Sabtu, 5 Mei 2012

Perjalanan Menjejaki Makam Imam al-Ghazali. Siri - 1

Perjalanan Menjejaki Makam Imam al-Ghazali - Siri 1

InsyaAllah, al-fagir akan berkongsi dengan para pengunjung blog al-fanshuri catatan perjalanan guru dan teman-teman al-fagir dalam menjejaki makam ulama terkenal iaitu al-Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali di Thus, Iran, baru-baru ini. Pengalaman ini diceritakan kepada al-fagir oleh salah seorang ahli rombongan tersebut. Rombongan yang disertai oleh 5 orang ini diketuai oleh guru al-fagir, KH Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki. Pada hemat al-fagir catatan perjalanan ini menarik kerana, tidak ramai yang mengetahui dimana letaknya makam Dan al-fagir merasakan bahwa mereka adalah anak Melayu pertama yang berjaya menjejaki dan menziarahi makam.Namun sebelum meneruskan kisah perjalanan mereka, ingin al-fagir memperkenalkan Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى secara ringkas.

Haji Ahmad Tifla, KH Ahmad Fahmi Zamzam, Imam Azian, Kiyai dari Indonesia (al-fagir lupa namanya) dan Pak Su Ridzuan
Al-Imam Muhammad bin Muhammad bin al-Ghazali merupakan seorang ulama ahlus sunnah wal jamaah yang sangat terkenal. Dilahirkan pada tahun 450 Hijrah bersamaan tahun 1058 Masehi, di desa Ghazalah, di pinggir kota Thus (yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran), berdekatan dengan kota Masyhad, ibukota wilayah Khurasan. Beliau bermazhab Syafie di dalam bidang fiqih dan bermazhab Asya’irah di bidang aqidah. Seorang ulama yang menguasai pelbagai bidang ilmu seperti aqidah, fiqih, usul fiqah, tasawwuf, falsafah, ilmu kalam, pendidikan, politik dan lain-lain.
Mujaddid Kurun Ke-5H

Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى adalah merupakan mujaddid kurun yang kelima (kurun ke-12 Masehi). Hal ini disebutkan oleh ulama di dalam kitab mereka, antaranya sepertimana yang tersebut di dalam beberapa buah kitab, antaranya:
(1) Ad-Da’wah at-Tammah wa at-Tazkirah al-‘Ammah oleh Syeikhul Islam Quthubul Da’wah wal Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad رحمه الله تعالى: Berkata para ulama رحمة الله عليهم, pada pangkal 100 tahun yang pertama iaitu khalifah yang sholeh, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz al-Umawi al-Quraisyi رحمه الله تعالى (w 101H); pada pangkal 100 tahun kedua, al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie al-Mutthalibi رحمه الله تعالى (w 204H); pada pangkal 100 tahun ketiga, Ibnu Suraij asy-Syafie  رحمه الله تعالى( dikenali sebagai al-Baz al-Asyhab, w 302H) atau asy-Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari رحمه الله تعالى (w. 324H); pada pangkal 100 tahun keempat, iaitu al-Qadhi Abu Bakar al-Baqiilani al-Maliki (w. 403H) atau Syeikh Abu Haamid al-Isfaraini asy-Syafie رحمه الله تعالى (w. 406H) dan pada pangkal 100 tahun kelima, iaitu al-Imam Hujjatul Islam Abu Haamid al-Ghazali رحمه الله تعالى (w. 505H). Kemudian berlaku perselisihan pendapat tentang siapa yang menjadi mujaddid untuk pangkal-pangkal 100 tahun keenam, ketujuh, kedelapan, kesembilan dan kesepuluh, yang dengannya sempurnanya 1,000 tahun dari sejak hijrahnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. - Ad-Da’wah at-Tammah wa at-Tazkirah al-‘Ammah, halaman 24 – 25.


(2) Ghaayatu Talkhish al-Muraad min Fatawa Ibni Ziyaad oleh Mufti Hadhramaut, al-Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba'Alawi رحمه الله تعالى, halaman 299 (yang dicetak diakhir kitab Bughyatul Mustarsyidin): [Masalah] Hadits “Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada pangkal setiap seratus (100) tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka),” hadits ini dikeluarkan Imam Abu Daud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Imam as-Sayuthi berkata, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para hafidz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-
Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz رحمه الله تعالى;
Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafie رحمه الله تعالى;
Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau al-Asy'ari رحمه الله تعالى;
Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani رحمهما الله تعالى;
Kurun ke-5: Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى tanpa ada khilaf;

Demikian juga sepertimana yang disebut di dalam kitab Siraj ath-Tholibin Syarah asy-Syeikh Ihsan Muhammad Dahlan al-Jampasi al-Kediri ‘ala Minhaj al-‘Abidin ila Jannah Rabb al-‘Alamin – pada halaman 6 – 7, dan di dalam Taqwin al-Fikri ad-Dini oleh Syeikh Mahmud Syarqawi – pada halaman 330 – 331.

Sewaktu al-fagir mengikuti siri ziarah Guru Mulia al-Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abi Bakar bin Salim حفظه الله تعالى, sewaktu kuliah shubuh (19 April 2012) di Masjid Bandar Baru Uda, beliau, Guru Mulia membaca kitab Qabas al-Nur al-Mubin min Ihya ‘Ulum ad-Diin. Beliau berkata bahwa Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى satu-satunya ulama yang digelar dengan gelaran Hujjatul Islam. Kemudian beliau menceritakan mengenai mimpi al-Imam Abu Hasan asy-Syadhuli رحمه الله تعالى mengenai Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى Kisahnya lebihkurang begini:

Bahawa al-Imam Abul Hasan asy-Syadhuli رحمه الله تعالى pernah bermimpi dengan yang mulia dan agung mengenai kedudukan atau ketinggian Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى. Beliau bermimpi  bahwasanya beliau berada di dalam majlis di Baitul Maqdis. Dimana di dalam majlis itu berada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sedang duduk dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di kelilingi oleh para Nabi-nabi dan Rasul-rasul (juga dikelilingi oleh para imam-imam besar). Dan aku (al-Imam Abul Hasan asy-Syadhuli رحمه الله تعالى) melihat disamping Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, Nabi Musa dan Nabi ‘Isa عليهما السلام.  

Nabi Musa عليه السلام telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Wahai Muhammad, kamu bersabda bahawa:
عُلَمَاءُ أُمَّتِي كَأَنْبِيَاءِ بَنِي إِسْرَائِيلَ
Ertinya: Para ulama di kalangan umatku seumpama para Nabi Bani Israel.

Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Na’am (iya, benar).
Nabi Musa عليه السلام telah berkata kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم: Bolehkah kamu tunjukkan seorang ulama dari umatmu yang menyerupai (atau seumpama) Nabi kami dari kalangan Bani Israel?
Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menoleh  kepada semua yang hadir disekeliling Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan bertanya: Dimanakah orang yang bernama Abu Haamid al-Ghazali? 

Lalu Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى bangun lalu duduk di hadapan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.
Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم berkata kepada Nabi Musa عليه السلام: Ini adalah salah seorang daripada ulama umat aku.
Nabi Musa عليه السلام bertanya kepada Imam al-Ghazali: Siapakah namamu wahai imam?
Imam Ghazali رحمه الله تعالى menjawab: Saya Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali.

Maka Nabi Musa عليه السلام berkata kepada Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى: Aku bertanya kepadamu nama mu sahaja,  tetapi kamu menjawab namamu, nama ayahmu, nama datukmu dan nama qabilah yang kamu berasal (yakni nisbahnya iaitu al-Ghazali). Apakah jawapan kamu ini merupakan bagian dari jawapan yang beradab?
Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى berkata kepada Rasullullah صلى الله عليه وآله وسلم: Wahai Rasullullah صلى الله عليه وآله وسلم adakah aku diam sebagai tanda aku beradab kepadamu atau apakah perlu aku menjawab soalan Nabi Musa عليه السلام.
Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda kepada Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى: Bahkan, jawablah. 
Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى pun menjawab dengan berkata kepada Nabi Musa عليه السلام: Dan engkau, tatkala Allah berfirman, bertanya kepadamu:
وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَـمُوسَى
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (Surah Thaahaa:17).
Dan Nabi Musa عليه السلام menjawab:
قَالَ هِىَ عَصَاىَ أَتَوَكَّؤُا۟ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَى غَنَمِى وَلِىَ فِيهَا مَـَٔارِ‌بُ أُخْرَ‌ى
“Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu” (Surah Thaahaa:18).
Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى berkata: Hakikatnya Allah Ta’ala bertanya kepadamu (wahai Nabi Musa عليه السلام), apa yang ada ditangan kananmu? Itu sahaja soalannya. Dan engkau menjawab lebih dari apa yang ditanya sedangkan Allah mengetahui apa yang kamu perlukan atau manfaatkan dengan tongkat itu.
Nabi Musa عليه السلام menoleh kepada Nabi Muhammad . صلى الله عليه وآله وسلمdan berkata: Benarlah kata-katamu wahai Muhammad, ulama dari kalangan umatmu menyerupai (seumpama) para Nabi dari kalangan kami (Bani Israel).
Lalu Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bertanya kepada Nabi Musa dan Nabi ‘Isa عليهما السلام: Apakah dari kalangan umat kamu berdua seseorang ulama yang seperti ini (yakni seperti Imam al-Ghazali)? 
Nabi Musa dan Nabi ‘Isa عليهما السلام menjawab: Tidak ada. 


(….bersambung)

1 komen:

A.Fathi berkata...

Assalamualaikum,

Tuan Syeikh Abu Zahra,

Ana bercadang untuk mengziarahi maqam Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali. Mohon Tuan Syeikh boleh kongsikan sedikit tentang maklumat lanjut untuk mudah saya mencari. saya kebetulan setiap bulan ke sana.

Syukran
Ahmad Fathi
ahmadfathi83@gmail.com

Related Posts with Thumbnails