah Mereka yang menafikan secara muthlak fadhilat Bulan Rejab adalah kesalahan yang mesti ditangani oleh pemerintah, lantaran kenakalan yang menjejaskan kepentingan awam”.

5) Maka sebenarnya hendaklah difahami, bahawa Imam Nawawi hanyalah menyatakan Hadits Muslim tersebut tidak menjadi ain dalil Berpuasa Rejab sahaja. Bukan Berpuasa Rejab tidak ada dalilnya.
Kedua-duanya adalah berbeza.

Ada lagi seorang hamba Allah mengatakan: “Tidak betul huraian awak ini sebab Imam Nawawi tidak berkata khusus berpuasa di bulan Rejab, sehingga boleh ditentukan Niat berpuasa Rejab secara khusus?”

Jawab: Kenapa Imam Nawawi mengatakan أصل الصوم مندوب اليه?.Cuba pula awak cernakan?.


Sila lihat pula kitab al-Majmuk juzuk 6 mukasurat 386: “Sebahagian dari puasa yang disunatkan, ialah puasa dibulan-bulan Haram, yaitu Zul-Qa’dah, Zul-Hijjah, Muharram dan REJAB”. - Tammat.

Disini menunjukkan Sunat Puasa Rejab dan adanya pengkhususan Puasa Rejab serta niat-niatnya.

Oleh yang demikian, setiap Muslim semestinya faham untuk membezakan diantara terdapatnya hadits-hadits maudhu’ dan dhaif yang menghikayatkan kelebihan berpuasa dibulan Rejab dengan ketiadaan dalil kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Kedua-duanya perkara tersebut sebenarnya adalah perkara yang berlain-lainan.

Jangan terkeliru dan terpedaya dengan oceh-ocehan mereka yang tidak bertanggung jawab, yang mungkin kononnya terlalu asyik menjaga masyarakat agar tidak berpegang dengan hadits-hadits yang dusta terhadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Langsung terlajak menolak terus Sunat berpuasa dibulan Rejab. Sebenarnya cara mereka sama saja bila berhadapan dengan sebarang isu agama khususnya hukum-hukum agama yang telah maklum diketahui orang ramai. Mereka biasanya mencari-cari ruang yang boleh sedapat mungkin untuk dikritik habis-habisan fatwa-fatwa ulama’ mu’tabar, mengikut kaedah mereka yang kebanyakannya adalah mengelirukan. Meng‘high-light’kan cogan “Penilaian Semula Fatwa-fatwa Ulama’, jangan ikut saja buta tuli”, padahal dalam kebanyakan hal merekalah yang terlebih buta, terutama dalam konteks memahami ibarat-ibarat dan maksud kata-kata dari para ulama’. - Wassalam .

Persoalan Puasa Rejab - Bahagian 1

Sekarang kita berada dibulan Rejab. Suatu hal yang menyedihkan apabila terdapat segolongan manusia jahil tapi berlagak 'alim yang telah mengeluarkan pelbagai pendapat songsang mengenai dengan puasa Rejab. Ada diantara mereka yang membid'ahkan orang yang berpuasa Rejab. Ada yang mengharamkannya. Pendapat-pendapat sebegini meresahkan masyarakat yang telah sedia beramal dengan puasa Rejab. Oleh yang demikian saya bawakan disini satu risalah yang ditulis oleh al-Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Raof al-Bahanjee, al-A'liyy - Pondok Jalan Padang Ragut, Seri Repah, Tampin,. Negeri Sembilan, mengenai persoalan puasa Rejab. Moga-moga dengan tuan-tuan/puan-puan berolah manfaat daripadanya. Website al-Fadhil Tuan Guru boleh dilayari disini



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berkenaan mengenai puasa sunat di bulan Rajab , terdapat segelintir manusia yang mengembar gemburkan larangan berpuasa di bulan Rajab atau cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat dibulan Rajab dan tidak ada kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya ataupun sekurang-kurangnya cuba mengwas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rajab dengan beralasankan hadits- hadits yang mengisahkan fadilat puasa di bulan Rajab adalah dhaif dan maudhu’. Maka mereka melarang atau sekurang- kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rajab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Ini boleh kita lihat kenyataannya daripada jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq al-Imam al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 dalam kitab al-Fatawa al-Kubro al-Fiqhiyah karangan beliau juzu yang kedua, mukasurat 3, cetakan Darul Kutub al-Ilmiah.

Al-Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke-9 Hijrah, kira-kira empat ratus tahun dahulu. Maka, persoalan ini sebenarnya telah dijawab terlebih dahulu kira-kira empat ratus tahun dulu lagi. Tiba-tiba hari ini datang seorang hamba Allah yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu yang dipelajari melebihi tahap masa tiga (3) tahun , cuba membongkar semula masalah ini , atas alasan maudhu dan dhaif haditsnya. Maka tidak sunat puasa di bulan Rejab?. Apakah maksud sebenar beliau ini?, Kalau sekadar untuk memaklumkan maudhu dan dhaif haditsnya sahaja tidaklah menjadi masalah. Tetapi kalau sampai membatalkan hukum sunat berpuasa di bulan Rajab dan melarang orang ramai mendapatkan kelebihan bulan Rajab , maka sudah termasuk kategori melakukan suatu yang bercanggah dengan kepentingan awam Muslimin. Sebenarnya bukan orang ramai yang dilarang mendapatkan fadhilat berpuasa dibulan Rajab, beliaulah yang sepatutnya ditegah daripada menyebar–luas fahaman songsang tersebut.

Al-Allamah Ibnu Hajar al Haitami mengulas:
“Terdapat seorang ahli Feqah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rajab adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya. Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Mahkamah Syariah melarangnya (menegahnya) daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang sepertinya dengan hukuman Takzir yang sungguh- sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab. Seolah-olahnya Faqih (ahli fekah) yang jahil tersebut terpedaya dengan satu hadits yang diriwayatkan yang menyatakan:

“Bahawasanya Neraka Jahanam menyala-nyala bermula daripada haul (pusingan) daripada satu haul kepada satu haul bagi sesiapa yang berpuasa Rajab”.

Padahal Si Jahil yang terpedaya tersebut tidak mengetahui bahawasanya hadits yang termaklum itu adalah batil, dusta yang tidak halallah meriwayatnya sebagaimana yang telah menyebut oleh Syaikh Abu Omar bin Sollah (Ibnu Solah) dan menegah engkau dari (meriwayatkannya), kerana memeliharakan sunnah, dan memeliharakan kebesaran ilmu. Beliau berfatwa berbetulan dengan fatwa Izzudin bin Abdis Salam, yang mana sesungguhnya telah disoal mengenai catitan sebahagian Ahli Hadits terdapatnya TEGAHAN berpuasa di bulan Rajab dan membesarkan bulannya al-Haram, maka adakah sah nazar berpuasa pada keseluruhan bulan Rajab?

Izzudin Abdis Salam menjawab: “Nazar puasanya sah, beliau tersebut sebenarnya telah melazimkan penghampiran diri kepada Allah Taala dengan seumpama mengerjakan puasa . Mereka yang menegah daripada berpuasa di masa tersebut adalah jahil terhadap tempat ambilan (istinbat hukum-hukum syarak). Maka betapa pula dia menegahkan daripada berpuasa padahal bahawasanya para ulama` yang mana mereka telah menyusun (mentadwinkan) hukum–hukum syariah, tidak pernah ada dikalangan mereka seorang pun yang menyebut termasuk larangan yang makruh berpuasa bahkan sebenarnya puasanya adalah merupakan taqarub yakni penghampiran diri kepada Allah Ta’ala kerana berdasarkan beberapa hadits yang shahih yang menyungguh-nyungguh mendorong berpuasa seperti mana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم, berfirman Allah Taala “ Tiap–tiap anak Adam adalah baginya (yakni boleh diketahui hitungan pahalanya) melainkan puasa. Dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : “Sesungguhnya berubah bau mulut seseorang yang berpuasa terlebih harum disisi Allah Taala daripada bau kasturi”.

Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: “ Sesungguhnya seafdhal- afdhal puasa ialah puasa saudaraku Daud عليه السلام. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”. Adalah Nabi Daud عليه السلام berpuasa dengan cara tersebut tanpa mengaitkan dengan bulan- bulan yang selain daripada bulan Rajab dan tanpa mengaitkan selain daripada membesarkan bulan Rajab lain dari apa yang berlaku disisi puak jahiliyah yang mana mereka juga membesarkan bulan Rajab.

Maka Daud عليه السلام dengan sebab berpuasanya bukanlah pula mengikut jahiliyah. Tidaklah kesemua perkara yang dilakukan jahiliyah ditegah melakukannya, melainkan apabila terdapat Tegahan Syariat padanya, atau terdapat dalil-dalil qaedah syariat yang menegahnya. Dan tidak pula ditinggalkan perkara yang sebenar disebabkan kerana terdapat orang-orang yang mengikut sesuatu kebatilan melakukannya.


(Sebenarnya) Orang yang melarang berpuasa (Rejab) tersebut adalah seorang yang jahil yang terserlah kejahilannya. Tidak halal (yakni haram lah) seseorang Islam mengikuti agama orang tersebut. Kerana tidak harus bertaqlid (mengikut) agama orang tersebut disebabkan, seseorang Islam tidak dibenarkan mengikut (sesuatu fatwa) melainkan kepada mereka yang telah masyhur memahami, mengetahui dan mengertinya terhadap segala hukum Allah Ta’ala dan memahami, mengetahui dan mengertinya segala tempat pengambilan hukum yaitu dalil-dalil hukum.

Apa yang telah dibentangkan dan dibangsakan kepada ahli feqah tersebut adalah jauh dari faham, mengerti dan mengetahui berkenaan agama Allah Ta’ala. Maka janganlah diikut pada fatwa dan pendapatnya. Sesiapa sahaja yang mengikutinya, nescaya terpedayalah dengan agama ahli fekah itu”. - Tammat fatwa Izzuddin Abdis Salam.

Seterusnya Ibnu Sholah telah menjelaskan maksud Fatwa Izzuddin Abdis Salam dalam kitab Fatawa Kubro tersebut di muka surat yang sama.

“Dan telah mengisyaratkan oleh Izzuddin Abdis Salam bahawa memadai pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan apa yang telah diriwayatkan oleh beberapa hadits yang menunjukkan atas fadhilat (kelebihan) puasa
Yang mutlak (yakni yang umum, yang menyeluruh) dan
Yang khusus kelebihannya pada BULAN-BULAN HARAM.
Yaitu seperti hadits Abu Daud dan Ibnu Majah dan hadits riwayat selain mereka, daripada al-Bahili: Aku datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Saya adalah seorang lelaki yang datang bertemu Tuan pada tahun yang pertama. Baginda bersabda : Mengapa ku lihat tubuhmu kurus kering?. Jawab al-Bahili: Ya Rasulullah, tidak ada benda yang saya makan disiang hari yang saya makan melainkan (dimakan) pada malam sahaja. Bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم: Siapa pula yang menyuruh engkau mendera dirimu?. Aku menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya kuat (berpuasa). Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dibulan sabar, dan tiga hari selepasnya dan berpuasalah dibulan-bulan Haram” .

Pada satu riwayat lain: “Berpuasalah dibulan sabar dan sehari pada tiap-tiap bulan.” Berkata al-Bahili: Tambahi lagi sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dua hari. Berkata al-Bahili: Tambahilah lagi maka sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah tiga hari selepasnya dan berpuasalah di BULAN HARAM dan tinggallkanlah, puasalah dibulan Haram dan tinggalkanlah. Bersabda Rasululah صلى الله عليه وسلم sambil menghimpunkan jari-jari nya yang tiga kemudian melepaskannya”.

Para Ulama’ telah mengulas bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh al-Bahili berhenti berpuasa (beberapa ketika) kerana mendapati kesusahannya untuk membanyakkan puasa seperti yang telah dinyatakan pada awal-awal hadits pertama, dan sesiapa yang tidak kepayahan (yakni mampu), maka berpuasa keseluruhan adalah satu fadhilat (kelebihan).

Perhatikanlah: Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم dengan berpuasa diBULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang pertama dan Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa dalam sebahagian dari BULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang kedua nescaya engkau akan dapati NAS PERINTAH BERPUASA REJAB atau BERPUASA SEBAHAGIAN DARINYA KERANA REJAB ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA BULAN-BULAN HARAM bahkan ia adalah yang paling AFDHAL dari semua bulan-bulan haram.

Maka perkataan orang jahil tersebut “Bahawa hadits-hadits berpuasa diBulan Rejab adalah maudhu’, jika dia memaksudkannya menyeluruh pada segala hadits-hadits yang menunjuk kepada berpuasa Rejab menurut umumnya hadits dan khususnya, itu sebenarnya adalah satu pendustaan dan pembohongan pula dari si jahil tersebut. Hendaklah dia bertaubat (dari fahamannya dan meyebar-luaskan fatwanya kepada orang ramai) kalau tidak mahu juga, di takzir lah atasnya dengan takzir yang sungguh-sungguh oleh pemerintah (lantaran fahaman songsangnya).

Disatu sudut memang betul juga terdapatnya banyak hadits-hadits yang maudhu, yang dusta berkenaan Puasa Rejab walhal para imam kita tidak langsung berpegang dengan hadits-hadits maudhu’ tersebut sebagai dalil Sunat Puasa Rejab. Jauhlah mereka hendak bertindak sebegitu. Sebenarnya hanyalah mereka berdalilkan sepertimana yang telah saya nyatakan dan terdapat lagi hadits-hadits dan dalil-dalil yang lain.

Sebahagiannya sepertimana terdapatnya hadits-hadits yang popular misalnya hadits yang:

1) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas, beliau telah memarfu’kannya:


. إن في الجنة نهرًا يُقال له رجب، ماؤه أشدُّ بياضًا من اللبن وأحلَى من العسل، مَن صام يومًا من رجب سَقاه اللهُ من ذلك النّهر "

Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu".


(2) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya beliau memarfu’kannya:


مَن صام من رجب يوما كان كصيام سنة ومن صام منه سبعةَ أيّام غُلِّقت عنه أبواب جهنم . ومن صام منه ثمانيةَ أيام فُتِّحتْ أبوابُ الجنّةِ ، ومن صام منه عشرة أيام لم يسأل الله شيأ الا أعطاه الله اياه , ومن صام خمسة عشر يوما نادى مناد من السمأ قد غفر لك ما سلف فاستأنف العمل وقد بدلت سيِّئاتك حسنات ومن زاد زاده الله . ٍ

Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun , dan siapa yg berpuasa didalamnya tujuh (7) hari maka akan ditutup tujuh pintu-pintu neraka Jahannam, dan barangsiapa yg berpuasa lapan (8) hari maka lapan pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa sepuluh (10) hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa limabelas (15) hari, menyerulah penyeru dari langit: “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru, dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.


Kemudian al-Baihaqi telah menaqalkan daripada Gurunya al-Hakim bahawa hadits yang pertama diatas adalah statusnya mauquf atas Abi Qilabah seorang Tabi’in. Orang yang seperti beliau tidak akan berkata-kata melainkan diambil daripada seseorang (yaitu para shahabat) yang perkataannya diambil pula daripada tuan yang menerima wahyu (yaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم).

Mengenai Hadits yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah pula “ Bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa selepas Ramadhan melainkan Rejab dan Sya’ban “. Beliau berkata Isnad hadits tersebut dhaif . - Tammat komentar Ibnu Solah.

Syaikh al-Allamah Ibnu Hajar menjelaskan pula fungsi hadits-hadits dhaif yang berkisar dalam masalah Puasa Rejab ini. Beliau menulis di muka surat 5.

“Sesungguhnya para ulama’ telah menetapkan bahawa hadits-hadits dhaif, mursal, munqothi’, mu’dhal dan mauquf diamalkan dengannya pada fadho`ilil a’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak syak lagi bahawa berpuasa Rejab adalah sebahagian daripada fadho`ilil a’mal. Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits dhaif dan yang sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu melainkan orang-orang yang JAHIL YANG TERPEDAYA”. - Tammat.

Rabu, 18 Julai 2007

Ta'ziah



Ucapan Ta'ziah



Aku mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga keenam-enam anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat helikopter Nuri di Genting Sempah. Marilah kita sama-sama hadiahkan al-Faatihah dan mendoakan mereka semoga Allah mengampuni dosa mereka, mencucuri rahmatNYA keatas ruh mereka dan ditempatkan ruh mereka bersama ruh para syuhada' dan sholehin.


al-Faatihah buat ….

  • Kapt Nor Azlan Termuzi
  • Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof
  • Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara)
  • Sjn Mohd Azmie Md Yassin
  • Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan
  • Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad.

Membaca tasbih rukuk سبحان ربي العظيم وبحمده dan tasbih sujud سبحان ربي الاعلى وبحمده tiada sumber dari as-Sunnah?

"Sebab di UK banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam perkara agama. Banyak perkara “baru” diperkenalkan di sini dan banyak perkara “lama” dan sebati yang tiada sumbernya yang saya lakukan di Malaysia. Contoh mudah seperti penambahan perkataan “wa bihamdih” ketika rukuk dan sujud dan “saiyidina” ketika tahiyat…."


Kenyataan diatas aku jumpa komen disebuah blog seketika aku merayau-rayau dibeberapa buah blog. Aku tidak tahu samada yang memberi komen itu atas dasar ilmu yang disogokkan padanya ataupun atas kejahilannya. Memang aku tidak selesa orang dok pertikai sesuatu amalan yang telah diputuskan oleh para ulama kita secara mengkhinzir buta. Kenyataan sebegitu seolah-olah menyatakan bahwa ulama kita ini bodoh, mengada-adakan atau menambahkan sesuatu dalam agama dan sebagainya. Tapi bagi aku yang buat komen itu sebenarnya jahil. Kalau ngak mau buat, jangan menyalahkan orang lain yang buat. Ulama-ulama kami juga punya dalil. Berlapang dada lah dalam soal khilafiah. Dan berhati-hati dalam memberi komen. Yang buat aku nak komen [walaupun sebenarnya aku bukanlah layak puuuun] kerana dia mengatakan "bahwa amalan seperti penambahan bacaan wabihamdih ketika tasbih rukuk dan sujud adalah amalan yang tiada sumbernya". Ni aku nak habaq mai sumber dia.

Mula-mula mai kita tengok apa kata ulama syafi’iyyah terhadap membaca tasbih rukuk سبحان ربي العظيم وبحمده dan tasbih sujud سبحان ربي الاعلى وبحمده:

Didalam kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syaikh Arsyad al-Banjari, Juz 1, halaman 211 (rukuk) dan 218 (sujud) disebutkan:

(Dan) setengah daripada jumlah yang akmal pada rukuk bahwa dibaca didalamnya سبحان ربي العظيم وبحمده tiga kali dan yang terlebih akmal 11 kali ……. Dan lagi disunatkan bagi yang sembahyang mengucap ia dalam sujudnya سبحان ربي الاعلى وبحمده tiga kali ……

Didalam kitab Bughyah at-Thullab oleh Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni, Juz 1, halaman 130 disebutkan:

(Dan) setengah daripada sunat sembahyang itu mengucap tasbih rukuk dan sujud seperti dibacanya pada rukuk سبحان ربي العظيم وبحمده tiga kali atau lima kali atau lebih bagi yang lain daripada imam iaitu orang yang sembahyang sendirian atau imam yang redha ma’mumnya berpanjang-panjang (dan pada sujud) dibacanya سبحان ربي الاعلى وبحمده tiga kali, [menurut] riwayat Abu Daud ….

Didalam kitab Fathul Muin disebutkan:

Dan (disunatkan) ia membaca سبحان ربي العظيم وبحمده tiga kali sebagai ittaba’ ……….. dan disunatkan membaca waktu sujud سبحان ربي الاعلى وبحمده tiga kali sebagai ittiba’

Syaikh Nawawi al-Banteni (digelar sebagai Imam Nawawi ats-Tsani sewaktu zaman oleh ulama Mekah) menyebut didalam kitab Nihayatuz Zein, halaman 66 dan 69:

Dan disunatkan dalam rukuk membaca سبحان ربي العظيم kerana ittiba’ dan disunatkan menambah وبحمده. Dan disunatkan dalam sujud membaca سبحان ربي الاعلى dan disunatkan pula menambah bacaan وبحمده

Sayyid Abdullah al-Jurdani menyebut didalam Fathul 'Allam, halaman 389 dan 395:

Dan daripada kafiat membaca tasbih dalam rukuk adalah secara sir dengan bahwa dikatakan: سبحان ربي العظيم وبحمده …..
Dan daripada kafiat membaca tasbih dalam sujud adalah secara sir dengan bahwa dikatakan: سبحان ربي الاعلى وبحمده …..

Imam an-Nawawi menyebut didalam al-Majmu’ syarah al-Muhazzab:

Telah berkata ashab kami [shahabat-shabat kami dari mazhab Syafie]: Disunatkan membaca سبحان ربي العظيم وبحمده. Diantara ulama yanh memberikan nash atas sunat mengucapkan وبحمده ialah al-Qadhi Abu Thayyib, al-Qadhi Hussin pengarang kitab Syamil, Imam al-Ghazali dan para ulama selainnya

Persoalannya apa Nabi pernah membaca tambahan وبحمده?


Imam Abu Daud telah meriwayatkan sebuah didalam kitab sunannya, bermaksud
Daripada Uqbah bin Amir رضي الله عنه, telah berkata ia: Maka adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila baginda rukuk, baginda membaca سبحان ربي العظيم وبحمده. Sebanyak tiga kali. Dan apabila baginda sujud, baginda mengucapkan سبحان ربي الاعلى وبحمده sebanyak tiga kali.


Berkata Syaikh Abdul Qadir al-Mandili di dalam kitabnya Sinaran Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-Asy’ari:

Hadits [hadits riwayat yang kat atas tuh!] ini menjadi dalil bagi ulama’ kita atas menambah lafadz وبحمده. Dan tiada boleh dikatakan (bahwa hadits ini dhoif) kerana Abu Daud tiada menghukumkan ia dengan dhoif. Maka segala hadits yang didalam sunannya yang tiada mendhoifkan ia akan dia semuanya sholeh artinya patut jadi dalil dan tiada boleh dikatakan: (ketunggalan oleh al-Laits bin Said pada meriwayatkan tambahan وبحمده maka tiada sah ia menjadi dalil) kerana al-Laits bin Said thiqah (hafidz, ‘adil), dan setengah daripada yang sudah maklum hingga kepada orang-orang yang baharu belajar ilmu hadits perkataan mereka itu زيادة الثقة مقبولة artinya tambahan orang yang kepercayaan diterima akan dia. Bahkan jika fardhu taqdir tiada ada didalam hadits lafadz وبحمده , nescaya boleh juga kita membacanya kerana beramal dengan firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Furqan وسبح بحمده artinya: Dan mengucap tasbih olehmu serta memujinya, kerana dalil itu bukan hadits sahaja seperti yang sudah terdahulu. والله تعالى أعلم. [Sinar Matahari; Halaman 37]


Dalam mukasurat sebelumnya, Shaikh Abdul Qadir al-Mandili menyebut mengenai hadits Abu Daud: Berkata al-Imam Nawawi di dalam al-Adzkar: Bahwasanya barang yang menceritakan dia oleh Abu Daud di dalam sunannya dan tiada menyebut ia akan dhoifnya maka ia (hadits) pada sisinya shohih atau hasan. Dan tiap-tiap daripada keduanya dibuat hujjah dengan dia pada segala hukum, maka lebih lagi pada segala kelebihan.


Berkata Abu Daud kerana menjawab pertanyaan orang Mekah [artinya]:Menyebut aku di dalam kitabku (as-Sunan) akan hadits yang shohih dan akan barang yang menyerupai ia akan dia dan menghampiri ia akan dia. Dan barang yang ada padanya dhoif yang bersangatan nescaya aku terangkan akan dia, dan barang yang tiada menyebut aku padanya akan sesuatu maka ia sholeh (patut dibuat hujjah) dan setengahnya lebih shohih daripada setengah, dan berkata al-Hafidz Ibn Sholah: Bahwasanya hadits yang di dalam Sunan Abi Daud yang tiada mendhoifkan ia akan dia dan tiada ada ia shohih pada sisi orang yang lain daripadanya maka hadits itu hadits hasan…. [demikian petikan dari kitab Sinar Matahari oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili, halaman 36- 37]

Ustaz aku kata: Hadits-hadits mengenai bacaan tersebut, termasuk dari hadits diatas, diriwayatkan oleh imam-iman hadits daripada 5 orang shahabat yang berbeda :

  • Imam Abu Daud daripada shahabat yang bernama Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه
  • Imam Daraqutni daripada shahabat Ibn Mas’ud رضي الله عنه
  • Imam Daraqutni daripada shahabat Huzaifah رضي الله عنه
  • Imam Ahmad dan Imam Daraqutni daripada shahabat Abu Malik al-Asy’ari رضي الله عنه
  • Imam al-Hakim daripada shahabat Abu Juhaifah رضي الله عنه
Walaupun pada sanad setiap riwayat hadits itu terdapat kelemahan, tapi perlu diingat bahwasanya, ianya boleh menjadi kuat dengan adanya sokongan riwayat-riwayat lain.

Didalam Nailul Author, asy-Syaukani, menolak pendapat ulama yang mengingkari adanya tambahan وبحمده dalam tasbih rukuk dan sujud dengan katanya: Beberapa jalan riwayat ini telah saling menguatkan. Maka tertolaklah pengingkaran [terhadap riwayat adanya tambahan وبحمده ]

Kata Syaikh Abdul Haq ad-Dihlawi pada muqaddimah Misykatul Mashobih:

والضعيف إن تعد طرقه وانجبر ضعفه يسمى حسنالغيره
Hadits dhaif, jika berbilang thuruqnya (jalan riwayatnya) dan tertampung kelemahannya [darjatnya terangkat menjadi hadits yang] dinamakan hasan lighairih

Dalam kitab yang sama beliau mengatakan lagi: Hadits dhoif yang telah sampai darjatnya hasan lighairih dengan sebab berbilang thuruqnya, maka para ulama’ telah ijma [pada menyatakan keharusannya menjadi hujjah atau alasan]

Rasanya cukuplah setakat ini komen aku berdasarkan kepada pendapat para ulama. Jadi sebelum mengatakan bahwa sesuatu amal itu tiada sumbernya maka, eloklah mengaji atau kaji dulu secara adil. Jangan main pukoi borong saja!. Atau lebih baik diam saja! InshaAllah kalau ada kesempatan aku komen pulak bab membaca Sayyidina. Ampun maaf andai bahasa aku kasaq.

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah - (Siri - 8)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: hamba Allah yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Fashal (فصل) ini pada menyatakan mengesakan af’al Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan hatimu daripada syirik khafi(1) dengan Allah dan hiasi olehmu akan dia dengan mengesakan af’al Allah supaya lepas engkau di dalam dua negeri daripada azab Allah. Janganlah engkau sangkakan segala perbuatan itu daripada makhluk Allah kerana sekalian perbuatan itu daripada Allah [pada haqiqatnya]. Maka janganlah engkau mengit’tirodkan af’al Allah supaya jangan terbakar engkau dengan api i’tirod kepada Allah kerana Ia yang menggerakkan sekalian alam ini dan mendirikan dia dan [D]ialah yang mentadbirkan bagi sekalian alam, dan yang melakukan sekalian kelakuan alam ini dan sekalian makhluq ini seperti alat بيدي Allah. Maka pada tiap-tiap ketika engkau sebutkan Allah dan bangsakan olehmu akan sekalian perbuatan itu bagi Allah supaya adalah engkau daripada ahlillah. Maka tiada kuasa engkau hendak menyakiti makhluq Allah kerana malu engkau daripada Allah. Dan tiada sakit hatimu daripada perbuatan seseorang kerana sakit hati engkau serta Allah. Kerana [D]ialah yang berbuat segala perbuatan [se]seorang dan takutlah engkau daripada memecahkan hati orang mu’min kerana jadi engkau meruntuhkan ka’bah Allah. Maka lari olehmu daripada makhluq kepada khaliq dan engkau jauhkan daripada bercampur pada segala pekerjaan makhluq dan lepaslah [buanglah] engkau daripada keinginan dan pemarah dan jadi engkau hamba yang suci bagi Allah dan tiada kamu kasih dan benci melainkan kerana Allah dan sampailah engkau kepada khalwat(2) serta Allah.

________________________________________

Notakaki:-

(1) Syirik khafi seperti menurut Syaikh Muhammad Nafis didalam kitabnya Duraratun Nafisah syarah bagi kitab ad-Durrun Nafis: Adapun segala yang menegahkan sampai ia orang yang salik itu berjalan kepada Allah Ta’ala itupun amat banyak juga dan setengah daripadanya itu SYIRIK KHAFI. Artinya syirik yang tersembunyi didalam hati iaiitu membangsakan ia segala perbuatan yang terbit ia daripada makhluq Allah itu kepada makhluq itu juga tiada kepada Allah Ta’ala. Karena pada haqiqatnya yakni yang sebenarnya, segala perbuatan ini sekaliannya terbit ia daripada Allah Ta’ala itu juga. Dan adalah segala makhluq ini seolah-olah alat perkakas perbuatan Allah itu juga. Umpamanya itu dengan tiada disertakan seperti umpama qalam pada tangan orang yang menyurat sebarang kehendak tangan orang yang menyurat itu ……

(2) Menurut ahli tasawwuf, khalwat terbahagi kepada 2 jenis, iaitu yang umum dan yang khusus. Khalwat yang umum iaitu bila seseorang mukmin itu melapangkan masa untuk berzikir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Khalwat yang khusus iaitu bertujuan untuk sampai ke darjat ehsan (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebutkan ان تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك Ehsan itu engkau ubudiyyah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya seandainya engkau tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat engkau).

Khalwat yang khusus terbahagi kepada 2 tahap. Pertama bagi salik, khalwat dilakukan dengan tubuh badan dan hati sekali. Kedua bagi golongan ariffin, khalwat dilakukan dengan hati sahaja walaupun tubuh badan mereka bercampur gaul dengan orang ramai namun hati mereka semata-mata dengan Allah sahaja. Khalwat jenis ini yang dimaksudkan dengan istilah “al-Khalwat fil Jawlah”. Khalwat inilah yang dimaksudkan oleh Shaikh al-Jurjani (w 816H) bila beliau mendefinasikan khalwat sebagai “bisikan sirr beserta Allah semata-mata” (at-Ta’rifaat, hlm. 136).

Asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad bin Abdullah al-Khani, seorang khalifah kepada Syaikh Khalid al-Baghdadi رضي الله عنهم menyebut didalam kitabnya al-Bahjatus Saniah, halaman 83-84 (cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) maksudnya: “kalimah ketujuh : Khilwah dar Anjuman -` Khalwat itu dalam istilah Sufiyyah dikenali sebagai suatu tempat di mana ahli suluk berasingan untuk beribadat dan "anjuman" bermakna "perkumpulan manusia".

Maka makna yang dikehendaki dengannya di sisi mereka adalah bahwa hendaklah hal keadaan hati salik itu hadir berserta dengan al-Haq, dengan hadhir yang "ghaib" dari makhluq sedangkan keadaannnya bergaulan dengan manusia maka pada makna ini jadilah makna kalimah "khalwat dar anjuman" ini dengan makna muraqobah.

(Kemudian ketahuilah) bahwa khalwat itu dua bahagian:

(Yang pertama) - Khalwat dzohir iaitu salik bersunyian dalam sebuah rumah (tempat) yang sunyi dari manusia. Dan dia duduk dalamnya supaya hasil baginya menilik-nilik ke alam malakut dan syuhud pada 'alam jabarut, kerana sesungguhnya pancaindera dzohir itu apabila terhalang maka terbuka pancaindera bathin untuk memerhatikan tanda-tanda alam malakut dan mukasyafah rahsia-rahsia alam jabarut.

(Yang kedua) - Khalwat secara bathin di mana bathinnya sentiasa musyahdah rahsia-rahsia al-Haq dan dzhohirnya (jasadnya) berada di lingkungan manusia dan bergaul dengan mereka sekira-sekira tidak menyibukkan pergaulan dzohir itu dari musyahadahnya yang bathin, maka jadilah ketika itu bathinnya terpisah dari pergaulan dzohirnya. Dan inilah khalwat yang haqiqi sebagaimana yang disebut oleh Allah Ta'ala yang mafhumnya: "Lelaki yang jual beli dan perniagaannya tidak melalaikannya dari dzikrullah".

Dan khalwat inilah yang khusus bagi thoriqah Naqsyabandiyyah kerana pemuka-pemukanya tidak berkhalwat dengan khalwat dzohir dan sesungguhnya khalwat mereka khalwat bathin di sisi perhimpunan manusia sebagaimana kata-kata Khawajah Bahauddin Naqshbandi قدس الله سره; "Thoriqah kami adalah al-suhbah dan kebaikan itu adalah dalam berhimpun".

Sesungguhnya mereka memilih khalwat cara ini kerna mengikuti sunnah Nabi صلى الله عليه وسلمkerna Nabi صلى الله عليه وسلمmemilih berhimpun daripada khalwat dan baginda صلى الله عليه وسلم bersabda : "Seorang mukmin yang mencampuri manusia dan sabar atas kesakitan dari mereka adalah terlebih baik dari mukmin yang tiada mencampuri manusia".

Dan berkata Syeikh Abu Sa'id al-Kharraz قدس الله سره :"Bukanlah orang kamil itu seorang yang timbul darinya beberapa karamah, sesungguhnya orang kamil itu ialah orang yang duduk berserta makhluq, menjual dan membeli dengan mereka, berkahwin dan bercampur manusia sedangkan mereka tiada lalai dari Allah walaupun sedetik". (tammat petikan)

Isnin, 16 Julai 2007

PENGUMUMAN

Untuk mendapatkan jadual pengajian atau majlis bersama ulama' sila lawati blog pengumuman saya disini.

Sabtu, 14 Julai 2007

PENGUMUMAN MAJLIS ILMU

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر




Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4:
Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [dengan] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum [sufi] seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasaya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.



Pengajian Kitab Hidayatus Salikin bersama al-Fadhil Shaikh Ahmad Fahmi Zam Zam an-Nadwi al-Maliki asy-Syadhuli di Masjid al-Falah USJ 9, Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.

Tarikh : 18 Julai 2007 (Rabu)
Masa: Selepas sholat Maghrib






Muslimin dan Muslimat dijemput hadir

Majlis Pembukaan / Pelancaran Madrasah an-Nur


Tarikh: 15 Julai 2007
Masa: 11 pagi

Tempat: No 36, Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
Program pelancaran: Bacaan Maulid


InsyaAllah, diminggu-minggu akan datang, di madrasah ini akan diadakan program pengajian ilmu fiqh, tasawwuf dan tafsir secara mingguan dan menggunakan kitab-kitab yang akan ditetapkan kelak. Adapun penubuhan madrasah ini adalah merupakan hasrat Tuan Guru kita, Yang Mulia, al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Muslimin dan Muslimat, semuanya dijemput hadir.

Jumaat, 13 Julai 2007

Rejab Nak Mai Dah ...

Kelip pok kelip pok ….dok tak dok, itsnin ni masuklah 1 Rejab 1428, maknakata dua bulan lagi Ramadhan mai. Semoga kehadiran bulan Rejab ni membawa keberkatan kepada aku dan kalian semua. Dikhabarkan juga bahwa Rasululah صلى الله عليه وسلم berdoa semasa melihat anak bulan Rejab dengan doanya:

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغناشهررمضان

Artinya: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan

Allahu Allah, dan aku dapati dalam bulan ni ramai pakat posa. Alhamdulillah. Tapi yang aku pelik bin heran bin ajaib bila ada golongan dok pi kata macam-macam pada orang yang rajin posa bulan Rejab ni. Bid’ah lah, sia-sia lah, Nabi tak buat lah …. dan pelbagai tohmahan lagi. Ish..ish ….tak paham aku.

Jadi kadang-kadang dok jadi tandatanya, boleh ka posa bulan Rejab ni? Mau kalau boleh, pasai apa ada yang dok lempaq kata macam-macam? Bahkan kawan-kawan pun ada dok tanya. Dan aku jawab mudah saja. BOLEH. Pasai tok guru-tok guru aku kata boleh bila aku tanya depa. Jadi mai kita tengok boleh ka tak boleh.

Dalam didalam kitab Syarh Shahih Muslim oleh Imam Nawawi رحمه الله,

`Uthman ibn Hakim al-Ansari berkata: "Aku bertanya Said ibn Jubair berkenaan dengan berpuasa di bulan Rejab, dan kami sedang berada di bulan Rejab. Maka Said berkata: “Aku telah mendengar Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah berpuasa berterusan sehingga kami mengatakan (menyangka) bahawa baginda tidak akan berbuka samasekali, dan baginda juga [ada ketikanya] berbuka [tidak berpuasa] berterusan sehingga kami mengatakan [menyangka] bahawa baginda tidak berpuasa samasekali

Imam an-Nawawi tatkala dalam memberi keterangan mengenai hadits diatas, maksud jawaban Sa’id bin Jubair dalam hadits di atas adalah seseorang tidak dilarang untuk menunaikan puasa pada bulan Rejab dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak menggalakkan seseorang untuk berpuasa pada bulan tersebut. Bahkan seseorang diperbolehkan untuk berpuasa sunnah di bulan apa saja. Atau dengan kata lain, tidak ada aturan hadits Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang menyatakan bahwa puasa di bulan Rejab hukumnya sunnah atau dilarang.

Didalam kitab Sunan Abi Daud disebutkan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menggalakkan seseorang untuk berpuasa pada asy-hurul hurum (bulan-bulan yang dihormati dimana diharam berperang). Dan bulan Rejab adalah salah satu bulan daripada bulan-bulan tersebut.

Jadi tang mana salahnya depa yang rajin dok posa dalam bulan Rejab. Bukan ka, kalau tengok hadits diatas menunjukkan Nabi صلى الله عليه وسلم juga pernah berposa pada bulan Rejab? Maka sapa kata Nabi صلى الله عليه وسلم tak pernah posa dalam bulan Rejab maka dia pembohong. Mau kalau hampa tak mampu buat, maka janganlah dok pi tuduh macam-macam pada orang yang buat.

Didalam sebuah kitab fiqh bertajuk Raudhotut Tholibin yang di karang oleh al-Imam an-Nawawi jugak, beliau ada menyatakan bahwa:

Bulan-bulan yang paling utama untuk puasa setelah bulan Ramadhan ialah bulan-bulan haram [yakni]; Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab.

Dalam Fathul Mu’in sebut:

Bulan-bulan yang afdhal untuk berpuasa setelah bukan Ramadhan adalah asyhurul hurum [bulan-bulan haram iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah, Muharram dan Rejab] Dan yang paling afdhal daripadanya adalah Muharram kemudian Rejab, kemudian Dzul Hijjah kemudian Dzul Qaedah, kemudian Sya’ban [bulan Sya’ban tidak termasuk didalam asyhurul hurum]

Manakala dalam sebuah hadits yang menceritakan tentang berpuasa pada asy-hurul hurum
Diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya, dia berkata (maksudnya): "Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia menghadap baginda sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau mengenaliku?" Baginda bersabda: "Siapa engkau?" Dia berkata: “Saya adalah al-Bahili yang datang mengadap engkau pada tahun lalu” Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: "Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah denganmu”. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Kenapa engkau menyiksa dirimu?” Selanjutnya baginda bersabda: "Berpuasalah pada bulan sabar (Ramadan) dan sehari setiap bulan” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat”. Baginda bersabda: “Berpuasalah dua hari (setiap bulan)” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku” Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Sambil baginda bersabda itu baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya." (Hadits riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang baik)

Ulama’ memberi komentar bahwa sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم memerintahkan al-Bahili meninggalkan berpuasa beberapa ketika kerana mendapati kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa keseluruhannya adalah satu fadhilat [kelebihan] (Rujuk: al-Majmu‘ dan I‘anah ath-Tholibin)

Pernah satu ketika dulu seorang ustaz berceramah di sebuah surau kat tempat aku dok mengatakan bahwa sapa-sapa yang dok posa Rejab, Sya’ban sambung sampai Ramadhan maka yang 2 bulan pertama tu, dia tak boleh apa, sia-sia, penat saja bahkan silap haribulan boleh membawa ke neraka. MasyaAllah mudahnya hukum, serupa dosa pahala syurga neraka, pak dia punya pulak!

Ittaqullah! Ittaqullah! Allahu Allah ….. kalau lah mereka yang posa berterusan dalam bulan Rejab, Sya’ban dan seterusnya Ramadhan, itu sia-sia dan boleh membawa ke neraka, maka bagaimana kedudukan para shahabat dan tabi’in yang posa sepanjang tahun (kecuali pada 5 hari yang diharamkan posa)? Fikir-fikirkan! Dalam kitab Bahrul Madhi karangan Syaikh Idris al-Marbawi, ada sebut tentang posa sepanjang tahun.

289 – Masalah: Puasa sepanjang tahun itu siapakah daripada slaf memperbuatnya? (Kata Nawawi) di dalam syarah al-Muhazzab – Bermula nama setengah daripada ulama-ulama daripada salaf dan khalaf daripada mereka yang puasa sepanjang-panjang tahun dan setiap hari lain daripada hari yang lima yang ditegahnya, maka setengah daripada mereka itu Umar bin al-Khattab dan anaknya Abdullah dan Abu Tholhah ak-Anshori dan Abu Umamah dan isterinya dan siti ‘Aisyah رضي الله عنهم . Dan telah menyebut oleh Baihaqi akan yang demikian itu daripada mereka itu dengan asanidnya dan hadits Abi Tholhah di dalam shohih al-Bukhari. Dan setengah daripada mereka itu lagi ialah Sa’id bin al-Musayyab dan Abu Amr bin Hamas dan Sa’id bin Ibrahim bin ‘Abdurrahman bin ‘Auf at-Tabi’iy - menurut-nurut akan puasanya empat pulah tahun, dan al-Aswad bin Yazid, dan setengah daripada mereka itu al-Buwaithi dan guru kami Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maqdisi al-Faqih al-Imam az-Zahid. Intaha.

Ish…ish…ish, kalau begitu, maka apa masalahnya bagi mereka yang dok posa straight 3 bulan tuuu??????????? Pada mereka yang rajin dok membid’ahkan orang dok wat posa Rejab, Sya’ban ni maka berhati-hati lah!

Ampun maaf kalau kasaq bahasa. Bahasa tunggang langgang. Aku seorang penuntut dan pencinta ilmuuuuu tapi bukannya alimmmm ...

Maka mai lah kita pakat buat persedian awal untuk menyambut Ramadhan dengan melatih diri memperbanyakkan amal pada bulan Rejab dan Sya’ban dan seterusnya Ramadhan dan semoga dengan berkat Ramadhan, segala perbuatan itu akan berterusan sehingga kedatangan Ramadhan yang satu lagi …. Ameen.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغناشهررمضان

Khamis, 12 Julai 2007

Membaca أقامها الله وادامها selepas muazzin membaca قدقامت الصلاة sewaktu iqamat.

Semalam aku menerima satu sms dari seorang rakan menanyakan soalan, apakah boleh membaca أقامها الله وادامها selepas muazzin membaca قدقامت الصلاة sewaktu iqamat? Kalau boleh, apa dalilnya, kerana katanya ada seorang rakannya mengatakan tidak boleh.

Maka spontan aku menjawab smsnya dengan jawapan bahwa BOLEH. TIDAK BID’AH - nanti aku jawab soalan hang dalam blog aku. Maka untuk menunaikan janji pada rakanku ini, terhasillah tulisan yang tidak seberapa ini. Semoga jawapan ini sedikit sebanyak menjawab persoalan rakan aku tu. Dan setakat ni yang termampu aku lakukan pasai aku bukannya orang ‘alim, tapi cuma sekadar seorang penuntut ilmu sahaja. Maka terlebih dulu aku pohon ampun dan maaf sekiranya tersalah dan tersilap. Kalau mau jawapan yang ‘kau-kau’ maka hang pi lah tanya kepada para tok mufti KECUALI mufti indera kayangan. :)

Kupetik daripada kitab fiqh manhaji, jilid 1, halaman 121, cetakan Dar al-Qalam:
Dan disunatkan bagi yang mendengar [seruan iqamat] menyebut أقامها الله وادامها (hadits riwayat Abu Daud: 528)


Tersebut didalam kitab Sabil al-Muhtadin karangan Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, halaman 174:

(Dan disunatkan) bagi orang yang mendengar akan orang bang [azan] dan iqamat bahwa menyahut ia seperti lafaz yang dikatakan oleh keduanya dan jika ada ia junub dan haidh sekalipun dan makhruh baginya meninggalkan menyahut dia …….. [aku tinggalkan, sebab panjang, nak tau sila baca sendiri :)] …..(dan melainkan) pada lafaz قد قامت الصلاة maka disahutnya akan dia dengan– أقامها الله وادامها وجعلني من صالحي اهلها

Di dalam kitab Umdah as-Saalik pada bab azan dan iqamah:

Disunatkan bagi yang mendengar [azan dan iqamat] walaupun ia berkeadaan junub atau haid atau ketika membaca [al-Quran], menyahut sepertimana kalimah-kalimah atau ungkapan yang dilaungkan oleh orang yang azan dan iqamah itu, dan pada kalimah hai’alatan [حي على الصلاة – حي علي الفلاح ] dijawab لا حول ولا قوة إلا بالله dan pada الصلاة خير من النوم [dijawab] صدقت وبررت dan pada dua kalimah iqamah [قد قامت الصلاة]:
أقامها الله وأدامها ما دامت السموات والأرض وجعلني من صالحي أهلها
Sekiranya [ketika mendengar azan itu] ketika dalam keadaan berjimak [bersetubuh] atau didalam qada hajat atau sedang bersholat [maka] dijawab sesudah selesai perbuatan tersebut.

Seterusnya aku menemui jawaban yang cukup bagus pada persoalan yang sama dalam sebuah kitab bertajuk Sinar Matahari oleh al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Indonisi al-Mandili. Kitab ini beliau susun khusus untuk menjawab buku tulisan Ustaz Abu Bakar al-Asy’ari yang bertajuk Ibadat Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Kemudian berkata ia [Ustaz Abu Bakar al-Asy’ari] pada muka 19: (8) Dan tidak ada bacaan أقامها الله وادامها sesudah iqamat atau pada ketika membaca pada قدقامت الصلاة

Berkata aku [Syaikh Abdul Qadir al-Mandili]: Ini perkataan tiada betul, bahkan ada padanya bacaan أقامها الله وادامها pada ketika berkata orang yang iqamat itu akan قد قامت الصلاة .Telah menceritakan oleh Abu Daud didalam sunannya daripada Abi Umamah رضي الله عنه atau daripada setengah daripada shahabat Nabi صلى الله عليه وسلم :
إن بلال أخذ في الإقامة، فلما أن قال: قد قامت الصلاة، قال النبي صلى الله عليه وسلم: أقامها الله وأدامها

Artinya: Bahwasanya Bilal رضي الله عنه masuk ia pada iqamat, maka tatkala berkata Bilal: قدقامت الصلاة . Berkata Nabi صلى الله عليه وسلم
أقامها الله وادامها – artinya: Mudah-mudahan mendirikan dia oleh Allah Ta’ala dan mengekalkan akan dia. Sempurnakan olehmu akan hadits.


[Pada catatan notakaki, disebutkan: Ini hadits didalam Sunan Abi Daud, hadits nombor 528 pada halaman 209 daripada juz awal cetakan Mustafa Muhammad. Dan di dalam Adzkar an-Nawawi pada halaman 50 didalam bab ما يقول من سمع الؤذن والمقيم ]

Tiada dikatakan: Bahwasanya ini hadits dhoif, kerana kami berkata: Tiada mendhoifkan akan dia oleh Abu Daud. Berkata al-Imam Nawawi di dalam al-Adzkar: Bahwasanya barang yang menceritakan dia oleh Abu Daud di dalam sunannya dan tiada menyebut ia akan dhoifnya maka ia (hadits) pada sisinya shohih atau hasan. Dan tiap-tiap daripada keduanya dibuat hujjah dengan dia pada segala hukum, maka lebih lagi pada segala kelebihan.

Berkata Abu Daud kerana menjawab pertanyaan orang Mekah [artinya]:Menyebut aku di dalam kitabku (as-Sunan) akan hadits yang shohih dan akan barang yang menyerupai ia akan dia dan menghampiri ia akan dia. Dan barang yang ada padanya dhoif yang bersangatan nescaya aku terangkan akan dia, dan barang yang tiada menyebut aku padanya akan sesuatu maka ia sholeh (patut dibuat hujjah) dan setengahnya lebih shohih daripada setengah, dan berkata al-Hafidz Ibn Sholah: Bahwasanya hadits yang di dalam Sunan Abi Daud yang tiada mendhoifkan ia akan dia dan tiada ada ia shohih pada sisi orang yang lain daripadanya maka hadits itu hadits hasan…. [demikian petikan dari kitab Sinar Matahari oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili, halaman 21- 22]


Begitulah adanya.والله أعلم






Kob, aku harap hang puas hati! Toksah dok layan sangat kawan hang tuh. Puak tu memang lagu tu ... sikit-sikit dalil... sikit-sikit dalil. Hehehe. Ada masa kita jumpa di KL.



Rabu, 11 Julai 2007

Risalah ‘Amal Ma’rifat Mengesakan Allah
(Siri - 2)


Transliterasi Kitab Risalah ‘Amal Ma’rifat oleh Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى - Mufti Kerajaan Inderagiri


(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana dikhuatirii tiada muwafakat dengan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Sekian.)

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
Adapun kemudian daripada itu, maka berkata hamba yang dhoif lagi yang amat hina iaitu ‘Abdurrahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif Banjari غفرله ولوالدين ولمشائخه ولجميع المسلين ربه البارئ manakala hamba bersangatan puas dan jemu melihat dan mendengar di dalam berpuluh-puluh tahun keadaan ghalib manusia di Tanah Jawi kita ini masing-masing menuntut ilmu penghabisan dan ilmu kesempurnaan diri dan ilmu perpegangan ketika sakratul maut yang sehabis-habis tinggi – manakala ditaqrirkan oleh oleh ulama yang haq ahlul sunnah wal jamaah akan jalan ma’rifat ahlul tasawwuf yang sebenar yang berasal daripada al-Quran dan hadits dan ijma’ ulama’ maka tiba-tiba jadi ringan kepada mereka itu setengah mereka itu berkata belum lagi sampai kepada ilmu yang sebenarnya dan masih kulit, belum isinya. Dan setengah mereka itu mendakwa menyembunyikan ilmu yang sebenarnya dan yang diajarkan ulama’ itu emas muda bukannya emas perada [emas tua yang berkilauan warnanya – abu zahrah] hingga berbagai-bagai perkataan mereka itu dan mereka itu pun sentiasa beredar dia keliling segala negeri kita ini mencari-cari ilmu yang sebenarnya hingga bertemu dengan mereka itu dengan dhollun mudhillun artinya orang yang sesat lagi menyesatkan orang pada pada hal ia mengaku mempunyai ilmu yang sebenarnya yang tiada ada pada ulama’. Dan dia merupakan dirinya ulama’ yang haq. Maka menuntutlah mereka itu kepadanya ilmu rahsia yang halus-halus dengan segala syarat mendapat itu ilmu setengahnya dengan syarat kain putih dan tikar putih dan setengahnya dengan ketan [beras pulut – abu zahrah] dan ayam dan wang yang tertentu dan barang sebagainya.

Maka diajarkannya oleh guru-guru palsu itu akan ilmunya yang tiada pula muafaqat pengajar segala guru-guru palsu itu. Setengahnya Allah ada dalam diri kita, dan setengahnya dengan satu dua kalimat seperti (طَقُّوَ الله) yang apabila mendengar bengkarung atau cicak nescaya masuk syurga dan setengahnya apabila hampir sakratul maut datang kepadanya malaikat yang empat dan Nabi Muhammad dan Allah Ta’ala, dan ada nur yang terdiri kelangit yang diperpegangi. Dan setengahnya apabila memakai ilmunya sampai kepada martabat tawassu’ [توسّع] artinya keluasan dan kelapangan, sembahyang jadi tidak sembahyang jadi dan tidak wajin menuntut ilmu agama yang lain daripada امر [amr- suruhan] dan نهي [nahyun - tegahan] dan jikalau mau sembahyang pun tiada wajib qasod, ta’rudh dan ta’yin, hanya musyahadah wujud Allah Ta’ala atau fana’ dalam nur Muhammad hingga beberapa bagai yang amat banyak yang didapat daripada pengajar guru-guru yang palsu yang ia dhollun mudhillun [orang yang sesat lagi menyesatkan]. Dan ia khalifah dajjal bagi menyesatkan orang Islam sekeliannya itu, telah hamba [pengarang kitab - Shaikh ‘Abdurrahman Siddiq al-Banjari] didalam berpuluh-puluh tahun.


اللهم احفظ وارحم امة محمد صلى الله عليه وسلم من تلك البدع المنكرة المكفرة – آمين
Hai Tuhanku, peliharakan dan kasihankan kiranya olehMu umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم daripada beberapa bid’ah yang mungkar lagi yang mengkapirkan itu.

Isnin, 9 Julai 2007



Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan

oleh Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni
(Siri – 2)



Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan



(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: hamba yang Faqir lagi Haqir, Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab kanzul minan ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun hikam Abu Madyan dan syarah Tok Syaikh Daud ini juga memerlukan pengupasan dan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)


القرآن نزل وننزل فالنزول قد مضى والتنزل باق الى يوم القيامة
Bermula Quran telah diturunkan dan lagi akan diturunkan. Maka yang sudah diturunkan sanya telah lalu dan lagi diturunkan itu berkekalan hingga hingga hari qiamat.

Yakni, Quran yang diturunkan atas penghulu kita Muhammad صلى الله عليه وسلم dengan lidah Jibril عليه السلام telah lalu, yakni telah selesailah turunnya pada zaman Nabi kitab Muhammad صلى الله عليه وسلم dan Quran yang diturunkan atas hati segala auliya’Nya daripada barang yang diilhamkan mereka itu akan dia pada waktu jernih hati mereka itu dan dipahamkan maknanya apabila bersunyi dengan kekasih mereka itu iaitu berkekalan turunnya hingga hari qiamat seperti barang yang diisyaratkan kepada yang demikian sabda Nabi صلى الله عليه وسلم didalam sabdanya (استفت قلبك وان افتاك المفتون) [artinya] minta fatwa olehmu akan hati engkau dan jika difatwa akan oleh yang memfatwakan dan kata setengah ‘arifin telah memfatwa akan daku hatiku daripada Tuhanku dan kata Abu Yazid [al-Bistami] رضي الله عنه , kami ambil ilmu kami daripada Tuhan yang al-Hayy al-Qayyum la yamut maka dikatakan orang baginya: Adakah bagimu daripada syahid [dalil atas dakwaan tersebut] atas kata [kebenaran]mu itu daripada kitab [al-Quran] dan daripada sunnah [al-Hadits]? Maka katanya [Abu Yazid al-Bistami]: Bahkan! Iaitu firman Allah Ta’ala (واتقوا الله ويعلمكم الله) [artinya: takutlah kamu kepada Allah, maka Allah akan mengajar kamu – al-Baqarah:282] (dan) hadits Nabi صلى الله عليه وسلم [artinya] barangsiapa mengerjakan barang yang diketahuinya dipusakakan dia Allah akan ilmu yang tiada diketahuinya

(Dan) kata Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه , ditanyai orang akan dia: Adakah menentukan kamu Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan suatu yang tiada diberikan [kepada] manusia [yang lain]? Jawabnya: Tiada ada pada kami melainkan paham kami didalam kitabullah dan barang yang di dalam shahifah dan tiada didalam shahifah melainkan beberapa masail [masalah-masalah] yang berbilang-bilang jua, tiada bergantung baginya pengetahuan dan sungguhnya kelakuan sekeliannya pada paham di dalam kitab yang diturunkan atas segala hati yang suci daripada aghyar dan lagi barang yang dinaqal daripada Sayyidi Abi Abbas al-Mursi رضي الله عنه pada firman Allah Ta’ala (يخرج الحي من الميت ويخرج الميت من الحي) [Artinya: Dikeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan dikeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup - surah aali-Rum:19] yakni dikeluarkan yang hidup daripada yang mati dan dikeluarkan yang mati daripada yang hidup, katanya seperti manusia mengerjakan dosa maka didapatkan dia dengan minta ‘uzur dan inkisar, maka ini hidup dan iaitu minta ‘uzur keluar ia daripada yang mati iaitu dosa dan seorang pula mengerjakan taat dan dirubahkan dia dengan ‘ujub dan bermegah-megah maka ini mati iaitu ‘ujub dikeluarkan daripada yang hidup dan iaitu taat


(Dan hasil) daripadanya bahwasanya orang yang salik itu apabila disucikan dzahirnya dan bathinnya dan jernih hatinya daripada segala aghyar dan jalan thoriqat al-Muhammadiyyah nescaya bersihlah cermin hatinya daripada kekeruhan kauniah dan hapuslah daripadanya segala karat tulus nafsiah. Maka jadi ahli ia ketika itu hatinya bagi tempat turun limpah nur ar-rabbaniah dan jadi ahlilah ia bagi musyahadah dan mukamalah, maka paham ia daripada Quran barang yang tiada mafhum oleh orang yang lainnya dan turunlah pada hatinya makna asrari ditentukan dia dan dapatnya akan hikam rabbaniah kerana inilah kata ‘ar`if [iaitu] Ibn ‘Athoillah:
فرغ قلبك من الاغيار تملأ ه بالمعارف والاسرار
Selesaikankan olehmu akan hatimu daripada segala aghyar, dipenuhkan akan dia [yakni hatimu] dengan ma’rifat dan asrar

Bersambung……..


[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M]

Selasa, 3 Julai 2007

Ar-Rasail al-Darqawiyah
(Siri – 3)

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya belajar dan bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah sesekali diandaikan dengan kefahaman sendiri. Sekian.)


Salah seorang daripada saudara-sauadara kita berkata kepadaku: “(Diri) saya ini tiada”. Aku menjawab: “Jangan berkata, (diri) saya ini tiada, jangan pula berkata (diri) saya ini sesuatu. Jangan berkata, saya berhajat kepada perkara anu, pun jangan berkata, saya tidak berhajat kepada apa-apa, tetapi katakanlah الله, nescaya kau akan melihat pelbagai perkara yang ajaib.”


Seorang saudara lagi berkata kepadaku: “Bagaimana hendak mengubati nafsu?” Jawabku: “ Lupakan sahaja dan jangan fikirkan tentang nafsu. Kerana orang yang tidak melupai nafsunya (tidak melupai diri sendiri) tidak ingat kepada Allah.” Kalau begitu, kamu tidak tidak boleh membayangkan didalam fikiran bahawa wujud alam inilah yang menyebabkan kita melupai Tuhan kita. Apa yang menyebabkan kita melupai tuhan kita ialah wujudnya diri kita sendiri, iaitu nafsu kita.(1) Tiadalah yang mendinding kita daripada Tuhan kita melainkan kesibukkan kita memuaskan keinginan hawa nafsu kita sendiri. Adapun alam ini sendirinya tiada menjadi penghalang untuk kita mengenal Allah. Sekiranya kita boleh melupai wujud diri kita sendiri, nescaya kita akan mendapati al-Haq Ta’ala yang menjadi sumber bagi wujud kita dan pada masa yang sama kita akan melihat bahawa sebenarnya kita tidak maujud.(2) Bagaimanakah boleh tasawwur [tergambar] dalam fikiran bahawa manusia boleh fana’ daripada alam ini dengan tiada fana’ daripada nafsunya? Ini tidak mungkin berlaku.


Tidak tasawwur pada aqal bahawa seseorang faqir boleh memisahkan dirinya daripada segala sesuatu, tanpa tidak berada ia pada hadrat Allah Ta’ala. Tak mungkin (ia tidak sampai pada hadrat Allah Ta’ala setelah terpisah dirinya yakni hatinya daripada terikat dengan makhluq), kerana orang yang himmah(3)nya telah mengatasi sekalian makhluq, sesungguhnya telah sampailah ia kepada al-Khaaliq (الخالق), dan sampai kepada Allah itu bererti mengenalnya (dengan pengenalan yang zauqi, iaitu melalui ilmu laduni). Oleh itu, berazamlah tinggalkan segala perkara yang engkau bertawakkal atau berserahdiri kepadanya – baik apa sahaja perkara itu – dan janganlah bertawakkal (atau berserahdiri atau bergantung hati) kepada semua itu.

لقد خاب من رضي دونك بدلا ، وفقد خسر من بغى عنك متحولا
لكل شيء إن فارقته عوض ، وليس لله إن فارقت من عوض

Sungguh gagallah orang yang redho dengan tuan hamba sebagai ganti tuan hamba
Dan sungguh rugilah orang yang berkehendak berpindah dari tuan hamba
Apa sahaja yang kamu tinggalkan boleh dicari gantinya
Tetapi tiadalah sesuatu yang boleh menggantikan ALLAH sekiranya kau meninggalkan DIA(4)


**************

Notakaki

(1) Wujud alam ini, kata setengah-setengah ‘arifin billah, tiada mendinding kita daripada mengenal Allah. Ini adalah kerana wujud alam ini hanyalah wujud yang majazi bukannya haqiqi. Sebagaimana wujudnya bayang-bayang kayu di dalam air tiada sekali-kali menghalang laluan perahu. Hanya sanya yang mendinding kita daripada Allah atau menyebabkan kita lupa kepadaNya ialah waham kita jua atau kesibukan kita dengan keinginan-keinginan nafsu.

(2) Yakni kita tidak maujud dengan wujud yang haqiqi. Wujud haqiqi hanyalah wujud al-Haq Ta’ala. Adapun wujud kita wujud khayali atau wujud wahmi atau wujud majazi jua, iaiatu ibarat barang-bayang nisbah kepada wujud al-Haq Ta’ala.

(3) Himmah ( الهمة ) ialah kehendak yang bangsa ruhaniah atau tumpuan hati yang bangsa ruhaniah yang mengatasi nafsu yang bangsa duniawi.

Sedikit tambahan oleh Abu Zahrah: Maksud himmah menurut Tok Pulau Manis di dalam kitab syarah hikam …(Bermula) himmah itu iaitu kuat nafsu berbuat dalam wujud dengan izin Allah Ta’ala. (Dan) adalah himmah itu dua bahagi suatu kubra [besar] dan kedua sughra [kecil], maka yang sughra itu iaitu taa’luq hati pada suatu yang dicita padanya dan yang kubra itu iaitu ittisol [berhubung atau bersambung] hati pada Allah dengan tiada infisol [berpisah atau bercerai. Adapun maksudnya ‘iaitu ittisol hati pada Allah dengan tiada infisol’ adalah hati itu sentiasa ingat dengan muraqabah serta musyahadah kepada Allah tanpa lalai walaupun sedetik, seolah-olah terikat dan terhubung yang tiada dapat dipisah-pisahkan].

Manakala menurut Syaikh Abdusshamad al-Falimbani di dalam kitab Sairus Salikin, ianya bermaksud:
Bersungguh menjalani akan jalan [Allah] ini seumur hidupnya iaitu sekira-kira jangan lalai dan jangan lupa dan jangan segan [malas] dan jangan letih supaya sampai kepada martabat yang tinggi dan maqam yang tertinggi.

(4) لقد خاب من رضي دونك بدلا ، ولقد خسر من بغى عنك متحولا
Sungguh gagallah sesiapa yang redha dengan yang selainMu sebagai ganti,
Dan rugilah sesiapa yang daripadaMu berkehendak dia berpaling diri.
لكل شيء إن فارقته عوض ، وليس لله إن فارقت من عوض
Bagi setiap sesuatu ada pengganti jika engkau berpisah dengannya,
Tiada bagi Allah sebarang pengganti jika engkau berpisah denganNya.
وقل ليس لي في غير ذاتك مطلب ، ولا صورة تجلى ولا طرفة تجتنى
Dan katakanlah, “Tiadalah bagiku selain daripada zatMu yang kucari,
Tidak (pada sebarang) bentuk pentajallian dan tidak (pula pada sebarang) “permata” (yang indah lagi asing) yang diperolehi.”

Isnin, 2 Julai 2007

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah
(Siri - 7)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Maka gemar olehmu hai saudaraku akan lazat minuman ini dengan banyak tawajuh kepada Allah dan berpaling dengan hatimu daripada barang yang lain daripada Allah. (Dan barangsiapa) ada himmahnya(2) itu ma-siwallah lemahlah lidah daripada memperikan(3) ruginya. Maka angkat olehmu akan himmahmu dari dua negeri [dunia dan akhirat] dan daripada hawa nafsumu kepada Allah, kerana himmah ahli dunia dan himmah ahli akhirat dan doa mereka itu menutupkan bahagian nafsu mereka itu daripada Allah. Maka ialah membimbangkan mereka itu daripada zikrullah, tiada merati [memperhati] mereka akan berseteru mereka itu. Dan tiada menutup mereka itu akan Allah, hanya menutup akan isteri dan anak didalam dunia, dan anak bidadari dan mahligai di dalam akhirat. Maka buatlah ibadat mereka itu kerana nafsu mereka itu. Dan ahli dunia kasih mereka itu akan nafsu dan menjadi hamba nafsu serta berkhidmatkan dia dengan menyakitikan makhluk Allah dan membinasakan hati mereka itu iaitu baitullah. Dan tiada malu daripada Allah pada hal [D]ia serta mereka itu dan sangat menyesal mereka itu kemudian daripada mati dengan sebab tiada beradab dengan Allah kerana membinasakan baitullah itu terlebih besar daripada segala dosa pada Allah. Seperti adalah membaikkan baitullah itu terlebih kasih daripada segala ibadat kepada Allah. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
ان اعداءعدوك نفسك التي بين جنبيك
Artinya: Bahwasanya sejahat-jahat seteru engkau itu nafsumu engkau antara dua lambung engkau(1)

Menjadikan dia [nafsu] oleh Allah Ta’ala seteru kamu sekira-kira jikalau engkau ikut dia tiga puluh (30) tahun dengan berbuat kejahatan kemudian apabila engkau hendak meninggal kejahatan dan hendak berkhidmat kepada Allah Ta’ala nescaya menegah ia akan dikau dan menyeru ia akan adat [kebiasaan] dia [nafsu] dahulu. (Adapun) seteru yang lain daripadanya jika engkau ikut dia tiga (3) kali nescaya berbalik jadi shahabat dan menolong ia atas kebajikan engkau. Maka apabila engkau ketahui bahawasanya nafsu engkau itu terlebih jahat daripada segala seteru kamu, maka berikan dia hak seteru kamu dengan menyalahi dia dan jangan engkau berikan kehendaknya meninggalkan taat [kepada] Allah, dan jaga-jaga kamu akan tipu-dayanya dan kamu periksakan dakwanya dan tipu-dayanya. Dan berlazat-lazat olehmu dengan tawajuh kepada Allah dan pada tiap-tiap saat engkau sebutkan Allah dan engkau merendahkan diri engkau kepada Allah supaya engkau daripada ahlullah. Dan kamu tawajjuh dengan hatimu kepada Allah supaya dapat lazat engkau berjinak-jinak dengan Allah di dalam hatimu.

________________________________________

Notakaki:-
(1) Hadits riwayat ad-Dailami dengan lafaz yang sedikit berbeza. Al-Baihaqi meriwayatkan hadits seumpamanya dengan isnad yang dhaif di dalam kitab az-Zuhd daripada Ibn Abbas` dengan lafaz berikut:
أعدى عدوّك نفسك التي بين جنبيك

(2) Maksud himmah dengan bahasa yang mudah adalah kekuatan dorongan hati, tekad dan keazaman yang kuat untuk mendapatkan sesuatu dan tumpuan hati kepada perkara yang hendak diperolehi itu.

(3) Memperikan atau memerikan bermaksud menceritakan atau mengisahkan atau menggambarkan sesuatu hal.

Related Posts with Thumbnails