Sabtu, 1 September 2007

Petikan Dari Kitab Mukhtasor an-Nashoih ad-Diniah wal Washoya al-Imaniah

Bencana-bencana Lidah Yang Lain

Diantara bencana-bencana lidah yang lain ialah namimah (menghasut, mengadu domba); yaitu menyampaikan pembicaraan seseorang kepada orang lain, dengan tujuan menimbulkan konflik dan fitnah.

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kesana ke mari menghambur fitnah” (Surah. al-Qalam: 10-11)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

- لايدخل الجنة قتات - وهو النمام- حديث صحيح . رواه البخاري ، ومسلم ، وأبو داود ، والترمذي

“Tidak akan masuk surga orang yang suka mengadu domba.”(Hadits shahih riwayat: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Turmidhi)

Sabda baginda lagi :

شرار عباد الله المشائون بالنميمة، المفرقون بين الأحبة - رواه الإمام أحمد ، وابن أبى شيبة ، وابن أبي الدنيا

“Sejahat-jahat hamba Allah ialah orang yang menyebarkan hasutan, yang memecah-belahkan antara kawan-kawan yang berkasih sayang.” (Hadits riwayat: Imam Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Abi Dunya)

Sabda baginda lagi:

إن النميمة والحقد في النار، لا يجتمعان في قلب مسلم - رواه الطبراني

“Sesungguhnya hasutan dan busuk hati itu tempatnya di dalam neraka, keduanya tidak boleh berhimpun di dalam hati seorang Muslim.”(Hadits riwayat ath-Thabrani)


Di antara jenis namimah (hasutan) yang paling buruk dan amat berat dosanya ialah hasutan kepada sultan atau pemerintah dan seumpamanya. Orang yang menghasut sultan atau pemerintah itu bertujuan untuk membuat rugi orang lain, seperti merampas hartanya, atau menimpakan suatu bencana atasnya. Dosa orang ini berlipat ganda melebihi hasutan kepada orang banyak.

Bencana yang lagi ialah mengejek-ejek seorang Muslim, merendahkannya serta mentertawakannya dengan tujuan menghinanya.
Firman Allah Ta’ala:

 يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا لاَ يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُوْنُوْا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلاَ نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ 

“Hai orang-orang yang beriman janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olok )wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diolok-olok) lebik baik dari wanita (yang mengolok-olok).” (Surah al-Hujurat: 11)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

بحسب امرأ من الشر أن يحقر أخاه المسلم - حديث صحيح . رواه مسلم

Cukuplah seseorang dikatakan orang yang jahat apabila dia menghina saudaranya yang Muslim (Hadits shahih riwayat Muslim)

Sebenarnya bencana lidah itu banyak sekali, selain apa yang disebutkan diatas. Imam al-Ghazali telah menentukan sebanyak dua puluh bencana, disebutkan satu persatu dalam kitab Ihya’ Ulumiddin di bawah judul Kitab Bencana Lidah. Semoga Allah Ta’ala mencucurkan rahmatNya atas roh beliau dengan penuh keredhaan, dan memberikan balasan yang setimpal atas usaha dan khidmatnya kepada agama Islam dan kaum Musimin. Amiin.


[Kitab diatas dikarang oleh Quthub ad-Da'wah wal Irsyad al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad Rahimahullah dan diringkaskan oleh Shaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Ianya digunakan dalam program diskusi kitab oleh Shaikh Nuruddin di Kedah, Perak dan Selangor]

0 komen:

Related Posts with Thumbnails