Khamis, 27 Januari 2011
Peringatan Dari Mufti Betawi Mengenai Adab Majlis Maulid
Al-Habib Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil bin 'Umar bin Yahya al-'Alawi. Lahir di Pekojan Betawi (Jakarta) pada 17 Rabi'ulawwal 1238H/2 Disember 1822M. Beliau adalah Mufti Betawi. Antara guru-guru beliau adalah Syeikh Ahmad ad-Dimyathi, Sayyidi Ahmad bin Zaini Dahlan, al-Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi, Syeikh Rahmatullah, al-Habib Hasan al-Bar, al-Habib 'Abdullah bin Hussin bin Thohir, al-Habib 'Abdullah bin Umar bin Yahya dan lain-lain. Beliau adalah teman kepada Mufti Beirut, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani. Beliau aktif menulis. Karya beliau berjumlah 109 judul besar dan kecil. Al-Habib Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil bin 'Umar bin Yahya wafat pada tahun 1333H.
Antara karya beliau adalah Ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم . Digunakan perkataan "Ad-Durr" pada awal judul kerana ada pada cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 hijrah. Tetapi, pada edisi cetakan di Betawi digunakan perkataan "Az-Zahar". Tidak ada tarikh mula mahupun selesai penulisan. Semua edisi cetakan diberi keterangan pada bahagian atas dengan kalimat- "Ini kitab menyatakan perihal junjungan kita Saidina wa Maulana Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan sebutan mauludnya dan mi'rajnya dan kelakuannya dan perkataannya dan budi bahasanya. Yang sekalian itu elok dan harum hingga dirupakan dengan bunga ros ."
Sebelum memasuki perbicaraan maulud [Habib 'Utsman Betawi menggunakan istilah "maulud" bukan "maulid". Istilah "maulud" memang digunakan sejak dulu hingga bertukar secara perlahan-lahan pada 1970an] , Habib 'Utsman Betawi terlebih dulu membicarakan adab itu, yang beliau bahagikan pada "Empat Faedah". Ikuti sedikit nukilan dari kitab tersebut yang dipetik daripada tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah.
Kata beliau: "Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.
Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dengan sehabis-habis hormatnya..." Habib 'Utsman Betawi mengulas pada bahagian ini dengan agak panjang, menurut beliau bahawa jika mengadakan "Maulud Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم" janganlah ada di tempat itu jenis "berhala yang dibenci oleh junjungan kita dan oleh malaikat."
Masih dalam "Faedah yang pertama", Habib 'Utsman Betawi berpendapat: "Dan lagi, tiada pantas pula dibaca itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding [pemisah] antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."
Habib 'Utsman Betawi menegaskan lagi: Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."
Pada "Faedah yang kedua", Habib 'Utsman Betawi menyebut beberapa kitab yang beliau rujuk, antaranya Maulud al-Barzanji, Syaraf al-Anam dan syarahnya.
Selanjutnya mengenai "Faedah yang ketiga", Habib 'Utsman Betawi menulis: "Dibaca di waktu ini Maulud-Mi'raj kapan sahaya [ bila-bila sahaja], maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya. Dan lebih afdal dibaca pada malam 27 bulan Rejab dan pada malam atau pada hari 12, bulan Rabi'ul Awwal adanya."
Terakhir, "Faedah yang keempat", Habib 'Utsman Betawi menggalakkan bacaan selawat, kata beliau: "Jika yang membaca sampai bacaannya kepada suatu fasal, maka dibaca olehnya berserta sekalian yang hadir akan selawat yang ada antara fasal itu berserta doanya".
Selawat dan doa lafaz Arab dan terjemahnya dalam bahasa Melayu beliau sebut pada "Faedah yang keempat" ini. Habib 'Utsman Betawi memulakan riwayat Maulud Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم diawali dengan Jibril mengambil sekepal tanah dari tempat yang nantinya menjadi kubur Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di Madinah.
Kalimat selengkapnya: "Bermula waktu masa yang telah ditakdirkan oleh Allah akan kejadian Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, maka berperintah oleh-Nya akan Jibrail mengambil segempal tanah daripada tanah yang bercahaya, daripada bahagian tempat kubur Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di negeri yang mulia, iaitu negeri Madinah al-Munawwarah.
Maka, lalu turun Jibrail diiringi oleh segala malaikat al-Firdaus dan malaikat ar-Rafi' al-A'la. Maka diambil oleh Jibrail akan yang demikian itu. Maka digulingkannya di syurga dan dicelupkannya di sungai syurga yang bernama Tasnim. Maka bertambah bersinar-sinar cahayanya, lebih dari segala kamalan [keadaan kesempurnaan] syurga. Dan digulingkannya pula di 'Arasy, dan Kursi, dan segala langit dan bumi dan laut. Hingga diketahui oleh segala mereka itu akan kejadian Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم sebelum diketahui oleh mereka itu akan kejadian Nabi Adam عليه السلام..."
Jom Bermaulid!
Sekian dari al-Fagir Abu Zahrah.
Taman Seri Gombak
Dhuha, Khamis, 22 Shafar 1432/27 Januari 2011
Kategori Maulid
Catatan al-fagir abu zahrah pada Khamis, Januari 27, 2011 0 komen
Sabtu, 22 Januari 2011
Buku Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama - Inilah Jawapannya: Tempah Segera Sebelum Terlambat!
Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas |
Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam. Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Qur’an, hadits, maupun sumber-sumber istinbath yang lain. Jika masih terdapat di kalangan mu’taridhin (golongan yang menentang amalan-amalan tertentu di dalam masyarakat) yang tetap dengan hujah dan pendapat mereka dalam permasalahan khilafiyyah ijtihadiyyah umpamanya, maka mereka dipersilakan untuk mengikut jalan mereka sendiri dan bukanlah bermakna jalan atau pendapat orang lain yang tidak sependapat dengan mereka salah.
Biodata ringkas penyusun buku ini: Beliau adalah Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Berasal dari Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di SRK Senari dan di SMK Agama Matang 2, Kuching. Mendapat ijazah Sarjana Muda (Al-Qur’an & Hadith) dan Sarjana (Tafsir al-Qur’an) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Sedang menyiapkan tesis Phd dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya. Sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.
Apa kata alim-ulama kita tentang buku ini?
Sahibus Samahah,Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi, Mantan Mufti Negeri Sarawak
“Buku yang bertajuk “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya…” yang disusun dan ditulis oleh Yang Berbahagia, Ustaz Muhadir bin Haji Joll diterbitkan untuk dijadikan panduan kepada kaum muslimin. Saya dapati buku ini adalah baik dan bermanfaat kepada mereka yang berminat untuk mengetahui dalil-dalil dan hujjah-hujjah permasalahan yang tersebut menurut pandangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.”
Dato‘ Haji Hashim Yahya, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Felo Kehormat Akademik, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya…” adalah tepat pada masanya untuk menjawab persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan dalam masyarakat. Penyusun dan penulisnya, Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll, telah berusaha menjawab persoalan-persoalan ini dengan merujuk kepada penjelasan para ulama’ muktabar dan berwibawa dari kalangan mutaqaddimin dan muta’akhkhirin.”
Dato‘ Haji Wan Mohamad bin Dato‘ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah dan Pendirian Ulama’: Inilah Jawapannya…” adalah amat tepat pada masanya. Saya percaya ia akan menjadi rujukan yang sangat berguna dalam menjawab persoalan khilafiyyah yang ditimbulkan di dalam masyarakat. Tujuan penulisan buku ini pula seperti yang disebutkan oleh penulisnya, adalah sejajar dengan usaha JAKIM dalam memberi kefahaman Islam yang benar, di samping mempertahankan kesucian aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mengekalkan keharmonian masyarakat.
Dato’ Haji Md. Saleh Haji Md. @ Ahmad,Timbalan Yang Di Pertua,Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM),Felo Kehormat Akademik, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sepanjang pengetahuan saya, inilah buku berbahasa Melayu paling lengkap yang pernah saya jumpa, yang menjawab hampir keseluruhan perkara-perkara yang sering ditimbulkan di dalam masyarakat terutamanya di dunia Melayu Islam. Tajuk-tajuk di dalam buku ini disusun dengan baik sekali bermula dari perkara-perkara yang melibatkan Aqidah sehinggalah kepada perkara Umum yang meliputi 117 tajuk keseluruhannya, beserta penjelasan daripada para ulama’ yang muktabar.
Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Pemikir Islam/ Felo Amat Utama Akademik, Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Saya bersyukur kepada Allah dengan kesyukuran yang tidak terhingga kerana Ia telah mengurniakan taufiq dan hidayat kepada saudara yang mulia Ustaz Muhadir bin Haji Joll untuk menyediakan kitab yang sangat besar faedahnya dalam menerangkan masalah-masalah agama dalam masyarakat yang berjudul “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya…
Kategori khas
Catatan al-fagir abu zahrah pada Sabtu, Januari 22, 2011 0 komen
Rabu, 12 Januari 2011
CATATAN PERJALANAN ABU ZAHRAH KE TARIM, HADRAMAUT, YAMAN - SIRI 3
Kota Tarim |
Sudah agak lama al-Fagir tidak update catatan ini. Bukannya apa, cuma malas nak menaip. Tapi semalam sewaktu mengemaskini buku-buku, terjumpa pulak sebuah risalah kecil yang bertajuk Tarim dan Kaum Sholihin – Kisah Perjalanan Seorang Moroko ke Tarim. Sebuah catatan yang menarik. Maka timbul pula rasa bersemangat untuk terus berkongsi catatan perjalanan al-fagir. Tapi untuk entri kali ini, ingin al-Fagir berkongsi sedikit kandungan buku atau risalah yang al-fagir sebut di atas.
Adapun kisah perjalanan lelaki dari Moroko (Maghribi) ini berlaku pada tahun 865H. (iaitu 567 tahun dahulu). Pada tahun inilah wafatnya Sayyidina al-Imam ‘Abdullah al-Aidarus al-Akbar bin al-Imam Abu Bakar as-Sakran. (Managib beliau boleh mai baca tang ni...)
Lelaki dari Maghribi ini melakukan perjalanannya setelah menunaikan ibadat haji dan menziarahi Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Beliau berangkat dari Jeddah ke Hadramaut bersama-sama dengan al-Habib Muhammad bin Ahmad dan seorang lelaki dari marga BaFadhal yang menjadi khadam kepada al-Habib Muhammad bin Ahmad.
Lelaki Maghribi ini memulakan catatannya …..
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Inilah catatan ringkas tenntang perjalananku ke kota Tarim. Jauh sebelum kunjunganku ke Tarim, ayahku (semoga Allah merahmatinya) telah melakukan perjalanan ke kota yang penuh barokah ini. Waktu itu aku masih kecil. Setelah dewasa, aku mendengar ayah berulangkali menceritakan perjalanannya ke Hadhramaut dalam majlisnya. Pernah suatu hari, ketika bercerita tentang Tarim, beliau seakan-akan hanyut dalam menyifatkan ilmu dan amal para asyraf (yakni ahlulbait Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم) yang mendiami Tarim. Sehinggakan dia mengakhiri kisahnya dengan ucapan:
إنهم بالملآئكة أشبه
Ertinya: Sesungguhnya mereka (ahlulbait di Tarim) lebih menyerupai malaikat
Kalimat ayahku ini begitu memberi bekas dihatiku sehingga bilapun aku beroleh kesempatan, aku selalu meminta beliau untuk mengulangi kembali ceritanya.
Satu hari aku berkata kepada ayahku: “Andaikata, ayah mencatatkan kisah perjalanan tersebut”.
Jawab ayahku: “Aku telah mencatatnya”.
Tidak lama kemudian ayahku meninggal dunia, (semoga Allah merahmatinya). Sepeninggalan ayah, aku berusaha mencari cacatan perjalannya ke Tarim, namun aku tidak berhasil menemukannya. Sementara ini kisah-kisah yang ayahku ceritakan mengenai kemuliaan sifat para ashraf yang suci dan disucikan itu sering terngiang-ngiang di telingaku. Seringkali terlintas dihatiku keinginan untuk mengunjungi kota Tarim untuk menziarahi para ulama dan wali dari ahlulbait yang tinggal disana.
Menjelang musim haji, timbullah tekadku untuk menunaikan ibadah haji dan seterusnya mengunjungi kota Tarim …… bersambung di entri-entri seterusnya …. insyaAllah.
Al-Fagir di hadapan Qubah al-Imam al-Habib 'Umar bin 'Abdurrahman al-'Atthos di Huraidhoh (Shohib Ratib al-'Atthos) |
Al-Fagir di hadapan Qubah Syeikh Abu Bakar bin Salim di 'Inaat |
Kategori Catatan Perjalanan Abu Zahrah ke Tarim - 1431/2010
Catatan al-fagir abu zahrah pada Rabu, Januari 12, 2011 0 komen
Ahad, 9 Januari 2011
Ratib al-Haddad: Sebab Ianya Disusun
Tersebut di dalam kitab Syarah Ratib al-Haddad karangan al-Habib ‘Alwi bin Ahmad bin al-Hasan bin ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad, iaitu cicit kepada Imam al-Haddad رضي الله عنه:
وسبب هذا الراتب الشريف، أنه لمَا سمع سيدُنا صاحب الراتب بخروج الزيدية على حضرموت، خاف على تغييرهم عقائد العامة، فورد عليه هذا الراتب في شهر رمضان ليلة سبع عشر منه، وكانت ليلة القدر سنه ١٠٧١هـ ، كما ذكره تلميذه الأحسائي فيما سبق من الكتاب
Maksudnya: Sebab disusun Ratib yang mulia ini (yakni Ratib al-Haddad), bahwasanya tatkala Sayyiduna Shohibur Ratib (yakni al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه) mendengar masuknya fahaman Syi'ah Zaidiyyah ke Hadramaut. Beliau khuatir fahaman tersebut mengubah aqidah orangramai. Maka beliau menyusun ratib ini pada malam ke tujuhbelas daripada bulan Ramadhan. Adalah tersebut malam lailatulqadar tahun 1071H*, sebagaimana disebut oleh murid beliau al-Ahsai**. (Syarh Ratib al-Haddad, terbitan Pustaka Nasional, Singapura & Dar al-Mukhtar, Surabaya halaman 258)
- * ini bermakna ratib yang mulia ini disusun oleh al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه ketika beliau berusia 27 tahun. Pada tahun tersebut juga beliau selesai mengarang kitab Risalah Aadab Suluk al-Murid (رسالة آداب سلوك المريد) tepatnya pada tanggal 7 atau 8 Ramadhan, 1071H.
- ** beliau adalah asy-Syeikh Ahmad bin ‘Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar al-Ahsai. Merupakan murid dan pembantu al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه. Beliau ada sebuah karya berjudul Tatsbitul Fuad ( تثبيت الفؤاد) yang mana beliau mengumpul pengajaran, nasihat dan kata-kata al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه
Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah, Asar 3 Shafar 1432H
Taman Seri Gombak
(buat teman-teman yang meminta al-fagir tulis tentang syi’ah, insyaAllah akan al-Fagir tulis seandainya punya kelapangan, afwan)
Kategori Rauhah al-Haddad, syiah
Catatan al-fagir abu zahrah pada Ahad, Januari 09, 2011 0 komen
Langgan:
Catatan (Atom)