Ahad, 25 Mac 2007



(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)



Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 5)




Pendapat Syaikh Ibnu Taimiyah Mengenai Maulid


Syaikh Ibnu Taymiyyah telah berkata: Kadangkala diberikan pahala kepada sebahagian manusia ketika melakukan maulid. Begitulah seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat samada sebagai menyerupai orang Nasrani pada kelahiran Nabi Isa عليه السلام, atau kerana kecintaan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan membesarkan baginda صلى الله عليه وسلم . Dan Allah mungkin memberi pahala di atas kasihsayang dan kesungguhan ini, tidak kerana bid’ahnya amalan ini.


Kemudian Ibnu Taimiyah berkata lagi: Ketahuilah, bahawa diantara amalan-amalan itu ada yang mengandungi kebaikan kerana itu ianya disyariatkan. Ada juga amalan yang berupa bid’ah sayyiah atau seumpamanya, maka amalan ini salah dan satu penyelewengan daripada agama, seperti hal dan keadaan orang munafiq dan fasiq.


Hal ini telah dilakukan oleh ramai orang pada akhir-akhir ini. Disini saya bentangkan dua cara dari segi adab untuk mengatasinya:-


Pertama: Hendaklah kamu berpegang teguh pada sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم zahir dan bathin pada diri kamu dan mereka yang taat kepada kamu. Juga hendaklah kamu taat kepada yang ma’ruf dan ingkar kepada yang mungkar.


Kedua: Hendaklah kamu menyeru manusia supaya melakukan sunnah seberapa terdaya. Dan jika terdapat orang yang melakukan demikian hendaklah kamu terus galakkan, kecuali jika ianya mendatangkan tidak baik. Jangan menyeru kepada meninggalkan yang mungkar dengan melakukan yang lebih mungkar. Jangan meninggalkan perbuatan yang wajib atau sunnah, kerana dengan meninggalkannya kamu telah melakukan sesuatu yang lebih mudharat daripada melakukan yang makhruh.


Sekiranya ada bid’ah yang berunsur kebajikan, seberapa daya gantikan dengan kebajikan yang disyariatkan, kerana memang tabiat manusia tidak mahu meninggalkan sesuatu kecuali ada gantinya. Hendaklah jangan kita lakukan amalan yang baik kecuali kita lakukan amalan yang sama baiknya atau yang lebih baik lagi.


Memuliakan perayaan maulid, dan sewaktu-waktu menjadikannya sebagai amalan yang adakalanya dilakukan oleh setengah orang, mendapat pahala yang besar, kerana mereka mempunyai niat yang baik dan mengandungi unsur-unsur memuliakan Nabi صلى الله عليه وسلم, sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Tetapi adakalanya amalan yang baik bagi sesetengah mu’min, dipandang buruk oleh mu’min yang lain.


Imam Ahmad pernah diberitahu bahawa seorang putera raja telah membelanjakan lebih kurang 1,000 dinar untuk sebuah al-Quran. Maka jawabnya, walaupun mahu dibelanjakan dengan emas sekalipun biarkanlah. Padahal menurut mazhab Imam Ahmad menghiasi al-Quran itu adalah makhruh.


Ada juga yang berpendapat bahawa perbelanjaan 1,000 dinar itu adalah untuk memperbaharui kertas dan tulisan. Tetapi maksud Imam ahmad masalah ini ada bercampur kebaikan dan keburukannya. Maka itu tidak digemarinya.(9)


Pendapat saya mengenai maulid


Pendapat kita, sesungguhnya sambutan kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم yang mulia tidak mempunyai kaifiat yang tertentu yang perlu diikuti oleh semua orang atau cara yang kita wajibkan atas semua. Bahkan, bahawa apa sahaja yang boleh menyeru umat manusia ke arah kebaikan, mengumpulkan mereka atas petunjuk Allah, serta mendidik mereka kepada apa juga yang boleh memberi manfaat kepada agama mereka, boleh merealisasikan tujuan maulid nabi ini.


Oleh yang demikian, jika kita berkumpul dalam majlis puji-pujian ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم yang mana padanya ada ingatan terhadap kekasih kita صلى الله عليه وسلم, keutamaan baginda, jihad baginda serta khususiat baginda, (walaupun kita tidak membaca kitab maulid yang dikenali ramai, - seperti maulid ad-daibaie dan al-barzanji - kerana ada sebahagian yang menyangka bahawa majlis maulid itu tidak akan sempurna melainkan dengan membaca kitab-kitab tersebut), kemudian kita mendengar pula apa yang diperkatakan oleh para pendakwah dalam memberi peringatan dan petunjuk, serta apa yang dibacakan oleh qari' daripada ayat-ayat Al-Qur'an.


Saya (as-Sayyid Muhammad Alwi al-Maliki) ada mengatakan: Jika kita melakukan demikian, sesungguhnya ia telah termasuk dalam lingkungan makna maulid Nabi yang mulia, dan tercapailah maksud sambutan ini, dan saya melihat ia tidak diperselisihkan oleh sesiapa jua.




Bahagian keenam akan segera menyusul …….. insyaAllah

____________________________________________________________


Notakaki:-


(9) Begitulah pendapat Ibnu Taymiyah yang jelas tidak mengingkari sambutan ini, walaupun beliau mengingkari apa-apa perbuatan mungkar yang ada pada sambutan ini (sama seperti fahaman kita yang telah diterangkan sebelum ini). Malah Ibnu Taymiyah menyamakan hukum sambutan ini dengan jawapan Imam Ahmad pada perbelanjaan besar untuk menghiasi mushaf. Namun demikian mereka yang mengingkari sambutan ini, akan menggunakan pendapat Ibnu Taymiyah secara umum dalam memerangi bid'ah (yang sesat – pada pandangan mereka) sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, sambil meninggalkan apa yang dikatakan sendiri oleh Ibnu Taymiyah dalam perkara ini secara khusus. Semoga Allah memberi hidayah kepada semua.

(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 4)



Dalil keenambelas

Merayakan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم sekalipun tidak dilakukan pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, adalah bid’ah hasanah kerana termasuk dibawah dalil-dalil syara’ dan kaedah-kaedah yang umum. Ianya dikira sebagai bid’ah kerana dilaksanakan secara bermasyarakat dan bukannya secara individu kerana amalan ini pernah dilakukan secara individu pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, sebagaimana tersebut pada dalil yang kedua belas.


Dalil Ketujuhbelas

Perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh generasi salaf dalam bentuk kemasyarakatan tetapi diamalkan secara perseorangan /individu, dituntut oleh syara’ untuk diamalkan. Apa yang telah tersusun dari segi syara’, dituntut untuk diamalkan. Perkara ini amat jelas dan tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun.


Dalil Kelapanbelas

Telah berkata Imam Syafie رضي الله عنه :

مَا أُحْدِثَ وَخَالَفَ كِتَاباً أَوْ سُنَّةً أَوْ إِجْمَاعًا أَوْ أَثَراً فَهُوَ البِدْعَةُ الضَّالَّةُ ، وَمَا أُحْدِثَ مِنَ الخَيْرِ وَلَمْ يُخَالِفْ شَيْئاً مِنْ ذلِكَ فَهُوَ المَحْمُوْدُ

Artinya: “Suatu perkara yang diadakan dan ia bercanggah dengan kitab, sunnah, ijma’ atau atsar, maka ia adalah bid'ah yang sesat. Dan suatu yang diadakan dari perkara kebaikan dan tidak bercanggah dengan sesuatu dari yang disebutkan tadi, maka ia adalah terpuji”

Malah Imam al-Izz bin Abdussalam, Imam An-Nawawi dan juga Imam Ibnul Atsir telah mengkategorikan bid'ah kepada 5 bahagian seperti mana yang telah kita sebutkan sebelum ini.


Dalil Kesembilanbelas

Setiap perkara kebaikan yang diliputi olehnya dalil-dalil syara', dan tidak bertujuan untuk mereka satu perkara yang baru yang bercanggah dengan syariat, serta tidak mengandungi perkara mungkar, maka ia termasuk dalam agama.
Kata-kata mereka yang taksub bahawa perkara ini tidak pernah dilakukan oleh salaf, bukanlah satu dalil bagi mereka, tetapi dinamakan tiada dalil. Perkara ini amat jelas bagi mereka yang mempelajari dan menyelami ilmu usul fiqh. Malah syari' telah menamakan bid'ah yang baik sebagai sunnah dan dijanjikan pahala bagi pembuatnya, berdasarkan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم:

مَنْ سَنَّ فِيْ الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلا َيَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ

Artinya: Barangsiapa yang memulakan perkara dalam Islam suatu sunnah yang baik, maka dia akan diberi pahala bagi perbuatannya, serta pahala mereka yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun darinya.


Dalil Kedua puluh

Sesungguhnya sambutan maulid merupakan satu bentuk menghidupkan kembali peringatan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Dan ingatan ini adalah sesuatu yang disyariatkan di sisi kita dalam Islam.

Lihatlah berapa banyak ibadat dalam Islam yang disyariatkan oleh Allah untuk menghidupkan ingatan kita kembali kepada peristiwa sejarah lampau. Misalnya dalam amalan haji, disyariatkan sa'ie antara Safa dan Marwah serta melontar jamrah, serta menyembelih binatang di Mina. Semua perkara ini merupakan peristiwa lampau yang dikuatkan kembali ingatan tersebut dengan cara membaharukan kembali gambarannya dengan kenyataan. Dalilnya, sebagaimana firman Allah:

وأذِّن في الناس بالحج

Artinya: “Dan serulah manusia mengerjakan haji” (Surah al-Hajj:27).


Dan firman Allah Ta’ala, cerita Nabi Ibrahim dan Ismail عليهما السلام:


وأرنا مناسكنا

Artinya: Dan tunjukkanlah kepada kami tempat-tempat ibadah kami” (Surah al-Baqarah: 128)


Dalil Kedua Puluh Satu

Setiap apa yang kita nyatakan sebelum ini daripada wajah, dalil serta hujah pensyariatan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم adalah pada sambutan yang bersih dari perkara-perkara mungkar yang dikeji yang perlu kita ingkari. Jika sambutan tersebut mempunyai perkara-perkara yang mungkar seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, melakukan perkara-perakra yang haram, pembaziran dan apa jua yang tidak akan diredhai oleh sohibul maulid صلى الله عليه وسلم sendiri, maka tidak syak lagi pengharamannya dan tegahan padanya kerana ia mengandungi perbuatan yang haram. Oleh itu tegahan ini adalah perkara yang mendatang ('aridh) bukan zat sambutan itu sendiri. Sesiapa yang meneliti perkara-perkara ini tentu jelas sekali.


Bahagian kelima akan segera menyusul …….. insyaAllah


(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)

Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 3)



Dalil Kesebelas

Bahawasanya sambutan maulid ini adalah satu perkara yang dipandang baik oleh para ulama dan kaum muslimin di seluruh pelusuk negeri. Malah ianya telah diamalkan di merata dunia Islam. Ianya adalah dituntut dari segi syara' berdasarkan kaedah yang dipetik dari sebuah hadits yang mauquf dari Ibn Mas'ud yang berkata:

مَارَآهُ المُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَاللهِ حَسَنٌ ، وَمَارَآهُ المُسْلِمُوْنَ قَبِيْحًا فَهُوَ عِنْدَاللهِ قَبِيْحٌ - أخرجه أحمد

Artinya: “Apa-apa yang dipandang oleh kaum Muslimin sebagai perkara yang baik, maka ia baik di sisi Allah. Dan apa-apa yang dipandang oleh kaum Muslimin sebagai perkara yang buruk, maka ia adalah buruk disisi Allah (Hadits ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad)


Dalil Keduabelas

Bahawasanya sambutan maulid dipenuhi dengan perhimpunan untuk berzikir, sedekah, serta mengucapkan pujian dan penghormatan kepada Nabi. Semua ini adalah sunnah, dan amat dituntut dari segi syara'. Tidak sedikit hadits-hadits yang shahih yang menekankannya dan mendorong kaum Muslimin mengamalkannya.(6)


Dalil Ketigabelas

Allah Ta'ala telah berfirman:

وَكُـلاًّ نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ

Artinya: “Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya” (Surah Hud:120)

Di sini jelas bahawa hikmah kisah-kisah para rasul disebutkan di dalam al-Quran adalah untuk mengukuhkan hati Baginda yang mulia. Dan tidak syak lagi, pada hari ini, kita amatlah memerlukan kepada pengukuhan hati dengan berita dan cerita Baginda صلى الله عليه وسلم, malah keperluan kita tentulah lebih kuat lagi berbanding keperluan baginda tadi.


Dalil Keempatbelas

Bukan semua perkara yang tidak dilakukan oleh para salaf dan segala yang tidak pernah berlaku pada kurun-kurun awal Islam adalah bid'ah sayyi'ah yang diingkari dan haram melakukannya serta wajib diingkari. Inilah perkara yang selalu tidak difahami oleh mereka yang mengharamkan sambutan ini.

Sebenarnya perkara yang dibarukan dalam agama harus dipandang dan diukur dari segi dalil-dalil syara’. Maka, perbuatan yang mengandungi maslahat (kebaikan) maka ia wajib, jika mengandungi perkara haram maka ia haram. Begitulah juga jika mengandungi perkara makruh ia menjadi makruh, mengandungi perkara harus ia menjadi harus, dan jika mengandungi perkara yang mandub maka ia jua mandub. Dan (menurut kaedah fiqh) bagi semua wasilah sama hukumnya dengan sesuatu tujuan. (وللوسائل حكم المقاصد).

Seterusnya para ulama’ telah membahagikan bid'ah kepada 5 bahagian (sesuai dengan hukum taklifi yang 5 - wajib, mandub, makruh, haram dan harus).
  • Wajib: Seperti menolak perbuatan orang-orang yang menyeleweng daripada jalan yang benar dan mempelajari ilmu nahwu
  • Mandub: Seperti mengadakan sekolah-sekolah, madrasah, azan di atas menara dan perbuatan baik yang tidak dilakukan pada masa dahulu
  • Makhruh: Seperti menghiasi masjid dan juga mushhaf
  • Mubah: Seperti menggunakan tapis dan berlebihan makan-minum
  • Haram: Seperti apa-apa yang diadakan, bersalahan dengan sunnah dan tidak mempunyai dalil-dalil syara’ yang am, juga tidak meliputi maslahat dari segi syara’.


Dalil Kelimabelas

Bukanlah semua bid'ah itu adalah diharamkan. Jika demikian haramlah perbuatan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Zaid رضي الله عنهم, mengumpulkan al-Quran dan menulisnya didalam mushaf, kerana ditakuiti al-Quran itu hilang setelah matinya para shahabat yang yang alhi dalam membaca al-Quran.

Dan haramlah, Sayyidina Umar رضي الله عنه ketika beliau menghimpun yang bersembahyang tarawikh untuk dilakukan secara berjemaah dengan seorang iman. Beliau berkata:

نِعْمَتِ البِدْعَةُ هذِهِ

Artinya: Alangkah eloknya bid’ah ini.

Nescaya haramlah mengarang kitab-kitab ilmu yang manfaat. Jika demikian, maka wajib kita berperang dengan orang kafir dengan lembing dan panah, sedangkan mereka menetang kita dengan peluru, meriam, kereta kebal, jet pejuang, kapal selam dan senjata-senjata yang lain.

Nescaya haramlah azan diatas menara, membuat sekolah-sekolah, asrama-asrama, hospital, tempat-tempat pertolongan cemas, rumah anak yatim dan penjara.

Oleh kerana itu, para ulama رضي الله عنهم telah menentukan hadits: كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ - artinya: Tiap-tiap bid’ah itu menyesatkan – dengan bid’ah sayyiah (bid’ah yang jahat), dan mereka ulama telah menghuraikan hadits tersebut kerana sepeninggalan Rasulullah صلى الله عليه وسلم banyak diantara shahabat terkemuka dan para pemimpin tabi’in, yang mengadakan hal-hal baharu yang mana ianya pada masa hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak pernah diadakan.(7)

Kita sekarang banyak melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh para salaf. Antaranya diadakan tahajjud berjemaah selepas shalat tarawikh pada akhir malam dengan satu imam, mengkhatam al-Quran dalam shalat tersebut, membaca doa khatam al-Quran dan imam berkhutbah ketika shalat tahajjud (8) dalam shalat tahajjud pada malam 27 Ramadhan. Dan seruan muazzin untuk mendirikan shalat tahajjud dengan katanya:

صَلاَةُ القِيَامِ أَثَابَكُمُ اللهِ

Artinya: Marilah shalat tahajjud, semoga Allah memberikan balasan pahala kepada kamu.

Semua ini tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم , juga walau seorang dari kalangan ahli salaf. Adakah semua ini bid’ah yang menyesatkan???

Bahagian keempat akan segera menyusul …….. insyaAllah

____________________________________________________


Notakaki:-

6) Berkumpul untuk melakukan sesuatu yang baik adalah digalakkan berdasarkan kepada sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم

لا يقعد قوم يذكرون الله إلا حفتهم الملآ ئكة وغشيتهم الرحمة ونرلت عليهم السكينة وذكرهم الله فيمن عنده - رواه مسلم
Artinya: Tidak duduk suatu kaum yang berzikir kepada Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, dicucuri rahmat, diturinkan ketenangan dan Allah meyebut mereka kepada para malaikat yang berada disisiNYA. (Hadits riwayat Imam Muslim)

7) Persoalan ini dibahaskan panjang lebar oleh para ulama. Insyaallah sekiranya diberi kesempatan olehnya, saya akan menulis sedikit tentang persoalan bid’ah serta pembahagiannya menurut pengertian para ulama’ kita.

8) Menurut Sayyid Muhammad al-Maliki, perkara ini berlaku di Haramain (Mekah dan Madianh) selama beberapa tahun tetapi telah ditinggalkan. Apa yang berlaku, ketika mereka melakukannya, mereka menyatakan bahawa perbuatan ini adalah baik tetapi apabila mereka meniggalkannya, maka mereka mengatakan bahawa perbuatan itu adalah sesat. Atau dalam erti kata lain, mula-mula perbuatan yang baik tetapi kemudiannya menjadi kemugkaran. Apakah boleh tergambar atau diterima oleh orang yang beraqal warak sesuatu perkara yang sama boleh menjadi baik dan tidak baik.




[Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد]






Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم

(Bahagian 2)



Dalil-dalil Yang Mengharuskan Merayakan Hari Keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم



Dalil Keenam


Sesungguhnya sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dipenuhi dengan memperingati keputeraan baginda yang mulia. Pada sambutan itu kita kan diingatkan dengan mukjizat-mukjizat baginda, sirah baginda agar kita akan lebih mengenali baginda صلى الله عليه وسلم.

Bukankah kita diperintahkan untuk mengenali, mencontohi jejak langkah, mengikuti amalan, dan beriman dengan mukjizat serta membenarkan segala keterangan/tanda-tanda baginda? Dan kitab-kitab maulid banyak memaparkan semua ini.



Dalil ketujuh

Dengan mengadakan sambutan Maulid ini juga sebagai melaksanakan sebahagian kewajipan kita dengan menerangkan sifat-sifat baginda yang sempurna, dan akhlak-akhlak baginda yang mulia.

Diriwayatkan, para penyair datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu melantunkan bacaan qasidah-qasidah mereka (memuji baginda) dan baginda meredhai perbuatan mereka seraya memberi ganjaran dengan perkara-perkara yang baik seperti mendoakan mereka.(5)


Kalaulah baginda صلى الله عليه وسلم redha sesiapa yang memuji Baginda, bagaimana mungkin baginda tidak redha atas mereka yang menghimpunkan segala sifat baginda yang mulia. Maka ia merupakan suatu perkara yang dapat mendekatkan diri kepada baginda صلى الله عليه وسلم dengan melakukan perkara yang membuatkan kita memperolehi kecintaan dan keredhaannya.



Dalil Kelapan


Sesungguhnya mengetahui sifat-sifat, mukjizat-mukjizat dan ciri-ciri baginda صلى الله عليه وسلم membawa kepada kesempurnaan iman dan kecintaan kepada baginda. صلى الله عليه وسلم Hal ini kerana tabiat semulajadi manusia adalah menyukai sesuatu yang indah, dalam bentuk baik dari segi rupa mahupun akhlak, ilmu mahupun amalan, keadaan mahupun dan kepercayaan.

Dan tiadalah yang lebih terindah, sempurna dan utama dari akhlak dan sifat-sifat baginda صلى الله عليه وسلم.
Menambahkan kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم serta kesempurnaan iman amatlah dituntut oleh syara', dan apa yang boleh membantu menyuburkan keduanya, maka ianya jua dituntut oleh syara'.


Dalil Kesembilan


Mengagungkan baginda صلى الله عليه وسلم dituntut oleh syara'. Manakala bergembira dengan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم dengan menzahirkan kegembiraan dengan mengadakan jamuan, mengumpulkan masyarakat untuk berzikir, dan memuliakan fakir miskin merupakan antara cara yang paling jelas dalam mengagungkan, memuliakan, bergembira dan bersyukur kepada Allah, kerana hidayahNya yang menunjukkan kita kepada agamaNya yang mulia, dan apa-apa anugerahNya kepada kita dengan mengutus Nabi عليه أفضل الصلاة والتسليم.



Dalil Kesepuluh

Dari sabda Nabi صلى الله عليه وسلم berkenaan dengan hari Juma’at dan menyenaraikan keistimewaannya:

وفيه خُلق آدم

Artinya: "Dan padanya (Jumaat) dijadikan Adam".


Dipetik daripada hadits ini kemuliaan sesuatu waktu yang padanya ditsabitkan kelahiran mana-mana Nabi عليهم السلام. Maka bagaimana pula dengan hari yang mana padanya dilahirkan Nabi yang paling utama dan Rasul yang paling mulia?


Dan kemuliaan hari tersebut bukanlah dikhususkan pada hari tersebut sendiri, tetapi ia mempunyai sifat yang umum, yang mana sentiasa diulang-ulang kemuliannya setiap kali sampai hari tersebut, seperti kemuliaan hari Jumaat.

Ini adalah sebagai mensyukuri nikmat, menunjukkan keistimewaan kenabian serta menghidupkan peristiwa-peristiwa sejarah yang amat penting.
Begitu juga sebagaimana yang kita dapati mulianya tempat lahir seorang Nabi, sebagaimana Jibril menyuruh Rasulullah صلى الله عليه وسلم bershalat dua rakaat diBaitullaham (sewatu peristiwa isra’ dan mi’raj), kemudian dia (Jibril عليه السلام) memberitahu kepada Nabi dengan katanya:

أَتَدْرِيْ أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: صَلَّيْتَ بِبَيْتِ لَحْمٍ حَيْثُ وُلِدَ عِيْسَى

Artinya: Tahukah engkau, dimana engkau bershalat? Jawab Rasulullah: Tidak! Berkata Jibrail: Telah bershalat engkau di Baitullaham, tempat ‘Isa dilahirkan.


Kisah ini telah disebutkan dalam sepotong hadits riwayat Syaddad bin Aus yang diriwayatkan al-Bazzar dan Abu Ya’la juga at-Thabrani. Berkata al-Hafidz al-Haitsami didalam kitabnya Majma’ az-Zawaid jilid 1 mukasurat 47, rijalnya adalah rijal yang shahih. Dan telah menaqalkan kisah ini oleh al-Hafidz Ibn Hajar didalam kitabnya al-Fath (jilid 7 mukasurat 199) dengan tanpa komentar.


Bahagian ketiga akan segera menyusul …….. insyaAllah

__________________________________________________________

Notakaki:-

5) Diantara penyair-penyair Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah Sayyiduna Hasan bin Tsabit, Sayyiduna Abdullah bin Rawahah dan Sayyiduna Ka’ab bin Malik رضي الله عنهم .

Satu ketika, Ka’ab bin Zuhair mengubah qasidah pujian untuk baginda صلى الله عليه وسلم . Setelah mendengar pujian disampaikan oleh Ka’ab, Nabi صلى الله عليه وسلم meleaskan burdah (selendang)nya dan memakaikan kepada Ka’ab sebagai hadiah sekaligus sebagai ungkapan bahawa baginda meredhainya.


Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga pernah mendoakan Abdullah bin Rawahah setelah baginda mendengar syair dibacakan oleh Abdullah bin Rawahah. Baginda berdoa:


وأنت، فثبتك الله يا ابن رواحة

Artinya: Dan engkau wahai Abdullah Rawahah, semoga Allah meneguhkanmu.
Doak Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini membuktikan bahawa baginga senang mendengar syair pujian untuk baginda.

(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 1)



Mengapa Kita Mesti Merayakan Keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم?

Banyak pendapat telah disuarakan dari segi hukum mengenai merayakan hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Bagaimana pun tidaklah menjadi tujuan saya yang utama untuk membahaskan soal ini, kerana apa yang sering saya fikirkan dan difikirkan oleh para cendikiawan, adalah mengenai masalah-masalah yang jauh lebih penting daripada perkara ini. Tetapi oleh kerana desakan para shahabat yang ingin mengetahui pendapat saya dalam hal ini dan kerana saya takut terdiri dalam golongan mereka yang menyembunyikan ilmu pengetahuan, maka saya menuliskan risalah ini dengan harapan agar Allah Ta’ala mengarahkan kita semua ke jalan yang benar. آمين


Sebelum saya membentangkan dalil-dalil saya mengenai mengadakan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, saya suka menjelaskan di sini beberapa perkara:-


Pertama:
Kami mengatakan harus merayakan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم dan harus berkumpul untuk mendengar sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bershalawat kepadanya, mendengar qasidah-qasidah yang memujinya, mengadakan jamuan makan, yang mana semua ini akan menimbulkan kegembiraan dan ketenangan di hati sanubari kaum muslimin.


Kedua:
Kami tidak mengatakan sunnah merayakan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم, pada malam tertentu sahaja, malah siapa yang mengi’tiqadkan sedemikian, sebenarnya dia telah membuat satu bid’ah didalam agama. Sebab mengingati dan menghayati sejarah صلى الله عليه وسلم itu adalah wajib dilakukan pada setiap waktu dan masa dengan sepenuh jiwa.


Memang benar, merayakan hari keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم pada bulan keputeraannya merupakan seruan yang lebih kuat dalam mengumpulkan lebih ramai umat Islam untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Ini akan meninggikan lagi syiar Islam, menghubungkan kisah-kisah zaman dahulu dengan zaman kini, dan mendatangkan manfaat bagi mereka yang tidak hadir daripada mereka yang hadir.


Ketiga:
Kumpulan-kumpulan seperti ini merupakan satu perantaraan dan peluang keemasan untuk berdakwah. Kesempatan ini harus tidak diabaikan, terutama sekali apabila menjadi satu kewajipan bagi para pendakwah dan para ulama untuk mengingatkan umat Islam tentang riwayat hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم, mengenalkan mereka tentang akhlaq, pergaulan, ibadah baginda serta mengajak mereka kepada kebaikan, dan menjauhkan diri mereka daripada bencana, bid’ah dan fitnah.



Dalil-dalil Yang Mengharuskan Merayakan Hari Keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم


Dalil Pertama


Bahawa merayakan hari keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم, melambangkan satu kegembiraan dan kebahagiaan terhadap junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Malah orang kafir (abu Lahab) juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.(1)


Telah disebutkan di dalam kitab al-Bukhari, bahawa Abu Lahab telah diringankan siksaannya pada tiap-tiap hari Itsnin kerana ia telah membebaskan hambanya Tsuwaibah, apabila hambanya itu membawa khabar akan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم.


Hal ini juga diterangkan dalam sebuah syair al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Nasiruddin ad-Dimasyqi:-

إِذَكَانَ هَذَا كَافؤرًا جَاءَ ذَمُّهُ * بِتَبَّتْ يَدَاهُ فِيْ الجَحِيْمِ مُخَلَّدًا
أَتَى أَنَّهُ فِيْ يَوْمٍ الإِثْنَيْنِ دَائِمًا * يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُوْرِ بِأَحْمَدَا
فَمَا الظَّمُّ بِالعَبْدِ الذَّيْ كَانَ عُمْرُهُ * بِاَحْمَدَ مَسْرُوْرًا وَمَاتَ مُوَحِّدَا

Artinya:

Jikalau sikafir ini (Abu Lahab) yang telah datang cercaan Allah kepadanya (di dalam surah al-Masad) dan celakalah kedua tangannya didalam neraka selama-lamanya

Telah datang (khabar) sesungguhnya dia pada setiap Isnin sentiasa diringankan (azab siksa) darinya kerana kegembiraan dengan kelahiran Muhammad (صلى الله عليه وسلم)


Maka tidak syak lagi, bagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembira dengan Muhammad (صلى الله عليه وسلم) dan mati dalam keadaan mengesakan Allah (sudah tentu mendapat kelebihan melebihi daripada apa yang dikurniakan kepada Abu Lahab)

Kisah ini diriwayatkan didalam Shahih al-Bukhari, bab nikah dan dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya al-Fath. Juga diriwayatkan oleh Imam Abdurrazak as-San’ani didalam kitabnya al-Musannaf (jilid 7 mukasurat 478), al-Hafiz didalam kitabnya al-Dala’il, Ibn Katsir di dalam kitabnya, al-Bidayah bab as-Sirah an-Nabawiyyah (jilid 1 mukasurat 224). Ibn ad-Daiba asy-Syaibani didalam kitabnya Hada’iq al-Anwar (jilid 1, mukasurat 134), Imam Hafiz al-Baghawi didalam kitabnya Syarah Sunnah (jilid 9 mukasurat 76), Ibn Hisyam dan as-Suhaili didalam al-Raudh al-Unuf (jilid 5 mukasurat 192), al-Amiri didalam kitabnya Bahjatul Mahaafil (jilid 1 mukasurat 41).


Imam al-Baihaqi berkata, bahawa walaupun hadits ini hadits mursal, tetapi ia boleh diterima kerana telah dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari hadits ini di dalam kitabnya. Para ulama yang telah disebutkan tadi, juga sependapat menerima hadits ini kerana perkara itu terdiri dari bab manaqib dan khosois (keistimewaan), fadhoil (kelebihan) dan bukannya perkara berkaitan hal hukum halal dan haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadits pada bab manaqib atau ahkam.


Berkenaan dengan manfaat seorang kafir daripada amal perbuatannya sendiri, banyak ulama telah membahaskannya. Tetapi tidak dapat saya terangkan sepenuhnya disini. Asalnya adalah apa yang disebutkan di dalam kitab al-Bukhari berkenaan dengan Abu Thalib mendapat keringanan siksa disebabkan doa Rasulullah صلى الله عليه وسلم.



Dalil Kedua


Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri memuliakan hari keputeraannya, dan bersyukur kepada Allah Ta’ala pada hari keputeraannya, diatas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke atas wujudnya di alam semesta ini, yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud diatas mukabumi ini.

Baginda صلى الله عليه وسلم memuliakan hari keputeraannya juga dengan berpuasa. Hal ini diterangkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيْهِ وُلِدْتُ، وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ (رواه الإمام مسلم في الصحيح في كتاب الصيام)

Artinya: Nabi صلى الله عليه وسلم pernah ditanya akan sebab baginda berpuasa pada hari Itsnin. Baginda menjawab: Pada hari itu aku diputerakan, dan pada hari itu juga wahyu turun kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim; Bab Puasa)(2)

Ini jelas menunjukkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم pernah menyambut hari keputeraannya. Cuma bentuknya sahaja berlainan, namum haqiqatnya sama, iaitu samada disambut dengan berpuasa, atau mengadakan jamuan makan atau berkumpul untuk mengingati baginda atau bershalawat ketas baginda ataupun mendengar ajaran-ajaran, pesanan-pesanan dan petunjuk dari baginda صلى الله عليه وسلم.



Dalil Ketiga


Sesungguhnya bergembira dengan Baginda صلى الله عليه وسلم dituntut melalui perintah Al-Quran dari firman Allah Ta'ala :

قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ...

Artinya: “Katakan (wahai Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira …” (Surah Yunus:58)
Maka Allah Ta'ala lah yang memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat, dan Nabi صلى الله عليه وسلم sebesar-besar rahmat. Allah Ta'ala telah berfirman :

وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Artinya: “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam”. (al-Anbiya:107)


Dan dikuatkan lagi tafsiran ini, pakar dalam pentafsiran al-Quran, hibrul ummah wa turjumaanul Quran al-Imam Ibn Abbas رضي الله عنهما. Abu Syeikh meriwayatkan dari Ibn Abbas رضي الله عنهما pada membicarakan ayat di atas beliau telah berkata: فصل الله ialah ilmu, manakala ورحمته adalah Muhammad صلى الله عليه وسلم. Allah telah berfirman: وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ “Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”(3)

Maka kegembiraan dengan baginda صلى الله عليه وسلم adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat, dan pada setiap keutamaan, tetapi dikuatkan lagi tuntutan ini pada setiap hari itsnin dan setiap kali bulan Rabi’ul Awwal. Ini adalah kerana kuatnya kesesuaiannya serta bertepatan dengan waktunya.


Dalil Keempat:


Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم selalu mengambil kira ikatan masa, dengan peristiwa-peristiwa besar dalam agama yang telah berlalu sebelumnya. Apabila datangnya masa berlakunya peristiwa tersebut ia menjadi peluang bagi mengingatinya dan membesarkan hari tersebut kerana peristiwa tersebut.

Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri telah menetapkan kaedah ini seperti mana dijelaskan dalam hadits shahih bahawa ketika baginda berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura'. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab: itulah hari Fir'aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta'ala. Maka Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ

Artinya: Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa.(4)



Dalil Kelima


Bahawa menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم membawa kita bershalawat dan mengucapkan salam kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, yang mana hal ini sangat dituntut sebagimana firman Allah Ta'ala:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً

Artinya: Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bershalawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman shalawatlah keatasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam.” (Surah al-Ahzab:56)


Apa yang berasaskan sesuatu yang dituntut oleh syara', maka ia turut dituntut oleh syara'. Malah shalawat ke atas baginda صلى الله عليه وسلم mempunyai faedah yang tidak terkira banyaknya, dimana pena ini tidak sanggup menghitung kesan-kesan nuraninya yang menyelubungi orang yang bershalawat dan salam itu.

Bahagian kedua akan segera menyusul …….. insyaAllah

__________________________________________________________

Notakaki:-

1) al-Hafiz Syamsuddin ibn al-Jazari menyebut didalam kitabnya ‘Urf al-Ta’rif bi Muulid asy-Syarif:
قد رؤى أبو لهب بعد موته في النوم، فقيل له: ما حالك؟ فقال: في النار إلا أنه يخفف عني كل ليلة اثنين وأمص من بين إصبعي ماء بقدر هذا، وأشار لرأس أصبعه، وإن ذلك بإعتاق لثويبة عند ما بشرتني برلادة النبي صلى الله عليه وسلم وبإرضاعها له.

Artinya: Bahawa seseorang (yakni Sayyiduna Abbas رضي الله عنه) bermimpi melihat Abu Lahab selepas kematiaannya. Maka dia bertanya tentang keadaannya? Abu Lahab menjawab: Aku berada di dalam neraka tetapi diringankan azabku pada setiap malam itsnin dan aku menghisap air diantara 2 jariku sekadar ini (sambil mengisyaratkan hujung jarinya). Yang demikian itu kerana aku membebaskan Tsuwaibah ketika dia mengkhabarkan kepadaku tentang berita gembira mengenai keputeraan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan kerana aku telah menyuruhnya menyusukan Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Sekiranya Abu Lahab seorang kafir yang dicela di dalam al-Quran mendapat balasan di dalam neraka kerana kegembiraannya diats keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم apatah lagi perasaan gembira yang lahir dari hati seorang muslim yang mentauhidkan Allah?


2) Asy-Syeikh Dr Isa bin Abdullah Mani' al-Himyari menyatakan di dalam Bulugh al-Ma’mul fi al-Ihtifa’ wa al-Ihtifal bi Maulid ar- Rasul, nash ini menunjukkan dengan jelas tetnag keharusan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dan pada hadits ini tiada ihtimal yang lain.

Beliau berkata melalui hadits diatas, saya tidak mendapati sebarang jawapan yang menyokong pendapat golongan anti-maulid ini. Malah sekiranya mereka berpegang bahawa sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم hanya dibolehkan dengan melakukan ibadah puasa dan tidak boleh dilakukan dengan ibadat lain lain seperti membaca shalawat, membaca sirah Nabi صلى الله عليه وسلم , bersedekah dan sebagainya, maka golongan ini termasuk didalam golongan ahli zahir, yang hanya mengikut buta zahir hadits tanpa merujuk kepada kaedah usul dan mereka mengkhususkan hadits ini tanpa ada dalil yang mengtakhsiskannya.


3) Ad-Durrul Mantsur Juz 3, Halaman 308


4) Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka.
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قدم المدينة فوحد البهود صياما يوم عاشوراء، فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما هذا اليوم الذي تصومونه؟ فقالوا: هذا يوم عظيم أنحى الله فيه موسى وقومه، وغرق فرعون وقومه، فصامه موسى شكرا، فنحن نصومه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فنحن أحق وأولى بموسى منكم، فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم، وأمر بصيامه.

Artinya: “Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Setelah sampai ke Madinah, maka baginda mendapati kaum Yahudi sedang berpuasa hari ‘Asyura. Maka baginda bertanya kepada mereka: apakah hari kamu berpuasa ini? Jawab mereka: Iannya adalah hari yang besar, dimana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya dan Allah menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya. Maka Musa berpuasa kerana bersyukur keatasnya dan kami berpuasa kerana bersyukur (diatas ni’mat tersebut). (Mendengar jawapan mereka) maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم.pun bersabda: Kami lebih berhak dan lebih utama (memperingati) Musa daripada kalian. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Pun berpuasa dan memerintahkan (shahabat-shahabat baginda) berpuasa (pada hari tersebut).”


Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Memuliakan hari Nabi Musa diselamatkan, menunjukkan bahawa menyambut maulid Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Adalah disyariatkan di dalam Islam, sebagaimana di dalam fatwanya yang dinaqalkan oleh al-Hafiz as-Sayuthi di dalam Husn al-Maqasid fi ‘Amal al-Maulid. (Sila lihat al-Hawi al-Fatawa) Beliau menyatakan, dari dalil diatas dapat diambil pengajaran bahawa:

a) Hendaklah kita bersyukur di atas kurniaan Allah yang telah menghapuskan kebathilan dan menegakkan kebenaran

b) Umat Islam dianjurkan supaya memperingati pada setiap tahun hari-hari yang dianggap penting dalam Islam.

Justeru, melahirkan rasa kesyukuran kepada allah boleh terhasil dengan pelbagai cara ibadat sepeti bershalat, bersedekah, membaca la-Quran dan sebaginya. Sesungguhnya apakah nikmat yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat kepada kita?

Sabtu, 24 Mac 2007

Sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم

Alhamdulillah, hari ini sudah 5 hari kita berada didalam bulan Rabiulawwal atau lebih dikenali dengan bulan maulid. Sudah menjadi tradisi kedatangan bulan ini disambut meriah oleh masyarakat bagi mengingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Namun sejak segolongan manusia yang telah melebelkan mereka yang menyambut maulid ini sebagai pembuat bid'ah yang sesat. Suara sumbang mereka sering kedengaran apabila tibanya bulan tertentu, umpamanya apabila tiba bulan Muharram maka mereka melebelkan bid'ah sesat kepada yang menyambut awal tahun hijrah, datang bulan rejab dan sya'ban, mereka sibuk membid'ah sesatkan orang yang menyambut Isra' Mi'raj dan malam Nisfu Sya'ban .... begitulah seterusnya. Kerja mereka tiada lain .... membid'ah sesatkan orang semata-mata. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. آمين

Insyallah, sempena bulan maulid tahun ini, saya akan uploadkan terjemahan sebuah kitab yang ditulis oleh seorang ulama tersohor berkenaan dengan persoalan maulid. Kitab yang dikarang oleh al-Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin 'Alwi bin Abbas al-Maliki al-Hasani ini bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد . Terjemahan yang bakal diuploadkan ini adalah olahan saya dari terjemahan Ustaz Sayyid Zain al-Habsyi dan Ustaz Sayyid Abdul Kadir al-Joofre dengan sedikit penambahan notakaki oleh saya. Semoga ia memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Dan Terlebih dahulu saya memohon ampun maaf sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan dalam pengolahan tersebut. Dan saya juga mengalu-alukan teguran membina dari para pembaca. Sesungguhnya saya sangat kerdil lagi dhaif dalam kerja-kerja sebegini.

Oleh kerana ianya agak panjang maka saya akan uploadkan secara berperingkat, sementelahan pula saya sekarang diserang demam denggi, maka mungkin ianya sedikit lambat. Namun saya mengharapkan doa daripada tuan-tuan sekalian semoga diberi kekuatan untuk meneruskan kerja ini. Insyaallah

Selasa, 20 Mac 2007


Bacaan al-Qur`an untuk orang mati, sampaikah pahalanya atau tidak?
Petikan dari Majalah al-Hadaf TERBITAN JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM Rejab -Syawal 1422 / Oktober- Disember 2001 Tahun 5 Bilangan 4


Bersempena dengan Sambutan Nuzul Al-Qur’an tahun 1422 Hijriah, rancangan “Bersama Mufti” yang disiarkan melalui Televisyen Brunei telah memuatkan wawancara eksklusif Awang Haji Mohidin bin Haji Mustapha dengan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, mengenai perkara yang sedang banyak diperkatakan orang iaitu tentang amalan orang hidup seperti membaca al-Qur’an, bertahlil dan lain-lain, adakah sampai manfaatnya kepada orang yang telah mati? Ikutilah wawancara ini.



Penemuramah:
Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, baru-baru ini tersebar sebuah buku terbitan luar negeri berjudul: Hukum Membaca al-Qur’an Untuk Orang Mati, Sampaikah Pahalanya Kepada Mereka? Menurut buku ini, perkara itu adalah bid’ah dan tidak ada manfaat kepada yang mati. Apakah ulasan Pehin mengenainya?


Pehin Mufti:
Buku itu sebenarnya berasal daripada bahasa Arab:

حكم القراءات للأموات هل يصل ثوابها إليهم؟

Mula-mula biarlah saya tegaskan dulu, bahawa buku ini bukan buku mu‘tabar. Hujjah-hujjahnya juga tidak muktamad. Ia masih berupa satu pendapat di antara banyak lagi pendapat-pendapat lain daripada ulama-ulama. Kita tidak usahlah terlalu gelabah dengan pendapat serupa ini.


Penemuramah:
Tetapi Pehin, buku ini juga menyebut tentang Imam Syafi’e sendiri telah menolak dengan keras pendapat yang pahala bacaan al-Qur’an itu sampai kepada si mati?


Pehin Mufti: Awalnya begitu. Tetapi dalil yang dipakai oleh Imam Syafi’e adalah juga dipakai oleh imam-imam lain untuk membenarkan pendapat: Bahawa pahala bacaan al-Qur’an itu sampai kepada si mati. Nanti akan saya sebutkan lagi perkara ini kemudian. Bercakap mengenai Imam Syafi’e Rahimahullah, kita jangan lupa bahawa beliau itu memiliki dua asas pendapat: Satu dinamakan qaul qadim (lama) dan kedua qaul jadid (baru). Ini sangat penting, jangan diabaikan. Barangkali juga pada mulanya beliau berpendapat tidak sampai, tetapi pendapat itu berubah kemudian menjadi sebaliknya. Perkara ini dapat kita kesan daripada pengakuan az-Za’farani katanya: “Saya pernah bertanya kepada Imam asy-Syafi’e mengenai bacaan al-Qur’an di kubur. Ternyata beliau itu (asy-Syafi’e) adalah membolehkannya.” Demikian juga kenyataan Imam An-Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab “Disunatkan bagi orang yang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah-mudah baginya dan mendoakan mereka setelah membaca itu. Perkara ini adalah dinashkan oleh Imam asy-Syafi’e.” Lebih lanjut beliau menambah: “Jika mereka mengkhatamkannya, itu adalah lebih afdhal lagi.” Imam Ahmad bin Hanbal juga pada mulanya menolak pendapat ini kerana menganggap tidak ada nash, tetapi menerimanya kemudian setelah mendapati terdapat dasar mengenai-nya. asy-Sya’bi pula berkata: “Jika seorang daripada kaum Ansar meninggal dunia, mereka akan pulang dan pergi semula ke kuburnya untuk membaca al-Qur’an baginya.” Jadi, semua ini berlaku, dibuat oleh umat Islam dan ulama-ulama Islam serta tersebut di dalam kitab-kitab Islam.

Penemuramah:
Berbalik kepada dalil yang digunakan oleh ulama-ulama bagi menolak yang bacaan al-Qur’an di kubur itu sampai kepada orang mati, dapatkah Pehin huraikan?


Pehin Mufti: Ya, asy-Syafi’e sendiri dikatakan berdalil dengan ayat 39 daripada surah an-Najm
وَأَن لَّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاَّ مَا سَعَىٰ
Tafsirnya : “Dan bahawasanya bagi seorang manusia itu hanyalah apa yang diusahakannya.” Tetapi ulama-ulama yang lain juga memakai ayat yang sama ini untuk membuktikan bahawa bacaan al-Qur’an itu adalah sampai pahalanya kepada orang mati, iaitu dengan beberapa alasan, di antaranya: i) Bahawa ayat ini adalah khusus bagi kaum Nabi Ibrahim dan Nabi Musa ‘Alaihimassalam, sedangkan bagi umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah diberikan kelebihan akan memperolehi apa yang diusahakan-nya dan juga yang diusahakan oleh orang lain untuknya. ii) Yang dimaksudkan dengan “الإِنسَانِ ” (Seorang manusia) dalam ayat ini ialah orang kafir. Sedangkan bagi orang mukmin akan tetap mendapat apa yang diusahakannya dan juga yang diusahakan oleh orang lain untuknya. iii) Huruf “Lam” pada perkataan “lil-insan” di dalam ayat ini berfungsi atau bererti sebagai “على” sesuai dengan qiyas atau analogi pada doa-doa, sedekah, puasa, haji dan lain-lain. Lalu menurut pendapat ini, tidaklah ada bezanya di antara pemindahan pahala haji, sedekah, wakaf dan doa dengan bacaan al-Qur’an itu. Demikian menurut al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid al-Maqdisi al-Hanbali. Al-Qurtubi telah menukil, bahawa asy-Syeikh ‘Izzuddin bin Abdussalam telah mengeluarkan fatwa bahawa pahala bacaan al-Qur’an itu tidak sampai kepada orang mati. Ketika dia telah meninggal dunia, sebahagian sahabatnya bermimpi bertemu dengannya. Mereka bertanya kepadanya: “Wahai ‘Izzuddin, Tuan telah berfatwa bahawa pahala bacaan al-Qur’an tidak sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Lalu bagaimanakah Tuan telah menyaksikan perkara itu?” ‘Izzuddin menjawab: “Saya mengatakan perkara itu ketika masih di dunia, tetapi sekarang saya sudah meninggalkannya. Saya telah menyaksikan adanya kemurahan Allah Ta’ala dalam perkara ini, yakni pahala itu memang sampai kepada orang yang telah meninggal dunia.” Terdapat hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam riwayat Abu Daud:

اقراوا يس على موتاكم

Maksudnya: “Bacalah surah Yâsîn untuk si mati kamu.”
Berkata al-Qurtubi mengenai hadis ini: “Ia adalah mencakupi bacaan ketika orang akan mati dan juga bacaan di kuburnya.” Selain sandaran daripada ayat al-Qur’an dan hadis, terdapat juga riwayat-riwayat daripada orang-orang salih mengenai hal ehwal orang-orang mati melalui mimpi-mimpi mereka yang bagus. Maksud saya dengan mimpi-mimpi yang bagus itu ialah yang boleh menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup ini.

Di antaranya pernah dinukil oleh al-Qadhi Abu Bakar bin Abdul Baqi Al-Ansari suatu riwayat daripada Salmah Bin ‘Ubaid yang menceritakan: Bahawa Hammad al-Makki pernah berkata: “Pada suatu malam, saya pernah pergi ke beberapa kuburan di Makkah. Lalu saya meletakkan kepala saya di atas suatu kubur sehingga saya tertidur. Setelah itu saya pun bermimpi melihat para penghuni kubur duduk berkeliling membuat bulatan, saya bertanya: “Apakah kiamat sudah tiba?” Mereka menjawab: “Tidak! Hanya sanya, ada seorang daripada saudara kami yang membaca surah al-Ikhlas dan memberikan pahalanya kepada kami.”


Penemuramah: Pehin telah menyebutkan beberapa contoh cerita orang-orang yang hidup bermimpikan orang-orang yang telah mati. Apakah tanggapan agama mengenai cerita-cerita seperti ini?

Pehin Mufti: Itu baru satu dua yang saya sebut. Banyak lagi jika dikutip daripada kitab-kitab. Benar, orang hidup tidak dapat lagi bertemu dengan orang yang sudah meninggal secara fizikal. Tetapi roh-roh mereka masih saja boleh bertemu antara satu sama lain melalui mimpi. Keterangan mengenai perkara ini bolehlah dilihat di dalam kitab- kitab, seperti kitab ar-Rûh karangan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, Syarh as-Shudur Bisyarhi Ahwal al-Mauta wal-Qubur karangan as-Suyuthi dan lain-lain. Ulama-ulama tidak mencuaikan mimpi-mimpi yang bagus yang berlaku di kalangan orang-orang salih. Mereka mengabadikannya di dalam tulisan-tulisan/kitab-kitab untuk dibaca oleh umat Islam sebagai pengajaran. Mereka sangat faham akan nilai mimpi itu, berdasarkan hadis:
رؤيا الأنبياء و الصالحين صحيحة – او كما قال

“Mimpi para Nabi dan orang-orang salih itu adalah betul”


Penemuramah:
Kebetulan kita sekarang berada di dalam bulan Ramadhan dan akan menjelang hari raya. Biasanya, pada masa ini akan berduyun-duyunlah umat Islam membuat kunjungan atau berziarah ke kubur-kubur sanak-saudara mereka. Apakah kelebihan menziarahi kubur itu?


Pehin Mufti: Ziarah kubur telahpun menjadi syari’at. Ia adalah sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginya ada adab atau peraturan tertentu, di antaranya ialah dengan memberi salam kepada ahli kubur oleh orang-orang yang berziarah, seperti :

السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شآء الله بكم لاحقون أنتم لنا فرط ونحن لكم تبع نسأل الله لنا ولكم العافية
“Selamat sejahtera atas kamu, wahai ahli kubur, daripada kalangan kaum mukmin dan muslim, kami Insyâ Allah akan menyusuli kamu. Kamu telahpun mendahuli kami, kami pula akan mengikut kamu. Kami mohon kepada Allah akan kesejahteraan untuk kami sendiri dan untuk kamu juga.” (Hadis Bukhari, Muslim dan lainnya).

Penemuramah: Adakah orang mati itu mendengar dan menjawab salam daripada orang yang berziarah itu?

Pehin Mufti:
Bersandarkan hadis - Ya! Salah satu ialah hadis Abu Hurairah riwayat Ibnu Abi Ad-Dunya dan al-Baihaqi, bermaksud: “Jika seseorang melintasi kubur orang yang dikenalnya, lalu dia mengucapkan salam, nescaya penghuni kubur itu akan menjawab salamnya itu dan bahkan mengetahui kehadirannya. Jika orang yang tidak dikenalinya, lalu dia mengucapkan salam, nescaya penghuni kubur itu pun juga akan menjawab salamnya itu.”


Hadis lain, daripada Aisyah radhiallahu anha, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Tidaklah seseorang itu ziarah kubur saudaranya dan duduk di sisinya, melainkan saudara yang telah meninggal itu akan menyambut dan menjawab salamnya sehingga dia berdiri.”
Bagaimanapun, kita orang hidup tidaklah dapat mendengar suara jawapan daripada mereka itu, atau mengetahui bagaimana keadaan mereka. Namun begitu, tidaklah pula mustahil bagi orang-orang yang diberikan kelebihan oleh Allah, akan ada yang mendengarnya. Seperti al-Baihaqi pernah meriwayatkan daripada Abu Abdullah al-Hafiz, yang diterimanya daripada Abu ‘Ali Hamzah bin Muhammad al-‘Alawi, dia bercerita: “Ayahku pernah mengajak aku pergi ke Madinah untuk mengunjungi kubur para syuhada pada hari Jumaat, pada waktu di antara terbit fajar dengan terbit mata-hari. Aku berjalan di belakang ayah. Ketika sampai di kubur mereka, ayahku memberi salam dengan suara lantang:
سلـم عليكم بما صبرتم فنعم عقبى الدر

Ertinya: “Selamat sejahtera atas kamu, berkat kesabaran kamu. Alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” Tiba-tiba terdengar jawapan berbunyi: “Keselamatan juga bagi kamu, wahai Abdullah.” Ayahku lalu menoleh kepadaku dan bertanya: “Apakah engkau yang menjawab tadi?” “Tidak!” jawabku. Kemudian ayahku menarik tanganku dan menempatkanku di sebelah kanannya. Dia lalu mengucapkan salam lagi kepada mereka, dan setiap salam yang diucapkannya itu dibalas, sehinggalah tiga kali diulangnya. Oleh itu, ayahku lalu sujud bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala. (Dipetik cerita ini daripada kitab Syarh as-Shudur Bisyarhi Ahwal al-Mautâ wa-al-Qubûr)


Penemuramah:
Selain daripada orang hidup mendapat manfaat berupa pahala kerana ziarahnya itu, apakah orang mati juga mendapat manfaat yang sama?


Pehin Mufti:
Sudah tentulah begitu. Bukankah “Salam” tadi mendoakan kesejahteraan ke atas ahli kubur? Bahkan ianya melebihi lagi jika diiringi pula dengan bacaan ayat al-Qur’an, zikir, doa dan sedekah untuk mayat.
Jika kita ambil perkhabaran daripada orang-orang salih, maka ahli kubur itu seakan-akan seperti kita yang hidup ini juga: berhajatkan pemedulian.

Cuba kita perhatikan nukilan ini: Menurut Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi, bahawa al-Fathu bin Mauqif bin Khalid telah menceritakan daripada Sufyan bin ‘Ainah katanya: “Ketika ayahku meninggal dunia, aku adalah benar-benar sedih, sehingga aku mendatangi kuburnya pada setiap hari. Suatu hari aku lupa mendatangi-nya. Pada malamnya aku bermimpi, yang ayahku berkata kepadaku: “Anakku, apakah yang menyebabkan engkau tidak mendatangiku?” Aku berkata: “Apakah ayah mengetahui kedatangannku?” Ayahku menjawab: “Tidak engkau mendatangiku sekali melainkan aku mengetahui. Aku sungguh senang dengan kedatangan-mu dan bahkan orang-orang di sekelilingku juga merasa berbahagia dengan doa-doa yang engkau bacakan.” Perkara ini jelas menjadi isyarat, bahawa ziarah kubur dan berdoa untuk mayat itu adalah perkara besar dan mustahak, dan kerana itulah ia menjadi sunnah. Sebarang usaha untuk meringan-ringankannya atau menyebabkannya tidak dibuat orang, adalah suatu aniaya yang terang lagi jahat.

Jika terdapat pendapat yang melarangnya atau tidak menggalak-kannya, maka tidak syak lagi pendapat itu datangnya daripada orang-orang ganjil. Berkata ulama:
من تتبع شواذ العلماء ضل

“Barang siapa mengikut /mencari-cari pemikiran ulama’ yang ganjil dia sesat”.
Kata ulama lagi:
من حمل الشاذ حمل شرا كبيرا

“Barangsiapa membawa perkara ganjil, maka dia telah membawa kejahatan besar”.

Jumaat, 16 Mac 2007




Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)


Penyakit Keempat

Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu langsung tidak ambil peduli terhadap kecuaian dan kelalaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.


Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang dituntut ke atas dirinya itu, sifat syukur yang ada di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam dirinya, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati dan menjunjung perintahNya kepada makam lalai dan cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijab daripada dapat melihat kelemahannya bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan dan dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal inilah yang ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya
bermaksud, "Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik?" (Surah Fathir : 8)


Rawatannya: Ialah
  • Sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal
  • Melazimi zikir-zikir tertentu
  • Membaca al-Quran
  • Berhati-hati dan teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan memastikan yang halal
  • Memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta
  • Memohon doa daripada aulia’ Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan dan kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini, disamping Allah akan membukakan hijab untuknya melaksanakan ketaatan kepada Allah.

Khamis, 8 Mac 2007


Ummul Mu’minin Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu ‘anha


يَانِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ
“Wahai isteri-isteri Nabi, (kedudukan) kalian bukanlah seperti wanita-wanita yang lainnya.” (al-Ahzab: 32)


النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ
“Nabi itu lebih berhak untuk dicintai kaum mukminin daripada diri mereka sendiri, sedangkan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka (kaum mukminin).” (al-Ahzab: 6)


Keutamaan Ummul Mu’minin Khadijah bin Khuwailid
radiyallahu ‘anha

Nasab Ummul Mu’minin Khadijah radiyallahu ‘anha dari jalur ayahnya.
Telah berkata Ibn Ishaq: Khadijah adalah anak perempuan kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr

Nasab Ummul Mu’minin Khadijah radiyallahu ‘anha dari jalur ibunya. Telah berkata Ibn Ishaq: Ibu Khadijah bernama Fathimah binti Za’idah bin al-Aslam bin Rawalah bin Hajar bin Abd bin Ma’ish bin Amir bin Luia bin Ghalib bin Fihr. Ibu kepada Fathimah adalah Qalabah bin Su’aid bin Saad bin Sahm bin Amr bin Hushaish bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr

Keutamaan Ummul Mu’minin Khadijah al-Kubra radiyallahu ‘anha disisi Allah dan rasulNya

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda: “Allah tidak memberi kepadaku pengganti isteri yang lebih baik dari dia (Khadijah radiyallahu ‘anha). Ia beriman di kala semua orang mengengkari kenabianku. Ia membenarkan kenabianku di kala semua orang mendustakan diriku. Ia menyantuni diriku dengan hartanya di kala semua orang tidak mahu menolongku. Melalui dia Allah menganugerahi anak kepadaku, tidak dari isteri yang lain.” (Ibn Abdil Barr di dalam al-Isti’ab)


Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :"Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengaruniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia." (Hadits riwayat: Imam Ahmad dalam "Musnad"-nya, 6/118)


Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda yang bermaksud: "Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepada Firaun." (Muhibuddin al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl. 42; al-Hakim dalam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm. 157).


Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Tholib radhiyallahu ‘anhu katanya: Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Sebaik-baik wanita adalah Mariam binti Imran dan Sebaik-baik wanita juga adalah Khadijah binti Khuwailid. (Hadits riwayat: Imam Muslim)


Hadis Abdullah bin Abu Aufa radiyallahu ‘anhu: Diriwayatkan daripada Ismail katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa: Tidakkah Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pernah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah mengenai sebuah rumah di dalam syurga. Beliau menjawab: Ya, baginda menyampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang diperbuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan. (Hadits riwayat: Imam Muslim)


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu katanya: Jibril datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam dan berkata: Wahai Rasulullah! Ini Khadijah yang membawa kepada kamu satu bekas yang terdapat di dalamnya lauk, makanan atau minuman. Apabila beliau sampai kepada kamu, sampaikan salam aku kepadanya dan salam dari tuhannya. Sampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang dibuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan. (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari dan Muslim)


Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.” (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari)


Hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha katanya: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menyampaikan berita gembira kepada Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam syurga. (Hadits riwayat: Imam Muslim)


Diriwayatkan daripada Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha katanya: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menyampaikan berita gembira kepada Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam syurga.


Diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, katanya: Kecemburuanku kepada isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam tidak sebesar kecemburaanku kepada Khadijah, meskipun aku tidak pernah melihatnya. Adalah Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam seringkali menyebut-nyebut namanya dan setiap kali menyembelih qurban Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam akan menyisihkan sebagian untuk dikirim kepada wanita-wanita yang menjadi shahabat kepada Khadijah. Terkadang aku berkata kepada baginda,: Sepertinya di dunia ini tiada lagi wanita selain Khadijah. Maka baginda bersabda: Sesungguhnya dia demikian .. demikian (banyak kelebihan Khadijah), dan darinya aku memperoleh anak-anak.”


Diriwayatkan dari Aisyah radhiyallahu anha, beliau berkata: “Rasulullah hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga beliau menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu maka aku berkata: Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka beliau marah sampai berkerut dahinya kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh ia telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengaruniakan anak padaku dan tidak dengan wanita (isteri) yang lain. Aisyah berkata: Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya selama-lamanya.”


Dan baginda shallallahu 'alaihi wa sallam berkata membela dan memuji Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu 'anha ketika ‘Aisyah radhiyallahu 'anha cemburu kepadanya:“Sesungguhnya aku diberi rezki yaitu mencintainya.” (Hadits riwayat:Imam Muslim, hadits 6228 kitab Fadha`ilus Shahabah, bab Fadha`il Khadijah Ummul Mu`minin radhiallahu 'anha)

اللهم صل و سلم و بارك عليه و آله و اصحابه

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)


Penyakit Ketiga:
Apabila ia ditimpa mudarat ia akan mengadukannya kepada kuasa yang tidak mampu merungkai mudharat tersebut. Begitu juga, dia akan meletakkan pergantungan harapannya kepada sesuatu yang tidak akan mampu memenuhi harapannya. Ia juga berhempas pulas dan menumpukan perhatian sepenuhnya mencari rezeki sedangkan rezekinya telah dijamin oleh Allah.




Rawatannya:
Ialah dengan memperbetulkan keimanan dengan menyakini sepenuhnya firman Allah s.w.t. yang ber
maksud: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia (Allah); dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya ...” (Surah Yunus:107)


Firman Allah Ta’ala lagi, m
aksudnya: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya ...” (Surah Hud:6)


Hakikat yang telah dinyatakan oleh ayat-ayat tersebut adalah sangat jelas bahawa semua makhluk Allah itu bersifat lemah. Di suatu sudut yang lain, semua makhluk memerlukan bantuan daripada pihak lain untuk menyempurnakan kehidupannya. Bagaimanakah orang yang memerlukan bantuan untuk memenuhi kehidupannya mampu untuk mengisi keperluan hidup orang lain. Oleh itu apabila seseorang itu ternyata lemah serta tidak berkemampuan nescaya dia tidak akan dapat memperbaiki orang lain. Jadi dia perlu memperbetulkan salah faham ini dan hendaklah bergantung kepada Allah secara mutlak.

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)


Penyakit Kedua: Apabila ia menangis maka hilanglah rasa dukacitanya dan ia berada di dalam keadaan senang hati.


Rawatannya:
Ialah dengan sentiasa melazimi perbuatan menangis berserta perasaan dukacita oleh kerana dosa yang ia lakukan sehingga ia tidak berhajat kepada keinginan untuk bersenang hati. Oleh itu apabila seseorang diuji oleh Allah dengan perasaan dukacita, ia tidak akan menangis dengan sebab dukacita itu, bahkan ia akan merasa senang hati dan bergembira jika tangisan itu lahir daripada rasa takut kepada Allah kerana dosa yang dilakukannya. Sesiapa yang menangis kerana dukacita maka tangisan itu akan menambahkan lagi beban dukacita yang ditanggungnya.

Jumaat, 23 Februari 2007

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis
(Tranliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh : al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan)

(2)

ارادتك التجريد مع اقامة الله اياك في الاسباب من الشهوة الخفية
Ertinya: Berkehendak engkau akan tajrid serta mendirikan(1) Allah akan dikau pada segala asbab(2) yaitu setengah daripada syahwat(3) yang tersembunyi.

(Yakni) barangsiapa didirikan Allah Ta’ala dalam asbab dan berkehendak ia akan keluar daripadanya kepada tajrid makan yang demikian itu setengah daripada syahwat yang tersembunyi. (Dan) hanya sanya adalah ia daripada syahwat kerana tiada berdiri kepada yang dikehendaki Allah Ta’ala padanya dan kehendaknya menyalahi demikan itu. (Dan) hanyasanya adalah ia tersembunyi kerana bahawasanya dzohirnya menghendaki keluar daripada nafsu dan hal yang demikian itu adalah yang dikehendaki Haq Ta’ala, tetapi daripada sekira-kira diredhoi Haq Ta’ala akan dia, tiada daripada sekira-kira yang diredhoi nafsu akan dia. Dan yang diredhoi Allah akan dia bagimu itu, berdirimu pada yang telah mendirikan Allah akan dikau daripadanya.


(Dan kata) muallif(4) dalam kitab tanwir(5), bermula yang dikehendaki Haq Ta’ala akan dia daripadamu itu bahawa engkau diam(6) kepada yang telah didirikan Allah akan dikau hingga adalah Haq Ta’ala yang memerintahkan Ia akan keluar engkau daripadanya seperti yang memerintahkan Ia akan masuk engkau kepadanya. (Dan kata) Sheikh Hijazi, bermula iradat itu tiga perkara (Pertama) iradat al-Thob’ie(7) (إرادة الطبع ) (Kedua) iradat al-Tamanni(8) (إرادة التمني ) (Ketiga) iradat al-Haq(9) ( إرادة الحق ).


(Maka) yang pertama itu iradat yang taa’luq(10) kepada bahagian nafsu dan keluar daripadanya itu wajib (Dan yang kedua) itu iradat bagi segala orang yang ahli tawajjuh yang salik mereka itu iaitu menghendaki kurnia Haq Ta’ala jua (Dan yang ketiga) itu iradat yang taa’luq kepada ikhlas dan hakikatnya itu mensucikan yang dikasihi(11) daripada najis syirik jali(12) dan syirik yang khofi(13).


(Maka) syirik yang khofi itu seperti bahawa kau jadikan iradat bagimu itu serta Allah atau kau lihat bagimu itu wujud. Maka apabila telah ikhlas engkau daripada segala penyakit(14) berpaling itu dan telah kau nafikan hukum ma’siat pada sekalian, maka jadilah engkau serta Allah tiada dengan kaun(15). Dan mendirikan Allah akan dikau didalam segala sebab dan berkehendak engkau akan tajrid maka adalah yang demikian itu daripada lagi tinggal nafsu dan tersembunyinya dan daripada syahwatnya tersembunyi yang tiada dinyatakan atasnya melainkan kepada segala orang yang ahli Inayah kerana bahawasanya syahwat itu tiada jadi ia melainkan daripada nafsu samada nafsu yang bangsa dunia atau bangsa akhirat.


__________________________________________________________________

(1) Kehendak atau kemahuan thobi’e

(2) Usaha penghidupan atau usaha mencari nafqah atau kegiatan untuk mengusahakan sara hidup. Lawan daripada ‘tajrid’

(3) Keinginan hawa nafsu

(4) Pengarang kepada kitab hikam iaitu Shaikh Ibn ‘Athoillah

(5) Kitab ini bertajuk at-Tanwiir fii Isqaathit Tadbir. Kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh al-Fadhil al-Kamill Shaikh Utsman bin Shihabuddin al-Banjari al-Funtiani. Seorang ulama’ besar dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia. Kitab tersebut selesai diterjemahkan oleh beliau pada hari Rabu 12 Sha’ban 1311H (bersamaan 1 Mac 1893M) dan diberi nama Tanwirul Qulub fi Isqati Tadbiril 'Uyub. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 15 Ramadan 1311 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Babi al-Halabi, Mesir, Sya'ban, 1343 H. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M. Cetakan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim Kedah, juga terdapat tashhihan Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari

(6) Bermaksud engkau redho menerima dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala terhadap engkau

(7) Kehendak atau kemahuan thobi’e

(8) Kehendak atau kemahuan yang menjadi idaman cita-cita ahlul tawajjuh yang menghadapkan kehendak iradatnya kepada kurniaan Allah Ta’ala jua

(9) Kehendak atau kemahuan yang suci murni dari perlakuan syirik (nyata dan tersembunyi) dalam mentauhidkan Allah Ta’ala

(10) Ta’aluq bermaksud bergantung atau berkait atau berhubung

(11) Yakni Allah Ta’ala

(12) Syirik yang nyata

(13) Syirik yang tersembunyi. Di dalam kitab Dur an-Nafis oleh Shaikh Muhmmad Nafis bin Idris bin Hussin al-Banjari mengatakan bahawa “…(dan yang menegahkan) sampai orang yang Salik kepada Allah itupun amat banyak jua. (Dan setengah daripadanya, syirik khofi) artinya syirik yang tersembunyi iaitu membangsakan segala perbuatan yang tersebut sebab daripada makhluq itu kepada makhluq jua, tiada tiada kepada Allah Ta’ala karena pada haqiqatnya segala perbuatan itu sekeliannya terbit daripada Allah Ta’ala jua ….”.Tamat petikan dari Dur an-Nafis.

(14) Maksudnya daripada penyakit syirik yang berpaling lari daripada mentauhidkan Allah Ta’ala

(15) Jamaknya adalah akwan. Maksudnya alam semesta. Adapun yang dimaksudkan disini adalah maa siwallah yakni apa atau segala sesuatu yang lain dari Allah Ta’ala.

Related Posts with Thumbnails