Selasa, 9 Oktober 2007

Selamat Hari Raya

Agak lama dan kurang aktif menulis pasai dok bagi tumpuan kepada membaca fulak. Allahu Allah. Duduk tak duduk Ramadhan dah dipenghujung. InsyaAllah dua tiga hari lagi Syawal pulak akan terbit mai. Syawal adalah merupakan hari kemenangan bagi sapa-sapa yang benaq-benaq menghayati Ramadhan. Terbitnya tanggal 1 Syawal adalah merupakan hari konvokesyen madrasah Ramadhan, dan bagi yang berjaya didalam imtihan madrasah Ramadhan maka mereka akan dipakaikan dengan jubah rahmatNYA dan keampunan dariNYA dan akan dianugerahkan dengan ijazah TAQWA. Allahu Allah. Semoga aku tergolong dari mereka itu. Oleh itu marilah kita hayati pulak kedatangan Syawal sepertimana yang ditunjukkan oleh agama. Semoga ianya membawa keberkatan kepada kita, insyaAllah.

Dalam sepotong hadits, Nabi صلى الله عليه وسلم diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Aus al-Anshari daripada ayahnya رضي الله عنه Baginda bersabda yang maksudnya :
"Apabila tiba eidulfitri berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: "Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: "Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran). (Hadits riwayat ath-Thabrani)

Didalam kitab al-Jauharul Mauhub wa Muna
abbihatul Quluub karangan al-‘Alim al-‘Allamah asy-Syeikh Wan Ali bin Wan ‘Abdurrahman al-Kelantani (Tok Wan Ali Kutan) – halaman 22 – 25 yang dicetak ditepi juzuk ke-2 kitab Sairus Salikin: (Dan daripada) Abi Umamah رضي الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وسلم: Barangsiapa menghidupkan dua malam hari raya dengan mengerjakan ‘ibadah tiada mati hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. [Hadits riwayat Ibn Majah dan ath-Thabrani dengan lafadz yang sedikit berbeza. Hadits ini dhoif. Walaubagaimanapun telah sedia maklum bahwasanya hadits-hadits dhoif boleh diamalkan untuk perkara fadhoilul a’mal]

(Dan riwayat) [al-]Bazzar, barangsiapa menghidupkan beberapa malam yang 5, wajib baginya syurga, [iaitu] malam tarwiyah iaitu malam yang kedelapan daripada bulan haji [8 Dzulhijjah] dan malam ‘arafah [9 Dzulhijjah] dan dua malam raya [eidulfitri dan eidul adha’ dan malam nisfu sya’ban. Dan sekurang-kurang pada menghidupkan malam itu [ialah] sembahyang ‘Isya berjemaah dan sembahyang shubuh berjemaah. [Tamat petikan dari kitab al-Jauharul Mauhub]

Manakala asy-Syaikh Qalyubi di dalam kitabnya (Kitab Hasyiyatan Qalyubiy wa Umairah, 1:359) telah menyebutkan bahawa sunat hukumnya menghidupkan malam Idulfitri ini dan malam Idul Adhha dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh.

Idulfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin dan juga merupakan satu syiar maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang perlu diikuti sepertimana yang telah digarispandukan oleh syara’. Di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini. Antaranya
  • Pertama-tama yang perlu diingatkan - Jangan Lupa Bayar Zakat Fitrah -
  • Menghidupkan malamnya sepertimana yang tersebut diatas yakni dengan berdhikir, sholat sunat tasbih dan pelbagai lagi.
  • Bertakbir. Hukum sunat ini berlarutan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan sembahyang hari raya. Takbir pada hari ini disyariatkan bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya bahkan lebih dari itu ialah merupakan lambang kesyukuran kita kepada Allah Ta‘ala dengan anugerah yang dikurniakanNya dan ianya juga adalah merupakan perkara ibadah. Ath-Thabrani meriwayatkan hadits: Dari Abu Hurairah رضي الله عنه dari Nabi صلى الله عليه وسلم, baginda telah bersabda bermaksud: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir. Manakala Abu Nuaim meriwayatkan, dari Anas رضي الله عنه dari Nabi صلى الله عليه وسلم, baginda telah bersabda bermaksud: Hiasilah keduadua hari raya (eidulfitri dan eidul adha) dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis.
  • Pada pagi Idulfitri pula disunatkan mandi iaitu berniat kerana kedatangan Idulfitri bukannya sahaja membersihkan diri tanpa disertai niat. Perkara sunat mandi ini bersumberkan hadits yang ditakhrijkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha.
  • Di samping itu adalah sunat memakai bau-baun yang harum [berdasarkan kepada hadits riwayat al-Hakim dari al-Hasan bin ‘Ali], membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dan menanggalkan bau yang tidak sedap. Sunat juga memakai pakaian yang paling elok dari pakaian-pakaian yang dia ada. Perkara-perkara sunat ini hanya khusus bagi kaum lelaki. Manakala itu perempuan-perempuan cantik dan yang berkedudukan adalah makruh hukumnya bagi mereka datang ke masjid. Berbeza dengan perempuan tua mereka adalah disunatkan bersama-sama pergi ke masjid tanpa memakai haruman dan sebagainya. (Kitab Al-Raudhah 2:7). Inilah pendapat mazhab Syafi‘ie tentang perempuan pergi ke masjid. Walaupun di sana ada hadits menganjurkan perempuan untuk sama-sama hadir ke masjid di hari raya ini, tetapi dalam mazhab Syafi‘ie anjuran itu adalah untuk perempuan-perempuan yang sudah tua. [Berkenaan dengan persoalan ini, Imam Nawawi رحمه الله تعالى berkata: Kalau ada yang berkata: Bukankah ini [larangan wanita muda comel lote pi semejid …] bertentangan dengan kandungan hadits shohih riwayat dari al-Bukhari dan Muslim dari Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها yang menggalakkan kaum perempuan [tua maupun muda] turut berjemaah? Kami jawab: Menurut sebuah hadits, yang juga diriwayatkan oleh Bukahari dan Muslim dari Ummul Mu’minin ‘Aisyah رضي الله عنها katanya: Kalaulah Rasulullah صلى الله عليه وسلم (masih ada dikalangan kami sekarang ini dan) menyaksikan apa yang telah dilakukan oleh kaum perempuan (sesudah baginda wafat), tentulah baginda akan melarang mereka (daripada turut berjemaah) ……” Tambahan pula kata Imam Nawawi, perkara-perkara buruk dan sebab-sebab yang menimbulkannya – amat banyak dalam zaman-zaman kita ini berbanding zaman Nabi dahulu [al-Majmu syarh al-Muhazzab, 5:13]
  • Disunatkan sebelum pergi ke mesjid untuk menunaikan sembahyang hari raya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas katanya yang maksudnya : "Adapun Rasulullahu صلى الله عليه وسلم tidak keluar (untuk bersembahyang sunat hari raya) pada hari raya Fitrah sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma." Menurut riwayat daripada Anas lagi bahawa Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil. Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya pula adalah perkara yang paling penting dan utama bagi menyambut Hari Raya ini dari perkara-perkara sunat yang lain di dalam merayakan hari raya ini sebagaimana yang di jelaskan oleh pengarang kitab Fathul Bari. Hal ini bersandarkan kepada hadits Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang maksudnya :"Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah bersembahyang" (Hadis riwayat al-Bukhari). Takdak buah kurma, makan lah sikit dengan sesuatu yang manis.
  • Hari Raya Fitri adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan maka di hari ini adalah disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:
  • تَقَبَّل الله مِنَّاوَمِنْكَErtinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak". Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.(Hasyiyatan 1:359). Adapun maksud dari kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.
  • Memperbanyakkan amalan ziarah menziarahi, namun ianya perlulah dijaga dari perkara maksiat seperti bercampur gaul dan sentuh menyentuh dengan yang bukan mahram.
  • Bersedekah di mana Baginda صلى الله عليه وسلم menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang hari raya
Janganlah kita dok cemari sambutan Eidulfitri dengan:

  • Pembakaran mercun, yang merupakan satu pembaziran, mengganggu ketenangan dan keharmonian malam raya, merbahaya pada yang main dan juga orang lain
  • Berhibur dengan hiburan-hiburan yang melalaikan kita dari Allah Ta’ala, sebagaimana yang dihidangkan dikaca-kaca tv. Allahu Allah … macam-macam racangan hiburan depa buat …. CNY, Krismas, Deepavali … macam takdak beza. Sedangkan Islam punya cara tersendiri untuk memyambut hariraya. Maka janganlah terpedaya.
  • Bercampur gaul lelaki wanita yang bukan mahram.
  • Bersalaman dengan yang bukan mahram.
  • Dan banyak lagi … tersenarai …
Sekian. Bagi yang pakat balik kampung, maka pandulah kenderaan hangpa dengan berhemat. Kalau sapa dok kut belah Jitra tu, maka mailah kerumah, takat secawan dua ayaq sejuk, roti mayat sekepin dua ... bereh .... mai jangan tak mai .... tapi habaq mai dulu kut-kut aku keluaq pi kutit duit raya jugak. hehehe

Akhiaqkata hamba, kepada para pelawat, pembaca blog al-Fanshuri, Abuzahrah Abdullah Thahir al-Qedahi, mengucapkan
تقبل الله منا ومنكم
SELAMAT HARI RAYA. MAAF DZAHIR BATHIN

عيد الفطر المبارك - كل عام وأنتم بخير

6 komen:

Awanama berkata...

salam ya abu zahrah,

selamat berkonvokesyen, semoga tergolong dr mrk yg dipakaikan jubah rahmat dan ampunanNya...dan juga yang menerima ijazah Takwa....

selamat hari raya juga dari saya, mohon maaf atas kekasaran dan kesalahan...jgn lupa sertakan saya dlm doa-doa pakcik yang baik...

alida

al-fagir abu zahrah berkata...

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته



آمين

Awanama berkata...

Assalamu'alaikum p.cik yg DiRahmati

Amin kepada doa2 pak cik dan kak alida. Alangkah sedihnya Ramadhan bakal melaburkan tirai ibarat kekasih hati yang meninggalkan kita, hati pilu bukan kepalang. Moga2 tergolong kita di kalangan mereka yang diterima Allah. Amin ya Rabb


Sudilah kiranya P.cik mendoakan ana yg sgt haqerag dan sahabat-sahabat.

SelamaT Hari Raya
Maaf Zahir Batin atas segala salahsilap dan kekurangan.

al-fagir abu zahrah berkata...

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Abu Muhammad berkata...

Eid Mubarak. Kullu aam antum wa ahlikum bi khair.

ibn badawi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Related Posts with Thumbnails