Sabtu, 27 Oktober 2007

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis - Siri 9

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.

تنوعت أجناس الأعمال لتنوع واردات الأحوال

Berbagai-bagai segala jenis ‘amal itu kerana berbagai-bagai segala warid ahwal (Maka) murad(1) daripada warid itu iaitu yang datang ia hati daripada maa’rif rabbaniyyah(2) (معارف ربانيه) dan asrar ruhaniyyah(3) iaitu yang mewajibkan ahwal yang hamiidah.(4) (Maka) setengah daripadanya warid yang mewajibkan haibah(5) (Dan) setengah daripadanya warid mewajibkan suka hingga lain daripada itu dalam bersalah-salahan ahwal. Dan tatkala ada segala warid itu berbagai-bagai, maka adalah segala jenis ‘amal itu pula berbagai-bagai, kerana segala ‘amal yang zhohir itu mengikut bagi ahwal hati yang bathin.

(Ketahui) olehmu bahawasanya segala ‘amal itu kejadian ahwal yang datang ia daripada kurnia Haq Ta’ala kerana bahawa sanya khathir(6) yang mahmudah(7) itu apabila datang ia atas hati maka zhohirlah baginya kejadiannya itu ‘amal dan apabila telah sah ‘amalnya dengan wasithah ikhlas maka zhohirlah baginya kejadiannya iaitu beroleh warasah(8) (ورثة) seperti yang tersebut dalam hadith barangsiapa meng’amalkan pada yang telah diketahuinya maka mewaris Allah akan dia akan ilmu yang tiada diketahui(9).

_______________________

Notakaki:-

(1) Murad maksudnya yang dikehendaki

(2) Ilmu-ilmu atau pengenalan-pengenalan tentang ketuhanan; ilmu atau pemahaman mengenai Ketuhanan yang didatangkan langsung daripada Allah Ta’ala.

(3) Rahsia-rahsia yang dibangsakan kepada keruhanian

(4) Ahwal yang hamiidah ( حميده ) bermaksud segala hal-hal keadaan yang terpuji

(5) Perasaan hurmat, kagum bercampur gerun dan takut.

(6) Lintasan hati

(7) Terpuji

(8) Mewarisi ilmu laduni dan pengurniaan ma’rifah dari Allah Ta’ala

(9) من عمل بماعلم أورثه الله علم مالم يعلم

0 komen:

Related Posts with Thumbnails