Khamis, 17 September 2009

Jangan Lupa ....

Buat Pengunjung al-Fanshuri

Jumaat, 11 September 2009

Mengeluarkan Zakat Fitrah Dengan Wang

Entri ini adalah untuk memenuhi permintaan seorang pengunjung al-Fanshuri yang e-mail kepada ambo bertanyakan mengenai membayar zakat dengan nilaian wang yang diamalkan di tempat kita. Ambo bukannya ahli untuk menjawab persoalan ini, ambo sekadar mendatangkan pendapat-pendapat atau fatwa yang telah dikeluarkan oleh alim-ulama atau pihak berkuasa yang berfatwa.


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003.


Kategori: Zakat
Tajuk: Penentuan Zakat Fitrah Seluruh Malaysia


Keputusan:
a) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.


b) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg


Oleh: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57
Tarikh Keputusan: 10 Jun 2003
Tarikh Muzakarah: 10 Jun 2003 hingga 10 Jun 2003


Fatwa ini menunjukkan bahwa pihak pemerintah Malaysia yang mazhab rasminya adalah Mazhab Syafie telah menerimapakai pendapat bahwa membayar zakat fitrah dengan nilaian wang adalah dibolehkan.









Di dalam kitab Mustika Hadits, Jilid Ketiga terbitan JAKIM, dinyatakan: Tersebut di dalam kitab al-Itsaarah (الايثارة), karangan Shohibul Fadhilah Dato’ Haji Mahmud Ghazali bin ‘Abdullah, Mantan Mufti Negeri Selangor [menjadi mufti sekitar tahun 1968 – 1973, beliau kemudiannya kembali ke Perak dan menjadi Mufti Perak dari tahun 1977 - 1981], terbitan Majlis Agama Islam Selangor:


Berdasarkan hadits yang lalu, zakat fitrah WAJIB dikeluarkan dari jenis makanan utama [asasi] penduduk sesebuah negeri, dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya dharurat, atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diHARUSkan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan – beras), seperti yang sedang di’amalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia, kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya [pengagihannya]. Masalah ini dihuraikan di dalam kitab al-Itsaarah [Al-Ithaarah Pada Huraian Hukum-hukum Zakat dan Fitrah] seperti berikut:


Berfitrah dengan wang:

(a) Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku – pada tahun ini".


(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah HARUS dalam mazhab Syafie tetapi LEBIH AFDHAL dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.



Didalam mazhab kita Syafie yang mengharuskan ialah;
  • Kerana dharurat
  • Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah) [menurut kitab al-Itharah, bahwa keterangan mazhab Syafie tersebut ada dinyatakan dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/431 dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat – ada disebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5:429). Dalam kitab al-Itharah juga ada menyebutkan keterangan kitab al-Majmu’ (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadits yang disebut oleh Imam Bukhari رحمه الله dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Sayyidina Muadz رضي الله عنه, semasa diutuskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum (kerana cara yang demikian katanya bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian].


Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik, di antaranya:
  • Asnaf yang 8 terutama faqir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras
  • Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah, pejabat agamadan memerlukan upah mengangkutnya – akan rosak jika disimpan lama.













Fadhilatus Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir, ketika ditanya mengenai membayar zakat dengan menggunakan wang, maka beliau mengatakan ianya dibolehkan. Hal ini tersebut di dalam kitab beliau bertajuk al-Bayan al-Qawwim li Tashih Ba’dhi al-Mafaahim [pertanyaan 27] dan al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan [pertanyaan 71].


Pertanyaan: Apakah boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang?


Jawaban: Boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang. Ini adalah pendapat segolongan para ‘ulama yang memandang sebagaimana itu adalah pendapat segolongan tabi’in, antara lainnya:
  • Imam Hasan al-Basri رضي الله عنه; diriwayatkan darinya, bahawa beliau berkata:لا بأس أن تعطي الدراهم في صدقة الفطر “Tidak mengapa memberikan wang-wang dirham di dalam membayar zakat fitrah.” (Diriwayat oleh Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Abi Syaibah)
  • Imam Abu Ishaq As-Subai’e, meriwayatkan dari Zuhair, bahawa beliau berkata, Aku mendengar Imam Abu Ishaq berkata, “Aku berjumpa dengan mereka, dan mereka memberikan wang-wang dirham pada membayar zakat fitrah dengan senilai makanan.”
  • Sayyidina ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه; meriwayatkan dari Waqi’ dari Qurrah, bahawa beliau berkata, “Telah sampai kepada kami surat dari Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه tentang zakat fitrah, satu sha’ (Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 rithil (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad atau dikenali sebagai 1 gantang Baghdad disini – abu zahrah) ke atas setiap orang atau nilainya adalah setengah dirham.” (‘Abdurrazaq, Mushannaf ‘Abdurrazaq, vol. 2, hlm. 316 (5778))
  • Dan, ini juga adalah mazhab ats-Tsauri, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf.


Dan juga pendapat dari para ‘ulama Mazhab Hanafi. Pendapat inilah yang diamalkan dan difatwakan di kalangan mereka pada setiap jenis zakat, kaffarah, nazar-nazar, cukai, dan lain-lainnya. [Bada’i’ ash-Shana’i’ oleh al-Kasaani, 2/979 dan 980, cetakan Zakaria ‘Ali Yusuf; dan al-Mabsuuth oleh as-Sarkhasi, 3/113 dan 114] Ini juga adalah pendapat al-Imam an-Naashir dan al-MuayyadbilLah, dari kalangan para imam ahlul bait mazhab az-Zaidiyyah. [al-Bahr az-Zakhkhar al-Jami’ li Madzahib ‘Ulama al-Amshar oleh Ahmad ibn Yahya ibnal-Murtadha, 3/202 dan 203].


Dan, pendapat ini yang dikemukakan oleh Ishaq bin Rahawiyah dan Abu Tsaur kecuali mereka berdua mengaitkannya dengan keadaan darurat, sebagaimana pendapat para ‘ulama ahlul bait yang lainnya. [as-Sail al-Jarrar ‘ala Hadaaiq al-Azhaar oleh Asy-Syaukani, 2/ 86] Saya maksudkan boleh mengeluarkan nilai pada keadaan dharurat. Dan mereka menjadikannya (membayar zakat fitrah dengan wang) termasuk di dalam keadaan darurat, kerana Imam menuntut harta sebagai ganti apa yang telah ditegaskan di dalam nash.


Ini juga merupakan pendapat sekumpulan ‘ulama dari mazhab Maliki seperti Ibnu Habiib, Ashbagh, Ibnu Abi Haazim, Ibnu Dinaar, dan Ibnu Wahab, berdasarkan pengambilan dari mereka yang berpendapat secara muthlak di dalam membolehkan mengeluarkan nilai-nilai (harga) dalam zakat; mencakupi zakat harta dan zakat individu-individu (zakat fitrah). Dan itu adalah berbeza-beza (yakni, tidak secara muthlak) dengan pendapat yang mereka ambilkan daripada Ibnu Qasim dan Asyhab, bahawa mereka berdua membolehkan mengeluarkan nilai harga pada zakat kecuali pada zakat fitrah dan kaffarat sumpah.


Dan atas dasar ini jugalah, kami melihat bahawa terdapat segolongan besar para imam, kalangan para tabi’in, dan para ahli feqah umat ini yang berpendapat bahawa tidak mengapa dan boleh mengeluarkan nilai harga zakat fitrah di dalam bentuk wang. Padahal ketika masa itu, sistem barter (pertukaran barang) masih lagi berlaku, dalam erti deklarasi setiap barang layak sebagai media pertukaran, khususnya biji-bijian. Jadi, sistem barter itu menjual gandum (al-qumh) dengan gandum (sya’ir), menjual bijian (zarrah) dengan gandum (al-qumh), dan seterusnya. Adapun, pada masa sekarang ini, media-media pertukaran sudahpun terhimpun pada mata wang sahaja, sehinggakan kami berpandangan bahawa pendapat inilah yang lebih tepat dan lebih kuat. Bahkan, kami mengira bahawa orang yang berbeza pendapat dengan pendapat ini dari kalangan para ‘alim ‘ulama masa lalu, seandainya mereka menemui (berada pada) masa kita sekarang, nescaya akan berpendapat sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah رضي الله عنه. Jelaslah di sini bagi kita, hal ini dari feqah mereka dan kekuatan pandangan mereka.


Mengeluarkan zakat fitrah di dalam bentuk wang adalah lebih utama, kerana memberikan kemudahan bagi orang yang faqir untuk membeli apa sahaja yang ia inginkan pada hariraya kelak. Sebab, kadang-kadang dia tidaklah memerlukan beras, tetapi lebih memerlukan kepada pakaian-pakaian, daging atau selain itu. Dengan memberikan beras kepadanya, membuatkannya terpaksa berjalan jauh sekeliling untuk mendapatkan orang yang ingin membelikan beras tersebut. Kadang-kadang dia harus menjualkan beras itu dengan harga yang lebih murah daripada apa yang diperolehinya, iaitu dengan harga yang sedikit daripada harga beras yang sebenar yang diperolehinya. Ini semuanya di dalam keadaan mudah dan banyaknya beras yang beredar di sekitar pasar-pasar. Adapun, pada keadaan yang sulit (susah) dan jarangnya beras di pasar-pasar, maka membayar dengan benda adalah lebih utama daripada nilai harga kerana menjaga kemaslahatan orang faqir. Prinsip dasar yang menjadi alasan disyariatkannya zakat fitrah adalah kemaslahatan orang faqir dan mencukupkan keperluannya pada hari di mana seluruh kaum muslimin bergembira pada saat itu.


Al-‘Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Ghummari telahpun mengarang sebuah kitab tentang masalah ini, dan memberikannya judul “Tahqiq Al-‘Amal fi Ikhraj Zakat Al-Fithri bi Al-Mal.” Beliau merajihkan di dalam kitab tersebut pendapat ‘ulama dari Mazhab Hanafi dengan dalil-dalil yang banyak dan tinjauan dari berbagai pendapat yang berbeza-beza hinggalah mencapai kepada 32 pendapat. Oleh kerana itu, kami berpandangan bahawa, pendapat mereka yang menyatakan untuk mengeluarkan nilai harga zakatnya adalah kuat dan rajih. Dan itulah yang lebih utama pada masa sekarang ini. Dan Alllah Ta’ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.




Pendapat yang mengharuskan pembayaran zakat fitrah dengan matawang ini juga disetujui oleh ramai ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Qardhawi (di dalam kitabnya Fiqh Zakat), Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili di dalam Fatawa al-Mu’ashirahnya, Dr. Musthafa al-Khin dan Dr. Musthafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji di sebutkan:


Di dalam mazhab Syafie, bahawa ianya tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilaian, bahkan mesti dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri. Walaubagaimanapun, tidak mengapa mengikut [bertaklid] mazhab Abu Hanifah رضي الله عنه dalam masalah ini pada zaman sekarang, iaitu harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilaian. Ini kerana pada hari ini mengeluarkan dengan nilaian lebih memberi manfaat kepada orang faqir daripada makanan asasi dan lebih dekat untuk mencapai matlamat yang diharapkan.


Pun begitu ...... bagi mereka yang masih berpegang pendapat yang di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa zakat fitrah hanya sah dengan bahan makanan, maka jalan keluarnya adalah dimana penerima zakat seperti orang faqir atau orang miskin atau amil menyediakan beras sebanyak 1 gantang Baghdad, dan pembayar pula membeli beras tersebut dari mereka dan seterusnya digunakan beras tersebut untuk membayar zakat fitrah. Keadah ini masih terdapat di berapa kawasan ambo di Kedah. Nak mudah lagi bayar zakat fitrah dengan beras terus kepada mereka yang layak menerima zakat tersebut.


Sekian. Segala salah dan silap mohon dimaafkan dan diperbetulkan.


Al-Faqir Abu Zahrah al-Qedahi
Taman Seri Gombak
Sahur, 20 Ramadhan 1430H


Rujukan:
  • e-Fatwa JAKIM
  • Mustika Hadits, Jilid 3 (Edisi Jawi) oleh Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Basmieh; Terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur
  • Al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan oleh Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir.
  • Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie, Jilid 1; Terbitan Dar al-Qalam, Dimasyq.

Khamis, 10 September 2009

Zakat Fitrah : Jangan Lupa Tunaikan!



Selamat Beri'tikaf

Selasa, 8 September 2009

Kemuncak Ramadhan

Sepertiga akhir Ramadhan adalah merupakan kemuncak kepada bulan Ramadhan. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها, apabila masuk 10 terakhir Ramadhan, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم akan mengetatkan ikatan pinggangnya [1] dan menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan ‘ibadah sepanjang malam dan membangunkan ahli keluarga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم untuk menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan ‘ibadah. Ada riwayat pula menceritakan bahwa Baginda صلى الله عليه وآله وسلم melipatgandakan atau lebih tekun beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan.

Pada sepertiga akhir Ramadhan, berlaku atau terdapatnya satu malam yang mana malam tersebut terlebih baik dari 1,000 bulan (83 tahun 4 bulan) iaitu malam ‘lailatul qadar’. Pada malam tersebut mukabumi dipenuhi dengan rahmat dan jumlah malaikat di bumi lebih banyak daripada bilangan batu kelikir.

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyuruh kita mencarinya pada sepertiga terakhir Ramadhan sepertimana yang tersebut di dalam shohih al-Bukhari daripada Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها bahwa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر

Ertinya: Carilah lailatul qadar pada 10 terakhir dari bulan Ramadhan. Dan di dalam riwayat yang lain dari Sayyidatina ‘Aisyah رضي الله عنها Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان

Ertinya: Carilah lailatul qadar pada malam yang ganjil dari 10 malam terakhir bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sayyiduna ‘Ubadah bin Shomit رضي الله عنه menceritakan bahwa beliau telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tentang lailatul qadar. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Ia (malam ‘lailatul qadar’) pada 10 terakhir Ramadhan iaitu pada malam-malam yang ganjil iaitu samada malam ke 21, 23, 25, ,27 atau 29.

Itulah keistimewaan malam ‘lailaltul qadar’, satu malam yang dianugerahkan Allah kepada umat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Sabda Baginda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengurniakan kepada umatku Lailatul Qadar dan tidak diberikan malam tersebut kepada umat sebelumnya”. (Hadits riwayat ad-Dailami daripada Anas رضي الله عنه)

Kisah: Para mufassir ada menyebut asbab dianugerahkan malam ‘Lailaltul Qadar’ kepada umat ini, antaranya sebagaimana yang tersebut di dalam tafsir Ibn Katsir:

وقال ابن أبي حاتم: أخبرنا يونس أخبرنا ابن وهب، حدثني مسلمة بن علي عن علي بن عروة قال: ذكر رسول الله صلى الله عليه وسلم يوماً أربعة من بني إسرائيل عبدوا الله ثمانين عاماً، لم يعصوه طرفة عين، فذكر أيوب وزكريا وحزقيل بن العجوز ويوشع بن نون، قال: فعجب أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم من ذلك، فأتاه جبريل فقال: يا محمد عجبت أمتك من عبادة هؤلاء النفر ثمانين سنة لم يعصوه طرفة عين؟ فقد أنزل الله خيراً من ذلك، فقرأ عليه: { إِنَّا أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ وَمَآ أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ } هذا أفضل مما عجبت أنت وأمتك، قال: فسر بذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم والناس معه

Dan telah berkata berkata Ibnu Abi Hatim: Telah mengkhabarkan kepada kami Ibn Wahb, telah menceritakan kepadaku Maslamah ibn ‘Ali dari ‘Ali ibn ‘Urwah, dia berkata: Suatu hari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah menyebutkan kisah 4 orang lelaki dari kalangan Bani Israel. Mereka beribadah kepada Allah selama 80 tahun dan tidak sekali-kali mendurhakai Allah barang sekelip mata. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyebut nama-nama mereka iaitu Ayyub عليه السلام, Zakaria عليه السلام, Hizqiil ibn ‘Ajuuz عليه السلام dan Yusya ibn Nun عليه السلام.

‘Ali ibn ‘Urwah menceritakan lagi: Maka para shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم merasa kagum dengan amalam mereka (Ayyub, Zakaria, Hizqiil ibn ‘Ajuuz dan Yusya ibn Nun عليهم السلام). Maka datanglah Jibril عليه السلام dan berkata: Wahai Muhammad! Umatmu merasa kagum dengan ibadah mereka selama 80 tahun itu tanpa mendurhakai Allah barang sekelip matapun. Sesungguhnya Allah telah menurunkan hal yang lebih baik daripada demikian itu. Kemudian Jibril عليه السلام membacakan firman Allah (yang bermaksud): Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar (malam kemuliaan dan kebesaran); Dan apa jalannya engkaudapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatul qadar itu? Malam lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan; (Surah al-Qadar: 1 – 3). Ini lebih baik daripada apa yang engkau dan umatmu kagumi. Maka bergembiralah dengan yang demikan itu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para shahabat yang bersama Baginda.

Bagaimana hendak mengetahui tanda terjadinya malam lailatul qadar? Imam Ahmad, Ibn Jarir, Muhamad ibn Nashr, al-Baihaqi dan Ibn Mardawaih meriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ubadah bin as-Shomit, bahwasanya beliau telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengenai malam lailatulqadar. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Ia terdapat pada bulan Ramadhan, pada 10 yang terakhir. Ianya pada malam-malam yang ganjil samada malam 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29 atau malam terakhir Ramadhan. Barangsiapa mendirikan malam tersebut dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu [tersebut di dalam riwayat lain bahwa diampuni dosa terdahulu dan terkemudian]. Diantara tanda-tandanya, bahwa malam tersebut suasananya terang lagi bersih, tenang dan hening, suhunya nyaman tidak panas dan tidak sejuk, seolah-olah padanya bulan memancar terang, tiada dilemparkan bintang berapi (panah api bagi memanah syaithon), suasana malam tetap sedemikian sehingga shubuh. Dan tandanya lagi matahari terbit dipagi hari cahayanya tanpa sinar (cahaya putih dan redup), seumpama bulan mengambang, dan pada hari itu Allah mengharamkan syaithon naik bersama terbitnya matahari.

Adapun yang diceritakan sebahagian orang sholeh seperti air laut terasa manis, pepohonan rebah sujud kebumi, air telaga beku, kelihatan langit terbelah dan sebagainya ….. maka itu adalah pengalaman kerohanian individu untuk menunjukkan alamat pada malam tersebut dan alamat sedemikian yang tidak dapat dilihat atau dirasai oleh orang lain.

Kebanyakan ulama bahkan para shahabat mengatakan bahwa lailatul qadar jatuh pada malam 27 Ramadhan atau malam 7 likur berdasarkan kepada beberapa hadits yang diantaranya diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang shohih daripada Sayyidina Abdullah ibn Umar رضي الله عنهما dimana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

من كان متحريها فليتحرها ليلة سبع وعشرين

Barangsiapa yang hendak mencarinya, maka carilah ia pada malam 27


Ada juga ulama yang mengira angkat 27 tersebut berdasarkan kalimat ليلة القدر sebagaimana tersebut di dalam kitab Jam’ul Fawaid oleh al-'Alim al-'Allamah Syaikh Daud al-Fathoni: (Kata) shohibul tanbih رضي الله عنه bahwa huruf ليلة القدر sembilan huruf, maka menyebut Allah Ta’ala, tiga kali [di dalam ayat al-Qadr] maka dipukul [didarab] tiga kepada sembilan, jadi 27.

Manakala di dalam kitab al-Jauhar al-Mauhuub wa Munabbihaat al-Quluub oleh al-'Alim al-'Allamah Syaikh Wan 'Ali bin Wan 'Abdur Rahman bin Wan 'Abdul Ghafur al-Kelantani @ Tok Wan 'Ali Kutan: Diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas رضي الله عنهما bahwasanya malam lailatul qadar itu malam yang 27 kerana diambil daripada firman Allah Ta'ala إنا أنزلناه قي ليلة القدر hingga سلام هي maka bahwasanya kalimat itu itu 27 dariipada segala kalimat ini dan iaitu kinayah daripada malam 'lailatul qadar' dan atas perkataan inilah di'amalkan pada segala masa segala negeri dan iaitu mazhab kebanyakkan ahli ilmu.


Dan ada ulama yang menyimpulkan dengan formula yang berdasarkan kepada pengalaman yang mereka lalui, untuk mencari malam terdapatnya lailatul qadar, sepertimana yang telah masyhur kepada kita iaitu berdasarkan kepada hari permulaan puasa.

Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadrnya malam ke-29; jika awal Ramadhan hari Jumaat atau Selasa, maka lailatul qadrnya malam ke-27; jika awal Ramadhan hari Khamis, maka lailatul qadrnya malam ke-25; jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka lailatul qadrnya malam ke-23; jika awal Ramadhan hari Isnin, maka lailatul qadrnya malam ke-21.

Jadi apa yang hendak dibaca pada malam tersebut? Berdu’alah dengan apa-apa du’a yang diketahui dan yang terbaiknya adalah du’a ringkas yang diajarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم iaitu:

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku.

Maka perbanyakkanlah berdu’a sebagaimana du’a yang diajarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tersebut. Dan hidupkan malam-malam Ramadhan keseluruhannya dengan memberi keutamaan kepada malam 10 terakhir terutama malam yang ganjil, dengan keimanan dan keikhlasan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Andaikata tidak dapat menghidupkan keseluruhan malam, maka jangan ketinggalan untuk sholat ‘Isyak berjemaah, bertarawikh dan berwitir berjemaah dan seterusnya sholat shubuh berjemaah, kerana yang demikan itu seumpama mendirikan seluruh malam.

من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما صلى الليل كله

"Sesiapa yang sholat 'Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyam separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersholat sepanjang malam." (Hadits riwayat Sayyidina Utsman رضي الله عنه sebagaimana terdapat di dalam kitab Muwatho’ Imam Malik)

Untuk membaca lebih lanjut mengenai lailatul qadar ni, silalah ke Bahrus Shofa.


Notakaki;

[1] Sebahagian ulama mengatakan maksudnya tidak bersama dengan isteri-isteri Baginda, atau memisahkan tempat tidur atau tidak melakukan hubungan intim. Dan setengah ulama mengatakan bahwa maksudnya memang mengetatkan ikatan kain.


Salam Ramadhan dari
al-Faqir Abu Zahrah
Dhuhur, 18 Ramadhan 1430 (dikemaskni pada 19 Ramadhan 1430H)



Sabtu, 5 September 2009

Peristiwa Pada 17 Ramadhan

InsyaAllah pada hari Itsnain ni, 17 Ramadhan 1430. Tarikh ini penting di dalam kalendar Hijrah kerana pada tarikh tersebut berlaku beberapa peristiwa yang sentiasa dikenang. Antaranya adalah:-
  • Nuzul al-Quran
  • Badar al-Kubro
  • Hari di mana Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه telah di bunuh oleh ‘Abdur Rahman bin Muljam. Peristiwa berlaku pada shubuh 17 Ramadhan 40H. Sedikit kisah pembunuhan Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه secara ringkas: Tatkala muazzin, Ibn Nabbah, seperti kebiasaannya datang mengetuk pintu rumah Sayyiduna ‘Ali كرم الله وجهه sambil melaungkan … sholat! sholat! …. Sayyiduna ‘Ali pun keluar dari pintu rumahnya sambil melaungkan Wahai Manusia! Sholat! Sholat! Saat itulah Ibnu Muljam datang dan dengan pantas melibas pedangnya. Libasan pedangnya mengenai kening dan bahagian muka Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه sehingga sampai ke otak beliau. Namun Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه sempat bertahan selama 2 hari iaitu hari Jum’at dan Sabtu. Beliau رضي الله عنه wafat pada malam Ahad. Jenazah beliau رضي الله عنه dimandikan oleh Sayyidina Hasan, Sayyidina Hussin dan Sayyidina ‘Abdullah bin Ja’far رضي الله عنهم dan disolatkan dengan diimamkan oleh Sayyidina Hasan رضي الله عنهما

Entri ini bukanlah untuk memperkatakan tentang Nuzul Quran kerana ramai yang menulis tentangnya atau kisah pembunuhan Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه , tetapi mengenai Peristiwa Badar. Tulisan mengenai Badar al-Kubro ini adalah merupakan posting ambo pada tanggal 15 September 2008 iaitu bersempena menyambut peristiwa Badar al-Kubro pada tahun tersebut. Maka untuk entri kali ini ambo mengemaskinikan apa yang pernah ambo tulis dulu ……



Memperingati Badar al-Kubra



17 Ramadhan …… suatu tarikh dimana sering diadakan sambutan bagi memperingati dua peristiwa penting didalam sejarah Islam. Pertama adalah Nuzul al-Quran dan kedua adalah Peperangan Badar al-Kubra. Adapun yang aku akan sentuh dalam penulisan ku ini adalah mengenai peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Ini adalah kerana peperangan Badar amat signifikan dalam sejarah Islam dimana inilah hari yang menentukan kesinambungan dakwah Islam. Hari penentuan sama ada Islam terus berkembang atau berkubur. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika berlakunya peperangan tersebut bermunajat kepada Allah:-



اللهم أنشدك عهدك و وعدك، اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد في الأرض

Ya Allah, aku mengharapkan janji-janjiMu. Ya Allah, jika sekiranya Engkau binasakan akan pasukan ini (yakni para pejuang Badar), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di mukabumi ini.



Angkatan perang pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat meninggalkan kota Madinah pada tanggal 8 Ramadhan. Sewaktu ketiadaan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم di kota Madinah, Amru bin Ummi Maktum dilantik menjadi iman sholat. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat bersama-sama lebih kurang 313 (ada riwayat lain mengatakan 315) orang shahabat. Panji-panji perang di serahkan kepada Sayyidina Mush’ab bin ‘Umair bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin ‘Abdud Dar رضي الله عنه manakala panji-panji kaum Muhajirin dipegang oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan panji-panji kaum Anshar di pegang oleh Sayyidina Sa’ad bin Mu’adz رضي الله عنه .


Didalam kitab kisah-kisah para shahabat yang ditulis oleh al-Muhaddits Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi رحمه الله dinyatakan bahwa perbekalan angkatan perang kaum Muslimin sangat sedikit iaitu 3 ekor kuda, 70 ekor unta, 6 atau 9 baju besi dan 8 bilah pedang. Oleh kerana terhadnya kenderaan untuk ditunggangi maka para shahabat terpaksa menunggang secara bergilir. Rasullullah صلى الله عليه وآله وسلم, Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan Martsad bin Abu Martsad al-Ghanawi secara bergiliran menaiki satu unta. Hamzah bin Abdullah Mutthalib, Zaid bin Haritsah, Abu Kabsyah dan Anasah رضي الله عنهم, satu unta. Abu Bakar, Umar dan Abdurrahman bin Auf رضي الله عنهم , satu unta …. Allahu Allah …. Dek kerana dhaifnya perbekalan tentera Muslimin berbanding dengan ketumbokan kaum Muhajirin … maka dengan penuh belas kasihan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berdoa:


اللهم إنهم حفاة فاحملهم اللهم إنهم عراة فاكسهم وإنهم جياع فاشبعهم

Ya Allah, mereka ini (kaum Muahjirin berjalan tanpa alas kaki (berkaki ayam) maka, ringankanlah langkah mereka. Mereka tidak berpakaian, berilah mereka pakaian. Mereka lapar, maka kenyangkanlah mereka.

Namun perlu diingat bahwasanya walaupun tentera Muslimin walaupun dhoif dari segi kelengkapan persenjataan lahiriah, tetapi mereka mempunyai kekuatan dari sudut kerohanian, iaitu keyaqinan, keimanan dan ketaqwaan.



Badar yang letaknya lebih kurang 145km arah barat laut dari kota Madinah al-Munawwarah menjadi saksi diatas keimanan dan ketaqwaan para shahabat رضي الله عنهم sehingga dengannya Allah mendatangkan bantuanNya kepada mereka. Badar menyaksikan pertembungan diantara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang mempunyai kekuatan lebih dari 3 kali ganda, siap dengan kudanya berjumlah 600 ekor dan 700 ekor unta.


Firman Allah Ta’ala:


وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Aali Imran: 123)

Badar menyaksikan pertolongan Allah kepada tentera Muslimin dimana 1000 malaikat yang berserban membantu para shahabat menghadapi tentera musyrikin. Diringkaskan kisah, akhirnya tentera Muslimin telah dihadiahkan dengan kemenangan besar. Tentera musyrikin kecundang dengan menyaksikan 70 tentera mereka termasuk panglima perang iaitu Abu Jahal (Amr bin Hisyam bin al-Mughirah) dan lain-lain pembesar Quraisy terbunuh, manakala 70 lagi ditawan oleh tentera Muslimin.



Adapun dipihak tentera Muslimin hanya 14, iaitu 6 orang dari kalangan Muhajirin dan 8 orang dari kalangan Anshar, yang gugur sebagai syuhada`. Antara yang gugur sebagai syahid adalah:

Dari kalangan Muhajirin
  1. Ubaidah bin al-Harits – beliau tercedera sewaktu pertempuran satu sama satu, dicederakan oleh Utbah bin Rabi’ah. Kakinya putus di dalam pertempuran tersebut dan kemudiannya wafat di as-Safra’.
  2. ‘Umair bin Abu Waqqash - beliau dibunuh oleh ‘Amru bin Abdul Al-Amiri. Umair adalah seorang remaja yang turut serta berjihad. Kisahnya diriwayatkan oleh al-Bazzar, juga disebut didalam Majma Zawaaid. Kisahnya …. ketika kaum Muslimin menuju ke Badar, ikutlah seorang remaja bernama ‘Umair bin Abi Waqqash yang berusia 16 tahun. Beliau mengikut secara terendap-endap agar pemergiannya ini tidak diketahui oleh kaum Muslimin. Beliau kuatir penyertaannya tidak dibenarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Tatkala melihat keadaan itu, abangnya, Sa’ad bin Abi Waqqash bertanya kepadanya mengapa. Beliau menjawab: “Aku takut ditolak oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم , padahal aku sangat ingin turut serta, barangkali Allah memberikan kesyahidan kepadaku”. Hal itupun terjadi dimana Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم menolaknya kerana ‘Umair masih muda. Maka ‘Umair pun menangis. Hal tersebut membuatkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم terharu lalu akhirnya mengizinkan beliau turut serta. Dan akhirnya harapan ‘Umair untuk mendapat syahid diperkenankan Allah.
  3. Dzu Syimalain Umair bin ‘Abd Amr,
  4. ‘Aqil bin al-Bukhair,
  5. Mihja bin Sholeh bekas hamba Sayyidina Umar,
  6. Shafwan bin Baidha’ dari Bani al-Harits bin Fihr. Beliau dibunuh oleh Thuaimah bin ‘Ady.
Dari kalangan Anshar
  1. Sa’ad bin Khaitsamah,
  2. Mubasysyir bin ‘Abdul Mundzir,
  3. Yazid bin al-Harits,
  4. 'Umair bin al-Humam – beliau di bunuh oleh Khalid bin al-A’lam al-Alqami. Beliau adalah merupakan perajurit Islam pertama yang gugur syahid di medan Badar. Ketika pertembungan antara tentara Muslimin dengan tentera Musyrikin kian hampir. Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bersabda: Majulah menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Mendengar seruan itu Umair bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم apa benar syurga itu seluas langit dan bumi? Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم menjawab: Ya! Seluas, langit dan bumi. ‘Umair berkata Bakh! Bakh! (Bagus! Bagus!). Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم bertanya, apa maksudmu dengan mengatakan Bakh! Bakh!. ‘Umair menjawab: Demi Allah! Ya Rasulullah, aku tidak mengatakannya melainkan aku sangat berharap menjadi penghuninya. Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم berkata: Sesungguhnya engkau termasuk penghuni syurga.
  5. Rafi bin al-Mu’alla,
  6. Haritsah bin Suraqah bin al-Harits,
  7. Auf bin al-Harits bin Rif’ah bin Sawad,
  8. Mu’awwidz bin al-Harits bin Rif’ah bin Sawad

Sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi bahwa peperangan Badar berlaku pada hari Jummat 17 Ramadhan tahun ke-2 dari Hijrah. Maka sesungguhnya, tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyah merupakan hari yang menyaksikan pembelaan Ahli Badar kepada Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sungguh tidak ada orang yang lebih setia, lebih memuliakan dan lebih mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melebihi kesetiaan dan kecintaan Ahlul Badr, رضي الله عنهم أجمعين kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Badar juga menyaksikan kecintaan perajurit Islam kepada syahid.

Lihatlah bagaimana mereka menyambut seruan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk keluar berjihad di luar kota Madinah. Saad bin Mu’adz رضي الله عنه berkata …..Demi Allah, seandainya engkau berjalan sehingga sampai ke Barak al-Ghimad (di Yaman), nescaya kami akan berjalan bersamamu. Demi Allah seandainya engkau membawa kami ke menyeberangi, nescaya kami akan menyeberanginya bersamamu ………..

Sayyiduna Saad bin Ubadah رضي الله عنه pula berkata …..Perintahkan apa sahaja yang engkau inginkan kepada kami wahai Rasulullah. Demi Dzat yang jiwaku didalam gengaman kekuasaanNya, jika engkau memerintahkan kami untuk meredah lautan sungguh kami akan meredahnya. Dan jika engkau memerintahkan kami menyelami dasarnya untuk pergi ke Barak al-Ghimad, maka pasti kami akan melakukannya.

Sayyiduna Miqdad رضي الله عنه pula berkata: Wahai Rasulullah … kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kami Musa berkata kepada Musa: Maka pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti disini sahaja (al-Maaidah: 24) – Akan tetapi kami akan berperang di sebelah kananmu dan disebelah kirimu dihadapanmu dan dibelakangmu ….

Allahu Allah. Inilah bukti kecintaan, bukti kesetiaan yang ditunjukkan oleh ahli Badar. Maka tidak hairanlah hingga diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda : “Allah Ta’ala berfirman kepada Ahli Badar: “Beramallah (berbuatlah) semahu kalian, sungguh aku telah mengampuni dosa kalian(Shahih Bukhari).

Oleh kerana ketinggian kedudukan ahli Badar disisi Allah, maka para ulama telah menyusun doa yang mengandungi tawasul dengan mereka. Seperti Shalawat Badar, Jaaliyatul Kadar – nazam tawassul oleh 'al-‘Allamah as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji, Saifun Nashar bis Saadatil Kiram Ahlil Badr oleh al-'Allaamah as-Sayyid Ibrahim bin Idris as-Sanusi al-Hasani al-Fasi, Hidayah lis Saalik wa Najaah lil Haalik fit Tawassul bi Ahli Badr wa Shuhadaa’ Uhud oleh Syaikh Muhammad bin Naasir bin ‘Abdullah al-Qadiri asy-Shafi‘ie dan banyak lagi. Ulama di Nusantara iaitu Kiyai ‘Ali Masyhur ada mengarang sholawat yang dikenali dengan Sholawat Badar. Sholawat ini mengandungi tawassul dengan nama Allah, dengan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم serta para mujahidin teristimewanya para mujahidin Badar.


Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa dan ahli Badar ini, akan mengalirkan kecintaaan, keberkatan serta semangat juang untuk kita terus istiqamah mengamalkan seterusnya memperjuangkan Islam yang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tinggalkan kepada kita. أللهم آمين


الفاتحة إلى حضرة النبي و إلى ارواح اصحاب البدر الكرام




Sekian dari

Al-Faqir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Selesai dikemaskini pada waktu Ashar, 12 Ramadhan 1430


Rujukan:
As-Sirah an-Nabawiyyah oleh Sayyid Abul Hasan ‘Ali al-Hasani an-Nadwi
As-Sirah an-Nabawiyyah oleh Ibnu Hisyam
Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, jilid 4 oleh H.Zainal Ariffin ‘Abbas.

Kisah Para Shahabat oleh Maulana Muhaammad Zakariyya Kandahlawi
Tarikh al-Khulafa oleh Imam as-Sayuthi


Rabu, 2 September 2009

Biografi Abuya Maliki - Sempena Haul Ke-5

Sila klik pada gambar untuk bacaan seterusnya ... atau
baca disini
Bhg. - 1, Bhg. - 2, Bhg. - 3, Bhg. - 4, Bhg. - 5 (Akhir)


Selasa, 1 September 2009

Ummul Mukminin, Sayyidatuna Khadijah رضي الله عنها

Dua hari al-Faqir tidak sentuh komputer dan menulis kerana mengambil kesempatan menadah kitab dengan al-Fadhil Syaikh Muhammad Husni Ginting al-Langkati yang dalam rangka lawatan ke Malaysia. Alhamdulillah, pertemuan singkat yang penuh dengan keberkatan. Mulanya cadang dihati, hari Ahad atau Itsnin nak tulis artikel ringkas mengenai Ummul Mu’minnin Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها sempena haul beliau رضي الله عنها yang jatuh pada 11 Ramadhan. Tapi dek kerana pengajian bersama Syaikh Husni, ambo tangguhkan. Namun alhamdulillah, dengan limpah keizinan dariNYA, dapat juga ambo sempurnakan sedikit tulisan mengenai beliau رضي الله عنها pada pagi yang penuh barokah ini.


Ummul Mukminin, Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها


يَانِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ

“Wahai isteri-isteri Nabi, (kedudukan) kalian bukanlah seperti wanita-wanita yang lainnya.” (al-Ahzab: 32)

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

“Nabi itu lebih berhak untuk dicintai kaum mukminin daripada diri mereka sendiri, sedangkan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka (kaum mukminin).” (al-Ahzab: 6)

Menurut pendapat yang paling shohih, pada tanggal 11 Ramadhan, 3 tahun sebelum hijrahnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke Madinah, Ummul Mu’minnin Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها kembali kerahmatuLlah. Suatu peristiwa yang amat menyedihkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sehingga tahun tersebut dinamakan ‘’Ammul Huzn (Tahun Kesedihan) - [dimana dua orang yang menjadi tonggok kuat membantu RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم dalam penyebaran Islam diperingkat awal wafat – Abu Tholib dan Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها].

Beliau رضي الله عنها wafat pada usia 65 tahun. Dimakamkan di Perkuburan Ma’ala yang lebih dikenali dengan nama al-Hajun.

Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها adalah wanita pilihan kerana beliau merupakan isteri kepada Rasul pilihan. Kalau kita membac kitab Shohih al-Bukhari, كتاب بدء الوحى إلى رسول الله maka disana kita akan dapati hadits menceritakan bagaimana peranan besar Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها dalam menenangkan suami beliau, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika mendapat wahyu pertama. Dan di dalam kitab shohih itu juga ada menyebutkan bab mengenai kelebihan bonda Khadijah رضي الله عنها.


Perhatikan kata-kata beliau رضي الله عنها:

فرجع بها رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يرجف فؤاده فدخل على ‏ ‏خديجة بنت خويلد ‏ ‏رضي الله عنها ‏ ‏فقال ‏ ‏زملوني ‏ ‏زملوني ‏ ‏فزملوه حتى ذهب عنه ‏ ‏الروع ‏ ‏فقال ‏ ‏لخديجة ‏ ‏وأخبرها الخبر لقد خشيت على نفسي فقالت ‏ ‏خديجة ‏ ‏كلا والله ‏ ‏ما يخزيك ‏ ‏الله أبدا إنك لتصل الرحم وتحمل ‏ ‏الكل ‏ ‏وتكسب ‏ ‏المعدوم ‏ ‏وتقري ‏ ‏الضيف وتعين على ‏ ‏نوائب ‏ ‏الحق فانطلقت به ‏ ‏خديجة ‏ ‏حتى أتت به ‏ ‏ورقة بن نوفل بن أسد بن عبد العزى ‏ ‏ابن عم ‏ ‏خديجة ‏ ‏

" ..... kemudian kembalilah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan wahyu tersebut dalam keadaan hatinya gemetar, hingga beliau masuk ke rumah Khadijah رضي الله عنها seraya berkata: Selimuti aku, selimuti aku! Maka diselimutkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, hingga hilang daripada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم rasa ketakutan, kemudian berkata Baginda صلى الله عليه وآله وسلم kepada Khadijah dan menceritakan kepadanya perkara yang berlaku, (akhirnya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم) berkata: Sesungguhnya aku takut (ke atas diriku). Maka sahut Khadijah رضي الله عنها: Tidak sekali-kali! Demi Allah, tiada dihinakan engkau selamanya kerana engkau suka menghubungkan silaturrahim dan engkau seorang yang suka menanggung kepayahan hidup, dan engkau suka mengorbankan tenaga kerana orang yang lemah (tidak berdaya) dan suka memuliakan tetamu dan menolong atas yang hak dari dari cubaan dan bala. Kemudian pergilah Khadijah رضي الله عنها bersama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abdul Uzza iaitu anak bapa saudara Khadijah …….. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan lainnya)


Beliau رضي الله عنها adalah orang pertama yang beriman kepada keRasulan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين



Nasab Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah رضي الله عنها dari jalur ayahnya: Telah berkata Ibn Ishaq: Khadijah adalah anak perempuan kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr

Nasab Ummul Mu’minin Khadijah رضي الله عنها dari jalur ibunya: Telah berkata Ibn Ishaq: Ibu Khadijah bernama Fathimah binti Za’idah bin al-Aslam bin Rawalah bin Hajar bin Abd bin Ma’ish bin Amir bin Luai bin Ghalib bin Fihr. Ibu kepada Fathimah adalah Qalabah bin Su’aid bin Saad bin Sahm bin Amr bin Hushaish bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr

Gelaran yang diberikan kepada beliau رضي الله عنها: Sayyidah az-Zakiyyah, Sayyidah at-Thohirah dan al-Kubro (wanita agung)


اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Keutamaan Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah bin Khuwailid رضي الله عنها

Isteri yang paling disayangi dan diingati oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
  • Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah bersabda (maksudnya): “Allah tidak memberi kepadaku pengganti isteri yang lebih baik dari dia (Khadijah رضي الله عنها). Ia beriman di kala semua orang mengengkari kenabianku. Ia membenarkan kenabianku di kala semua orang mendustakan diriku. Ia menyantuni diriku dengan hartanya di kala semua orang tidak mahu menolongku. Melalui dia Allah menganugerahi anak kepadaku, tidak dari isteri yang lain.” (Ibn Abdil Barr di dalam al-Isti’ab)
  • Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya) :"Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengaruniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia." (Hadits riwayat: Imam Ahmad dalam "Musnad"-nya, 6/118)
  • Diriwayatkan dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها, katanya: Kecemburuanku kepada isteri-isteri Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak sebesar kecemburaanku kepada Khadijah, meskipun aku tidak pernah melihatnya. Adalah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم seringkali menyebut-nyebut namanya dan setiap kali menyembelih qurban Nabi صلى الله عليه وآله وسلم akan menyisihkan sebahagian untuk dikirim kepada wanita-wanita yang menjadi shahabat kepada Khadijah. Terkadang aku berkata kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم: Sepertinya di dunia ini tiada lagi wanita selain Khadijah. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Sesungguhnya dia demikian .. demikian (banyak kelebihan Khadijah), dan darinya aku memperoleh anak-anak.”
  • Diriwayatkan dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu maka aku berkata: Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم marah sampai berkerut dahinya kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh dia telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan anak padaku dan tidak dengan wanita (isteri) yang lain. Aisyah رضي الله عنها berkata: Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya selama-lamanya.”
  • Dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berkata membela dan memuji Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها ketika ‘Aisyah رضي الله عنها cemburu kepadanya:“Sesungguhnya aku diberi rezki iaitu mencintainya.” (Hadits riwayat: Imam Muslim, hadits 6228 kitab Fadha`ilus Shahabah, bab Fadha`il Khadijah Ummul Mu`minin رضي الله عنها)
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Allah Ta’ala mengirim salam melalui Jibril kepada beliau رضي الله عنها dan menjanjikan mahligai di syurga buat beliau رضي الله عنها

  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه katanya: Jibril datang menemui Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan berkata: Wahai Rasulullah! Khadijah telah datang kepadamu dengan membawa bekas yang terdapat di dalamnya lauk-pauk dan makanan. Apabila beliau sampai kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku. Sampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang dibuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan. (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari dan Muslim)
  • Hadits Abdullah bin Abu Aufa رضي الله عنه: Diriwayatkan daripada Ismail katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa: Tidakkah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah رضي الله عنها mengenai sebuah rumah di dalam syurga. Beliau menjawab: Ya, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang diperbuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan. (Hadits riwayat: Imam Muslim)
  • Hadits dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها katanya: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyampaikan berita gembira kepada Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam syurga. (Hadits riwayat: Imam Muslim)
  • Dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.” (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari)
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Sayyidatuna Khadijah al-Kubro رضي الله عنها adalah antara wanita terbaik

  • Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah bersabda yang bermaksud: "Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepada Firaun." (al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba; al-Hakim dalam al-Mustadrak).
  • Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Tholib رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Sebaik-baik wanita adalah Mariam binti Imran dan Sebaik-baik wanita juga adalah Khadijah binti Khuwailid. (Hadits riwayat: Imam Muslim)
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Demikianlah sedikit coretan mengenai Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah رضي الله عنها. Kata ulama, ketika kita menyebut kisah para sholihin, Allah menurunkan rahmatNYA. Moga-moga Allah menurunkan rahmatNYA kepada al-Faqir dan sekelian pengunjung al-Fanshuri dengan berkat menyebut sekelumit kisah insan yang dikasihi Allah dan RasulNya dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mencontohi perjuangan dan pengorbanannya mereka, dan menghimpunkan kita kelak bersama mereka, para kekasihNYA. Ameen.

اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

الفاتحة ألى حضرة حبيبنا وشفيعنا رسول الله محمد بن عبد الله صلى الله عليه وسلم وآله وأصحابه، ثم إلى روح سيدتنا الحبابة خديجة الكبرى وجميع أمهات المؤمنين .. الفاتحة

Sekian dari,
Al-Faqir Abu Zahrah,
Taman Seri Gombak
11.30 pagi, 11 Ramadhan 1430H.


Related Posts with Thumbnails