Isnin, 5 Januari 2009

Awal Muharram 1430H


Hari ni dah masuk 8 Muharram 1430H. Belum terlewat rasanya ambo ucapkan SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1430 kepada para pengunjung blog al-Fanshuri. Hari ini juga merupakan hari mulanya persekolahan bagi negeri-negeri yang bercuti pada hari Ahad, maka ambo mengucapkan SELAMAT MENGAJAR kepada semua warga pendidik.




Dah lebih dari 2 minggu, ambo tidak menulis kerana keadaan kesihatan yang kurang baik dan juga kerana berada di Kedah. Tenang dok di kampung. Permandangannya menyejukkan mata yang memandang. Makanya hari ni ambo sambung baliklah menulis di al-Fanshuri ….

Puasa Pada Hari ke 9, 10 dan 11 Muharram: Esok kita akan melangkah masuk ke hari ke sembilan Muharram. Maka molek sangatlah kita pakat puasa sunat. Puasa pada 9,10 dan 11 Muharram. Sedikit petikan daripada kitab al-Bahr al-Waafi wa Nahr al-Shaafi karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani:



…… (Dan sunnat) muakkad puasa hari ‘asyura iaitu hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram karena ia mengkafaratkan dosa setahun yang lalu seperti yang tersebut pada hadits Muslim (Dan sunnah) puasa pada hari taasuu’a iaitu hari yang kesembilan daripada bulan Muharram kerana hadits Muslim, sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع - فمات قبله

Yakni sungguhnya jika hidup aku kepada tahun yang lagi akan datang, nescaya aku puasa pada hari yang kesembilan. – Maka wafat ia [baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم] dahulu daripadanya.


(Dan sunat puasa) hari yang kesebelas daripada bulan Muharram kerana warid hadits pada puasa hari yang kesebelas dan kesepuluh dan yang kesembilan daripada bulan Muharram yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
صوموا يوم عاشوراء وخالفوا اليهود وصوموا قبله يوما وبعده يوما

Yakni puasa oleh kamu hari ‘Asyura dan menyalahi kamu akan Yahudi dan puasa oleh kamu dahulunya sehari dan kemudiannya sehari. [al-Bahr al-Waafi wa an-Nahr al-Shofi,halaman 374]


Tradisi memasak bubur ‘Asyura: Sepertimana yang ambo pernah tulis pada awal Muharram 1429 dulu iaitu satu tradisi yang diadakan dikampung-kampung adalah membuat bubur ‘Asyura, maka hari ini al-Faqir ulang semula. Adapun mengenai tradisi ini ada disebut didalam kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid yang dikarang oleh al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani iaitu pada halaman 132:
(Dan kata) Syaikh Ajhuuri dan aku lihat bagi orang yang lain nashnya bahwasanya [Nabi] Nuh [عليه السلام] tatkala turunnya dari safinah [bahtera] dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahwa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang ‘adas dan ini dengan kacang ful [pol] dan ini dengan setapak tangan kacang himmasun [kacang kuda] hingga sampai tujuh biji-bijian bagi jenisnya dan adalah ia pada hari ‘asyura, maka mengucap Nabi Nuh عليه السلام dengan bismillah dan dimasakkan dia, maka sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyiduna Nuh عليه السلام . Firman Allah Ta’ala:

قيل يا نوح اهبط بسلام منا وبركات عليك وعلى أمم ممن معك وأمم سنمتعهم

[Maksudnya] Dikatakan: Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada Kami dan berkat atasmu dan atas umam [umat-umat] sertamu dan umam [umat-umat] yang Kami sukakan mereka itu. [Surah Hud: 48]

(Dan) adalah demikian ini pertama-tama makana yang dimasakkan diatas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia sunat pada hari ‘asyura dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi maka segala fuqara [orang-orang yang faqir] dan masaakin [orang-orang yang miskin], maka dinamakan bubur ‘asyura. Dan jika bid’ah sekalipun, [maka ia] bid’ah hasanah dengan qasad itu.

Keutamaan Hari ‘Asyura: Tersebut didalam kitab I’anah at-Tholibin karangan Sayyid Bakri asy-Syatho, peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari ‘Asyura iaitu:-
Nabi Adam عليه السلام bertaubat kepada Allah dan taubat baginda diterima; Nabi Idris عليه السلام diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi; Nabi Nuh عليه السلام diselamatkan Allah keluar dari perahunya; Nabi Ibrahim عليه السلام diselamatkan Allah dari api Raja Namrud; Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام; Nabi Yusuf عليه السلام dibebaskan dari penjara; Penglihatan Nabi Yaakub عليه السلام yang kabur dipulihkan Allah kembali; Nabi Ayyub عليه السلام disembuhkan Allah dari penyakitnya; Nabi Yunus عليه السلام selamat keluar dari perut ikan Nun; Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah; Nabi Sulaiman عليه السلام dikurniakan kerajaan yang besar; Hari pertama Allah menciptakan alam; Hari pertama Allah menurunkan rahmat ke bumi; Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit; Allah menjadikan ‘arasy; Allah menjadikan Loh Mahfuz; Allah menjadikan qalam; Allah menjadikan malaikat Jibril عليه السلام; Nabi Isa عليه السلام diangkat kelangit ………

Manakala didalam kitab Mukasyfatul Qulub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali disebutkan:

Dan telah datang atsar yang banyak pada keutamaan hari ‘Asyura, antaranya [adalah kerana - pada hari tersebut]:
Diterima taubat Nabi Adam عليه السلام; diciptakan Nabi Adam; Adam عليه السلام dimasukkan kedalam syurga; ‘arasy, kursi, langit, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang diciptakan; Nabi Ibrahim عليه السلام dilahirkan dan diselamatkan dari api Raja Namrud; selamatnya Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya dari [dikejar fir’aun]; tenggelamnya fir’aun dan tenteranya; Nabi ‘Isa عليه السلام dilahirkan dan diangkatkan kelangit; Nabi Idris عليه السلام diangkat ketempat yang tinggi; berlabuhnya bahtera Nabi Nuh عليه السلام diatas bukit Judiy; dikurniakan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام sebuah kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan; dikembalikan penglihatan Nabi Ya’kub [yang kabur sebelumnya]; dikeluarkan Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga; disembuhkan penyakir Nabi Ayyub عليه السلام dan hujan yang pertama diturunkan dari langit kebumi.



Peristiwa Karbala: Pada tanggal 10 Muharram 61H, cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, Penghulu (Ketua) Pemuda di syurga iaitu Sayyiduna Hussin bin ‘Ali رضي الله عنهما dan ahli keluarga beliau telah syahid di Karbala. Mereka telah dibunuh dengan kejam oleh tentera yang diketuai oleh Ubidullah bin Ziyad. Untuk membicarakan kisah ini agak panjang. Mungkin satu masa nanti ambo tulis mengenai tragedi yang menyayat hati ini …..



Maka pada hari ‘Asyura, penganut-penganut Syiah atau golongan Rafidhah akan meratapi peristiwa Karbala. Mereka akan mencederakan diri mereka, memukul kepala dan bahagian badan sehingga berdarah, kononnya kerana simpati diatas kekejaman yang dilakukan terhadap cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Kononnya merekalah yang tersangat-sangat sedih dan simpati terhadap tragedi yang menimpa ahlul bait ini. Cuba tengok gambar diatas ..... ngeri ... ngeri. Sebenarnya perbuatan mereka itu dicela syara`.

Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan menyebut didalam kitabnya al-Ra’ah al-Ghamidhah fi Naqdhi Kalam al-Rafidah [kitab ini diterjemahkan kedalam bahasa Indonesia dan diberi judul Fatwa Isu Penting. Manakala terjemahan bahasa Malaysia oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan diberi judul Fitnah Syi’ah]:
Sebahagian tradisi bid’ah yang keji dari kaum Rafidhah ialah mereka selalu meratap dan menangis pada 10 Muharram setiap tahun, hari terbunuhnya Sayyiduna Hussin رضي الله عنه. Ini merupakan satu dosa besar dan pelakunya berhak menerima azab yang besar. Tidak layak bagi seorang yang waras meratap laksana anjing dengan mengoyang-goyangkan tubuhnya.


Seterusnya beliau menyebut lagi:
Imam Ahmad ibn Hajar al-Makki al-Syafi’i berkata di dalam al-Sowaiq: Takutlah engkau dari menyibukan diri pada hari Asyura dengan melakukan berbagai-bagai bid’ah kaum Rafidhah dan yang sejenisnya. Baik yang berupa kesedihan atau ratapan kerana ia bukanlah budi pekerti kaum Muslimin. Jika tidak, mengapa semua itu tidak dilakukan pada hari kewafatan Rasulullah الله عليه وآله وسلم, kerana ia lebih utama. [kedua-dua petikan diatas diambil dari buku bertajuk Fitnah Syi’ah terbitan Sofa Production]


Bagi kita, Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga mengingati peristiwa hitam tersebut namun tidaklah sepertimana syiah ataupun puak rafidhah ini. Tersebut didalam kitab Mukasyafatul Qulubal-Muqarrib ila Hadhrati ‘Allamil Ghuyub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali:
Ketahuilah! Bahwa apa yang menimpa Sayyiduna Hussin رضي الله عنهما adalah merupakan bencana pada hari ‘Asyura itu, sesungguhnya adalah kesyahidan yang menunjukkan pertambahan ketinggian dan darjatnya disisi Allah dan mempertemukannya dengan ahli keluarganya yang suci. Maka barangsiapa yang menyebutkan tentang musibahnya pada hari itu, maka tidak seyogia baginya menyibukan diri kecuali dengan istirja (mengucapkan إن لله وإن إليه راجعون) kerana mengikuti perintah (1) dan memelihara apa yang ditetapkan oleh Allah dari hal itu, dengan firmannya:
أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ
Ertinya: Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Surah al-Baqarah: 157)

Takutilah dia! Takutilah dia! Dari kesibukan dengan bid’ah golongan Syiah Rafidhah dan yang semisal mereka daripada perbuatan nadbi (menyebut-nyebut dan mengungkit kebaikan mayat ketika merapatinya) dan niyahah (meratapi mayat dengan memukul-mukul badan, menampar-nampar pipi dan sebagainya – maka lebih terlaranglah kalau sampai mencederakan diri kerana meratapi mayat) dan huzn (kesedihan). Sebab itu semua bukan dari akhlaqnya orang Mu’minin. Jika tidak tentunya hari kewafatan datuknya (datuk kepada Sayyidina Hussin iaitu Rasulullah) صلى الله عليه وآله وسلم terlebuh utama dengan yang demikian itu ….”


Palestin: Sungguh mengharukan apabila mengenangkan saudara-saudara kita yang berada di Palestin. Ketika orang lain gembira menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah, mereka pula dihujani dengan serangan mortar dan peluru berpandu pengganas Israel. Warga Palestin yang tidak bersalah menjadi mangsa keangkuhan pengganas Israel.




Pemimpin dunia, hanyalah sekadar mampu mengutuk perbuatan tersebut. Tiada tindakan drastik PBB atau OIC seperti menyekat ekonomi atau memboikot atau memutuskan diri hubugan diplomatik dengan kerajaan Israel diadakan. Polis Dunia, Amerika Syarikat berdiam. Mungkin inilah hadiah terakhir kerajaan pentadbiran Bush kepada Israel. Tiada yang menghargai darah dan nyawa penduduk Islam Palestin sepertimana peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem Shabra dan Syatila dahulu.

Namun bagitu masih ramai dikalangan umat Islam yang perihatin, yang cuba berbuat sesuatu yang termampu untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin seperti mengadakan sholat hajat, membaca qunut nazilah, memboikot barangan buatan Israel, menghulurkan bantuan kewangan dan lain-lain. Oleh itu marilah kita bersama-sama mendoakan mereka dengan membaca qunut nazilah ataupun mengerjakan sholat hajat dan disamping itu memboikot barangan buat Israel dan kuncu-kuncunya serta menghulurkan apa-apa bantuan yang termampu kepada rakyat Palestin..


Walaupun usaha ini kelihatan kecil …. tidak mengapa. Renungilah kisah ini …. Tatkala Nabi Ibrahim عليه السلام dibakar oleh Raja Namrud didalam unggun api yang besar, seekor burung kecil berusaha membawa air diparuhnya dalam usaha untuk memadamkan api tersebut. Perbuatannya dipandang sinis oleh burung-burung yang lain, dengan mengatakan alangkah sia-sianya perbuatanmu, mustahil setitik air itu dapat memadamkan unggun api yang marak menyala ….. Lalu dijawab oleh burung kecil tadi: Inilah usahaku! Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak!

Buatlah apa yang termampu dalam usaha kita membantu saudara-saudara kita di Palestin. Kalau kita tidak mampu merealisasikan semua saranan, maka jangan lah pulak kita tinggalkan semua. Dan terlebih-lebih lagi jangan jadi cicak didalam peristiwa Nabi Ibrahim عليه السلام dibakar Namrud. Atau orang kata kalau tak mampu jadi garam untuk masinkan ikan, jangan pulak pi jadi lalat langat bagi ikan berulat!

Sekian dulu … celoteh awal tahun nie. Segala kesilapan, kecacatan, haru-biru dan keselerakan didalam penulisan ini .. maka ambo yang serba dhoif ini, pohon ampun dan maaf.


~abuzahrah~


Notakaki:
(1) - (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah: 156)



Qunut Nazilah




0 komen:

Related Posts with Thumbnails