Isnin, 17 September 2007

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis - Siri 8

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.

فانه مافتحهالك إلاوهويريد أن يتعرف إليك الم تعلم أن التعرف هو مورده عليك

Maka bahawasanya tiada dibukakannya bagimu jalan segala jalan orang yang muqarrabin yang membawa kepada haqaiq [hakikat-hakikat] tauhid dan yakin melainkan yaitu menghendaki bahawa menerima atasmu dan mengenalkan kepadamu segala fe’ilNya [perbuatanNya] dan shifatNya yang menunjukkan atas Esa dzatNya. Tiadakah kau ketahui bahawasanya mengenalkan itu iaitu yang didatangkannya atasmu dan barang yang ada daripadaNya tiadalah masuk akan dia segala ‘illat [penyakit: penyakit rohani] dan afat [kebinasaan]. (Maka) apabila dibukakan bagimu jalan daripada ma’rifat bagi hadratNya maka adalah engkau setengah daripada orang yang dikasihiNya. Maka bahawasanya ma’rifat itu awwalul mawahib [awal bagi segala kurnia] dan nihayatul matholib [kesudahan bagi segala tuntutan: kesudahan perjalanan bagi seorang salik]. Maka tatkala demikian itu tiada mengapa sedikit ‘amal dan tiada dibukakan bagimu pada demikian jalan itu melainkan menghendaki akan dikau hampir daripada demikian hadratNya. dan disanalah dikenalkannya kepadamu segala anwaaul takriim (التكريم انواع) [pelbagai jenis penghormatan dan kemuliaan] dan ditunjukkannya bagimu barang yang tiada engkau ketahui padanya.

والاعمال أنت مهديهاإليه وأين ماتهديه إليه مماهومورده عليك

Dan segala ‘amal daripada sedekah dan sembahyang dan puasa dan zakat dan yang lain daripada demikian itu pada segala ibadat engkau menghadiahkannya kepadaNya dan mana [kan sama] yang engkau hadiahkan akan dia kepadaNya daripada segala ‘amalmu yang ma’lul(1) dan segala ahwalmu yang madkhul(2) daripada barang yang didatangkannya atasmu daripada ilham dan taufiq dan hidayah kepada jalan ma’rifah dan kasyaf(3) iaitu yang ditentukan kepada segala orang yang ahlul ‘inayah dan ahlul tahqiq.

(Dan) adalah kepada orang yang ahlul maqam ini, segala ‘amal itu dimudahkan bagi mereka itu daripada tiada berat dan tiada musyaqqah(4) (Dan) adapun kepada orang yang ahlul ‘amaal (اهل الاعمال) maka diberatkan mereka itu dengan mujahadah ertinya menanggung dirinya atas musyaqqah dan menyalahi nafsu hawa atas tiap-tiap hal. Dan orang yang ahlul maqam ini segala ‘amal mereka itu berbahagi, sekaliannya itu, dengan sekira-kiranya dan atas sekadar halnya dan kerana inilah mengisyaratkan muallif رضي الله عنه dengan katanya …… (bersambung disiri akan datang, InsyaALLAH)

_______________________

Notakaki:-

(1) Amal yang ma’lul bermaksud amal yang berpenyakit atau yang cacat cedera tidak sempurna atau amal yang dikerjakan bersebab kepada yang lain daripada Allah

(2) Ahwal yang madkhul bermaksud hal keadaan yang berlaku dalam diri seseorang yang hakikatnya bukan terjadi dari daya usahanya sendiri tetapi ianya dikurnia atau dianugerahkan atau dimasukkan oleh Allah Ta’ala kedalam dirinya seperti ilham, taufiq, hidayah, kasyaf dan sebagainya

(3) Pembukaan atau penyingkapan hijab yang menutup hati terhadapa hamba-hambaNya yang terpilih, sehingga nampaklah seseorang itu akan makna-makna yang ghaib-ghaib dan perkara yang hakiki atau rahsia-rahsia ketuhanan.

(4) Kesukaran atau kepayahan

0 komen:

Related Posts with Thumbnails