Sabtu, 24 Januari 2009

Sholat Sunat Gerhana Matahari


Kalau kita dipanjangkan umur, insyaAllah, pada hari Itsnin 29 Muharram 1430H bersamaan 26 Januari 2009M, kita berpeluang untuk melihat satu fenomena yang menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah Ta’ala, iaitu Gerhana Matahari. Gerhana Matahari Separa akan berlaku bermula jam 4.30 petang sehingga 6.30 petang.


Maka, sebagai umat Islam, seyogianya kita mengerjakan sholat sunat gerhana matahari atau dikenali dengan sholat sunat kusuf. Sholat sunat ini hukumnya sunat muakkad bagi yang bermukim atau yang musafir, merdeka atau sahaya, lelaki atau perempuan, berjemaah atau seorang diri. Syaikh Arsyad al-Banjari menyebutkan didalam kitabnya Sabil al-Muhtadin:


(Bermula) sembahyang gerhana, kedua (gerhana matahari dan gerhana bulan) itu sunat muakkad. Maka tiap-tiap mereka yang disunatkan baginya sembahyang hari raya disunatkan baginya sembahyang dua gerhana dan makruh meninggalkan dia.

(Dan sunat) mandi bagi yang berkehendak menyembahyangkan dia dan sunat mengerjakan dia didalam masjid, jika picik (sesak) masjid sekalipun. Dan sunat mengerjakan dia dengan berjemaah dan ganti iqamah [dengan lafaz] “assholatu jama’ah” …..

(Syahdan) adalah bagi kedua sembahyang gerhana itu 3 kaifiat. (Bermula) kaifiat yang pertama iaitu sekurang-kurangnya bahwa disembahyangkan akan dia 2 rakaat seperti sunat zohor dengan tiada menambahi qiam dan ruku’

Dan kaifiat yang kedua, bahwa disembahyangkan akan dia dua rakaat tetapi dengan menambahi qiam dan ruku’ di dalam tiap-tiap dua rakaat seperti bahwa dibacanya Faatihah dan surah yang pendek didalam qiam rakaat pertama kemudian maka ruku’, kemudian maka i’tidal maka dibaca pula Faatihah dan surah yang pendek kemudian maka ruku, kemudian maka i’tidal, kemudian maka sujud 2 kali seperti sembahyang yang lain jua. Inilah serakaat yang pertama. Kemudian maka berdiri ia pula serakaat yang kedua seperti yang demikian itu jua [seperti rakaat pertama tadi]. Maka jadilah pada tiap-tiap serakaat itu 2 qiam, 2 ruku’ dan tiada harus menambahi ruku’ lebih daripada 2 ruku’ yang ditentukan kerana lanjut gerhana dan tiada harus mengurangi dia daripada 2 kerana lepas daripada gerhana dan sunat membaca “سمع الله لمن حمده ربنا لك الحمد” pada tiap-tiap i’tidal.

(Dan kaifiat) yang ketiga iaitu yang terlebih sempurna bahwa disembahyangkannya dua rakaat seperti kaifiat yang kedua tetapi sunat membaca suarah al-Baqarah didalam qiam yang pertama kemudian daripada membaca وجت [doa iftitah] dan أعوذ [ta’awwuz] dan Faatihah dan jika tiada hafaz ia akan suarah al-Baqarah maka dibacanya ayat yang lain sekadar surah al-Baqarah dan pada qiam yang kedua dibacanya kemudian daripada أعوذ [ta’awwuz] dan Faatihah surah Aali ‘Imran atau kira-kira 200 ayat daripada surah al-Baqarah. Dan pada qiam yang ketiga [dalam rakaat kedua] dibaca kemudian daripada أعوذ [ta’awwuz] dan Faatihah surah an-Nisa` atau kira-kira 150 ayat daripada surah al-Baqarah dan pada qiam keempat dibacanya kemudian daripada أعوذ [ta’awwuz] dan Faatihah surah al-Maaidah atau kira-kira100 ayat daripadanya.

(Dan sunat) membaca dengan nyaring pada gerhana bulan dan perlahan pada gerhana matahari. Dan sunat membaca ‘سبحان ربي العظيم وبحمده’ dalam ruku’ yang pertama dan ‘سبحان ربي الاعلى وبحمده’ didalam sujud yang pertama kira-kira seratus ayat daripada surah al-Baqarah [kadar lama sujud]. Dan dibaca yang demikian itu didalam ruku kedua dan sujud kedua kira-kira 80 puluh ayat daripadanya dan dibaca demikian itu didalam ruku’ dan sujud ketiga kira-kira 70 puluh ayat, dan dibaca yang demikian itu didalam ruku’ dan sujud keempat kira-kira 50 puluh ayat daripadanya.

(Dan sunat) kemudian daripada sembahyang gerhana, membaca dua khutbah seperti khutbah Jum’at pada segala rukunnya dan sunatnya dan tiada pada segala syaratnya……….. [Sabil al-Muhtadin, J2, H 58 – 59]


Tu diaaaa panjang lebaq. :) Nak detail sila rujuk kitab berkenaanlah. Adapun sholat sunat gerhana matahari ini dikerjakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana disebut didalam hadits antaranya:

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau bercerita bahwa pada masa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terjadi gerhana matahari, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengerjakan shalat bersama orang ramai. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berdiri dan memanjangkan waktu berdiri, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ruku dan memanjangkannya. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berdiri dan memanjangkannya (berdiri yang kedua ini tidak selama berdiri pertama). Setelah itu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ruku dan memanjangkan ruku, rukunya ini lebih pendek dari ruku pertama. Selanjutnya, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sujud dan memanjangkannya. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengerjakan pada rakaat kedua seperti apa yang Baginda صلى الله عليه وآله وسلم kerjakan pada rakaat pertama. Setelah itu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memberi salam sedang matahari telah muncul. Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memberikan khutbah kepada orang-orang ramai. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah. Dan setelah itu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda. Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua (tanda) dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana karena kematian seseorang dan tidak juga karena kehidupan seseorang. Oleh karena itu, jika kalian melihat hal tersebut maka hendaklah kalian berdo’a kepada Allah, bertakbir, shalat dan bersedekah”. [Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi]

Oleh itu aku berpesan kepada diriku dan para pengunjung blog al-Fanshuri, marilah kita ke masjid-masjid atau surau-surau dimana sholat gerhana matahari dikerjakan. Kebetulan pula, kita sedang bercuti sempena bercuti umum. Semoga kita semua dirahmati Allah.


0 komen:

Related Posts with Thumbnails