Seorang
pemceramah menyebut bahwa sebuah qasidah yang masyhur di kalangan masyarakat
adalah merupakan suatu yang khurafat, sesat dan sebagainya. Pengunjung boleh
mendengar kritikan penceramah berkenaan disini.
Bagi
menjawab kritikan tersebut, al-Fagir bawakan tulisan al-Fadhil Ustaz Raja
Mukhlis bin Raja Jamaludin yang beliau tulis di FB beliau.
Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga
Ada
satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:
إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على
نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر
الذنب العظيم
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.
Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah
segala dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.
Ada
juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan
ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut.
Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk
syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat
membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur
kesenian dalam berbahasa.
Bagi
setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada
Allah سبحانه
وتعالى, pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik
ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan
tersebut kepada Allah سبحانه
وتعالى.
Budaya
rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi
dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat
r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak
tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa
mereka adalah ahli syurga.
Imam
Abu Nu’aim meriwayatkan:
لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا
القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب
Maksudnya:
Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar رضي الله عنه,
maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu
Saidina Abu Bakar رضي
الله عنه berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.”
Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.
Tidak
mungkin Saidina Abu Bakar رضي الله عنه mempunyai hati yang
kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah,
nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan
tawadhuk.
Lihatlah
perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم
selepas Baginda صلى
الله عليه وآله وسلم dan Saidina Abu Bakar رضي الله عنه. Beliau ialah
Saidina Umar رضي
الله عنه. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh
Rasulullah صلى
الله عليه وآله وسلم sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم pernah
menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم,
sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar رضي الله عنه.
Pun
begitu, apa kata Saidina Umar رضي الله عنه tentang syurga dan
neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم?
Beliau berkata:
لو
نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ،
لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا
لرجوت أن أكون هو .
Maksudnya:
“Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia.
Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan
masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk
syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan
masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti
aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk syurga tersebut).”
[Ibid]
Lihat
betapa tingginya adab Saidina Umar رضي الله عنه. Dengan banyak
kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada
zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau,
jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu
adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk
syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah
masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat رضي الله عنهم terutamanya mereka
yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap
neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.
Tidak
cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman رضي الله عنه
di hadapan Allah سبحانه
وتعالى terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga
merupakan salah seorang daripada para sahabat رضي الله عنهم. yang dijamin
sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang
agung.
Saidina
Uthman رضي
الله عنه pernah berkata:
لو
أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن
أعلم إلى أيتهما أصير
Maksudnya:
“Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak
tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih
untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’ dalam
manaqib Saidina Uthman رضي
الله عنه]
Ini
adalah Saidina Uthman رضي
الله عنه, sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan
sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia
adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah سبحانه وتعالى,
yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan
dengan Allah سبحانه
وتعالى.
Para
sahabat رضي
الله عنهم yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah سبحانه وتعالى,
bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka
diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka,
namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah سبحانه وتعالى
dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini
kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah سبحانه وتعالى
berbanding syurga dan neraka itu sendiri.
Kita
lihat, bagaimana Saidina Ali رضي الله عنه sendiri menyebut tentang
keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat رضي الله عنهم yang lain) adalah
dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah سبحانه وتعالى berbanding syurga
itu sendiri. Beliau menyebut:
ما
يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل
Maksudnya:
“Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga
sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah سبحانه وتعالى.” [Hilyah Al-Auliya’]
Ini
menunjukkan betapa jiwa para sahabat رضي الله عنهم tidak tertakluk
baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan
Allah سبحانه
وتعالى lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga
kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan
di hadapan-Nya.
Jadi,
dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini
secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan
mengutamakan Allah سبحانه
وتعالى berbanding selain Allah سبحانه وتعالى, kedua-duanya
adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan
oleh para sahabat رضي
الله عنهم. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat
hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan
sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini,
walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang
sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh
segelintir manusia.
Kita
lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى
dan Rasulullah صلى
الله عليه وآله وسلم, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal رضي الله عنه yang hampir sama
makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz رضي الله عنه
ketika tahajjud adalah:
اللهم
طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف
Maksudnya:
“Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan
lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah
Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal رضي الله عنه]
Saidina
Abu Musa Al-Asy’ari رضي
الله عنه menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di
hadapan Allah سبحانه
وتعالى terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para
penderhaka. Beliau menyebut:
يا
أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ،
ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت
Maksudnya:
“Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka
berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan
air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan
menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan
mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.” [Hilyah Al-Auliya’]
Seseorang
minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat
seseorang beribadah adalah kerana Allah سبحانه وتعالى. Minta syurga
adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan
berhubungan dengan Allah سبحانه وتعالى dalam hubungan
kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada
Allah سبحانه
وتعالى tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka,
iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى, atau melakukan
sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah سبحانه وتعالى, maka sudah
tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana
takutkan neraka atau inginkan syurga.
Wallahu
a’lam.
Pesan Ustaz Adnan Che Abu di FB beliau: “Petikan dari Kitab
Tafridul-Kathir mukasurat 3:
إذا سمعت كلمات من أهل التصوف
والكمال ظاهرها ليس موافقا لشريعة الهدى من الضلال توفق فيها واسأل من الله العليم
أن يعلمك مالم تعلم ولا تمل إلى الإنكار الموجب للنكال, لأن بعض كلماتهم مرموزة
لاتفهم, وهي فى الحقيقة مطابقة لبطن من بطون القرأن
الكريم وحديث النبي الرحيم. فهذا الطريق هوالأسلم القويم, والصراط المستقيم.
Mafhumnya: “Apabila engkau mendengar beberapa kalimah-perkataan dari
ahli Tasawwuf dan kesempurnaan zahirnya tidak sesuai bagi syariatnya Nabi yang
menyatakan petunjuk dari segala kesesatan maka bertawaquflah (berdiamlah)
engkau padanya dan bermohonlah (berserahlah) kepada Allah Yang Maha Mengetahui
agar engkau di beri akan ilmu yang belum engkau mengetahuinya. Janganlah engkau
cenderung mengingkarinya yang mengakibatkan kepada natijah yang buruk. Kerana
sebahagian daripada kalimah-perkataan mereka itu adalah isyarat yang tidak
mudah difahami. Padahal hakikat-isinya itu sesuai dengan batinnya daripada isi
al-Quran al-Karim, dan haditsnya Nabi yang penyayang. Maka jalan ini lebih
selamat sejahtera, dan jalan yang lurus.”
2 komen:
Allahu Allah...byk benar kini golongan yg mudah menyalahkan golongan terdahulu tanpa mengenal & memahami mereka dulu
Alhamdulillah. penjelasan sebegini yg kita cari semoga mendapat rahmat Allah sw
Catat Ulasan