Khamis, 29 September 2011

Mujaddid Kurun Ke-11: Al-Imam Al-Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al-Haddad

InsyaAllah, malam ini bermulalah siri sambutan Haul ke-300, al-Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه

Ketahuilah, menurut sebahagian ulama beliau adalah merupakan seorang Mujaddid Kurun Ke-11. Hal ini disebut oleh  Mufti Hadhramaut, al-Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba'Alawi dalam Ghaayatu Talkhish al-Muraad min Fatawa Ibni Ziyaad  yang menyatakan bahawa Imam a-Haddad رضي الله عنه adalah merupakan mujaddid kurun ke-11H. 

Pada halaman 299 (yang dicetak diakhir kitab Bughyatul Mustarsyidin), beliau menyatakan:


[Masalah] Hadits "Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka)," dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku," sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para huffadz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-
  • Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz;
  • Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
  • Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau (Imam Abu Hasan) al-Asy'ari;
  • Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
  • Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
  • Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
  • Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil 'Eid;
  • Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-'Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
  • Kurun ke-9: Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
  • Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
  • Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad 'Alawi;
  • Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin 'Umar bin Sumaith Alawi.

Antara nasihat atau pesanan beliau untuk generasi selepas beliau, adalah supaya berpegang kepada mazhab al-Imam Abu Hasan al-Asy'ari di dalam aqidah. Al-Imam al-Haddad menyebut di dalam himpunan sya'ir beliau yang dikenali sebagai Diwan al-Imam al-Haddad atau ad-Durr al-Mandzum li Dzawi al-'Uquul wa al-Fuhuum:


Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga;
Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian;
Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala;
Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar;
Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mushtofa yang suci;
Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni'matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal;
Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan;
Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari;
Dan jadikanlah Asy'ariyyah sebagai pegangan i'tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran;
Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, 'aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya;
Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali رحمه الله ), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.

 
 
Jom kita hadiri majis haul beliau yang ke-300. InsyaAllah, akan beroleh pelbagai manfaat zahir dan bathin.
 
 
Sekian dari,
al-fagir abu zahrah al-qadahi
 
dhuha, khamis, 1 dhulqaedah 1432H
di rumahku di taman seri gombak, selangor darul ehsan


Rabu, 28 September 2011

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga


Seorang pemceramah menyebut bahwa sebuah qasidah yang masyhur di kalangan masyarakat adalah merupakan suatu yang khurafat, sesat dan sebagainya. Pengunjung boleh mendengar kritikan penceramah berkenaan disini.

Bagi menjawab kritikan tersebut, al-Fagir bawakan tulisan al-Fadhil Ustaz Raja Mukhlis bin Raja Jamaludin yang beliau tulis di FB beliau.



Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga
Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:


 إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم

 Maksudnya:

 Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.
Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.

Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.

Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah سبحانه وتعالى, pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah سبحانه وتعالى.

Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.

Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:
 لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب
Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar رضي الله عنه, maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar رضي الله عنه berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.” Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.

Tidak mungkin Saidina Abu Bakar رضي الله عنه mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.

Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم selepas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan Saidina Abu Bakar رضي الله عنه. Beliau ialah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar رضي الله عنه.

Pun begitu, apa kata Saidina Umar رضي الله عنه tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم? Beliau berkata:
لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .
Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk syurga tersebut).” [Ibid]

Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar رضي الله عنه. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja  yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat رضي الله عنهم terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.

Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman رضي الله عنه di hadapan Allah سبحانه وتعالى terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat رضي الله عنهم. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.

Saidina Uthman رضي الله عنه pernah berkata:
لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير
Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’  dalam manaqib Saidina Uthman رضي الله عنه]

Ini adalah Saidina Uthman رضي الله عنه, sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah سبحانه وتعالى, yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah سبحانه وتعالى.

Para sahabat رضي الله عنهم yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah سبحانه وتعالى, bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah سبحانه وتعالى dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah سبحانه وتعالى berbanding syurga dan neraka itu sendiri.

Kita lihat, bagaimana Saidina Ali رضي الله عنه sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat رضي الله عنهم yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah سبحانه وتعالى berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:
ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل
Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah سبحانه وتعالى.” [Hilyah Al-Auliya’]

Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat رضي الله عنهم tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah سبحانه وتعالى lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.

Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah سبحانه وتعالى berbanding selain Allah سبحانه وتعالى, kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat رضي الله عنهم. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.

Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal رضي الله عنه yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz رضي الله عنه ketika tahajjud adalah:
اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف
Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal رضي الله عنه]

Saidina Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah سبحانه وتعالى terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut:
يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت
Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.” [Hilyah Al-Auliya’]

Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah سبحانه وتعالى. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah سبحانه وتعالى dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah سبحانه وتعالى tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى, atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah سبحانه وتعالى, maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.

Wallahu a’lam.


Pesan Ustaz Adnan Che Abu di FB beliau: “Petikan dari Kitab Tafridul-Kathir mukasurat 3:

 إذا سمعت كلمات من أهل التصوف والكمال ظاهرها ليس موافقا لشريعة الهدى من الضلال توفق فيها واسأل من الله العليم أن يعلمك مالم تعلم ولا تمل إلى الإنكار الموجب للنكال, لأن بعض كلماتهم مرموزة لاتفهم, وهي فى الحقيقة مطابقة لبطن من بطون القرأن الكريم وحديث النبي الرحيم. فهذا الطريق هوالأسلم القويم, والصراط المستقيم.
Mafhumnya: “Apabila engkau mendengar beberapa kalimah-perkataan dari ahli Tasawwuf dan kesempurnaan zahirnya tidak sesuai bagi syariatnya Nabi yang menyatakan petunjuk dari segala kesesatan maka bertawaquflah (berdiamlah) engkau padanya dan bermohonlah (berserahlah) kepada Allah Yang Maha Mengetahui agar engkau di beri akan ilmu yang belum engkau mengetahuinya. Janganlah engkau cenderung mengingkarinya yang mengakibatkan kepada natijah yang buruk. Kerana sebahagian daripada kalimah-perkataan mereka itu adalah isyarat yang tidak mudah difahami. Padahal hakikat-isinya itu sesuai dengan batinnya daripada isi al-Quran al-Karim, dan haditsnya Nabi yang penyayang. Maka jalan ini lebih selamat sejahtera, dan jalan yang lurus.”

Rabu, 21 September 2011

Jom Bermaulid dan Mengaji Kitab

Sila klik sini untuk maklumat lanjut

PROGRAM DAN MAJLIS-MAJLIS SEMPENA PERINGATAN KEWAFATAN IMAM AL-HADDAD YANG KE-300 TAHUN DI MALAYSIA


Sila dapatkan jadual terkini di al-Hawi


Forum Perdana


Sempena Majlis2 Haul di sekitar negara, Forum Perdana ini dilangsungkan di beberapa tempat pada siang harinya sebelum Majlis Haul bermula pada petang yang sama.  Pada Majlis Haul Kemuncak hari Sabtu 8 Oktober 2011, akan dilangsungkan Forum Perdana juga di Masjid Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam mulai jam 10:00 pagi.

Dalam program ini, ulama' jemputan dari dalam dan luar negara akan membentangkan kertaskerja berkenaan cara hidup bimbingan Rasulullah s.a.w. yang diamalkan turun temurun dari zaman salaf assaleh dahulu.  Pada sessi soal-jawab berikutnya, para hadirin dapat membuka peluang diskusi dengan membentangkan soalan atau kumusykilan yang bakal memanfaatkan umum.

Terkini: Dawrah Bersama Al-Habib Zain bin Ibrahim bin Semait



Oleh kerana Al-Allaamah Habib Zain bin Ibrahim bin Semait dilanda keuzuran, maka Program Dawrah yang dirancangkan terpaksa ditangguh ke suatu masa hadapan. 

Sila pantau www.alhawi.net untuk keterangan lanjut dan sila emailkan sebarang soalan  berkaitan kepada ar@alhawi.net juga.

Belasungkawa: Al-Habib 'Ali bin Muhammad bin Alwi BinSyihab Kembali ke RahmatuLlah

إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ

يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧ ٱرْ‌جِعِىٓ إِلَىٰ رَ‌بِّكِ رَ‌اضِيَةً مَّرْ‌ضِيَّةً ﴿٢٨ فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى ﴿٢٩ وَٱدْخُلِى جَنَّتِى ﴿٣٠

Suasana sedih dan suram menyelubungi Tarim hari ini apabila seorang ulamanya kembali ke rahmatuLlah, semalam. Beliau adalah al-Habib 'Ali bin Muhammad bin Alwi bin Syihab. Merupakan adik kepada 'Ainut Tarim al-Habib 'Abdullah bin Muhammad bin 'Alwi bin Syihab. Beliau juga dikenali sebagai seorang munsyid. Jika beliau melantunkan syair/gasidah akan menitislah airmata hadirin yang mendengarnya. Datuk mereka, al-Habib 'Alwi bin Syihab adalah merupakan seorang auliya yang tersohor di Tarim (insyaAllah akan al-Fagir tulis biografi beliau sedikit hari lagi ...). Mengenai beliau, Guru Mulia al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz mengatakan pada pagi tadi bahwa AL-HABIB 'ALI BIN MUHAMMAD BIN 'ALWI BIN 'ABDULLAH BIN SYAHAB ini orang sholeh anak kepada orang sholeh anak kepada orang sholeh terus bersambung sehingga kepada Sayyidul Mursalin, Saiyiduna Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.



الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم والى روح الحبيب علي بن محمد بن علوي بن شهاب


الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين والشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين

Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, Shiddiqin, Syuhada’ dan Sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.

Al-Habib 'Ali bin Muhammad bin 'Alwi bin Syihab bersama abangnya al-Habib 'Abdullah
Dari kiri: Al-Habib 'Abdullah bin Muhammad bin 'Alwi bin Syihab dan adiknya al-Habib 'Ali
Ucapan ta'ziah dari al-fagir buat keluarga beliau khasnya dan warga Tarim amnya

Selasa, 13 September 2011

Belasungkawa: Ayahanda kepada al-Fadhil Syeikh Muhammad Husni bin Muhammad Hayat Ginting al-Langkati al-Azhari Kembali ke RahmatuLlah

Ustaz Husni (kiri)
إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Ayahanda kepada al-Fadhil Syeikh Muhammad Husni bin Muhammad Hayat Ginting al-Langkati al-Azhari (shohib blog Sahah al-Langkatiyah al-Husofiyah) telah kembali ke rahmatuLlah semalam 14 Syawwal 1432H bersamaan 12 September 2011 (jam 1pm mengikut waktu Mesir). InsyaAllah, jam 2.30pm (waktu Malaysia) hari ini, Syeikh Husni akan tiba di Medan dan akan mengimamkan sholat jenazah sebagaimana diwasiatkan oleh ayahanda beliau. Semoga Allah Ta’ala memudahkan segala urusan perjalanan Syeikh Husni.
Buat guruku, al-Fadhil al-Musnid Syeikh Muhammad Husni bin Muhammad Hayat Ginting al-Langkati al-Azhari, al-Fagir ucapkan ta’ziah.

  أَعْظَمَ اللَّهُ لَكَ الأَجْرَ، وَأَلْهَمَكَ الصَّبْرَ، وَرَزَقَنَا وَإِيَّاكَ الشُّكْرَ

أَعْظَمَ اللهَ أَجْرَكَ وَأَحْسَنَ عَزَاءَكَ وَغَفَرَ لِمَيِّتِكَ

Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah kepada al-Marhum serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار

Isnin, 12 September 2011

Syarah Hikam Ibn 'Athoillah رحمه الله oleh Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah حفظه الله - Siri 5


اِجْتِهادُكَ فيما ضَمِنَ لَكَ وَتَقصيرُكَ فيما طَلَبَ مِنْكَ دَليلٌ عَلى انْطِماسِ البَصيرَةِ مِنْكَ

Isnin, 5 September 2011

Belasungkawa: Sesepuh Ponpes Suryalaya, Mursyid Thariqah Qadiriyyah Naqsyabandiyyah (TQN), K.H Ahmad Shohibul Wafa Tajul ‘Arifin Kembali ke RahmatuLlah



إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ

7 Syawwal 1432H, sekembali dari KL dan setelah menunaikan sholat dzuhur, al-fagir menerima sms yang membawa khabar sedih lagi. …. K.H Ahmad Shohibul Wafa Tajul ‘Arifin, Sesepuh Ponpes Suryalaya dan juga Mursyid Tariqah Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah kembali ke rahmatuLlahi jam 12.01 tengahari waktu Indonesia (lebih kurang jam 1.01 waktu Malaysia. Allahu Allah, belum reda lagi kesedihan pemergian Tuan Guru Haji Hashim, Sesepuh Pondok Pasir Tumboh, Kelantan Darul Naim, kini seorang lagi ulama pergi meninggalkan kita ….. Allahu Allah ….tidak mampu lagi untuk mengungkap kata-kata …….

Beliau, Ahmad Shohibul Wafa Tajul ‘Arifin atau lebih masyhur dengan panggilan Abah Anom. Lahir pada 1 Januari 1915 di Suryalaya, Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia. Anak kelima dari Syeikh Abdullah Mubarok bin Nur Muhammad atau Abah Sepuh, iaitu pendiri Pesantren Suryalaya. Sebuah pesantren tasawuf yang khusus mengajarkan Thariqat Qadiriyyah Naqsabandiyah (TQN).

الفاتحة
الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين

Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.


Ucapan ta'ziah dari al-fagir buat seluruh warga ponpes Suryalaya dan warga TQN

Sekian,
al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
isnin, 7 syawwal 1432H
taman seri gombak, selangor darul ehsan

Ahad, 4 September 2011

Belasungkawa: Tuan Guru Haji Hashim, Pondok Pasir Tumboh


إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Selepas sholat dzuhur, 1 Syawwal 1432H, al-fagir menerima sms yang membawa khabar sedih. Tuan Guru Haji Hashim, Pasir Tumboh telah kembali kerahmatuLlah sebentar tadi …...., begitulah  ayat sms yang diterima. Terkedu seketika, perasaan sebak menyelubungi diri. Airmata terus mengalir tanpa dipaksa. Allahu Allah …..

21 Syawwal tahun lalu, Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif @ Pak Teh Kroh pergi meninggalkan kita. Hari ini kita mendapat khabar pemergian Tuan Guru Haji Hashim pula. Seorang demi seorang ulama kita berpergian, sampai pada akhirnya tidak ada lagi yang dapat mengantikan mereka, kerana hilangnya mereka amat susah untuk mendapat penggantinya.

Ya, kita mampu mengeluarkan ribuan sarjana, kita mampu mengeluarkan beratus-ratus pemikir Islam, tapi apakah kita mampu mengeluarkan ulama-ulama yang alim dan rabbani? Maka akhirnya nanti tinggallah orang-orang bodoh yang mengaku ulama, berpakaian seperti ulama, bergaya persis ulama, tetapi tidak memiliki ilmu dan akhlak seperti seorang ulama, lalu mereka akan menjawab segala pertanyaan masyarakat awam yang haus dengan ilmu pengetahuan, sehingga mereka sesat lagi menyesatkan.

Benar sekali sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Pemergian mereka ini merupakan musibah bagi kita dan umat Islam seluruhnya. Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim (yang ber’amal dengan ilmunya) adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Kata Sayyiduna ‘Umar رضي الله عنه: Kematian 1000 abid (ahli ‘ibadah - yang jahil -) yang bangun di malam hari dan berpuasa di siang hati, lebih ringan daripada kematian seorang ulama yang memahami hal-hal yang dihalalkan dan yang diharamkan oleh Allah.

Para ulama yang berjasa ini, walaupun mereka telah pergi, namun jasa dan sumbangan mereka, kenangan bersama mereka tetap segar di dalam ingatan. Mereka tetap hidup dihati-hati para pencinta mereka.

قدمات قوم وماماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء



Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, namun mereka hidup diantara manusia
Maka orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama (orang-orang 'alim), walaupun telah mati mereka itu namun tetap hidup - di hati manusia

Sebagai kenangan, al-Fagir bawakan sedikit biografi Tuan Guru Haji Hashim untuk tatapan bersama.

Tuan Guru Haji Hashim bin Haji Abu Bakar lahir di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah Darul Aman pada tahun 1923. Ayahanda beliau berasal dari Fathani Darus Salam, berhijrah ke Kedah Darul Aman dan berkahwin dengan anak tempatan. Pada tahun 1935, ketika berusia 12 tahun, beliau dihantar oleh keluarga beliau untuk belajar di Darul Ulum, Makkah al-Mukarramah. Beliau belajar di Makkah sehingga tahun 1939. Selain belajar di Darul Ulum, beliau juga mengambil peluang belajar di Masjidil Haram, Makkah daripada ulama-ulama terkenal ketika itu. Guru beliau ketika belajar di Makkah, antaranya, Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Hasan Masyath, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Mandili dan lain-lain.

Sekembalinya dari Makkah pada tahun 1939, beliau menyambung pengajiannya di pondok Tuan Guru Haji Ghazali, Batu 26, Bagan Datoh, Perak Darul Ridhwan atau di kenali dengan Madrasah Irsyadiah. Namun beliau tidak sempat belajar lama disana kerana kehadiran tentera Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Beliau kembali ke Kedah. Seterusnya beliau belajar pula di pondok Tuan Guru Haji ‘Abdul Rahman bin Haji ‘Abdullah di Merbok, Kedah atau di kenali dengan nama Madrasah Sa’adah ad-Darain, pada tahun 1942. Kemudian pada tahun 1944 beliau belajar di Pondok Lebai Idris, Kampung Air Hitam, Jitra, Kedah selama 2 tahun. Beliau seterusnya menyambung pengajiannya di pondok Bunut Payong. Pondok ini diasaskan oleh Tuan Guru Haji ‘Abdullah Thahir bin Haji Ahmad pada tahun 1931 dan merupakan diantara pondok terbesar di Kelantan dan melahirkan ramai tokoh ulama. Pengasas pondok ini adalah merupakan murid kepada Tok Kenali. Ketika di pondok inilah beliau belajar kepada 2 orang guru yang kemudian muncul sebagai ulama besar dan pengasas kepada pondok terbesar di Kelantan, iaitu Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar dan adik beliau, Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Haji Abu Bakar.



Pada tahun 1953, Tuan Guru Haji Hashim berkahwin dengan adik Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Abu Bakar. Tuan Guru Haji Hashim mengambil alih kepimpinan menerajui pondok Pasir Tumboh pada tahun 1987 iaitu setelah kewafatan Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Haji Abu Bakar yang meninggal dunia pada 17 Jun 1987/20 Syawwal 1407. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hashim, Pondok Pasir Tumboh mengalami pembangunan fizikal yang selari dengan arus kemodenan, namun tetap mengekalkan pengajian secara tradisional.


Oleh kerana sumbangan yang besar  Tuan Guru Haji Hashim dalam memartabatkan institusi pondok  dan melahirkan ramai ulama pelapis, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1428H peringkat negeri Kelantan Darul Na’im. Dan pada Mac, 2010, beliau dianugerahkan gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) yang mebawa gelaran Dato’ Paduka, oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kini menjadi sultan Kelantan Darul Na’im dengan gelaran Sultan Muhammad V).

Selasa, 1 Syawwal 1432H, Tuan Guru Haji Hashim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah lebih kurang 2 tahun terlantar sakit. Ribuan yang datang menziarahinya dan menyembahyangkan jenazah beliau dengan diimamkan oleh  YAB Menteri Besar Kelantan. Turut serta menyembahyang beliau adalah Sultan Kelantan Darul Naim, Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan Darul Naim.


الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم والى روح الشيخ الحاج هاشم بن أبي بكر القدحي

الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين

Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.

Semoga patah tumbuh hilang berganti …. Biarpun yang tumbuh atau yang ganti itu tidak sehebat yang telah pergi ……… al-Fagir memohon ampun maaf andaikata ada kesalahan atau kesilapan fakta. Semoga para pengunjung sudi untuk membetulkannya.

Bagi mereka yang ingin untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an untuk al-Marhum Tuan Guru Haji Hashim, bolehlah daftar disini. Foto upacara pengkebumian al-Marhum Tuan Guru Haji Hashim boleh dilihat disini.


Sekian,
al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
jum’at, 4 syawwal 1432H
taman seri gombak, selangor darul ehsan

Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki menyuapkan air kepada Tuan Guru Haji Hashim ketika menziarahi beliau.
 
Guru Mulia Habib Umar bin Muhamad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim menziarahi Tuan Guru Haji Hashim di kediamannya di Pondok Pasir Tumboh
Tuan Guru Haji Hashim diziarahi oleh as-Sayyid Ahmad bin Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani dan Tuan Guru Haji Haji 'Abdul 'Aziz al-Fathani


Related Posts with Thumbnails