Rabu, 25 November 2009

Penghayatan Ibadah Korban

InsyaAllah kita akan merayakan hari raya korban hari Jum’at ini. Dan bermula dari selepas shalat id pada hari Jum’at sehinggga hari tasyriq yang ketiga (hari Itsnain) kita disunatkan melakukan ibadah korban. Korban mengingatkan kita kepada kisah dimana Nabi Ibrahim عليه السلام mengorbankan anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Untuk itu, sebelum ambo berangkat balik kampung maka ambo ingin bawakan sedikit kisah pengorbanan ini untuk kita sama-sama hayati dan teladani.

Peristiwa Nabi Ibrahim عليه السلام melaksanakan perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail عليه السلام adalah bukti keta’atan, ketaqwaan dan kecintaan yang tidak berbelah-bagi keluarga tersebut kepada Allah. Kerana keta’atan, ketakwaan dan kecintaan kepada Allah yang begitu tinggi melebihi kecintaannya kepada diri sendiri, anak-isteri, dan segala yang dimiliki bahkan nyawa mereka sendirilah, membuatkan mereka menunaikan perintah Allah tanpa persoalan lagi. Dengar dan patuh! Itu saja.

Mari kita perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام, ketika mereka menerima perintah Allah sebagaimana firman Allah:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْيَ قَالَ يٰبُنَيَّ إِنِّيۤ أَرَىٰ فِي ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يٰأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤمَرُ سَتَجِدُنِيۤ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّابِرِينَ

Ertinya: Maka tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya (Nabi Ibrahim), Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati daku termasuk orang-orang yang sabar". (Surah ash-Shaffat: 102).


Demikianlah tabahnya seorang ayah dalam menjalankan perintah Allah, walaupun yang perlu dikorbankan adalah anak kesayangan. Anak yang yang sering ditinggalkan dan hanya sesekali dapat bertemu kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tinggal di Palestin.

Seterusnya mari kita perhatikan pula bagaimana redhanya seorang ibu melepaskan anak kesayangan untuk dikorbankan demi perintah Allah.

Dikhabarkan, bahwa tatkala Iblis datang kepada Hajar عليها السلام untuk menggodanya dengan mengatakan: Mengapa engkau biarkan anakmu dibawa Ibrahim untuk disembelihnya?

Maka jawab Hajar: Jangan engkau berbohong. Adakah engkau fikir seorang bapa hendak menyembelih anaknya?

Iblis menggoda lagi: Itulah sebabnya Ibrahim membawa pisau dan tali bersamanya.

Hajar bertanya: Untuk apa dia menyembelih?

Jawab Iblis: Dia mendakwa telah diperintahkan oleh Tuhannya supaya berbuat demikian.

Hajar berkata: Seorang Nabi tidak diperintahkan berbuat kepada perkara yang salah. Sedangkan aku sanggup menjalankan perintah Tuhan dengan mengorbankan nyawaku, inikan pula untuk mengorbankan anakku, aku lebih sanggup.

Mendengar kata tersebut Iblis kecewa untuk menggoda Hajar.


Allahu Allah …. Alangkah ta’atnya mereka dalam menerima perintah dari Allah! Semoga kita juga diberi kekuatan keyaqinan, keta’atan dan kecintaan seperti mereka.

Manakala Nabi Ismail عليه السلام pula, setelah redha menerima perintah Allah bahwa dia akan dikorbankan oleh ayahnya, maka sebelum dirinya disembelih, beliau telah meminta dari ayahnya agar dapat menunaikan beberapa permintaannya, iaitu:
  • Ikatlah kedua tanganku supaya aku tidak meronta-ronta, yang mana menyebabkan ayah terganggu melaksanakan perintah
  • Telungkupkan mukaku ke bumi supaya tidak dapat melihat engkau yang akan menyebabkan engkau timbul kasihan kepadaku
  • Selakkan bajumu jauh daripadaku supaya tidak terpercik oleh darahku, yang menyebabkan kurang pahalaku dan jika dilihat oleh ibuku nescaya dia akan bersedih
  • Tajamkan pisaumu, dan segera hiris leherku, supaya mudah mati, kerana kematian itu sangat menakutkan
  • Bawalah pulang bajuku dan berikan kepada ibu sebagai kenang-kenangan baginya daripadaku
  • Sampaikan salam kepadanya, dan pujuklah supaya dia bersabar di atas perintah Allah
  • Jangan engkau ceritakan caranya bagaimana menyembelih dan mengikat tanganku
  • Jangan benarkan kanak-kanak masuk ke rumah ibu supaya tidak bertambah kesedihannya
  • Jika engkau bertemu dengan kanak-kanak yang sebaya dengan ku, jangan engkau memandang kepadanya supaya engkau tidak berkeluh-kesah dan kesedihan.
Setelah mendengar kata-kata itu, maka Nabi Ibrahim عليه السلام berkata: Sesungguhnya sebaik-baik pertolongan, engkaulah wahai anakku di atas perintah Allah. Allahu Allah.

Allahu Allah, alangkah sabar dan ta’atnya seorang anak dalam menerima perintah Allah dan menenangkan hati ayahnya untuk menjalankan perintah Allah.


فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ * وَنَادَيْنَاهُ أَن يٰإِبْرَاهِيمُ * قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّؤْيَآ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلاَءُ ٱلْمُبِينُ * وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ * وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي ٱلآخِرِينَ * سَلاَمٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ * كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ *

Ertinya: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya ketompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerukannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu [Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.]”. – Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (Surah ash-Shaffat: 103 – 107)


Demikianlah secebis kisah pengorbanan tiga insan mulia iaitu Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar عليهم السلام. Semoga kisah ini membawa keinsafan kepada kita untuk kita meneladani Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar عليهم السلام dalam mengorbankan segala yang kita miliki dan cintai demi keta’atan dan ketaqwaan kita kepada Allah sebagai rangka untuk menggapai keredhaan dan kecintaan Allah Ta’ala. Itulah sebenarnya tujuan disyariatkanNya kita berkorban sebagaimana tersirat dalam firmanNya di dalam surat Al-Hajj, 37:

لن ينال الله لحومها و لا دماءها ولكن يناله التقوى منكم

Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ‘amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa kamu [yakni keredhaan Allah Ta’ala tidak akan dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi dapat dicapai dengan niat amal yang ikhlas semata-mata keranaNya di dalam menta’ati perintahNya dan dengan rasa kecintaan yang mendalam kepadaNya]


Maka renungi dimanakah kedudukan kita di dalam menerima dan menunaikan perintah Allah. Guru ambo pernah berkata: Kalau mahu mengetahui kedududukanmu disisi Allah, maka perhatikan sejauhmana engkau membesarkan Allah dihatimu (yakni dalam menta’ati dan bersegera menunaikan segala suruhanNYA dan juga dalam menjauhi laranganNya dan keikhlasan dalam menunaikan perintah-perintah tersebut).


Sekian dan selamat menyambut hari Raya Korban dari:
Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
8 Dhulhijjah 1430

Rujukan:
Tafsir al-Quran ‘Abrul Asiir oleh Haji Ahmad Sonhadji Mohamad
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran

1 komen:

Awanama berkata...

salam pakcik,

selamat hari raya, insyaAllah berhimpun kita kembali selepas raya.

-aszlisham dan alida-

Related Posts with Thumbnails