Isnin, 9 April 2012

Pembelaan Ke Atas Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى


Fitnah, tohmahan, cacian dan sebagainya ke atas Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى sudah sedia maklum. Kemana sahaja beliau pergi maka akan adalah segolongan manusia yang akan menyebarkan tohmahan, cacian, fitnah dan sebagainya ke atas beliau. Maka begitu jugalah di bumi Malaysia yang tercinta ini, apabila khabar mengenai Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى akan datang, maka dengan aktifnya golongan yang membenci beliau menyebarkan tohmahan, cacian, cercaan, fitnah dan sebagainya ke atas beliau diblog-blog, FB dan lain-lain. 

Sebenarnya segala tohmahan itu telah pun dijawab dan ditangkis oleh para ulama demi untuk membersihkan nama Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى. Bahkan ada kitab yang ditulis, antaranya seperti foto di bawah. Maka kalau nak tahu bacalah kitab tersebut atau bertanyalah kepada orang yang dah baca kitab tersebut.


Maka, tatkala  ada  yang bertanya dan meminta pendapat dari dari al-fagir mengenai tohmahan, fitnah, cacian dan cercaan  yang melampau ke atas Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى, maka cukuplah al-fagir bawakan syair di bawah sebagai jawabannya.
وإذا أراد الله نشر فضيلة – طويت أتاح لها لسان حسود
لولا اشتعال النار فيما جاورت – ما كان يعرف طيب عرف العود
Dan apabila Allah hendak menyebarkan keutamaan seseorang yang masih terbungkus (tersembunyi) – disediakan baginya lidah orang yang dengki
Jika sekiranya tidak ada nyalanya api yang mendekati – nescaya tidaklah akan diketahui betapa harumnya  kayu ‘ud (gaharu)
ما ضر شمس الضحى في الأفق طالعة – أن لا يرى ضوءها من ليس ذا بصر
Tiada mudharat matahari di pagi hari bersinar  di ufuk langit – oleh kerana cahayanya tiada dilihat orang yang buta
قبيح الكلام سلاح اللِّئَام
Perkataan yang buruk adalah senjata bagi orang yang suka mengutuk (mencerca)
Perbuatan puak yang menyebarkan tohmahan, fitnah dan sebaginya  itu, bagaikan kambing menanduk bukit, tanduk patah bukit tak runtuh atau bagaikan anjing menyalak bukit, bukit tak runtuh ….
Sebelum mengakhiri tulisan ini, ingin al-fagir berpesan agar janganlah kita bersangka buruk kepada orang-orang yang sholeh terutamanya dari kalangan ahlulbait, apatah lagi mencerca, memfitnah mereka. Mereka itu adalah orang-orang yang sangat mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga mencintai mereka. 
Dan sebelum menutup bicara ingin al-fagir berkongsi sebuah kisah yang diberitahu oleh Syeikh Ibrahim ‘Utwah ‘Awadh, seorang ulama al-Azhar. Syeikh Ibrahim ‘Utwah mengatakan kisah ini diberitahukan kepadanya oleh teman beliau, seorang yang sholeh bernama Dr Ibrahim Hasan, Pengarah Hospital Universiti ‘Ain Sham, Mesir. Dr Ibrahim Hasan memberitahu Syeikh Ibrahim ‘Utwah: Seorang temanku yang bertaqwa lagi wara’ yang tinggal di kota Madiah al-Munawwarah, memberitahu aku: Suatu yang pelik berlaku ke atasku. Sesungguhnya setiap malam aku bermimpi melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Namun tiba-tiba aku tidak lagi bermimpi melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Hal itu membuat aku sedih dan kesedihan yang amat sangat. Maka, setelah itu aku, satu malam aku bermimpi bertemu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , lalu aku bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , apakah yang menghijab aku daripada melihat kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .bersabda kepadaku: Bagaimana engkau dapat melihat aku sedangkan engkau menyimpan sebuah kitab yang pengarangnya mencerca ke atas kekasihku (yakni Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, maksudnya Syeikh Yusuf bin Isamil ini sangat dikasihi oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Dan memang Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani ini adalah seorang muhibbin). Maka pada pagi esoknya, aku bakar kitab yang dimaksudkan dan setelah itu aku kembali mendapat kemuliaan melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. sebagaimana sebelumnya. Kitab yang dimaksudkan itu berjudul Nailul Amani fi ar-Radd ‘ala an-Nabhani. Kisah yang diceritakan oleh Syeikh Ibrahim ‘Utwah ‘Awadh ini ada dimuatkan dalam pengenalan kepada kitab Jaami` Kaamaat al-Auliyaa` karya Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani.
Semoga kisah ini menjadi iktibar kepada kita semua. Cukuplah sekadar ini. Fahamilah, sekiranya kalian mempunyai aqal dan matahati. Jangan hiraukan ‘mereka’, jom kita hadiri program bersama Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى. Insyaallah malam ini mawlid di Yayasan Sofa, Rembau dan esoknya di Masjid Taman TAR.

sekian dari,
~ al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
dhuha, selasa, 17 jamadilawwal 1433
di taman seri gombak ~

0 komen:

Related Posts with Thumbnails