Rabu, 29 Oktober 2008

Majlis Haul

Alhamdulillah, hari ni badan dah ok. Deman pun dah kebah, sakit-sakit sendi dah berkurang, batuk pun dah reda. Alhamdulillah. Alhamdulillah …. Allahu Allah …umuq koi dok bertambah lagu tu lah …

Hari ni nak sentuh sikit tentang majlis haul ….. posting lain tangguh dulu. Bukan apa … ada suara-suara sumbang golongan ‘keribang rebus’ [pinjam kata-kata sidi abumuhd shohib Bahrus Shofa] yang dok komen tentang majlis haul. Maka inginku katakan disini bahwa, disisi ulama panutan kami, majlis haul tu ada sandarannya. Kalau golongan ‘keribang rebus’ tak mau terima dalilnya, itu terpulanglah. Kami ngak apa-apa! Cuma kata orang dulu-dulu, kalau tak mampu jadi garam untuk memasinkan ikan, jangan pulak jadi lalat-langau yang membuat ikan busuk berulat.

Makam Para Syuhada` Uhud

Antara sandaran panutan kami, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi yang menyatakan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah melakukannya. Kemudian diikuti oleh para shahabat yang utama seperti Sayyiduna Abu Bakar, Sayyiduna Umar dan Sayyiduna Utsman رضي الله عنهم.

Disebut didalam kitabnya Dala-ilun Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi dalam bab - mengenai firman Allah yang surah Aali ‘Imran: 169 dan juga mengenai kelebihan syuhada` Uhud dan ziarah kuburan mereka. - Daripada al-Waaqidi, beliau berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزورهم في كل حول وإذا تفوه الشعب رفع صوته فيقول : سلام عليكم بما صبرتم فنعم عقبى الدار - الرعد: 23 - ثم أبو بكر كل حول يفعل مثل ذلك ثم عمر بن الخطاب ثم عثمان، وكانت فاطمة بيت رسول الله صلى الله عليه وسلم تأتيهم فتكون عندهم وتدعو وكان سعد بن أبي وقاص يسلم عليهم ثم يقبل على أصحابه فيقول: ألا تسلمون على قوم يردون عليكم السلام......

Adalah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menziarahi makam/kuburan mereka (para syuhada di bukit Uhud) setiap tahun. Dan apabila sampainya di sana baginda mengucapkan salam dengan mengangkatkan (mengeraskan) suara baginda: “سلام عليكم بما صبرتم فنعم عقبى الدار” –Surah ar-Ra’d: 24– artinya: Keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

Sayyiduna Abu Bakar رضي الله عنه juga melakukan hal yang sedemikian setiap tahun, kemudian Sayyiduna Umar ibn al-Khattab رضي الله عنه , lalu Sayyiduna Utsman رضي الله عنه. Sayyidah Fatimah رضي الله عنها juga pernah berziarah ke bukit Uhud dan berdoa. Sayyiduna Saad bin Abi Waqqash ضي الله عنه mengucapkan salam kepada para syuhada tersebut kemudian ia menghadap kepada para sahabatnya lalu berkata, ”Mengapa kalian tidak mengucapkan salam kepada orang-orang yang akan menjawab salam kalian?”

Makam Sayyidina Hamzah bin Abdul Mutthalib yang syahid didalam Peperangan Uhud


Hadits yang seumpama atau semakna dengan hadits diatas juga ada disebut oleh Imam al-Baihaqi didalam Syu’bul Iman, Imam Ibn Jarir ath-Thabari di dalam Jami` al-Bayan, as-Sayuthi dalam al-Durr Mantsur dan Syarhus Shudur dan al-Qurthubi didalam al-Jaami` al-Ahkam al-Qur’an.

Tersebut didalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, bahwa Sayyidah Fathimah رضي الله عنها menziarahi pusaranya Sayyiduna Hamzah pada setiap hari Jum’at.

Inilah, antara yang menjadi sandaran bagi pelaksanaan peringatan haul atau acara tahunan untuk mendoakan dan mengenang para ulama dan sesepuh kita.

Jom pakat pi Majlis Haul Imam Abdullah al-Haddad di Masjid al-Falah USJ 9 pada 31 Oktober, Masjid Baitul Aman, Jalan Ampang, KL pada 1 November dan Masjid al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, KL pada 2 November. … Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dari majlis tersebut.

~ sekian dari abu zahrah ~

Selasa, 28 Oktober 2008

Majlis Haul Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رضي الله عنه

Majlid Haul Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddadرضي الله عنه
5 Safar 1044 – 7 Zulqaedah 1132




Majlis Kemuncak Haul Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رضي الله عنه untuk tahun 1429H/2008M akan diadakan sepertimana berikut:


Tarikh: 2 Dhulqaedah 1429/ 31 Oktober 2008 (Jum’at)

Masa: 6.00 petang – 10.30 malam
Lokasi: Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor


Tarikh: 3 Dhulqaedah 1429/ 1 November 2008 (Sabtu)

Masa: 5.30 petang – 10.00 malam
Lokasi: Masjid Baitul Aman, Jalan Damai, Off Jalan Ampang


Tarikh: 4 Dhulqaedah 1429/ 2 November 2008 (Ahad)

Masa: 6.00 petang – 10.30 malam
Lokasi: Masjid al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur

Jemputan Khas
Al-‘Alim al-‘Allamah Al-Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri
Ustaz Najib Thoha as-Seggaf
Al-Habib Sholeh bin Muhammad al-Jufri
Al-Habib Taufiq bin Abdul Qadir as-Seggaf

Maklumat lanjut sila dapati di http:// www.alhawi.net


Dan sila sebarkan maklumat ini kepada rakan anda. Semoga majlis yang penuh berkat ini akan dapat dikongsikan bersama.


Semua Muslimin dan Muslimat Di jemput Hadir


Semoga dengan kehadiran kita ke majlis haul Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رضي الله عنه, kita beroleh keberkatan didalam agama, dunia dan akhirat. InsyaALLAH


Biografi Ringkas Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dan para jemputan khas

[Manaqib ringkas Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رضي الله عنه boleh anda baca di Catatan Perjalanan Ke Tarim, Hadramuat – 11.]

Al-Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri. Habib Salim bin 'Abdullah bin 'Umar asy-Syathiri dilahirkan di Kota Tarim, Hadhramaut pada tahun 1359H. Ayahanda beliau, Habib 'Abdullah adalah pendiri Rubath Tarim yang telah melahirkan ribuan ulama dan santri dari segenap pelosok dunia Islam. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sholih. Bonda Habib Salim, Syarifah Ruqayyah binti Muhammad bin Hasan Mawla Aidid, adalah seorang wanita yang sholehah yang gemar beruzlah untuk beribadah kepada Allah.

Tatkala berusia 3 tahun, Habib Salim menjadi yatim dengan pemergian ayahanda beliau ke rahmatUllah. Namun asuhan dan didikan agamanya tidak pernah terabai, belum pun genap umurnya 11 tahun beliau sudah hafal al-Quran. Beliau telah menimba berbagai ilmu pengetahuan dari sekitar 80 orang ulama-ulama besar Hadhramaut dan Haramain, antara guru beliau adalah:-
  • Habib Muhammad al-Mahdi;
  • Habib Abu Bakar;
  • Habib Hasan bin 'Abdullah asy-Syathiri;
  • Habib 'Alwi bin Syihabuddin;
  • Habib Ja'far bin Ahmad al-'Aydrus;
  • Habib 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani;
  • Syaikh Hasan bin Muhammad Masyath;
  • Syaikh 'Abdullah Sa`id al-Lahji asy-Syafi`i;
  • Habib Hasan bin Muhammad Fad`aq;
  • Syaikh Hasan bin Sa`id dan ramai lagi.
Sekembalinya beliau ke Yaman, beliau telah menggunakan masanya untuk berdakwah dan menyebar ilmu. Beliau pernah tinggal 15 tahun di Kota Aden dan menjadi guru dan khatib di Masjid Habib Abu Bakar al-'Adni bin 'Abdullah al-Aydrus. Pada tahun 1403, atas permintaan Habib Zain bin Ibrahim BinSmith dan Habib Muhammad al-Haddar, beliau bermukim di Kota Madinah dan mengasuh Rubath al-Jufri.

Telah banyak santri yang mengambil manfaat dari kedalaman ilmu beliau. Beliau dikenali memiliki keikhlasan yang tinggi, akhlak yang mulia serta sentiasa menjaga sunnah Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dakwah dan menyebarkan ilmu tidak menghalang dirinya untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah khususiyyah seperti sholat-sholat sunnat. Setiap Ramadhan, beliau menambah sembahyang malamnya sehingga 100 rakaat setiap malam. Kini Habib Salim mengabdikan dirinya untuk mengasuh Rubath Tarim yang mempunyai sekitar 500 orang santri dari berbagai negara termasuklah Malaysia. Selain itu, beliau tetap melakukan rehlah dakwah ke berbagai pelosok dunia Islam. Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan yang sempurna serta melanjutkan usia ulama yang digelar sebagai "Sulthanul 'Ilmi" ini demi manfaat agama dan umat. Allahumma aamiin

Al-Habib Sholeh al-Jufri: Beliau adalah Habib Sholeh bin Muhammad al-Jufri. Merupakan generasi pertama yang dididik oleh al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz. Dilahirkan di Surakarta pada 30 September 1970. Seorang yang terkenal sebagai penterjemah yang handal.

Selain dikenal sebagai pentererjemah, beliau juga mengisi kegiatan sehari-hari sebagai Pengasuh Pondok Pesantren Darul Musthofa di Desa Salam RT 01/03, Kecamatan Karang Pandan, Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah.

Mendapat pendidikan awal daripada kedua orang tuanya di Surakarta. Selain itu, ayahnya juga mengundang guru mengaji ke rumah. Selain itu, ia juga mengikuti pengajian di zawiyah Habib Anis al-Habsyi di Gurawan, Solo, mulai 1985. Pada akhir 1993 beliau berangkat seorang diri ke Yaman dengan berbekal sebuah alamat dari seorang ustadz yang dikenalinya di Pakistan. Sampai di Yaman ia langsung menuju alamat yang dipegang dan setelah mencari sebentar, akhirnya ia menemukan alamat tersebut. Di tempat tersebut, Habib Sholeh belajar pada Habib Musa Kadhim as-Saqqaf dan Habib Abdurahman bin Hafizh (keponakan Habib Umar). Melalui kedua gurunya itulah, Habib Sholeh mengetahui Habib Musa Kadhim dan Habib Abdurrahman adalah murid dari Habib Umar Al-Hafizh, sehingga timbul dalam hatinya untuk belajar pada Habib Umar. Ia akhirnya mendapat izin belajar pada Habib Umar di Tarim.

Ketika di Tarim juga beliau mengikuti majlis-majlis taklim yang adakan oleh Habib Hasan asy-Syatiri, Habib Salim asy-Syatiri, Habib Abdullah bin Shahab, Habib Mayshur al-Aidarus, Syaikh Fadl BaFadal, Habib Sa’ad al-Aidarus dan lain-lain. Pada tahun 1998, beliau bersama dengan angkatan pertama murid Habib Umar, pulang ke Indonesia. Setelah pulang, beliau bergabung dengan majelis taklim Habib Anis bin ‘Alwi bin ‘Ali al-Habsyi.

Pada tahun 1999, beliau dengan rakan-rakan di Solo mendirikan sebuah pondok pesantren yang direstui oleh Habib Anis dan Habib Umar.


Ustadz Najib Thoha al-Seggaf





Al-Habib Taufiq bin Abdul Qadir as-Seggaf: Habib Taufiq berasal dari kota Pasuruan yang terkenal sebagai kota santri dan juga terkenal dengan gudang ulama habaib. Nama beliau adalah al-Habib Taufiq bin Abdul Qadir bin Hussin as-Saqqaf. Bagi mereka yang pernah melanggan atau membaca majalah Cahaya Nabawiy, nama beliau sudah tiadak asing lagi. Beliau dilahirkan pada tahun 1969. Selain belajar dari ayahnya, Habib Taufiq juga dari para habaib di kota Pasuruan antaranya Habib Ahmad bin Hadi al-Hamid, Habib Umar bin Hasyim BaAgil. Walaupun beliau tidak mendapat pendidikan secara formal namun pengajian dari seorang habaib kepada habaib yang lain sudah cukup untuk menjadi bekal beliau untuk berdakwah.

Setelah menggali ilmu ke berbagai tempat dan habaib serta ulama. Mulailah ia merintis berdakwah. Pada awalnya ia hanya membuka madrasah di Jl. KH Wahid Hasyim (barat Masjid kota) Pasuruan. Ia kemudian melanjutkan pengelolaan madrasah yang pernah diasuh oleh Habib Ja’far bin Syaikhon as-Saqqaf (datuknya) dan Habib Abdul Qadir bin Husein as-Saqqaf (ayahnya).

Aktiviti dakwahnya tidak hanya membuka taklim di rumahnya. Beliau kemudian mulai merintis jalan menghasilkan majalah Islam yang bernama Cahaya Nabawiy bersama kawan-kawannya yang ada di kota Pasuruan.

Untuk mematangkan konsep dan langkah berdakwahnya, bermula tahun 2003, ia mendirikan Pondok Pesantren di Jl Sidogiri, Pasuruan yang bernama Pondok as-Sunni as-Salafiyah ( kalau di Jawa Timur, istilah Salafi dipakai merujuk kepada golongan bermazhab seperti kita atau istilahnya "kaum tua" dan bukannya golongan Salafi-Wahhabi-Kaum Muda). Sistem pesantren ini menggunakan halaqah yang menggunakan kitab-kitab salaf (kitab turats). Kini jumlah santri yang beliau kelola termasuk dicawangannya sudah mencecah ribuan orang santri. Ma’had asuhannya kini telah mempunyai 30 cabang madrasah dan 13 pondok pesantren yang tersebar di Jawa, Bali dan Kalimantan.

Beliau mempunyai jadual majlis taklim dan dakwah yang cukup padat. Antaranya mengajar di rumahnya di Jl KH Wahid Hasyim tiap hari jam enam pagi dan teruskan dengan pembacaan kalam salaf. Majelis Taklim yang sudah berlangsung turun-temurun dari datuknya, Habib Ja’far bin Syaikhon as-Seggaf dan ayahandanya, Habib Abdul Qadir bin Husein as-Seggaf yakni membacakan Kitab Ihya Ulumiddin karya Hujjatul Islam, Imam Ghazali yang diikuti oleh masyarakat Pasuruan dan sekitarnya. Uniknya dari setiap acara pengajian baik di rumahnya maupun di Pesantren Sunni as-Salafiyah dipancarkan langsung melalui Radio Suara Nabawiy kelolaan beliau. Demikian sedikit mengenai Habib Taufiq.

~ Sekian dari abu zahrah abdullah thahir ~

Jumaat, 24 Oktober 2008

SEMINAR PEMURNIAN AKIDAH 2008


Tarikh : 3 Dhulqaedah 1429/ 1 November 2008 (Sabtu)
Masa : 7.30 pagi – 4.00 petang
Tempat : Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur
Penganjur : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Bahagian Dakwah JAWI
Yuran Pendaftaran: Percuma termasuk makan minum / bahan pengisian


Aturcara Seminar

7.30 pagi – 8.30 pagi - Pendaftaran/ sarapan pagi

8.30 pagi – 10.00 pagi – Pembentangan Kertas Kerja 1: Siapakah Salaf, Siapakah Khalaf: Suatu Perbincangan Sejarah
Pembentang: Ustaz Ahmad Faisal bin Abdul Hamid, UM.

Majlis Perasmian

10.00 pagi – 10.10 pagi - Ucapan aluan oleh Y.Bhg SS Dato' Mufti Wilayah. Persekutuan

10.10 pagi – 10.30 pagi - Ucapan Perasmian oleh Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM)

10.30 pagi – 11.00 pagi - Minum pagi


11.00 pagi – 12.30 tgh – Pembentangan Kertas Kerja 2: Ayat-ayat Mutasyabihaat: Antara Fahaman Salaf Dan Khalaf
Pembentang: Dr. Abdul Razak bin Abdul Rahman As- Sa’adi, UIA
Moderator: Ustaz Dzulkefli bin Zainal Abidin, UNITEN.

12.30 tgh. – 2.00 ptg. - Solat Zuhur/ makan tengahari

2.00 ptg. – 2.20 ptg – Pembentangan Kertas Kerja 3: Imam al-Asy’ari, Imam Ahlis Sunnah wal Jamaah

Pembentang: Ustaz Mahfuz bin Muhammad al-Khalil, Pendakwah Bebas).
Moderator: Tn. Hj. Zamihan bin Mat Zain, ILIM.

2.20 ptg. – 2.40 ptg. – Pembentangan Kertas Kerja 4: Cabaran Akidah: Antara Khawarij Dan Liberal
Pembentang: Ustaz Muhammad Arifin bin Ismail, Pendakwah Bebas).
Moderator: Tn. Hj. Zamihan bin Mat Zain, ILIM.

2.40 ptg. – 3.30 ptg. - Sessi soal jawab dan perbincangan.

3.30 ptg. – 4.00 ptg. - Majlis Penutup


Terdapat juga pameran dan penjualan kitab-kitab arab dan melayu terutama yang berkaitan dengan tajuk-tajuk yang dibentangkan dalam seminar.

Selasa, 21 Oktober 2008

Majlis Pengajian Kitab Bersama al-Fadhil asy-Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر



Pengajian Kitab oleh Syaikh Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki
Syawwal 1429/Oktober 2008


Tarikh: 23 Syawwal 1429/ 23 Oktober 2008 (Khamis)
Masa: Selepas Sholat Maghrib
Tempat: Masjid Jamek Bagan Serai, Perak


Tarikh: 24 Syawwal 1429/ 24 Oktober 2008 (Jum’at)
Masa: Pagi
Tempat: Dewan Serbaguna INTIM, Perak

Masa: Selepas Maghrib - hadits Qudsi; Selepas Isya - Kitab Rasail Hammah wa Mabahits Qayyimah susunan Syaikh Muhammad Nuruddin.
Tempat: Masjid Munawwarah, Seksyen 27, Shah Alam, Selangor



Tarikh: 25 Syawwal 1429/ 25 Oktober 2008 (Sabtu)

Masa: 9.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Masjid al-Falah USJ9, Subang Jaya, Selangor
Kitab: Hadits Riwayat 10 Shahabat; Nasihat Agama dan Wasiat Iman



Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Masjid Proton, Shah Alam
Kitab: Martabat Ilmu dan Ulama`.


Tarikh: 26 Syawwal 1429/ 26 Oktober 2008 (Ahad)
Masa: 9.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Masjid al-Falah USJ9, Subang Jaya, Selangor
Kitab: Hadits Riwayat 10 Shahabat; Nasihat Agama dan Wasiat Iman

Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Surau an-Nur Seremban, Negeri Sembilan



Isnin, 20 Oktober 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 14

Sambung dari siri terdahulu … masih mengenai al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه.

Sambungan Manaqib al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه

Sedikit sedutan dari kitabnya Miftahus Sarair wa Kanz adz-Dzakhair iaitu sebuah kitab kecil yang beliau tulis sewaktu umurnya belumpun mengjangkau 17 tahun.

Pada bahagian muqaddimahnya beliau رضي الله عنه menyebutkan:
Ketahuilah semoga Allah memberi kita taufiq kaum sholihin, tulisan ini adalah ikhtisar yang ringkas dan berharga. Didalamnya kusebutkan hal-hal yang sederhana. Meskipun demikian, aku berharap semoga Allah Ta’ala menjadikannya sebagai karya yang penuh makna walaupun hanya menggunakan sedikit kata-kata. Wabillahittaufiq. …… Ketahuilah! Semoga Allah memberi kita taufiq kaum sholihin, hendaklah kamu taat kepada Allah kerana taat adalah sumber keselamatan dan dengan taat kamu akan meraih jannah. Tinggalkan perbuatan dosa (besar maupun kecil) kerana perbuatan itu merupakan sumber kekecewaan dan penyebab kerugian …….

Perbaharuilah pakaian ketaatan, tetapkan niat untuk melakukan kebajikan siang dan malam kerana menundakan ketaatan dan panjang angan-angan dapat menimbulkan kemurkaan Tuhan.

Seterusnya beliau رضي الله عنه menyebut sebuah syairnya yang sungguh bermakna:

ولاترج فعل الصالحات الى غد – لعل غدا يأتي وأنت في اللحد
وتبلى عظامك في النراب وتبتلى – بتنعيم روح أو عذاب بحفرة

Dan jangan kau tangguh perbuatan kebajikan kepada esok hari, mungkin esok tiba sedangkan engkau terbujur diliang lahad

Tulang-temulangmu hancur dalam tanah dan engkaupun diuji denganazab kubur atau keni’matan ruhani

Mengenai dunia, beliau رضي الله عنه berkata:
Wahai saudaraku, tinggalkan dunia lahiriah maupun batiniah kerana sesungguhnya cinta dunia adalah kepala segala kesalahan. Singkirkan benih cinta dunia dari lubuk hatimu, kerana kecintaan kepada dunia dan kecintaan kepada Allah tidak mungkin berhimpun dalam satu hati sebagaimana mustahilnya air dan api bercampur dalam satu wadah …… Wahai saudaraku! Aku berwasiat kepadamu agar tidak menyintai dunia, kosongkan hatimu darinya dan dermakan (keuntungan dunia) yang kamu peroleh, kerana sesungguhnya kecintaan pada dunia dapat membutakan bashirah (mata hati). Kami berlindung kepada Allah dari cinta dunia. Daya sihir dunia terlebih kuat daripada kekuatan sihir Harut dan Marut…….

Mengenai ruh dan waridat
…… ketahuilah wahai hamba sekelian, sesungguhnya ruh itu setiap saat rindu kepada Allah. Ia sangat merindukan kanpung halamannya. Namun, banyak hijab yang menghalangnya. Barangsiapa ditajamkan oleh Allah bashirah nya (matahatinya), maka hijab-hijab itu akan tersingkap. …..

……. Setiap orang memperoleh kurnia (madad) sesuai dengan keadaannya. Dan setiap orang memperoleh pertolongan (imdad) sesuai dengan persiapannya. Oleh kerana itu, persiapkanlah dirimu untuk meperoleh imdad, jangan meremehkannya. Jadikan dirimu layak untuk memperoleh waridat dengan cara mengosongkan hatimu dari segala sesuatu selain Allah, dan bebaskannya dari segala hal yang diinginkan dan disukai nafsu. Waridat tidak dapat dipastikan saat kemunculannya, oleh itu berusahalah setiap saat untuk meraihnya, terutama di dalam shalat, zikir dan pada ketika mendengarkan ceramah orang-orang sholeh……….

Demikianlah petikan ringkas dari kitab Miftahus Sarair wa Kanz adz-Dzakhair iaitu sebuah kitab kecil yang al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه tulis sewaktu umurnya belumpun menjangkau 17 tahun. Allahu Allah.

Masjid al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim

Antara Untaian Kata Hikmah al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim


  • Paling bernilainya saat-saat dalam hidup adalah ketika kamu tidak lagi menemukan dirimu. Sebaliknya adalah ketika kamu masih menemukan dirimu. Ketahuilah wahai hamba Allah, bahwa engkau tidak akan mencapai Allah sampai kau fanakan dirimu dan kau hapuskan inderamu. Barang siapa yang mengenal dirinya , tidak akan melihat kecuali Allah; dan barang siapa tidak mengenal dirinya maka tidak akan melihat Allah.
  • Setiap wadah memercikan apa yang ditampngnya (apa yang di dalamnya).
  • Siapa yang tidak bersungguh di awal (bidayah) perjalanannya tidak akan sampai garis akhir (nihayah). Dan orang yang tidak mujahadah, tidak akan mencapai musyahadah. Allah Ta’ala berfirman: “Barangsiapa yang bermujahadah di jalan Kami, maka akan Kami tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami” – (al-Ankabut:69). Siapa pun yang tidak memelihara awqat (waktu-waktu) tidak akan selamat dari berbagai afat (malapetaka).
  • Tentang persahabatan: "Siapa yang bergaul bersama orang baik-baik (akhyar), dia akan meperoleh pelbagai pengetahuan dan asrar. Dan mereka yang bergaul dengan orang jahat, dia akan memperoleh ‘aib dan siksa api neraka.
  • Penafsirannya atas sabdaan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang bermaksud: “Aku tidaklah seperti kalian, aku selalu dalam naungan Tuhanku yang memberiku makan dan minum”. Makanan dan minuman itu, menurutnya, adalah yang bersifat keruhanian yang datang dari haribaan Yang Maha Suci".
  • Engkau tidak akan mendapatkan berbagai hakikat, jika engkau belum meninggalkan benda-benda yang kau cintai ('ala'iq). Orang yang qanaah pemberian Allah, akan mendapat ketenteraman dan keselamatan. Sebaliknya, orang yang tamak, akan menjadi hina dan menyesal. Orang arif adalah orang yang memandang aib-aib dirinya, sedangkan orang lalai adalah orang yang melihat keaiban-keaiban orang lain. Banyaklah diam maka kamu akan selamat. Orang yang banyak bicara akan banyak menyesal.
  • Orang yang bahagia (sa’id) adalah orang yang dibahagiakan Allah tanpa sebab. Ini dalam bahasa hakikat. Adapun dalam bahasa syari'at, orang bahagia adalah orang yang Allah bahagiakan mereka dengan amal-amal shaleh, sedangkan orang yang celaka (syaqi), adalah orang yang Allah celakakan mereka dengan meninggalkan amal-amal shaleh serta merusak syariat - kami berharap ampunan dan pengampunan dari Allah.
  • Orang celaka adalah yang mengikuti diri dan hawa nafsunya. Dan orang yang bahagia adalah orang yang menentang diri dan hawa nafsunya, berpaling dari selainNya untuk menghadap kepadaNya dan meneladani sunnah-sunnah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.
  • Hendaklah kamu bersifat tawadhu dan tidak menonjulkan diri. Jauhi sikap takabbur dan cinta kepada kedudukan.
  • Kemenanganmu adalah ketika engkau membenci nafsumu dan sebaliknya kehancuranmu adalah ketika kamu meredhai nafsumu. Kerana itu bencilah nafsumu dan jangan meredhainya, nescaya engkau akan berhasil meraih segala cita-citamu, insyaAllah.
  • Orang yang ‘arif adalah orang yang mengenal dirinya, sedangkan orang yang jahil adalah orang yang tidak mengenal dirinya.
  • Alangkah mudah bagi seorang ‘arifbillah untuk membimbing orang jahil, kadang kala kebahagian abadi dapat diraih hanya melalui sekilas pandangnya.
  • Redhalah atas maqam yang telah Allah tetapkan padamu. Seorang shufi berkata: “Selama lebih 40 tahun lamanya aku tidak pernah rasa benci pada maqam yang Allah berikan kepadaku.”
  • Berbaik sangkalah kepada sesama hamba-hamba Allah. Kerana bersangka buruk itu timbul kerana tiada taufik. Redhalah pada qadha' walaupun musibah besar menimpamu. Tanamkanlah kesabaran yang indah (ash-Shabr al-Jamil) dalam dirimu. Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang sabar itu tanpa perhitungan (bi ghairi hisab).
  • Dunia ini adalah anak perempuan akhirat. Oleh karena itu, siapa yang telah menikahi (dunia), haramlah atasnya meperisteri ibunya (akhirat).
  • Berbagai hakikat terhijab dari hati (hati) karena perhatian kepada selain Allah.
  • Waktumu yang paling bermanfaat adalah di saat kamu fana’ dan waktumu yang paling sia-sia adalah di saat kamu menyedari dirimu.

Sekian. InsyaAllah …. ziarah seterusnya ke makam Imam Ahamd al-Muhajir, Hauthoh Sultanah (Rabi’atul Adawiyah nya bumi Hadramaut), makam al-Habib ‘Ali al-Habsyi …….



Makam al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Habsyi. Kubah dan makam beliau terletak di bahagian bawah bukit dimana terletaknya makam Sayidina Ahmad al-Muhajir. Beliau adalah murid kesayangan al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim



Makam salah seorang murid kesayangan al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim iaitu al-Habib 'Abdurrahman bin 'Abdullah bin 'Alwi bin Abu Bakar al-Jufri. Wafat pada tahun 1037H di kota Taris.

Jumaat, 17 Oktober 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 13

Sambung dari siri terdahulu … masih mengenai al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim.

Sambungan Manaqib al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه

Sifat beliau: Beliau رضي الله عنه banyak beruzlah dan berkhlawat, mengerjakan sholat sunat, puasa sunat, infaq, bersholawat, berdhikrullah, menghabiskan waktu malamnya dengan beribadah dan berkhidmat kepada orang lain. Beliau رضي الله عنه seorang yang wara`, pemurah, tawadhu dan sangat penyantun kepada golongan faqir dan miskin. Pendek kata beliau seorang yang banyak dan kuat mengerjakan ‘ibadah, riyadhah dan memiliki akhlaq mulia. Walaupun terkenal dengan hal-hal yang tersebut namun, beliau رضي الله عنه, sebagaimana leluhur beliau yang terdahulu yang merupakan pakaian para ulama habaib iaitu bersifat khumul.

Beliau رضي الله عنه sangat memuliakan tetamu. Beliau akan menjamu para tetamu dan beliau sendiri akan memenuhi hajat para tetamunya. Andaikata tetamu yang hadhir itu ramai, maka beliau akan menyembelih seekor atau dua ekor unta untuk menjamu tetamunya.

Beliau رضي الله عنه, suatu ketika tidak henti-henti berpuasa selama beberapa waktu dan hanya berbuka dengan kurma yang masih hijau. Selama 90 hari lamanya beliau رضي الله عنه berpuasa dan mengerjakan sholat dimalam harinya di lembah Yanbur.

Selama 40 tahun lamanya, beliau رضي الله عنه mengerjakan sholat shubuh di Masjid Ba’Isa, dikota Lisk, dengan wudhu ‘Isya`nya. Pada setiap malam beliau berziarah ke tanah perkuburan di Tarim dan seterusnya mendatangi masjid-masjid di kota Tarim untuk mengerjakan sholat dan seterusnya beliau رضي الله عنه mengakhiri perjalanannya dengan mengerjakan sholat Shubuh berjemaah di Masjid Ba’Isa di Lisk. Ini bermakna selama 40 tahun al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه berjalan kaki berulang alik setiap malam dari Lisk ke Tarim untuk melakukan sholat pada setiap masjid di kota Tarim. Bahkan bukan itu sahaja, beliau رضي الله عنه juga mengangkat air dari sumber air (telaga) dengan menggunakan geriba (bekas mengisi air yang diperbuat daripada kulit binatang seperti unta) untuk diisi atau dipenuhkan pada tempat minum para penziarah dan juga ditempat minum haiwan. Apa yang beliau lakukan ini tidak diketahui ramai sehinggalah mereka mendapati kesan darah yang mengalir dari kakinya akibat banyak berjalan. Maka orang bertanya, kesan darah siapakah ini? Maka diberitahui bahwa ianya adalah kesan darah anak Salim bin Abdullah. Sehingga kewafatannnya, beliau tidak pernah meninggalkan sholat Dhuha dan Witr. Semasa hayatnya, beliau رضي الله عنه menziarahi makam Nabi Hud sebanyak 40 kali.

Al-Faqih Syaikh Abdurrahman bin Ahmad Bawazir pernah berkata: "Syaikh Abu Bakar bin Salim selama 15 tahun dari akhir umurnya tidak pernah kelihatan duduk-duduk bersama orang-orang dekatnya dan orang-orang awam lainnya kecuali hanya untuk menanti didirikannya sholat lima waktu". Ini bermakna dipenghujung umurnya beliau رضي الله عنه lebih banyak berkhlawat.

Karya-karya beliau: Beliau رضي الله عنه mengarang beberapa buah kitab dalam ilmu thoreqat dan haqiqat, antaranya:
  • Miftah as-Sarair wa Kanz adz-Dzakhair (مفتاح السرائر وكنز الذخائر). Kitab ini beliau karang diusianya yang muda iaitu belum melampaui usia 17 tahun.
  • Mi’raj al-Arwah yang membahaskan ilmu hakikat. Kitab ini beliau tulis pada tahun 987H dan diselesaikan pada tahun 989H.
  • Mawahib yang juga membincangkankan masalah-masalah ilmu hakikat. Beliau mulai menulisnya di bulan Syawwal tahun 991H dan diselesaikankan dalam tahun yang sama tanggal 9 haribulan Dhulhijjah. [Mungkin inilah kitab terakhir beliau kerana beliau رضي الله عنه wafat di penghujung bulan Dhulhijjah]
  • Ma'arij at-Tauhid
  • Bughyah Mathlab at-Tholib dan sebuah diwan yang berisi pengalaman awal suluk beliau.
Murid-murid beliau:
  • Antara murid-murid beliau adalah, anakanda beliau sendiri antaranya al-Habib Muhdhor bin Syaikh Abu Bakar, al-Habib Hussein bin Syaikh Abu Bakar dan al-Habib Hamid bin Syaikh Abu Bakar
  • al-Habib Ahmad bin Muhammad bin Alwi bin Abi Bakar al-Habsyi
  • al-Habib ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Jufri
  • as-Sayyid Yusuf bin ‘Abid al-Faasi al-Maghribi - al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim wafat didalam pangkuan Yusuf bin ‘Abid iaitu salah seorang murid kesayangan beliau. Menjelang ajalnya Yusuf bin ‘Abid mengulang-ulangkan ayat berikut: فلما قضى زيد منها وطرا dengan harapan gurunya akan menyambut ucapannya itu dengan sambungan dari ayat tersebut iaitu وزجناكها, yang maksudnya gurunya bersedia menurunkan seluruh ilmu yang beliau miliki kepadanya (as-Sayyid Yusuf). Namun gurunya, al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim berkata: “Wahai Yusuf! Semua ilmu yang kuajarkan kepadamu penuh dengan keberkatan, adapun mengenai sirr ku, andaikata aku tidak dapat menemukan seseorang yang layak untuk menerimanya dari kalangan anak cucuku, akan aku tanam di padang pasir ‘Inaat”.
  • as-Sayyid ‘Abdurrahman al-Baith
  • al-Faqih al-‘Allamah Muhammad bin Sirajuddin Ba’Jammal
  • al-‘Arifbillah al-Faqih Muhammad bin ‘Abdurrahman BaWazir
  • dan lain-lain.

Keluarga beliau: Melalui beberapa perkahwinan, beliau dikuniakan ramai zuriat antaranya : Ahmad, al-Hamid, Umar al-Muhdhar, al-Hussin, ‘Ali, ‘Abdullah al-Akhbar, al-Hasan, ‘Abdurrahman, Salim, Syaikhan, Sholeh, ‘Abdullah al-Ashghar, Ja’far.

Seterusnya keluarga ini menurunkan marga antaranya: Aal Hamid; Aal Mudhor; Aal Haddar; Bin Jindan

Karamah beliau: Beliau seorang yang mempunyai banyak karamah. Namun disebut seuah dua sahaja disini.

Rubath Tarim adalah merupakan rubath yang tertua di Hadramaut dan ianya terletak di kota Tarim. Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim yang masa hidupnya jauh sebelum masa al-Habib Abdullah asy-Syathiri (pengasas rubath Tarim) setiap kali pergi ke kota Tarim, beliau selalu berhenti di suatu tanah sambil berkata, “Tanah ini kelak akan menjadi sebuah rubath…”. Benarlah sebagaimana apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه, diatas tanah itu akhirnya terbangunlah Rubath Tarim yang sangat masyhur itu. [Rubath Tarim secara rasminya dibuka pada 14 Muharram 1305H, manakala Syaikh Abu Bakar bin Salim wafat pada 992H.]


Suatu ketika al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim pernah berkata: “Dimataku, dunia ini tidak lebih dari sebuah piring. Semua yang ada diatasnya dapat kulihat.” Ucapan beliau ini dapat didengari oleh salah seorang pelayan (khadam) beliau. pada suatu hari, pelayan tersebut mendengar alunan syair yang merupakan keluhan seorang badui yang kehilangan untanya. Maka berkatalah pelayan tersebut kepada badui yang kehilangan unta itu: “Engkau temuilah Syaikh Abu Bakar. Beliau akan menunjukkan di mana untamu berada kerana baginya dunia ini hanya seluas sebuah piring sahaja.” Pergilah badui tersebut menemui al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim.

Apabila menemui al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim, dia berkata: Beritahu padaku dimana unta-untaku berada? al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim menjawab: Bagaimana aku dapat mengetahui keberadaan untamu?

Badui membalas: “Pelayanmu berkata bahwa dunia ini bagimu seumpama sebuah piring. Akhirnya al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim berkata; Pergilah ke tempah fulan, untamu berada disana. Badui itupun bersegera ketempat yang diberitahu dan menemui untanya disana.

Seterusnya al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim menegur pelayannya: Awas! Jangan kau ulangi perbuatanmu ini.


Kewafatan beliau: Pada malam minggu, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Dzulhijjah 992H, Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim – Shohib ‘Inaat; Syaikhul Islam dan teladan bagi manusia; pemimpin para ulama; hiasan para auliya; seorang yang amat jarang ditemukan di zamannya; da'i yang menunjukkan jalan Illahi dengan wataknya; pembimbing kepada kebenaran dengan perkataannya; para ulama di zamannya mengakui keunggulannya; dia telah menyegarkan berbagai warisan pendahulu-pendahulunya yang sholeh; titisan dari hadrat Nabawi; cabang dari pohon besar ‘Alawi; ‘alim Rabbani; imam kebanggaan agama – رضي الله عنه kembali kerahmatuLlah di kota ‘Inaat dan dimakamkan disana – رضي الله عنه وأعاد علينا من بركاته وانواره وأسراره وعلومه وأخلاقه – اللهم آمين


Setelah kewafatan al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim, tempatnya telah digantikan oleh anakanda beliau iaitu al-Habib Hussin bin al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim.


الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم و الى روح سيدناالإمام الحبيب شيخ أبو بكر بن سالم بن عبدالله بن عبدالرحمن بن عبدالله بن عبدالرحمن السقاف


InsyaALLAH bersambung lagi … dengan beberapa sedutan dari kitab Miftah as-Sarair dan beberapa untaian nasihat-nasihat beliau رضي الله عنه

Khamis, 16 Oktober 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 12

Setelah selesai ziarah kami di Zanbal, maka kami bergerak pulak ke 'Inaat untuk menziarahi makam al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه. Perjalanannya agak jauh. Sepanjang jalan kelihatan kaum hawa mengembala kambing … manakala dilereng bukitnya pula terdapat sarang-sarang lebah. Memang hadramaut terkenal dengan madu lebahnya. Dalam perjalanan tersebut sempat juga aku lelapkan mata seketika untuk melepaskan penat. Ustaz Ibrahim al-Fathoni yang memandu kami kesana rancak berbual dengan Ustaz Azhar. Maklumlah … depa lama dok di Tarim. Dah tu pulak lama tak jumpa .... sembang orang lama tak balik kampung ....... Ustaz Azhar dah hampir 6 tahun (kalau tak silap) tak menjengok Tarim.

Sesampai di 'Inaat, kami terus kekawasan perkuburan di 'Inaat. Disana terletaknya kubah makam al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه dan anak-anak beliau. Guru kami yang mulia, al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz adalah merupakan anak-cucu dari al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim. Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه merupakan seorang daripada ulama yang terkenal di Hadramaut. InsyaAllah … aku akan bawakan manaqib beliau ….. manaqib beliau akan abu zahrah paparkan secara berperingkat kerana agak panjang …

Manaqib al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim:
Beliau, al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim dilahirkan di kota Tarim al-Ghanna pada 13 Jumadil Akhir 919H.

Nasab sebelah ayahandanya: asy-Syaikh Abu Bakar bin Salim bin ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman bin ‘Abdullah bin al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله.

Manakala nasab sebelah bondanya: Hababah Thalhah bin ‘Agil bin Ahmad bin Abu Bakar as-Sakran bin al-Imam ‘Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله.


Qubah Makam al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه

Diceritakan bahwa al-Imam Ahmad bin ‘Alwi al-Majzub bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf telah mengkhabarkan akan kelahiran Syaikh Abu Bakar bin Salim. Suatu ketika ketika beliau berada di ‘Inaat, sambil duduk diatas sebidang tanah yang penuh berbatu-batu dan ditumbuhi belukar, beliau mengatakan kepada yang hadir bersamanya: Akan hadir seorang anak yang mempunyai kemuliaan dan akan tinggal ditempat ini. Lalu beliau bangun dan berjalan mengelilingi sekitar ‘Inaat sambil menunjukkan tempat-tempat yang berkaitan dengan Syaikh Abu Bakar bin Salim seperti masjid dan rumah yang akan didirikannya.

Hal sebegini juga pernah berlaku kepada Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه dimana setiap kali beliau pergi ke kota Tarim, beliau selalu berhenti di suatu tanah sambil berkata, “
Tanah ini nantinya akan menjadi sebuah ribath…”. Benarlah sebagaimana apa yang dikatakan oleh beliau, dimana, diatas tanah tersebut akhirnya terbangunlah Rubath Tarim yang sangat masyhur itu. Rubath Tarim secara rasminya dibuka pada 14 Muharram 1305H, manakala Syaikh Abu Bakar bin Salim wafat pada 992H.

Pendidikan: Beliau lahir dari keluarga yang sholeh, maka sejak kecil lagi sudah terdidik menghafal al-Quran. Dikisahkan bahwa beliau mendapat kesulitan menghafal al-Quran pada awalnya. Maka ayahnya telah mengadukan halnya kepada Syaikh al-Imam Syihabuddin bin ‘Abdurrahman bin Syaikh ‘Ali. Maka syaikh itu berkata: “Biarkanlah dia! Dia akan mampu menghafal dengan sendirinya dan kelak dia akan menjadi orang besar”. Maka jadilah beliau seperti mana yang dikatakan oleh syaikh tersebut.

Seterusnya beliau menuntut ilmu dari ulama-ulama yang terkenal, antaranya:-

  • Sayyid ‘Umar bin Muhammad bin Abi Bakar Ba Syaiban
  • Sayyid Ahmad bin ‘Alawi BaJahdab
  • Al-Faqih al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin Muhammad bin Sahl BaQasyir
  • Al-Faqih ‘Abdullah bin Muhammad BaMakhramah
  • Syaikh Ma’ruf bin ‘Abdullah BaJammal asy-Syibami ad-Dau’ani. Kisah bagaimana al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim mengambil ilmu dari Syaikh Ma’ruf: Pada suatu hari, Syaikh Abu Bakar bin Salim berniat untuk mempelajari ilmu daripada Syaikh Ma'ruf BaJammal yang tinggal di kota Syibam. Namun beliau terpaksa berhenti di pinggir kota Syibam kerana Syaikh Ma'ruf masih belum mahu menemuinya. Setiap kali dikatakan kepada Syaikh Ma'ruf: “Anak Salim bin Abdullah meminta kebenaran untuk menemuimu”. Beliau sering menjawab: “Katakan kepadanya bahawa aku belum berkenan untuk menerimanya”. Walaupun Syaikh Abu Bakar merupakan seorang anak kepada seseorang yang dihormati kerana kesholehannya, Syaikh Abu Bakar tidak pernah bersikap sombong dan marah di atas perlakuan Syaikh Ma’ruf tersebut, malah beliau tetap bersabar menunggu di bawah terik matahari dan dinginnya angin malam. Setelah 40 hari, barulah beliau menerima khabar bahawa Syaikh Ma'ruf bersedia untuk menemuinya. Dengan berkat kesabarannya itu, dalam waktu yang singkat sahaja beliau telah dapat menyerap ilmu yang disampaikan oleh gurunya. al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim mengungguli guru beliau didalam hal kerohanian dan sirr. Bahkan, setelah wafat gurunya ini bahwa beliau yang terus menyinarkannya.
  • Syaikh Umar bin ‘Abdullah BaMakhramah – dari ulama ini beliau belajar kitab Risalah al-Qusyairiyah karangan Imam al-Qusyairi.

Beliau رضي الله عنه adalah seorang yang sangat tekun dalam menuntut ilmu. Beliau mengkhatamkan kitab Ihya ‘Ulumiddin sebanyak 40 kali, kitab Minhaj oleh Imam an-Nawawi sebanyak 3 kali.

Akhlaq: al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim رضي الله عنه amat menyantuni para tamu dan memperhatikan keadaan mereka. Beliau adalah seorang yang pemurah dimana setiap hari tidak kurang dari 1,000 keping roti beliau sedekahkan kepada faqir miskin. Syaikh Abu Bakar bin Salim adalah seorang yang sangat mengasihani orang-orang lemah dan berkhidmat kepada orang-orang yang menderita kesusahan. Dia memperlihatkan dan menyenangkan perasaan mereka dan memenuhi hak-hak mereka dengan baik.


Beliau seorang yang sentiasa berlapang dada. Beliau seorang yang tawadhu. Dikatakan bahwa tidak ada seorang pun yang pernah lihat beliau duduk bersandar ataupun bersila. Beliau sentiasa duduk dalam keadaan yang melambangkan sifat kehambaan iaitu duduk tawarruk. Al-Faqih Syaikh Abdurrahman bin Ahmad BaWazir mengatakan: Sejak 15 tahun sebelum kewafatannya, didalam berbagai majlisnya baik bersama ulama maupun orang awam, Syaikh Abu Bakar bin Salim tidak pernah kelihatan duduk melainkan beliau dalam keadaan tawarruk (duduk dalam tahyat akhir).

Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim seorang yang sangat memuliakan tetamu. Sekira tetamu yang mengunjunginya ramai maka beliau akan menyembelih satu atau dua ekor unta untuk menjamu tetamunya. Dan beliau sendiri akan memenuhi keperluan tetamunya.

Al-Imam al-Habib Syaikh Abu Bakar bin Salim juga adalah seorang yang sangat mengasihani orang-orang lemah dan berkhidmat kepada orang-orang yang menderita kesusahan. Beliau memperlihatkan dan menyenangkan perasaan mereka dan memenuhi hak-hak mereka dengan baik.

Sampai disini dulu .... insyaALLAH, nanti abu zahrah sambung lagi manaqib ini ......

Rabu, 15 Oktober 2008

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah - (Siri - 11)

Sudah lama rasanya abu zahrah tak buat posting tranliterasi kitab-kitab lama... Maka hari ini nak mula balik. Dan insyaAllah pengalaman abu zahrah ke Hadramaut, akan dipaparkan sedikit demi sedikit ... berselang-seli ....Oh ya sedikit tips ... bagi yang mengatakan tulisan di al-Fanshuri terlalu kecil, maka anda bolehlah membesarkan tulisan dengan menekan ctrl + atau mengecilkannya dengan ctrl -. Ada kawan bagitau tentang tulisan yang kecil ini sewaktu ambo bertemu beliau di Masjid Wilayah hari Ahad bebaru ni ....

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: hamba Allah yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya mengaji atau bertanya kepada tuan guru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Fashal (فصل) pada menyatakan shabar bala Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan hatimu daripada keluh kesah pada bala Allah dan hiasi olehmu akan ka’batullah dengan shabar dan hilm atas menyakiti khalqullah (ciptaan Allah/makhluq Allah) maka jangan kamu sangkakan menyakiti atas kamu itu daripada makhluq ha[nya]sanya ia daripada Allah Ta’ala [haqiqatnya].

Dan jangan kamu keluh kesah daripada sakit dan bala kerana bahwasanya pengajaran bagi kamu daripada Allah. Dan makhluq dan sekalian bala itu seperti tongkat di tangan Allah, mengerasikan Dia atas kamu supaya kamu beradab dengan Allah. Kerana yang membalik-balikkan hati dan mengerakkan segala anggota dan yang memerintahkan sekelian ‘alam ini iaitu Allah yang menyeru Ia akan kamu kepada hadratNya. Maka perkenankan olehmu bagi seru Allah, maka jika enggan nafsu kamu yang sangat jahat daripada masuk kepada hadrat Allah, maka dielokkan dia dengan tongkat bala supaya ia masuk kepada hadrat Allah Ta’ala Yang Maha Tinggi. Maka suka olehmu dengan bala Allah, dan engkau mu’amalah dengan makhluq Allah dengan lemah lembut serta shabar atas menyakiti.

Dan takut olehmu pada ketika Allah Ta’ala beri ni’mat atas kamu pada hal kamu banyak durhaka kepadaNYA kerana yang demikian itu istidraj daripada Allah (yakni pelorong daripada Allah), janganlah kamu suka dengan dia. Dan fikir olehmu bahwasanya yang memberi dan yang menegah dan yang mudharat dan yang memerintahkan ‘alam ini iaitu Allah Ta’ala. Tiada dengan tangan makhluq suatu daripadanya.

Dan bershahabat olehmu dengan segala orang yang jahil supaya sampai kamu kepada maqam redha bi qadha-iLlah (dengan qadha` Allah) dengan menanggung akan menyakiti akan mereka itu. Dan jangan kamu berseteru dengan setengah manusia dan berkasih-kasih dengan setengahnya kerana seteru kamu itu nafsumu dan taulan kamu itu Allah. Maka tiap-tiap lahzah sebut olehmu akan Allah dan shabar olehmu atas bala Allah dengan ketiadaan bantah dan kelahi serta makhluq Allah supaya jadi kamu daripada ahlillah dan kamu masuk akan syurga Allah dengan shabar atas bala Allah dan kamu dapat padanya lazat hudhur serta Allah atas qadarnya.



Isnin, 13 Oktober 2008

Majlis Silaturrahim Eidulfitri dan Pengijazahan Sanad Kitab Abwabul Faraj

Majlis Silaturrahim Eidulfitri dan Pengijazahan Sanad Kitab Abwabul Faraj (ابواب الفَرَج) karangan Abuya Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki oleh Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki al-Hasani al-Makki akan diadakan pada hari Rabu, 15 Syawwal 1429 / 15 Oktober 2008 bertempat di Pusat Pengajian Ba'Alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah. [belakang Zoo Negara]

Aturcara (tertakluk kepada perubahan):
~ sholat Maghrib
~ bacaan Ratib Haddad dan Tahlil
~ sholat 'isyak
~ bacaan qasidah
~ pengijazahan sanad kitab Abwabul Faraj

Muslimin dan Muslimat di jemput hadhir

******

[masuk ikut tepi Zoo Negara, turus sehingga jumpa simpang pertama – ada signboard disitu – masuk kiri, ie Jalan 1, terus sehingga jumpa Jalan 3, ikut kiri, terus sehingga jumpa jalan 5, kekanan, terus sehingga nampak guardroom sebelah kiri – masuk masuk kiri – terus dan ambil kiri kemudian ambil kanan – dan parking diawal jalan - ]

Rabu, 8 Oktober 2008

Majlis 'Ilmu Bersama Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi bin Sayyid Abbas al-Maliki al-Hasani al-Makki



MAJLIS ILMU BERSAMA SAYYID AHMAD BIN SAYYID MUHAMMAD BIN SAYYID ‘ALAWI BIN SAYYID ABBAS BIN SAYYID ‘ABDUL ‘AZIZ AL-MALIKI AL-HASANI AL-MAKKI

Majlis - 1

TARIKH: 10 Syawal 1429 / 10 Oktober 2008 (Jum’at)


TEMPAT: Di Bilik Sri Seremban, Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan

MASA: 8.00 malam – 10.30 malam

ACARA: Diskusi Kitab Mafahim Yajibu An Tusohhah oleh Sayyid Ahmad al-Maliki. Kitab ini adalah merupakan kitab karangan ayahanda beliau iaitu al-‘Allamah al-Muhaqqiq al-Jalil Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani al-Makki. Tempat adalah terhad kepada 150 peserta yang awal sahaja. Kertaskerja dan buku akan dibekalkan secara percuma, insyaALLAH. Sila hubungi nombor-nombor di bawah [3 nombor yang disenaraikan] untuk urusan tempahan tempat.

[Catatan: Bagi pelajar-pelajar IPTA/IPTS [SAHAJA] yang memerlukan penginapan pada malam tersebut sila hubungi Cik Umi Natrah di talian 019-6554409]


Majlis - 2

TARIKH: 11 Syawal 1429 / 11 Oktober 2008 (Sabtu)

TEMPAT: Kompleks Yayasan SOFA, Rembau, Negeri Sembilan

MASA: Majlis bermula dari jam 4.30 petang

ACARA: Majils Haul Abuya Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki al-Hasani al-Makki dan Majlis Eidul Fitri. Majlis bermula dengan jamuan Hariraya.


Majlis - 3

TARIKH : 12 Syawal 1429 / 12 Oktober 2008 (Ahad)

TEMPAT: Dewan Seminar, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

MASA: 8.00pagi -1.00 tengahari

ACARA: Majlis Wacana Utama - Wacana Pemikiran al-‘Allamah al-Mahaqqiq al-Jalil as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani. Wacana ini adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah (JAWI), ABIM dan Yayasan SOFA. Pembentang adalah Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad al-Maliki al-Hasani dari Mekah, Habib Hasan al-'Attas dari Singapura dan Dato' Sayyid Umar al-Aidarus dari Terengganu. Masuk adalah PERCUMA.

Untuk pertanyaan sila hubungi:

Ustaz Salahuddin bin Azrai: 019 - 389 7785
Ustaz Mohd Hanif bin 'Abdul Hamid: 019 - 663 7785

atau sila layari blog Yayasan SOFA


Muslimin dan Muslimat Dijemput Hadhir.

Related Posts with Thumbnails