Khamis, 29 Mac 2007

Taqlid dan Ittiba’

Kita sering dengar ada golongan yang menuduh mereka yang mengikuti mazhab-mazhab yang mu’tabar itu adalah golongan yang bertaqlid manakala mereka mendakwa mereka pula adalah golongan ittiba’. Maka berserulah mereka supaya tinggalkan taqlid! … haram bertaqlid! … berpegang teruslah kepada sumbernya al-Quran dan al-Sunnah!. Artikel yang ada sangkut paut dengan perkataan ini telah saya uploadkan dibawah tajuk “Kalau tak tau tu buat cara tak tau!” Bolehlah pi baca disana.


Apa kata ulama kita lagi? Untuk memahami persoalan diatas maka cukuplah saya memetik tulisan seorang ulama yang masyhur iaitu Tuan Guru Shaikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al-Indonesi al-Mandili dari dua buah kitab tulisannya iaitu al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab dan juga kitab Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-Asy’ari. Semoga hampa boleh paham! Insyaallah kalau ada rezeki nanti Sidi AbuMuhd akan terangkan dengan lebih lanjut kat blog beliau Bahrusshofa …. Boleh yo sidi……..

“ ……. (Bab yang keempat pada menyatakan ijtihad dan ittiba’ dan taqlid dan talfiq)
Bermula ijtihad itu mengeluarkan segala kekuasaan pada menilik kepada segala dalil supaya mendapat akan dzon dengan hukum, dan orang yang mengeluarkan itu dinamakan mujtahid dan dengan faqih. Disyaratkan pada ijtihad itu beberapa syarat:-
[Pertama] mengetahui ia akan segala nash Quran dan hadits dan kelakuan sekelian yang menceritakannya, dan
[Kedua] mengetahui ia akan segala masalah yang ijma’ ulama padanya, supaya tiada menyalahi ia akan dia, dan
[Ketiga] mengetahui ia akan bahasa arab, dengan sekira-kira kuasa ia mentafsirkan barang yang datang di dalam Quran dan hadits daripada lafaz yang gharib (yang payah maknanya) dan seumpamanya, dan
[Keempat] mengetahui ia akan ilmu usul fiqh masuk didalamnya oleh qiyas, yang
[Kelima] mengetahui ia akan nasikh dan mansukh, supaya tiada menghukumkan ia dengan ayat yang mansukh atau hadits yang mansukh.

Bersalah-salahan ulama pada mensyaratkan akan mengetahui dalil aqal dan ilmu usuluddin dan ilmu furu’ (ilmu feqah). والله أعلم …….” – Kitab al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab, halaman 30 -

“ …….. (Fashal yang kedua: Ittiba dan Taqlid) Bermula taqlid itu mengambil perkataan orang yang lain dengan ketiadaan mengetahui dalilnya, dan orang yang bertaqlid itu mereka yang tiada sampai kepada pangkat ijtihad. Adapun mengambil perkataan orang serta mengetahui dalilnya maka iaitu ijtihad setuju dengan ijtihad orang yang berkata itu, kerana yang mengetahui dalil itu hanya sanya ada ia bagi mujtahid, kerana terhentinya atas mengetahui selamat dalil itu daripada yang berlawanan dengan dia, dan yang demikian itu terhenti atas memerkasa segala dalil semuanya dan tiada kuasa atas yang demikian itu melainkan mujtahid.

Dan adapun ittiba itu maka adalah ia masuk didalam taqlid pada istilah mutaakhirin, kerana pada sisi mereka itu hanya sanya terbahagi manusia itu kepada dua bahagi, [pertama] mujtahid dan [kedua] muqallid, hingga berkata mereka itu: Bahwasanya Ibn Hajar dan ar-Ramli رحمها الله تعالى setengah daripada yang taqlid semata-mata ……(skip)……………. Ketahuilah olehmu bahwasanya taqlid pada masalah furu itu haram atas ulama yang mujtahidin, bahkan kewajipan mereka itu ijtihad dan wajib taqlid atas sekelian orang awam (yang tiada sampai kepada pangkat ijtihad) ………(skip)……………….. Adapun taqlid pada simpulan iman maka tiada harus, inilah mazhab jumhur, berkata Imam al-Haramain ……..” – Kitab al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab, halaman 31 – 33. *- Taman petikan dari kitab al-Mazhab -*



“….. kemudian berkata ia pada muka 40: Hendaklah mereka kembali berpegang kepada kitab Allah dan sunnah RasulNya. Sekiranya jika masih ada diantara mereka mengutamakan perkataan ulama, qiil dan qaal, bertaqlid kepada itu dan ini … hingga akhir perkataan ..

Berkata aku (Shaikh Abdul Qadir al-Mandili): Menyuruh al-Ustaz Abu Bakar akan kita dengan berpegang dengan Quran (kitab Allah) dan hadits (sunnah rasulNya) adalah sangat baik. Dan kita sekelian muslimin sungguhnya wajib berpegang dengan keduanya. Dan perkataannya nyata ia hanya yang tiada nyata bagi hamba perkataan (bertaqlid kepada itu dan ini) adakah tujuan melarang akan kaum muslimin dari pada taqlid? Dan adakah yang dilarangnya itu taqlid pada simpulan iman atau masalah cabang-cabang agama? Dan adakah yang dilarang taqlid itu ulama mujtahidin atau orang awam?

Maka jika yang dilarang taqlid pada simpulan iman maka larangan itu diterima, kerana tiada ada yang mengharuskan akan taqlid pada usuluddin melainkan pengikut Imam Ahmad bin Hanbal رحمه الله تعالى bahkan berkata setengah ulama: Bahwasanya orang yang taqlid pada tauhid itu kafir ia. Dan jika yang dilarang daripada taqlid itu ulama mujtahidin maka diterima juga, kerana mujtahid tiada boleh taqlid akan mujtahid, kerana kewajipannya ijtihad, seperti yang wajib atas orang awam itu taqlid.

Adapun jika kehendaknya melarang orang awam daripada taqlid pada segala masalah furu’ agama maka perkataan itu tiada diterima kerana beberapa sebab:-


[Yang pertama] sebab ketiadaan dalil. Tiada ada dalil sekali-kali daripada Quran dan hadits dan lain daripada keduanya yang menunjukkan atas dilarang orang awam daripada taqlid pada masalah cabang agama, dan tiada ada dalil yang menunjuk atas wajib ijtihad atas orang awam ………….


[Yang kedua] kerana bahwasanya shahabat-shahabat Nabi رضي الله عنهم tiada engkar mereka itu atas orang awam daripada merekai tu yang bertaqlid setengah mereka itu akan setengah ulama shahabat pada setengah daripada segala masalah, dan bertaqlid akan ulama yang lain pada masalah yang lain, maka ia adalah ijma daripada shahabat. Dan jika haram taqlid atas orang-orang awam nescaya engkar atas merka itu oleh ulama shahabat رضي الله عنهم.


[Yang ketiga] Ada pada mengharamkan taqlid atas orang-orang awam dan mewajibkan akan ijtihad atas mereka itu memberati mereka itu akan pekerjaan yang tiada mereka itu kuasa ( لا يكلف الله نفسا إلا وسعها ) artinya: Tiada memberati Allah Ta’ala akan seseorang melainkan sekuasanya. Dan jika engkau berkata: Yang wajib atas orang awam itu ittiba’ bukan taqlid. Nescaya berkata aku: Ittiba’ itu masuk ia di dalam taqlid pada istilah mutaakhirin. Artinya, ittiba’ itu pun dinamakan juga dengan taqlid ( وَلاَمُشَاحَّةَ فِيْ الاِصْطِلاَحَ ) dan jika engkau berkehendak mengetahui lebih luas daripada ini maka baca olehmu akan kitab aku “bermazhab tiada haram” …… – Kitab Sinar Matahari , halaman 30 – 32. *- Taman petikan dari kitab Sinar Matahari -*


-abu zahrah -
... berenti sat buat posting pasai sibuk dengan maulid pulak .... insyaallah jumpa lagi ....

Mengenai Maulid Lagi

Tersebut di dalam kitab I’anathuth Tholibin oleh Sayyidisy-Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi:-

Telah berkata Imam Hasan al-Bashri (Wafat 116H, pernah bertemu dengan lebihkurang 100 orang shahabat): “Aku kasih jika ada bagiku seumpama gunung Uhud emas untuk kunafkahkan atas pembacaan mawlid ar-Rasul”.


Telah berkata Shaikh Ma’ruf al-Kharkhi (wafat 200H): “Sesiapa yang menyediakan untuk pembacaan mawlid ar-Rasul akan makanan, menghimpunkan saudara-saudaranya, menyalakan lampu-lampu, berpakaian baru, berwangi-wangian, berhias-hias, demi membesarkan mawlid Junjungan صلى الله عليه وسلم, nescaya dia akan dihimpunkan oleh Allah Ta`ala pada hari qiamat bersama-sama kumpulan pertama daripada para nabi dan jadilah dia berada pada setinggi-tinggi syurga. Dan sesiapa yang telah membaca mawlid ar-Rasul صلى الله عليه وسلم ke atas dirham-dirham perak atau emas, dan mencampurkannya bersama dirham-dirham lain, jatuhlah padanya keberkatan dan tidaklah papa si empunyanya serta tidak akan kosong tangannya dengan berkat mawlid ar-Rasul صلى الله عليه وسلم”


Telah berkata Syaikh Sirri as-Saqathi (wafat 253H): Telah berkata Syaikh as-Sirri as-Saqathi: “Sesiapa yang mengqasadkan sesuatu tempat yang dibaca padanya Mawlidin Nabi صلى الله عليه وسلم, maka telah dia telah mengqasadkan satu taman dari taman-taman syurga kerana tidaklah dia mengqasadkan tempat demikian selain daripada kecintaannya kepada ar-Rasul صلى الله عليه وسلم. Dan telah bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:
من أحبني كان معي في الجنة
Artinya: “Sesiapa yang mencintaiku adalah dia bersamaku dalam syurga.”

Telah berkata Shaikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297H): “Sesiapa yang hadir mawlid ar-Rasul dan membesarkan kadar baginda, maka telah berjayalah dia dengan iman”.





Kata-kata ulama ini juga boleh didapati didalam kitab an-Nafahatul Miskiyyah fi fadhilathi qiraati maulidi khairil bariyyah karangan asy-Shaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi dan juga terjemahannya yang bertajuk Hembusan Kasturi oleh Fadhilatul Ustaz Taha as-Suhaimi.






Komen abu zahrah: Maknakata adalah majlis maulid ni dibuat dizaman salafus sholeh.

Notakaki:-
(1) Imam Hasan al-Bashri رضي الله عنه adalah seorang tokoh tabi’in. Ayahnya adalah pelayan kepada Zaid bin Thabit al-Anshori رضي الله عنه , sedangkan ibunya yang bernama Khoyyirah adalah pelayan kepada Ummu Salamah رضي الله عنها . Beliau dilahirkan pada 2 tahun terakhir sebelum wafatnya Khalifat Umar al-Khattab رضي الله عنه . Bertemu dengan lebihkurang 100 orang shahabat. Wafat pada tahun 116H dalam usia 89 tahun. والله اعلم


اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Rabu, 28 Mac 2007


Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami

(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)


Penyakit Keenam: Dia mengharapkan dirinya mendapat balasan kebaikan setelah mendapati tanda kebaikan itu wujud pada dirinya. Sekiranya ia dapat mencapai kebaikan itu nescaya orang yang jiwanya hampir kepada Allah ( أهل المشهد ) akan bermasam muka dan merasa malang dengan kehadirannya.

Hal ini pemah disebutkan kepada sebahagian daripada para salaf, "Apakah pendapatmu terhadap ( أهل الموقف ) (Seseorang yang bertahan makamnya di dalam dunia kesufian di antara dua makam)?" Lalu dijawab, "Aku pernah menyaksikan pelbagai golongan seperti itu. Kalaulah bukan kerana aku pernah menjadi seperti mereka, nescaya aku akan memohonkan keampunan daripada Allah untuk mereka. Beginilah bentuk perjalanan ( أهل اليقظة ) (jiwa yang hidup).


Rawatannya: Ialah hendaklah diketahui sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa mereka sedangkan Allah menyaksikan dan mengetahui bahawa keampunan yang dianugerahkannya itu akan ditukar ganti oleh mereka itu dengan melakukan dosa dan maksiat. Oleh itu hendaklah kita merasa malu kepada Allah dan sentiasa sedar terhadap kejahatan diri sendiri. Hal ini dinyatakan oleh al-Fudail bin 'Iyad, "Alangkah kejinya perbuatan kamu itu walaupun kamu merasakan ianya sesuatu yang baik. Ini adalah kerana kamu telah mendahului ilmu Allah di dalam urusan tersebut." Kata al-Sulami, Yahya bin Muaz berkata, "Berlapar itu dianggap sebagai makanan kerana dengan berlapar itu Allah akan memperkuatkan tubuh badan para siddiqin."


______________________________________________


Notakaki:-

(1) Al-Fudail bin 'Iyad bin Mas'ud bin Bisyr Al-Tamimi. Al-Sulami telah meletakkan nama al-Fudail nama yang pertama sebagai tokoh peringkat pertama di dalam kitabnya al-Tabaqat. Al-Fudail berasal dari bandar Marwa di sebuah kampung bernama Fandin. Beliau dilahirkan di Samarkand dan membesar di Abyud, Turkistan. Meninggal dunia di Mekah pada tahun 187H dalam bulan Muharram. Para sufi banyak meriwayatkan riwayat yang ma'sur daripada beliau dan sangat terkenal dengan sifat zuhud dan warak disamping memberikan perhatian yang mendalam terhadap al-quran dan ilmu yang berkaitan dengannya. Al-Fudail mempunyai pandangan dan ijtihadnya yang tersendiri di dalam masalah furu' fiqhiyyah yang dijadikan sumber pendalilan oleh ulama mutaakhir. Antara kata-kata hikmahnya, "Tidak ada perhiasan yang paling indah pada diri seseorang melainkan sifat siddiq dan mencari rezeki yang halal.-, katanya lagi, "Adalah tidak sayugia bagi seseorang hafiz al¬quran itu menuntut keperluan hidupnya daripada makhluk. Sepatutnya segala hajat dan keperluan makhluk berada ditangannya. Lihat al-Tabaqat al-Sufiah, 9.


(2) Yahya bin Muaz (Jaafar al Razi) adalah tokoh peringkat pertama dalam tasawwuf. Beliau membesar di dalam suasana keluarga yang terkenal dengan sifat zuhud. Memiliki minat mendalam di dalam usaha dakwah. Beliau telah merantau ke Balakh bersama saudaranya lbrahim. Apabila Ibrahim meninggal dunia di dalam perjalanan, Yahya kembali semula ke Naisabur dan meninggal dunia di sana pada tahun 285H. Dikatakan bahawa beliau pemah meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas ra. Para ulama tasawwuf banyak mengambil pendapat Yahya bin Muaz untuk dimuatkan ke dalam karya-karya mereka. Antara kata-kata hikmah Yahya bin Mu'az ialah "Tiga sifat yang perlu dimiliki oleh para aulia Allah, pertama: thiqah kepada Allah di dalam semua perkara, kedua: merasa kaya bersama Allah daripada selainnya, ketiga: Rujuk kepada Allah di dalam semua perkara. Semuanya itu bergantung kepada sejauh mana kadar kasih hati kepada Allah sekadar itulah kasih Allah kepadanya. Sejauh mana takut hati kamu kepada Allah maka sekadar itulah makhluk akan takut kepada kamu. Sejauh mana kamu menumpukan perhatian kepada Allah maka sekadar itu pulalah tumpuan hati makhluk kepadamu. Sesiapa yang merahsiakan khidmat amalnya kepada Allah sekadar itu pulalah makhluk akan merahsiakan khidmat mereka kepadanya. Sesiapa yang senang hati dan bahagia bersama Allah sekadar itu pulalah makhluk akan merasa senang dan bahagia melihatnya." Lihat al-Tabaqat oleh al-Sulamiy 16-27, al-Arus ala-Syarhi al-Risalah al-Qusyariyyah 1/119, Safwat al-Safwah 30, 71-80, al-A'lam al-Nubala'. 90/218.

Terjemahan dari kitab “عيوب النفس ودواؤها” oleh Imam Abu Abdurrahman as-Sulami

(Terjemahan ini dipetik dari web Bicarasufi)




Penyakit Kelima:
Dia mentaati perintah Allah tetapi tidak dapat mencapai kemanisan di dalam melaksanakan perintah itu. Hal ini berlaku kerana amal ketaatannya itu telah bercampur baur dengan unsur-unsur riya' dan tidak disertai dengan keikhlasan serta tidak menurut sunnah di dalam amalan.





Rawatannya: Ialah dengan melatih jiwa supaya ikhlas di dalam amalan, menuruti sunnah di dalam setiap perbuatan dan amalan serta memperbetulkan seluruh asas kehidupan supaya kesudahannya menepati kehendak kebenaran.



Kalau tak tau tu buat cara tak tau!

Jangan dok berlagak pandai kalau takat dok rujuk buku terjemahan saja. Yang dok berasa pandai pun ... tunggu dulu jangan dok ghairah berfatwa, nanti ditertawa!

( Mai kita tengok apa kata Shaikh Idris al-Marbawi di dalam muqaddimah kitab terjemahan melayu (jawi) keatas kitab Bulughul Maram. Kitab Bulughul Maram adalah sebuah kitab hadits berbahasa arab yang dikarang oleh Syeikhul Islam al-Hafiz Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-Asqolani رضي الله عنه )

…………. Maka hendaklah diketahui oleh penuntut bahawa menerbitkan hukum, istinbath dan memahamkan nash al-Quran dan al-Hadits dengan bersendirian itu berhajat kepada berjaya dalam ilmu-ilmu yang tertentu dalam bahasa ’arab seperti ilmu nahwu dan sharaf, ilmu bayan dan ilmu ma’ani dan pecahan ilmu bahasa dan yang lainnya.

Dan berhajat kepada berjaya dalam ilmu fiqh, kerana ilmu feqah itulah yang lebih faedah keterangan baginya, kerana ulama feqah itu menyebutkan masalah secara feqah ,kerana disebut mereka itu akan dalil, maka zahirlah maknanya sehabis-habis zahir .dan juga berhajat kepada berjaya dalam ilmu usul feqah supaya tahu jalan-jalan yang diambil daripadanya segala nama dan segala bahasa, dan tahu perintah dan suruh, dan apa-apa kemahuannya, dan tahu tegah dan larangan dan apa-apa yang menunjukkan atasnya, dan tahukan am dan khas dan apa-apa yang mengikuti keduanya, dan tahukan lafaz yang datang atas sebab, dan tahukan mutlaq dan muqayyad, dan mantuq dan mafhum, dan mubayyan dan mujammal dan nasakh dan jalan-jalannya, dan segala perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan segala pembahagian hadits dan pembahagiannya.

Dan makna ijma, dan bagaimana tersimpulnya, dan perselisihan shahabat dan segala qaulnya, dan tahu akan qias dan yang dijadikan hujjah padanya, dan barang yang harus dijadikan asal dan yang tiada harus, dan yang menunjuk atas sah ‘illat dan barang yang harus dibuatkan ‘illat dan yang tiada harusnya, dan yang menunjukkan atas sah illat dan yang membatalkannya, dan bagaimana engkau menguatkan salah satu daripada dua ‘illat itu pada waktu berlawanan.

Dan tahukan istihsan dan hukum segala perkara dahulu daripada syarak, dan istishabul hal dan tahukan sifat mufti yang memberi fatwa dan yang meminta fatwa, dan barang yang harus padanya bertaqlid, dan barang yang tiada harusnya, dan tahukan segala qaul orang yang mujtahil, dan yang dikelaurkan seorang mujtahid akan satu masalah atas dua qaul dan lain daripada itu. Maka apabila telah mendapat seorang akan demikian itu, atau mencapai satu jumlah yang baik daripadanya atas sekurang-kurangnya, maka bahawasanya bersedialah ia bagi memahamkannya.

Adapun apabila diserbu keatas nash-nash dan seumpamanya itu daripada mula-mula kerja dengan ketiadaan sempurna alatnya maka sesungguhnya tiada berhasil daripada apa usaha apa suatu. Dan jadi seumpama orang yang mengores di atas air, dan jadilah akhirnya natijahnya apabila mengambil ia kan satu hadits supaya berdalil atas sesuatu masalah, di dalam itu berdiri dimukanya satu hadits yang lain menunjuki ia atas lain daripada apa-apa yang ditunjuki oleh hadits yang dahulu, jadilah ia ragu dan kacau serta kembali mencaci segala hadits dan menyangkal ke atas segala imam, dan menuturkan lidah kepada mereka itu dengan apa kehendak hawa nafsunya.

Maka jika tahu ia akan sekalian imam itu tiada menerangkan mazhab-mazhabnya melainkan dengan ushul yang shahih, dan kaedah yang tetap daripada faham yang sempurna dan cukup perkasa serta perasaan dan otak yang besar, dan lafaz yang lengkap, dan ijtihad yang mutlaq, pastilah tahukan darjat mereka itu pada ugamanya dan ijtihadnya, dan pasti mengaku bagi mereka itu dengan dahuluan dan kemudian.

Istimewa pula telah tsabit bersangatan berlepas diri daripada memperkatakan pada ugama Allah سبحانه وتعالى dengan fikirannya, dan bahawasanya adalah mereka itu memecut dan memberangsang kawan-kawannya beramal dengan al-Qur’an dan al-Hadits, serta berkata mereka itu: Apabila telah melihat kamu sekalian akan perkataanku yang menyalahi al-Quran dan al-Hadits, maka amalkan olehmu al-Quran dan al-Hadits, dan hempaskan cakapku ke dinding. Sesungguhnya berkata mereka itu demikian kerana memberi ingat sebelum terkena, ihtiyath bagi ummat Muhammad صلى الله عليه وسلم dan beradab dengan beliau, bahawa menambah seorang daripada mereka itu pada syariatnya Nabi صلى الله عليه وسلم barang yang tiada didatangkannya dan tiada diredhainya, seperti ia kelaur daripada kaedah yang secara syarak yang tetap daripada Nabi صلى الله عليه وسلم. Adapun apa-apa yang disaksikan baginya oleh syariat dengan sahnya, dan muafaqat ia dengan segala kaedah, maka ia terbilang daripada syariat, walaupun tiada diterangkan oleh syarak sekalipun.

Kata Imam Malik jauhkan dirimu daripada pemikiran lelaki ahli ilmu, melainkan bahawa telah ijma mereka itu atasnya dan ikuti kamu apa yang telah diturunkan dari Tuhan kamu dan barang yang datang dari Nabimu, maka jika sekiranya tiada mengerti maknanya maka serahkan kepada orang yang alim di antara kamu, dan jangan kamu lawan berbantah dengan mereka itu, kerana berbantahan pada agama itu daripada sisa-sisa munafiq, kata Ibnu Qasim bahkan munafiq semuanya, kerana berbantahan dengan tiada betul pada yang betul serta orang-orang alim itu seperti berbantahan pada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan beliau berkata: Serahkan oleh kamu sekalian bagi para imam, dan jangan kamu sekalian lawan berbantah-bantah dengan mereka itu, maka jikalau ada datang kepada kita seseorang yang lebih pandai berjuang lidah, tiba-tiba kita ikutkan dia, boleh jadi kita terjejas jatuh kepada penolakan apa-apa yang didatangkan oleh Jibril عليه السلام.


Dan adalah imam Syafie رضي الله عنه berkata: Hadits Nabi صلى الله عليه وسلم tidak berhajat kepada lain lagi apabila ia shahih. Dan adalah Imam Ahmad رضي الله عنه apabila ditanya orang akan suatu masalah berkatalah ia: Adakah bagi seseorang itu membuka mulut bercakap serta Rasulullah صلى الله عليه وسلم? Dan telah meminta fikiran seorang kepaadanya tentang seorang yang bertaqlid daripada ulama yang sezamanya, maka ia berkata: Jangan engkau taqlid kepadaku, dan jangan taqlid kepada Imam Malik dan jangan taqlid kepada Imam Auza’ie dan jangan taqlid kepada Imam Nakha’ie dan jangan kepada lainnya. Tetapi ambillah olehmu hukum-hukum itu dari mana tempat mereka mengambilnya. Maka perkataan Imam Syafie itu diwajibkan atas orang yang memiliki kemampuan istinbath segala hukum daripada al-Quran dan al-Hadits.

Maka jika tiada kekuasaan, maka sesungguhnya telah diterangkan oleh ulama akan taqlid itu wajib ke atas orang awam, supaya tiada sesat pada agamanya. Maka imam-imam yang mujtahid itu beredar semuanya beserta segala dalil syarak, dan semua mereka itu suci dirinya daripada perkataan dengan fikiran sendirinya pada agama Allah سبحانه وتعالى. Dan mazhab-mazhab mereka itu semuanya diambil daripada al-Quran dan al-Hadits. Kerana itu kita wajib beradab kepada mereka serta memeliharakan kewajibannya. Dan tiada harus bagi orang yang tiada tahukan kalam mereka itu dan kehalusan pandangannya segera mereka mencaci dan mengejeknya.Dan disini ada perkataan yang lemak manis bagi Imam asy-Sya’rani di dalam muqaddimah al-Mizan. Maka bolehlah kembali lihat kepadanya jika engkau berkehendak, supaya tiada berlaku pada mengurangkan kewajiban bagi imam-imam yang mujtahid.

Dan tiadalah sepatutnya difahamkan daripada kalam Imam Ahmad رضي الله عنه, bahawasanya berijtihad itu wajib bagi setiap orang Islam, kerana faham yang demikian itu batal dengan sebab beberapa perkara:

[Yang pertama] Bahawasanya memberati orang yang tiada sampai kepada maqam ijtihad sama ada ia orang awam atau ia orang alim menyalahi apa-apa yang berlaku atasnya ijmak salaf, daripada bahawasanya orang awam tiada diberati pada sesuatu daripada segala masa dengan ijtihad maka jika orang-orang awam itu orang yang kena perintah berijtihad, pastilah mereka itu diberati berijtihad, dan ingkar pula orang-orang awam itu ke atas orang-orang alimnya dalam mengamalkan fatwa. Mereka itu sungguhnya tiada pernah berlaku atas perkara yang demikian.

[Yang kedua] Bahawasanya memberati orang-orang yang awam dengan ijtihad membawa pula kepada luput hal kehidupan mereka itu dan dapat mudharat mereka dengan sebab ragu-ragu bagi menghasilkan segala sebabnya, maka yang demikian itu sebab bagi kebinasaan segala ehwal

[Ketiga] Bahawasanya memberati orang-orang awam dengan berijtihad itu membawa pula kepada luput ijtihad itu sendirinya, dengan melihat bahawa ia uzur atau susah kerana sekalian orang yang diberati itu jikalau bimbang maka mereka dengan berijtihad nescaya meluputi mereka sendiri, kerana ijtihad itu pendapatan otak yang berlebihan, dengan dia lah boleh tuannya menampakkan segala rahsia syariat yang ada di dalam al-Quran dan al-Hadits dan ijma dan qiyas, dan dengan dia berkuasa menerbitkan segala hukum daripada segala dalilnya. Dan ini tiadalah mungkin melainkan dengan menghabiskan masa dan kemampuan kerana mengira-ngirakan apa yang terhenti atasnya. Dan yang demikian itu terhenti atas orang yang bangun dengan segala hajat itu, dimana orang yang mujtahid yang dharuri hingga ia boleh ia menghabiskan peluang kerana perkara tersebut. Maka kerana itulah berfirman Allah سبحانه وتعالى:
فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِيْ الدِّيْنِ
“Maka mengapa tiada pergi dan berangkat daripada tiap-tiap golongan yang besar daripada mereka itu satu golongan kecilnya supaya boleh dapat faham mereka itu pada agama.”

Maka dijadikan segolongan berperang dan segolongan lain supaya memahami agama dan sesungguhnya telah jatuh setengah dari golongan orang-orang awam di dalam kebinasaan yang besar, iaitu ia jadi tiada mempedulikan perkataan orang-orang mujtahid dan segala ikutan mereka daripada ulama, dan mentafsir segala ayat al-Quran dan al-Hadits itu dengan fikirannya sendiri sebelum ia mengetahui perkataan imam yang masyhur dengan ilmu dan makrifat dan yakin serta tiada harus menafsirkan suatu daripada segala ayat dan hadits-hadits itu dengan fikiran sendiri dan tiada harus ditanggung atas segala makna yang tidak di nashkan atasnya oleh imam-imam yang berbilang, sebagaimana mengkhabarkan guruku al-Allamah asy-Syeikh Muhammad ‘Ali al-Maliki yang wafat di Thaif pada 28hb Syaaban tahun 1367H di dalam kitabnya al-Maqsidu al-Sadid, kita pohonkan kepada Allah سبحانه وتعالى kiranya Ia memberi taufiq kepada kita dan menunjukkan kita akan jalan yang benar.

Sesungguhnya telah aku pindahkan ini pada ta’liq yang aku sanggup atasnya daripada perkataan imam-imam, dan aku telah berpegang pada menghuraikan segala lafadznya atas syarahnya “Subulus Salam” dan ialah kehendakiku ketika aku berkata “minas syarah” atas setengah daripada syarah Bukhari dan Muslim seperti al-‘Aini dan an-Nawawi, dan setengah daripada segala syarah sunan dan setengah kitab-kitab fiqah dan lughah.

Penterjemah
Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari

Tamatlah petikan ....... Sekian.
- abu zahrah -

Selasa, 27 Mac 2007

Selingan ......



Kita berjalan, dia berjalan
Kita berhenti, dia berjalan
Dia berhenti, kita JALANNNN
oleh itu
Senantiasalah siapkan bekalan
Sepertimana maksud yang telah difirmankan
Berbekallah! Maka sebaik-baik bekal adalah TAQWA


(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian Akhir)



Sebahagian Kitab Yang Masyhur Berkenaan Maulid


Kitab-kitab yang ditulis berkenaan maulid terlalu banyak, dalam pelbagai bentuk penulisan. Di sini kita tidak akan menyebut semua kitab tersebut, tetapi kita akan menyebutkan sebahagian sahaja daripadanya, terutamanya dari pada huffazul hadits, serta para Imam, yang ada menulis kitab maulid dan terkenal pula karangan mereka ini. Cukuplah sekian banyak kitab ini menjadi pedoman kita akan keutamaan dan kemuliaan maulid Nabi ini.


Antara yang mengarang kitab-kitab tersebut adalah:


1) Al-Imam al-Muhaddis al-Hafiz Abdul Rahman bin Ali yang terkenal dengan Abulfaraj ibnul Jauzi (wafat tahun 597H), dan maulidnya yang masyhur dinamakan "Al-Arus". Telah dicetak di Mesir berulang kali.


2) Al-Imam al-Muhaddis al-Musnid al-Hafiz Abulkhattab Umar bin Ali bin Muhammad yang terkenal dengan Ibn Dahyatilkalbi (wafat tahun 633H). Beliau mengarang maulid yang hebat yang mempunyai tahqiq yang begitu berfaedah yang dinamakan "At-Tanwir Fi Maulidil Basyirin Nadzir"


3) Al-Imam Syeikhul Qurra' Waimamul Qiraat pada zamannya, al-Hafiz al-Muhaddis al-Musnid al-Jami' Abulkhair Syamsuddin Muhammad bin Abdullah al-Juzuri asy-Syafi'e (wafat tahun 660H). Maulidnya dalam bentuk manuskrip berjudul "'Urfutta'rif bilmaulidis syarif"


4) Al-Imam al-Mufti al-Muarrikh al-Muhaddis al-Hafiz 'Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir, penyusun tafsir dan kitab sejarah yang terkenal (wafat tahun 774H). Ibn Katsir telah menyusun satu maulid nabi yang telah pun diterbitkan dan ditahqiq oleh Dr Solahuddin al-Munjid.


Kemudiannya maulid ini telah ditanzimkan dan disyarahkan oleh al-'Allamah al-Faqih as-Sayyid Muhammad bin Salim bin Hafidz, Mufti Tarim, dan diberi komentar pula oleh al-Marhum al-Muhaddis as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, yang telah diterbitkan di Syria pada tahun 1387H.


5) Al-Imam al-Kabir wal'alim asy-Syahir, Hafizul Islam wa 'Umdatul Anam, wa Marja'il Muhaddisin al-A'lam, al-Hafiz Abdul Rahim ibn Husain bin Abdul Rahman al-Misri, yang terkenal dengan al-Hafiz al-Iraqi (725H - 808H). Maulidnya yang mulia dan hebat, dinamakan "Al-Mauridul Hana" dan telah disebutkan oleh ramai huffaz seperti Ibn Fahd dan As-Suyuthi.


6) Al-Imam al-Muhaddis al-Hafiz Muhammad bin Abi Bakr bin Abdillah al-Qisi ad-Dimasyqi asy-Syafie, yang terkenal dengan al-Hafiz Ibn Nasiriddin ad-Dimasyqi (777-842H). Beliau merupakan ulamak yang membela Ibn Taymiyah malah menulis kitab bagi menjawab pertuduhan ke atas Ibn Taimiyah. Beliau telah menulis beberapa kitab maulid, antaranya:
i) "Jami'ul Atsaar Fi Maulidinnabiyil Mukhtar" dalam 3 Jilid
ii) "Al-Lafdzurra'iq Fi Maulid Khairil Khalaiq" - berbentuk ringkasan. iii) "Maurid As-Sabiy Fi Maulid Al-Hadi"


7) Al-Imam al-Muarrikh al-Kabir wal Hafiz asy-Syahir Muhammad bin Abdul Rahman al-Qahiri yang terkenal dengan al-Hafiz as-Sakhawi (831-902H) yang mengarang kitab Addiyaullami' dan kitab-kitab lain yang berfaedah. Beliau telah menyusun maulid Nabi dan dinamakan "Al-Fakhrul 'Alawi Fi al-Maulid an-Nabawi" (Disebutkannya dalam kitab ad-Diyaullami', Juzuk 8, halaman 18).


8) Al-Allamah al-Faqih ss-Sayyid Ali Zainal Abidin as-Samhudi al-Hasani, pakar sejarah dari Madinah al-Munawarrah (wafat tahun 911H). Maulidnya yang ringkas (sekitar 30 muka surat) dinamakan "Al-Mawarid Al-Haniyah Fi Maulid Khairil Bariyyah". Kitab ini dalam tulisan khat nasakh yang cantik dan boleh didapati di perpustakaan-perpustakaan di Madinah, Mesir dan Turki.


9) Al-Hafiz Wajihuddin Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafie, yang terkenal dengan Ibn Daibai'e. beliau dilahirkan pada bulan Muharram 866H, dan meninggal dunia pada hari Jumaat, 12 Rejab 944H. Beliau merupakan salah seorang Imam pada zaman beliau, dan merupakan kemuncak masyaikhul hadits. Beliau telah meriwayatkan hadits-hadits al-Bukhari lebih seratus kali, dan membacanya sekali dalam masa enam hari. Beliau telah menyusun maulid yang amat masyhur dan dibaca di merata dunia (maulid daibaie). Maulid ini juga telah ditahqiq, diberi komentar serta ditakhrijkan haditsnya oleh al-Marhum al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.


10) Al-'Allamah al-Faqih al-Hujjah Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haitami (wafat tahun 974H). Beliau merupakan mufti Mazhab Syafie di Makkah al-Mukarramah. Beliau telah mengarang maulid yang sederhana (71 mukasurat) dengan tulisan khat naskh yang jelas yang boleh didapati di Mesir dan Turki. Beliau namakannya "Itmamun Ni'mah 'Alal 'Alam Bimaulid Saiyidi Waladi Adam". Selain itu beliau juga menulis satu lagi maulid yang ringkas, yang telah diterbitkan di Mesir dengan nama "An-Ni'matul Kubra 'Alal 'Alam Fi Maulid Saiyidi Waladi Adam".


As-Syeikh Ibrahim al-Bajuri pula telah mensyarahkannya dalam bentuk hasyiah dan dinamakannya : "Tuhfatul Basyar 'ala Maulid Ibn Hajar"


11) Al-'Allamah al-Faqih asy-Syaikh Muhammad bin Ahmad ys-Syarbini al-Khatib (wafat tahun 977H). Maulidnya dalam bentuk manuskrip sebanyak 50 halaman, dengan tulisan yang kecil tetapi boleh dibaca.


12) Al-'Allamah al-Muhaddits al-Musnid al-Faqih asy-Syaikh Nuruddin Ali bin Sultan al-Harawi, yang terkenal dengan al-Mulla Ali al-Qari (wafat tahun 1014H) yang mensyarahkan kitab al-Misykat. Beliau telah mengarang maulid dengan judul "Al-Maulidurrawi Fil Maulidin Nabawi". Kitab ini juga telah ditahqiq dan diberi komentar oleh al-Marhum al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, dan dicetak di Matba'ah As-Sa'adah Mesir tahun 1400H/1980M.


13) Al-'Allamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin Abdil Karim al-Barzanji, Mufti Mazhab As-Syafi'e di Madinah al-Munawarah (khilaf pada tahun wafatnya, 1177H atau 1184H). Beliau merupakan penyusun maulid yang termasyhur yang digelar Maulid al-Barzanji. Sebahagian ulama menyatakan nama sebenar kitab ini ialah "'Aqdul Jauhar Fi Maulidin Nabiyil Azhar". Maulid ini merupakan maulid yang termasyhur dan paling luas tersebar di negara-negara Arab dan Islam, di timur dan barat. Malah dihafal dan dibaca oleh orang Arab dan 'Ajam pada perhimpunan-perhimpunan mereka yang berbentuk kemasyarakatan dan keagamaan.


14) Al-'Allamah Abul Barakat Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-'Adawi yang terkenal dengan ad-Dardir (wafat tahun 1201H). Maulidnya yang ringkas telah dicetak di Mesir dan terdapat hasyiah yang luas padanya oleh Syeikul Islam di Mesir, al-Allamah As-Syeikh Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad al-Baijuri atau al-Bajuri (wafat tahun 1277H).


15) Al-'Allamah asy-Syeikh Abdul Hadi Naja al-Abyari Al-Misri (wafat tahun 1305H). Maulidnya yang ringkas dalam bentuk manuskrip.


16) Al-Imam al-'Arifbillah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid asy-Syarif Muhammad bin Ja'far al-Kattani al-Hasani (wafat tahun 1345H). Maulidnya berjudul (Al-Yumnu Wal-Is'ad Bimaulid Kharil 'Ibad" dalam 60 halaman, telah diterbitkan di Maghribi pada tahun 1345H.


17) Al-'Allamah al-Muhaqqiq asy-Syeikh Yusuf an-Nabhani (wafat tahun 1350H). Maulidnya dalam bentuk susunan bait dinamakan "Jawahirun Nazmul Badi' Fi Maulidis Syafi'" diterbitkan di Beirut berulangkali.


Begitulah sebahagian daripada kitab-kitab maulid yang telah disusun oleh para ulamak ummat Islam yang terkenal. Kebanyakan maulid yang ada hari ini dikarang oleh para huffaz, muhaddisin dan ulamak yang masyhur. Cukuplah bagi kita melihat betapa maulid ini begitu dimuliakan oleh para ulamak silam, tetapi cuba diingkari oleh mereka yang mengaku cerdik pandai dalam agama di zaman ini.

نسأل الله سبحانه و تعالى تمامها وظهورها و أن يجعلها خالصة لوجهه الكريم
وصلى الله وسلم وبارك على يسدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


- TAMAT TERJEMAHAN-



Penutup


Semoga terjemahan ini memberi gambaran sebenar yang jelas serta kefahaman yang jitu kepada para pembaca tentang persoalan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم . Usahlah terpedaya kepada mereka yang menentang akan sambutan ini. Saya, Abu Zahrah mengucapkan jutaan terimakasih kepada al-Fadhil Ustaz Sayyid Abdul Kadir al-Joofre kerana mengizinkan saya untuk menggunakan sebahagian daripada terjemahannya serta membuat pengolahan. Dan semoga Allah merahmati dan memberkati penulis asal kitab iaitu al-Marhum al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi bin ‘Abbas bin ‘Abdul Aziz al-Maliki al-Makki al-Hasani.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


InsyaAllah kita akan menyambut maulid dalam waktu terdekat, oleh itu marilah menghadiri sambutan maulid di masjid, surau, balairaya atau dimana sahaja – hayatilah sirah yang dibaca, jiwailah shalawat yang dialunkan, fahamilah tazkirah yang disampaikan, kerana ia akan menyuburkan serta menambahkan lagi rasa kasih serta cinta kita kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم .- jiwa kita akan lebih bertenaga untuk terus mengikuti segala ajarannya, jejak langkahnya dalam rangka kita mentaati Allah setiap detik dan ketika.


وصلى الله على خير خلقه سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

-Abu Zahrah-



(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 9)




Selain itu bagi menjawab tohmahan mereka kononnya ulamak silam mencerca sambutan ini, kita bawakan kata-kata yang jelas dari tiga ulamak yang kehebatan mereka diakui semua.



1) Al-Imam al-Hujjah al-Hafiz as-Suyuthi: Di dalam kitab beliau, al-Hawi lil Fatawa, beliau telah meletakkan satu bab yang dinamakan Husnul Maqsad fi 'Amalil Maulid, halaman 189, beliau mengatakan: Telah ditanya tentang amalan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم pada bulan Rabiul Awal, apakah hukumnya dari sudut syara'? Adakah ia dipuji atau dicela? Adakah pelakunya diberikan pahala atau tidak?



Dan jawapannya di sisiku: Bahawasanya asal kepada perbuatan maulid, iaitu mengadakan perhimpunan orangramai, membaca al-Quran, sirah Nabi dan kisah-kisah yang berlaku pada saat kelahiran baginda dari tanda-tanda kenabian, dan dihidangkan jamuan, dan bersurai tanpa apa-apa tambahan daripadanya, ia merupakan bid'ah yang hasanah yang diberikan pahala siapa yang melakukannya kerana padanya mengagungkan kemuliaan Nabi صلى الله عليه وسلم dan menzahirkan rasa kegembiraan dengan kelahiran baginda yang mulia.



2) Syeikh Ibn Taimiyah : "Di dalam kitab beliau, Iqtidha' as-Shiratil Mustaqim, cetakan Darul Hadis, halaman 266, beliau nyatakan: Begitu juga apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia samada menyaingi orang Nasrani pada kelahiran Isa عليه السلام, ataupun kecintaan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan mengagungkan baginda, dan Allah mengurniakan pahala kepada mereka atas kecintaan dan ijtihad ini...”


Seterusnya beliau nyatakan lagi : “Ia tidak dilakukan oleh salaf, tetapi ada sebab baginya, dan tiada larangan daripadanya.”


Kita pula tidak mengadakan maulid melainkan seperti apa yang dikatakan oleh Ibn Taimiyah sebagai: “Kecintaan kepada Nabi dan mengagungkan baginda.”




3) Syeikhul Islam wa Imamussyurraah al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: Berkata al-Hafiz as-Suyuthi dalam kitab yang disebutkan tadi: Syeikhul Islam Hafizul 'Asr Abulfadhl Ibn Hajar telah ditanya tentang amal maulid, dan telah dijawab begini: "Asal amal maulid (mengikut cara yang dilakukan pada zaman ini) adalah bid'ah yang tidak dinaqalkan dari salafussoleh dari 3 kurun (yang awal), walaubagaimanapun ia mengandungi kebaikan serta sebaliknya. Maka sesiapa yang melakukan padanya kebaikan dan menjauhi yang buruk, ia merupakan bid'ah yang hasanah.



Telah jelas bagiku pengeluaran hukum ini dari asal yang tsabit iaitu apa yang tsabit dalam shahihain (shahih al-Bukhari dan shahih Muslim) bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم ketika tiba di Madinah mendapati orang Yahudi berpuasa Asyura', lalu baginda bertanya kepada mereka (sebabnya). Mereka menjawab: Ia merupakan hari ditenggelamkan Allah Fir'aun dan diselamatkan Musa, maka kami berpuasa kerana bersyukur kepada Allah. Maka diambil pengajaran darinya melakukan kesyukuran kepada Allah atas apa yang Dia kurniakan pada hari tertentu, samada cucuran nikmat atau mengangkat kesusahan."



Seterusnya beliau berkata lagi: Dan apakah nikmat yang lebih agung dari nikmat diutuskan Nabi ini صلى الله عليه وسلم, Nabi Yang Membawa Rahmat, pada hari tersebut? Dan ini adalah asal kepada amalan tersebut. Manakala apa yang dilakukan padanya, maka seharusnya berlegar pada apa yang difahami sebagai bentuk kesyukuran kepada Allah Ta'ala samada tilawah, memberi makan, sedekah, membacakan puji-pujian kepada Nabi, penggerak hati atau apa sahaja bentuk kebaikan dan amal untuk akhirat."


Inilah istinbat-istinbat yang dikatakan oleh mereka yang menentang sambutan maulid (anti-maulid) sebagai istidlal yang bathil serta qias yang fasid, lalu mereka mengingkarinya. Cukuplah bagi kita memerhatikan siapakah yang mengingkari dan siapa pula yang mereka ingkari!!!



Golongan yang anti-maulid juga mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak pernah melakukannya, begitu juga khulafa' ar-rasyidun serta tidak juga dari mereka dikalangan para sahabat yang lain.



Maka Kita katakan kepada mereka bahawa sekadar meninggalkan sesuatu perkara tanpa diiringi nash bahawa apa yang ditinggalkan adalah perkara yang dilarang, bukanlah merupakan satu nash padanya. Malah ada menunjukkan bahawa apa yang ditinggalkan itu suatu yang disyariatkan. Manakala suatu perbuatan yang ditinggalkan menjadi suatu perkara yang dilarang bukanlah diambil dari sifatnya ditinggalkan semata-mata, tetapi berdasarkan dalil lain yang menunjukkan larangan. Walaubagaimanapun soal jawab ini gugur kerana kita katakan apa yang bercanggah adalah pada teknik dan cara, bukannya pada asal hakikat maulid itu sendiri yang ada dilakukan sendiri oleh baginda صلى الله عليه وسلم.



Dan adapun dakwaan mereka dengan bahawa kebanyakan yang menyambut maulid ini adalah golongan fasiq dan yang membuat maksiat merupakan satu tuduhan yang jelas tidak berasas sama sekali. Mereka perlu membawakan bukti pada apa yang mereka katakan. Jika tidak ini merupakan suatu fitnah kepada majoriti umat Islam di seluruh dunia, dan merupakan satu maksiat dan dosa besar pula ke atas mereka. Malah kita juga sudah menjawab dakwaan ini sebelum ini.



Antara tohmahan mereka lagi ialah: Sesungguhnya sambutan ini bukanlah dalil kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم.



Jawapan baginya pula ialah: Kita tidak mengatakan bahawa sambutan maulid ini merupakan satu-satunya dalil kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم, dan siapa yang tidak menyambutnya bukanlah pencinta. tetapi apa yang kita katakan adalah: Sesungguhnya sambutan maulid ini merupakan satu tanda daripada tanda-tanda kecintaan kepada baginda, dan ia merupakan satu dalil dari dalil-dalil kepada kaitan kita kepada baginda dan mengikuti baginda. Selain itu, tidak semestinya siapa yang tidak menyambutnya bukan seorang pencinta atau pengikut baginda.



Dan sabitnya kecintaan dengan mengikuti jejak baginda tidak menafikan tsabitnya kecintaan dengan mengikuti baginda serta ditambah lagi dengan mengambil berat dan berusaha lagi, seperti mana yang disyariatkan, yang tergambar dalam sambutan ini. Sambutan ini pula tidak terkeluar dari kaedah dan asas-asas syariah di sisi mereka yang berakal.



Antara tohmahan mereka yang gugur lagi ialah, kata-kata sebahagian mereka bahawa ayat Alquran yang kita sebutkan dalam dalil ketiga, (bahagian 1) sebelum ini iaitu :


قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ...



Mereka mengatakan bahawa ayat ini tidak menunjukkan kepada kegembiraan dengan adanya Rasul صلى الله عليه وسلم kerana yang dimaksudkan dengan rahmat di sini adalah Islam dan Al-Quran. Mereka juga menaqalkan kata-kata beberapa mufassir padanya, serta beberapa atsar padanya, walaupun tidak diriwayatkan langsung hadits marfu' padanya.



Kita katakan: Subahanallah!. Betapa pelik dan ajaibnya kata-kata ini. Kalaulah yang berkata ini tidak mengucapkan syahadah, nescaya kita katakan dia adalah seorang musuh yang nyata menyesatkan, mempunyai dendam dan hasad serta niat jahat. Namun kalimah tauhid yang disebutkan menyelamatkan mereka dari kata-kata ini, lalu dengan lidah-lidah sesama mu'min yang mengesakan Allah serta mangasihi satu sama lain, kita bersangka baik kepada mereka bahawa ini adalah kerana kejahilan mereka serta salah faham.



Dan sebagai jawapan bagi tohmahan ini, kita katakan bahawa telah jelas disifatkan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagai rahmat dalam ayat-ayat dan hadits yang begitu banyak yang sebahagiannya telah pun kita sebutkan sebelum ini. Maka apakah penghalang dari kita katakan rahmat dalam ayat yang disebutkan ini juga merangkumi Nabi صلى الله عليه وسلم, maka kita katakan Islam, Al-Quran dan Nabi صلى الله عليه وسلم semuanya adalah rahmat.



Dan siapakah yang datang dengan Islam yang merupakan rahmat? Dan siapa pula yang diturunkan padanya Al-Quran yang merupakan rahmat? Bukankah baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang datang dengan rahmat ini? Jikalah tidak didatangkan dalam Al-Quran nash yang jelas menunjukkan secara mutlak zat serta syakhsiah baginda yang mulia sebagai rahmat, cukuplah penyataan di atas sebagai menunjukkan bahawa yang membawa rahmat itu sendiri adalah rahmat. Dan berdasarkan manhaj mentafsir Al-Quran dengan al-Quran, tidak syak lagi bahawa ayat tersebut merangkumi Nabi صلى الله عليه وسلم yang merupakan rahmat yang diperintahkan oleh Allah kepada kita supaya bergembira dengannya.



Tohmahan mereka lagi ialah: Sesungguhnya hari kelahiran baginda adalah hari kewafatan baginda juga. Maka kegembiraan tentulah tidak lebih utama dari kesedihan. Dan lebih utama bagi seorang yang menyintai menganggap hari ini sebagai hari berkabung dan bersedih.



Kita katakan: Sesungguhnya cukuplah bagi kita al-Imam Al-'Allamah Jalaluddin as-Suyuthi sebagai balasan kepada kesalahan ini. Beliau telah menyatakan di dalam kitabnya al-Hawi: Sesungguhnya kelahiran baginda صلى الله عليه وسلم merupakan seagung-agung nikmat, manakala kewafatan baginda musibah terbesar kepada kita. Dan syariah menyeru kita untuk menzahirkan kesyukuran atas nikmat, dan sabar serta bertenang ketika ditimpa musibah. Syariat telah memerintahkan 'aqiqah pada kelahiran sebagai menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan atas kelahiran. Sebaliknya tidak pula diperintahkan demikian atau lainnya ketika kematian, malah dilarang pula ratapan dan menunjukkan kesedihan yang teramat sangat. Maka kaedah syariah telah menunjukkan bahawa pada bulan ini digalakkan menunjukkan kegembiraan dengan kelahiran baginda صلى الله عليه وسلم, dan bukanlah menunjukkan kesedihan dengan kewafatan baginda صلى الله عليه وسلم.



Antara tohmahan mereka yang gugur lagi ialah bahawa kisah Abu Lahab yang membebaskan Tsuwaibah ketika dikhabarkan kepueteraan Nabi صلى الله عليه وسلم merupakan satu atsar yang bathil, kerana ia hanya sebuah mimpi yang tidak boleh dijadikan hujah, serta bercanggah dengan al-Quran. Kemudian mereka berdalilkan kata-kata Ibn Hajar dan mereka berkata : Telah berkata al-Hafiz di dalam al-Fath bahawa ia adalah mimpi yang tiada hujah padanya.



Kita katakan bahawa, Ibn Hajar yang mereka ambil kata-katanya sebagai dalil dan mereka sifatkan sebagai "al-Hafiz" merupakan Ibn Hajar yang sama yang telah mengistinbatkan hukum maulid berdasarkan asas yang shohih berdalilkan hadits puasa ‘asyura' (seperti disebutkan sebelum ini), lalu mereka tidak mengambil kata-katanya malah mengatakan : "Pendalilan ini adalah pendalilan yang bathil dan kias yang fasid".



Lihatlah kepada kepincangan teknik mereka. Apabila mereka menyangka ijtihad Ibn Hajar menepati hawa mereka, lantas mereka katakan: “telah berkata 'Al-Hafiz'”, sebagai menghormati dan memuliakan beliau dengan gelaran ini. Tetapi apabila bercanggah dengan hawa mereka, mereka tidak akan menyebutkan demikian malah mengatakan dalilnya fasid dan kiasnya fasid.



Tambahan pula, ini merupakan gambaran jelas kejahilan mereka yang anti sambutan maulid ini yang kononnya mengambil dalil dari kata-kata Ibn Hajar pada menolak khabar berkaitan tsuwaibah. Ini kerana orang yang menaqalkan kata-kata ini telah menyeleweng serta menggunakan kata-kata Ibn Hajar mengikut nafsunya semata-mata, dan tidak mendatangkannya dengan gambaran yang sebenar. Kalaulah didatangkan kata-kata beliau dengan sempurna, tentulah gugur hujjah mereka. Ini kerana al-Hafiz Ibn Hajar telah menolak serangan ini di penghujung perbahasannya tentang tajuk tersebut dengan mengatakan bahawa Allah Ta'ala berhak untuk melebihkan apa yang dikehendaki ke atas Abu Lahab, seperti mana yang dikurniakan kepada Abu Talib. Sesiapa yang merujuk kitab tersebut dengan sempurna tentu sekali akan memahami secara jelas pendapat Ibn Hajar yang sebenarnya.



Berkenaan hadits atau khabar tersebut pula, kita katakan secara ringkasnya bahawa kisah tersebut adalah sangat masyhur dalam kitab-kitab hadits dan sirah, dan telah dipetik dari para huffaz yang muktabar dan muktamad. Dan cukuplah bagi kita bahawa ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab shahihnya, yang kita sepakati kesahihannya yang tidak disangkal sama sekali.



Selain itu permasalahan ini termasuk dalam bab manaqib dan kelebihan serta kemuliaan yang mana tidak disyaratkan padanya sahihnya suatu khabar tersebut. Selain itu dakwaan mereka bahawa khabar ini sekadar mimpi yang tidak boleh dijadikan hukum syara', kita katakan bahawa mereka tidak tahu membezakan antara hukum syara' dan bukan. Pada hukum syara' memang ada padanya perselisihan sama ada mimpi boleh dijadikan hujjah ataupun tidak. Adapun dalam bab manaqib seperti ini, berpegang dengan mimpi adalah dibolehkan secara mutlak. Inilah yang dipegang oleh para huffaz berdasarkan mimpi masyarakat jahiliyah akan tanda perutusan Rasulullah صلى الله عليه وسلم serta perkhabaran lain. Perkara ini banyak sekali terdapat dalam kitab-kitab sunnah terutamanya dalam menceritakan tanda-tanda kenabian.



Mereka juga mengatakan bahawa yang bermimpi dan meriwayatkan khabar ini, iaitu Abbas, dalam keadaan kufur, sedangkan orang kafir tidak diterima persaksian mereka dan tidak diterima khabar dari mereka. Ini merupakan kata-kata yang ditolak, dan tiada padanya haruman ilmiah langsung. Ini kerana tidak pernah langsung kita katakan mimpi merupakan suatu persaksian. Maka tidak disyaratkan padanya keislaman seseorang. Ini seperti yang diriwayatkan dalam al-Quran kisah mimpi raja Mesir di zaman Nabi Yusuf عليه السلام yang merupakan seorang penyembah berhala, akan tetapi dijadikan sebagai tanda kenabian Nabi Yusuf عليه السلام. Kalaulah ia tidak boleh dijadikan dalil serta tiada faedah, mengapa pula disebutkan oleh Allah dalam al-Quran?



Dan apa yang lebih pelik lagi ialah, mereka mengatakan bahawa Abbas bermimpi ketika beliau kafir, dan orang kafir tidak diterima persaksian mereka, sedangkan kata-kata ini hanya layak keluar dari mereka yang tidak mengetahui ilmu hadits sahaja. Ini kerana apa yang dinyatakan dalam ilmu hadits adalah periwayat hadits yang mengambil hadits ketika kafir kemudian meriwayatkannya sesudah Islamnya, boleh diambil riwayatnya serta diamalkan. Lihatlah contoh-contoh bagi perkara ini dalam kitab-kitab ilmu hadits, supaya anda akan mengetahui bahawa orang yang mengatakan begini adalah orang yang berkata tanpa ilmu, dan sesungguhnya nafsunyalah yang mendorongnya menceburkan diri dalam bidang yang dia bukan ahlinya.



Selain itu, apa yang lebih kuat lagi ialah, mimpi Abbas ini bukanlah seperti mimpi lain. Ini kerana beliau telah menceritakannya ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada bersama, dan baginda mendengar serta menyetujuinya dan membenarkannya. Jikalau ia merupakan sesuatu yang salah atau bercanggah dengan agama, tentu sekali baginda akan mengingkarinya. Dan oleh kerana baginda telah mendengar dan bersetuju dengannya, maka ia telah menjadi sunnah taqririah.


Bahagian 10 (terakhir) segera menyusul …….. insyaAllah





(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)



Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم (Bahagian 8)


Tohmahan Yang Gugur



Pada hakikatnya Maulid tidak lain dan tidak bukan adalah perhimpunan untuk mendengar sirah Nabi صلى الله عليه وسلم, serta memperingati kurniaan Allah Ta'ala ke atas umat ini dengan kelahiran Nabi Yang Mulia Lagi Penyantun dan Penyayang صلى الله عليه وسلم.


Namun demikian terdapat beberapa serangan liar serta tohmahan yang sangat lemah, yang dipegang kuat oleh mereka yang mengingkari maulid. Malah mereka saban tahun akan membuat serangan-serangan ini demi menegakkan benang basah mereka.


Antara tuduhan mereka adalah, orang yang menyambut Maulid beriktiqad bahawa ia adalah hari raya yang ketiga. Dakwaan ini telah ditolak dan telah diterangkan sebelum ini.


Selain itu mereka juga mendakwa bahawa sambutan Maulid merupakan tambahan kepada syariat dan seolah-olah menokok tambah dalam agama. Ini kerana, kata mereka, jika ia merupakan suatu perkara yang baik, tentu sekali Nabi صلى الله عليه وسلم akan membuatnya. Dakwaan ini merupakan suatu dakwaan liar yang lemah sama-sekali. Ini kerana, tiada seorang pun sama ada orang awam di kalangan Muslimin, jauh sekali para ulama, yang akan beriktiqad atau menyangka sedemikian. Tambahan pula, bukanlah semua yang tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم atau salaf, dan dilakukan oleh golongan selepas mereka dikira sebagai cubaan menyempurnakan agama atau menokok tambah dalam syariah. Amat jauh sekali fahaman ini. Kalaulah demikian di manakah pintu ijtihad???


Apakah yang mereka katakan pada ribuan masa'il ijtihadiah (permasalahan yang diselesaikan dengan ijtihad para mujtahidin) yang diselesaikan selepas kurun-kurun yang utama tersebut? Adakah ia menyempurnakan agama juga???! Dan bolehkah kita katakan semua permasalahan ini, terlepas pandang dari Nabi صلى الله عليه وسلم dan para Salaf? Atau mereka melupakannya atau tercuai dari menyelesaikannya?. سبحانك هذا بهتان عظيم (Maha Suci Engkau, ya Allah. Ini adalah satu pembohongan yang besar!) Ini merupakan satu sangkaan yang jelas sesat.


Seterusnya kita persoalkan, siapakah yang mendakwa bahawa amalan maulid ini mempunyai cara dan teknik yang berbentuk ta'abbudiyyah yang mempunyai nash secara langsung ke atasnya? Dakwaan ini merupakan sebesar-besar tipu daya dan sebathil-bathil perkara yang cuba diserapkan oleh mereka. Dakwaan ini juga telah kita jawab sebelum ini. Selain itu mereka mengatakan bahawa sambutan maulid ini merupakan bid'ah dari kelompok Rafidhah, kerana yang pertama menciptakan sambutan ini adalah kerajaan Fatimiyyah yang mereka katakan zindiq, rafidhah dan keturunan Abdullah bin Saba'. Begitulah apa yang mereka dakwa.(12)


Jawapan kepada tuduhan ini telah kita sebutkan sebelum ini, yang mana sesungguhnya yang pertama sekali menyambut maulid adalah shohib kepada Maulid ini sendiri, iaitu Saiyiduna Muhammad صلى الله عليه وسلم. Kita telah sebutkan dalil-dalil shahih padanya yang mana tiada khilaf padanya.


Adapun perselisihan pada kaifiat dan jalannya (tekniknya) yang sentiasa berkembang dan berubah, ia bukanlah suatu perkara yang mesti mempunyai nash secara langsung. Malah sebenarnya umat Islam telahpun menyambutnya sebelum zaman Fatimiyyah lagi. Dan para ulama telah menyusun perihal maulid ini dalam kitab-kitab yang khas baginya.


Penipuan dan Pemalsuan Terhadap Ibn Katsir


Kita juga ada membaca dan mendengar cubaan mereka yang anti-maulid, untuk menyebarkan kebathilan mereka dengan apa jua cara, walau dengan pemalsuan (seperti mana kebiasaan mereka bagi mengaburi orang awam di kalangan Muslimin, terutamanya yang kurang ilmu), apabila mereka mengatakan begini (dengan lafaz mereka sendiri):(13 )


“Sesungguhnya al-Hafiz Ibnu Katsir menyebutkan dalam al-Bidayah wa an-Nihayah (Jilid 11 mukasurat 172), bahawa Daulah Fatimiyah al-Ubaidiyyah (yang dinisbahkan kepada Ubaidullah bin Maimun al-Qadaah berbangsa Yahudi), yang memerintah Mesir dari tahun 357H hingga 567H, telah mengadakan pelbagai sambutan pada hari-hari yang tertentu, dan antaranya ialah sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم.” – Tamat petikan


Beginilah yang mereka naqalkan dari al-Hafiz Ibnu Katsir. Dan apabila kita merujuk kepada apa yang mereka sebutkan, kita katakan kepada mereka: Wallahi, Kamu semua telah berdusta!!! Sesungguhnya kami dapati daripada apa yang kamu dakwa daripada al-Hafiz Ibnu Katsir merupakan satu dustaan, tipudaya, pemalsuan dan pengkhianatan dalam mengambil kata-kata ulama.


Nah, bagaimanakah kita boleh mempercayai dan berasa aman dengan mereka yang sanggup berbuat demikian kepada ulama? Mereka amat taksub dan mengikut hawa nafsu mereka sehingga sanggup berbuat apa sahaja dan enggan bermunaqasyah dengan adil, insaf dan jauh dari hawa nafsu.


Berikut pendapat sebenar al-Hafiz Ibn Katsir pada amalan maulid dan perkembangannnya, dan yang telah disembunyikan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka bermunaqasyah dengan penuh keadilan dan keinsafan. Al-Hafiz Ibn Katsir berkata dalam al-Bidayah wa an-Nihayah Juzuk 13, Halaman 136, Terbitan Maktabah al-Ma'arif seperti berikut:


"... al-Malik al-Mudzaffar Abu Sa'id al-Kukabri, salah seorang dari pemimpin besar yang cemerlang serta raja-raja yang mulia, baginya kesan-kesan yang baik14 (lihat kata Ibn Katsir "kesan-kesan yang baik"), beliau telah mengadakan maulid yang mulia pada bulan Rabiulawwal, dan mengadakan sambutan yang besar. Selain itu, beliau seorang yang amat berani, berakal, alim lagi adil. Semoga Allah merahmati beliau dan memperbaikkan kesudahannya..." dan beliau berkata seterusnya : “dan beliau (Sultan Muzaffar) berbelanja untuk menyambut maulid 300,000 dinar”


Maka lihatlah sidang pembaca sekalian, kepada puji-pujian kepadanya oleh Ibn Katsir, yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang alim, adil lagi berani, dan tidak pernah mengatakan, zindiq, pembuat dosa, fasiq, melakukan dosa besar, sepertimana yang didakwa oleh mereka yang menentang sambutan ini. Sidang pembaca boleh merujuk sendiri kepada rujukan yang diberi, dan akan menemui kata-kata yang lebih hebat lagi dari ini, yang tidak disebutkan di sini bagi tidak memanjangkan perbahasan ini.


Lihatlah juga kata-kata al-Imam al-Hafiz adz-Dzahabi dalam Siyar A'lam an-Nubala', Juzuk 22, halaman 336, ketika menerangkan perihal al-Malik al-Mudzaffar apabila disebutkan: “Beliau merupakan seorang yang tawadhu', baik, ahli sunnah, dan menyintai para fuqaha' dan muhadditsin."


_________________________________


Notakaki:-


(12) dan (13): Tuduhan ini dibuat oleh Shaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (meninggal pada1420H), bekas mufti Saudi didalam fatwanya (rujuk fatwa markaz ad-dakwah wa al-irsyad)


(14) Maksudnya menpunyai akhlaq yang baik.


Saya bawakan petikan dari kitab Irsyadul Jawiyyin ila Sabilil Ulama-il ‘Amilin oleh Tuan Guru Hj ‘Abdul Qadir bin Hj Wan Ngah Sekam. “ …… iaitu satu raja yang adil dan ‘alim … namanya Abu Said Kukubri bin Zainuddin … raja negeri Irbil dan bercerita oleh setengah mereka …….. [seterusnya] …. Dan cerita oleh isterinya bahawa baju bagi raja itu tak sampai harga lima dirham pun, maka isterinya merepek [berleter] kepadanya, maka jawab raja itu: Pakai aku akan kain lima dirham dan bersedekah aku dengan dirham yang lebih lagi itu terlebih baik daripada aku pakai yang mahal dan tinggal aku akan faqir miskin …..” - Halaman 11. – Tamat petikan -.


Al-Malik al-Mudzaffar Abu Sa'id al-Kukabri adalah ipar kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Beliau gugur syahid didalam medan jihad menentang tentera salib Perancis ketika mempertahan kota Akka pada tahun 630H. Beliau pernah menghadiahkan wang sebanyak seribu dinar kepada Shaikh Abu al-Khattab ibn Dihya kerana telah menyusun untuk beliau sebuah kitab maulid bertajuk al-Tanwir fi Maulid al-Bashir al-Nadzir. – Wallahu a’lam



(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)


Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 7)


Bid'ah dan Perkara Mungkar Pada Sambutan Maulid Nabi


Tidak kita nafikan terdapat beberapa perkara bid'ah dan mungkar yang berlaku pada sebilangan kecil sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم yang diadakan di beberapa buah negara ‘Arab dan negara Islam lain. Perkara ini sering kali kita ingatkan dan tegurkan keburukannya. Namun begitu, alhamdulillah di kebanyakan majlis sambutan maulid yang kita hadiri tidak berlaku bid'ah dan perkara mungkar demikian.


Antara perkara mungkar tersebut adalah percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang merupakan pintu utama kejahatan dan sebab terbesar terjadinya fitnah seperti mana yang terdapat dalam hadits.


Antara bid'ah pada sebahagian sambutan maulid lagi ialah apa yang dilakukan oleh golongan yang jahil apabila menyambutnya dengan perkara-perkara yang melalaikan, permainan, nyanyian yang haram dan apa sahaja bentuk yang berkaitan yang termasuk dalam maksiat kepada Allah serta menghina larangan Allah.


Selain itu terdapat juga mereka yang menyambutnya melakukan perbuatan mungkar, meringan-ringankan shalat, bermuamalah dengan riba', meninggalkan perkara-perkara sunnah (samada yang zahir mahupun batin).


Dan antara perkara yang buruk, yang dikira sebagai berpaling dari kebaikan dan apa yang datang dari Nabi صلى الله عليه وسلم adalah apabila sebahagian mereka hanya menyambutnya pada malam atau hari tertentu, kemudian melupakan dan meninggalkannya pada hari-hari lain sepanjang tahun. Sepanjang tahun mereka tidak ada langsung berkumpul untuk membaca sirah baginda dan mengingati kisah perjuangan baginda صلى الله عليه وسلم.


Terdapat di sebahagian tempat, mereka hanya memberi keutamaan mengingati Nabi صلى الله عليه وسلم dengan membaca sejarah baginda, mengharumkan majlis-majlis dengan membaca sifat-sifat, keutamaan baginda, madah dan pujian buat baginda, memberi makan serta perbuatan-perbuatan kebajikan lain hanya pada bulan Rabiul Awwal. Perkara-perkara ini memanglah amat baik dan tiada seorangpun meraguinya.


Namun apa yang wajib ke atas kita adalah melakukannya pada setiap hari sepanjang tahun, kerana ingatan terhadap Rasul صلى الله عليه وسلم tidak mempunyai waktu yang terhad atau hari yang tertentu, malah ia merupakan agenda kehidupan seorang muslim setiap hari pada setiap urusan kehidupannya. Perhimpunan-perhimpunan yang diadakan ini pula adalah sebagai kunci bagi memperingatkan kita kepada kenyataan dan tujuan ini.
Jikalau sambutan-sambutan maulid bebas dari perkara-perkara bid'ah dan mungkar ini, tentu sekali ia merupakan wasilah yang terbaik bagi kebaikan, dan kaedah serta pintu yang termulia bagi dakwah kepada Allah, peringatan dan nasihat ummat manusia sebagai mencontohi generasi salafussoleh yang termulia.


Alhamdulillah, kebanyakan majlis sambutan maulid yang kita hadiri samada di sini mahupun di tempat-tempat lain, merupakan perhimpunan yang penuh kemuliaan dan kesucian, majlis yang dipenuhi dengan adab, perasaan indah dan penghormatan, perhimpunan keilmuaan, keutamaan, kegembiraan dan kegemilangan. Ia diadakan pula di masjid-masjid (tempat yang termulia di muka bumi), ataupun di dewan-dewan, dataran-dataran, sekolah dan institusi pengajian agama, mahupun di rumah para ulama. Ia dihadiri pula oleh para ulama besar serta para pendakwah ke jalan Allah yang menyerikan majlis dengan nasihat dan pengajaran mereka.


Mungkin mereka yang anti-sambutan maulid ini melihat kepada beberapa majlis yang diadakan yang mana terdapat padanya perkara-perkara bid'ah dan mungkar yang kita sebutkan di atas tadi. Kita jawab kepada mereka, sesungguhnya perkara-perkara mungkar tersebut tidak hanya terjadi pada sambutan maulid sahaja, tetapi juga pada sambutan-sambutan yang kita sepakati pensyariatannya, seperti di masjid-masjid, tempat-tempat mengerjakan haji dan umrah (terutamanya ketika berlaku kesesakan), atau pada perhimpunan-perhimpunan tahunan seperti solat eidul fitri dan eidul adha, wuquf di Arafah, melontar jamrah, dan apa jua perhimpunan lain. Namun begitu perkara mungkar ini tidak menjejaskan asas perhimpunan-perhimpunan ini,
لأن الماء الطهور لا ينجسه شيء
kerana bahawasanya air yang suci lagi menyucikan itu tidak akan ternajis dengan sesuatu yang lain.


Maka bolehkah seorang yang berakal mengatakan kita harus melarang semua perhimpunan yang disyariatkan tersebut kerana berlaku padanya perkara-perkara mungkar tersebut? سبحانك هذا بهتان عظيم (Maha Suci Engkau, ya Allah. Ini adalah satu pembohongan yang besar!)


Jika seorang yang benar-benar ingin melarang perkara mungkar dengan insaf dan berfikiran jelas tentulah mengatakan, wajib bagi kita mengingkari segala bentuk kemungkaran tidak kira berlaku dalam apa juga majlis, samada ia berlaku dalam sambutan maulid, mi'raj, haji, hari raya, tarawih, atau apa juga majlis lain, tanpa hanya menumpukan perhatian hanya pada sambutan maulid itu sendiri, dengan mengerah segala tenaga dan media, di forum-forum atau laman web tertentu atau diatas mimbar-mimbar masjid untuk memerangi perhimpunan bagi sambutan maulid.


Sesiapa yang ingin memerangi perkara mungkar dan bid'ah dengan hikmah dan keinsafan, tanpa mengkhususkannya pada sambutan tertentu sahaja, tentu sekali kita semua akan menyokong dan membantu sedaya upaya. Semoga segala sambutan yang kita adakan bersih dari perkara mungkar demi menjaga kesucian dan menghormati Tuan kepada sambutan maulid ini sendiri, صلى الله عليه وسلم.

Isnin, 26 Mac 2007

MARI KITA MEMPERBANYAKKAN SHOLAWAT


MARI KITA MEMPERBANYAKKAN SHOLAWAT









Ahad, 25 Mac 2007



(Artikel ini adalah terjemahan dari kitab karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani bertajuk حول الاحتفال بذكرى المولد)

Disekitar Perayaan Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
(Bahagian 6)



Berdiri ketika Sambutan Maulid Nabi



Adapun amalan berdiri pada Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم , iaitu ketika mana disebutkan tentang keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم ke dunia, maka sesungguhnya sebahagian orang menyangka bahawa perbuatan adalah salah, tidak mempunyai asal (dalil) disisi ahli ilmu.



Tidak ternafi juga salah faham ini juga ada pada mereka yang menyambutnya, tetapi di kalangan mereka yang benar-benar jahil yang tidak boleh kita ambil kata-kata mereka. Salah faham ini ialah, berdiri ketika sambutan ini sebagai menyambut kedatangan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم dengan jasad baginda yang mulia. Antara salah faham yang lebih teruk lagi ialah kononnya wangian dan air yang diletakkan di tengah-tengah majlis adalah minuman yang disediakan untuk baginda صلى الله عليه وسلم.


Sangkaan-sangkaan begini tidak patut ada pada fikiran kita ummat Islam, dan kita berlepas diri dari sangkaan buruk begini, kerana hal ini dikira biadab terhadap Rasulullah. I’tiqad sebegini tidak timbul melainkan dari orang mulhid atau pendusta. Persoalan di alam barzakh tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah.


Malah kita meyakini bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم lebih sempurna dan mulia dari sangkaan kononnya baginda keluar dari kubur dengan jasad baginda yang mulia dan datang ke majlis pada waktu-waktu tertentu. Saya mengata hal ini adalah dusta serta biadab yang terbit dari orang yang benci, dengki atau atau seorang yang bodoh sombong. Namun begitu kita memang beriktiqad bahawa baginda صلى الله عليه وسلم hidup dalam kehidupan barzakh yang sempurna yang sesuai dengan kedudukan baginda.

Dan sesuai dengan hidup yang sempurna tersebut roh baginda boleh pergi ke merata tempat di alam malakut Allah, dan boleh menghadiri majlis-majlis kebajikan dan acara-acara yang dipenuhi cahaya Allah dan ilmu pengetahuan. Begitu jugalah arwah para mukminin yang sebenar.yang mengikuti baginda.


Imam Malik rahimahullahu Ta'ala pernah berkata :

بَلَغَنِيْ أَنَّ الرُّوْحَ مُرْسَلَةٌ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ

Artinya: Telah sampai kepadaku khabar bahawa roh dapat pergi ke mana-mana dihendaki.


Salman al-Farisi radhiyallahu 'anhu pula berkata:

أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ فِيْ بَرْزَخٍ مِنَ الأَرْضِ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ

Artinya: Roh-roh orang mukmin di alam barzakh, pergi ke mana dikehendaki. (Sebagaimana tersebut didalam kitab ar-Ruh oleh Ibn Qayyim, mukasurat 144)


Setelah engkau telah mengetahui semuanya itu, maka ketahuilah bahawa berdiri ketika sambutan maulid bukanlah wajib mahupun sunnah, dan tidak betul kita beriktiqad sedemikian. Malahan ia adalah satu harakat (gerakan) yang menggambarkan kesukaan dan kegembiraan manusia ketika mana disebutkan bahawa baginda صلى الله عليه وسلم lahir ke dunia, para pendengar dapat menggambarkan bahawa seluruh alam bergembira dan seronok dengan nikmat ini, maka mereka pun berdiri bagi menunjukkan kegembiraan ini.



Oleh itu, ia adalah masalah kebiasaan semata-mata bukan keagamaan, dan ia bukanlah ibadah, syariah atau sunnah tetapi apa yang dilakukan oleh kebiasaan manusia.
Pendapat ulama tentang berdiri ketika membaca maulid Walaupun kita sebutkan sebelum ini bahawa berdiri ketika disebutkan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم adalah soal kebiasaan manusia, bukanlah suatu ibadah sunnah atau wajib, terdapat juga sebahagian ulama yang memandang baik perkara ini.


Shaikh Ja’afar al-Barzanji rahimahullahu Ta'ala, yang merupakan salah seorang penyusun kitab maulid, ada mengatakan :

وقد استحسن القيام عند ذكر مولده الشريف أئمةٌ ذوو رواية ورويّه ، فطوبى لمن كان تعظيمه صلّى الله عليه وسلّم غاية مرامه ومرماه

Artinya: Adalah dipandang baik dikalangan ulama yang mempunyai riwayat dan penelitian, perbuatan berdiri ketika kisah keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم disebutkan. Maka beruntunglah sesiapa yang melakukannya dengan tujuan untuk membesarkan Nabi صلى الله عليه وسلم.



Kami maksudkan ‘baik’ disini ialah kerana harusnya hal itu dari segi zatnya, asalnya dan puji-pujian bagi Nabi صلى الله عليه وسلم yang dituntut dari mula kebangkitan itu sehingga kesudahannya. Maksud ini tidak boleh dibandingkan dengan makna yang diistilahkan pada usul fiqh.


Penuntut-penuntut ilmu yang kurang pengetahuannya pun tahu bahawa isitilah استحسن (memandang baik) itu digunakan pada perkara-perkara yang biasa difaham oleh segolongan manusia, seperti misalnya mereka berkata, “Saya dapati kitab ini baik. Perkara ini dipandang baik. Orang-orang telah menyukai perjalanan tersebut.” Maksud mereka ialah pandangan biasa dari segi bahasa. Jika tidak demikian, nescaya semua perkara-perkara itu berasal dari segi syara’, tetapi orang yang beraqal dan yang mengetahui ilmu usul fiqh tidak berkata begitu.



Beberapa Alasan Untuk Memandang Baik Berdiri Semasa Membaca Maulid



1) Kebiasaan berdiri dalam memperingati maulid pada detik-detik kisah keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم disebutkan, dilakukan oleh kaum Muslimin di perlbagai negeri, kawasan dan daerah. Para ulama di timur dan di barat juga memandangnya sebagai kebiasaan yang baik. Tujuannya tiada lain dari memuliakan, membesarkan pihak yang diperingati maulidnya, iaitu junjungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Dan apa yang dipandang baik oleh muslimin, maka ia adalah baik di sisi Allah dan apa yang dipandang keji maka ia adalah keji di sisi Allah seperti mana yang kita telah sebutkan sebelum ini dalam hadis mauquf daripada Ibn Mas’ud radhiyallahu 'anhu.


2) Berdiri hormat bagi menghormati ahlul fadhl adalah disyariatkan dan dalil-dalil yang mentsabitkannya banyak terdapat didalam sunnah. Malah Imam Nawawi rahimahullah Ta'ala telah menyusun bab ini dalam satu bahagian tersendiri dan ia diperkuatkan lagi oleh Imam Ibn Hajar rahimahullah Ta'ala yang telah menyanggah kata-kata mereka yang menolak (iaitu Ibnu al-Haj) pendapat Imam Nawawi dalam perkara ini dalam satu kitab yang lain yang bernama:
رفع الملام عن القائل باستحسان القيام


(3 Diriwayatkan dalam sebuah hadits yang muttafaq 'alaih bahawa baginda صلى الله عليه وسلم menyeru kepada kaum Ansar :

قُوْمُوْا إِلىَ سَيِّدِكُمْ

Artinya: "Berdirilah bagi penghulu kalian". Perintah berdiri ini adalah sebagai menghormati dan mengagungkan Sayyidina Sa'ad radhiyallahu 'anhu, dan bukanlah kerana beliau sedang sakit ketika itu.

Ini kerana jika perintah ini hanya disebabkan Sayyidina Sa'ad sedang sakit, tentulah baginda akan memerintah :
قوموا إلى مريضكم “berdirilah bagi menyambut orang yang sedang sakit di kalangan kalian”, dan bukannya, berdirilah bagi penghulu kalian.(10)


4) Antara petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم adalah baginda selalu berdiri sebagai menghormati dan menyambut sesiapa yang masuk berjumpa baginda. Ini seperti mana yang baginda lakukan sendiri ketika mana baginda berdiri menyambut puteri baginda Sayyidah Fathimah رضي الله عنها, dan menyatakan penghormatan baginda untuk beliau. Begitu juga perintah kepada kaum Ansar untuk berdiri menyambut penghulu mereka. Maka ini menunjukkan pensyariatan berdiri, dan baginda صلى الله عليه وسلم adalah yang paling berhak kita agungkan dari para sahabat tadi.(11)


5) Mungkin dikatakan bahawa penghormatan tersebut boleh jika pada masa hayat dan kehadiran baginda صلى الله عليه وسلم, dan ketika sambutan maulid ini baginda tidak hadir. Jawapannya adalah, para pembaca maulid yang mulia menggambarkan di dalam jiwa mereka hadirnya baginda صلى الله عليه وسلم.


Dan gambaran ini merupakan suatu perkara yang terpuji dan dituntut, malah mesti dilakukan setiap waktu dalam minda setiap muslim yang benar-benar beriman, bagi menyempurnakan ketaatan dan menambahkan kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم.
Mereka berdiri sebagai tanda hormat dan mulia dengan gambaran yang ada pada jiwa mereka berkenaan Rasul yang agung ini, sambil merasakan kemuliaan dan keagungan kedudukan baginda. Dan ini merupakan suatu perkara yang biasa, seperti mana disebutkan sebelum ini. Malah menghadirkan demikian itu adalah suatu yang mesti bagi menambahkan rasa penghormatan kepada baginda صلى الله عليه وسلم.


Bahagian ketujuh segera menyusul …….. insyaAllah


____________________________________________________________

Notakaki:-


(10) Selain itu tentulah tidak diperintahkan semua orang berdiri bagi menyambutnya, kerana cukuplah sebahagian sahaja yang berdiri menyambut orang yang sakit. Di sini jelas bahawa perintah berdiri bagi memuliakan seseorang adalah disyariatkan.]


(11) Terdapat beberapa hadits lagi yang menunjukkan bahawa baginda berdiri kerana menyambut seseorang antaranya:-

قالت أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها: قدم زيد بن حارثة المدينة والنبي صلى الله عليه وسلم في بيتي، فقرع الباب فقام إليه فاعتنقه وقبله

Artinya ( lebihkurang): Ummul Mu’minin ‘Aisyah berkata: Ketika Zaid bin Haritsah tiba ke Madinah, dan ketika itu baginda sedang berada dirumahku. Maka Zaid mengetuk pintu rumahku. Maka Nabi صلى الله عليه وسلم berdiri menyambut kedatangannya, lalu memeluk dan menciumnya.


أخرج أبو داود عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: كان والنبي صلى الله عليه وسلم يحدثنا فإذا قام قمنا إليه حتى نراه قد دخل

Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah رضي الله عنه , katanya: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbicara dengan kami. Apabila baginda berdiri, maka kamipun sehingga melihat baginda telah pun masuk (ke dalam rumahnya).

و أخرج أبو داود في سننه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان جالسا يوما فأقبل أبوه من الرضاعة فوضع له بعض ثوبه فجلس عليه، ثم أقبلت أمه من الرضاعة فوضع لها شق ثوبه من الجانب الآخر، ثم أقبل أخوه من الرضاعة فقام فأجلسه بين يديه

Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam sunannya bahawa pada suatu hari Nabi صلى الله عليه وسلم sedang duduk. Lalu datang ayah susuan baginda. Baginda membentangkan kain baginda untuknya, dan dia (ayah susuan baginda) duduk diatasnya. Kemudian datang pula ibu susuan baginda. Baginda membentangkan bahagian dari kain baginda, dan dia (ibu susuan baginda) duduk diatasnya. Setelah itu datang saudara susuan baginda, maka baginda berdiri mempersilakan duduk bersama baginda.

Related Posts with Thumbnails