Jumaat, 7 November 2008

Bertaubat Dari Merokok -1

Alhamdulillah, tahun ini dapat al-Faqir menghadiri majlis haul Qutb al-Irsyad wa Ghaust al-Bilad, al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه dibeberapa buah tempat, antaranya Masjid al-Falah Subang Jaya, Masjid Baitulaman, Masjid al-Bukhary, kediaman Tuan Haji Ya’kub di Kemaman Terengganu, Pondok Damai Kuantan, Pahang dan di Madrasah al-Hasaniah, Rembau, Negeri Sembilan. Al-Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syatiri adalah merupakan tetamu undangan khas majlis haul tahun ini disamping Habib Sholeh bin Muhamad al-Jufri, Habib Najib Thoha al-Saqqaf dan Habib Taufiq bin ‘Abdul Qadir al-Saqqaf.

Alhamdulillah, banyak mutiara ilmu yang dapat al-Faqir kutip sepanjang mengikuti majlis haul terutamanya yang dihadhiri oleh Habib Salim. Selain daripada mengisahkan manaqib Imam al-Haddad, Habib Salim membawa pengajaran yang diajarkan oleh Imam al-Haddad. Antaranya mengenai membaca dan menghafal al-Quran, menuntut ilmu, adab seorang murid dan guru, keistimewaan Jum’at dan amalan yang seyogia dilakukan pada hari Jum’at dan lain-lain lagi. Cuma satu tajuk yang beliau akan sebutkan dimana-mana sahaja iaitu mengenai rokok. Sepanjang al-Faqir mengikuti majlis, kalau tidak silap cuma Masjid al-Falah dan Masjid Baitulaman sahaja beliau tidak sentuh bab rokok. Bahkan katanya ketika di Singapura juga beliau sentuh bab rokok. Beliau akan mengajak para hadhirin untuk bertaubat dari merokok.

Menurut Habib Salim, Imam Abdullah al-Haddad رضي الله عنه benci kepada perbuatan merokok bahkan beliau mengharamkan rokok. Bahkan kata beliau para habaib terdahulu juga, antaranya al-Imam al-Habib Hussin bin Syaikh Abu Bakar bin Salim juga sangat membenci dan mengharamkan rokok, bahkan beliau mengatakan bahwa perokok yang tidak taubat dari perbuatan merokok, 40 hari sebelum kematiannya ditakuti akan mati dalam keadaan su’ul khatimah. Al-Habib Hussin bin Syaikh Abu Bakar bin Salim juga pernah memerintahkan untuk memusnahkan tanaman tembakau di Hadramaut. Bahkan beliau pernah mengeluarkan belanja untuk membeli tembakau, lalu tembakau itu dimusnahkan. Beliau juga berkata: “Aku masih mempunyai harapan bahwa pemimum khamar (arak) dapat bertaubat, tetapi aku tidak mempunyai harapan bahwa perokok dapat bertaubat (Hal ini dikeranakan, peminum khamar tahu bahwa khamar hukumnya haram sehingga masih diharapkan taubatnya, sedangkan perokok merasa yakin bahwa hukum merokok adalah tidak apa-apa, sehingga dia tidak merasa bersalah dan tidak perlu bertaubat).

Habib Salim berkata, lebih baik bersugi daripada merokok kerana sugi/siwak banyak faedahnya manakala rokok banyak mudharatnya. Maka kalau ketagihan bersiwaklah … mudah-mudahan tabiat atau ketagihan merokok akan hilang. Sewaktu penterjemah, menterjemahkan isi ceramahnya bab merokok, Habib Salim mengayakannya dengan kayu siwak beliau …. Al-Faqir ngak ada kamera untuk merakamkan saat tersebut …. Ini satu petua yang baik untuk penagih rokok … belilah siwak dan bawa kemana-mana, tatkala ketagih rokok datang maka gigitlah kayu siwak tersebut. Cara mudah dan murah untuk berhenti merokok. InsyaAllah berkat kerana ia adalah petua dari ulama yang faqih lagi arifbillah.

Menurut Habib Salim lagi, adalah kurang lebih dari 200 buah kitab yang ditulis oleh ulama mengenai haramnya rokok…… pada penghujung ceramah bab rokok, Habib Salim mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka yang bersungguh-sungguh untuk berhenti dari perbuatan merokok dan bertaubat. Insyaallah … berkat doa Habib, mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh akan berjaya.

Membicarakan hal rokok … memang sensitif. Mungkin ramai yang tidak setuju. Tak mengapa. Al-Faqir sekadar menyampai dan berkongsi ilmu dan pengajaran yang dikutip. Katakanlah yang benar walaupun pahit. Hehehe …. Bahkan apa yang al-Faqir tulis juga terkena batang hidung sendiri, kerana al-Faqir juga pernah merokok. Maklumlah pernah bekerja di Langkawi, pulau bebas cukai ….. (kata orang dulu Pulau Langkawi disumpah menjadi padang jarak padang tekukur … kini dah jadi padang arak dan padang rokok … kata-kata ni al-Faqir dengaq sewaktu bekerja disana pada penghujung 80an dan awal 90an). Namun bagi yang berazam untuk berhenti merokok dan bertaubat darinya, moga-moga celoteh al-Faqir ini dapat sedikit sebanyak memberi semangat kepada mereka. Tiada niat al-Faqir untuk menyinggung perasaan atau menghina para perokok.

Al-Faqir bawakan beberapa kisah untuk renungan ….

1 - Al-Habib Ahmad bin Hasan bin Abdullah al-Atthas menceritakan, suatu hari al-Habib Abdullah bin Umar bin Yahya pergi ke kota Makkah al-Musyarofah. Di kota tersebut beliau melhat seorang ‘alim merokok. Beliau segera menegurnya, dengan katanya: “Merokok tidak layak dilakukan oleh seorang yang berilmu. Itu adalah perbuatan bid’ah yang sangat buruk dan ditolak oleh orang yang berjiwa muthmainnah (tenang) dan berhati salimah (selamat) …”. Orang ‘alim tersebut menjawab: Bagaimana dengan engkau sendiri? Kau minum kopi, padahal perbuatan itu bid’ah.” Al-Habib Abdullah bin Umar bin Yahya segera menjawab: “Baik kalau demikian, sekarang mari kita ke Ka’abah. Aku membawa kopi dan meminumnya disana dan kau … bawalah rokokmu dan hisaplah disana. Siapa yang ditentang dan dicela oleh kamum Muslimin, maka dialah yang bersalah dan tercela.” Mendengar jawapan tersebut, si alim tadi membisu dan mengakui kebenaran Habib Abdullah bin Umar bin Yahya.

2 - Pada suatu malam al-Habib Muhammad bin Seggaf, hendak mengerjakan sholat tahajjud di Masjid Habib Toha bin Umar, lalu beliau mencium bau tembakau, maka beliau mencarinya seraya berkata: “Siapa yang menyakiti para malaikat dan tidak menghormati Baitullah [masjid adalah merupakan rumah-rumah Allah] serta mengotori kami?"

3 -Tersebut didalam kitab Masyrobil Hani karangan Habib Ahmad bin Abdurrahman as-Saqqaf bahwa al Habib al-‘Arifbillah ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Masyhur yang tinggal di Tarim menyebutkan dalam manaqib ayahanda beliau al-Habib ‘Abdurrahman al- Masyhur bahwa ayahnya berkata :


Suatu hari aku pernah menemani al-Habib al-Wali al-‘Arifbillah Ahmad al Masyhur pada suatu undangan di rumah seseorang dari keluarga Ar Ruwaiki di Tarim. Ketika itu al-Habib Muhammad bin ‘Ali as-Saqqaf termasuk orang yang diundang oleh seorang syaikh dari keluarga BaFadhal. Ketika Habib Muhammad sampai ke rumah Syakh ar-Ruwaiki, beliau mendapati para undangan sedang membaca maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Waktu itu berdekatan dengan mahallul qiyam.

Ketika Habib Ahmad al-Masyhur melihat kedatangan beliau, maka Habib Ahmad berdiri dengan tergesa-gesa dari tempatnya untuk menyambutnya di pintu rumah. Habib Ahmad pun memegang tangan kiri beliau. Habib Muhammad tercengang dengan sambutan Habib Ahmad. Namun beliau tetap diam dan penuh adab. Beliau lalu didudukkan di samping Habib Ahmad. Padahal Habib Ahmad adalah orang yang sangat berwibawa dan tidak pernah berdiri menyambut seorang pun.


Selesai pembacaan maulid dan menikmati jamuan, para hadirin pulang ke rumah masing-masing. Habib Abdurrahman bercerita: “Yang tinggal hanya aku, Habib Muhammad bin Ali, Habib Ahmad al-Masyhur dan tuan rumah”. Kemudian Habib Muhammad berbicara dengan penuh sopan santun kerana melihat bahwa dirinya bukanlah seseorang yang selayaknya untuk disambut oleh Habib Ahmad yang ketika itu adalah seorang Wali Qutub. Kata Habib Muhammad: "Ya Habib, aku minta maaf. Kenapa kau harus bangun dan menyambut kedatanganku di pintu depan?" Habib Ahmad pun menjawab: “Demi Allah, tidaklah aku berdiri kecuali aku melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم masuk bersamamu dan memegang tangan kananmu”.


Habib Ahmad mengatakan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم hadhir di setiap mahallul qiyam dalam pembacaan maulid KECUALI jika di rumah tersebut ada rokok atau bau rokok.
Maka berhati-hatilah bagi setiap orang yang berakal dan berhati bersih. Jika ia menginginkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم hadhir di maulidnya, maka jauhilah ‘pohon yang menjijikkan dari rumahnya. Nasihat ini ditujukan bagi orang yang bersedia menerimanya. Sesungguhnya manusia lebih mengetahui akan dirinya (al-Qur’an). Apabila Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak masuk ke rumah yang di dalamnya terdapat rokok atau bau rokok, maka bagaimana bagi orang yang menghisap rokok. Badannya, bajunya, dalam tubuhnya, semua bau rokok. Maka apabila Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak masuk ke rumahnya, lebih-lebih lagilah malaikat Rahmat.


Maka aku berkata kepada siapa saja yang telah mendengar perkataan ini, yang ternukil dari rijalullah yang terpercaya, kemudian tidak mahu ingat atau taubat, maka ia berada di dalam BAHAYA. Semoga Allah memberi kita keselamatan dan afiah serta menjaga anak-cucu, saudara dan teman kita dari ‘pohon yang menjijikkan’ tersebut.




Al-Imam al-Habib Ahmad bin Hasan al-Aidarus berkata bahwa beliau bermimpi Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sedang keluar dari salah satu rumah di kota Seiwun. Lalu beliau menanyakan kenapa Nabi صلى الله عليه وسلم keluar dari rumah tersebut? Maka Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, "Aku datang untuk menghadiri pembacaan maulid di rumah itu tetapi aku melihat di dalamnya ada tembakau, maka aku keluar. [untuk perhatian – mimpi bukanlah asas bagi hukum namun ianya adalah merupakan suatu khabar gembira]
Al-Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syatiri, dalam satu majlis bacaan burdah yang beliau hadhiri suatu ketika dulu di Surabaya pernah mengatakan: “Tidak seperti orang sekarang, membaca Burdah namun badannya bau rokok. Padahal salaf (ulama terdahulu) telah sepakat untuk mengharamkan rokok.”
Syaikh Abdusshomad Ba’Katsir bersyi'ir: Rokok adalah hidangan terbuat dari api panas, tidak ada manfaat didalamnya kecuali penyakit maka jangan biarkan ia memperdayaimu.

~al-Faqir abuzahrah~

0 komen:

Related Posts with Thumbnails