Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami
Penyakit-penyakit yang menghinggapi jiwa manusia yang berpunca dari nafsu ialah:Penyakit Pertama: Ia menyangka bahawa ia telah berjaya mengetuk pintu ketuhanan dengan berbagai-bagai zikir dan amal ketaatan. Pintu itu memang terbuka tetapi laluan untuk rujuk kepada Allah di dalam jiwa ditutupnya, disebabkan oleh banyaknya dosa-dosa yang telah dilakukan.
Kata Ibn Masruq, pada suatu hari Rabi'ah al-Adawiyah(1) telah lalu dimajlis Soleh al-Murra, lalu Soleh berkata, "Siapa yang berterusan mengetuk pintu ketuhanan Allah akhirnya ia akan dibuka," lalu dijawab oleh Rabia'ah al-Adawiyah, " Pintu itu terbuka tapi kamu lari daripadanya. Bagaimanakah kamu boleh sampai kepada matlamat perjalanan sekiranya kamu tersalah jalan sejak dari langkah yang pertama lagi? Bagaimanakah seseorang hamba itu dapat membebaskan dirinya daripada pengaruh jahat nafsunya sedangkan ia sentiasa dikuasai oleh syahwat? Atau bagaimanakah seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada kongkongan hawa nafsu sedangkan ia tidak menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa?"
Kata al-Sulamiy, Ibn Abu Dunya(2) berkata, para ahli hikmah berkata, "Janganlah kamu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat kejayaan menuju Allah sedangkan dirimu diselaputi dosa."
Rawatannya: Ialah sepertimana kata Sarij al-Saqati , "Hendaklah kamu sentiasa menurut jalan hidayah, memastikan segala pemakanan bersumber daripada yang halal serta menyempurnakan ketakwaan kepada Allah."
________________________
(1) Rabi'ah al-Adawiah ialah Rabiah binti Ismail al-Adawiyah (Umm al-Khair) hamba kepada keluarga 'Atik dari Basrah. Beliau terkenal dengan sifat wara dan zuhud di dalam dunia kesufian. Dia dilahirkan di Basrah dan meninggal dunia di Palestin pada tahun 135H. Dunia kesufian mengiktiraf beliau sebagai seorang tokoh besar yang terlibat secara langsung dalam bidang keilmuan dan menyebarkan amalan kesufian pada pengikut beliau. Para sufi dizaman itu menjadikan Rabi'ah sebagai sumber rujukan dan menampilkan riwayat-riwayat di dalam karya mereka yang telah diambil daripada Rabi'ah. antaranya ialah Kitab al-Hilyah al-'Auliya' oleh al-Esfahani;Al-Luma' oleh al-Siraj; Tabaqat al-Qubra oleh al-Sya'rani. Rabia'ah memahami pengertian yang tersendiri di dalam masaalah Mahabbah. Aliran ini tersebar luas dikalangan para sufi. Seorang pengkaji, Dr. Abdul Rahman Badawi menganggap Rabi'ah seorang tokoh yang jarang ditemui. Untuk kajian lihat Wafayat al-A'yan 1/182, Ad-Dur al-Mansur 202; Al-Syarishi 2/231, al-A'lam al-Nubala' 30/31.
(2)Beliau ialah Abdullah bin Muhammad bin Ubaid bin Sufian ibn Abi Dunya al-Qurausyi al-Umawi. Dilahirkan pada tahun 208H. Dan meninggal dunia pada tahun 281H. Beliau terkenal sebagai seorang daripada hafiz dalam bidang hadith dan juga terkenal dalam menulis tajuk zuhud serta ketinggian kerihanian. Imam al-Zahabi menyebut di dalam kitab Tarikhnya bahawa karya-karya Ibn Abu Dunya sebanyak 186 buah. Kebanyakannya yang menyangkut persoalan jiwa dan adab-adabnya, akhlak, zuhud, yang menjadi rujukan kepada para sufi lain. Lihat al-Fahras oleh Ibn Nadim 1/185 Siyar Tarikh Baghdad 10/89; Tabaqat Ibn Abi Ya'la 1/192, Daerah al-Ma'arif al-Islamiyah 1/72; al-A'lam al-Nubala' 4/260.