Tawassul, Isti’anah, Istighosah ‘amalan SYIRIK?
Siri - 1
Dalam Mingguan Malaysia bertarikh 7 Oktober 2007, seorang mufti dari negeri paling utara di Semenanjung Malaysia ada menulis suatu artikel yang menyentuh persoalan tawassul, isti’anah, istighasah dan yang sewaktu dengannya. Dalam tulisannya mufti [muftari???] MAZA berkenaan menulis: Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya! Perbuatan itu adalah syirik.
Dia mengatakan lagi bahwa: Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Bagi aku kenyataan Tok Peti tersebut adalah tidak mencerminkan dia seorang yang berilmu. Aku katakan begitu kerana dia main pukoi borong … yakni mensyirikkan golongan yang bertawassul dengan mereka yang telah wafat. Sedangkan persoalan ini adalah merupakan perkara furu’, persoalan khilafiah. Dengan makna bahawa ada golongan yang mengharuskan dan ada golongan yang tidak mengharuskannya. Apakah wajar dikatakan SYIRIK kepada mereka yang memilih untuk mengharuskan bertawassul kepada yang telah wafat. Tuduhan SYIRIK ini adalah satu tuduhan yang melulu, melampau dan besaq implikasinya. Sesungguhnya golongan yang mengharuskan bertawassul kepada mereka yang telah wafat juga mempunyai dalil dan tidak sedikit ulama-ulama besar yang mengharuskan bertawassul kepada mereka yang telah wafat dari kalangan anbiya, auliya dan sholihin. Ternyata bahwa Tok Peti telah menggunakan MM platfom untuk menyebarkan dakyah fahaman Wahabinya. Sebenaqnya, MAZA mengimpot fahaman ulama Wahabi seperti Ben Baz, Saleh Utsaimin,Soleh al-Fauzan, Muqbil ibn Hadi, Abu Bakar Jazairi, al-Albani dan lain-lain pemuka Wahabi dalam mensyirik dan mengkafirkan mereka yang bertawassul sedemikian sepertimana Muhammad Abdul Wahab yang menjadi panutan mereka. Namun alhamdulillah persoalan ini telah dijawab dengan baik oleh para ulama kami.
Aku pun hairan, mengapa Tok Peti Indera Kayangan ini suka benar membangkitkan persoalan khilafiah yang telah diselesaikan oleh ulama akan perbahasannya sebelum ini? Sedangkan persoalan lain yang lebih besar seperti gejala murtad, pemikiran Islam Liberal, melambaknya anak luar nikah, kerosakan akhlaq remaja, gejala rasuah dan lain-lain isu yang melanda umat Islam tidak diberi perhatian sewajarnya? Apakah kerana inginkan populariti? Glamour?
Memandangkan tuduhan SYIRIK oleh Tok Peti berkenaan, aku yang sangat faqir lagi haqir, yang teramat dhoif dalam ilmu pengetahuan ini, lagi tersangat kurang dalam beramal ini terpanggil untuk menulis serba sedikit mengenai perkara tersebut. Apa yang aku ingin utarakan adalah PENDAPAT ULAMA-ULAMA YANG MU’TABAR berkaitan dengan hukum bertawassul dengan mereka yang telah wafat dari kalangan anbiya, auliya dan sholihin. Artikel kali ni aagak panjang dan aku akan paparkan secara bersiri. Dan aku memohon ampun maaf andaikata kata terdapat kesalahan, kesilapan dan kekasaran bahasa dalam penulisan ini.
Sebagai permulaaan, perlu ditegaskan bahawa dalam pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, bertawassul adalah diharuskan. Menurut Syaikh Zaki Ibrahim PENOLAKAN terhadap bertawassul terhadap mereka yang telah wafat ini muncul setelah abad 7 dan dipopularkan setelah abad ke 13. Kata Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim di dalam kitabnya al-Ifham wal Ifham au Qadaya al-Wasilah wal Qubur, beliau mengatakan bahawa:
….. yang menjadi khilaf ialah tawassul dengan mayat orang yang sholeh (at-tawassul bil mayyit al-soleh). Hampir-hampir tiada seorangpun ulama salaf yang berselisih atas keharusan bertawassul dengan mayat yang sholeh itu, sampailah ke kurun ke-7, dimana Ibn Taimiyahlah yang mereka-rekakan perselisihan yang membawa fitnah itu dan tiada seorangpun yang mengambil berat tentangnya sehingga puak Wahabi mengambil berat tentangnya pada kurun ke-13. Ini adalah kerana sebab-sebab politik dan taksub qabilah. Merekapun melarang tawassul kepada Allah dengan mayat yang soleh dan mereka berselindung disebalik tauhid yang dizolimi. [halaman 9]
Sebenaqnya persoalan mengenai tawassul, isiti’anah, istighosah dan yang sewaktu dengannya telahpun dibahaskan oleh para ulama mu’tabar yang jauh lebih ‘alim dan bertaqwa berbanding dengan Tok Peti Indera Kayangan. Ianya boleh dilihat didalam kitab-kitab karangan mereka seperti Khulasoh al-Wafa bi Akhbaril Mustofa, Syifa-us-Saqam fi Ziyarati Khoiril Anam, Syawahidul Haq fil Istighosah bi Sayyidil Khalq, al-Ifham wal Ifham au Qadhaya al-Wasilah wal Qubur, Bahjatul Nadhir fit Tawassul bin Nabi at-Thohir, Ithafu Azkiya bi Jawazi at-Tawassul bil Anbiya wal Auliya, Raf’ul Minaarah li Takhrij Ahadits at-Tawwasul wa al-Ziyaarah dan banyak lagi lah …..
Kisah al-Utbi
Salah satu dalil yang menunjukkan keharusan bertawassul adalag kisah Utbi yang merupakan suatu kisah yang masyhur dan dinukilkan oleh ramai ulama didalam kitab mereka. Antaranya asy-Syaikh as-Samhudi al-Madani didalam Khulasoh al-Wafa bi Akhbaril Mustofa, Imam Ibn ‘Asaakir didalam Tarikhnya, Imam Ibn Katsir menyebut di dalam Tafsirnya pada tafsir surah an-Nisa’ ayat 64, Imam an-Nawawi didalam al-Adzkar dan al-Idhoh fi Manaasikil Hajj wal Umrah, Imam Taqiyuddin as-Subki di dalam Syifa-us-Saqam, Syeikh Abu Mansur al-Sabbagh, di dalam kitabnya asy-Syamil, Syaikh Abu Muhammad Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni, Syeikh Abu al-Faraj bin Quddamah dalam Syarh al-Kabir, Syaikh Mansur bin Yunus al-Buti di dalam kitab Kasysyaf al-Qina,Imam al-Qurthubi di dalam Tafsirnya, Syaikh Yusuf an-Nabhani didalam Syawahidul Haq fil Istighosah bi Sayyidil Khalaq, al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman dan ramai lagilah.
Begitu juga hadits mengenai Nabi Adam عليه السلام bertawassul dengan dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Juga hadits riwayat dari Utsman bin Hunaif رضي الله عنه. Begitu juga kisah Bilal bin Harits رضي الله عنه. Dan aku rasa bagi mereka yang cerdik dan punya matahati, ianya sudah cukup menjadi dalil akan keharusan bertawassul kepada Nabi صلى الله عليه وسلم .baik sewaktu hayat atau selepas kewafatan baginda.
Bagi mereka yang tak pernah jumpa, aku nak bawak mai hadits-hadits berkenaan, yang mana aku ambik sebahagian dari terjemahannya dari tulisan saudara aku al-Fadhil Ustaz Abu Muhammad di dalam blog beliau yang bernama Bahrus Shofa. Kalau pembaca nak detail hampa mai tang ni ….
Daripada Imam al-'Utbi [Abu 'Abdur Rahman Muhammad bin 'Abdullah @ 'Ubaidillah bin 'Amr bin Mu`aawiyah bin 'Amr bin 'Utbah bin Abu Sufyan Sakhr bin Harb yang lebih dikenali sebagai Imam al-'Utbi] di mana dia telah berkata: “Adalah aku satu ketika duduk di samping kubur Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم, maka telah datang seorang A'raabi ('Arab dusun @ penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم dengan katanya:
“Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar Allah Ta`ala berfirman:
وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوۤاْ أَنْفُسَهُمْ جَآءُوكَ فَٱسْتَغْفَرُواْ ٱللَّهَ وَٱسْتَغْفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُواْ ٱللَّهَ تَوَّاباً رَّحِيماً
[Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. – Surah an-Nisa’: 64]
Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan dari segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku.”
Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut:-
يا خير من دفنت بالقاع اعظمه * فطاب من طيبهن القاع و الأكم
نفسي الفداء لقبر انت ساكنه * فيه العفاف و فيه الجود و الكرم
Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya
Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya
Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya
Dalamnya ada (pribadi) yang suci, pemurah lagi mulia
Al-'Utbi meneruskan ceritanya: “Kemudian, dia berpaling meninggalkan maqam Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم, tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku: “Wahai 'Utbi, segera pergi berjumpa si A'raabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.
[Dinukilkan dari kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi; Fasal Mengenai ziarah Qubur Nabi صلى الله عليه وسلم;Halaman 206, Dar al-Fikr Beirut- 2002M/1422H. Kisah ini ini sangat masyhur dan dinukilkan oleh para ulama didalam kitab-kitab mereka sepertimana yang aku nyatakan diatas.]
Para ulama yang menukilkan cerita ini, tidak pulak mereka mengkritik apatah lagi memusyikkan atau mengkafirkan perlakuan si A'raabi tadi. Bahkan Imam an-Nawawi meletakkan cerita al-'Utbi ini dalam kitabnya "al-Iidhaah fi Manaasikil Hajj wal Umrah" halaman 454 - 455, Imam an-Nawawi memuji ucapan A'raabi tersebut dan menganjurkan agar ianya diamalkan tatkala kita berziarah ke maqam Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم. dengan katanya:-
ثم يرجع الى موقفه الأول قبال وجه رسول الله صلى الله عليه و سلم و يتوسل به في حق نفسه و يتشفع به الى ربه سبحانه و تعالى، و من احسن ما يقول ما حكاه اصحابنا عن العتبي مستحسنين له قال:..... قصة العتبي
.... Kemudian hendaklah penziarah maqam Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم kembali ke tempat berhentinya yang pertama yang menghadap wajah Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم (yakni setelah dia bergerak kadar sehasta ke kanan untuk memberi salam kepada Sayyidina Abu Bakar رضي الله عنه dan sehasta lagi untuk salam kepada Sayyidina 'Umar رضي الله عنه, maka dia kembali ke tempat awalnya yang menghadap Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم). Dan si penziarah bertawassullah dengan Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم bagi hak dirinya dan dia memohon syafaat baginda kepada Tuhannya سبحانه وتعالى Dan daripada sebaik-baik ucapan yang (boleh) diucapkannya (tatkala itu) ialah apa yang telah diceritakan dan dipandang baik oleh para sahabat kami (yakni para ulama Syafi`iyyah) daripada al-'Utbi di mana dia berkata:- [sebagaimana kisah al-Utbi diatas tadi cuma di sini ada penambahan dua bait lagi iaitu:
انت الشفيع الذي ترجى شفاعته * على الصراط اذا ما زلت القدم
و صاحباك فلا انساهما ابدا * مني السلام عليكم ما جرى القلم
Engkaulah pemberi syafaat yang diharapkan syafaatnya
Ketika tergelincir segala kaki tatkala melintas shirath
Dan dua sahabatmu sekali-kali tidak aku lupa
Dariku ucapan salam kepada kamu sebanyak tulisan Qalam
[Kami petik dari kitab Taufiiqul Baari li Taudhiih wa Takmiil Masaail al-Iidhaah lil Imam an-Nawawi fi al-Manaasik oleh Tuanguru kami al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki; Juz ke-2, halaman 174. Kitab al-Idhah fi Manasikil Hajj wal Umrah wa ‘alaihi al-Ifshooh ‘ala Masail al-Idhoh ‘ala Mazahabil Aimmatil Arba’ah oleh ‘Abdul Fattah Husin Rawa al-Makki]
Al-Muhaddits as-Sayyid al-Habib Muhammad bin ‘Alwi al-Maliki menyebutkan didalam kitabnya Mafahim Yajibu an Tushahah bahwa bait syair diatas masih tertulis di maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم ditiang yang terdapat diantara tingkap bilik maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Tulisan ini boleh dilihat oleh orang yang mulia dan hina sejak beratus-ratus tahun hingga zaman Malik Abdul ‘Aziz, Malik Su’ud, Malik Faisal, Malik Khalid dan Malik Fahd ….. [Mafahim Yajibu an Tushahah, al-‘Allamah al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi al-Maliki, halaman 158, cetakan ke-10, 1995, Daairah al-Awqaf wa asy-Syu’unn al-Islamiyah, Dubai]
Kisah Sayyidina Utsman bin Hunaif رضي الله عنه
عن عثمان بن حنيف قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم وجاءه رجل ضرير فشكا إليه ذهاب بصره، فقال : يا رسول الله ! ليس لى قائد وقد شق علي فقال رسول الله عليه وسلم : :ائت الميضاة فتوضأ ثم صل ركعتين ثم قل : اللهم إنى أسألك وأتوجه إليك بنبيك محمد نبي الرحمة يا محمد إنى أتوجه بك إلى ربك فيجلى لى عن بصرى، اللهم شفعه فيّ وشفعني في نفسى، قال عثمان : فوالله ما تفرقنا ولا طال بنا الحديث حتى دخل الرجل وكأنه لم يكن به ضر. (أخرجه الحاكم في الْمُسْتَدْرَكُ عَلَى الصَّحِيحَيْنِ)
Dari Utsman bin Hunaif: "Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم, datang pada baginda seorang lelaki yang buta, maka ia mengadu tentang pengelihatannya yang hilang. Maka ia berkata: "Wahai Rasulullah! aku tidak mempunyai pembantu [untuk menuntunnya berjalan] dan aku juga ditimpa kesempitan” Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pergilah bilik air dan ambillah wudhu’! (lalu dia berwudhu’) kemudian sholatlah dua rakaat, kemudian bacalah [doa] (artinya)" Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh kepadaMu dengan [hak] nabiMu, Muhammad [صلى الله عليه وسلم] Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu agar dibukakan mataku, Ya Allah berilah ia syafaat untukku dan berilah aku syafaat". Utsman berkata:"Demi Allah maka tiada berpisah kami dan tidak juga lama selepas peristiwa ini berlaku dengan kami sehingga masuk seorang lelaki seolah-olah tidak pernah buta”. (Hadits riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak ‘ala Shohihain)
Al-Hakim mengatakan bahwa hadits ini adalah shohih dari segi sanad walaupun Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak meriwayatkan dalam kitabnya. Imam adz-Dzahabi mengatakatan bahwa hadits ini adalah shahih, demikian juga Imam at-Tirmidhi dalam kitab Sunannya bab Daa’wat mengatakan bahwa hadits ini adalah hasan shahih gharib. Dan Imam al-Mundziri dalam kitabnya Targhib Wat-Tarhib 1/438, mengatakan bahwa hadits ini diriwayatkan oleh Imam an-Nasai [didalam Sunan al-Kubra dan ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah], Ibnu Majah dan Imam Ibn Khuzaimah dalam kitab shahihnya.
Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad didalam Musnadnya, Ibn Sunni di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, Imam al-Bukhari didalam Tarikh al-Kabir, al-Baihaqi didalam Dalailun Nubuwwah, ath-Thabarani didalam Mu’jam al-Kabir dan as-Saghir, ‘Abdu bin Humaid didalam Musnadnya, al-Hafidz al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawaid dan dia menshohihkannya, Abu Bakar ibn Abi Khaithamah didalam Tarikhnya, dan didalam riwayatkan ada tambahan berikut:
(وإن كانت لك حاجة فعل مثل ذلك)
Sekiranya kamu mempunyai hajat, maka lakukan seperti itu – Lihat kitab Intabih Diinuka fi Khatrin oleh al-‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al-Yamani; Raf’ul Minaarat li Takhrij Ahadits at-Tawassul wa az-Ziyaarah –
Didalam riwayat Imam at-Tirmidhi:
عن عثمان بن حنيف أن رجلاً ضرير البصر أتى النبي ، فقال: ادع الله أن يعافني. قال: إن شئت دعوت، وإن شئت صبرت، فهو خير لك » قال: فادعه، قال: فأمره أن يتوضأ فيحسن وضوءه ويدعوا بهذا الدعاءاللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيك محمد، نبي الرحمة، يا محمد إني توجهت بك إلى ربي في حاجتي هذه لتقضى لي، اللهم فشفعة فيّ.
قال الترمذي: هذا حديث صحيح غريب
Dari Utsman bin Hunaif bahwasanya seorang lelaki yang buta telah mendatang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم lau berkata: Mohonlah kepada Allah keafiatan untukku. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Jikalau engkau kehendaki aku doakan dan jika kamu bersabar, maka itu lebih baik bagi kamu. Lelaki itu berkata: Doakanlah kepada Allah. Maka baginda memerintahkan kepadanya berwudhu’ dan memperbaiki wudhu’nya dan berdoa dengan doa ini: Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh kepadaMu dengan [hak] NabiMu, Muhammad [صلى الله عليه وسلم] Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu [yakni sebagai wasilah] kepada Tuhanku pada hajatku ini semoga diperkenankan untukku. Ya Allah berilah baginya padaku”.
Doa tawassul ini bukan sahaja dikhususkan semasa hayat baginda صلى الله عليه وسلم sahaja bahkan sebahagian shahabat telah menggunakan ucapan tawassul ini setelah kewafatan baginda. Asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani menyebutkan didalam Syawahidul Haq fil Istighosah bi Sayyidil Khalaq:
Sesungguhnya ath-Thabrani dan al-Baihaqi telah meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah datang mengadukan halnya kepada Sayyidina Utsman bin Affan رضي الله عنه dizaman pemerintahannya, tetapi Saiyyidina Utsman رضي الله عنه tidak berpaling kepadanya dan tidak memandang kepada hajat yang diperlukannya [kerana kesibukan]. Lelaki itupun berlalu dan mengadu pula kepada Utsman bin bin Hunaif tentang hal itu. Mendengar hal itu, Utsman bin Hunaif pun berkata kepadanya: Kalau begitu pergilah kamu ke tempat berwudhu dan berwudhulah, kemudian datangilah masjid dan bersholatlah. Lepas itu berdoalah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكُ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي ، فَتَقْضِي لِي حَاجَتِي
Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu dan aku menghadap kepadaMu melalui nabiMu yang penuh kasih sayang, Wahai Muhammad, sesungguhnya aku menghadap [hajatku] dengan [perantaraan]mu kepada Tuhanku agar diperkenankan bagiku hajatku. Dan engkau sebutlah hajatmu. Lelaki itupun berlalu dari situ dan melakukan suruhan tersebut.
Kemudian dia datang ke pintu rumah Sayyidina Utsman رضي الله عنه. Tiba-tiba datang seorang penjaga pintu lalu menarik tangannya masuk kedalam dan didudukkan bersama-sama Saidina Utsman رضي الله عنه. Sayyidina Utsman رضي الله عنه berkata: Sebutlah hajatmu itu. Lalu lelaki itupun menyebut dan akhirnya Sayyidina Utsman pun menunaikan hajatnya. Sayyidina Utsman bertanya lagi: Kalau kamu mempunyai hajat lagi, sebutlah.
Selepas itu lelaki itupun keluar lalu menemui Utsman bin Hunaif dan berkata kepadanya: Moga-moga Allah membalas jasamu dengan kebaikan. Tidaklah ia memandang kepada hajatku sehingga engkau mengajarkan kepadaku. Ibn Hunaif lantas menjawab: Demi Allah, tidaklah aku mengajarmu, tetapi sebenarnya aku telah menyaksikan bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم ketika didatangi oleh seorang buta mengadu akan hilangnya penglihatannya ………. (hingga akhir hadits .. sepertimana hadits diatas).
Maka ini adalah tawassul dan seruan selepas wafat Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
[Rujuk Syawahidul Haq fil Istighosah bi Sayyidil Khalaq oleh asy-Syaikh Yusuf an-Nabhani, halaman 155, cetakan Dar al-Fikr, 1983. Hadits ini diriwayatkan di dalam Mu’jam as-Saghir oleh Imam ath-Thabarani, Ma’rifatus Shahabah oleh Abu Nuaim al-Asbahani didalam Ma’rifatus Shahabah, al-Baihaqi dan lain-lain]
Kalau mengikut tulisan Tok Peti diatas maka, Sayyidina Utsman bin Hunaif al-Anshori ini telah mengajarkan suatu perbuatan syirik. Allahu Allah …. Berhati-hatilah dalam membuat tuduhan. Kalaupun kalian tidak menerima hadits ini, tetapi janganlah kalian mensyirikkan mereka yang menerima dan beramal dengannya. Ramai dikalangan ulama mu’tabar yang menerima hadits ini sebagai dalil akan harusnya bertawassul kepada mereka yang telah wafat. Perhatikanlah!
Bersambung insyaAllah …..