Selasa, 16 Januari 2007

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis
(Tranliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh : al-Faqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian adalah dialu-alukan)

(1)

(Kata) Sheikh [Ibn 'Athoillah] radiyallahu'anhu:

من علامة الاعتماد على العمل نقصان الرجاء عند وجود الزلل
Artinya: Setengah daripada ‘alamat(1) orang yang berjabat(2) diatas ‘amal itu kurang harapnya tatkala diperoleh kesalahan.

(Yakni) kurang harapnya tatkala maksiat dan sempurna harapnya tatkala taat dan demikan itu hal segala orang yang jahil yang menilik bagi dirinya ‘amal dan orang yang ‘arif(3) itu tiada sekali-kali menilik bagi dirinya ‘amal.

(Dan) adalah hal manusia itu atas tiga bahagi (Pertama) yang berjabat atas ‘amal dan alamatnya itu kurang harapannya kepada Allah Ta’ala tatkala tiada hasil yang dimaksudkannya (dan kedua) yang berjabat atas anugerah Allah Ta’ala dan alamat itu ruju’(4) ia kepada Allah dalam kesukaan dan dalam kesakitan dan tatkala suka dengan mengata ‘ الحمد لله’ dan syukur dan tatkala duka dengan berlindung dan minta tolong (dan ketiga) yang berjabat atas bahagian yang telah dahulu(5) dan alamatnya itu tiadalah gundah(6) kerana ketiadaan sebab(7), maka tiadalah bertambah harapnya kerana suatu dan tiada berkurang harapnya kerana suatu, jikalau ditimbang harapnya dan takutnya nescaya bersamaan dalam tiap-tiap hal daripada segala ahwalnya tetapi adalah ia sentiasa suka.

(Dan kata) setengah mereka itu(8) adalah alamat yang ketiga(9) itu iaitu orang yang menyerahkan dirinya dan diam(10) dibawah perintah segala hukum iaitu orang yang menilik kepada Tuhannya dan fana’(11) daripada dirinya.

(Dan kata) setengah orang yang muhaqqiq(12) radhiyallahu'anhu barangsiapa sampai kepada hakikat Islam maka tiadalah kuasa ia berhenti daripada ‘amal dan barangsiapa yang sampai kepada hakikat Iman maka tiadalah kuasa ia berpaling daripada ‘amal dan barangsiapa sampai kepada hakikat Ihsan maka tiadalah kuasa ia berpaling kepada seorang lain daripada Allah Ta’ala.

(Ketahui olehmu) bahawasanya adab kepada orang yang ahli thoriq didalam suatu waktu itu adab syariat dan dalam suatu waktu adab khidmat dan dalam suatu waktu adab al-haq.

(Maka) adab syariat iaitu berdiri kepada segala tandanya dan iaitu permulaan bagi segala orang yang menjalani jalan kepada Haq Ta’ala (Dan) adab khidmat itu yaitu fana’ daripada melihat segala tandanya itu dan tiadalah memandang ia kepada yang demikian itu melainkan kepada anugerah Allah Ta’ala jua kerana orang yang ahli khidmat itu wajib atasnya tiada berhajat kepada sekalian ‘amalnya (Dan) adab al-Haq itu yaitu seperti bahwa kau ketahui barang yang bagimu dan barang bagi Haq Ta’ala

(Dan inilah) bagi segala orang yang ahli tahqiq(13) kerana bahawasanya hamba itu apabila mengenal ia barang yang baginya daripada sifat (faqir) dan (dhoif) dan (lemah) dan (hina) dan (kurang) (Dan) barang yang bagi tuhannya daripada sifat (ghoni(14)) dan (qawi(15)) dan (qadiir(16)) dan (‘aziiz(17)) dan (kamalat(18)) maka fana’lah ia daripada tiap-tiap barang yang lain daripadanya.

(Dan inilah) bagi orang yang melihat akan kamalat qudrah Tuhannya kerana bahawasanya barangsiapa tiada melihat akan kamalat qudrah Tuhannya dalam ma’rifah, maka gugurlah ia daripada keadaan yang sempurna. Maka apabila engkau lihat akan kamalat qudrat Tuhanmu maka fana’lah engkau daripada tiap-tiap barang yang lain daripadaNya dan hendaklah engkau ketahui kehendakNya daripadamu dalam tiap-tiap hal(19) dan maqal(20) dan maqam(21).

(Dan inilah) kesudah-sudahan adab(22) kerana bahawa sanya yang dikehendaki Haq Ta’ala itu, bahawa ada IA, tiada engkau. Maka adalah engkau gugurlah ikhtiar dan putuslah daripada iradah(23) pada tiap-tiap barang yang didirikan akan dikau dalamnya daripada tajrid(24) dan segala sebab.

________________________________

(1) Tanda atau penunjuk

(2) Bergantung atau berpegang atau bersandar

(3) Orang yang benar-benar mengenal Allah dan juga dirinya, lalu hatinya sentiasa tidak lekang daripada bermuraqabah dan bermusyahadah kepadaNYA. Didalam kitab Nataaij al-Afkar al-Qudsiyyah fi Bayani Ma’ani Syarh al-Risalah al-Qudsiyyah oleh Shaikhul Islam Zakaria bin Muhammad al-Anshari:
والعارف عند هؤلآء القوم – الصوفية – صفة من الحق سحانه و تعالى بأسمائه وصفاته ثم صدق الله تعالى في معاملاته ثم ينقى عن أخلاقه الرديئه وآفاته.
Artinya (lebihkurang): Arif menurut ulama’ tasawwuf/sufi ialah sifat orang yang mengenal Allah dengan segala namanya dan shifat-shifatnya, kemudian bersungguh-sungguh membenarkan Allah didalam mu’amalahnya dan membersihkan diri dari segala akhlaq yang rendah.

(4) Kembali ia kepada kehendak dan kekuasaan Allah Ta’ala

(5) Yakni ketetapan pembahagiannya yang telah berlalu ketentuan hukumnya di azali yang termaktub di loh mahfudz.

(6) Merasa sedih, dukacita atau bimbang.

(7) Seperti rezeki, harta atau perkerjaan.

(8) Ulama-ulama sufi atau arifbillah

(9) Iaitu golongan yang yang bersandar atau berpegang kepada ketetapan dan ketentuan taqdir Allah di azali.

(10) Yakni redho – tiada keluh-kesah dan sentiasa muraqabah dan musyahadah kepadaNya.

(11) Binasa. Menurut Shaikh al-‘Arabi al-Darqawi didalam ‘Rasail’nya bahawa fana’ itu ialah nyatanya keagungan dan kebesaran Ilahi pada hamba Allah, melupakan dia terhadap dunia, akhirat, sekalian ahwal dan darajat dan maqam dan zikr, melenyapkan dia daripada segala sesuatu dan daripada ‘aqalnya dan daripada dirinya sendiri dan daripada pengalamannya fana’ daripada segala sesuatu dan daripada fana’nya daripada fana’, kerana dia telah karam dalam samasekali didalam lautan samudera ta’zim yakni menyaksikan keagungan Allah Ta’ala serta mengagungkan Allah. Adapun fana ini terbahagi kepada:
a) Fana fi al-Af’aal – Iaitu fana pada segala perbuatan. Yakni apabila hamba itu tiada menilik kepada segala perbuatannya, dilihatnya bahawa Allah jua yang mengqiamkan atas segala perbuatan itu; atau ditiliknya bahawa sekalian makhluq itu tiada baginya perbuatan pada haqiqatnya, Allah Ta’ala jua semata-mata yang berbuat pada haqiqatnya.
b) Fana’ fi shifatilLah – Yakni binasa shifat-shifat hamba pada shifat-shifat allah dan tiada dilihatnyanya shifat pada sesuatu kecuali shifat-shifat Allah jua.
c) Fana’ filLah (Fana fi dzat) – Yakni binasa wujud hamba pada wujud Allah, tiada dilihat wujud pada sesuatu, kecuali wujud Allah jua. Perlu difahami bahawa ianya tidak sesekali bermakna bahawa hamba itu telah hilang dan lenyap atau binasa samasekali. Tidak! Ia masih ada, jika tidak masakan ia dapat mengalami fana’ atau melihat wujud Allah. Hanya pada peringkat pengalaman rohaniahnya (dzauqi) ini, ia sampai kepada kesedaran bahawa tiada yang lebih ada daripada Allah Ta’ala dan adanya Allah Ta’ala itulah ada atau wujud yang haqiqi.
Fahamilah! Dan berhati-hatilah dalam memahaminya! Sesungguhnya perkara ini sangat halus dan dalam sekali.

(12)Muhaqqiq iaitu mereka mengetahui sesuatu dengan sebenar-benar pengetahuan dan pengenalan, baik dzahir maupun bathin. Yang bercorak dzahiri dapat dibuktikan dengan hujjah-hujjah yang jelas sedang yang dapat dicapai dengan perasaan halus seperti zauq dan wijdan yang dikuatkan dengan hujjah-hujjah al-Quran, hadits dan ijma' 'ulama' ahli haqiqat.

(13) Ahli tahqiq maksudnya mereka mengetahui sesuatu dengan sebenar-benar pengetahuan dan pengenalan, baik dzahir maupun bathin dengan pasti. Yang bercorak dzahiri dapat dibuktikan dengan hujjah-hujjah yang jelas sedang yang dapat dicapai dengan perasaan halus seperti zauq dan wijdan yang dikuatkan dengan hujjah-hujjah al-Quran, hadits dan ijma' 'ulama' ahli haqiqat.

(14) Bererti Maha Kaya – lawan bagi perkataan ‘faqir’

(15) Bererti Maha Kuat – lawan bagi perkataan ‘dhoif’

(16) Bererti Yang Maha Kuasa – lawan bagi perkataan ‘lemah’ atau ‘ajuz’

(17) Bererti Yang Maha Mulia – lawan bagi perkataan ‘hina’ atau ‘haqir’

(18) Bererti segala kesempurnaan – lawan bagi perkataan ‘kurang’ atau ‘naqais’ (segala kekurangan)

(19) Keadaan. Hal menurut istilah ahli tasauf sebagaimana yang disebut oleh Shaikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Kanzul Minan Syarah Hikam Abi Madyan adalah “ …maka makna hal itu kelakuan yang dibukakan Allah baginya yang didapati [di]tengah perjalanan [suluk seorang salik], akan jadi menolongkan akan perjalannya jika belum tetap kelakuan baginya dinamakan hal dan jika tetap baginya kelakuannya dinamakan maqam …” – Kanzul Minan, halaman 29.

(20) Perkataan, penuturan, pengucapan dan bahasa isyarat

(21) Kedudukan

(22) Adab al-Haq itu adalah adab yang paling tinggi sekali martabatnya, tetapi dia tidak boleh berdiri dengan sendirinya tanpa adab syariat dan adab khidmat kerana kesemuanya merupakan serumpun yang tidak boleh dipisah-pisahkan.

(23) Kehendak atau kemahuan

(24) Pada bahasa ertinya tanggal. Pada istilah tasauf tajrid ialah mengasingkan diri dengan tujuan untuk bersunyi-sunyi dengan Allah Ta’ala dan menumpukan hati sepenuh-penuhnya kepada Allah, mengasingkan diri untuk beribadat semata-mata, dengan melepaskan segala macam hubungan atau pertalian sebagai lawan daripada as-sabab iaitu mengusahakan penghidupan atau mencari nafqah atau rezeki. Walaubagaimanapun tajrid tidak boleh dilakukan oleh seseorang saalik berdasarkan hanya mengikutkan rasa dan semangatnya sendiri tetapi dia perlu mendapat keizinan daripada shaikh mursyidnya. Ini adalah kerana al-tajrid itu adalah merupakan kurnia daripada Allah kepada seseorang saalik yang telah sampai ke maqam yang tertinggi. Dan diantara tanda yang menunjukkan seseorang itu telah dikurniakan hal tajrid ialah bila ia merasakan bahawa sama sahaja dimasa ada rezeki atau dimasa ketiadaannya, tiada beza pandangannya antara setimbun emas dengan setimbun tanah. Menurut Sheikh Ibn ‘Ajibah, tajrid disisi ahli sufi ada tiga jenis iaitu:
a) Tajrid dzahir
b) Tajrid bathin
c) Tajrid dzahir dan bathin
Sila rujuk huraian lanjut dalam kitab Iqazul Himam dan al-Futuhatul Ilahiyyah oleh Sheikh ibn ‘Ajibah.


1 komen:

Awanama berkata...

sdr budiman,
hamba amat gembira bila kitab hikam ibn athaillah salah seorang shuyukh tariqa shadzilyya-darqawi telah mampu dikupas dan diajarkan oleh ulama sufi nusantara. Sebenarnya dialam islam arab terdapat anika sharah hikam ini. Hamba sendiri telah download tiga versi inggeris iaitu syarah Iqaz al-Himmam oleh Ibn Ajiba/dari website aisha bewley.com, syarah Ibn Ronda dan syarah Nuh Hamim Keeler/Jordan.

syabas sdr abdullah tahir kerana mengembangkan nur baraka dan karama para awliya ini buat pencari berbahasa melayu. Seminar dianjurkan juga merupakan medan unik untuk taaruf silaturahim dan memupuk ukhuwah semua muridin fuqara salikin dan arifin ditanah air . Semoga Allah taala memberkati usaha menghidupkan khazanah hikmah ini yang kian gersang dan kerdil dilanda arus modenisasi, arus wahabi/tablighi, arus haraki dan arus sekular.
wassalam dari hamba
abuzuhri shin

Related Posts with Thumbnails