Isnin, 7 Mei 2012

Perjalanan Menjejaki Makam Imam al-Ghazali – Siri 3

Perjalanan Menjejaki Makam Imam al-Ghazali - Siri 3

Ada satu kisah yang ingin al-fagir kongsikan disini, iaitu kisah perjalanan Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى menuntut ilmu dimana kisah ini penting dan sayogianya direnungi oleh para penuntut ilmu.

Kisahnya begini ….

Ketika Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى berusia 15 tahun, iaitu tahun 465H, beliau berangkat ke Jurjan (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgan) untuk berguru dengan seorang ulama bernama Syeikh Abu Nasr Ismail bin Mas’adah al-Isma’ili. Kota ini terletak lebih kurang 160km dari kota Thus. Sewaktu belajar di Jurjan, Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى adalah seorang pelajar yang rajin dan tekun. Beliau mencatat setiap apa yang dipelajari dari gurunya. Pada tahun 470H, iaitu setelah 5 tahun belajar di Jurjan, Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى  pun pulang ke kota Thus. Beliau telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan perompak yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu. Ketika sampai giliran Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى pula, setiap barang kepunyaan beliau telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan perompak itu. Ketika perompak-perompak itu menyentuh bungkusan nota-notanya, Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى telah berkata: Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini.


Perompak-perompak yang rakus itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa lembaran kertas penuh dengan catatan. Mereka pun bertanya: Apa ini?

Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى telah menjawab: Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya.

Seorang anggota kumpulan perompak itu telah ketawa dan telah berkata kepada Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى: Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Kerana, andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmumu. Ilmu yang tersimpan di dalam lembaran kertas bukanlah ilmu yang sebenar.

Maka bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى. Kata-kata daripada si perompak itu telah menyebabkan Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى tersedar dan mengubah cara dia berfikir. Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى telah berkata: Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţhus, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis.

Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى juga telah berkata: Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang perompak jalanan.

العلم في الصدور لا في السطور

sekian dari abu zahrah al-qadahi
dhuha,isnin, 15 jamadilakhir 1433H/7 mei 2012
taman seri gombak

 Kisah Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى di rompak pada bermula minit 24 ...

0 komen:

Related Posts with Thumbnails