Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis
(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Teguran serta tunjuk ajar dari tuan-tuan sekalian sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab hikam, seandainya anda tidak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. Adapun syarah Tok Pulau Manis ini juga memerlukan penjelasan yang halus lagi untuk memahaminya. Sekian.
إدفن وجودك في أرض الخمول فمانبت ممالم يدفن لم يتم تتاجه
Artinya: Tanamkanlah olehmu keadaanmu dalam bumi yang tersembunyi, maka barang yang tumbuh daripada yang tiada ditanam, maka tiada sempurna tumbuhnya.(Maka) yang dikehendaki oleh shaikh رضي الله عنه pada kata ini bahawa sanya engkau [bersembunyi] daripada [syuhrah atau kemasyhuran] engkau dan sentiasa ikhlas bagimu maka bahawa sanya selama selagi yang salik itu berpaling kepada suatu maqam atau kepada suatu hal atau kepada syuhrah [kemasyhuran] maka tiada dapat ia bagi maqam mahabbah iaitu terlebih tinggi daripada segala maqam.
(Dan) dengan ma’ana inilah mengisyaratkan Shaikh Ruslan al-Dimasqi رضي الله عنه dengan katanya tiada dapat engkau selagi ada padamu tinggal bagi lainnya, maka barangsiapa ada padanya tinggal, maka tiada sempurna tumbuhnya kerana bahawasanya faqir itu ialah orang yang bersunyi pada segala rupa yang hissiyyah dan maknawiyyah dan terhijab daripada segala aghyar. (Dan) adalah hal manusia itu atas tiga perkara, suatu [pertama] yang kasih bagi syuhrah, kedua yang benci baginya, ketiga bagi yang menyerahkan bagi amar [urusan] Tuhannya.
(Dan) kata Ibrahim bin Adham رضي الله عنه tiada mentasdiqkan akan Allah orang yang kasih ia akan syahwat[1] [sepatutnya dibaca dengan syuhrah – abu zahrah. والله أعلم]. (Dan) kata Isa عليه السلام bagi segala sahabatnya: Dimana tumbuh biji? Kata mereka itu: Dalam bumi. Kata Isa: Maka seperti demikian itu hikmah hanya tumbuh ia dalam hati seumpama bumi. (Dan) kata Shaikh Abu Abbas al-Mursi رضي الله عنه barangsiapa menghendaki akan dzuhur maka iaitu hamba dzuhur, maka barangsiapa menghendaki akan tersembunyi maka iaitu hamba tersembunyi dan hamba Allah itu bersamaan atasnya keduanya itu.[2]
_________________________________________
Notakaki:
[1] Terdapat sedikit kesalahan cetak pada teks yang saya gunakan. Perkataan syahwat sepatutnya dibaca dengan syuhrah. Rujukan telah dibuat berdasarkan kepada beberapa buah kitab Syarh Hikam.
مَاصَدَقَ اللهَ مَنْ أَحَبَّ الشُّهْرَةَ
Tiada mentasdiqkan akan Allah orang yang kasih ia akan syuhrah.Kata-kata Ibrahim bin Adham ini juga disebut oleh Shaikh Abdusshamad al-Falimbani رحمه الله didalam kitab Sairus Saalikin pada bab yang menerangkan kecelaan kasih kepada kemegahan dan riya’: “Dan kata Ibrahim bin Adham رضي الله عنه (artinya): Tiada membenarkan akan Allah Ta’ala oleh seorang yang kasih akan dimasyhurkan akan dia oleh orang banyak”.
Didalam hikam al-Kurdi ada dikatakan: Jauhkan dirimu dari menyintai kemasyhuran dan populariti, berapa banyak orang-orang terkemuka [dikalangan kaum shufi] diuji dengan dua hal itu.
[2] قال أبو العباس المرسي – من أحب الظهور فهو عبد الظهور ومن أحب الخفاء فهو عبد الخفاء وعبد الله سواء عليه أظهره أم أخفاء
1 komen:
Assalamu'alaikum
Mohon izin dan ridhonya...saya ada copy dari tulisan saudara(Wasiat Abuya Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani رضي الله عنه.) Semoga Allah SWT ridho dengan segala amal perbuatan saudara. Thanks.
Catat Ulasan