Setelah mengirim
satu entri berjudul Mengubat Hati …., satu email menerjah masuk ke dalam kotak
email al-fagir, antara katanya ubati dengan membaca al-Quran dan zikir
bukannya dengan membaca cerita wali-wali ….. demikianlah secara ringkasnya.
Alhamdulillah, terimakasih diatas teguran dan ingatan.
Benar dan tepat
sekali, membaca al-Qur’an dan berdhikruLlah adalah merupakan ubat hati. Dan
ianya bukan terhad pada keduanya sahaja. Syeikh Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad Ismail Al-Khawwash (wafat 291H)
berkata: “Ubat hati ada lima perkara: Membaca Al Quran dengan tadabbur (merenungkan
isi dan maknanya), mengosongkan perut (yakni dengan berpuasa atau mengurangkan
makan), bangun malam beribadat, tadharru’ di waktu sahur, dan berkumpul dengan
orang-orang sholeh”
Selain itu
tersebut di dalam kitab Risalah al-Mustarsyidin karya al-Muhasibi yang
ditahqiq dan diberi komentar oleh Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddad. Di dalam
kata pendahuluan Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddad di dalam cetakan ketiga,
beliau ada menyentuh mengenai membaca riwayat orang sholeh juga boleh mengubat
hati.
Al-faqir bawakan
sedikit disini. Untuk lebih lanjut sila rujuk kitab berkenaan Antara yang
beliau sebut adalah: Imam Junaid al-Baghdadi رضي الله عنه pula
berkata: Hikayat (kisah orang-orang sholeh) itu adalah merupakan tentera dari
tentera-tentera Allah Ta’ala dimana Allah menetapkan hati para auliyaNya dengan
kisah-kisah tersebut. Maka ditanyai oleh orang kepada Imam Junaid: Apakah
engkau mempunyai asas menyokong katamu itu? Maka beliau menjawab: Dalil atau
penyokong bagi kenyataannya itu adalah firman Allah:
وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ
أَنۢبَآءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِۦ فُؤَادَكَ
Dan tiap-tiap berita
dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk
menguatkan hatimu dengannya. (Surah Hud:120).
Al-Imam Abu
Hanifah رضي
الله عنه berkata:
Hikayat-hikayat mengenai para ulama dan kebaikan mereka, lebih aku sukai
daripada banyaknya ilmu fekah, kerana hikayat-hikayat ini memuatkan adab-adab
dan akhlak mereka. Dan dalil yang menyokongnya adalah firman Allah:
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَى
ٱللَّهُ ۖ فَبِهُدَىٰهُمُ ٱقْتَدِهْ
Ertinya:Mereka
(Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka
turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka (al-An’am: 90)
لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ
عِبْرَةٌ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
Ertinya: Demi
sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan
iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Yusuf: 111)
Muhammad bin Yunus
berkata: Tiada melihat aku akan seuatu yang terlebih manfaat bagi hati daripada
mengingati riwayat hidup orang-orang soleh.
Sufyan bin Uyainah رضي الله عنه mengatakan bahawa ketika menyebut orang-orang sholeh akan bercucuran rahmat.
Duduk
bersama orang-orang sholeh atau mendengar percakapan (nasihat) mereka atau
mendengar hadits dari mereka atau membaca manaqib dan keutamaan mereka adalah
daripada perkara yang membuat hati tenang dengannya, dada menjadi lapang dan
membaikkan akhlaq dan ‘amalan.
Berkata
al-Hafidz al-Qurasyi رحمه
الله تعالى pada pembukaan kitab beliau
al-Jawahir al-Mudhiyyah, beliau berkata: Segolongan daripada salaf dalam
mentafsirkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Ketahuilah
dengan dhikrullah itu, tenang tenteramlah hati-hati manusia”. Ianya adalah menyebut para shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang telah hasil bagi mereka kemuliaan
seperti ini, kerana: mereka pernah melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , ilmu yang mereka raih dan mereka telah
mengikuti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan sebaik-baiknya. Para tabi’in juga
memiliki kemuliaan yang sedemikian, maka
dengan menyebut mereka tenteramlah dengannya hati-hati. Dan demikian juga
orang-orang yang sesudah mereka yang mengikuti mereka sebaik-baiknya sehingga
hari kiamat. (tamat petikan tulisan Syeikh ‘Abdul
Fattah Abu Ghuddah)
Di dalam kitab Jala adh-Dholaam ‘ala ‘Aqidatil Awwam
pula disebutkan: Ketahuilah! Sayogia bagi setiap muslim yang menuntut
kelebihan dan kebaikan (dari Allah Ta’ala) bahwa dia mencari barakah, nafahat,
makbulnya doa dan turunnya curahan rahmat pada auliya’ di dalam majlis
perhimpunan mereka, samada ketika mereka masih hidup atau telah meninggal
dunia, ketika berada disisi kubur mereka atau ketika berziarah atau ketika
menyebut keutamaan mereka dan membaca manaqib mereka.
Dan di dalam di
dalam kitab Ainul Adab was Siyasah, halaman 158, disebutkan: Sayyiduna
Umar bin al-Khattab رضي الله عنه berkata: “Hendaklah kalian mendengar cerita-cerita tentang
orang-orang yang memiliki keutamaan, kerana hal itu termasuk dari kemuliaan dan
padanya terdapat kedudukan dan kenikmatan bagi jiwa”.
Di dalam kitab
tersebut juga, menyebut: Ali bin ‘Abdurrahman bin Hudzail berkata:
“Ketahuilah, bahawa membaca kisah-kisah dan sejarah-sejarah tentang orang yang
memiliki keutamaan akan memberikan kerehatan (kesenangan) dalam jiwa seseorang.
Kisah-kisah tersebut akan melegakan hati serta mengisi kehampaan. Membentuk
watak yang penuh semangat dilandasi kebaikan, serta menghilangkan rasa malas”.
Kata al-Habib ‘Ali
bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi رضي الله عنه (pengarang kitab Maulid Simtud Durar): Jika riwayat
hidup kaum ‘arifin dibacakan kepada orang yang beriman, maka keimanannya kepada
Allah akan semakin kukuh. Sebab, kehidupan mereka merupakan cermin daripada
Kitabullah yang didalamnya terkandung ilmu orang-orang terdahulu dan yang
datang kemudian atau gambaran dari hadits-hadits Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم atau dari pengetahuan yang dia
terima langsung dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tanpa perantara.
Al-'Arifbillah al-Quthb al-Habib
Ahmad bin Hasan al-Atthas رضي
الله عنه sewaktu beliau berada di kota Tarim
pada suatu majlis yang dihadiri oleh banyak orang dari golongan Saadah Bani
Alawi dan lainnya. Setelah selesai pembacaan kitab dan qasidah daripada kalam
salaf (para leluhur ahlulbait terdahulu), beliau رضي الله عنه berkata:
Apabila seseorang merasakan hatinya susah atau anggota badannya terasa malas
untuk melakukan amal kebajikan, maka lihatlah atau bacalah kalam (ucapan) para
salaf, agar hilang perasaan susah dan rasa malas yang ada pada dirinya. Janganlah
seseorang memaksakan diri untuk melakukan hal-hal yang tidak mampu untuk
dilakukan. Bertakwalah kepada Allah semampumu. Bersyukurlah kepada Allah jika
engkau diberi taufiq untuk dapat melakukan amal-amal shaleh.
Bukanlah tujuan
entri ini untuk mengatakan bahwa al-fagir benar, tapi sekadar berkongsi apa
yang al-fagir tahu dan telah merasainya. Mungkin penawar ini serasi dengan
al-fagir sahaja tidak dengan orang lain kerna lain orang lain citarasanya. Dan
dalam masa yang sama tidak pula menafikan penawar-penawar lainnya …. Wallahu a’lam.
Mohon maaf diatas segala kekurangan.
Sekian, dari
al-fagir ilaLlah abu zahrah
‘asar, taman seri gombak
21 dhulhijjah 1432/17 november 2011
Jom dengar lagu Tombo Ati yang dialunkan oleh Opick. Lirik lagu ini digubah oleh Sunan Bonang dan ada yang kata Sunan Kalijago iaitu salah seorang wali songo.
0 komen:
Catat Ulasan