Khamis, 30 September 2010

Belasungkawa: Tuan Guru’ Haji ‘Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh Kroh Kembali kerahmatuLlah




إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010, sekitar jam 1.00 pagi, telah kembali ke rahmatUllah, hambaNya Tuan Guru Dato’ Haji ‘Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman رحمه الله تعالى. Beliau lebih di kenali dengan Pak Teh Kroh. Merupakan pengasas dan mudir Madrasah ad-Diniah al-Latiffiah, Kg. Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzwan (Pondok Pak Teh). Beliau adalah merupakan generasi pertama Pondok Pasir Tumboh. Merupakan salah seorang ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak.

Allahu Allah .... seorang demi seorang para ‘ulama kita kembali kepadaNYA.

Kematian seorang ulama adalah musibah bagi umat Islam. Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Kematian seorang ulama, bererti hilanglah sebahagian ilmu. Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما meriwayatkan sebuah hadits: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada beliau serta mendoakan beliau.
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبرومن عذاب النار
اقرأوا على موتاكم يس



الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين
Biografi ringkas Pak Teh boleh dibaca disini 

Isnin, 27 September 2010

Al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-Murabbi al-Habib Zein bin Ibrahim BinSumaith حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته : Faqihnya Umat Ini Yang Tabahhur Ilmunya

Sempena kunjungan Al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-'Abid az-Zahid al-Murabbi ad-Da`ie ilaLlah as-Sayyid al-Habib Zein bin Ibrahim BinSumaith حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته sebagai tetamu jemputan utama ke Majlis Sambutan Haul al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه وأرضاه 1431H/ 2010M, maka inginlah al-Fagir mengambil kesempatan untuk memperkenalkan secara ringkas ulama ahlulbait yang terkenal. Al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-'Abid az-Zahid al-Murabbi ad-Da`ie ilaLlah as-Sayyid al-Habib Zein bin Ibrahim BinSumaith حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته adalah antara permata habaib zaman ini. Beliau seorang yang terkenal khumul, yang tidak sukakan kemasyhuran dan tinggi sebutan. Faqihnya umat ini yang tabahhur ilmunya.

 Klik foto di atas untuk bacaan seterusnya ....


 ___________________________________________________




Di sini juga al-Fagir bawakan juga biografi ringkas ayahanda kepada Habib 'Abdullah 'Atthas al-Habsyi (foto di bawah) yang merupakan tetamu  Majlis Sambutan Haul al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه وأرضاه 1431H/ 2010M. Al-Fagir tiada maklumat mengenai Habib 'Abdullah Atthas, namun al-Fagir pernah menulis di blog kenalilah ulama mengenai ayahanda beliau. Ayahanda beliau, Habib Abu Bakar Atthas al-Habsyi adalah merupakan ulama ahlulbait yang terkenal yang tinggal di Mekah. Sila klik gambar di bawah untuk bacaan seterusnya ....
 

Khamis, 23 September 2010

Kunjungan Guru Mulia Ke Ma'had az-Zein Yang Diasaskan Oleh Syeikh Muhammad Nurudin Marbu al-Banjari al-Makki

Nasihat Guru Mulia al-Habib Umar حفظه الله ketika membuat kunjungan ke Ma'ahad az-Zein al-Makkiy al-Aali Littafaqquh Fiddin wa Tahfizul Quran yang terletak di Tegalwaru, Ciampea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia  pada tahun lepas (2009). Ma'ahad ini diasaskan oleh guru kami, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki حفظه الله. Hadir sama di dalam majlis tersebut adalah al-Habib Ahmad Atthas (abg kepada Habib Umar), Syeikh Muhammad bin Ismai Utsmanl Zein al-Yamani (anak kepada al-'Allamah al-Faqih Ismail Utsman Zein  al-Yamani رحمه الله), Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam dan lain-lain حفظهم الله.




Selasa, 21 September 2010

Pasai Apa Kita Tolak Fahaman Wahabi - 7



Antaranya lagi pasai apa kita tolak Wahhabi ...... depa kata orang Islam yang bertawassul  dengan para Anbiya’ (nabi-nabi) dan sholehin (orang-orang sholeh) itu lebih teruk tauhidnya berbanding dengan pemimpin kaum Musyikin Mekah iaitu Abu Lahab dan Abu Jahal (pada depa Abu Lahab dan Abu Jahal ini bertauhid dengan tauhid rububiyyah). Inilah kesan daripada ajaran tauhid 3 (tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ was shifat) yang anuti oleh mereka. 


Saudara-saudaraku, mai kita pakat perati tengok apa depa kata. tentang perkara di atas, di dalam kitab karangan ulama depa. Muhammad bin Ahmad BaSyamiil di dalam kitabnya berjudul Kaifa Nafhamu at-Tauhid yang ertinya Bagaimana Kita Memahami Tauhid (tauhid lagu depa dok canang tu lah …), halaman 16 (atau halaman 12, cetakkan ar-Riaasah al-'Ammah lil Ifta' wa ad Da’wah bi Riyadh, tahun 1408H/1987M):
Terjemahannya:
Tauhid Abu Jahal dan Abu Lahab:
Abu Jahal dan Abu Lahab dan orang-orang yang seagama mereka daripada kaum musyirikin (orang-orang yang mensyirikkan Allah), adalah mereka itu beriman kepada Allah dan mentauhidkanNYA dengan tauhid ar-Rububiyyah, (yang mana Allah lah) Yang mencipta, Yang memberi rezeki, Yang menghidupkan dan Yang  mematikan, Yang mendatangkan kemudharatan dan Yang memberi kemanafa'atan. Mereka tidak mensyirikkanNYA pada yang demikian itu dengan sesuatu pun.

Aneh dan pelik sekali di mana, Abu Jahal dan Abu Lahab lebih bertauhid kepada Allah dan lebih ikhlas beriman kepadaNya daripada kaum muslimin yang bertawasul dengan awliya’ (para wali) dan sholihin (orang-orang soleh) dan menuntut syafaat daripada mereka kepada Allah. Abu Jahal dan Abu Lahab lebih bertauhid dan lebih murni keimanannya daripada mereka, kaum muslimin yang mengucapkan لا إله إلا الله محمد رسول الله!

Sedangkan menurut pegangan ahlus sunnah wal jamaah bertawassul itu adalah DIBOLEHKAN.  Ambo dah tulih serba sikit disini,  silalah baca. Di antara ulama-ulama ahlus sunnah wal jamaah yang mengHARUSkan atau memBOLEHkan bertawassul, yang sempat ambo kutip:
  • Imam Malik bin Anas رحمه الله
  • Al-Imam Muhammad bin Idris asy-Syafie رحمه الله
  • Al-Imam Ahmad ibn Hanbal رحمه الله
  • Al-Imam al-Hafidz Abu ‘Abdullah al-Hakim رحمه الله
  • Al-Imam al-Hafidz Abu Bakar al-Baihaqi رحمه الله
  • Al-Imam al-Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi رحمه الله
  • Al-Imam al-Hafidz Qadhi ‘Iyadh رحمه الله
  • Al-Imam Nuruddin al-Qaari yang terkenal dengan Mulla ‘Ali al-Qaari رحمه الله
  • Al-‘Allamah Ahmad Syihabuddin al-Khufaji رحمه الله
  • Al-Hafidz al-Qusthullani رحمه الله
  • Al-‘Allamah Syihabuddin ar-Ramli رحمه الله
  • Al-‘Allamah Muhammad ‘Abdul Baqi az-Zarqani رحمه الله
  • Imam Abu Zakaria Yahya an-Nawawi رحمه الله
  • Al-‘Allamah Ibnu Hajar al-Haithami رحمه الله
  • Al-Hafidz Syihabuddin Muhammad ibn Muhammad ibn al-Jazari ad-Dimasyqi رحمه الله
  • Al-Imam Muhammad ‘Ali asy-Syaukani رحمه الله
  • Al-Muhaddits ‘Ali ibn ‘Abdul Kafi as-Subki رحمه الله
  • Al-Hafidz Ibnu Katsir رحمه الله
  • Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani رحمه الله
  • Al-Mufassir al-Imam Abu ‘Abdullah al-Qurthubi رحمه الله
  • Al-‘Allamah asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani رحمه الله
  • Dan rami lagi.
Manakala di antara kitab-kitab yang membahaskan tentang keHARUSan bertawassul pulak, seperti yang senaraikan dibawah. Silalah rujuk kitab-kitab tersebut, kalau ingin tau secara terperinci. Antaranya:-
  • Al-Ifham wal Ifham au Qadaya al-Wasilah wal Qubur dan Usul al-Wushul karangan Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim  رحمه الله
  • Syawahidul Haq fil Istighosah bi Sayyidil Khalaqi karangan Syaikh Yusuf an-Nabhani رحمه الله (kitab yang bagus di baca didalam persoalan tawassul)
  • Al-Jauhar al-Munazzham karangan Ibn Hajar al-Haithami رحمه الله
  • Ithafu Azkiya bi Jawazi at-Tawassul bin Anbiya wal Auliya karangan al-Muhaddits Syaikh Abdullah Siddiq al-Ghumari رحمه الله
  • Al-Radd al-Muhkam al-Matiin ‘ala Kitab al-Qaul al-Mubiin karangan al-Muhaddits Syaikh Abdullah Siddiq al-Ghumari رحمه الله
  • Bahjah an-Nazir fi Tawassul bi an-Nabi at-Thohir karangan as-Sayyid Hasaan as-Saqqaf حفظه الله
  • Ad-Darurus Saniyah fi Raddi ‘Ala al-Wahabiyah karangan Syaikh Ahmad Zaini Dahlan رحمه الله (kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu)
  • Mafahim Yajibu an Tushahhah karangan al-Muhaddits as-Sayyid Muhamad ibn ‘Alawi ibn Abbas ibn Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani رحمه الله (kitab ini telah diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi. Kitab ini sangat baik untuk dibaca)
  • Haqiqah at-Tawassul wa al-Wasilah ‘ala Dhau` al-Kitab wa as-Sunnah karangan Syaikh Musa Muhammad ‘Ali رحمه الله (kitab ini telah diterjemah ke bahasa Melayu)
  • Rasail Hammah wa Mabahits Qayyimah disusun oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki حفظه الله
  • Al-Mausu’ah al-Yusufiah fi Bayan Adillah as-Shufiyah karangan Syaikh Dr. Yusuf Khattar Muhammad حفظه الله
  • Al-Jifri fi Mizan oleh Habib ‘Abdurrahman Sallami حفظه الله
  • Tadqiiq an-Nadzar fi Ushul at-Tawassul wal Istighotsah oleh al-Habib Musa al-Kadzim bin Ja’far as-Saqqaf حفظه الله
  • Al-Ajwibah al-Ghaliyah fi ‘Aqidah al-Firqah an-Najiyah karangan al-‘Allamah al-Habib Zain al-‘Abidin al-‘Alawi حفظه الله
  • Raf’ul Minaarah li Takhrij Ahadits at-Tawassul wa al-Ziyaarah karangan h Syaikh Mahmud Said Mamduh حفظه الله
  • Intabih Diinuka fi Khatrin karangan al-‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al-Yamani حفظه الله (kitab ini telah diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi حفظه الله)
  • Al-Bayan Lima Yashghulul Adzhan (pertanyaan ke-44) dan al-Bayan al-Qawiim li Tashhiih Ba’dhi al-Mafaahim (pertanyaan ke-8) karangan Shaikh Dr. ‘ali Jum’ah حفظه الله, Mufti Mesir. (kitab al-Bayan al-Qawiim telah diterjemahkan kebahasa Melayu)
  • Wahabisme Dari Neraca Syara’ karangan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamluddin al-Maliki  حفظه الله
  • An-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin karangan Hadhratusy Syaikh Hasyim Asy`ari رحمه الله
  • Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah oleh Pehin Mufti Haji Ismail Omar ‘Abdul Aziz  رحمه الله
  • Dan banyak lagi …..

Sekian dari,
Abu Zahrah el-Qadahi
Taman Seri Gombak
11.15 malam,13 Syawal 1431H/ 21 September 2010

Qashidah Waqt as-Sahar karangan Guru Mulia Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله

Jumaat, 17 September 2010

Kalam Salaf : Sesungguhnya Sesiapa Yang Ingat Akan di Ingati Dan Sesiapa Yang Lupa Akan di Lupai


Quthb al-Da’wah wa al-Irsyaad, Ghauts al-‘Ibaad wa al-Bilaad, al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه, di dalam        kitabnya berjudul Sabil al-Iddikar wa al-I’tibaar bima Yamurru bi al-Insan wa Yanqadhi lahu min al-’A’maar  mengingatkan:  


Maksudnya: “Dan janganlah seseorang itu lupa mendoakan kaum kerabatnya yang telah meninggal dunia serta mengucapkan istighfar memohon keampunan mereka serta bersedekah bagi pihak mereka. Jika dia melupakannya, maka dia juga akan dilupakan oleh anak cucunya yang datang selepasnya setelah dia mati. Jadilah apa yang berlaku kepadanya sebagaimana perlakuannya terhadap mereka yang telah pergi sebelumnya. Kerana sesungguhnya sesiapa yang ingat akan diingat dan sesiapa yang lupa akan dilupai. Dan kebaikan itu pasti akan diberi balasan baik, Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang melakukan kebaikan.”
(Petikan dari kitab Sabil al-Iddikar wa al-I’tibaar bima Yamurru bi al-Insan wa Yanqadhi lahu min al-’A’maar (سبيل الإدكار والا عتبار بما يمر بالإنسان وينقضي له من الأعمار), Dar al-Haawi, cetakan pertama, tahun 1413H/1993M, halaman 72).
Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah
Jum’at, 8 Syawwal 1431H

Ahad, 5 September 2010

CATATAN PERJALANAN ABU ZAHRAH KE TARIM, HADRAMAUT, YAMAN - SIRI 2


Bab al-Yaman adalah kota lama San’aa. Sebuah kota yang unik. Ianya dikelilingi dengan tembok yang tebal setinggi lebihkurang 6 – 9 meter. Kota ini mempunyai tujuh buah pintu, untuk keluar-masuk. Pintu utama dan yang terkenal di panggil Bab al-Yaman. Pintu ini masuh wujud sehingga kini dan merupakan satu warisan sejarah bagi San’aa. Di dalam kota ini terdapat lebihkurang 6,500 buah rumah, 12 hammam (tempat mandi awam) dan 100 buah masjid. Bayangkan betapa besarnya kota lama ni …….. 

Dan disini terdapat deretan kedai-kedai, suq dan bazaar untuk membeli-belah. Dan pasar yang masyhur adalah Suq al-Milh, iaitu sebuah suq yang berusia lebih dari 1,000 tahun. Dan suatu yang unik yang ingin ambo kongsikan di sini adalah sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Jami’ al-Kabir.


Masjid Jami al-Kabir
Masjid Jami’ al-Kabir dan Keistimewaannya
Masjid ini merupakan yang paling tua. Dibina oleh shababat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang bernama Wabr ibn Yuhannas al-Khuzai رضي الله عنه. Beliau diutuskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke San’aa pada tahun ke-6H untuk menyampaikan dakwah dan menjadi guru agama disana dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memerintahkan beliau untuk membina masjid dengan panduan-panduan khusus yang berikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani kitabnya al-Mu’jam al-Ausath, Wabr ibn Yuhannas al-Khuzai al-Anshori رضي الله عنه berkata:
قال لي رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: إذا بنيت مسجد صنعاء فاجعله عن يمين جبل يقال له ضين
Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepadaku:Apabila engkau membina Mesjid Sana’a, maka jadikanlah ia disebelah kanan bukit yang dipanggil Dhin (Hadits riwayat ath-Thabarani. Al-Haitsami berkata di dalam kitabnya Majma’ al-Zawaaid: Ath-Thabrani meriwayatkannya di dalam al-Ausath dengan sanad hasitsnya hasan). Ibn Sakan dan Ibn Mundah juga meriwayatkannya sebagaimana dinyatakan oleh oleh Al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani di kitabnya al-Ishobah.
Al-Hafiz al-Muhaddis Ahmad bin Abdullah bin Muhammad ar-Razi (wafat 460H). menyebutkan dalam kitabnya Tarikh San’aa: Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah mengarahkan Wabr bin Yuhannas Al-Ansari رضي الله عنه tatkala Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengutusnya ke Sana’a: “Serulah mereka kepada iman, sekiranya mereka patuh serta taat kepada engkau maka sebutkan kepada mereka tentang syariat sholat, sekiranya mereka patuh serta taat kepada engkau maka suruhlah mereka membina masjid di taman kepunyaan Bazan (Gabenor Yaman. – insyaAllah kisah mengenai keislamannya akan ditulis dalam siri seterusnya) daripada batu besar yang asal dari Ghamdan dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”.
Dan apabila Wabr رضي الله عنه memberitahu kepada mereka tentang ciri-ciri binaan masjid yang diarahkan oleh Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. lalu Aban bin Sa’id datang serta membina masjid tersebut mengikut ciri-ciri yang diarahkan oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di dalam taman kepunyaan Bazan yang asal batu besar dan beliau menghadapkan arah kiblatnya ke bukit Dhin.


Ar-Razi berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah menulis surat kepada Wabr supaya beliau membina masjid daripada pagar kepunyaan Bazan dan menjadikannya bermula daripada batu besar sehingga ke temboknya serta menghadapkan kiblatnya ke arah bukit Dhin”. Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: “Maka suruhlah mereka membina masjid di taman kepunyaan Bazan daripada batu yang asalnya dari Ghamdan dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”.
Dan apa yang telah disebutkan di dalam surat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم kepada Wabr رضي الله عنهMembina masjid daripada pagar kepunyaan Bazan dan menjadikannya bermula daripada batu besar sehingga ke temboknya” adalah penentuan yang terperinci tentang kedudukan dan tempat masjid tersebut.
Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: “Dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”, dan juga sabdaan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم: “Serta menghadapkan kiblatnya ke arah bukit Dhin”, adalah penentuan yang tepat tentang arah kiblat masjid tersebut. Kedudukan bukit Dhin adalah lebihkurang 30km dari San’aa.
Dan kini telah terbukti (melalui google earth map) bahwa kedudukan arah qiblat yang ditunjukkan oleh Rasulullah itu adalah garis lurus yang tepat menghadap ke Ka’bah. 

Qiblatnya Masjid Jami al-Kabir tepat menghala ke dinding Ka’bah iaitu diantara rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memberi panduan tanpa perlu apa-apa peralatan canggih. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah sampai ke San’aa. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah melihal Jabal Dhin. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah milihat batu Mulamlamah. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah mengukur jarak di antara San’aa dengan Mekah yang yang berukuran lebih dari 800km. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah melihat taman milik Bazan … Inilah nubuwwah! Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memperkatakan apa yang diwahyukan kepadanya, sebagaimana firman Allah:
 Maksudnya: “Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadits) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” (Surah an-Najm 3 – 4)
Walaupun masjid ini telah diperluaskan, namun binaan asalnya masih dipelihara. Ianya terletak di kawasan dua tiang yang bertanda Manqurah dan Masmurah. 
Ruang asal Masjid Jami al-Kabir
Sebahagian makumat tentang masjid ini diperolehi dari Majalah E’jaz Ilmi. Bil: 26. Muharram 1428H, oleh: Syeikh Abdul Majid Aziz Az-Zindany yang telah diterjemahkan oleh Ustaz Abu Hashim al-Yahya.

..... bersambung ke siri seterusnya, insyaAllah  .... 




 

Jumaat, 3 September 2010

CATATAN PERJALANAN ABU ZAHRAH KE TARIM, HADRAMAUT, YAMAN - SIRI 1


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

AlhamduliLlah tsumma alhamduliLlah, al-Fagir Abu Zahrah panjatkan jutaan kesyukuran ke hadratNYA yang telah menyampaikan al-Fagir ke bumi Tarim al-Ghanna, Hadramaut, Yaman buat kali kedua.
Keistemewaan Yaman: Yaman, bumi yang berkat kerana  beberapa sebab kerana ianya disebut di dalam hadits Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan bumi Yaman adalah salah satu bumi yang pernah didoakan oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم:
اللهم بارك لنا في شامنا، اللهم بارك لنا في يمننا. قالوايارسول الله، وفي نجدنا. قال : اللهم بارك لنا في شامنا اللهم بارك لنا في يمننا. قالوا يارسول الله،  وفي نجدنا. قال : هناك الزلازل والفتن وبها يطلع قرن الشيطان
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم (terus) berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”
Siapalah yang tidak ingin untuk menjejakkan kaki kebumi yang pernah didoakan oleh penghulu segala anbiya dan mursalin, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Di dalam hadits yang lain Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: 
إني لأجد نفس الرحمن من هاهنا- و أشار إلى اليمن. وفي روية : إني اجد نفس الرحمن من قبل اليمن
Maksudnya: “Sesungguhnya aku mendapati ‘nafas ar-Rahman’ dari sebelah sana – dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengisyaratkan ke arah Yaman. Dan dalam riwayat lain Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Sesungguhnya aku menemukan ‘Nafas ar-Rahman’ dari arah Yaman.”
Yaman yang dikhabarkan oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengenai sifat ahlinya, iaitu:
أتاكم أهل اليمن هم أرق أفئدة وألين قلوباً الإيمان يمان والحكمة يمانية
Maksudnya: “Telah datang kepada kalian orang-orang Yaman. Mereka ini adalah orang-orang paling halus sanubarinya dan paling lembut hatinya. Keimanan itu ada pada orang Yaman dan hikmah itu ada pada orang Yaman”. Manakala di dalam riwayat yang lain disebutkan: “Keimanan itu ada pada orang Yaman, fiqih itu ada pada orang Yaman dan hikmah itu ada pada orang Yaman”.
Di dalam kitab al-Fadhoil al-Yaman, seorang ulama hadits iaitu al-Hafidz al-Quraisyi menyebutkan, Sayyiduna Abu Dzar al-Ghiffari رضي الله عنه meriwayatkan, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): “Jika timbul fitnah, hendaklah kalian (tinggal) di Yaman, kerana (tempat) itu diberkati”. Dalam sebuah Hadits lain disebutkan: “Sebab, penduduknya bersifat pengasih, tanahnya diberkati, dan ibadah disana pahalanya besar”. Dan di dalam kitab Wasilatul Muta’abbidin, tercantum sebuah hadits dari Sayyidina Jabir bin Abdullah al-Anshari, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): “Sepertiga keberkahan dunia kembali ke Yaman. Barangsiapa (yang ingin) lari dari fitnah hendaklah ia lari ke Yaman”.
Demikianlah serba-sedikit tentang keistimewaan bumi Yaman sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat. Inilah yang membuat al-Fagir sentiasa rindu untuk ke bumi Yaman. Dan pada al-Fagir, qalbu Yaman itu adalah Hadramaut, manakala qalbu Hadramaut adalah kota Tarim.
Alhamdulillah pada hari Ahad tanggal 14 Rajab 1431 bersamaan 27 Jun 2010, al-Fagir beserta dengan beberapa orang teman berangkat ke Tarim untuk menyertai Daurah Soifiyyah ke-16 di Darul Musthafa.
Terimakasih … Sebelum meneruskan catatan ini, terlebih dahulu al-Fagir ingin merakamkan ucapan TERIMAKASIH YANG TIDAK TERHINGGA kepada pihak yang menaja al-Fagir untuk menyertai daurah ini, iaitu Hawi al-Khairat Malaysia, khususnya ‘Ammi ‘Abdul Rahman al-Haddad. Juga tidak lupa kepada teman-teman yang membantu al-Fagir, antaranya al-Fadhil Ustaz Azian Man (Imam Masjid al-Falah), al-Fadhil Ustaz Azhar Hasyim al-Tarimi, jemaah Rahmatan lil ‘Alamin pimpinan al-Fadhil Ustaz Azhar Hasyim al-Tarimi dan individu-individu tertentu yang tidak mahu namanya dipaparkan disini. Semoga Allah membalas sebaik-baik ganjaran di atas sumbangan kalian. آمين

Berangkat ke Tarim, Hadramaut. Al-Fagir bersama teman-teman, al-Fadhil Syed Najmuddin bin Syed Osman al-Khirid, Ustaz Wan Muhammad Autad bin Wan Muhammad Shaghir, dan juga lebih kurang 29 orang bakal pelajar Darul Musthafa dan cawangannya yang di ketuai oleh al-Fadhil Ustaz Syed Syahrunnizam, berangkat dengan syarikat penerbangan Yemenia Air pada jam lebihkurang 6.30 petang. Perjalanan kami dari KLIA – Jakarta – Dubai – San’aa memakan masa lebih daripada 12 jam. Sampai di lapangan terbang San’aa lebih kurang jam 4 pagi waktu tempatan. Dan selesai urusan di airport hampir jam 6 pagi. Setelah selesai urusan di airport kami berangkat ke hotel kerana kami perlu bermalam di San’aa selama 1 malam sebelum berangkat ke Seiyun keesokkan paginya (hari Isnin)
Setelah beberapa jam penerbangan maka sampailah kami ke lapangan terbang San’aa. San’aa adalah merupakan ibukota Yaman. Cuaca di San’aa agak sejuk. Kami bermalam di sebuah hotel di San’aa 1 malam. 

Photo ini diambil dari hotel tempat kami menginap di San'aa

Bermalam di San’aa. Sewaktu di San’aa, kami mengambil peluang untuk melawat Babul Yaman, iaitu sebuah Kota Lama Yaman. Kata orang kalau datang ke Yaman, tak sah kalau tak melawat ke Babul Yaman. Bagi yang suka shopping … inilah tempatnya. 


Photo ini diambil dari hotel tempat kami menginap di San'aa
Babul Yaman adalah bandar lama San’aa, dikenali juga dengan panggilan San’aa Gadeem. Ia adalah merupakan satu-satunya kota lama dan menjadi penempatan awal manusia yang ditemui oleh Sam bin Nabi Nuh عليهما السلام. Menurut sejarah Sam telah datang ke Yaman dari utara untuk meninjau tempat yang lebih baik untuk dibuat penempatan. Beliau telah memilih tempat tersebut mengikut halatuju seekor burung. Tempat itulah sekarang dikenali sebagai Kota Babul Yaman. Di situlah Sam telah membina Istana Ghomdan. Manakala buku-buku sejarah lain mengatakan nama untuk kota ini ialah Azal, sepertimana juga tercatat dalam puisi-puisi Arab. Azal ialah anak lelaki kepada Joktan Ibn Amir Ibn Shalikh Ibn Arfakhashd Ibn Sam Ibn Nuh. 


Sehingga sekarang kota ini masih segar dengan gelaran Bandar Sam. Pada 1984 pihak UNESCO telah mengisytiharkannya sebagai “ Warisan Manusia di Dunia” . Dahulu kota ini adalah menjadi hub perniagaan bagi saudagar-saudagar Arab.


….. insyaAllah bersambung ke siri seterusnya .... berjalan-jalan di Babul Yaman dan menziarahi Masjid al-Kabir di Babul Yaman .

Pemandangan Kota Lama San'aa - 1
Pemandangan Kota Lama San'aa -2
Pemandangan Kota Lama San'aa -3

Related Posts with Thumbnails