Khamis, 1 November 2007

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 3

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab kanzul minan ini, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun Hikam Abu Madyan dan syarah Tok Syaikh Daud ini juga memerlukan pengupasan dan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.)


(Dan hasil) daripadanya bahwasanya orang yang salik itu apabila disucikan dzahirnya dan bathinnya dan jernih hatinya daripada segala aghyar dan [men]jalan[i] thoriqat al-Muhammadiyyah [yakni mengikuti syariat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dzahir dan bathin] nescaya bersihlah cermin hatinya daripada kekeruhan kauniah dan hapuslah daripadanya segala karat tulus nafsiah. Maka jadi ahli ia ketika itu hatinya bagi tempat turun limpah nur ar-rabbaniyah dan jadi ahlilah ia bagi musyahadah dan mukamalah, maka paham ia daripada Quran barang yang tiada mafhum oleh orang yang lainnya dan turunlah pada hatinya makna asrari ditentukan dia dan dapatnya akan hikam rabbaniyah kerana inilah kata ‘arif [iaitu] Ibn ‘Athoillah:

فرغ قلبك من الاغيار تملأ ه بالمعارف والاسرار

Selesaikankan olehmu akan hatimu daripada segala aghyar [segala sesuatu selainNYA], dipenuhkan akan dia [yakni hatimu] dengan ma’rifat dan asrar

Dan tiada tertentu hai saudaraku akan turun ini dengan Quran, tetapi dapat yang demikian itu oleh orang yang ‘arif didalam hatinya daripada tiap-tiap akwan yakni mengenal ia akan Tuhannya pada tiap-tiap zarr daripada akwan. Kerana tiada suatu itu melainkan dan iaitu menyeru akan dikau kepada maulaka (Tuhanmu) dengan lidah halnya dan munajatlah engkau di dalam sirr engkau jika ada engkau daripada ahlul asrar dengan fasih perkataannya. Dan adalah pada tiap-tiap sesuatu itu baginya tanda yang menunjukkan atas bahwasanya ia Tuhan Yang Esa. Dan kerana inilah berkata setengah daripada ‘arifin: “Bermula jalan kepada Allah Ta’ala itu sekira-kira nafas segala makhluk”. Dan lagi kata yang lain pula: “Bermula jalan kepada Allah dengan sebilang-bilang zarraat al-maujudaat. Maka tiada suatu zarrah melainkan ia menunjukkan jalan kepada Maula-nya. Kata Syaikh ….

Bersambung……..insyaAllah


[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M]

0 komen:

Related Posts with Thumbnails