Isnin, 1 Oktober 2007

Lailatul Qadr

Alhamdulillah wa syukrulillah, kerana kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan sepertiga akhir Ramadan yakni 10 hari terakhir bulan Ramadhan yang mulia. Maka dalam hari-hari terakhir ini kita dianjurkan untuk menghidupkan malam-malamnya dengan mempertingkatkan amal ibadah samada dengan beri'tikaf, membaca al-Quran, berdhikir, berdoa dan lain-lain.

Didalam sepertiga akhir Ramadan inilah tersembunyi satu anugerah daripada Allah kepada umat Rasulullah صلى الله عليه ويلم berupa Lailatul Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan. Semoga Allah mempertemukan aku dan kalian semua pada malam yang penuh keberkatan tersebut. Untuk mencari malam tersebut, maka marilah kita perhatikan nukilan dari kitab dari kitab al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Quluub karangan al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syeikh Wan Ali bin Wan ‘Abdurrahman al-Kelantani (Tok Wan Ali Kutan) – halaman 22 – 25 yang dicetak ditepi juzuk ke-2 kitab Sairus Salikin.


(Dan adalah) malam Lailatul Qadr itu pada Imam Syafie رضي الله عنه tersimpan ia didalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadhan tetapi pada malam kaasal (كاسل) [ganjil] itu terlebih harap akan dia dan terlebih diharap daripada segala malam yang kaasal [ganjil] itu malam yang 21 dan malam 23. (Dan yang rajihnya) bahwasanya malam Lailatul Qadr itu melazimi ia akan malam yang tertentu, maka tiada berpindah ia daripadanya seperti barang yang diriwayatkan dia daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما bahawasanya malam Lailatul Qadr itu malam yang 27 kerana diambil daripada firman Allah Ta’ala
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ hingga سَلاَمٌ هِيَ

Maka bahawasanya kalimah هي itu 27 daripada segala kalimah surah ini dan iaitu kinayah daripada malam Lailatul Qadr. Dan atas perkataan inilah diamalkan pada segala masa, segala neg[e]ri dan iaitu mazhab kebanyakan ahlul ilmi. (Dan kata qil) bahwasanya malam Lailatul Qadr itu terpindah ia, tiada tetap ia pada malam yang tertentu maka terkadang ada ia pada 21 dan terkadang ada ia pada malam 25, demikianlah. Dan atas perkataan ini menjalani oleh orang shufi dan menyebut mereka itu akan dhobit dan kaedah bagi demikian itu, dan iaitu:-
  • jika adalah awal puasa pada hari Jum’at maka malam Lailatul Qadr malam 29
  • (Dan jika) awal puasa pada hari Sabtu maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 21
  • (Dan jika) awal puasa pada hari Ahad maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 27
  • (Dan jika) awal puasa pada hari Itsnin maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 29
  • (Dan jika) awal puasa pada hari Selasa maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 25
  • (Dan jika) awal puasa pada hari Rabu maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 27
  • (Dan jika) awal puasa pada hari Khamis maka malam Lailatul Qadr malam 21

(Dan) telah memilih [Imam] Nawawi didalam [kitabnya] Majmu’ dan Fatawa akan qaul dengan berpindah, dan katanya [Imam an-Nawawi] didalam [kitab] ar-Raudah dan iaitu yang kuat. Intaha – Bajuuri.

(Dan tersebut) didalam Hasyiah Fathul Wahab:
  • (maka jika) awal puasa pada hari Ahad atau hari Rabu maka malam Lailatul Qadr malam 29,
  • (dan jika) awal puasa pada hari Itsnin maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 21,
  • (dan jika) awal puasa hari Selasa atau Jum'at maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 27,
  • (dan jika) awal puasa pada hari Khamis maka iaitu [malam Lailatul Qadr] malam 25
  • (dan jika) awal puasa hari Sabtu maka iaitu malam 23 [jatuhnya] malam Lailatul Qadr

(Kata Abu al-Hasan) dan pada masa sampai aku akan tahun laki-laki (yakni setelah beliau aqil baligh) tiada luput akan daku malam Lailatul Qadr dengan ini kaedah yang tersebut. Intaha - Barmawi dan Qalyubi. – Tamat petikan kitab –

Maka kalau bertemu atau mengetahui bahwa malam tersebut adalah lailatul qadr,maka apa perlu dibuat? Yang dianjurkan oleh junjugan kita صلى الله عليه وسلم kepada Ummul Mukminin Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidhi, an-Nasai, Ibnu Majah dan selainnya dengan sanad yang shahih, di mana dinyatakan:-

عن عائشة رضي الله عنها قالت: قلت يا رسول الله إن علمت ليلة القدر ما اقول فيها؟
قال: قولي اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Daripada Sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها berkata: "Aku berkata kepada Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم: "Ya Rasulallah, jika aku mengetahui Lailatul Qadr, apa yang aku ucapkan padanya?" Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:"Ucapkanlah : "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku."



اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
~ abu zahrah ~

0 komen:

Related Posts with Thumbnails