Selasa, 17 April 2012

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban wahai Guru Mulia al-Musnid al-`Allamah al-`Arif BiLlah al-Habib `Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abi Bakar bin Salim حفظه الله تعالى

Sila dapatkan jadual program Guru Mulia al-Musnid al-`Allamah al-`Arif BiLlah al-Habib `Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abi Bakar bin Salim حفظه الله تعالى
di 

Jumaat, 13 April 2012

Tulisan al-Quthub al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Seggaf رضي الله عنه Mengenai Thoriqah al-'Alawiyyin (Ba'alawi)


Foto: Kredit kepada Majlis Ta'lim Darul Murtadza (FB)
Alhamdulillah, Selasa, 18 Jamadilawwal 1433H/10 April 2012, Allah Ta’ala yang mengurniakan satu nikmat kepada al-fagir untuk hadir majlis haul ke -2 Baqiyatus Salaf wa Sayyidul Khalaf al-Quthub al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Seggaf رضي الله  عنه di kediaman al-Habib ‘Ali as-Seggaf حفظه الله   di Kota Damansara. Majlis yang penuh barokah ini dihadiri oleh Guru Mulia ad-Da’ie ilaLlah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله   di mana beliau merupakan murid kepada shohibul haul. Di dalam majlis haul ini Guru Mulia ad-Da’ie ilaLlah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله   menceritakan mengenai akhlak guru beliau al-Quthub al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Seggaf رضي الله عنه, dari pengalaman beliau ketika bersuhbah dengan guru beliau ini  (insyaAllah akan dikongsikan kemudian). Namun bukan ceramah Guru Mulia ad-Da’ie ilaLlah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله yang ingin al-fagir kongsikan, namun yang ingin dikongsikan adalah risalah yang diberikan kepada para tetamu iaitu tulisan al-Quthub al-Iman al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Seggaf رضي الله تعالى عنه mengenai Thoriqah ‘Alawiyyah. Al-Fagir mendapat izin dari shohibulbait al-Habib Ali as-Seggaf حفظه الله   untuk dipaparkan di blog al-fagir. Alhamdulillah.

Foto: Kredit kepada Rizuan Ablah (FB)


Thoriqah al-‘Alawiyyin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah yang membukakan hati-hati yang terkunci dengan anak kunci taufiqNya. Sholawat dan salam ke atas RasulNya dan NabiNya yang tercinta serta keluarga, shahabat dan sekelian mereka yang menurut jalannya yang disukainya.
Wa ba’du,

Pada suatu ketika saya telah dikunjungi oleh anaku yang tercinta, yang berbahagia, insyaAllah, dengan mendapat apa yang yang dikehendakinya iaitu Mohsen bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdurrahman as-Seggaf (as-Saqqaf). Beliau bertanyakan tentang thoriqah datuk neneknya keturunan ‘Alawiyyin [1], samada berlawan atau tidak dengan thoriqah orang-orang para sholehin dari lain golongan (yakni thoriqah selain dari thoriqah ‘alawiyyin – abu zahrah), kerana beliau ini pernah juga agaknya hadir bersama-sama ahli thoriqah dan bermesra-mesra dengan merea itu lalu dapat juga beliau mengecap sebahagian ketenangan apabila berada disamping mereka. Maka saya tegaskan kepadanya para ‘ulama pernah berkata: Sesungguhnya jalan-jalan menuju kepada Allah, banyaknya sebilangan nafas-nafas makhluk dan semuanya menyampaikannya kepada Allah dan mendekatkan hamba itu kepada Allah, tetapi datuk-nenek kita dari keturunan ‘alawiyyin dahulu sangat menitik beratkan pendidikan terhadap anak-anak mereka dengan cara atau thoriqah mereka. thoriqah mereka ialah berpegang kepada Kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Mula-mula sekali ditunjukkan dan diajarkan kepada mereka akhlak dan adab, AYAH dan DATUK mereka iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kemudian diajak mereka menurutnya seperti sifat-sifat kesabaran, penyantun, menerima segala gangguan dengan tabah, menahan perasaan marah serta berlemah lembut, dan mengambil kemudahan yang dibenarkan dalam perkara-perkara dan urusan-urusan mereka dan tidak terlalu memandang kepada keindahan hidup di dunia, jauh dari sifat memutuskan silaturrahim (ikatan kekeluargaan), suka membantu, menziarahi dan menolong mereka dengan sesuatu yang termampu olehnya, menjalankan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa serta menta’ati mereka dengan cara sesempurnanya walaupun ia terpaksa menempuh kepayahan untuk menjalankannya, menghubungkan silaturahim, menziarahi mereka, bertanyakan urusan dan hal mereka, memelihara hak-hak jiran dan menunaikan kewajipan mereka, menghadiri majlis suka dan duka mereka dan jenazah-jenazah mereka, menjaga hak jalanan, tidak melihat kepada wanita-wanita yang bukan mahram, tidak memerhati ke rumah-rumah mereka, memberi salam kepada sesiapa yang ditemui samada kenal atau tidak kenal, mendoakan kaum muslimin, meminta ampun untuk mereka serta menjalankan kewajipan mereka dengan memisahkan hak-hak mereka dan tidak pula meminta hak diri sendiri dari mereka, menjalankan kewajipan terhadap isteri dengan memberikan hak-haknya disamping memelihara dan memberi didikan terhadap akhlak-akhlak dan pergaulannya dengan keluarga mereka dan keluarganya, mengambil berat dengan perkara pendidikan anak lelaki dan perempuan, mengambil berat dalam soal sholah, akhlak serta pergaulan mereka dengan orang-orang yang baik.


Suatu daripada thoriqah al-‘alawiyyin ialah mereka selalu di dalam (keadaan) berwudhu, apabila mereka berhadas (batal wudhu) mereka terus berwudhu lagi – begitulah kebiasaannya. Mereka tidak sholah fardhu melainkan dengan berjemaah dan di masjid pula, melainkan jika ada kepayahan (kesulitan), dan mereka memelihara sholah sunat rawatib (muakkad) iaitu 2 raka’at sebelum shubuh, 2 raka’at sebelum dan sesudah dzuhur, 2 raka’at selepas maghrib dan 2 raka’at selepas ‘isya`. Mereka juga sholah witir selepas ‘isya atau diakhir malam bagi mereka yang sanggup bangun sebelum shubuh sekurang-kurangya 3 raka’at, dan mereka sholah dhuha setelah matahari naik, sekurang-kurangnya 2 raka’at dan yang sempurnanya 8 raka’at. Mereka juga tidak meninggalkan bacaan al-Qur’an sebagai wirid satu juzuk atau lebih atau kurang daripadanya. Bagi orang yang tidak tahu membaca al-Qur’an, dia ulang sahaja dari surah adh-Dhuha apa yang dia tahu. Mereka juga tidak tidur melainkan dalam keadaan bersuci (yakni suci dari hadats kecil dan besar). Mereka membaca Ratib al-Haddad atau Ratib al-Atthas sebelum tidur, dan siapa yang tahu wirid Imam al-Haddad yang ringkas dibacanya setiap hari waktu pagi. Mereka juga senantiasa memelihara dhikir yang warid dari Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, mereka bawa (baca) selepas sholah shubuh:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ – ١٠٠x
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحاَنَ اللهِ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ – ١٠٠x
لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ – ٩٩ x  - لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ الصَّادِقُ الأَمِيْن– ١x
سَلَامٌ قَوْلاً مِن رَّبٍّ رَّحِيمٍ – ١٠٠x
لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الحَيُّ القَيُّوْمُ – ١٠٠x
يَا لَطِيْفُ – ١٢٩x
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ وَ سَلَّمَ – ١٠٠x\١٠x

Dan daripada adat kebiasaan mereka ialah mereka tidak suka mengata orang, mengumpat seseorang atau mengadu-ngadu orang dan tidak membiasakan diri mereka bersumpah secara sia-sia atau bercakap sesuatu yang tidak perlu atau berborak-borak (bersembang-sembang kosong). Mereka tidak masuk bercampur orangramai melainkan untuk memperbaiki, mengajar atau mengembirakan mereka jika ada manasabah-manasabah yang memerlukan mereka hadir. Suatu dariupada thoriqah mereka tidak suka menceburkan diri (terlibat) dalam perkara syubhah dan kezaliman.


Mereka berhati-hati dalam pergaulan dengan orang-orang yang penipu dan pembelit. Mereka tidak suka menyentuh kehormatan orang atau memakan harta orang melainkan dengan jalan yang hak (benar). Mereka takut kepada Allah serta menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan nama baik mereka atau mencemarkan akhlak atau kira bicara mereka.


Mereka selalu berusaha mencari keredhaan Allah Ta’ala, membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Kalau sampai kependengaran mereka cakap-cakap orang yang menyinggung mereka (dengan kata-kata) yang tidak sepatutnya dicakapkan, mereka cepat (segera) memaafkan, tetapi kalau diceroboh itu larangan Allah Ta’ala, mereka marah dan terus mengingatkan tentang perkara yang haram itu. Mereka mencegah kezaliman orang-orang yang zalim dengan memberi peringatan kepadanya, kalau mereka tidak dapat melakukannya mereka bawa perkara (tersebut) kepada pihak yang berkuasa menyelenggarakan hal orang-orang Islam supaya mencegahi dari kezaliman itu.


Masa mereka sentiasa penuh, sama ada dengan pelajaran atau muzakarah dengan teman-teman atau mengajar atau memimpin atau mengaji al-Qur’an atau sholah. Kalau mereka duduk-duduk bersama keluarga dan anak-anak, adakalanya mereka bermesra-mesra, bergurau-senda untuk memesrakan mereka itu, dan adakalanya mereka mengajar dengan lemah-lembut. Sesiapa yang membuat baik terhadap mereka, mereka beri balasan kepadanya, kalau mereka tidak membalasnya (dengan sesuatu) mereka gembirakan hati orang yang memberi itu dengan mendoakannya.

Mereka berpendapat, merekalah yang sepatutnya mengambil berat urusan Agama Islam ini, mendirikannya dan menjalankan dakwah untuk menyebarkannya, kerana nisbah keturunan mereka kepada yang membawa syari’at ini iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, mereka menyedari bahawa mereka lebih bertanggungjawab terhadap agama ini dari orang lain dan mereka lebih wajib ber’amal dengannya daripada orang lain kerana mereka keluarganya Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Peringatan dan wasiat ini saya tulis untuk saudara dan anak-anak Mohsen bin Ahmad dan untuk sekelian anak-anak saya dan orang-orang yang berdamping dengan saya juga untuk sekelian saudara-mara dan teman-teman saya yang mendapat taufiq daripada Allah Ta’ala, pemberian serta kebahagian daripadaNya dan saya telah mengijazahkan mereka semua apa yang terkandung di dalamnya daripada wirid-wirid dan dhikir-dhikir dan saya bermohon taufiq daripada Allah bagi saya dan mereka serta keikhlasan dan penqabulan.

Ditulis oleh al-Habib ‘Abdul Gadir bin Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali as-Seggaf pada 7 Ramadhan 1395 bersamaan 31 September 1975

Diterjemah oleh al-Fadhil Ustaz Syed ‘Abdillah al-Jufri حفظه الله

Ditaip semula untuk paparan di blog al-fanshuri pada hari khamis 20 Jamadilawwal 1433H bersamaan 12 aprik 2012 setelah mendapat keizinan daripada al-Habib ‘Ali as-Seggaf حفظه الله , Kota Damansara untuk dipaparkan di blog al-fanshuri.


Notakaki:
[1] - Secara umumnya kata ‘Alawi digunakan untuk keturunan Sayyiduna ‘Ali كرم الله وجهه . Tersebut dalam Lisanul ‘Arab oleh Ibn Manzur:
وَإِذَا نُسِبَ الرَّجُلُ إِلَى عَلِيِّ بْنِ أَبِيْ طَالِبٍ رضي الله تعالى عنه قَالُوا عَلَوِيْ
Ertinya: Dan apabila seseorang nasabnya bersambung kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه, maka masyarakat menyebutnya sebagai ‘Alawi. (Lisanul ‘Arab, jilid 7, halaman 94, cetakan Dar Shadr, Beirut)

Kata ini, iaitu ‘Alawi atau ‘Alawiyyin kemudiannya secara khusus digunakan untuk menyebut anak-cucu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang berasal dari keturunan Sayyid ‘Alawi bin ‘Ubaidillah bin Ahmad (al-Muhajir) bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidhi bin Ja’far as-Shodiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal ‘Abidin bin Hussain al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahraa’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. (lihat Syams az-Zahirah oleh ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Hussin al-Masyhur, juz 1,  halaman 64, cetakan 1, 1984, ‘Alamul Ma’rifah, Jeddah). Maka kini, sekiranya disebutkan Aal Ba’Alawi atau Aal Abi ‘Alawi atau ‘Alawiyyin, maka ia merujuk kepada keturunan Sayyid ‘Alwi bin ‘Ubaidillah bin Ahmad (al-Muhajir) bin ‘Isa رضي الله  عنهم. Keturunan beliau tersebar diseluruh pelusuk dunia. –  abu zahrah -

Isnin, 9 April 2012

Pembelaan Ke Atas Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى


Fitnah, tohmahan, cacian dan sebagainya ke atas Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى sudah sedia maklum. Kemana sahaja beliau pergi maka akan adalah segolongan manusia yang akan menyebarkan tohmahan, cacian, fitnah dan sebagainya ke atas beliau. Maka begitu jugalah di bumi Malaysia yang tercinta ini, apabila khabar mengenai Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى akan datang, maka dengan aktifnya golongan yang membenci beliau menyebarkan tohmahan, cacian, cercaan, fitnah dan sebagainya ke atas beliau diblog-blog, FB dan lain-lain. 

Sebenarnya segala tohmahan itu telah pun dijawab dan ditangkis oleh para ulama demi untuk membersihkan nama Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى. Bahkan ada kitab yang ditulis, antaranya seperti foto di bawah. Maka kalau nak tahu bacalah kitab tersebut atau bertanyalah kepada orang yang dah baca kitab tersebut.


Maka, tatkala  ada  yang bertanya dan meminta pendapat dari dari al-fagir mengenai tohmahan, fitnah, cacian dan cercaan  yang melampau ke atas Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى, maka cukuplah al-fagir bawakan syair di bawah sebagai jawabannya.
وإذا أراد الله نشر فضيلة – طويت أتاح لها لسان حسود
لولا اشتعال النار فيما جاورت – ما كان يعرف طيب عرف العود
Dan apabila Allah hendak menyebarkan keutamaan seseorang yang masih terbungkus (tersembunyi) – disediakan baginya lidah orang yang dengki
Jika sekiranya tidak ada nyalanya api yang mendekati – nescaya tidaklah akan diketahui betapa harumnya  kayu ‘ud (gaharu)
ما ضر شمس الضحى في الأفق طالعة – أن لا يرى ضوءها من ليس ذا بصر
Tiada mudharat matahari di pagi hari bersinar  di ufuk langit – oleh kerana cahayanya tiada dilihat orang yang buta
قبيح الكلام سلاح اللِّئَام
Perkataan yang buruk adalah senjata bagi orang yang suka mengutuk (mencerca)
Perbuatan puak yang menyebarkan tohmahan, fitnah dan sebaginya  itu, bagaikan kambing menanduk bukit, tanduk patah bukit tak runtuh atau bagaikan anjing menyalak bukit, bukit tak runtuh ….
Sebelum mengakhiri tulisan ini, ingin al-fagir berpesan agar janganlah kita bersangka buruk kepada orang-orang yang sholeh terutamanya dari kalangan ahlulbait, apatah lagi mencerca, memfitnah mereka. Mereka itu adalah orang-orang yang sangat mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga mencintai mereka. 
Dan sebelum menutup bicara ingin al-fagir berkongsi sebuah kisah yang diberitahu oleh Syeikh Ibrahim ‘Utwah ‘Awadh, seorang ulama al-Azhar. Syeikh Ibrahim ‘Utwah mengatakan kisah ini diberitahukan kepadanya oleh teman beliau, seorang yang sholeh bernama Dr Ibrahim Hasan, Pengarah Hospital Universiti ‘Ain Sham, Mesir. Dr Ibrahim Hasan memberitahu Syeikh Ibrahim ‘Utwah: Seorang temanku yang bertaqwa lagi wara’ yang tinggal di kota Madiah al-Munawwarah, memberitahu aku: Suatu yang pelik berlaku ke atasku. Sesungguhnya setiap malam aku bermimpi melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Namun tiba-tiba aku tidak lagi bermimpi melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Hal itu membuat aku sedih dan kesedihan yang amat sangat. Maka, setelah itu aku, satu malam aku bermimpi bertemu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , lalu aku bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , apakah yang menghijab aku daripada melihat kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .bersabda kepadaku: Bagaimana engkau dapat melihat aku sedangkan engkau menyimpan sebuah kitab yang pengarangnya mencerca ke atas kekasihku (yakni Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, maksudnya Syeikh Yusuf bin Isamil ini sangat dikasihi oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Dan memang Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani ini adalah seorang muhibbin). Maka pada pagi esoknya, aku bakar kitab yang dimaksudkan dan setelah itu aku kembali mendapat kemuliaan melihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. sebagaimana sebelumnya. Kitab yang dimaksudkan itu berjudul Nailul Amani fi ar-Radd ‘ala an-Nabhani. Kisah yang diceritakan oleh Syeikh Ibrahim ‘Utwah ‘Awadh ini ada dimuatkan dalam pengenalan kepada kitab Jaami` Kaamaat al-Auliyaa` karya Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani.
Semoga kisah ini menjadi iktibar kepada kita semua. Cukuplah sekadar ini. Fahamilah, sekiranya kalian mempunyai aqal dan matahati. Jangan hiraukan ‘mereka’, jom kita hadiri program bersama Guru Mulia al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin bin ‘Abdurrahman al-Jifri حفظه الله تعالى. Insyaallah malam ini mawlid di Yayasan Sofa, Rembau dan esoknya di Masjid Taman TAR.

sekian dari,
~ al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
dhuha, selasa, 17 jamadilawwal 1433
di taman seri gombak ~

Related Posts with Thumbnails