Foto: Kredit kepada Majlis Ta'lim Darul Murtadza (FB) |
Alhamdulillah, Selasa, 18
Jamadilawwal 1433H/10 April 2012, Allah Ta’ala yang mengurniakan satu nikmat
kepada al-fagir untuk hadir majlis haul ke -2 Baqiyatus Salaf wa Sayyidul
Khalaf al-Quthub al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman
as-Seggaf رضي الله عنه di kediaman al-Habib ‘Ali as-Seggaf حفظه
الله di Kota Damansara.
Majlis yang penuh barokah ini dihadiri oleh Guru Mulia ad-Da’ie ilaLlah
al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه
الله di mana beliau
merupakan murid kepada shohibul haul. Di dalam majlis haul ini Guru Mulia
ad-Da’ie ilaLlah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه
الله menceritakan mengenai
akhlak guru beliau al-Quthub al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin
'Abdurrahman as-Seggaf رضي الله عنه, dari pengalaman beliau ketika bersuhbah dengan guru beliau ini
(insyaAllah akan dikongsikan kemudian).
Namun bukan ceramah Guru Mulia ad-Da’ie ilaLlah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman
al-Jifri حفظه الله yang ingin al-fagir kongsikan, namun yang ingin dikongsikan
adalah risalah yang diberikan kepada para tetamu iaitu tulisan al-Quthub
al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Seggaf رضي
الله تعالى عنه mengenai
Thoriqah ‘Alawiyyah. Al-Fagir mendapat izin dari shohibulbait al-Habib Ali
as-Seggaf حفظه الله untuk dipaparkan di blog al-fagir. Alhamdulillah.
Foto: Kredit kepada Rizuan Ablah (FB) |
Thoriqah
al-‘Alawiyyin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Segala
puji bagi Allah yang membukakan hati-hati yang terkunci dengan anak kunci
taufiqNya. Sholawat dan salam ke atas RasulNya dan NabiNya yang tercinta serta
keluarga, shahabat dan sekelian mereka yang menurut jalannya yang disukainya.
Wa
ba’du,
Pada
suatu ketika saya telah dikunjungi oleh anaku yang tercinta, yang berbahagia, insyaAllah,
dengan mendapat apa yang yang dikehendakinya iaitu Mohsen bin Ahmad bin
Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdurrahman as-Seggaf (as-Saqqaf). Beliau bertanyakan
tentang thoriqah datuk neneknya keturunan ‘Alawiyyin [1], samada berlawan atau
tidak dengan thoriqah orang-orang para sholehin dari lain golongan (yakni
thoriqah selain dari thoriqah ‘alawiyyin – abu zahrah), kerana beliau ini
pernah juga agaknya hadir bersama-sama ahli thoriqah dan bermesra-mesra dengan
merea itu lalu dapat juga beliau mengecap sebahagian ketenangan apabila berada
disamping mereka. Maka saya tegaskan kepadanya para ‘ulama pernah berkata: Sesungguhnya
jalan-jalan menuju kepada Allah, banyaknya sebilangan nafas-nafas makhluk
dan semuanya menyampaikannya kepada Allah dan mendekatkan hamba itu kepada
Allah, tetapi datuk-nenek kita dari keturunan ‘alawiyyin dahulu sangat menitik
beratkan pendidikan terhadap anak-anak mereka dengan cara atau thoriqah mereka.
thoriqah mereka ialah berpegang kepada Kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Mula-mula
sekali ditunjukkan dan diajarkan kepada mereka akhlak dan adab, AYAH dan DATUK
mereka iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kemudian diajak
mereka menurutnya seperti sifat-sifat kesabaran, penyantun, menerima segala
gangguan dengan tabah, menahan perasaan marah serta berlemah lembut, dan
mengambil kemudahan yang dibenarkan dalam perkara-perkara dan urusan-urusan
mereka dan tidak terlalu memandang kepada keindahan hidup di dunia, jauh dari
sifat memutuskan silaturrahim (ikatan kekeluargaan), suka membantu, menziarahi
dan menolong mereka dengan sesuatu yang termampu olehnya, menjalankan
tanggungjawab terhadap kedua ibubapa serta menta’ati mereka dengan cara
sesempurnanya walaupun ia terpaksa menempuh kepayahan untuk menjalankannya,
menghubungkan silaturahim, menziarahi mereka, bertanyakan urusan dan hal mereka,
memelihara hak-hak jiran dan menunaikan kewajipan mereka, menghadiri majlis
suka dan duka mereka dan jenazah-jenazah mereka, menjaga hak jalanan, tidak
melihat kepada wanita-wanita yang bukan mahram, tidak memerhati ke rumah-rumah
mereka, memberi salam kepada sesiapa yang ditemui samada kenal atau tidak
kenal, mendoakan kaum muslimin, meminta ampun untuk mereka serta menjalankan
kewajipan mereka dengan memisahkan hak-hak mereka dan tidak pula meminta hak
diri sendiri dari mereka, menjalankan kewajipan terhadap isteri dengan
memberikan hak-haknya disamping memelihara dan memberi didikan terhadap
akhlak-akhlak dan pergaulannya dengan keluarga mereka dan keluarganya,
mengambil berat dengan perkara pendidikan anak lelaki dan perempuan, mengambil
berat dalam soal sholah, akhlak serta pergaulan mereka dengan orang-orang yang
baik.
Suatu daripada thoriqah al-‘alawiyyin ialah mereka selalu di dalam (keadaan) berwudhu, apabila mereka berhadas (batal wudhu) mereka terus berwudhu lagi – begitulah kebiasaannya. Mereka tidak sholah fardhu melainkan dengan berjemaah dan di masjid pula, melainkan jika ada kepayahan (kesulitan), dan mereka memelihara sholah sunat rawatib (muakkad) iaitu 2 raka’at sebelum shubuh, 2 raka’at sebelum dan sesudah dzuhur, 2 raka’at selepas maghrib dan 2 raka’at selepas ‘isya`. Mereka juga sholah witir selepas ‘isya atau diakhir malam bagi mereka yang sanggup bangun sebelum shubuh sekurang-kurangya 3 raka’at, dan mereka sholah dhuha setelah matahari naik, sekurang-kurangnya 2 raka’at dan yang sempurnanya 8 raka’at. Mereka juga tidak meninggalkan bacaan al-Qur’an sebagai wirid satu juzuk atau lebih atau kurang daripadanya. Bagi orang yang tidak tahu membaca al-Qur’an, dia ulang sahaja dari surah adh-Dhuha apa yang dia tahu. Mereka juga tidak tidur melainkan dalam keadaan bersuci (yakni suci dari hadats kecil dan besar). Mereka membaca Ratib al-Haddad atau Ratib al-Atthas sebelum tidur, dan siapa yang tahu wirid Imam al-Haddad yang ringkas dibacanya setiap hari waktu pagi. Mereka juga senantiasa memelihara dhikir yang warid dari Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, mereka bawa (baca) selepas sholah shubuh:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ
لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ
شَيْءٍ قَدِيرٌ – ١٠٠x
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحاَنَ اللهِ
الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ
– ١٠٠x
لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ – ٩٩ x - لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ
مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ
اللهِ الصَّادِقُ الأَمِيْن– ١x
سَلَامٌ قَوْلاً مِن
رَّبٍّ رَّحِيمٍ – ١٠٠x
لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ
الحَيُّ القَيُّوْمُ – ١٠٠x
يَا لَطِيْفُ – ١٢٩x
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ
صَحْبِهِ وَ سَلَّمَ – ١٠٠x\١٠x
Dan
daripada adat kebiasaan mereka ialah mereka tidak suka mengata orang, mengumpat
seseorang atau mengadu-ngadu orang dan tidak membiasakan diri mereka bersumpah
secara sia-sia atau bercakap sesuatu yang tidak perlu atau berborak-borak
(bersembang-sembang kosong). Mereka tidak masuk bercampur orangramai melainkan
untuk memperbaiki, mengajar atau mengembirakan mereka jika ada
manasabah-manasabah yang memerlukan mereka hadir. Suatu dariupada thoriqah
mereka tidak suka menceburkan diri (terlibat) dalam perkara syubhah dan
kezaliman.
Mereka berhati-hati dalam pergaulan dengan orang-orang yang penipu dan pembelit. Mereka tidak suka menyentuh kehormatan orang atau memakan harta orang melainkan dengan jalan yang hak (benar). Mereka takut kepada Allah serta menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan nama baik mereka atau mencemarkan akhlak atau kira bicara mereka.
Mereka selalu berusaha mencari keredhaan Allah Ta’ala, membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Kalau sampai kependengaran mereka cakap-cakap orang yang menyinggung mereka (dengan kata-kata) yang tidak sepatutnya dicakapkan, mereka cepat (segera) memaafkan, tetapi kalau diceroboh itu larangan Allah Ta’ala, mereka marah dan terus mengingatkan tentang perkara yang haram itu. Mereka mencegah kezaliman orang-orang yang zalim dengan memberi peringatan kepadanya, kalau mereka tidak dapat melakukannya mereka bawa perkara (tersebut) kepada pihak yang berkuasa menyelenggarakan hal orang-orang Islam supaya mencegahi dari kezaliman itu.
Masa mereka sentiasa penuh, sama ada dengan pelajaran atau muzakarah dengan teman-teman atau mengajar atau memimpin atau mengaji al-Qur’an atau sholah. Kalau mereka duduk-duduk bersama keluarga dan anak-anak, adakalanya mereka bermesra-mesra, bergurau-senda untuk memesrakan mereka itu, dan adakalanya mereka mengajar dengan lemah-lembut. Sesiapa yang membuat baik terhadap mereka, mereka beri balasan kepadanya, kalau mereka tidak membalasnya (dengan sesuatu) mereka gembirakan hati orang yang memberi itu dengan mendoakannya.
Mereka
berpendapat, merekalah yang sepatutnya mengambil berat urusan Agama Islam ini,
mendirikannya dan menjalankan dakwah untuk menyebarkannya, kerana nisbah
keturunan mereka kepada yang membawa syari’at ini iaitu Nabi Muhammad صلى
الله عليه وآله وسلم, mereka menyedari bahawa mereka lebih bertanggungjawab terhadap
agama ini dari orang lain dan mereka lebih wajib ber’amal dengannya daripada
orang lain kerana mereka keluarganya Nabi Muhammad صلى
الله عليه وآله وسلم.
Peringatan
dan wasiat ini saya tulis untuk saudara dan anak-anak Mohsen bin Ahmad dan
untuk sekelian anak-anak saya dan orang-orang yang berdamping dengan saya juga
untuk sekelian saudara-mara dan teman-teman saya yang mendapat taufiq daripada
Allah Ta’ala, pemberian serta kebahagian daripadaNya dan saya telah
mengijazahkan mereka semua apa yang terkandung di dalamnya daripada wirid-wirid
dan dhikir-dhikir dan saya bermohon taufiq daripada Allah bagi saya dan mereka
serta keikhlasan dan penqabulan.
Ditulis
oleh al-Habib ‘Abdul Gadir bin Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali as-Seggaf pada 7
Ramadhan 1395 bersamaan 31 September 1975
Diterjemah
oleh al-Fadhil Ustaz Syed ‘Abdillah al-Jufri حفظه
الله
Ditaip
semula untuk paparan di blog al-fanshuri pada hari khamis 20 Jamadilawwal 1433H
bersamaan 12 aprik 2012 setelah mendapat keizinan daripada al-Habib ‘Ali
as-Seggaf حفظه الله , Kota Damansara
untuk dipaparkan di blog al-fanshuri.
Notakaki:
[1] - Secara umumnya kata ‘Alawi digunakan
untuk keturunan Sayyiduna ‘Ali كرم
الله وجهه . Tersebut dalam Lisanul ‘Arab oleh Ibn Manzur:
وَإِذَا نُسِبَ الرَّجُلُ إِلَى عَلِيِّ بْنِ
أَبِيْ طَالِبٍ رضي الله تعالى عنه قَالُوا عَلَوِيْ
Ertinya: Dan apabila
seseorang nasabnya bersambung kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib رضي
الله عنه, maka masyarakat
menyebutnya sebagai ‘Alawi. (Lisanul
‘Arab, jilid 7, halaman 94, cetakan Dar Shadr, Beirut)
Kata
ini, iaitu ‘Alawi atau ‘Alawiyyin kemudiannya secara khusus
digunakan untuk menyebut anak-cucu Rasulullah صلى الله
عليه وآله وسلم yang berasal dari keturunan Sayyid ‘Alawi bin ‘Ubaidillah bin
Ahmad (al-Muhajir) bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidhi bin Ja’far
as-Shodiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal ‘Abidin bin Hussain al-Sibth
putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahraa’
binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. (lihat
Syams az-Zahirah oleh ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Hussin al-Masyhur,
juz 1, halaman 64, cetakan 1, 1984,
‘Alamul Ma’rifah, Jeddah). Maka kini, sekiranya disebutkan Aal
Ba’Alawi atau Aal Abi ‘Alawi atau ‘Alawiyyin, maka ia merujuk kepada keturunan Sayyid ‘Alwi bin ‘Ubaidillah bin Ahmad
(al-Muhajir) bin ‘Isa رضي الله عنهم. Keturunan beliau tersebar diseluruh pelusuk dunia. – abu zahrah -
0 komen:
Catat Ulasan