Adalah para salaf (Ba'alawi), mereka itu
menyambut Ramadhan dengan pelbagai ragam keta’atan dan ibadah (seperti sholat
sunat, membaca al-Qur’an, bersedekah dan lain-lain), Adapun kita sekarang, menyambut
Ramadhan dengan pelbagai jenis juadah makanan dan minuman …….. itu belum
dihitung persiapan raya yang dibuat awal-awal sebelum masuk Ramadhan lagiii …..
Jom ikuti kisah pendek yang
al-fagir petik dari kitab al-Fawaaid al-Mukhtarah li Saalik Thoriqah al-Akhirah
Makam Al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir رضي الله عنه |
Al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin
Thohir رضي الله عنه, apabila menyambut Ramadhan, beliau menghimpunkan anak-anak
beliau dan mengambil perjanjian dari mereka untuk menambah (melipatgandakan) ‘amal
dalam bulan Ramadhan (melebihi dari bulan-bulan yang lain). Maka beliau
bertanya kepada anak-anak beliau seorang demi seorang tentang amal apa yang mereka hendak tambah. Maka tatkala
menyebut setiap daripada anak-anaknya jenis-jenis ‘amal yang hendak mereka
lipatgandakan, menangislah al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir seraya
berkata: Aku menangis kerana sesungguhnya aku tiada upaya untuk menambah ‘amalan
(yakni bahwasanya sekelian waktu beliau telah beliau manfaatkan semuanya
untuk ibadah). Beliau berkata lagi: Wahai anak-anak ku, apakah ada dari
kalangan kalian yang mahu menjual kepada aku masanya?
~ Nak tahu bagaimana beliau
memanfaatkan masanya, mai baca biografi ringkas beliau dibawah ~
Kawasan Pemakaman Al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir Ba’alawi رضي الله عنه |
Biografi: Al-Habib ‘Abdullah
bin Hussin bin Thohir Ba’alawi رضي الله
عنه. Lahir di kota Tarim pada tahun
1191H. Mengambil ilmu daripada ulama-ulama besar seperti al-‘Allamah al-Habib Haamid
bin ‘Umar al-Munfir, al-‘Allamah al-Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan al-Haddad, al-‘Allamah
al-Habib ‘Umar bin Ahmad bin Hasan al-Haddad رضي الله
عنهم. Beliau juga pernah ke
Haramain untuk belajar. Antara gurunya di Haramain al-‘Allamah al-Habib ‘Aqil
bin ‘Umar bin ‘Aqil bin Yahya, as-Sayyid ‘Ali al-Baiti, Syeikh ‘Umar bin ‘Abdurrasul
‘Atthar dan al-‘Allamah al-Habib Ahmad bin ‘alwi Jamalullail رضي
الله عنهم. Syeikh Futuh beliau
al-Imam al-Kabir al-‘Allamah ‘Umar bin Saqqaf bin Muhammad as-Saqqaf رضي
الله عنه.
Beliau menghasilkan
beberapa karya, antaranya: Diwan al-Habib ‘Abdullah bin Hussin bin Thohir
(kumpulan syair), al-Washiah an-Nafi’ah fi Kalimat Jami’ah, Dhikru
al-Mu’minin bima Ba’atsa bihi Sayyidil Mursalin, Sullam at-Taufiq (kitab
fiqih), Miftahul I’rab dan Majmu’. Beliau adalah seorang yang sangat
memberi perhatian kepada ilmu, ‘amal dan ittiba` kepada datuknya, al-Musthofa صلى
الله عليه وآله وسلم.
Seorang yang sangat rajin dan bersungguh-sungguh dalam ber’amal.
Waktunya depenuhi dengan ilmu, ‘amal dan mengajar. Wirid hariannya adalah 25,
000x Laailaha illaLlah, 25,000x Ya Allah, 25,000x sholawat dan lain-lain amal
seperti membaca al-Qur’an. Antara murid beliau adalah al-Habib ‘Ali bin
Muhammad bin Hussin al-Habsyi رضي الله عنه, pengarang Maulid
Simtud Durar. Beliau wafat pada usia 81 tahun, yakni pada tahun 1272H dan
di makamkan di Masiilah, Hadramaut.
Sekian dari
abu zahrah al-qadahi
selasa, 30 Sya’ban 1433, selepas ‘asar ~
taman seri gombak ~
0 komen:
Catat Ulasan