Rabu, 15 Oktober 2008

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah - (Siri - 11)

Sudah lama rasanya abu zahrah tak buat posting tranliterasi kitab-kitab lama... Maka hari ini nak mula balik. Dan insyaAllah pengalaman abu zahrah ke Hadramaut, akan dipaparkan sedikit demi sedikit ... berselang-seli ....Oh ya sedikit tips ... bagi yang mengatakan tulisan di al-Fanshuri terlalu kecil, maka anda bolehlah membesarkan tulisan dengan menekan ctrl + atau mengecilkannya dengan ctrl -. Ada kawan bagitau tentang tulisan yang kecil ini sewaktu ambo bertemu beliau di Masjid Wilayah hari Ahad bebaru ni ....

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: hamba Allah yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya mengaji atau bertanya kepada tuan guru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan yang sebenar. Sekian.)

Fashal (فصل) pada menyatakan shabar bala Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan hatimu daripada keluh kesah pada bala Allah dan hiasi olehmu akan ka’batullah dengan shabar dan hilm atas menyakiti khalqullah (ciptaan Allah/makhluq Allah) maka jangan kamu sangkakan menyakiti atas kamu itu daripada makhluq ha[nya]sanya ia daripada Allah Ta’ala [haqiqatnya].

Dan jangan kamu keluh kesah daripada sakit dan bala kerana bahwasanya pengajaran bagi kamu daripada Allah. Dan makhluq dan sekalian bala itu seperti tongkat di tangan Allah, mengerasikan Dia atas kamu supaya kamu beradab dengan Allah. Kerana yang membalik-balikkan hati dan mengerakkan segala anggota dan yang memerintahkan sekelian ‘alam ini iaitu Allah yang menyeru Ia akan kamu kepada hadratNya. Maka perkenankan olehmu bagi seru Allah, maka jika enggan nafsu kamu yang sangat jahat daripada masuk kepada hadrat Allah, maka dielokkan dia dengan tongkat bala supaya ia masuk kepada hadrat Allah Ta’ala Yang Maha Tinggi. Maka suka olehmu dengan bala Allah, dan engkau mu’amalah dengan makhluq Allah dengan lemah lembut serta shabar atas menyakiti.

Dan takut olehmu pada ketika Allah Ta’ala beri ni’mat atas kamu pada hal kamu banyak durhaka kepadaNYA kerana yang demikian itu istidraj daripada Allah (yakni pelorong daripada Allah), janganlah kamu suka dengan dia. Dan fikir olehmu bahwasanya yang memberi dan yang menegah dan yang mudharat dan yang memerintahkan ‘alam ini iaitu Allah Ta’ala. Tiada dengan tangan makhluq suatu daripadanya.

Dan bershahabat olehmu dengan segala orang yang jahil supaya sampai kamu kepada maqam redha bi qadha-iLlah (dengan qadha` Allah) dengan menanggung akan menyakiti akan mereka itu. Dan jangan kamu berseteru dengan setengah manusia dan berkasih-kasih dengan setengahnya kerana seteru kamu itu nafsumu dan taulan kamu itu Allah. Maka tiap-tiap lahzah sebut olehmu akan Allah dan shabar olehmu atas bala Allah dengan ketiadaan bantah dan kelahi serta makhluq Allah supaya jadi kamu daripada ahlillah dan kamu masuk akan syurga Allah dengan shabar atas bala Allah dan kamu dapat padanya lazat hudhur serta Allah atas qadarnya.



0 komen:

Related Posts with Thumbnails