Rabu, 25 November 2009

Penghayatan Ibadah Korban

InsyaAllah kita akan merayakan hari raya korban hari Jum’at ini. Dan bermula dari selepas shalat id pada hari Jum’at sehinggga hari tasyriq yang ketiga (hari Itsnain) kita disunatkan melakukan ibadah korban. Korban mengingatkan kita kepada kisah dimana Nabi Ibrahim عليه السلام mengorbankan anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Untuk itu, sebelum ambo berangkat balik kampung maka ambo ingin bawakan sedikit kisah pengorbanan ini untuk kita sama-sama hayati dan teladani.

Peristiwa Nabi Ibrahim عليه السلام melaksanakan perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail عليه السلام adalah bukti keta’atan, ketaqwaan dan kecintaan yang tidak berbelah-bagi keluarga tersebut kepada Allah. Kerana keta’atan, ketakwaan dan kecintaan kepada Allah yang begitu tinggi melebihi kecintaannya kepada diri sendiri, anak-isteri, dan segala yang dimiliki bahkan nyawa mereka sendirilah, membuatkan mereka menunaikan perintah Allah tanpa persoalan lagi. Dengar dan patuh! Itu saja.

Mari kita perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام, ketika mereka menerima perintah Allah sebagaimana firman Allah:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْيَ قَالَ يٰبُنَيَّ إِنِّيۤ أَرَىٰ فِي ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يٰأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤمَرُ سَتَجِدُنِيۤ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّابِرِينَ

Ertinya: Maka tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya (Nabi Ibrahim), Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati daku termasuk orang-orang yang sabar". (Surah ash-Shaffat: 102).


Demikianlah tabahnya seorang ayah dalam menjalankan perintah Allah, walaupun yang perlu dikorbankan adalah anak kesayangan. Anak yang yang sering ditinggalkan dan hanya sesekali dapat bertemu kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tinggal di Palestin.

Seterusnya mari kita perhatikan pula bagaimana redhanya seorang ibu melepaskan anak kesayangan untuk dikorbankan demi perintah Allah.

Dikhabarkan, bahwa tatkala Iblis datang kepada Hajar عليها السلام untuk menggodanya dengan mengatakan: Mengapa engkau biarkan anakmu dibawa Ibrahim untuk disembelihnya?

Maka jawab Hajar: Jangan engkau berbohong. Adakah engkau fikir seorang bapa hendak menyembelih anaknya?

Iblis menggoda lagi: Itulah sebabnya Ibrahim membawa pisau dan tali bersamanya.

Hajar bertanya: Untuk apa dia menyembelih?

Jawab Iblis: Dia mendakwa telah diperintahkan oleh Tuhannya supaya berbuat demikian.

Hajar berkata: Seorang Nabi tidak diperintahkan berbuat kepada perkara yang salah. Sedangkan aku sanggup menjalankan perintah Tuhan dengan mengorbankan nyawaku, inikan pula untuk mengorbankan anakku, aku lebih sanggup.

Mendengar kata tersebut Iblis kecewa untuk menggoda Hajar.


Allahu Allah …. Alangkah ta’atnya mereka dalam menerima perintah dari Allah! Semoga kita juga diberi kekuatan keyaqinan, keta’atan dan kecintaan seperti mereka.

Manakala Nabi Ismail عليه السلام pula, setelah redha menerima perintah Allah bahwa dia akan dikorbankan oleh ayahnya, maka sebelum dirinya disembelih, beliau telah meminta dari ayahnya agar dapat menunaikan beberapa permintaannya, iaitu:
  • Ikatlah kedua tanganku supaya aku tidak meronta-ronta, yang mana menyebabkan ayah terganggu melaksanakan perintah
  • Telungkupkan mukaku ke bumi supaya tidak dapat melihat engkau yang akan menyebabkan engkau timbul kasihan kepadaku
  • Selakkan bajumu jauh daripadaku supaya tidak terpercik oleh darahku, yang menyebabkan kurang pahalaku dan jika dilihat oleh ibuku nescaya dia akan bersedih
  • Tajamkan pisaumu, dan segera hiris leherku, supaya mudah mati, kerana kematian itu sangat menakutkan
  • Bawalah pulang bajuku dan berikan kepada ibu sebagai kenang-kenangan baginya daripadaku
  • Sampaikan salam kepadanya, dan pujuklah supaya dia bersabar di atas perintah Allah
  • Jangan engkau ceritakan caranya bagaimana menyembelih dan mengikat tanganku
  • Jangan benarkan kanak-kanak masuk ke rumah ibu supaya tidak bertambah kesedihannya
  • Jika engkau bertemu dengan kanak-kanak yang sebaya dengan ku, jangan engkau memandang kepadanya supaya engkau tidak berkeluh-kesah dan kesedihan.
Setelah mendengar kata-kata itu, maka Nabi Ibrahim عليه السلام berkata: Sesungguhnya sebaik-baik pertolongan, engkaulah wahai anakku di atas perintah Allah. Allahu Allah.

Allahu Allah, alangkah sabar dan ta’atnya seorang anak dalam menerima perintah Allah dan menenangkan hati ayahnya untuk menjalankan perintah Allah.


فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ * وَنَادَيْنَاهُ أَن يٰإِبْرَاهِيمُ * قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّؤْيَآ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلاَءُ ٱلْمُبِينُ * وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ * وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي ٱلآخِرِينَ * سَلاَمٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ * كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ *

Ertinya: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya ketompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerukannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu [Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.]”. – Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (Surah ash-Shaffat: 103 – 107)


Demikianlah secebis kisah pengorbanan tiga insan mulia iaitu Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar عليهم السلام. Semoga kisah ini membawa keinsafan kepada kita untuk kita meneladani Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar عليهم السلام dalam mengorbankan segala yang kita miliki dan cintai demi keta’atan dan ketaqwaan kita kepada Allah sebagai rangka untuk menggapai keredhaan dan kecintaan Allah Ta’ala. Itulah sebenarnya tujuan disyariatkanNya kita berkorban sebagaimana tersirat dalam firmanNya di dalam surat Al-Hajj, 37:

لن ينال الله لحومها و لا دماءها ولكن يناله التقوى منكم

Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ‘amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa kamu [yakni keredhaan Allah Ta’ala tidak akan dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi dapat dicapai dengan niat amal yang ikhlas semata-mata keranaNya di dalam menta’ati perintahNya dan dengan rasa kecintaan yang mendalam kepadaNya]


Maka renungi dimanakah kedudukan kita di dalam menerima dan menunaikan perintah Allah. Guru ambo pernah berkata: Kalau mahu mengetahui kedududukanmu disisi Allah, maka perhatikan sejauhmana engkau membesarkan Allah dihatimu (yakni dalam menta’ati dan bersegera menunaikan segala suruhanNYA dan juga dalam menjauhi laranganNya dan keikhlasan dalam menunaikan perintah-perintah tersebut).


Sekian dan selamat menyambut hari Raya Korban dari:
Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
8 Dhulhijjah 1430

Rujukan:
Tafsir al-Quran ‘Abrul Asiir oleh Haji Ahmad Sonhadji Mohamad
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran

Selasa, 24 November 2009

Syeikh Abu Bakar Awang meninggal

إنا لله وإنا إليه راجعون

ALOR SETAR, 23 Nov: Penasihat Persatuan Ulamak Kedah (PUK), Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi tadi di Hospital Sutanah Bahiyah, dekat sini lantaran sakit tua.

Al-Marhum Syeikh Abu Bakar,84, semasa hayatnya bersama Al-Marhum Syeikh Niamat Yusoff mengasaskan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang (MTID) seawal 1980. Beliau menjadi Syeikhul Perkampungan Maahad Derang sehingga akhir hayatnya.

Sebelum itu, kedua tokoh terkenal ini berkhidmat di Maahad Mahmud, bersama-sama dengan bekas Presiden PAS, Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor. Ustaz Abu Bakar adalah pelajar awal Pondok Tuan Guru Haji Yahya Joned di Batu 16, Padang Lumat, Kedah.

Beliau menyambung pengajian agama di sebuah universiti di Baghdad, Iraq. Empat tahun kemudian datang pula bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin belajar di tempat sama.

Sebaik kembali dari Iraq, beliau yang berasal dari Perlis telah diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis.

Ketika dihubungi di hospital, Mudir MTID, Syeikh Abdul Majid Abu Bakar An-Nadwi berkata, jenazah akan disolat dan dikebumikan di perkuburan Masjid Raudhatus-Solehin, Derang bersebelahan sahabat karibnya, Ustaz Niamat.

Ustaz Abu Bakar yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ulamak negara, Dato’ Dr Haron Din sangat mahir dalam bidang Feqah Muamalah dan menulis beberapa buku ilmiah mengenainya. Beliau meninggalkan empat cahayamata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Ketika dihubungi Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengucapkan takziah mewakili PAS negeri itu dan menyifatkan pemergian Ustaz Abu Bakar sebagai satu kehilangan besar kepada agama dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Azri Ahmad mengesahkan, Ustaz Abu Bakar menjadi Timbalan Ketua dewan itu dari 1995 hingga 2000 di bawah Al-Marhum Ustaz Azahari Abdul Razak.

“Dewan Ulamak PAS Kedah juga merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ulamak ini yang berkorban jiwa raga di atas jalan perjuangan kebenaran, semoga Allah SWT mencucuri Rahmat-Nya ke atas rohnya,” ujar Azri.

al-Faatihah .....

Sumber: Harakahdaily


Isnin, 23 November 2009

Petikan Dari Kitab Pelita Penuntut

Tersebut di dalam di dalam kitab Pelita Penuntut oleh Syaikh Muhammad Syafie bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Ahmad Rangkul, Langgih, Fathani. Kitab ini adalah merupakan terjemahan kitab Ta’lim al-Muta’allim Thoriq at-Ta’lim oleh Syaikh az-Zarnuji. Kitab terjemahan ini diselesaikan pada malam Ahad, tanggal 4 Dhulqaedah 1357H, di Kampung Syi’ib ‘Ali di Mekah al-Mukarramah.

Pada halaman 11, pengarang berkata: (Demikian lagi) yang sangat-sangat karut dan sangat-sangat sesat lagi menyesatkan orang awam ialah satu puak yang banyak timbul pada zaman sekarang yang bergelar (KAUM MUDA) [ ini jenama dulu …. sekarang ni Wahabi. Kekadang dikenali sebagai Ittiba’, Tajdid, Salafi, Ansarussunnah dll …. jenama berlainan, isinya sama]

Memegang mereka itu akan dzahir hadits dan ayat Qur’an dengan ketiadaan ta’wil-mu’awwilnya, dan tiada dikerjakan pula muqayyad, muthlaqnya, khas dan am [umum]nya, nasikh dan mansukhnya. Hanya mana-mana terdapat lafadz hadits dan ayat Quran, maka ialah dalilnya dengan tiada kira banyak lagi, dan menafi mereka itu akan tiap-tiap hukum yang tiada pada dzahir ayat [al-Quran] dan hadits, maka menafi mereka itu akan ijma` ulama` dan qiyas dan mazahib yang empat dan membatalkanlah oleh mereka itu akan qawaid-qawaid imam yang empat dan membatalkan mereka itu akan hukum-hukum yang tsabit dengan ijtihad dan qiyas. Maka memfasidkan mereka itu akan sunat[nya] talqin mayyit, dan fidyah puasa dan fidyah sembahyang, dan sunat berlafadz dengan lafadz niat sembahyang dan [se]umpamanya.

Dan menghafadz mereka akan beberapa banyak daripada ayat-ayat Quran dan hadits Nabi صلى الله عليه وآله وسلم supaya buat hujjah dengan dia akan orang-orang awam kita. Dan mendakwa mereka itu bahwasanya mereka itu mujtahid [yang mengali tau mengambil terus] daripada ayat [al-Quran] dan hadits sendiri dan mendakwa akan dirinya yang betul dengan sunnah صلى الله عليه وآله وسلم pada hal kebanyakkan mereka itu tiada biasa bertemu pun dengan pengajian [ilmu-ilmu agama hingga melayakkan mereka untuk berijtihad seperti] ushulul fiqh dan mustholah hadits dan majaz isti’aarah dan lainnya daripada ilmu-ilmu alat. Bahkan nahwu, sorf pun kurang tahu dan kebanyakkan lafadz-lafadz ‘arab pun tiada mengerti akan makna-maknanya dan tidak pula di dapat mereka itu memelihara maruahnya [yang selayaknya sebagai seorang ‘alim, apatah lagi seorang digelar mujtahid], hanya memakan mereka itu diserata-rata kedai dan menjauhi mereka itu akan serban. Maka beginikah kelakuan mujtahid? Dan beginikah sunnah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم? Betapakah halnya semacam ini kelakuan hendak dikata mujtahid?

Berkata Syaikh ‘Abdurrahman [bin Muhammad bin Hussin bin Umar Ba’alawi, wafat pada 1320H], Mufti Hadramaut di dalam Bughyatul Mustarsyidin:

Masalah ك: Satu orang yang menuntuti ilmu dan membanya ia akan muthala’ah daripada kitab-kitab yang di karangkan daripada tafsir dan hadits dan fiqh, adalah ia mempunyai faham dan cerdik, maka tetaplah pada pandangannya bahwasanya kebanyakkan ini amat sesat mereka itu dan menyesatkan mereka itu daripada asal agama dan daripada jalan Sayyidul Mursalin صلى الله عليه وآله وسلم.

Maka meninggal ia akan sekelian karangan-karangan bagi ahli ilmu dan ulama-ulama dan tiada tetap ia akan mazhab, bahkan berpaling ia kepada ijtihad dan mendakwa ia istinbath daripada Quran dan hadits dengan sendirinya dengan sangkanya. Walhal tiada ia daripadanya syarat-syarat ijtihad yang mu’tabarah di sisi ahli ilmu dan serta yang demikian itu memperlazim ia akan umat-umat suruh berpegang akan perkataannnya dan memperwajib ia akan mengikutnya.

Maka ini orang yang dakwa akan dirinya mujtahid itu wajib atasnya kembali kepada yang sebenar dan meninggalkan akan perdakwaannya [dakwaannya] yang bathil itu. Dan apabila melontar ia akan karangan-karangan ulama dan ahli ilmu, maka dengan apakah ia berpegangan kerana bahwasanya ia tidak berjumpa ia akan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sendiri, dan tidak pula berjumpa akan satu orang daripada shahabat-shahabatnya رضوان الله عليهم , maka jika ada padanya sesuku daripada ilmu maka iaitu diambil daripada karangan-karangan ahli syara’ dan ulama juga dan jikalau sekiranya mereka itu dan karangan mereka itu sesat dan tidak betul, maka daripada manakah ia bertemu hak yang betul, maka hendaklah nyatakan bagi kami katanya – kerana bahwasanya sekelian kitab-kitab aimmah-aimmah [imam-imam] yang empat itu رضوان الله عليهم dan muqallid mereka kebanyakkan, tempat ambilannya daripada Quran dan hadits, maka betapa ia ambil jadi menyalahinya? Dan bermula dakwa ijtihad pada zaman sekarang itu jauh sehabis-habis jauh ……

Sekian.

Ahad, 22 November 2009

Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan - Siri 15

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Abi Madyan oleh al-Arifbillah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang diberi nama Kanzul Minan

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyayikh tuanguru-tuanguru atau para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian.


(‘Alamat yang kedua), menilik ia akan ahwalnya tujuh puluh dakwa. (Kata Syaikh) ‘Abdul Qadir al-Jilani رضي الله عنه: Saudaraku, tiada aku sampai kepada Allah dengan berdiri malam dan tiada [dengan] puasa pada siang hari dan tiada [dengan] mengajar ilmu, dan disampaikan daku kepada Allah dengan karamNya [kemurahanNya] dan tawadhu dan sejahtera hati. Telah mengisyaratkan dengan kata aku sampai dengan karamNya itu ‘ibarat daripada difana’kan yang salik itu daripada dunia dan dengan tawadhu’, fana`daripada dirinya dan dengan selamat dadanya [hatinya] yakni sejahtera itu, sempurnalah mengajarkan dirinya dan disucikan dia dan ketiadaan syuhud akan ahwal kamal dan ditohmahkan dirinya pagi-pagi dan petang-petang seperti kata Khawajah an-Naqsyabandi [1]: Jikalau sampailah daripada suluk orang yang salik itu kepada yang terlebih tinggi martabat, jangan dilihat akan dirinya melainkan sekurang-kurang ia daripada nafsu fir’aun dengan seratus kali.

Maka jikalau tiada ditilik demikian itu tiadalah daripada [per]jalanannya dapat bahgiannya kerana adalah sebab demikian itu takut jatuh dalam ‘ujub yang membinasakan dia.

(Kata Ibn ‘Atho`) di dalam munajat [2]: Hai Tuhanku! Orang yang adalah kebajikannya kejahatan, maka betapa tiada ada kejahatannya itu kejahatan. Dan barangsiapa adalah haqaiqnya itu adalah dakwa jua, maka betapa dakwanya tiada dakwa


(‘Alamat yang ketiga) …………. bersambung di siri akan datang insyaAllah



[Transliterasi ini adalah berdasarkan kepada kitab Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan; Terbitan Khazanah Fathaniyah, 1416H – 1996M. Untuk pengetahuan pengunjung al-Fanshuri, kitab ini diajar oleh Tuan Guru Haji Abdul ‘Aziz al-Fathani di Dewan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, Taman Melewar, Gombak. Walaubagaimanapun jadual pengajiannya tidak tetap. InsyaAllah akan di’update’kan sekiranya telah ditetapkan jadualnya. InsyaAllah]

والله تعالى أعلى و أعلم

Notakaki:

[1] Beliau adalah Maulana Syaikh ‘Abdul Khaliq al-Ghujdawani. Beliau menerima thariqah Naqsyabadi daripada Syaikh Yusuf al-Hamdani. Maksud kata-kata beliau diatas, jikalau mencapai seorang salik didalam perjalanan kerohaniannya ke martabat yang tinggi, maka janganlah memandang kepada dirinya yakni merasa ujub, tetapi hendaklah merasa hina diri iaitu 100 kali lebih hina dari fir’aun.

[2] Beliau adalah Syaikh Ibn ‘Athoillah as-Sakandari. Beliau berkata di dalam munajatnya:

إلهي! من كانت محاسنه مساوي، كيف لا تكون مساويه مساوي؟ ومن كانت حقائقه دعاوى، فكيف لا تكون دعاويه دعاوى

Tuhanku! Orang yang kebaikannya, sebenarnya adalah kejahatan (kerana disertai dengan merasa dirinya yang berbuat, juga disertai dengan penyakit bathin seperti ujub, riya, sum’ah dan sebagainya), maka bagaimana pula tidak kejahatannya itu sememangnya adalah kejahatan. Dan orang yang hakikat sebenarnya adalah dakwaan (kerana apa yang didakwa itu tiada padanya), maka bagaimanakah pula tidak dakwaannya itu sememangnya adalah dakwaan.

Sekitar Rakaman Al-Kuliyyah: Antara Adab dan Biadab

Sekitar Rakaman Al-Kuliyyah: Antara Adab dan Biadab
Oleh: Abdul Muntaqim Bin Zulkipli
Sumber: Blog Akhienaim

Malam tadi (19 November 2009), saya mengikuti sesi rakaman rancangan Al-Kuliyyah (TV3) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sesi kali ini agak menarik, dengan tajuk “1 Akidah” rancangan kali ini menampilkan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman. Perbincangan yang bertajuk “1 Akidah” ternyata banyak berkisar sekitar persoalan tentang adab, tentang perbezaan pendapat. Itupun, tidak sepenuhnya perbincangan itu bersifat ilmiah. Apa yang pasti, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman mengecewakan. Sikap dan kata-kata mereka ternyata menggambarkan suatu kebiadaban; apa yang diistilahkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai fenomena “kebiadaban intelektual”.

Perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Justeru, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam ajaran Islam telahpun disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, kita hendaklah mengikuti jalan orang-orang yang beriman (sabiilil-mu’minin); yakni, kita hendaklah patuh kepada ijma’ ‘ulama – kesepakatan majoriti ‘ulama. Beliau menghuraikan, ini maksudnya kita hendaklah taat kepada ajaran Islam arus perdana. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memetik di dalam kitab Fathul Bari yang menyatakan bahawa imam-imam yang muktabar di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perlu ditaati sama ada dari segi aqidah, syariat mahupun akhlak. Jika adapun perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.

Apa yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady tersebut ternyata merupakan satu panduan yang penting kerana apa yang sedang berlaku di dalam negara ini pada hari ini adalah sikap segelintir “kaum muda” (Salafi, Wahabi, gerakan Tajdid, atau apa sahaja namanya) yang cuba melawan ‘arus perdana’. Amalan dan pegangan umat Islam di negara ini, yang merupakan amalan dan pegangan arus perdana yang telah disusun hasil kesepakatan para ‘ulama, cuba dicabar tanpa kita memahami apakah maksud sebenar di sebaliknya. Kelihatannya, hanyalah kerana mereka itu inginkan publisiti dan ingin menjadi jaguh yang dikenali di dalam masyarakat. Apakah ada keperluan amalan membaca doa qunut yang telah lama diamalkan oleh masyarakat negara ini dilawan? Apakah ada keperluan amalan membuat majlis tahlil arwah diharamkan? Apakah ada keperluan Selawat Syifa’ yang sangat masyhur di kalangan masyarakat negara ini dikatakan amalan yang salah? Itu semua adalah amalan yang datangnya melalui ajaran arus perdana di negara ini, yang semuanya ada dalil dan nas yang menyebabkan para ‘ulama mengajar amalan-amalan tersebut.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) kemudian menyebut tentang sikap majoriti para imam mazhab, yang menyuruh agar ditinggalkan pendapatnya apabila ada dalil yang sahih yang bercanggah dengan pendapatnya. Hal itu, menurutnya, menjadi bukti betapa para imam menghormati dalil dan nas. Dr. MAZA juga menyebut bahawa adalah penting untuk menghormati pandangan para ‘ulama muktabar; apa yang diistilahkan di dalam usul fiqh sebagai ijma’ ‘ulama. Dr. MAZA juga menyentuh tentang masalah fanatik mazhab. Sehinggakan, katanya, hanya kerana berbeza pandangan seseorang itu boleh dihukum sesat, biadap dan sebagainya.

Hal ini telahpun disanggah dengan mudahnya oleh Al-Fadhil Ustaz Yusri Mohd. melalui soalan beliau kepada Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Kata-kata para imam mazhab bahawa “apabila bertemu dalil yang sahih hendaklah ditinggalkan pendapatku” adalah kata-kata khusus yang ditujukan kepada para ‘ulama jua, dan bukannya kepada orang awam seperti kita semua. Kata-kata tersebut ditujukan khusus kepada para ‘ulama yang berkapasiti untuk membuat ijtihad. Mana mungkin masyarakat awam, ataupun sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu agama tetapi tidak sampai ke tahap mujtahid, untuk membuat ijtihad sendiri apabila bertemu sahaja hadith sahih (atau yang dikatakan sahih) di dalam kitab-kitab mahupun buku-buku. Apakah ada jaminan interpretasi mereka terhadap maksud hadith itu betul? Apakah mereka faham benar konteks kegunaan hadith tersebut? Harus diingat bahawa hadith itu datangnya dengan konteks yang tertentu. Kerana itu kita banyak bertemu hadith-hadith yang kelihatannya seperti bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak kerana konteksnya berbeza. Cukup menghairankan apabila Dr. MAZA menekankan tentang perlunya kita patuh kepada ijma’ ‘ulama, tetapi dia sendiri menentang aliran arus perdana (yang merupakan hasil ijma’ ‘ulama) di negara ini; seperti contoh, dia mempertikaikan dan memperlekeh majlis maulid, memperlekeh al-Fadhil Syeikh Jaafar al-Barzanji (bacaan Maulid Barzanji – disebut ‘berzanji’ oleh orang Melayu – telah lama diamalkan di negara ini), dan sebagainya yang mana semuanya adalah perkara-perkara yang dipersetujui oleh para ‘ulama. Jika adapun pandangan berbeza, maka itu adalah perbezaan pendapat yang tidak wajar dan tidak patut dijadikan polemik di dalam masyarakat! Hormatilah apa yang telah disusun oleh para ‘ulama terdahulu untuk kesejahteraan umat Islam di negara ini!

Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menyatakan bahawa semua orang, termasuk para ‘ulama, adalah tertakluk kepada ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa kita semua tidak dikurniakan pengetahuan melainkan sedikit. Justeru, Al-Qur’an juga mengajarkan kita agar “bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui”. Menurutnya, setiap orang ada bidang kepakaran masing-masing dan bidang tersebut harus dihormati. Tentang fenomena masa kini di mana semakin ramai orang awam yang turut melibatkan diri dalam perbincangan terbuka tentang hal-hal agama yang sebenarnya bukan bidang mereka, Dr. Fauzi Deraman menyatakan bahawa orang awam tidaklah wajar disalahkan sepenuhnya kerana orang awam mengikuti ‘mentor’ mereka. Maka, apa yang penting adalah orang awam harus dididik dan diberikan panduan yang betul. Apa yang dikatakan oleh Dr. Fauzi Deraman ternyata benar. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah orang sudah tidak menghormati autoriti. Dalam hal agama sebagai contoh, semakin ramai orang sudah tidak lagi menghormati autoriti kerana terpengaruh dengan sikap segelintir orang muda yang kononnya berilmu, mungkin kerana memilik Ph.D. lalu memakai gelaran ‘Doktor’ di hadapan namanya, yang dengan sewenang-wenangnya mempersoal dan mempertikaikan pendapat para ‘ulama sedangkan mereka bukanlah orang yang layak untuk melakukan hal yang sedemikian. Ada juga di kalangan para ilmuan sombong ini yang mengatakan diri mereka, ataupun mengatakan ‘ulama ikutan mereka, sebagai pakar hadith dan memakai gelar ‘Al-Muhaddith’ sedangkan antara syarat untuk seseorang itu digelar ‘Al-Muhaddith’ adalah ia haruslah menghafal 100,000 hadith! Itu belum termasuk syarat mempunyai dan menghafal sanad hadith. Sedangkan golongan ‘ulama sombong ini menolak amalan pemberian ijazah hadith; maka mana mungkin mereka menjadi pakar hadith!

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memberikan satu peringatan yang ringkas tetapi penuh makna; bahawa setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Peringatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar kita merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Justeru, dalam soal memberikan pandangan, sepertimana yang dipraktikkan oleh para salafussoleh, hendaknya para ‘ulama itu berbincang di dalam wacana “para ‘ulama” untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor – sebelum akhirnya keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kita terpengaruh dengan wacana ala pasca-modenisme, yang menganggap semua wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’.

Penekanan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ini, walaupun ringkas, tetapi adalah sangat fundamental. Apa yang disebutkan adalah tentang hal adab. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kelayakan untuk membincangkan semua perkara. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian ‘aqidah, berkaitan dengan fiqh dan akhlak, yang sudah tentu akan ditemukan banyak perbezaan pendapat tentangnya, adalah perkara-perkara yang tidak wajar, tidak patut dan tidak perlu untuk dibincangkan di dalam wacana terbuka di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya tidak berkeahlian dalam hal ilmu Islam. Justeru, di situlah peranan para ‘ulama untuk menyusun dan menyepakati apakah kaedah, pendekatan, amalan, dan sebagainya yang patut diketengahkan kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan para mujtahidin. Mereka meneliti dalil dan menyusun amalan-amalan dalam agama agar mudah diikuti oleh orang awam; agar tidak perlu lagi orang awam melalui proses penelitian dalil kerana tidak semua orang berkapasiti untuk memahami dengan benar dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith, apatah lagi untuk mencapai tahap mujtahid! Tindakan membawa wacana yang berkaitan dengan penentuan asas-asas serta amalan-amalan dalam agama ke tengah kancah masyarakat, hanyalah akan menyebabkan berlaku kecelaruan kerana masyarakat akan mula keliru, dan lebih teruk lagi sudah mula muncul di tengah-tengah masyarakat golongan muda (khususnya) yang dengan beraninya berwacana menggunakan nama-nama ‘ulama seperti Imam Syafie, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebagainya, sedangkan mereka hanyalah ‘berguru’ dengan Internet ataupun dengan membaca sendiri buku-buku para ‘ulama tersebut. Jika adapun guru tempat merujuk, hanyalah seorang atau dua orang guru-guru yang tidak mempunyai susur galur ilmu yang mantap. Hal ini berlaku kerana melihatkan wacana-wacana yang semakin banyak dibincangkan secara terbuka, sehingga mereka merasakan bahawa sesiapa sahaja layak untuk membincangkan persoalan agama.

Bagaimanapun, Dr. MAZA seolah-olah gagal memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Dia memetik hadith yang menyatakan bahawa Allah akan membangkitkan seorang ‘mujaddid’ (pembaharu urusan agama) pada setiap 100 tahun. Dia menyentuh tentang bagaimana urusan membaharui urusan agama ini telah dilakukan oleh semua mujaddid, biarpun ditentang hebat. Dia menyebut cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Imam Ahmad, Imam Syafie dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran. Saya tertanya-tanya, apakah dia mahu menyamakan dirinya dengan Imam Ahmad dan Imam Syafie? Dia menyebut contoh-contoh itu sebagai menyatakan bahawa dirinya juga perlu melakukan ‘tajdid’ (membaharui urusan agama) biarpun sukar diterima. Namun, sekali lagi, perlu diperhatikan siapakah Imam Ahmad dan siapakah Imam Syafie? Mereka adalah ornag yang diberikan pembukaan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehingga mempunyai keluasan ilmu yang hebat. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup pada hari ini, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan adalah wajib bagi seluruh umat Islam di dunia ini mematuhinya sebagai rujukan utama masa kini! Siapalah Dr. MAZA jika hendak dibandingkan dengan Imam Syafie, Imam Ahmad? Juga, harus diperhatikan apakah yang diperjuangkan oleh imam-imam besar itu sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Dr. MAZA? Imam Syafie dan Imam Ahmad berjuang untuk membetulkan ‘aqidah umat Islam (diulangi: ‘aqidah), kerana tanpa ‘aqidah yang betul boleh jatuh kufur seseorang itu. Sedangkan di negara ini kita sudah mempunyai suatu susunan amalan dan pegangan yang betul, tidak perlu lagi dipertikaikan!

Dr. MAZA kemudiannya menyatakan, sebagai membantah pandangan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa sekiranya dia perlu berbincang dahulu sebelum menyampaikan pandangannya, maka tidak akan berlakulah “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Saya dan rakan-rakan di pentas penonton hanya mampu menepuk dahi dek kerana lemahnya hujah yang digunakan oleh dia. Hadith tersebut bukan untuk hal tajdid! Jika hadith tersebut adalah berkaitan dengan hal tajdid, maka mudah sangatlah proses tajdid itu dan tidak perlulah dibangkitkan seorang mujaddid kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya! Juga, apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady agar diadakan perbincangan di peringkat para ‘ulama terlebih dahulu bukanlah maksudnya agar jangan dilakukan dakwah! Maksud beliau adalah supaya perkara-perkara khilaf, perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, dengan pendekatan dan sebagainya, dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu di kalangan para ‘ulama, agar para ‘ulama yang berkeahlian itu dapat memutuskan apakah dia yang paling sesuai untuk disalurkan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berkeahlian untuk menentukan bagi diri mereka sendiri apakah yang patut atau tidak, apa yang benar atau tidak. Nah, bukankah di dalam wacana para ‘ulama itu masih ada peluang untuk ‘menyampaikan daripada Rasulullah walaupun sepotong ayat’. Keluarkanlah apa sahaja dalil dan nas yang diketahui di dalam wacana para ‘ulama kerana memang sifat wacana itu ilmiah. Mengapa harus dibawa kepada masyarakat? Adakah kerana ingin dikenali, ingin dilihat sebagai jaguh? Jika benar ingin manfaat dan faedah bagi masyarakat, bukankah pandangan dan usaha ijma’ ‘ulama itu lebih kukuh dan lebih baik daripada usaha beberapa kerat individu? Logik ini terlalu mudah, hanya mereka yang tertutup minda dan hatinya sahaja yang akan gagal memahaminya.

Dr. Fauzi Deraman pula menyatakan bahawa perselisihan (dalam hal dasar agama) tidak berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana ada kaitannya dengan metodologi pada zaman itu. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu kerana memang ada kebenarannya. Namun, sebab utama mengapa tidak berlakunya perselisihan pada zaman tersebut adalah semata-mata kerana baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Baginda adalah ikutan ulung para sahabat, baginda adalah contoh, baginda adalah rujukan utama! Para sahabat patuh dan taat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tanpa soal: ini dinamakan taqlid! Benar, dalam Islam ada kebenaran untuk taqlid, bagi orang yang tidak mampu berijtihad seperti kita semua! Jika ada yang ingin menyanggah dengan mengatakan bahawa bertaqlid dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sahaja yang boleh, maka ketahuilah bahawa Rasulullah telah mengiktiraf generasi salafussoleh, para Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan Ahlul Bait sebagai kelompok yang harus kita ikuti dan contohi.

Namun, saya ternyata tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Fauzi Deraman yang menyatakan bahawa para sahabat tidaklah belajar banyak sangat tentang ‘aqidah. Kenyataan itu ternyata adalah suatu kenyataan yang sangat biadap! Para sahabat adalah mereka yang paling ‘arif tentang ‘aqidah! Kenyataan dia seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang terkemudian lebih maju dalam hal pengajian ‘aqidah! Memang benar bahawa para sahabat tidaklah mempunyai sistem pengajian yang canggih (baca: berkecamuk) sepertimana apa yang kita ada pada hari ini. Tetapi harus difahami bahawa para sahabat adalah mereka yang paling mantap ‘aqidah mereka, dan menjadi rujukan kita semua sehingga ke hari ini! Para sahabat adalah contoh kita dalam hal ‘aqidah. Bukankah dalam pembelajaran ‘aqidah pada hari ini pun kita memetik contoh-contoh daripada kisah sahabat? Penyusunan sistem bagi kita mempelajari dan memahami ‘aqidah yang benar seperti yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari adalah juga bersumberkan kepada para sahabat, yang sudah tentunya datangnya pula daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Jika dikatakan para sahabat tidak banyak belajar ‘aqidah, adalah tidak benar sama sekali kerana para sahabat berada bersama Rasulullah, dan mereka mempelajari keseluruhan isi kandungan kitab suci Al-Qur’an secara langsung daripada baginda Rasulullah! Mereka mempelajari ‘aqidah daripada dua sumber utamanya: Al-Qur’an dan Rasulullah! Mana mungkin mereka tidak banyak belajar ‘aqidah!

Justeru itulah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengingatkan semua tentang niat. Menurut beliau, niat itu adalah penting kerana setiap amalan itu nilaiannya bergantung kepada niat. Niat yang tidak betul akan merosakkan amalan; sepertimana solat menjadi rosak, sedekah menjadi sia-sia jika niatnya adalah untuk membangga dan menonjolkan diri. Hal ini, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, adalah sesuatu perkara yang sangat asas dan sangat penting tetapi ramai orang terlupa, termasuk sesetengah orang yang berilmu. Dalam melakukan pembaikan, teguran dan sebagainya kita haruslah ikhlas kerana mencari redha Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apa yang penting adalah kita menghormati orang lain, kita menghormati ‘ulil amri’. Jika ingin melakukan teguran, hendaklah dilakukan dengan cara baik dan cara berhikmah, bukannya dengan cara terus memaparkan kritikan itu di dada akhbar sehingga boleh mengakibatkan malu dan keresahan. Inilah adab namanya! Hal ini demikian kerana, jika benar kita ikhlas ingin menegur dan membuat pembaharuan maka sudah tentu boleh sahaja teguran itu disalurkan terus kepada pihak berwajib – kepada para pemerintah, kepada para ‘ulama – tanpa perlu melalui media massa. Kerana yang diinginkan adalah menyampaikan teguran dengan cara baik, bukan mencari populariti!

Mungkin disebabkan terasa dengan teguran ‘pedas’ Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. MAZA naik suara sedikit. Dia menyatakan bahawa adalah tidak patut jika seseorang itu berbeza pendapat dengan orang lain, maka orang lain itu terus dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA. Namun, ternyata di situ tersisip suatu keangkuhan dan cubaan untuk memutarbelitkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Harus difahami bahawa pertuduhan “sesat”, “Wahabi” dan sebagainya yang dilontarkan kepada individu-individu tertentu bukanlah dibuat secara semberono! Ya, mungkin sahaja ada di kalangan masyarakat awam di negara ini yang agak ‘emosional’ dan dengan mudahnya melabel orang dengan label yang pelbagai. Namun, di peringkat para ‘ulama dan intelektual, menghukum seseorang itu sebagai “sesat”, atau sebagai berfahaman “Wahabi” adalah sesuatu yang dibuat secara ilmiah. Apabila telah jelas dan telah zahir seseorang itu sesat, apakah mungkin kita mendiamkan diri dan tidak menyatakannya? Apakah hanya kerana semata-mata ingin meraikan ‘perbezaan pandangan’, maka kita tidak boleh menyatakan kesesatan seseorang itu apabila telah zahir kesesatannya? Jika begitu, tarikh balik sahaja pertuduhan kita terhadap Haji Kahar (Rasul Melayu). Fahaman dan aliran pemikiran yang “sesat” dan “Wahabi” itu telah lama dijelaskan dan dihadirkan dalil-dalil serta bukti bagi menyokong pertuduhan tersebut; hanya sahaja, mungkin segelintir pihak tidak mahu menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan.

Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menekankan bahawa daripada segi sumber, tidak ada perselisihan kerana kita semua mengakui bahawa kita hanya ada dua sumber (dalam hal ‘aqidah, syariat mahupun akhlak) yakni Allah dan Rasul. Dr. Fauzi menyatakan bahawa kita tidak ada sumber-sumber yang lain selain daripada Allah dan Rasul. Hal tersebut sememangnya benar, bahawa tidak ada sumber yang lebih utama dalam agama selain daripada Allah dan Rasul. Namun, mungkin perlu dijelaskan lagi bahawa di dalam usul fiqh, melalui peruntukan di dalam nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, Ijma’ ‘Ulama juga diterima sebagai sumber – selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith. Kegagalan mengiktiraf ijma’ ‘ulama sebagai sumber akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kebiadaban ilmu. Memang benar sumber utama dalam Islam hanya dua, yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith. Tetapi, siapakah yang akan menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang keduanya? Oleh sebab itulah, setelah Rasulullah berpesan para peringkat awalnya agar umat baginda berpegang kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka Rasulullah berpesan pula kepada kita menjelang penghujung kehidupan baginda di dunia ini supaya kita berpegang kepada sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah Ahlul Bait. Hal ini demikian kerana mereka adalah kelompok yang paling ‘arif tentang Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, setelah berlalunya zaman Rasulullah, para sahabat merujuk kepada orang yang paling hampir dengan Rasulullah dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’in merujuk kepada para sahabat dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’ tabi’in pula merujuk kepada para tabi’in dalam usaha yang sama. Dan begitulah seterusnya berlaku, sehingga kita pada hari ini merujuk kepada para ‘ulama, guru-guru kita, masyayikh kita yang mursyid dan murabbi, dalam usaha kita untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Inilah dikatakan adab! Bukannya dengan cara menolak pandangan para ‘ulama tradisi dan kemudian menelaah sendiri Al-Qur’an dan Al-Hadith – kerana siapa kita untuk memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith? Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan dosa dan maksiat, mana mungkin Allah mengurniakan kepada kita ‘ilmu dan kefahaman yang sama sepertimana yang dikurniakan kepada generasi terdahulu – kerana kita tidak layak!

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kemudiannya merumuskan perbincangan pada sesi rakaman Al-Kuliyyah itu dengan menasihatkan semua agar kembali kepada kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah – aliran arus perdana yang dijamin kebenarannya oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah telah menjamin untuk kita bahawa kerangka kebenaran (al-Haq) itu akan sentiasa ada di dalam agama ini, justeru itulah dia aliran arus perdana yang dibawa dan didokong oleh para ‘ulama secara berantaian daripada dahulu sehingga kini. Oleh sebab itulah di sisi pada ‘ulama, salah satu tradisi penting yang perlu dikekalkan bagi memastikan keberkatan dan kesahihan ilmu adalah tradisi pengajian secara bersanad. Kita haruslah mempunyai rantaian ilmu dengan guru kita, guru kepada guru kita, guru kepada guru kepada guru kita, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Al-Mu’allim Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Selesai sahaja sesi rakaman itu sesi soal jawab dibuka kepada penonton yang hadir. Ada beberapa soalan dilontarkan kepada ketiga-tiga panel. Pada sesi ini semakin terzahir kebiadaban beberapa orang ahli panel dan para penonton yang menyokong mereka. Dalam usaha untuk menjustifikasikan betapa perlunya usaha ‘tajdid’ yang sedang dia lakukan, dalam erti kata memecahkan pegangan kepada mazhab syafi’e dan menjadi ‘lebih terbuka’, Dr. MAZA mengambil beberapa contoh kelemahan pandangan di dalam mazhab syafi’e sambil menyatakan bagaimana sikap Imam Syafi’e sendiri serta sikap ‘ulama terdahulu yang begitu terbuka. Dr. MAZA memperli sikap ‘golongan agamawan’ serta ‘pihak berkuasa agama’, khususnya kerana sikap tertutup mereka dan kerana tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh JAIS. Bukankah seharusnya sudah jelas, begitu ramai orang yang menentangnya bukanlah kerana dengki dan bukanlah kerana semata-mata tidak suka kepada perbezaan pandangan; tetapi, kerana aliran pemikiran yang dibawa oleh Dr. MAZA adalah berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini. Sikap Dr. MAZA yang memperlekeh ‘golongan agama’, mencabar ‘autoriti agama’ secara terbuka begitu, sambil disambut dengan tepukan tangan oleh sebilangan penonton, ternyata menampakkan keangkuhan dan ketiadaan adab. Apatah lagi apabila disambung pula oleh Dr. Fauzi Deraman yang mengikut rentak Dr. MAZA. Dr. Fauzi memperlekeh-lekeh pandangan dalam mazhab syafi’e (dalam kes ini berkaitan haji) yang katanya menyusahkan, sambil disambut dengan senyum dan gelak ketawa Dr. MAZA dan sebilangan para penonton. Kami hanya mampu terdiam melihat.

Namun, ternyata jika Allah ingin menzahirkan kebenaran maka tidak ada apa yang akan dapat menghalangnya. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menutup dengan suatu teguran yang langsung kepada para panelis dan penonton. Bergenang air mata tatkala Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menyatakan kesayuan beliau melihat orang ramai bergelak-ketawa tatkala kisah para ‘ulama diceritakan dan pandangan mereka dilekeh-lekehkan. Begitu sayu beliau melihat orang ramai – termasuk para panelis – menganggap lekeh apa yang dibincangkan, sehingga boleh dijadikan bahan gelak ketawa. Ke mana perginya adab? Sungguh, persoalan adab ini adalah persoalan yang sangat penting. Ramai oleh boleh bercakap tentang adab, tetapi tidak semua orang benar-benar boleh menjadi orang yang beradab. Sekadar mengulangi pesanan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa ikutilah dan taatlah kepada aliran arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah. Taatlah kepada imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Bersikaplah dengan sikap yang betul; bercakaplah dengan bahasa dan ayat yang betul. Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang tidak beradab dengan Rasulullah – cukup sekadar meninggikan suara lebih tinggi daripada suara Rasulullah – maka akan terhapus segala pahala amalannya. Nah, para ‘ulama itu pewaris Rasulullah, mengapakah kita enggan beradab dengan mereka? Memang benar mereka bukan maksum, bukan sempurna, tetapi sedarlah bahawa kita semua jauh lagi tidak sempurna daripada mereka!

Semoga Allah mengurniakan Rahmat kepada seluruh para pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah; dan semoga Allah membuka pintu hati golongan berilmu yang sombong, serta para pengikut aliran pemikiran mereka.

Mohon maaf atas salah dan silap. Sekadar luahan rasa hasil ilham daripada Allah dan berkat sentuhan guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Saya hanyalah seorang insan yang sangat hina yang sedang berusaha menggapai cinta-Nya, dan cinta Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.

Wallahu’alam.


Sabtu, 21 November 2009

Waktu Terkena Ataih Batang Hidung .....

Apabila mantan mufti Perlis ditahan dan dihadapkan ke mahkamah syariah atas tuduhan mengajar agama tanpa tauliah atau kebenaran, maka ramailah penyokong-penyokong mantan mufti tersebut yang melenting. Mereka kecam JAIS. Mereka kata menghalang dakwahlah. Mereka kata undang-undang warisan lapuk penjajahlah. Macam-macamlah komennya .....

Tapi tahukah anda di negeri Perlis Indera Kayangan dimana Dr Asri pernah menjadi mufti dan Menteri Besarnya ketika itu Dato' Seri Shahidan Kassim, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perlis 1991 telah memperuntukkan:

Bil. 29 - SEKSYEN 33: MENGAJAR AGAMA TANPA KEBENARAN: Denda RM 1,000 @ Penjara 6 bulan @ Kedua-duanya.

Bil. 30 - SEKSYEN 34*: MENGAJAR @ MENJALANKAN SESUATU ISTIADAT YANG BERTENTANGAN DENGAN HUKUM SYARAK YANG DIAMALKAN DI NEGERI PERLIS: Denda RM5,000 @ Penjara 3 tahun @ kedua-duanya

Bil. 40 - SEKSYEN 45: TIDAK PATUH PERINTAH RAJA PEMERINTAH SELAKU KETUA AGAMA NEGERI YANG MENGELUARKAN APA-APA PERINTAH DARI MASA KE SEMASA: Denda RM2,000 @ Penjara 1 tahun @ kedua-duanya


* Boleh tangkap tanpa waran

Sila rujuk sini untuk kepastian.


Tu diaaaa ..... rupanya depa pun ada peruntukan undang-undang seropa tuuuu. Awat bila kena ataih batang hidung kalian, kalian melenting???? Mengapa kecam itu ... kecam ini???? Mengapa komen sana, komen sini???? Kecoh sana, kecoh sini????

Kalian kata, undang-undang lapuk warisan penjajah ... halang usaha dakwah ..... kononnya. Tapi kenapa sewaktu kalian jadi mufti dan MB dahulu, kalian tidak hapuskan undang-undang lapuk warisan penjajah yang menghalang usaha dakwah sebagaimana yang kalian dakwa itu?
??????!!!!!!

Fikir-fikirkan lah!


Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
4 Dhulhijjah 1430



Jumaat, 20 November 2009

Ulil Amri Perlu Ditaati

KUALA LUMPUR: Umat Islam disaran mentaati ulil amri iaitu golongan pemimpin dan pentadbir, malah melawannya dihukumkan haram, kata Fellow Yang Amat Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Uthman El-Muhammady. Menurutnya, haram melawan ulil amri dalam sebarang bentuk termasuk melalui komentar di media seperti tulisan dalam surat khabar. “Kalau mengeji dalam akhbar, masya-Allah, haram. Ulil amri bukan ada pada zaman nabi saja, bahkan zaman sekarang pun ada. “Kita kena taat dan hormatinya di mana kita berada,” katanya pada pentas diskusi Al-Kulliyyah, TV3, di Dewan Besar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, malam tadi. Beliau seorang daripada tiga ahli panel dalam perbincangan bertajuk Satu Akidah, dipengerusikan Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa. Dua ahli panel lain Prof Madya Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Fauzi Deraman dan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Hadir sama menyaksikan diskusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim. Uthman menegaskan, golongan pemerintah dan pentadbir yang dilantik dan dipilih adalah sah dalam Islam dan perlu diikuti, bukannya membelakangkan mereka. “Jika ada yang dirasakan tidak betul, kita boleh memberikan nasihat dengan cara yang baik, bukannya secara biadap dan tidak beradab. “Kalau kita kata ulil amri ini tidak sah, macam mana dengan imam atau kadi yang dilantik dan menikahkan kita, anak kita, apakah tidak sah nikah itu, apakah anak yang dilahirkan anak haram, macam mana pula dengan pembahagian harta pusaka dibuat mereka, apakah menjadi harta haram?” katanya. Beliau turut melahirkan perasaan kesalnya dengan gelagat sesetengah pihak yang ketawa apabila membincangkan isu perbezaan dalam mazhab seperti ibadat tawaf dan zakat dalam aliran Imam Syafie yang berbeza dengan beberapa mazhab lain. Katanya, umat Islam juga harus menyesuaikan diri dengan arus perdana di negara ini iaitu mengikuti ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukannya aliran lain daripadanya. Beliau juga mengingatkan semua pihak khususnya tokoh agama berkelayakan tidak melakukan sesuatu seperti mengeluarkan kenyataan dalam media hanya kerana mengejar populariti seperti selebriti, sebaliknya dengan niat yang ikhlas kerana Allah. “Adab intelektual Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak membuat kenyataan sensasi pada awam yang akhirnya tidak juga mencapai penyelesaian,” katanya. Sementara itu, Fauzi berkata, Islam agama yang satu, bahkan semuanya satu, iaitu satu akidah, satu syariat, satu rasul dan satu kiblat, cuma umat Islam susah hendak bersatu. “Apabila masing-masing tahu tak sempurna, perlu saling melengkapi. Orang awam harus diberi pengajaran dan dorongan yang betul,” katanya. Selain itu, katanya, umat Islam juga perlu kepada satu adab untuk memurnikan akidah, antaranya adab menghormati pandangan, iaitu bersangka baik dengan pendapat orang lain walaupun berbeza.

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Sumber: Harian Metro


Khamis, 19 November 2009

HURAIAN BERKENAAN DENGAN IBADAH KORBAN DAN HUKUM-HUKUM BERKAITAN DENGANNYA - AKHIR

9. HUKUM BERWAKIL MEMBELI DAN MENYEMBELIH KORBAN

Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan dengan berkumpulan sama ada atas nama kementerian, jabatan, persatuan, kampung dan sebagainya. Kadang-kadang ibadat korban itu sudah menjadi projek tahunan bagi pihak-pihak yang berkenaan itu.

Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah iaitu berwakil.

10.HURAIAN UMUM MENGENAI WAKALAH

Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.

Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama.

Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:
  1. Muwakkil (orang yang berwakil)
  2. Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)
  3. Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
  4. Shighah (ijab dan qabul). (I‘anah At-Thalibin: 3/100-101)

11.SHIGHAH DALAM WAKALAH

Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah korban berkenaan.

Disyaratkan ijab ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitabah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)

Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan aqad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabul (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.

Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukum wakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil kepada wakil yang dilantik.

Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab wakalah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada dengan lafaz yang sharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.

12. MELANTIK WAKIL KEDUA

Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itu pun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Majmuk: 14/218)

13. MEWAKILKAN SEMBELIHAN BINATANG KORBAN

Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali كرم الله وجهه untuk menyembelih bakinya.

14. PERSOALAN NIAT KORBAN

Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.

Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.

Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat, bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.

Lafaz Niat Dan Tawkil Dalam Korban

Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ الأُضْحِيَةَ المَسْنُونَةَ

Maksudnya: “Sahaja aku melakukan korban yang sunat”

Contoh lafaz berwakil:
“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau
“Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”

Contoh terima wakalah:
“Aku terima.”


15. PENUTUP

Oleh kerana hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.

Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.


Selamat Menjalani Ibadah Korban
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد

HURAIAN BERKENAAN DENGAN IBADAH KORBAN DAN HUKUM-HUKUM BERKAITAN DENGANNYA - BHG.3

7. CARA MENYEMBELIH BINATANG KORBAN

Cara menyembelih binatang korban itu ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari’ sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ itu pula ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.

Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu (belum putus) dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari’ belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).

Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.

Ketika hendak menyembelih binatang korban, sunat dibaca seperti berikut:

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد، بسم الله، اللهم صل على سيدنا محمد وآله وسلم، اللهم هذه منك وإليك فتقبل مني / فتقبل من

Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan kepada Allah lah kembali segala pujian. Dengan Nama Allah. Ya Allah Ya Tuhanku kurniakan selawat dan rahmat keatas Sayyidina Muhammad dan sekelian keluarga Baginda. Ya Allah ya Tuhanku, Ini korban daripadaMu dan kembali kepadaMu, maka terimalah korban daripadaku (atau terimalah ia daripada ……)

Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Yang demikian itu juga akan memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).

Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Sementara unta pula, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)

Sunat ditajamkan mata pisau bagi sembelih dan disembelih dengan kuat bersungguh-sungguh dan mengadap kiblat oleh yang menyembelih dan dihalakan ke kiblat akan binatang yang akan disembelih itu kerana kiblat itu semulia-mulia pihak.

Sunat diberi binatang itu minum sebelum ia disembelih. Kemudian sunat dibaringkan binatang itu dengan keadaan lemah lembut. Jangan diasah pisau sembelih dan jangan disembelih binatang yang lain di hadapan binatang yang akan disembelih itu.

Sunat dibiarkan binatang itu setelah disembelih sehingga ia mati.

Untuk kupasan lebih terperinci mengenai sembelihan, sila rujuk pada kitab-kitab feqah mengenai bab sembelihan.

7. PENAGIHAN DAGING KORBAN

Daging korban wajib:
Bagi korban wajib (korban nazar), maka yang demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan tanduknya.

Dan haram atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging tersebut walaupun sedikit. Jika dimakannya daging tersebut, maka wajib diganti kadar yang telah dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih binatang lain sebagai ganti.

Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.

Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

Daging Korban Sunat: Sebagaimana yang kita ketahui berkorban itu hukumnya sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya.

Sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala

فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ

yang bermaksud : “Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir”. (Surah Al-Hajj: 28)

Afdhalnya yang dimakan itu ialah hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, wajib pula disedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.

Ini bererti setiap orang yang berkorban sunat itu wajib menyediakan sebahagian daripada daging korbannya itu untuk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin. Tidak memadai jika daging-daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya misalnya. Hal inilah yang wajib diketahui oleh setiap orang yang berkorban.

Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga (1/3) untuk dimakan, satu pertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga (1/3) lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

Namun yang afdhalnya adalah disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada sifat mementingkan diri sendiri.

Sekalipun sah korban sunat seseorang itu, jika dimakan kesemua daging korbannya dan tiada sedikit pun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.

Memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang kaya Islam adalah harus. Walau bagaimanapun hadiah itu setakat untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya. Ini bererti dia tidak boleh menjualnya, menghibahkannya atau sebagainya kecuali menyedekahkannya kepada fakir atau miskin. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, di mana daging yang disedekahkan kepadanya itu adalah menjadi milik mereka. Mereka diharuskan menjual daging tersebut atau menghibahkan (memberikan) kepada orang lain.

Satu perkara lagi yang wajib kita ketahui ialah hukum haram menyedekah dan menghadiahkan daging korban kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat sekalipun sedikit kerana ia adalah perkara yang berhubung dengan ibadat. Didalam kitab Matla’ al-Badrain: 81 “… haram hukumnya memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi”. Oleh sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.

Kulit atau daging binatang korban itu haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah jika penyembelih itu orang miskin atau hadiah jika dia bukan orang miskin.

Sepertimana yang dijelaskan di atas, bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah. Ini bererti tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu bukan daging seperti kulit, hati, tanduk dan sebagainya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.

8. MENYEMBELIH BINATANG KORBAN DI LUAR NEGERI DAN DAGINGNYA DIAGIHKAN KE NEGERI YANG LAIN

Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.

Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?

As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.

Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya : "Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.” (I‘anat At-Thalibin: 2/380)

As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya : “Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.

Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (I‘anah At-Thalibin: 2/381)

Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil al-Muhtadin pula menyebutkan: “Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)

Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)

Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.

Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:

  • Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.
  • Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘anah At-Thalibin: 2:380)

Maka sebagi jalan keluar, adalah lebih munasabah menjalankan sembelihan korban bagi pihak yang berwakil terus sahaja ditempat-tempat atau negeri-negeri yang akan diagihkan daging korban itu. Dengan ini dapat dielakkan hukum pemindahan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri lain. Kalau diperhatikan sekarang terdapat egen-egen yang mengelolakan ibadah korban diluar Malaysia seperti di Kampuchea, Vietnam, Ambon, Darfur dll, dimana urusan penyembelihan dan pengagihan daging korban dilakukan ditempat-tempat tersebut.

HURAIAN BERKENAAN DENGAN IBADAH KORBAN DAN HUKUM-HUKUM BERKAITAN DENGANNYA - BHG.2

4. HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Hukum asal ibadah korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya. Walaubagaimanapun ianya boleh menjadi wajib apabila dinazarkan. Maka secara ringkasnya, korban itu terbahagi kepada 2:
  1. Korban sunat (muakkad – yakni tersangat dituntut mengerjakannya)
  2. Korban wajib

Bagaimana korban boleh menjadi wajib? Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada:
  • Nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun
  • Nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :
من نزر أن يطيع الله فليطعه
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar dan nazar dari segi hukum?

Nazar sebenar/hakiki itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.

Binatang yang dinazarkan sebagai korban atau binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan). Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.

Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.

Orang yang membuat korban bagi simati dengan izinnya (yakni dengan wasiatnya) wajiblah atasnya bersedekah kesemuanya. Tidak ada bahagian untuk dirinya atau orang-orang dibawah tanggungannya (nafkah), kerana ianya merupakan orang yang menerima dan orang yang menyerah. (Matla al-Badrain)

Bapa atau datuk boleh melaksanakan korban bagi orang yang diwalikan seperti anak dan cucunya dengan diambil perbelanjaan daripada harta ayah atau datuk atau anak atau cucu itu sendiri.

5. WAKTU MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Waktu penyembelihan korban bermula sesudah matahari terbit pada 10 Zulhijjah (Hari Raya Haji) dan sesudah kadar selesai sholat dua rakaat sholat hari raya dan dua khutbah pendek/ringan. Manakala yang afdhalnya adalah ketika matahari naik segalah. Waktu penyembelihan korban berlanjutan sehingga terbenamnya matahari 13 Zulhijjah. Ringkasnya: 10 Zulhijjah – 13 Zulhijjah.

Jika binatang korban disembelih selepas berakhirnya hari Tasyriq (setelah berlalunya hari Tasyriq yang terakhir) sembelihan itu tidak dianggap sebagai korban kerana dilakukan setelah berlalu masa yang diharuskan. Tetapi bagi korban wajib (korban nazar) yang masih belum disembelih di dalam waktunya yang diharuskan, sehingga habis masa, ia wajib menyembelih binatang itu (walaupun diluar waktu) dan sembelihan itu dikira qadha. (I’aanah at-Tholibin, Juz 2; hal: 331)

6. JENIS-JENIS BINATANG YANG BOLEH DIJADIKAN KORBAN SERTA SYARAT-SYARATNYA

Binatang yang sah disembelih untuk dibuat korban itu ialah:

Binatang korban itu hendaklah binatang ternakan (an‘am) seperti unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكاً لِّيَذْكُرُواْ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِّن بَهِيمَةِ ٱلأَنْعَامِ

Maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu".(Surah al-Hajj: 34)

Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud korban, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadits:


خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم مهلين بالحج فأمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشترك في الإبل والبقر كل سبعة منا في بدنة

Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (dari Madinah) mengucapkan لا إله إلا الله, dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah".(Hadits riwayat Muslim)

Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah korban tersebut.

Afdhalnya binatang yang dibuat korban itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.

Binatang itu hendaklah cukup umur. Dari Jabir bin Abdillah رضي الله عنه, sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:


لاَ تَذْبَحُوا إِلاَّ مُسِنَّةً إِلاَّ أَنْ يَعْسُرَ عَلَيْكُمْ فَتَذْبَحُوا جَذَعَةً مِنَ الضَّأْنِ

Maksudnya: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri." (Hadits riwayat Muslim)


Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang korban itu ialah:
  1. Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.
  2. Lembu, kerbau dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ketiga.
  3. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu‘ 8/286-287 dan I‘anah ath-Thalibin 2/518)

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda bermaksud: Binatang korban yang paling bagus adalah jadza kambing (Hadith riwayat Termizi dan Ahmad)

Uqbah bin Amir رضي الله عنه telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku mempunyai jadza. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Berkorbanlah dengannya. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Syafie kalimah jadza dalam hadith-hadith diatas itu bermaksud kambing biri-biri yang berumur satu tahun. Dan menurut Imam Nawawi: Keseluruhan ulama mazhab telah mengharuskan anak biri-biri yang berumur satu tahun (untuk korban) meskipun ia mendapat binatang lain ataupun tidak.

Didalam kitab Hasyiah al-Baijuri, Juz 2, halaman 306, ada menyebut “Mengikut pendapat yang rajih, apabila biri-biri yang belum sampai umur satu tahun tetapi telah bersalin giginya selepas ia berumur enam bulan maka boleh dibuat korban.”

Binatang jantan yang tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat korban.

Yang lebih afdhal berbuat korban bagi seseorang itu dengan seekor unta, kemudian seekor lembu, kemudian seekor kibasy, kemudian seekor kambing, kemudian berkongsi seekor unta atau seekor lembu dan tujuh (7) ekor kambing lebih afdhal dari seekor unta dan seekor lembu atau kerbau.

Binatang terafdhal untuk dijadikan korban ialah unta, kemudian lembu kemudian biri-biri dan kemudian kambing. Ini dinisbahkan dengan banyaknya daging kepada setiap jenis binatang.

Tujuh (7) ekor biri-biri untuk korban adalah lebih afdhal daripada tujuh (7) ekor kambing untuk korban. Manakala tujuh (7) ekor kambing adalah lebih afdhal daripada satu ekor unta untuk korban kerana bertambahnya taqarrubnya kepada Allah dengan banyaknya darah yang mengalir daripada sembelihan binatang korban.

Binatang korban itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الْأَضَاحِيِّ فَقَالَ: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا، وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا، وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ضَلْعُهَا، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى

Maksudnya: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: "Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang kurus dan lemah." (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan korban itu ialah:

  1. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dibuat korban.
  2. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.
  3. Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat korban.
  4. Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.
  5. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.
  6. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat korban. (Sabilal Muhtadin 2/227)
  7. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban. (Muhammad Asy-Syarbibi, Al-Iqna’ fi hilli al-Faaz Abi Syuja’, Juz 2, halaman 280)
  8. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.
  9. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu‘ 8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Pendapat ini adalah muktamad. Mengikut Ibn al-Rif’ah memadai korban daripada binatang yang bunting. Bagi binatang yang baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)

Binatang yang harus dibuat korban itu tidak kira samada jantan atau betina atau khuntha.

Binatang yang dikasi, sah dan harus dibuat korban, kerana dengan dikasi tubuhnya semakin bertambah gemuk. (Muhammad Asy-Syarbibi, Al-Iqna’ fi hilli al-Faaz Abi Syuja’, Juz 2, halaman 280)

Tambahan: Ibnu Abbas رضي الله عنهما berpendapat bahawa adalah memadai korban itu hanya dengan “menumpahkan darah” walaupun dengan binatang seumpama ayam atau itik, sebagaimana yang dikatakan oleh Midaani. Syeikh (guru) bagi Syeikh al-Bajuri menyuruh supaya bertaqlidkan kepada pendapat Ibn Abbas ini dan beliau mengqiaskan ‘aqiqah keatas korban dan menyuruh sesiapa [yang tak mampu] yang memperolehi anak membuat aqiqah dengan ayam jantan berdasarkan kepada mazhab Ibn Abbas. (Hasyiah al-Allamah Baijuri & Matla al-Badrain) – Yang ni bagi mereka yang tersangat tak mampulah!




Related Posts with Thumbnails