Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
(Keaiban Nafsu Yang Ke 25, 26 dan 27)
(Keaiban Nafsu Yang Ke 25, 26 dan 27)
Penyakit Keduapuluh Lima: Tamak haloba dalam memakmurkan kehidupan duniawi(1) serta berlebih-lebihan di dalam perkara itu.
Rawatannya: Ialah menyedari bahawa dunia ini bukanlah tempat yang kekal. Sebaliknya akhiratlah kesudahan yang kekal abadi. Orang yang berakal itu akan berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk menikmati kehidupannya yang kekal abadi bukannya menghabiskan tenaga sewaktu di dalam perjalanan. Firman Allah Ta’ala:
اعْلَمُواْ أَنَّمَا الْحَيَوةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِى الاٌّمْوَلِ وَالاٌّوْلْـدِ…
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasana (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah diantara kamu (dengan berlebih-lebihan) dan kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan hartabenda dan anak-pinak….” (Surah al-Hadid:20)
Firman Allah Ta’ala:
….. وَالاٌّخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَى …..
Maksudnya: “ …. Dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa …” (Surah an-Nisa’:77)Firman Allah Ta’ala lagi,
….وَالدَّارُ الاٌّخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ …..
Maksudnya: “… dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa ….”. (Surah al-A’raf:169)Penyakit Keduapuluh Enam: Menganggap baik kerja-kerja yang dihasilkan oleh nafsu (amarah) tetapi menganggap tercela perbuatan yang menyalahi kehendak hawa nafsu itu.(2)
Rawatannya: Ialah dengan mencela nafsu (amarah) kerana ia (nafsu amarah) berterusan menyuruh kepada perbuatan keji, bersangka buruk sesama makhluq serta menganggap ringan balasan azab dari Allah.(3)
Penyakit Keduapuluh Tujuh: Merasa kasihan belas kepada nafsu, patuh melaksanakan tuntutannya.
Rawatannya: Ialah berpaling daripada nafsu (amarah) serta kurangkan perhatian terhadapnya. Kata al-Sulamiy: “Aku mendengar datukku berkata, sesiapa yang memuliakan nafsunya, dia akan menghina agamanya.” (4)
_____________________________________
Notakaki:-
(1) Komentar dari pentahqiq kitab ini (Dr. Muhammad al-Sayyid al-Julainid): Tidak syak lagi bahawa usaha memakmurkan mukabumi ini adalah antara tuntutan Islam. Ia adalah tugas manusia dan menjadi sebab kepada diutuskan manusia di atas mukabumi. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud : 61).
Perintah yang terkandung di dalam ayat tersebut adalah wajib dilaksanakan berdasarkan kemampuan. Tetapi as-Sulami menganggap ini adalah termasuk di dalam persoalan penyakit yang menghinggapi jiwa. Sayogia diketahui bahawa aliran ini bukanlah bersifat dominan didalam aliran kesufian Islam secara keseluruhannya. Melainkan ianya adalah aliran yang bersifat negatif dan hanya kelompok tertentu didalam tasawwuf. Mereka memberikan perhatian di dalam masalah ini adalah kerana bimbang hati manusia akan terikat dengan selain Allah. As-Sulami tidak bermaksud berusaha mencari rezeki yang halal itu sebagai tanda jiwa yang berpenyakit tetapi yang ingin dijelaskan adalah disebalik itu. Lihat penyakit jiwa yang ke-58.
[Tambahan dari hamba yang faqir lagi haqir abuzahrah] Pada pandangan hamba yang faqir lagi haqir ini, secara ringkasnya, maksud as-Sulami adalah ditujukan kepada mereka yang tamak memburu dunia sehingga melupakan Allah. Mereka mengutamakan kehidupan dunia dari akhirat. Mereka memburu dunia untuk kepentingan nafsu mereka semata-mata. Dunia bertapak didalam hati mereka, sedangkan sebahagian dari para salaf dahulu sentiasa berdoa.اللهم اجعلها في أيدينا ولا تجعلها في قلوبنا . Dunia dijadikan jambatan keakhirat. Dunia yang dikurniakan Allah kepada mereka diinfaqkan kembali kejalan Allah, bukan untuk kepentingan nafsu. Kita dituntut zuhud terhadap dunia. Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu di dalam tangan, tetapi ia adalah tidak terpesonanya hati dengan dunia walaupun ia jatuh ke dalam miliknya. Bukanlah zuhud itu dengan meninggalkan atau mengharamkam yang halal, bukan juga membuang harta, boleh jadi seorang yang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong dari dunia (dunia tidak bertapak dihatinya), dan boleh jadi orang faqir itu adalah orang yang bersifat duniawi apabila hatinya amat berkehendakan (bercita-cita memiliki) dunia (dunia bertapak dihatinya walaupun belum memilikinya). Wallahu a'lam.
(2) Menurut Shaikh Ahmad bin Muhammad az-Zarruq, tanda orang redha pada nafsu ada tiga iaitu:-
- Melihat yang benar bagi nafsunya - melihat dirinya yang benar. Maka segala perkara dilakukan adalah bertitik-tolak dari dirinya.
- Belas kasihan terhadapnya – memanjakan diri dengan mengikuti segala kehendaknya
- Menutup segala keaibannya dengan mensucikannya – iaitu dia melihat keaibannya sebagai suatu yang baik dengan membuat takwilan-takwilan sedangkan dia tahu bahwasanya perkara yang dilakukan itu adalah tidak baik.
(3) Maksudnya celalah kejahatan nafsu tersebut dan jinakkanlah dia dengan mengerjakan ketaatan, bersangka baik sesama makhluk [asy-Syaikh Abu Bakar bin Salim berkata di dalam syairnya: Wahai Pemuda! Hendaklah bersangka baik kepada semua makhluk, kerana sesungguhnya (asrar) rahsia-rahsia Tuhanmu tersebar pada makhluk-makhlukNya], memandang berat segala azab yang dijanjikan oleh allah kepada pelaku maksiat dan dosa dan seterusnya …. [tambahan dari hamba yang faqir lagi haqir abuzahrah]
(4) Berkata Zun Nun al-Mishri: Jangan engkau berteman dengan Allah kecuali dengan melakukan perkara-perkara yang muwafakat dengan perintahNya, jangan bergaul dengan makhluk kecuali dengan saling nasihat-menasihati, jangan beserta nafsu kecuali dengan menyalahinya (menentangnya) dan jangan berserta dengan syaitan kecuali dengan permusuhan/perseteruan.
0 komen:
Catat Ulasan