Khamis, 9 Disember 2010

Muharram 1432 - Apa Nak Buat?

 
Disunatkan Berpuasa

Bulan Muharram adalah merupakan salah satu daripada 4 bulan HARAM. Dan di antara keempat-empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk melakukan puasa adalah pada bulan Muharram. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

أفضل الصيام بعد رمضان شهر اللّه المحرّم، وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل

Maksudnya: “Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah, iaitu bulan Muharram, dan sembahyang yang afdhal sekali selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Syeikh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam Lathoiful Ma’arif mengatakan: Hadits ini dengan tegas mengatakan bahwa seutama-utamanya puasa sunat setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, Muharram.” Beliau juga mengatakan bahwa puasa di bulan Muharram adalah seutama-utamanya puasa sunat muthlaq.

Manakala dalam Fathul Mu’in menyatakan: Bulan-bulan yang afdhal untuk berpuasa setelah bukan Ramadhan adalah asyhurul hurum [bulan-bulan haram iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah, Muharram dan Rejab] Dan yang paling afdhal daripadanya adalah Muharram kemudian Rejab, kemudian Dzul Hijjah kemudian Dzul Qaedah, kemudian Sya’ban [bulan Sya’ban tidak termasuk didalam asyhurul hurum]

Diantara hari-hari yang dianjurkan berpuasa adalah pada hari ke 9, 10 dan 11 Muharram. Tersebut di dalam kitab al-Bahr al-Waafi wa Nahr al-Shaafi karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani:

…… (Dan sunnah) muakkad puasa hari ‘asyura iaitu hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram karena ia mengkafaratkan dosa setahun yang lalu seperti yang tersebut pada hadits Muslim (Dan sunnah) puasa pada hari taasuu’a iaitu hari yang kesembilan daripada bulan Muharram kerana hadits Muslim, sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :
لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع فمات قبله
Yakni sungguhnya jika hidup aku kepada tahun yang lagi akan datang, nescaya aku puasa pada hari yang kesembilan. – Maka wafat ia [Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم] dahulu daripadanya.

(Dan sunat puasa) hari yang kesebelas daripada bulan Muharram kerana warid hadits pada puasa hari yang kesebelas dan kesepuluh dan yang kesembilan daripada bulan Muharram yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
صوموا يوم عاشوراء وخالفوا اليهود وصوموا قبله يوما وبعده يوما
Yakni puasa oleh kamu hari ‘Asyura dan menyalahi kamu akan Yahudi dan puasa oleh kamu dahulunya sehari dan kemudiannya sehari. [al-Bahr al-Waafi wa an-Nahr al-Shofi,halaman 374]

Puasa ‘Asyura itu menebus dosa tahun yang dahulunya, sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadits:
عن أبي قتادة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صيام عاشوراء؟ فقال: يكفّر السنة الماضية - رواه مسلم وغيره

Maksudnya: Daripada Sayyidina Abu Qatadah رضي الله عنه, bahwa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ditanya mengenai (fadhilat) puasa ‘asyura. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Puasa ‘asyura menebus dosa tahun yang dahulunya.

Menyenangkan hati kaum keluarga

Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Sa’id al-Khudri Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

من وسع على أهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته

Maksudnya: “Barangsiapa yang melapangkan (menyenangkan)keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun.” (Hadits riwayat Ibn Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi)

Hadits tentang melapangkan (menyenangkan) keluarga pada hari ‘asyura ini diriwayatkan oleh 5 orang shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Mereka adalah Sayyiduna Jaabir bin ‘Abdullah, Sayyiduna ‘Abdullah bin Umar, Sayyiduna ‘Abdullah bin Mas’ud, Sayyiduna Abu Sa’id al-Khudri dan Sayyiduna Abu Hurairah رضوان الله عليهم أجمعين. Walaupun ianya berstatus dhaif, namun dengan banyaknya jalan riwayat, maka ia saling menguatkan antara satu sama lain.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadis di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya. Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadis di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya.

Mengenai Tradisi Kacau (Memasak) Bubur ‘Asyura

Sepertimana yang al-Fagir pernah tulis pada awal Muharram 1429 dulu iaitu satu tradisi yang diadakan dikampung-kampung adalah membuat bubur ‘Asyura, maka hari ini al-Fagir ulang semula. Adapun mengenai tradisi ini ada disebut didalam kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid yang dikarang oleh al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani iaitu pada halaman 132:

(Dan kata) Syaikh Ajhuuri dan aku lihat bagi orang yang lain nashnya bahwasanya [Nabi] Nuh [عليه السلام] tatkala turunnya dari safinah [bahtera] dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahwa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang ‘adas dan ini dengan kacang ful [pol] dan ini dengan setapak tangan kacang himmasun [kacang kuda] hingga sampai tujuh biji-bijian bagi jenisnya dan adalah ia pada hari ‘asyura, maka mengucap Nabi Nuh عليه السلام dengan bismillah dan dimasakkan dia, maka sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyiduna Nuh عليه السلام . Firman Allah Ta’ala:

قيل يا نوح اهبط بسلام منا وبركات عليك وعلى أمم ممن معك وأمم سنمتعهم

[Maksudnya] Dikatakan: Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada Kami dan berkat atasmu dan atas umam [umat-umat] sertamu dan umam [umat-umat] yang Kami sukakan mereka itu. [Surah Hud: 48]

(Dan) adalah demikian ini pertama-tama makanan yang dimasakkan diatas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia sunat pada hari ‘asyura dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi maka segala fuqara [orang-orang yang faqir] dan masaakin [orang-orang yang miskin], maka dinamakan bubur ‘asyura. Dan jika bid’ah sekalipun, [maka ia] bid’ah hasanah dengan qasad itu.

Mengenai Keutamaan Hari ‘Asyura

Tersebut didalam kitab I’anah at-Tholibin karangan Sayyid Bakri asy-Syatta, peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari ‘Asyura iaitu:-

Nabi Adam عليه السلام bertaubat kepada Allah dan taubat baginda diterima; Nabi Idris عليه السلام diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi; Nabi Nuh عليه السلام diselamatkan Allah keluar dari perahunya; Nabi Ibrahim عليه السلام diselamatkan Allah dari api Raja Namrud; Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام; Nabi Yusuf عليه السلام dibebaskan dari penjara; Penglihatan Nabi Yaakub عليه السلام yang kabur dipulihkan Allah kembali; Nabi Ayyub عليه السلام disembuhkan Allah dari penyakitnya; Nabi Yunus عليه السلام selamat keluar dari perut ikan Nun; Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah; Nabi Sulaiman عليه السلام dikurniakan kerajaan yang besar; Hari pertama Allah menciptakan alam; Hari pertama Allah menurunkan rahmat ke bumi; Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit; Allah menjadikan ‘arasy; Allah menjadikan Loh Mahfuz; Allah menjadikan qalam; Allah menjadikan malaikat Jibril عليه السلام; Nabi Isa عليه السلام diangkat kelangit ………

Manakala didalam kitab Mukasyfatul Qulub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali disebutkan:
Dan telah datang atsar yang banyak pada keutamaan hari ‘Asyura, antaranya [adalah kerana - pada hari tersebut]: diterima taubat Nabi Adam عليه السلام; diciptakan Nabi Adam; Adam عليه السلام dimasukkan kedalam syurga; ‘arasy, kursi, langit, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang diciptakan; Nabi Ibrahim عليه السلام dilahirkan dan diselamatkan dari api Raja Namrud; selamatnya Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya dari [dikejar fir’aun]; tenggelamnya fir’aun dan tenteranya; Nabi ‘Isa عليه السلام dilahirkan dan diangkatkan kelangit; Nabi Idris عليه السلام diangkat ketempat yang tinggi; berlabuhnya bahtera Nabi Nuh عليه السلام diatas bukit Judiy; dikurniakan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام sebuah kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan; dikembalikan penglihatan Nabi Ya’kub [yang kabur sebelumnya]; dikeluarkan Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga; disembuhkan penyakir Nabi Ayyub عليه السلام dan hujan yang pertama diturunkan dari langit kebumi.

Memperingati Peristiwa Karbala 

Pada tanggal 10 Muharram 61H, cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, Penghulu (Ketua) Pemuda di syurga iaitu Sayyiduna Hussin bin ‘Ali رضي الله عنهما dan ahli keluarga beliau telah syahid di Karbala. Mereka telah dibunuh dengan kejam tentera yang diketuai oleh tentera pimpinan Ubidullah bin Ziyad.

Maka pada hari ‘Asyura, penganut-penganut Syiah akan meratapi peristiwa Karbala. Mereka akan mencederakan diri mereka, memukul kepala dan bahagian badan sehingga berdarah, kononnya kerana simpati diatas kekejaman yang dilakukan terhadap cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Kononnya merekalah yang tersangat-sangat sedih dan simpati terhadap tragedi yang menimpa ahlul bait ini. Sebenarnya perbuatan mereka itu dicela syara`.

Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan menyebut didalam kitabnya al-Raa’ah al-Ghaamidhah fi Naqdhi Kalam al-Raafidah [kitab ini diterjemahkan kedalam bahasa Indonesia dan diberi judul Fatwa Isu Penting. Manakala terjemahan bahasa Malaysia oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan diberi judul Fitnah Syi’ah]:

Sebahagian tradisi bid’ah yang keji dari kaum Rafidhah ialah mereka selalu meratap dan menangis pada 10 Muharram setiap tahun, hari terbunuhnya Sayyiduna Hussin رضي الله عنه. Ini merupakan satu dosa besar dan pelakunya berhak menerima azab yang besar. Tidak layak bagi seorang yang waras meratap laksana anjing dengan mengoyang-goyangkan tubuhnya. (halaman 30)

Seterusnya beliau menyebut lagi:
Imam Ahmad ibn Hajar al-Makki al-Syafi’ie berkata di dalam al-Sowaiq: Takutlah engkau dari menyibukan diri pada hari Asyura dengan melakukan berbagai-bagai bid’ah kaum Rafidhah dan yang sejenisnya. Baik yang berupa kesedihan atau ratapan kerana ia bukanlah budi pekerti kaum Muslimin. Jika tidak, mengapa semua itu tidak dilakukan pada hari kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, kerana ia lebih utama. (halaman 41)

Bagi kita, Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga mengingati peristiwa hitam tersebut namun tidaklah sepertimana syiah ataupun puak rafidhah ini. Tersebut didalam kitab Mukasyafatul qulub al-Muqarrib ila Hadhrati ‘Allamil Ghuyub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali:

Ketahuilah! Bahwa apa yang menimpa Sayyiduna Hussin رضي الله عنهما adalah merupakan bencana pada hari ‘Asyura itu, sesungguhnya adalah kesyahidan yang menunjukkan pertambahan ketinggian dan darjatnya disisi Allah dan mempertemukannya dengan ahli keluarganya yang suci. Maka barangsiapa yang menyebutkan tentang musibahnya pada hari itu, maka tidak seyogia baginya menyibukan diri kecuali dengan istirja (mengucapkan إن لله وإن إليه راجعون) kerana mengikuti perintah (1) dan memelihara apa yang ditetapkan oleh Allah dari hal itu, dengan firmannya:
أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ
Ertinya: Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Surah al-Baqarah: 157)

Takutilah dia! Takutilah dia! Dari kesibukan dengan bid’ah golongan Syiah Rafidhah dan yang semisal mereka daripada perbuatan nadbi (menyebut-nyebut dan mengungkit kebaikan mayat ketika merapatinya) dan niyahah (meratapi mayat dengan memukul-mukul badan, menampar-nampar pipi dan sebagainya – maka lebih terlaranglah kalau sampai mencederakan diri kerana meratapi mayat) dan huzn (kesedihan). Sebab itu semua bukan dari akhlaqnya orang Mu’minin. Jika tidak tentunya hari kewafatan datuknya (datuk kepada Sayyidina Hussin iaitu Rasulullah) صلى الله عليه وآله وسلم terlebih utama dengan yang demikian itu ….”

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره ketika ditanya oleh seorang yang berfahaman Syiah: Mengapa kaum ahlus-sunnah menyambut ‘asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?"

Maka Syeikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره menjawab: Orang yang berduka pada hari ini melihat Saidina Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Saidina Husein diberi anugerah syahid yang sangat agung di sisi Allah Ta’ala


Akhirkata marilah kita bertekad untuk mengisi bulan Muharram khususnya pada hari ‘Asyura’ ini dengan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘. Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja. Begitu juga melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala iaitu dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (ahlulbait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Dan perlu kita ingati bahwa sesungguhnya kecintaan kepada ahlulbait رضي الله عنهم tidak dapat bersama dengan kebencian kepada para sahabat رضي الله عنهم. Ertinya cintakan ahlulbait رضي الله عنهم seiring dengan mencintai para sahabat رضي الله عنهم. Inilah pesanan Imam Ali رضي الله عنه:
لا يجتمع حبي و بغض ابي بكر و عمر

Tidak akan berhimpun kecintaan kepadaku dan kebencian kepada Abu Bakar dan 'Umar.

Maka orang yang mengakui cintakan ahlulbait, cinta Sayyiduna Husain, cinta Sayyiduna 'Ali رضي الله عنهم, sedangkan dalam masa yang sama membenci Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina 'Umar dan sahabat yang lain رضي الله عنهم, maka kecintaannya itu adalah palsu, pembohongan semata-mata. Justru kecintaan kepada ahlulbait Junjugan  صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah daripada keimanan, bahkan menjadi perkara pokok dan asas dalam Islam sebagaimana dinyatakan dalam satu hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu an-Najjar dalam Tarikhnya di mana al-Imam Hasan bin ‘Ali رضي الله عنهما menyatakan bahawa Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. bersabda:-

لكل شيء أساس , وأساس الاٍسلام حب أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم وحب أهل بيته

Setiap sesuatu ada asasnya dan asas Islam itu keciintaan kepada para shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan kecintaan kepada ahlulbaitnya.


~Sekian dari ~
al-fagir abuzahrah
khamis, 3 Muharram 1432
di rumah, taman seri gombak

Notakaki:
(1) - (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah: 156)

1 komen:

Manifold887 berkata...

Allahu Allah...panjang lebar..alhamdulillah. Syukran ya sidi.

Related Posts with Thumbnails