Rabu, 17 Disember 2008

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 10

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Sekian.


Maka barangsiapa melihat akan dia Haq Subhanahuwa Ta’ala memberi bekas akan kehendak Tuhannya dan berpaling ia daripada kehendak nafsunya, nescaya memelihara Allah akan dia daripada kedatangan percuba[an] dan menyesat akan dia fitnah, dan jadilah Haq Subhanahuwa Ta’ala itu kekasihnya dan ia kekasih Tuhannya seperti yang tersebut didalam hadits Qudsi, firman Allah Ta’ala:

ولا يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتي أحبه ، فإذا أحببته كنت سمعه الذي يسمع به ، وبصره الذي يبصر به ، ولسانه الذي ينطق به ، ويده التي يبطش بها ، ورجله التي يمشي عليها ، ولئن سألني لأعـطينه ، ولئن استعاذ ني لأعيذ نه

[Artinya] Senantiasa hambaKu mendampingkan kepadaKu dengan mengerjakan yang sunat hingga aku kasih akan dia. Maka apabila Aku kasih akan dia adalah Aku pendengarnya yang ia dengar dengan dia, dan matanya yang ia melihat dengan dia, dan lidahnya yang berkata-kata dengan dia dan tangannya yang menampar dengan dia dan kakinya yang berjalan ia tasnya dan jika meminta akan Daku, Aku beri akan dia, dan jika minta berlindung akan Daku, Aku lindung akan dia.


(Maka orang yang) ada ia Haq Subhanahuwa Ta’ala, hai saudaraku, pendengarnya dan penglihatannya dan lidahnya, maka betapa jatuh ia di dalam kedatangan pencuba? Atau betapa dapat menyesatkan dia fitnah?

Maka ijtihad olehmu hai saudaraku, didalam tashhihkan akan makna ini dan sucikan akan masiwaLlah daripada hatimu, nescaya tercapailah kamu kamu akan kata Sayyidi asy-Syaikh Ahmad Ruslan Dimasyqi رضي الله عنه: Tiada patut engkau yakni daripada memandang akan Kami selama ada berkekalan pada kamu tinggal bagi yang lain daripada Kami. Maka apabila engkau palingkan akan segala yang lain, Kami fana’kan dikau daripada diri engkau dan patutlah engkau ketika itu bagi Kami dan Kami taruhkan dikau rahsia Kami.

(Maka apabila) berkehendak kamu hai orang salik akan penawar yang sudah dicuba dan ubat yang amat memberi manfaat bagi menolakkan bagi bala` yang tersebut itu iaitu percubaan dan fitnah, maka dengarlah olehmu kata Syaikh رضي الله عنه:

الجق يجري على ألينة علماء كل زمان بما يليق بأهله

Bermula yang sebenar itu yakni perkataan yang muwafaqat dengan waqi’ ini berlakulah ia atas segala lidah ulama` pada tiap-tiap masa dengan barang yang berpatutan dengan ahlinya ……………..……. bersambung, insyaAllah.



[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M]


والله تعالى أعلى و أعلم



Selasa, 16 Disember 2008

CATATAN PERJALANAN KE TARIM HADRAMAUT YAMAN - 16


Dah lama catatan perjalanan ke Tarim terhenti entrinya. Insyaallah, akan kusambung semula ……


Seterusnya kami ke kota Seiwun untuk menziarahi makam al-Habib ‘Ali al-Habsyi. Beliau adalah seorang waliAllah yang masyhur, pengarang Maulid Simtud Durar atau dikenali juga dengan nama Maulid al-Habsyi. Agak terkilan sebab kami tidak dapat memasuki kubah kerana tidak bertemu dengan penjaga kuncinya. Aku sekadar meninjau-ninjau dari dari celah-celah pintu. Walaupun tidak dapat mendekati makam beliau … seperti biasa aku akan membaca kutaib yang sentiasa aku bawa didalam poket bajuku … tertib ziarah dhorih as-sholihin oleh al-Imam al-‘Arifbillah al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir. InsyaAllah, al-Habib ‘Ali Habsyi tahu akan kehadhiran kami menziarahi beliau. Sungguh aku merasakan suatu ketenangan ketika menziarahi dhorih para auliya dan sholihin. Seusai membaca apa yang patut, aku meninjau-ninjau beberapa makam dikawasan tersebut.

Habib ‘Ali al-Habsyi adalah seorang ulama habaib yang terkenal, terutama dikalangan mereka yang membaca Maulid Simtud Durar. Kalau di Malaysia, ianya tidaklah semasyhur di Indonesia, kerana di Malaysia lebih terkenal dengan Barzanji. Di Solo, sewaktu majlis haul Habib ‘ali al-Habsyi, yang diselenggarakan oleh cucu beliau Habib Anis bin ‘Alwi bin ‘Ali al-Habsyi [gambar sebelah], puluhan ribu hadirin yang mengikutinya. Walaupun kini Habib Anis sudah wafat [14 Syawal 1427/6 November 2006], namun majlis haul di Solo masih lagi merupakan diantara majlis haul yang terbesar kehadirannya di Indonesia.

Seandainya pengunjung al-Fanshuri nak tahu lebih lanjut tentang al-Habib ‘Ali al-Habsyi ini, bacalah buku bertajuk Biografi Habib ‘Ali al-Habsyi Muallif Simtud Durar terjemahan Habib Novel (Naufal) Muhammad al-‘Aidarus. Buku tersebut terbitan Pustaka Zawiyah. Sungguh menarik. InsyaAllah, akan aku bawakan sedikit manaqib Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi. Moga-moga kita dikurniakan rahmat dariNya.

Manaqib al-Habib ‘Ali bin Muhamad al-Habsyi: Beliau, al-Habib ‘Ali bin Muhamamd al-Habsyi dilahirkan di Qasam pada hari Jum’at, 24 Syawwal 1259H. Namanya ‘Ali telah diberikan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah bin Hussin bin Thahir sempena mengambil berkat dari al-Habib ‘Ali Khali’ Qasam.

Nasab beliau: ‘Ali bin Muhammad bin Hussin bin ‘Abdullah bin Syaikh bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Hussin bin Ahmad Shahib asy-Syi’b bin Muhammad Asghar bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habsyi bin ‘Ali bin Ahmad bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin’Alwi bin’Ubaidullah bin al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Ayahandanya adalah merupakan Mufti Syafi’iyyah di Makkah sejak tahun 1270H menggantikan Syaikh Ahmad Dimyathi yang wafat. Setelah kewafatan Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi, tempatnya diganti oleh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan. [Diantara ulama Melayu yang sempat berguru kepada Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi ialah Syaikh Arsyad Thawil Banten, Jawa Barat. Beliau juga berguru kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi. Syaikh Mahfuz Termas juga belajar hadits kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad al-Habsyi, iaitu saudara kepada Habib ‘Ali al-Habsyi]

Bonda beliau yang berasal dari Syibam adalah seorang sayyidah shalihah, ‘arifahbillah dan da’iyyah ilallah ‘Alawiyyah binti Hussin bin Ahmad al-Hadi al-Jufri.

Saudara beliau: AbduLlah, Ahmad, Hussin, Syeikh dan Aminah

[
gambar diatas adalah Masjid Riyadh yang dibangunkan oleh Habib 'Ali al-Habsyi si Seiwun]


Pendidikan dan guru-guru beliau: Sejak beliau dididik oleh ayahanda beliau, Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi [ - ayahanda beliau berangkat ke Mekah dan tinggal disana ketika usia Habib ‘Ali 7 tahun. Dan urusan pendidikan beliau seterusnya diambil oleh bonda beliau - ] dan bonda beliau Hababah ‘Alawiyyah binti Hussin al-Hadi al-Jufri. Seterusnya beliau belajar kepada:
  • Habib Hasan bin Shaleh al-Bahr
  • Al-‘Allamah Habib Abdullah bin Hussin bin Thahir (syaikh fath dan tahkim kepada ayahanda beliau)
  • Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Athash (shaikh fath beliau)
  • Al-‘Allamah Habib Umar bin Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad
  • Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur
  • Habib ‘Ali bin Idrus bin Syihabuddin
  • Habib Umar bin ‘Abdurrahman Bin Syahab
  • Habib Mohsin bin ‘Alwi al-Saggaf
  • Habib ‘Abdul Qadir bin Hasan bin Umar bin Saggaf
  • Habib Muhammad bin ‘Ali bin ‘Alwi al-Saggaf
  • Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar
  • Habib ‘Idrus bin Umar al-Habsyi
  • Sayyid ‘Abdullah bin Hussin bin Muhammad
  • Syaikh Muhammad bin Ibrahim

Beliau berangkat ke Mekah pada tahun 1276H atas permintaan ayahanda beliau, dan tinggal disana selama 2 tahun. Ketika itu beliau berusia 17 tahun. Di Hijaz beliau mengambil peluang menuntut ilmu dengan para ulama disana. Ketika di Mekah, beliau, abangnya Habib Hussin dan Habib ‘alwi al-Seggaf sering mengulangkaji kitab Minhaj dan 12 buah syarahnya bahkan mereka menghafalnya.

Melalui pengembaraan mencari ilmu dan menemui para ‘alim-ulama di Hadramaut dan Hijaz, maka Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi menguasai dengan baik pelbagai ilmu, samada yang dzahir maupun yang bathin. Sekembalinya dari Mekah, maka bermulalah pula kegiatan beliau berdakwah dan mengajar. Beliau menjadi imam, berdakwah, mengajar dan beribadah di Masjid Hambal. Lebih kurang 30 tahun beliau berkhidmat disana.

Setelah itu beliau membangunkan ribath beliau sendiri di kota Seiwun, untuk para penuntut ilmu. Kemudian belau membangunkan pula masjid yang dinamakan Masjid Riyadh berhampiran dengan ribath yang beliau telah bangunkan. Masjid tersebut dibangunkan pada tahun 1303. di Masjid inilah pengajian hadits diadakan pada setiap hari itsnin. Dibacakan kutubus sittah atau al-Ummahat as-Sit.

Ketika usia beliau menginjak 68 tahun, beliau mengarang sebuah kitab maulid yang diberi nama Simtud Durar. Sebuah kitab maulid yang masyhur dan penuh barokah, yang sehingga kini dibaca di Hadramaut, Nusantara dan Afrika. Beliau mula mengarang pada Khamis, 26 Shafar 1327 dan menyempurnakannya pada 10 Rabiulawwal 1327H.


[Gambar - Habib 'Alwi bin 'Ali bin Muhammad al-Habsyi. Pendiri Masjid Riyadh di Solo (Surakarta). Beliau adalah ayah kepada Habib Anis.

Hasil dari perkahwinannya, Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi dikurniakan 5 orang cahayamata iaitu ‘Abdullah, Muhammad, Ahmad, ‘Alwi dan Khadijah.

Kewafatannya: al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi wafat pada waktu Dhuhur, hari Ahad, 20 Rabi’uts Tsani 1333H dan dimakamkan di sebelah barat Masjid Riyadh.

Murid-murid beliau: Al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi meninggalkan ramai murid, antaranya:Anak-anak beliau sendiri iaitu ‘Abdullah, Muhammad, ahmad dan ‘Alwi; Al-‘Allamah al-Habib Syaikh bin Muhammad (adik beliau); Al-‘Allamah al-Habib Ja’far bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saggaf al-Seggaf ; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdul Qadir bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saggaf al-Seggaf ; Al-‘Allamah al-Habib Muhammad bin Hadi bin Hassan al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib Muhsin bin ‘Abdullah bin Mihsin al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdul Qadir bin Salim bin ‘alwi al-‘Aidarus; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Zein al-Habsyi; Al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Muhammad bin Ibrahim Bilfaqih; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syatiri; dan ramai lagi.

Antara kata-kata hikmat dan nasihatnya:
  • Pelajarilah cara memetikan hawa nafsu. Pelajarilah adab. Tuntutlah ilmu, baik dari orang dewasa maupun kanak-kanak ……………… Jauhilah dengki dan irihati. Ketahuilah kedua sifat ini dapat mencabut keberkatan ilmu.
  • Allah tidak mensyariatkan shalat berjemaah atau shalat Jum’at atau shalat eid, kecuali kerana ada rahsia yang Allah letakkan dalam kumpulan manusia. Allah telah menjadikan untuk umat Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم saat-saat untuk berkumpul setiap tahun, setiap minggu dan setiap hari. Allah tidak mensyariatkan pertemuan-pertemuan itu dengan sia-sia. Allah mensyariatkannya, tidak lain kerana keistimewaan yang terdapat dalam setiap pertemuan. ………….
  • Penghuni zaman ini hanya berlumba-lumba mencari dunai. Mereka hanya menyukai orang yang memiliki banyak harta, kedudukan yang tinggi dan kemasyhuran. Jika seseorang mempunyai anak yang pandai dalam urusan dunia dan seorang lagi anak yang pandai dalam ilmu agama, maka ia lebih menyayangi anak yang pandai dalam urusan dunia.
  • Manusia di zaman ini hendaknya menjaga cahaya imannya, kerana pergaulan dengan orang-orang yang diliputi kegelapan hanya akan menularkan kegelapannya. Alangkah seringnya hati berbolak-balik. Jika kau berusaha hudhur didalam shalat, dzikir atau tilawah, maka hatimu mengajakmu berkelana ketempat-tempat lain. Di zaman ini tidak ada seorang pun yang mencari tabib bagi penyakit hatinya. Jika ada orang sakit kepala, ia akan segera berkata,: “Ambilkan ubat sakit kepala!” Jika ada yang sakit gigi, ia akan berkata,: Ambilkan ubat sakit gigi! Namun jika terkena penyakit hati, tidak ada yang berusaha mencari tabibnya [yakni syaikh mursyid yang dapat merawat penyakit-penyakit hati]
  • Hadirilah majlis-majlis ilmu dengan hati dan telinga yang mau mendengar. Keluarlah dari majlis itu dengan membawa faedah. Dan faedah majlis yang sebenarnya adalah mengamalkan apa yang telah kalian dengar. Setiap orang hendaknya menujukan nasihat yang ia dengar untuk dirinya sendiri. Terimalah nasihat dengan senang dan hati yang lapang. …………
  • Wahai saudara-saudaraku, hati-hati telah menjadi kaku dan beku, tidak ada lagi bekas dan pengaruh dari al Quran maupun nasihat para ulama yang selalu didengarnya. Sedang kita tidak tahu apa gerangan penyebab kekerasan hati itu. Ketahuilah bahwa penyebab terbesar dan yang paling dominan adalah kerana makanan yang kotor (syubhat atau haram) yang masuk ke perut kita, ketika ini banyak orang tidak mempedulikan dan bahkan tidak takut untuk jatuh pada keharaman. Mereka meremehkan masalah ini …… Bagaimana mungkin nasihat dan peringatan yang disampaikan akan memberikan atsar (pengaruh) dan membekas di hati, sedangkan makanan yang dimakan adalah haram?
  • Berusahalah mencari pekerjaan dan makanan yang halal dan jauhilah keharaman. Dan ketahuilah bahwa kewara’an ini tidak hanya pada makanan sahaja tetapi mencakupi semua aspek pekerjaan kita. Berbuat apapun, tetapi harus dilandasi dengan keberhati-hatian dan kewaspadaan. Jika masih ragu maka tinggalkanlah kerana dikhawatir akan terjerumus pada keharaman dan akibatnya pasti celaka.
  • Jika riwayat hidup kaum ‘arifin dibacakan kepada orang yang beriman, maka imanya kepada Allah akan semakin kukuh. Sebab, kehidupan mereka merupakan cerminan dari kitabullah yang didalamnya terkandung ilmu orang-orang terdahulu dan yang datang kemudian atau refleksi dari hadits Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم atau dari pengetahuan yang ia terima langusng dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tanpa perantara.
Banyak lagi nasihat dan kata-kata hikmah beliau yang bagaimana yang terkandung didalam bebepa buah kitab seperti Majmu’ Washoya, Majmu’ Kalam al-Habib ‘Ali al-Habsyi, Jawahir al-Anfas fima Yurdhi Rabb an-Nas, al-Mawa’idz al-aliyyah min al-Majalis al-‘Aliyyah dan lain-lain. Sesungguhnya nasihat dan kata-kata hikmah beliau sentiasa membasahi hati yang gersang bak air hujan yang membasahi tanah yang tandus sehingga menyuburkannya. Memang benarlah bahwa ilmu (hikmah) yang disampaikan seorang ‘arifbillah, akan memberikan ketenangan dan kesejukan hati ibarat air hujan memberikan kesuburan pada pepohonan. Dan sebagaimana kata orang, jika nasihat itu keluar dari hati, maka ia akan masuk kehati ……



Demikianlah sekelumit manaqib al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi, shahib Maulid Simtud Durar. Insyaallah, mudah-mudahan kita tergolong kaum yang mencintai beliau, para salaf kita dan para auliya serta sholihin, dan moga-moga kita kelak dikumpulkan bersama mereka. آمين Sepertimana yang akuu nyatakan diawal tadi, untuk membaca manaqib ‘arifbillah ini secara detail, sila dapatkan buku biografi Habib ‘Ali Habsyi Muallif Simtud Durar oleh Habib Novel Muhammad al-‘Aidarus dan Drs. Abu ‘Abdillah al-Husaini.

Perjalananku seterusnya …………… Ketika di Seiwun kami juga berkesempatan singgah di rumah Habib ‘Alwi al-Haddad. Beliau adalah merupakan anak kepada Imam Masjid Baitulaman, KL. Habib ‘Alwi merupakan bekas pelajar Dar al-Mushtafa, Tarim. Seronok berjumpa dan bersembang dengan Habib yang sorang ni. Kali terakhir aku jumpa beliau ialah sewaktu majlis Syaikh Nuruddin di Masjid UIA. Beliau mengajak kami kesebuah restoren untuk membasahkan tekak. Banyak perkara yang kami berkongsi bersama, terutama mengenai situasi semasa di Seiwun, Tarim dan juga Hadramuat secara keseluruhan …... Tak habis sembang disitu kami dipelawa untuk kerumah beliau pula.

Ketika dalam perjalanan kerumah beliau … keadaan cuaca di Seiwun kurang baik, awan gelap dan ribut pasir bertiup. Sesampainya kami kerumah beliau … hujan turun dengan lebatnya. First time …. Aku melihat hujan turun di bumi Hadramaut yang panas membakar. Setelah berehat dan menikmati santapan ringan, kami bernagkat kembali ke Dar al-Mushtafa. Menurut Ustaz Ibrahim, kami perlu berangkat segera kerana beliau bimbang kalau-kalau terjadi banjir dikawasan yang rendah sebelum masuk ke Tarim. Lagi pun Pada sebelah malamnya, Majlis Maulid berlangung di Dar al-Musthafa ………………….. insyaAllah akan kusambung lagi ………………..

Jumaat, 5 Disember 2008

Berhati-hati Dengan Buku Sebegini ....



Sebentar tadi sewaktu ronda-ronda dibeberapa buah blog, al-Faqir terbaca satu entri di blog Ustaz Mahfuz, pendedahan mengenai sebuah buku yang menyeleweng dari aqidah Ahl al-Sunnah wa Al-Jamaah bertajuk ‘Tauhid as-Salaf as-Soleh – Pegangan Beragama Untuk Umat Islam'. Buku ini di tulis oleh Haji Abdul Malek Hussin dan telah disunting dan dikemaskini oleh ‘Abdul Hadi Abdul Malek. Al-Faqir ‘paste’ kan disini kandungan buku tersebut untuk ditatap bersama. Terimakasih al-Faqir ucapkan kepada Ustaz Mahfuz kerana pembongkaran ini. Sekurang-kurangnya, tuduhan dapat dijawab dan kesalahfahaman, pembohongan atau penyelewengan dapat diluruskan agar masyarakat awam tidak terpedaya dengan fahaman yang menyeleweng dari aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.


Kembali kepada tulisan didalam buku tersebut, penulis mengatakan bahwa:
“…. kenyataan selama ini mengatakan Allah tidak bertempat bukan sahaja MUSYRIK bahkan sama pegangan dengan seorang atheis. Dengan mengatakan Allah tidak bertempat, bermakna Allah tidak wujud. Kiri tidak ada (kalau ada, Allah itu bertempat), kanan pun tidak ada (kalau ada, Allah itu bertempat), seterusnya sama juga bila ditanya: Atas, bawah, depan, belakang semuanya menyatakan Allah itu tiada.
Dengan itu: Dimana Allah?
Jawab: Tidak tahu
Keputusan: Allah itu tidak bertempat, maknanya: Allah tidak wujud.


Al-Faqir tidak bermaksud untuk membahaskan mengenai ketidakfahaman penulis buku tersebut mengenai perbahasan ilmu tauhid tetapi al-Faqir ingin tumpukan pada kenyataan “…. kenyataan selama ini mengatakan Allah tidak bertempat bukan sahaja MUSYRIK bahkan sama pegangan dengan seorang atheis ….” Kepada siapakah tuduhan ‘MUSYRIK’ dan ‘ATHEIS’ itu ditujukan? Allahu Allah …. Terlalu mudah sipenulis melemparkan tuduhan MUSYRIK. Ketahuilah wahai pengunjung al-Fanshuri yang dikasihi, bahwa penulis buku tersebut secara sedar atau tidak, dia telah melemparkan tuduhan tersebut kepada shahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in dan sekian ramai dari kalangan ulama-ulama besar yang menjadi panutan umat.

Untuk itu al-Faqir bawakan disini artikel yang ditulis oleh guru yang juga shahabat al-Faqir iaitu Ustaz Mukhlis mengenai persoalan tersebut. Al-Faqir petik dari multiply beliau.

Aqidah Salaf al-Sholeh Dan Tanzih (Menyucikan Allah Ta’ala Daripada Tempat dan Kejisiman)

Mafhum Istilah "Tempat"

Dari sudut bahasa, tempat bererti: Sesuatu yang meliputi sesuatu jisim. Dari sudut istilah: Suatu yang menjadi lapangan bagi sesuatu jisim. (al-Tanzih karangan Dr. Umar Abdullah Kamil)

Oleh yang demikian, sesuatu yang bertempat bererti, ia adalah sesuatu yang berjisim. Oleh kerana itulah, aqidah Islam yang murni menyucikan Allah Ta’ala daripada tempat kerana zat Allah Ta’ala tidak berjisim.

Tempat itu adalah sesuatu yang mempunyai ukuran tertentu, begitu juga dengan jisim. Adapun jisim itu adalah sesuatu yang mempunyai saiz tertentu, ukuran tertentu, had-had tertentu, batasan-batasan tertentu dan sebagainya yang mengambil ruang dan tempat. Oleh yang demikian, Maha Suci Allah Ta’ala daripada bertempat dan berjisim. Inilah aqidah Islam yang murni menurut al-Qur'an, al-Sunnah dan aqidah para salaf al-sholeh.

Firman Allah Ta’ala:
قُل لِّمَن مَّا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضِ قُل للَّهِ
Katakanlah: "Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Kepunyaan Allah." (Surah Al-An'am: 12)

Imam Fakhruddin al-Razi berkata: ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Ta’ala tidak bertempat, kerana semua tempat yang ada dalam langit dan bumi adalah kepunyaanNya, yang merupakan ciptaanNya. (sila rujuk buku Asas al-Taqdis).

Perkataan Salaf al-Sholeh dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah Ta’ala

قال سيدنا علي رضي الله عنه: قد كان- الله- ولا مكان ، وهو الان على ما- عليه- كان - الفرق بين الفرق لأبي منصور البغدادي:333

Sayyiduna Ali كرم الله وجهه pernah berkata: “Adalah Allah Ta’ala itu wujud tanpa tempat. Dia sekarang atas sebagaimana sediakalanya”. (al-Farq baina al-Firaq karangan Abu Mansur ‘Abd Qahir bin Thahir al-Baghdadi - wafat 429H - 333)

قال أيضا: إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته - الفرق بين الفرق لأبي منصور البغدادي:333

Beliau كرم الله وجهه berkata lagi: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan arasy untuk menzahirkan qudratNya dan bukan untuk dijadikan tempat bagi zatNya (al-Farq baina al-Firaq karangan Abu Mansur ‘Abd Qahir bin Thahir al-Baghdadi - wafat 429H -: 333)

من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود . - حلية الأولياء: ترجمة علي بن أي طالب: 73:1

Sayyiduna Ali كرم الله وجهه berkata lagi: “Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah” (Hilyah al-Auliya’: 1/73)

وقال التابعي الجليل الإمام زين العابدين علي بن الحسين بن علي رضي الله عنهم ما نصه: أنت الله الذي لا يحويك مكان - إتحاف السادة المتقين- 380:4

Imam Ali Zainal Abidin bin al-Husein bin ‘Ali رضي الله عنهم (wafat 94H) berkata: “Sesungguhnya, Engkaulah Allah, yang tidak bertempat” (Ithaf al-Saadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya ‘Ulum al-Diin: 4/380)

أنت الله الذي لا تحد فتكون محدودا - إتحاف السادة المتقين: 380:4

Imam Ali Zainal Abidin bin al-Husein bin ‘Ali رضي الله عنهم berkata lagi: “Engkaulah Allah yang tidak mempunyai sebarang had...” (Ithaf al-Saadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya ‘Ulum al-Diin: 4/380)

وقال الإمام جعفر الصادق بن محمد الباقر بن زين العابدين علي بن الحسين رضوان الله عليه من زعم أن الله في شيء، أو من شيء، أو على شيء فقد أشرك.

Imam Ja’far al-Shaadiq (148H) bin Muhammad al-Baqir bin Zain al-‘Abidin ‘ali bin al-Husein bin ‘Ali رضوان الله عليهم berkata: “Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala berada pada mana-mana tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka dia telahpun syirik...” (Risalah al-Qusyairiyah: 6)

قال الإمام أبو حنيفة النعمان بن ثابت: " كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء ) الفقه الأبسط ضمن مجموعة رسائل أبي حنيفة بتحقيق الكوثري - ص 25)

Imam Abu Hanifah (150H) رضي الله عنه berkata: Allah Ta’ala itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk. Maka, Allah Ta’ala wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya. (al-Fiqh al-Absath: 25)

قال الإمام أبو حنيفة النعمان بن ثابت: ولقاء الله تعالى لأهل الجنة بلا كيف ولا تشبيه ولا جهة ، حق

Beliau berkata lagi: Pertemuan dengan Allah Ta’ala bagi ahli syurga tanpa kaifiyat, tanpa tasybih dan tanpa sudut adalah benar (al-Washiyah: 4)

ونقر بأن الله سبحانه وتعالى على العرش استوى من غير أن يكون له حاجة إليه واستقرار عليه ، وهو حافظ العرش وغير العرش من غير احتياج -كتاب الوصية ، ضمن مجموعة رسائل أبي حنيفة بتحقيق الكوثري - ص/ 2)

Beliau berkata lagi: Kami mengakui Allah Ta’ala beristiwa atas Arasy tanpa berhajat kepadanya ataupun tanpa menetap di atasnya. Dialah yang menjaga Arasy dan selain daripada Arasy tanpa memerlukannya. (Kitab Al-Washiyyah karangan Imam Abu Hanifah yang ditahqiq oleh Imam al-Kautsari, halaman 2)

وقال الإمام محمد بن إدريس الشافعي: إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته

Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’e (204H) رضي الله عنه berkata: “Allah Ta’ala wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah Ta’ala berubah sifatNya atau zatNya.” (Ithaf al-Saadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya ‘Ulum al-Diin: 2/24).


وأما الإمام الجليل أبو عبد الله أحمد بن محمد بن حنبل الشيباني فقد ذكر الشيخ ابن حجر الهيتمي أنه كان من المترهين لله تعالى عن الجه ة والجسمية، ثم قال ابن حجر ما نصه: وما اشتهر بين جهلة المنسوبين إلى هذا الإمام الأعظم من أنه قائل بشيء من الجهة أو نحوها فكذب وبهتان وافتراء عليه"

Imam Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Syaibani رضي الله عنه pula, menurut Shaikh Ibn Hajar al-Haithami bahawasanya, beliau (Imam Ahmad) dalam kalangan mereka yang menyucikan Allah Ta’ala daripada sebarang tempat dan kejisiman. Kemudian, Ibn Hajar berkata: Adapun yang masyhur dalam kalangan orang-orang jahil yang menisbahkan kepada Imam yang agung ini, bahawa beliau bercakap tentang (Allah Ta’ala) bertempat dan sebagainya, maka ia merupakan sesuatu yang dusta, tipu daya dan rekaan ke atas beliau" (al-Fatawa al-Haditsiyyah: 144)

وكذا كان على هذا المعتقد الإمام شيخ المحدثين أبو عبد الله محمد ابن إسماعيل البخاري صاحب الصحيح فقد فهم شراح صحيحه أن البخاري كان يتره الله عن المكان والجهة

Imam al-Bukhari (256H) رضي الله عنه dalam Shahih al-Bukhari itu sendiri menurut mereka yang mensyarahkannya, bahawasanya beliau menyucikan Allah Ta’ala daripada tempat dan arah.

وقال الإمام الحافظ الفقيه أبو جعفر أحمد بن سلام الطحاوي الحنفي في رسالته (العقيدة الطحاوية) ما نصه: "وتعالى - أي الله - عن الحدود والغايات والأ ركان والأعضاء والأدوات، لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات"

Imam al-Hafidz al-Faqih Abu Ja’far Ahmad ibn Salam al-Thahawi al-Hanafi (321H) رحمه الله تعالى berkata juga: “Maha Tinggi dan Suci Allah Ta’ala daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut (arah) yang enam (tidak bertempat).” (al-Siqaat: 1/1)

وقال الحافظ محمد بن حبان صاحب الصحيح المشهور بصحيح ابن حبان ما نصه: "الحمد لله الذي ليس له حد محدود فيحتوى، ولا له أجل معدود فيفنى، ولا يحيط به جوامع المكان ولا يشتمل عليه تواتر الزمان"

Imam al-Hafidz Muhammad ibn Hibban (354H) رحمه الله تعالى berkata: “Segala puji bagi Allah Ta’ala yang tidak mempunyai sebarang batasan yang membatasinya lalu meliputinya, dan tiada bagiNya masa yang terbatas yang akan menyebabkan Dia fana, dan tiada tempat yang dapat meliputiNya, dan tiada termasuk dalam lingkaran masa. (al-Siqat: 1/1)

وقال الحافظ محمد بن حبان: كان- الله- ولا زمان ولا مكان

Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak tertakluk kepada tempat dan masa” (al-Ihsan fi Tartib Shahih Ibn Hibban: 4/8)


وقال الحافظ محمد بن حبان: ينزل - يعني الله - بلا آلة ولا تحرك ولا انتقال من مكان إلى مكان

Beliau berkata lagi: Allah Ta’ala turun tanpa alat, tanpa pergerakan, tanpa perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain (al-Ihsan fi Tartib Shahih Ibn Hibban 2/136)

وقال الشيخ أبو سليمان أحمد بن محمد الخطابي صاحب معالم السنن ما نصه: وليس معنى قول المسلمين إن الله على العرش هو أنه تعالى مماس له أو متمكن فيه أو متحيز في جهة من جهاته

Imam Abu Sulaiman Ahmad Al-Khitobi (388H) رحمه الله تعالى berkata: "Bukanlah makna perkataan kaum muslimin bahawa Allah Ta’ala atas Arasy itu bahawa Dia menyentuhnya atau menetap di atasnya, atau mengambil tempat daripada salah satu sudut daripada sudut-sudutnya… (A'lamul Hadits: 2/147)

قال الامام أحمد ، فقد نقل ابو الفضل التميمي رئيس الحنابلة عن الامام احمد مانصه : كان يقول - أي الإمام أحمد - في معني الاستواء هو العلو والارتفاع ولم يزل الله عاليا رفيعا قبل أن يخلق عرشه فهو فوق كل شىء والعالي علي كل شىء... علا ولا يجوز أن يقال استوي بمماسه ولا بملاقاه تعالي الله عن ذلك علوا كبيرا والله تعالي لم يلحقه تغيير ولا تبدل ولا تلحقه الحدود قبل خلق العرش ولا بعد خلق العرش

Imam Ahmad رضي الله عنه berkata, seperti yang dinukilkan oleh Abu al-Fadhl al-Tamimi, penghulu ulama' Hanabilah, daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata tentang makna istiwa: ‘Iaitu ketinggian darjat dan keagunganNya. Allah Ta’ala sentiasa Maha Tinggi dan Maha Tinggi (darjatNya) sebelum Dia menciptakan Arasy. Dia di atas setiap sesuatu dan Maha Tinggi (kedudukanNya) daripada setiap sesuatu… Tidak boleh seseorang berkata bahawasanya, istiwa itu zat Allah Ta’ala menyentuh Arasy atau menempatinya. Maha Suci Allah Ta’ala daripadanya (bertempat tersebut) setinggi-tinggiNya. Dia tidak akan berubah-ubah, tidak dibatasi dengan sebarang batasan sebelum penciptaan Arasy dan setelah kejadian Arasy tersebut" (Risalah al-Tamimi: 2/265-290)

قال الامام الطبري رحمه الله : فتبين إذا أن القديم بارىء الأشياء وصانعها هو الواحد الذي كان قبل كل شىء ، وهو الكائن بعد كل شىء ، والأول قبل كل شىء ، والآخر بعد كل شىء، وأنه كان ولا وقت ولا زمان ولا ليل ولا نهار، ولا ظلمة ولا نور ولا سماء ولا أرض ولا شمس ولا قمر ولا نجوم ، وأن كل شىء سواه محدث مدبرمصنوع...

Imam al-Thabari رحمه الله تعالى berkata: Jelaslah bahawa Allah Ta’ala qadim, Tuhan kepada seluruh makhluk dan Penciptanya. Dialah yang Maha Esa yang wujud sebelum sesuatu wujud. Dia juga kekal setelah kewujudan makhluk. Dialah yang Maha Awal sebelum segala sesuatu dan Maha Akhir setelah segala sesuatu. Allah Ta’ala itu wujud tanpa masa, zaman, siang, malam, tanpa kegelapan dan tanpa cahaya, tanpa langit, tanpa bumi, tanpa matahari, tanpa bulan dan tanpa bintang. Semua selainNya adalah baharu yang ditadbir dan diciptakan (olehNya). (Tarikh al-Thabari : 1/26)

وقال إمام أهل السنة أبو الحسن الأشعري (324 ه): نصه : كان الله ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (324H) رحمه الله تعالى berkata: Allah Ta’ala wujud tanpa bertempat. Dia menciptakan Arasy dan Kursi tanpa memerlukan kepada tempat. (Tabyiin Kazbul Muftari: 150)

قال الله تعالى مخبرا عن خليله إبراهيم صلوات الله عليه وسلامه –( لَمَّا أَفَلَ قَالَ لا أُحِبُّ الآفِلِينَ) (الانعام/76) في قصة أفول الكوكب والشمس والقمر وتحريكها من مكان إلى مكان ما دل على أن ربه عز وجل لا يجوز عليه شىء من ذلك ، وأن من جاز عليه الأفول والانتقال من مكان إلى مكان فليس بإله

Beliau berkata lagi: Allah Ta’ala mengkhabarkan daripada Ibrahim عليه السلام dalam ayat: "Ketika ia (bintang) lenyap maka baginda (Ibrahim) berkata, aku tidak suka kepada yang lenyap". Dalam kisah tersebut, bintang, matahari dan bulan bergerak-gerak, kejap adan kejap tiada, berpindah dari tempat ke suatu tempat, menunjukkan bahawa Allah s.w.t. tidak bersifat dengan sifat tersebut (bergerak dari tempat ke tempat). Setiap yang boleh lenyap dan berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat maka ia bukan Tuhan. (Risalah Istihsan al-Khaudh: 45)


وقال إمام أهل السنة أبو منصور الماتريدي (333 هـ) رحمه الله ما نصه : إن الله سبحانه كان ولا مكان ... فهو على ما كان ، وكان على ما عليه الان ، جل عن التغير والزوال والاستحالة

Telah berkata Imam Abu Mansur al-Maturidi (333H) رحمه الله تعالى : "Sesungguhnya Allah Ta’ala wujud tanpa bertempat… Dia wujud kini sama seperti wujudNya sebelum ini, dan sehingga kini wujud seperti sebelumnya. Maha Suci Allah Ta’ala daripada berubah-ubah, hilang mahupun daripada kemustahilan. (al-Tauhid karangan Imam Maturidi: 69)

وقال الصوفي أبو عثمان المغربي سعيد بن سلام (373 هـ) فيما نقله عنه أبو القاسم عبد الكريم بن هوازن القشيري (469 هـ) ونصه: أنه كما كان ولا مكان فهو الآن كما كان... ) الرسالة القشيرية: 5)

Imam Abu Uthman al-Maghribi Sa'id bin Salam (373H) رحمه الله تعالى berkata (seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Qusyairi: Sesungguhnya Allah Ta’ala itu wujud tanpa tempat. Dia wujud kini seperti sedia kala juga… (al-Risalah al-Qusyairiah: 5)

قال الشيخ أبو بكر محمد بن إسحق الكلاباذي الحنفي (385 هـ) في بيان عقيدة الصوفية ما نصه : ( اجتمعت الصوفية على أن الله لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان - التعرّف لمذهب أهل التصوف

Imam al-Kalabazi (385H) رحمه الله تعالى berkata tentang aqidah para sufi (sejak dari zaman salafus shaleh): Telah ijma' dalam kalangan sufi bahawasanya Allah Ta’ala itu tidak bertempat dan tidak dilingkari oleh masa. (al-Ta'arruf : 33)

Demikianlah beberapa perkataan para ulama' Ahl al-Ssunnah wa al-Jamaah dari kalangan salaf al-sholeh sendiri, yang menyucikan Allah Ta’ala daripada sebarang tempat dan jisim. Semoga kita dapat mengikuti jejak para salaf al-sholeh dalam menyucikan Allah Ta’ala daripada sebarang kekurangan termasuklah daripada sifat-sifat kejisiman dan tempat.

Semoga kita semua mengikut aqidah salaf al-sholeh yang sebenar dalam menyucikan Allah Ta’ala daripada kelaziman tempat dan kejisiman yang merupakan antara sifat-sifat makhluk yang serba kekurangan. Semoga Allah Ta’ala memelihara kemurnian aqidah kita dalam mengikut aqidah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, para sahabat رضي الله عنهم, para salafus sholeh dan aqidah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) dari kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ( yakni al-Asya'irah dan al-Maturidiyah).

Wallahu a'lam...

al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Ar-Razi

- Tamat Petikan -

~ salam hormat dan ucapan selamat hari raya korban dari abu zahrah kepada sekelian pengunjung al-Fanshuri ~








Rabu, 3 Disember 2008

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” - Penyakit 40 – 42

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman al-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 40, 41 dan 42)


Penyakit Keempatpuluh: Tidak mengambil iktibar atau pengajaran apabila Allah Ta’ala menangguhkan balasan terhadapnya hasil daripada dosa-dosa yang telah dilakukan.

Rawatannya: Ialah hendaklah sentiasa mengambil peringatan dan memahami bahawa penangguhan balasan Allah Ta’ala kepadanya terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan bukanlah bererti Allah Ta’ala lalai daripada memberikan balasanNya. Penangguhan ini adalah merupakan kurniaan rahmat daripada Allah kepada seseorang. Tetapi disebaliknya itu apabila seseorang mengambil pengajaran daripada penangguhan tersebut maka tidak ada sesuatupun yang akan dapat menghalang rasa takut kepada Allah Ta’ala itu daripada meresap menguasai hati. Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ


Maksudnya: “Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan i’tibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).” (Surah an-Naaziaat: 26)


Penyakit Keempatpuluh Satu: Kasih sayang kepada sesama manusia adalah bertujuan untuk mendedahkan keaiban dan kelemahan sahabat dan taulan serta saudara-mara.

Rawatannya : Ialah melihat dan merenung ke dalam diri sendiri yang bersarang segala penyakit dan kejahatan. Oleh itu, hendaklah mengasihi seseorang sepertimana kita mengasihi diri sendiri. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

قال النبي صلى عليه وسلم : من ستر على أخيه المسلم ستر الله عورته


Yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang muslim, Allah akan menutup auratnya (maruahnya).” [1]


Penyakit Keempatpuluh Dua: Tidak berusaha bersungguh-sungguh mempertingkatkan jiwa, perbuatan serta perkataan untuk mencontohi generasi salafussholeh. Dalam hal ini Ali bin Abi Tholib كرم الله وجهه berkata, “Sesiapa yang tidak ada peningkatan dalam hidupnya bererti ia hidup dalam serba kekurangan.”


Notakaki:-
[1] Hadith ini dikeluarkan dalam berbagai lafadz. Di dalam riwayat al-Bukhari (Kitab al-Malazim), Muslim (Kitab al-Bir), Abu Daud (Kitab al-Adab), al-Turmidhi (Kitab al-Hudud), Ibn Majah (al-Muqaddimah), Ibn Hanbal 5/276 yang berbunyi:
من طلب عورة أخيه طلب الله عورته حتى يفضحه في رحله

Didalam riwayat al-Turmidhi (kitab al-Bir) berbunyi:

فإن من يتتبع عورة أخيه السلم تتبع الله عورته ومن تتبع الله عورته يفضحه ولو في جوف رحله
al-Turmidhi mengatakan hadith ini Hasan Gharib, lihat Tuhfah al-Ahwazi 6/181.


Dalam riwayat Ibn Majah berbunyi:

حدثنا ‏ ‏يعقوب بن حميد بن كاسب ‏ ‏حدثنا ‏ ‏محمد بن عثمان الجمحي ‏ ‏حدثنا ‏ ‏الحكم بن أبان‏ ‏عن‏ ‏عكرمة ‏ ‏عن‏ ‏ابن عباس ‏ ‏عن النبي صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال‏ ‏من ستر عورة أخيه المسلم ستر الله عورته يوم القيامة ومن كشف عورة أخيه المسلم كشف الله عورته حتى يفضحه بها في بيته( 2536 )

Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم - Bahagian 2

Perbahasan tentang bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

Sambungan daripada entri sebelumnya. Pada bahagian kedua ini al-Faqir ingin membawakan beberapa dalil yang dibawa oleh ulama tentang keimanan ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.


Al-Faqir mulai dengan memetik apa yang tersebut didalam kitab Nur al-Dzolam karangan asy-Syaikh al-‘Alim al-‘Allamah Abi ‘Abd al-Mu’thi Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali Nawawi al-Banten (Syaikh Nawawi Banten) رحمه الله تعالى (maksudnya):

Far’un (cabang): Telah berkata Syaikh al-Baajuriy: Adapun yang benar, semoga Allah memperkenankan kami atasnya, sesungguhnya kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah orang selamat menurut pendapat yang mengatakan [qil]: Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menghidupkan kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم hingga keduanya beriman kepada baginda, kemudian Allah mewafatkan keduannya kembali – berdasarkan hadits yang telah datang mengenai hal itu, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Urwah daripada ‘Aisyah bahwa sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memohon kepada Tuhannya untuk menghidupkan [kembali] kedua ibubapa baginda, lalu Allah menghidupkan keduanya lalu mereka berdua beriman kepada baginda, kemudian Allah mewafatkan keduanya.


Syaikh as-Suhailiy berkata: Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu untuk mengkhususkan NabiNya dengan apa yang Dia kehendaki dari anugerahnya dan memberikan nikmat padanya dengan apa yang Dia kehendaki dari kemuliaanNya - [Nur adz-Dzolam Syarh Mandzumah ‘Aqidah al-Awwam; cetakan Dar al-Hawi; halaman 114 – 115]


Bagi sapa-sapa yang pernah mempelajari kitab Nur adz-Dholam ka ataupun Tuhfatul Murid syarah bagi Matan Jauharah, maka, insyaAllah dia akan bertemulah dengan perbahasan tersebut. Oh ya … sapa-sapa yang berminat nak cd mp3 pengajian Tuhfatul Murid oleh Baba Ismail Sepanjang bolehlah hubungi al-Faqir …. habih sebuah kitab. 60 keping cd. Maaf ya, promosi sikit ……. bisnis kampungan … :))

Kembali kepada tajuk ……. Tersebut didalam kitab al-Nasikh wa al-Mansukh oleh Ibn Syahin, sepotong hadits, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (maksudnya):

Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibn al-Hassan ibn Ziyad, hamba kaum Anshor, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibn Yahya al-Hadhrami ketika di Mekah, telah menceritakan kepada kami Abu Ghuzayyah Muhammad ibn Yahya al-Zuhri, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahhab ibn Musa daripada ‘Abdurrahman ibn Abi al-Zannad daripada Hisyam ibn Urwah daripada bapanya [iaitu Urwah ibn al-Zubair ibn al-Awwam ibn Khuwailid ibn Asad bin ‘Abdul Uzza ibn Qushai. Urwah adalah anak saudara kepada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها] daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها : Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pergi ke Hujuun [Mu’alla atau Ma’ala iaitu kawasan perkuburan di Mekah. Dinamakan al-Hujuun kerana dinisbahkan kepada bukit al-Hujuun – abuzahrah] dalam keadaan dukacita dan bersedih, lalu duduk disana selama masa yang dkehendaki oleh Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian baginda kembali dalam keadaan gembira, maka aku bertanya: Wahai. Rasulullah! Engkau pergi ke Hujuun dalam keadaan dukacita dan bersedih lalu engkau duduk disana selama masa yang dikehendaki oleh Allah, kemudian engkau kembali dalam keadaan gembira. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Aku meminta kepada Allah lalu Allah menghidupkan kembali ibuku, maka dia beriman denganku, kemudian Allah mematikannya semula.

Az-Zahabi dan segolongan ahli hadits mengatakan hadits ini sebagai maudhu kerana didalamnya kerana
  • Terdapat seorang 2 perawi hadits yang majhul iaitu Abdul Wahhab ibn Musa dan Muhammad ibn Yahya.
  • Bertentangan dengan hadits shohih iaitu hadits Rasullulah صلى الله عليه وآله وسلم meminta keampunan untuk ibu baginda.
Maka untuk menolak pendapat tersebut:

(1) Perawi yang majhul: Al-Hafidz Jalaluddin al-Sayuthi mengatakan bahwa pendapat az-Zahabi ditolak kerana Abdul Wahhab ibn Musa, perawi yang dikatakan majhul itu tergolong didalam perawi yang meriwayatkan hadits daripada Anas bin Malik dan beliau dikenali sebagai Abu al-Abbas al-Zuhri. Begitu juga Muhammad ibn Yahya juga dikenali, dimana peribadi beliau yang baik diceritakan oleh Abu Sa’id ibn Yunus di dalam Tarikh Misr. Maka sebahagian ahli hadits telah bersepakat mengatakan hadits ini bukanlah maudhu’ tetapi hanya mencapai tahap hadits dhoif yang mana ianya boleh dijadikan sandaran untuk beramal dalam perkara-perkara khosois, manaqib dan fadhoil. Pendapat Imam Sayuthi ini sejajar dengan pendapat sesetengah ahli hadits seperti Ibn Syahin, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn ‘Asakir dan al-Suhaili. Begitu juga al-Qurthubi dan Ibn Jarir ath-Thabari.

(2) Bertentangan dengan hadits shohih: Sebahagian ahli hadits dan ulama yang mengatakan hadits ihya diatas maudhu’ kerana bertentangan maksud dengan hadits yang shohih iaitu (maksudnya):

(a) Sesungguhnya kubur yang kamu semua lihat aku berdoa disisinya tadi adalah kubur Aminah binti Wahhab. Sesungguhnya aku meminta izin daripada Allah untuk menziarahinya, maka Allah mengizinkannya. Kemudian aku meminta izin untuk beristighfar baginya dan Allah tidak mengizinkan bagiku dan turunlah keatasku ayat (maksudnya): “Dan tidak boleh bagi Nabi dan orang-orang yang beriman untuk memohon ampun bagi kaum musyrikin. (hadits riwayat al-Hakim didalam al-Mustadrak dan az-Zahabi menshahihkannya)


(b) Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk memohonkan ampun bagi ibuku, maka Dia tidak mengizinkanku. Dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia mengizinkanku.” (hadits riwayat Imam Muslim)

Menurut al-Hafidz Jalaluddin as-Sayuthi didalam at-Ta’zim wa al-Minnah fi Anna Abaway Rasulillah fi al-Jannah, hadits pertama (a) yang diriwayatkan oleh al-Hakim didalam al-Mustadrak dan dishohihkan oleh az-Zahabi dan kemudian az-Zahabi mendhoifkannya pula didalam Mukhtasar al-Mustadrak. Maka telah wujud pertentangan pendapat az-Zahabi pada hadits yang sama. Seterusnya as-Sayuthi mengatakan bahwa riwayat al-Hakim ini bersalahan dengan apa yang dinyatakan oleh di dalam shohih al-Bukhari mengenai sebab turunnya ayat:

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَٱلَّذِينَ آمَنُوۤاْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ

Ayat 113 dari surah at-Taubah ini turun di Mekah pada ketika kewafatan Abu Tholib.


Manakala, menurut Ibn Syahin (w385H) didalam kitabnya an-Nasikh wal Mansukh bahwa hadits istighfar iaitu hadits larangan Allah ke atas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم daripada memohon ampun buat ibu baginda telah dimansukhkan oleh hadits yang datang kemudian iaitu hadits ihya’, hadits ibu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dihidupkan semula. Pendapat ini juga didokong oleh Imam al-Qurthubi sebagaimana kata beliau didalam kitab at-Tazkirah fi ahwal al-Mauta wal akhirah [maksudnya kurang-lebih]:

Fasal: Telah datang pada bab ini: Hadits yang bertentangan dengan hadits dalam bab ini [yang dibincangkan sebelumnya], iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Abu Bakar Ahmad ibn ‘Ali al-Khatib didalam kitabnya as-Saabiq wa al-Laahiq dan Abu Hafs ‘Umar ibn Syahin didalam kitab al-Naasikh wa al-Mansuukh, dengan isnad keduanya itu daripada Saiyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها , beliau berkata: Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengerjakan haji wada, maka membawaku melewati ‘Aqabah al-Hujuun [Ma’ala], baginda kelihatan sedih dan murung. Lalu akupun ikut menangis kerana tangisan baginda. Kemudian baginda turun dari tunggangannya dan berkata kepada: Tunggulah disini sebentar. Maka aku bersandar dekat unta. Setelah jarak masa yang panjang, baginda kembali dalam keadaan senyum gembira. Maka aku berkata kepada baginda: Demi ayah dan ibuku, wahai Rasulullah! Tadi ketika bersamaku, engkau kelihatan sedih sehingga aku turut menangis kerana tangisanmu, wahai Rasulullah. Kemudian engkau kembali kepadaku dengan tersenyum gembira, apa yang terjadi wahai Rasulullah? Maka baginda bersabda: Aku telah melawati kubur ibuku Aminah, kau bermohon kepada Allah, Tuhanku agar Dia menghidupkan dia [Aminah] kembali, maka Dia menghidupkan kembali lalu dia beriman kepadaku dan [kemudian] mewafatkan dia kembali – lafaz hadits ini daripada al-Khatib. As-Suhailiy telah menyebut didalam Raudah al-Unfi dengan sanad yang padanya terdapat perawi-perawi yang tidak dikenali (majhul): Bahwasanya Allah Ta’ala telah menghidupkan bagi baginda Rasululah صلى الله عليه وآله وسلم ayah dan ibu baginda dan mereka berdua beriman kepadanya.


Berkata Imam al-Qurthubi: Tiada pertentangan (mengenai masalah ini) kerana peristiwa dihidupkannya semula ini diriwayatkan oleh ‘Aisyah terkemudian dari hadits memohon izin untuk beristighfar buat ibu baginda. Sesungguhnya yang demikian itu terjadi ketika haji wadaa’. Maka Ibn Syahin telah menjadikan hadits ini sebagai pemansukh bagi hadits larangan tadi.


Maka difahami dari pendapat Ibn Syahin dan Imam al-Qurtubi tersebut, bahwa hadits ihya’ itu tidaklah maudhu’ kerana, bagaimana boleh hadits maudhu’ memansukhkan hadits lain??????

Dan menurut Dr ‘Ali Jum’ah, Mufti Mesir didalam al-Bayan pula:
“… pada hadits tersebut tidak terdapat pengungkapan yang tegas bahawa ibu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam neraka. Tidak mendapat izin untuk memohonkan ampun tidak bererti menunjukkan bahawa dia musyrik. Jika tidak, tentu tidak mungkin Tuhannya mengizinkan untuk menziarahi kuburnya, kerana tidak boleh menziarahi kubur orang-orang musyrik dan berbakti kepada mereka”.

Manakala Dr. Abdul Malik Abdurrahman al-Sa’adi pula berkata:
“… baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak diizinkan itu, bukanlah bermaksud bahwa dia (ibu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) daripada ahli neraka. Mungkin tidak diizinkan itu, kerana tidak terdapat dosa pada ibu baginda, kerana dia belum lagi dianggap mukallaf, maka tidak dicatit dosa-dosa untuknya.

Maka disimpulkan sebagaimana disebut oleh Dr 'Ali Jum'ah, bahawa pendapat yang kuat adalah bahawa kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم itu selamat (tidak termasuk neraka), bahkan juga seluruh nenek moyang baginda. Semoga Allah Ta’ala menganugerahkan kepada kita cinta kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan mengenal darjat kedudukannya dengan baik serta beradab dengan baginda agar terhindar kita dari keceluparan dalam memperihalkan mengenai ibuayah baginda.

InsyaAllah al-Faqir akan menyambung lagi bahagian terakhir dari tajuk ini …….

اَلَّلهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مَنْ أَحْوَالِ أَهْلِ النَّارِ

Sekian.

وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
~ al-haqir al-faqir abu zahrah ~

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis - Siri 12

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh, tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Sekian.

مانفع القلب شيء مثل عزلة يدخل بها ميدان فكرة

Artinya: Tiada memberi manfaat akan hati sesuatu yang seumpama yang menjauhkan diri daripada manusia yang masuk hati dengan dia kepada medan fikir dalam segala haqaiq.

(Maka) tiap-tiap ‘uzlah tiada serta dengan fikir maka tiada padanya dibilangkan, dan tiap-tiap fikir dengan tiada ‘uzlah maka tiada sempurna kejadiannya, maka yang memberi manfaat itu berhimpun keduanya. (Dan) bahawa sanya mengubat segala penyakit hati itu wajib atas tiap-tiap orang yang sakit dan sakitnya itu adalah ia daripada mengalahkan segala hukum thobiat atasnya dan ubat yang terlebih memberi manfaat akan dia iaitu ‘uzlah daripada manusia berserta dengan fikir.

(Maka) dengan ‘uzlah itu sejahteralah ia daripada segala makhluk dan dengan fikir itu zhohirlah baginya haqaiq. Maka bahawa sanya hati apabila sunyi ia daripada khayal yang wahmiyyah[1] maka tiadalah tinggal lagi baginya syak melainkan dalam haqaiq wujudiah[2] maka beroleh faedah ia mengetahui pada tuhannya dan pada dirinya.

(Dan) adalah manusia dalam ‘uzlah itu atas tiga bahagi. (Pertama) yang mu’tazil[3] (معتزل) dengan hatinya tiada dengan jasadnya, iaitu hal segala orang yang ahlul kamal.[4] (Kedua) yang mu’tazil dengan jasadnya tiada dengan hatinya iaitu tiada dibilangkan halnya kerana berpaling ia daripada kurnia Tuhannya. (Ketiga) yang mu’tazil dengan keduanya iaitu orang yang telah sunyi dirinya. (Dan) adalah bagi fikir itu atas tiga martabat. (Pertama) orang yang mubtadi [permulaan] (dan kedua) orang yang mutawassit [pertengahan] (dan ketiga) orang yang muntahi [martabat tinggi yang sampai kesudahannya].

(Maka) yang mubtadi itu iaitu tafakkur ia dalam mengingatkan segala fi’ilnya yang jahat supaya menyesal ia dan hendaklah mencita-cita tiada kembali kepadanya kerana bahawa sanya orang yang tiada taubat baginya tiada ‘amal baginya. (Dan) yang mutawassit itu tafakkur ia dalam segala ni’mat Allah dengan kemurahanNya atas segala wujud. (Dan) yang muntahi itu iaitu tafakkur ia dalam daqaiqul ma’arifil rabbaniyyah[5] (دقائق المعارف الربانية) dalam dalam daqaidul ulumil laduniyyah[6] (دقائق العلوم اللدنية) yang dengan dia masuk hati kehadrat al-Qudsi. (Dan kata) Shaikh Junaid (رحمه الله تعالى), barangsiapa menghendaki bahawa sejahtera baginya agamanya dan istirahat pada badannya dan hatinya maka hendaklah i’tizaal daripada manusia.

(Dan) kata Sahal telah berhimpun kebajikan sekalian dalam empat perkara dan dengan dia jadilah ia abdal[7] iaitu lapar dan jaga dan diam dan berkhalwat. (Dan) kata Ka’ab barangsiapa menghendaki bahawa sampai kepada kemuliaan akhirat maka hendaklah membanyakkan tafakkur. (Dan) kata orang bagi Abi Darda’رضى الله عنه, mana ‘amal yang terlebih afdhol? Maka katanya, tafakkur. Kerana demikian itu menyampaikan kepada ma’rifatu haqaiqil asyya’[8] ( معرفة حقائق الاشياء ) dan membeza akan haq dan bathil dan yang manfaat daripada yang mudhorat dan nyatalah dengan dia atas segala yang tersembunyi daripada aafatun nafsi[9] (آفة النفس) dan daripada ghururud dunya.[10] (غررالدنيا)

(Dan) kata Hasan al-Basri: Bermula fikir itu cermin engkau, lihatlah kebajikanmu daripada kejahatanmu dan nyatalah dengan dia pula atas kebesaran Allah Ta’ala apabila engkau fikir dalam segala yang dijadikannya dan nyatalah dengan dia pula atas segala ni’matnya yang jali dan yang khofi, maka memberi faedah demikian itu kepada segala ahwal yang tinggi yang telah hilang dengan dia sakit hatinya dan berdirilah dengan sebabnya atas taat tuhannya.

(Dan) tersebut dalam hadith bermula tafakkur sa’atan itu terlebih baik daripada ibadat tujuh puluh tahun dan pada suatu riwayat delapan puluh tahun. (Dan) kata Shaikh Hijazi bermula ‘uzlah dua perkara: (Pertama) ‘uzlah orang yang salik yang mubtadi iaitu ‘uzlah dengan jisimnya daripada segala aghyar,dan (kedua) ‘uzlah orang yang muntahi yang muhaqqiq iaitu ‘uzlah dengan hatinya daripada barang lain daripada Allah Ta’ala, maka apabila i’tizaal orang yang salik itu daripada segala aghyar dan berhadap hatinya kepada hadrat Tuhannya, maka zhohirlah atasnya segala ‘ajaibul malakut dan dikurnia hikmah dan fahamlah ia daripadanya dan tiada kejadian yang terlebih daripada ini dan tiada manfaat yang terlebih daripadanya. Selama lagi ada hati itu dibawah tutup akwan [nescaya] tiadalah melihat ia akan sesuatu daripada segala asrar ini dan tiadalah bercahaya dalamnya cahaya anwar.



Notakaki:-

  1. Daripada khayal yang dibangsakan kepada sangkaan jua bukan kepada hakikat sebenar
  2. Dalam hakikat sebenar yang ada, bukan dalam khayal dan sangkaan yang diluar dari kenyataan sebenar
  3. Orang yang ber’uzlah atau yang mengasingkan diri
  4. Orang yang sempurna iaitu orang yang sempurna kekuatan rohani, iman, tauhid dan ma’rifah
  5. Segala pengetahuan atau pengenalan (ma’rifah) tentang ketuhanan yang halus-halus lagi mendalam
  6. Ilmu-ilmu laduni yang halus-halus lagi dalam yang datang ia terus dari Allah Ta’ala
  7. Satu pangkat daripada pangkat-pangkat kewalian
  8. Mengenal hakikat segala sesuatu
  9. Bahaya atau kebinasaan yang didatangkan oleh nafsu yang jahat
  10. Tipudaya dunia

Khamis, 27 November 2008

Burdah

Rabu, 26 November 2008

Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم - Bahagian 1

Al-Faqir telah diminta oleh beberapa orang kawan untuk menulis satu artikel yang sangat berat bagi al-Faqir. Sehari dua lepas, seorang kenalan semasa daurah tahun lepas menalipon al-Faqir lagi dan minta supaya dituliskan juga, dan “paparkan di al-Fanshuri” katanya. al-Faqir sekadar menjawab insyaAllah. Sebelum ini juga ada pengunjung menyuarakan permintaan dishoutbox untuk menulis tajuk yang sama. Artikel yang diminta al-Faqir tulis adalah mengenai kedudukan ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Menurut mereka, ada segolongan yang bermazhab ‘tiada bermazhab’ …. (faham-faham je lah …) telah melemparkan isu yang sensitif [dan biadab] di khalayak awam iaitu … ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di neraka, ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mati dalam keadaan musyrik dan sebagainya. Bahkan salah seorang dari mufti dikalangan mereka disebuah tanah ‘arab juga berfatwa sedemikian … Ya Allah, aku berlindung denganMu dari beraqidah yang sedemikian rupa.

Memandangkan isu sensitif ini yang dilontarkan kepada masyarakat awam yang rata-rata tidak mengetahui dalil bagi pendapat yang mengatakan bahwa ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , selamat dari azab nereka, maka al-Faqir mengambil keputusan untuk menulis sekadar pengetahuan yang ada. Maka terlebih dahulu al-Faqir memohon ampun dan maaf andaikata terdapat kesalahan dan kesilapan dalam menukilkan pendapat para ulama. Teguran dan tunjuk ajar daripada para asatizah, terlebih dahulu ucapkan terimakasih. Pada mulanya al-Faqir bercadang untuk meminta Ustaz Khuwaidim menyemaknya dahulu, tetapi memandangkan beliau sibuk dengan pengajian kilat bersama pelajar beliau, maka al-Faqir papar sekadar apa adanya sajalah.

Sebenarnya persoalan ini telah pun dijawab oleh para ulama besar ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti Imam as-Sayuthi didalam kitabnya al-Ta’zim wa al-Minnah fi Anna Abawayy al-Rasul fi al-Jannah dan Masalik al-Hunafa' fi Walidayy al-Mustafa, Abu Hafs Umar Ibn Syahin, Imam al-Qurtubi di dalam al-Tazkirah, Syaikh Ibrahim al-Baijuri didalam Tuhfatul Murid ‘ala Jauharatit Tauhid, Mufti Mesir Dr. Ali Jum’ah di dalam al-Bayan Lima Yusygilu al-Adzhan, Dr Abdul Malik bin Abdurrahman al-Sa’adi didalam al-Bid’ah al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiiq dan lain-lain.

Selain itu, ulama kita juga telah menjawab persoalan ini seperti Syaikh Nawawi al-Banteni didalam Nuruz Zholam Syarah Mandzumah ‘Aqidah al-‘Awaam, Sayyid Yusuf bin ‘Ali aL-Zawawi, Mufti Terengganu didalam fatwanya yang dikeluarkan pada tahun 1971, Syaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi didalam bukunya Wahabisma dari Neraca Syara’, Ustaz Mujahid bin Abdul Wahab didalam bukunya Keislaman Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dan bebaru ini di ruangan bicara agama di akhbar Utusan Malaysia bertarik 9 November 2008, soalan yang sama dikemukan, dan ianya dijawab oleh Ustaz Muhammad Yusof Abas dengan baik. Al-Faqir paparkan disini untuk dikongsi bersama.


SOALAN: Adakah ibu bapa Nabi [صلى الله عليه وآله وسلم] termasuk dalam mereka yang terselamat di akhirat nanti sedangkan ada hadis yang mengatakan bahawa Baginda pernah bersabda: "Bapa kamu dan bapaku dalam neraka" - Sanusi Samsul, Taiping, Perak.


JAWAPAN: Menurut pendapat ahlul haq, mereka yang berada di antara dua masa para rasul itu (mereka yang dikenali sebagai ahlul fatrah) atau mereka yang tidak diutuskan rasul kepada mereka itu, mereka dikira terselamat dan tidak diazabkan di akhirat nanti. Ini termasuklah ibu bapa Nabi kita. Ia berdasarkan firman-Nya yang bermaksud "Kami tidak menyeksa (sesiapa) sehingga Kami utuskan Rasul dan utusan (untuk menerangkan yang benar dan salah)" (Maksud Surah al Israa' ayat 15).


Adapun sabda Nabi [صلى الله عليه وآله وسلم] tadi yang mengatakan "Bapamu dan bapaku dalam neraka" itu dikatakan hadis ahad yang tidak dapat menolak dalil qat'ai dari al-Quran. Justeru itu para ulama kita mengatakan maksud dengan perkataan bapaku dalam hadisnya tadi boleh difahami sebagai bapa keturunan (seperti datuk neneknya, bapa saudara seperti Abu Talib dan Abu Lahab dan lainnya. Ini kerana Abu Talib adalah bapa angkat yang memelihara dan menjaganya sejak kecil lagi dan bagaimana hubungan kasih sayang yang terjalin antara anak saudara dengan bapa saudaranya itu. Menurut pendapat yang terkuat, ibu bapanya (ibu bapa nabi) adalah terselamat, malah kata para ulama lagi, seluruh datuk nenek dari keturunannya dikira dari ahlul fatrah lagi bersih dari sebarang keaiban. Ini berdasarkan sabdanya yang bermaksud: "Aku sentiasa berpindah-pindah dari benih yang suci dari satu generasi ke satu generasi yang baik-baik (tidak bercampur) bukan dari benih yang kotor dan jahat'' (Riwayat Abu Nu'aim)


Malahan dikatakan ada hadis riwayat dari Urwah dari Aisyah: "Bahawa kedua ibu bapa Nabi pernah dihidupkan kerana permohonannya lalu hiduplah keduanya dan beriman dengannya lalu terus meninggal" (Riwayat Ibnu Syahin).


Kesimpulannya, akidah yang perlu dipegang ialah kedua ibu bapa Baginda adalah selamat sejahtera. Wallahualam.

Bagi al-Faqir, secara peribadinya, pertanyaan atau membangkitkan persoalan sebegini adalah merupakan satu perbuatan yang jahat adab kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, yang lahir dari seseorang yang kering hatinya daripada rasa kecintaan kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Sedangkan kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah merupakan qurb yang paling utama disisi Allah. Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda:

والذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Artinya: Demi dzat yang diriku berada didalam genggamanNya, tidak beriman seseorang dari kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada ibubapanya, anaknya dan manusia sekeliannya. [Hadits riwayat al-Bukhari dan Ahmad]

Salah satu tanda cinta kita kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ialah dengan tidak membuat atau membangkitkan sesuatu yang menyakiti baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Maka tidak diragukan bahawa membicarakan yang tidak baik tentang kedua ibubapa baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, menyakiti baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Allah Ta’ala berfirman:

وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Artinya: Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah at-Taubah: 61)

Didalam ayat lain Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِي ٱلدُّنْيَا وَٱلآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَاباً مُّهِيناً

Artinya: Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. (Surah al-Ahzab: 57)

Janganlah kita menjadi seumpama kaum Yahudi yang menyakiti Nabi Musa عليه السلام , sebagaimana firman Allah:

يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ آذَوْاْ مُوسَىٰ فَبرَّأَهُ ٱللَّهُ مِمَّا قَالُواْ وَكَانَ عِندَ ٱللَّهِ وَجِيهاً

Artinya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah menyakiti Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala tuduhan yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (Surah al-Ahzab: 69)

Qadhi Hussin berkata: Maka, kami tidak mengatakan sesutu kecuali apa yang diredha oleh Tuhan kami dan diredhai oleh Rasul kami. Dan kami tidak berani memberanikan diri terhadap kedudukan baginda yang mulia dan menyakiti baginda صلى الله عليه وآله وسلم dengan perkataan yang membuatkan baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak redha.

Qadhi Abu Bakar Ibn al-’Arabi, salah seorang imam didalam mazhab Maliki pernah ditanya perihal seorang lelaki yang mengatakan bahwa bapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berada di dalam neraka. Maka beliau (Qadhi Abu Bakar) menjawab: Sesungguhnya lelaki tersebut dilaknat Allah Ta’ala, kerana Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. (Surah al-Ahzab: 57). Dan tiada perkara yang menyakiti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang terlebih besar daripada seseorang itu mengatakan bahwa bapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berada di dalam neraka.

Apa untungnya mereka melemparkan isu ini ketengah masyarakat awam? Mengapa mereka mengajar masyarakat untuk tidak beradab dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم? Apa manfaatnya? Entahlah … akhir-akhir ini, ramai yang mencari ke‘glamour’an dengan melontarkan isu-isu yang sensitif, membesar-besarkan persoalan-persoalan khilafiah yang sepatutnya dihadapi dengan berlapang dada … porak-peranda kesatuan umat bila hal sebegini dilontarkan kepada masyarakat awam. Dan terdapat juga trend kini yang mengambil ilmu agama dengan hanya sekadar membaca dari buku-buku tanpa belajar dari mereka yang berkeahlian dan yang benar pegangan aqidahnya.

Adapun mengenai kedudukan ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang tersebut didalam kitab-kitab yang al-Faqir nyatakan diatas, secara mudahnya dijawab berdasarkan firman Allah iaitu:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولاً

Artinya: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Dan firman Allah:

رُّسُلاً مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزاً حَكِيماً

Artinya: Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (surah an-Nisa: 165)

Imam al-Baijuri menyebut didalam kitab Tuhfatul Murid ‘ala Jauharatut Tauhid:

Tanbih: Apabila engkau telah mengetahui bahwa ahli fatrah adalah golongan yang terselamat di akhirat menurut qaul yang raajih, maka mengetahuilah engkau bahwa kedua ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga terselamat, disebabkan keduanya tergolong daripada ahlul fatrah. Bahkan semua nenek moyang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjatuh) didalam kekufuran, kekotoran, keaiban (yang menjatuhkan maruah) dan tidak pula oleh sesuatu diantara apa-apa yang pernah dilakukan oleh kaum arab jahiliah, berdasarkan dalil naqliah, seperti firman Allah Ta’ala:


وَتَقَلُّبَكَ فِي ٱلسَّاجِدِينَ
Artinya: Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud (asy-Syu’ara: 219)

Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:


لم أزل انتقل من الاصلاب الصاهرات إلى الأرحام الزكيات

Artinya: Sentiasa aku berpindah dari sulbi generasi-generasi yang suci kepada rahim-rahim yang bersih.

Dan selain yang demikian itu daripada hadits-hadits yang telah mencapai darjat mutawatir. – sekian petikan dari Tuhfatul Murid, halaman 68 -

Mengenai firman Allah Ta’ala dalam ayat 219 surah asy-Syu’ara diatas - وتقلبك في الساجدين Diriwayatkan dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما bahwa dia berkata: “Yakni diantara tulang-tulang sulbi nenek moyang Nabi Adam عليه السلام, Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Ibrahim عليه السلام, sampai Allah Ta’ala mengeluarkan baginda صلى الله عليه وآله وسلم sebagai seorang Nabi.” [lihat tafsir Qurthubi dan Thabari]

Diriwayatkan dari Watsilah bin Asqa’ bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah Ta’ala memilih Nabi Ismail عليه السلام dari anak-anak Nabi Ibrahim عليه السلام, memilih Bani Kinanah dan anak cucu Nabi Ismail عليه السلام, memilih Quraisy dari Bani Kinanah; memilih Bani Hasyim dari Quraisy, dan memilih diriku dari Bani Hasyim.” [hadits riwayat Ahmad dan Muslim. Hadits ini adalah riwayat Ahmad]

Dari Sayyidina Abbas رضي الله عنه diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan makhluk, lalu Dia menjadikan aku yang terbaik di antara mereka dan dari generasi terbaik mereka. Kemudian Allah Ta’ala memilih kabilah-kabilah, lalu menjadikan aku dari kabilah terbaik. Kemudian Dia memilih keluarga-keluarga, lalu menjadikan aku dari keluarga terbaik. Maka, aku adalah (makhluk) terbaik peribadinya dan terbaik keluarganya.” [hadits riwayat Ahmad dan at-Turmidhi]

Maka, jelas bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyebut, asal-usul keturunannya dengan sifat baik dan suci. Itu adalah dua sifat yang berlawanan dengan sifat kekafiran dan kesyirikan. Allah Ta’ala berfirman dengan menyebutkan sifat kaum musyirikin (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (jiwa musyirikin itu dianggap kotor, kerana menyekutukan Alllah - surah at-Taubah: 28

Mufti Terengganu, Sayyid Yusuf bin ‘Ali az-Zawawi, ketika ditanyakan soalan siapakah ahlul fatrah dan kesudahan mereka, maka beliau menjawab:
Ulama-ulama Islam maksudkan dengan “ahli fatrah” itu ialah mereka yang tidak sampai seruan Nabi dan tidak dibangkitkan kepada mereka utusan [Rasul] daripada Allah Ta’ala. Ulama` ini berkata bahwa mereka ini terlepas dari azab siksa hari akhirat. Sebagaimana firman Allah “وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا” Artinya: “Kami tidak akan menyiksa sehingga telah kami mengutus rasul”. Ayat 15 surah al-Isra’. Ulama juga meletakkan istilah ahli fatrah itu kepada kaum Quraisy dan lainnya yang telah mati sebelum diutus junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم menjadi Rasul dan mereka itu mengatakan bahwa mereka ini terlepas daripada azab siksa dengan sebab tidak sampai seruan Islam kepada mereka termasuklah kedua ibubapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri.

Mengenai pembahagian ahlul fatrah, al-Faqir mengutip daripada tulisan Ustaz Mujahid bin Abdul Wahab bertajuk Keislaman Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , yang mana buku tersebut disemak oleh al-Fadhil Syaikh Muhamad Fuad Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi:

Menurut Professor Dr Judah al-Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran di Universiti al-Azhar di dalam kitabnya Hady al-Nairain, secara umumnya ahli fatrah dibahagikan kepada 4 kategori:

Golongan pertama: Mereka dikurniai hidayah oleh Allah a’al untuk mentauhidkanNya dari cahaya hati mereka tanpa menganut mana-mana ajaran Nabi sebelumnya. Diantara mereka ialah Qus ibn Sa’adah, Zaid bin Amru, Zuhair dan ‘Amir ibn al-Zorb

Golongan kedua: Mereka yang menganut agama yang dibawa Nabi-nabi terdahulu, patuh serta iltizam dengannya dan perkara yang berkaitan dengan kerasulan Rasul terakhir صلى الله عليه وآله وسلم bagi sesiapa yang mengenali Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم atau yang mengikuti jalan-jalan mereka yang mengetahui perutusan baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Diantara mereka iaialh Tubba al-Himyari yang memeluk Islam dan beriman 900 tahun sebelum kelahiran baginda صلى الله عليه وآله وسلم tatkala kaum Yahudi menceritakan kepadanya ( perihal Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) dari kitab-kitab agama mereka. Beliau pada asalnya merupakan penganut agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Begitu juga Waraqah ibn Naufal dan Utsman ibn al-Huwairith dan segelintir penduduk Najran yang tergolong dari kalangan pembahagian ini yang taat dan menganut agama tersebut.

Golongan ketiga: Mereka yang tidak mensyirikkan Allah Ta’ala dan tidak pula mentauhidkanNya serta tidak menganut sebarang agama Nabi sebelumnya. Mereka juga tidak mengasaskan agama sendiri dan tidak pula sampai kepada mereka ajaran Nabi sebelumnya. Bahkan, kekallah mereka dengan arus kehidupan secara semulajadi. Kategori ini merupakan golongan yang menepati istilah Ahli Fatrah yang sebenar dan ketetapan bagi mereka ialah terselamat dari sebarang azab berdasarkan firman Allah Ta’ala:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولاً

Artinya: Dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul.

Golongan keempat: Mereka yang menukar dan menokok tambah ajaran Nabi sebelumnya serta mensyirikkan Allah Ta’ala. Mereka mensyariatkan agama mereka sendiri dan menentukan hukum-hakam menurut kehendak hawanafsu. Kebanyakkan mereka adalah dari golongan arab jahiliyyah. Diantara mereka ‘Amru ibn Luhai yang pertama sekali mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliyyah.

Menurut Imam Zurqani didalam Syarah al-Mawahib al-Laduniyyah [pendapat beliau adalah bertepatan dengan pembahagian ketiga - abuzahrah], kedua ayahanda dan bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tergolong didalam kategori yang ketiga kerana tidak mendapat sebarang seruan dakwah Nabi-nabi yang terdahulu disebabkan zaman mereka yang terkemudian. – Tamat petikan dari buku keislaman ayahanda dan bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Halaman 20 – 23 -

Mufti Mesir, Dr ‘Ali Jum’ah juga menjawab persoalan seumpama ini didalam kitabnya al-Bayan Lima Yasyghul al-Adzhan dan juga al-Bayan al-Qawim li Tashhih Ba’dhi al-Mafahim:


Ketahuilah bahawa ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan nenek-moyang baginda, jika tsabit bahawa sebahagian mereka jatuh dalam sesuatu yang secara zahir merupakan kesyirikan, maka mereka bukanlah orang-orang yang musyrik. Mereka bersikap demikian kerana mereka tiada diutuskan keatas mereka Rasul. Maka golongan ahlussunnah waljamaah seluruhnya meyakini bahawa siapa yang terjatuh kedalam kemusyrikan, sedangkan dia berada di dalam masa penggantian syariat-syariat tauhid dalam rentang masa kosong (fatrah) antara satu Nabi dengan Nabi selanjutnya, maka ia tidak disiksa.

Dalil-dalil yang menunjukkan hal itu cukup banyak, antara lain berdasarkan firman Allah Ta’ala:


وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولاً

Artinya: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra’: 15)

ذٰلِكَ أَن لَّمْ يَكُنْ رَّبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا غَٰفِلُونَ

Artinya: Yang demikian itu adalah kerana Tuhanmu tidaklah membinasakan kota-kota secara aniaya, sedang penduduknya dalam keadaan yang lengah (maksudnya: penduduk suatu kota tidak akan diazab, sebelum diutuskan seorang Rasul yang akan memberikan peringatan kepada mereka.)” (Surah al-An’am: 131)

وَمَآ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلاَّ لَهَا مُنذِرُونَ

Artinya: Dan, kami tidak membinasakan sesuatu negeripun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberikan peringatan. (surah asy-Syu ‘ara: 208).

رُّسُلاً مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزاً حَكِيماً

Artinya: Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (surah an-Nisa: 165)

Maka, tidak berdiri tegak hujjah (bagi Allah Ta’ala) terhadap makhluk kecuali dengan mengutus Rasul-rasul. Dan tanpa mengutus Rasul-rasul, maka manusia tidak berada dalam hujjah, dengan rahmat Allah Ta’ala dan kurniaNya. Ayat-ayat ini menunjukkan apa yang diyakini oleh ahlul haq, golongan ahlussunnah waljamaah, bahawa Allah Ta’ala dengan rahmat dan kurniaNya tidak menyiksa seorang pun sehingga diutuskan kepadanya Rasul yang memberi peringatan.

Mungkin sahaja ada orang yang mengatakan: “Barangkali kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah diutus Rasul pemberi peringatan kepada mereka dan mereka berdua syirik setelah sampainya hujjah.” Maka ini merupakan sesuatu yang tidak dikemukakan oleh teks ajaran, bahkan nash-nash yang menafikannya dan menegaskan sebaliknya. Allah Ta’ala berfirman:

وَمَآ آتَيْنَاهُمْ مِّنْ كُتُبٍ يَدْرُسُونَهَا وَمَآ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمْ قَبْلَكَ مِّن نَّذِيرٍ

Artinya: Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu). (surah Saba: 44)

Pada ayat lain Allah Ta’ala berfirman :

لِتُنذِرَ قَوْماً مَّآ أَتَاهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Artinya: … supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya).

Dan pada ayat lain lagi, Allah Ta’ala berfirman:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِيۤ أُمِّهَا رَسُولاً يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي ٱلْقُرَىٰ إِلاَّ وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ

Artinya: Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.

Nash-nash yang telah dikemukakan itu menunjukkan bahawa kedua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak diseksa bukan kerana mereka berdua ibubapa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tetapi kerana termasuk dalam orang-orang yang hidup pada masa fatrah (ruang waktu kosong antara para Rasul). Dan hukum mereka sudah jelas di kalangan kaum muslimin.

Imam Syathibi berkata [didalam al-Muwafaqat, juz 3]: “Telah berlaku ketetapan Allah Ta’ala (sunnatuLlah) pada makhlukNya bahawa Dia tidak menyiksa kerana pelanggaran kecuali setelah mengutus rasul. Lalu apabila hujjah sudah berdiri tegak atas mereka: siapa yang memilih beriman, maka ia beriman; dan siapa yang memilih kafir, maka ia kafir. Bagi setiap pilihan ada balasan setimpal.” – petikan dari al-Bayan Lima Yasyghul al-Adzhan, halaman 171 – 172 -

Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, silalah rujuk kitab-kitab yang telah al-Faqir sebutkan diatas tadi. InsyaAllah al-Faqir akan menyambung lagi tulisan ini didalam bahagian 2 dan 3 …….

اَلَّلهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مَنْ أَحْوَالِ أَهْلِ النَّارِ

Sekian.
وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب
~ al-haqir al-faqir abu zahrah -



Related Posts with Thumbnails