Rabu, 22 April 2009

Kisah Teladan - Adab Menziarahi Ulama

Hari ni ambo nak kongsi sebuah kisah yang mana padanya tersirat beberapa pengajaran, antaranya adab ketika menziarahi para ulama, terutamanya ulama ’arifbillah. Kisah ini ambo temui didalam beberapa buah kitab, antaranya:
  • Al-Fatawa al-Haditsiyah oleh Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki
  • Tuhfatul Asyraf (iaitu kalam Habib Muhammad bin Hadi bin Hasan bin Abdurrahman as-Saqqaf yang ditulis oleh muridnya Habib Ahmad bin ‘Alwi al-Jufri)
  • Al-Kawakib ad-Duriyyah ‘ala al-Hadaiq al-Wardiyyah fi Ajlaa’ as-Saadat an-Naqsyabandiah oleh Syaikh ‘Abdul Majid bin Muhammad bin Muhammad al-Khani asy-Syafie.

Kisahnya kurang-lebih lagu niii ….. Shaikh Abdul Qadir Jilani, di zaman mudanya sangat gemar menuntut ilmu. Beliau mempunyai dua orang shahabat akrab iaitu Ibnu as-Saqa dan Abu Said Abdullah Ibnu Abi Usrun (wafat - 585H). Beliau suka bershahabat dengan keduanya kerana mereka sangat cerdas. Mereka bertiga banyak melakukan perbincangan dan menyelesaikan berbagai persoalan.

Suatu hari mereka berkumpul tiga bershahabat ini dan sepakat untuk mengunjungi seorang waliAllah yang bernama Syaikh Yusuf al-Hamdani [440H – 535H: Beliau Abu Ya’qub Yusuf ibn Ayyub ibn Yusuf ibn al-Husain al-Hamdani adalah murid kepada Syaikh Abu ‘Ali al-Farmidhi dan guru kepada Shaikh Abdul Khaliq al-Ghujdawani – Masyaikh Tariqah Naqsyabandi. Kepada Syaikh Abdul Khaliq inilah dinisbahkan ‘amalan khatam khawajakhan dan yang mengatakan Syaikh Abu ‘Ali al-Farmidhi adalah guru kepada Imam al-Ghazali], yang dikenali sebagai al-Ghaus. Al-Ghaus adalah seorang ahli ibadah yang shaleh, waliAllah yang tinggal di pinggir kota. Namun beliau dikunjung ramai orang.

Sebelum berangkat, maka berdisikusilah antara Ibn as-Saqa dan Ibn Abi Usrun mengenai niat atau maksud dari ziarah mereka itu. Kata Ibn as-Saqa: Aku akan menanyakan persoalan yang susah agar ia bingung dan tidak boleh menjawabnya. Manakala Ibn Abi Usrun pula berkata: Aku akan ajukan persoalan, dan aku ingin melihat apa yang akan dia perkatakan.

Syaikh ’Abdul Qadir al-Jailani hanya diam membisu. Maka bertanyalah Ibn as-Saqa dan Ibn Abi Usrun kepada beliau: Bagaimana pula dengan engkau, wahai Abdul Qadir?

Syaikh Abdul Qadir menjawab: Aku berlindung dengan Allah dari bertanyakan persoalan yang sedemikian. Aku hanya ingin ziarah untuk mengambil barokah darinya.

Lalu berangkatlah tiga shahabat ini ke rumah Syaikh Yusuf al-Hamdani al-Ghaus. Setelah dipelawa masuk oleh al-Ghaus, beliau meninggalkan mereka seberapa ketika. Setelah menunggu agak lama, barulah Syaikh Yusuf al-Hamdani al-Ghaus keluar semula dengan pakaian kewaliannya untuk menemui mereka, lantas beliau berkata:

Kamu, wahai Ibn as-Saqa, berkunjung ke mari untuk mengujiku dengan persoalan demikian, jawabnya adalah demikian (Syaikh Yusuf al-Hamdani menjelaskan jawapannya beserta dengan nama kitab yang dapat dijadikan rujukan). Ia kemudian berkata kepada Ibnu as-Saqa, Keluarlah kamu! Aku melihat api kekufuran menyala-nyala di antara tulang-tulang rusuk mu.

Sedangkan kamu, ya Ibnu Abi Usrun, kamu ke mari dengan tujuan menanyakan permasaalahan ilmiah, jawabnya adalah demikian. Beliau, Syaikh Yusuf al-Hamdani lalu menjelaskan jawapannya berserta nama kitab yang membahas persoalan itu. Keluarlah kamu! Aku melihat dunia mengejar-ngejar kamu.

Kemudian Syaikh Yusuf al-Hamdani al-Ghaus melihat kepada Syaikh Abdul Qadir al-Jailani, lantas berkata: Wahai anakku Abdul Qadir, Engkau diredhai Allah dan RasulNya dengan adabmu yang baik. Aku melihat engkau kelak akan mendapat kedudukan di Baghdad dan memberi petunjuk kepada manusia. Apa yang kamu ingin kan insyaallah akan tercapai. Aku melihat bahawa kamu nanti akan berkata “Kedua kakiku ini berada di atas leher setiap para wali”.


Mereka bertiga kemudian keluar dari rumah al-Ghaus.

Beberapa lama setelah itu, Ibnu as-Saqa diperintahkan raja untuk berdebat dengan pemuka agama Nashrani. Perdebatan ini atas permintaan Raja kaum Nashrani. Penduduk negeri telah sepakat bahawa mereka sebaiknya diwakili oleh Ibn Saqa. Dialah orang yang paling cerdas dan alim di antara kita, kata mereka. Maka berangkatlah Ibn Saqa untuk berdebat dengan pemuka agama Nashrani. Sesampainya Ibnu Saqa di negeri kaum Nashrani, dia terpikat dengan seorang wanita pada pandangan pertama. Lalu dia menghadap ayah si wanita untuk meminangnya. Ayah perempuan itu menolak, melainkan jika Ibn Saqa terlebih dahulu memeluk agama mereka (nashrani). Dia pun dengan serta merta menyatakan persetujuan dan memeluk agama mereka, menjadi seorang Nashrani.

Manakala mengenai Ibnu Abi Usrun, dia ditugaskan raja iaitu Sultan as-Shaleh Nuruddin asy-Syahid, untuk menangani urusan wakaf dan sedekah. Kilauan dunia selalu datang menggodanya dari berbagai penjuru hingga akhirnya ia jatuh dalam pelukannya.

Adapun Shaikh Abdul Qadir, kedudukannya terus menjulang tinggi disisi Allah juga disisi manusia sehingga sampai suatu hari beliau berkata “Kedua kakiku ini berada di atas leher setiap wali”. Suara beliau didengar dan dipatuhi oleh seluruh wali ketika itu. – Tamat kisah –


Maka, tentang pengajarannya … pakat-pakat pikiaq sendirilah no……… fikir-fikirkan. Banyak pengajaran yang tersirat didalam kisah ini, cuma ambo malaih nak suratkan. :)

0 komen:

Related Posts with Thumbnails